Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 31 Julai 2012

D 131 IKHLAS DAN JUJURLAH KEPADA ALLAH SWT

JANGAN SEKALIPUN LUPA UNTUK BERSIKAP IKHLAS DAN JUJUR DENGAN ALLAH SWT

…Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah al-Ahzab: 5)

Agama adalah berasaskan perasaan taqwa kepada Allah swt. Hanya mereka yang bertaqwa kepada Allah swt sebagaimana yang sepatutnya akan mendapat ketaatan yang ikhlas. Ini kerana, sebagaimana al-Qur’an memberitahu kita, keikhlasan ialah sikap mereka yang mempunyai ketaqwaan yang tinggi kepada Allah swt dan hanya melakukan perkara-perkara yang disukai-Nya sahaja. Tidak ada apa yang boleh merosakkan keikhlasan orang beriman daripada tujuan asal, dia berusaha mengelakkan perbuatan-perbuatan yang dia tidak mampu menanggung pada Hari Kiamat. Dalam satu ayat al-Qur’an, Allah swt membawa perhatian kita kepada cara terbaik ini:

Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar takwa kepada Allah dan keredhaanNya itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka jahanam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
(Surah at-Tawba: 109)

Al-Qu’ran menerangkan seorang mukmin sebagai seorang yang tidak pernah melakukan kesalahan, tetapi sekiranya seseorang itu melakukannya, dia akan bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah swt secepat mungkin. Setiap detik di dalam kehidupannya, orang yang bertaqwa akan berusaha untuk berkelakuan baik dan menunjukkan akhlak yang mulia. Walaupun dia mungkin akan membuat kesalahan dari masa ke semasa, kadang-kadang kesalahan kecil, kadang-kadang kesalahan besar.

Al-Qur’an memberi contoh banyak kesalahan yang dibuat oleh orang-orang beriman. Namun, apa yang penting ialah berazam untuk tidak melakukannya lagi dan dengan ikhlas meninggalkan kesalahan itu untuk selama-lamanya. Walau bagaimanapun, ia mustahil bagi seseorang itu tidak berbuat salah langsung dalam kehidupannya. Dunia ini ialah tempat ujian dan persiapan. Oleh itu, setiap dosa yang dilakukan akan menambahkan kesedarannya akan kelemahan diri di hadapan Allah swt. Allah swt telah berjanji untuk mengampuni dosa-dosa mereka yang bertaubat secara ikhlas atas kesalahan mereka dan memperbaikinya.

Islam memberikan kemudahan dan kebebasan, tetapi, oleh kerana kesalahan mengundang pelbagai reaksi yang tidak diingini daripada masyarakat, majoriti manusia bertindak berlandaskan kriteria yang ditetapkan oleh masyarakat. Di dalam masyarakat yang jahil, mereka cenderung untuk tidak mengampuni seseorang yang melakukan kesalahan walaupun orang tersebut telah membaiki kesalahannya. Kesalahan itu menjadi seperti parut yang kekal yang membawa kesan terhadap reputasinya.

Tradisi masyarakat ini mendorong orang-orang yang jahil menjadi tidak ikhlas. Dia mungkin cuba untuk menunjukkan kebaikannya di hadapan manusia melalui cara yang penipuan. Pendapat manusia tentang dirinya sentiasa memenuhi fikirannya. Satu-satunya cara untuk melegakan diri daripada tekanan ini ialah dengan bersifat ikhlas dan jujur terhadap Allah swt, kerana hanya Agama Allah swt yang menghapuskan kebimbangan mereka tentang persepi orang lain terhadapnya. Hanya agama-Nya yang membawa orang-orang yang beriman jauh daripada sifat yang dapat merosakkan keikhlasan dan kejujuran mereka.
Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.
(Surah Al ‘Imran: 135)

Sebagaimana sabda Rasulullah (sollalahualaihiwassalam) 

“Ad-Din an-naseehah” (Agama ialah ikhlas)
(Muslim). 

Seseorang hanya boleh bersifat ikhlas sekiranya dia hanya mengikut kata-kata hati dan memenuhi mindanya dengan kesedaran bahawa Allah swt melihat semua perkara yang dilakukannya. Ingatlah, melakukan sesuatu berdasarkan fikiran dan nafsu akan memesongkan kita daripada kebenaran. Semua perbuatan bertujuan untuk mengembirakan orang lain akan merosakkan keikhlasan seseorang. Walau bagaimanapun, menyedari bahawa Allah swt sentiasa melihat hamba-hamba-Nya pada setiap masa dan berkelakuan berlandaskan hukum-hukum al-Qur’an akan mengukuhkan lagi keikhlasannya.

Ingatlah, dengan hanya takut kepada Allah swt akan menjamin kejujuran yang sebenar. Syaitan mengajak manusia untuk tidak ikhlas dengan cara berbisik kepada mereka tentang kebimbangan palsu akan penghinaan daripada masyarakat atau dengan penderitaan daripada ketidakadilan dan bahaya. Ini ialah salah faham yang besar kerana apa yang penting ialah keredhaan Allah swt dan keampunan-Nya. Allah swt yang menghukum atau menganugerahkan manusia sama ada di dunia atau di akhirat.

Setiap orang melakukan kesalahan. Oleh itu, apa yang penting ialah memohon keampunan daripada Allah swt dengan ikhlas dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Sejauh mana seseorang cuba untuk memperbaiki kesalahannya menunjukkan keikhlasannya Oleh kerana tiada manusia yang sempurna, yang paling mulia antara manusia ialah mereka yang paling ikhlas dan jujur terhadap Allah swt. Allah swt telah berfirman:

Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada di dalam hatimu; jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.
(Surah al-Isra’: 25)

Setiap kali seorang yang ikhlas membuat kesalahan, dia akan menyedari kelemahan dirinya dan kembali kepada Allah swt kerana dia tahu bukannya manusia yang boleh memaafkan dosanya tetapi Allah swt. Dalam perkataan lain, apabila membuat kesilapan, orang beriman bertaubat dengan ikhlas dan tidak mempedulikan pandangan orang lain. Mereka yang cuba untuk mengembirakan orang lain dan memikirkan pandangan mereka cenderung untuk melakukan dosa lebih kerap kerana usaha mereka untuk menutup dosa-dosa itu. Namun, kebenarannya ialah walaupun dia dapat menipu manusia, tetapi Allah swt mengetahui segala-galanya. Ingatlah, manusia yang tidak jujur dan tidak ikhlas akhirnya akan mengalami kerugian yang besar terhadap dirinya sendiri.

Allah swt tidak membebankan seseorang itu lebih daripada apa yang boleh dilakukannya. Tambahan pula, Dia telah berjanji akan mengampunkan hamba-hamba-Nya yang ikhlas, asalkan dosa yang dilakukan adalah secara tidak sengaja. Ini ialah khabar gembira yang Allah swt berikan kepada orang-orang mukmin:

Allah swt tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkau Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”
(Surah al-Baqara: 286)
Juga, ingatlah, kepada Allah swt sahaja seseorang itu perlu menunjukkan keikhlasan yang sebenar. Seseorang mungkin jahil atau tidak mempunyai ilmu tentang perkara yang harus dilakukannya untuk mendapatkan keredhaan Allah swt. Walau bagaimanapun Allah swt pasti akan memberi petunjuk ke jalan yang lurus kepada mereka yang benar-benar mahu kembali kepada-Nya. Apa yang penting ialah keikhlasan dalam mengabdikan diri kepada Allah swt. Allah swt telah memberi berita gembira kepada sesiapa yang taat kepada-Nya, mereka tidak akan mengalami kerugian:

Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang teguh kepada tali yang paling kukuh. Dan hanya Allah-lah kesudahan segala urusan.
(Surah Luqman: 22)


Oleh itu, jangan sesekali mengabaikan peringatan-peringatan yang kita perolehi, dan jangan sesekali lupa bahawa hanya satu cara untuk mencapai keselamatan di dunia dan di akhirat ialah dengan kembali kepada Allah swt dengan hati yang ikhlas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan