Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Selasa, 31 Julai 2012

D 133 SENTIASALAH BERDOA KEPADA ALLAH SWT

JANGAN SEKALIPUN LUPA UNTK BERDOA KEPADA ALLAH

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepdaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.
(Surah al-A’raf: 55-56)

Jangan sesekali lupa bahawa Allah swt ialah Tuhan sekalian alam termasuklah diri kita dan hanya Dia Wali dan Penolong kita. Oleh itu, ingatlah apabila kita hendakkan sesuatu, mintalah daripada Allah swt.

Doa ialah salah satu daripada ibadah yang paling penting untuk membawa kita dekat dengan Allah swt. Sesuai dengan sifatnya, semua manusia perlu berasa untuk melakukan ibadah ini. Walaupun ia sangat penting dan sesuatu yang diperlukan dalam kehidupan mukmin, orang yang tidak beriman hanya melakukannya pada masa-masa susah. Pada masa itu, ia mungkin tidak akan diterima oleh Allah swt kerana apa yang disenangi Allah swt ialah untuk meminta pertolongan Allah swt baik pada masa senang ataupun susah, ini bermakna, pada setiap detik dalam kehidupan kita. Ini kerana, seseorang yang berdoa kepada Allah swt ialah orang yang mengakui kelemahannya di sisi Allah swt dan ketidakupayaannya dalam mencapai sesuatu kecuali dengan izin Allah swt.

Doa perlu diikuti dengan penyerahan diri kepada Allah swt. Seseorang yang berdoa meletakkan segala keputusan, sama ada senang atau susah kepada Pencipta dan Pentadbir alam. Memahami bahawa segala penyelesaian kepada sesuatu masalah atau mencegah daripada sesuatu perkara yang tidak diingini terletak pada Allah Yang Maha Berkuasa. Dia ialah sumber ketenangan dan keyakinan kepada orang-orang mukmin. Dengan berdoa kepada Allah swt dan menjadikanNya sebagai Wali kita, ia menanam perasaan aman dalam diri seseorang mukmin.

Walau bagaimanapun, kita perlu menjelaskan salah faham yang timbul: Berdoa hanya kepada Allah swt tidak bermaksud yang kita hanya duduk bersahaja, menunggu tanpa melakukan apa-apa. Seseorang perlu berasa yakin bahawa Allah swt yang berkuasa menentukan segala perkara. Dalam masa yang sama, dia perlu berusaha untuk menggunakan segala cara yang Allah swt sediakan untuk mencapai penyelesaian.

Seseorang yang ikhlas berdoa kepada Allah swt perlu melakukan “doa dengan tindakan”, sesuai dengan hukum yang ditetapkan oleh Allah swt. Apa yang dimaksudkan dengan “doa dengan tindakan” ialah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang diinginkan. Sebagai contoh, memanfaatkan segala bentuk perubatan merupakan “doa dengan tindakan” kepada orang yang sakit untuk sembuh daripada penyakitnya. Berdoa kepada Allah swt untuk sembuh merupakan doa secara lisan. Oleh itu, doa dengan tindakan ialah asas kepada ibadah yang seseorang perlu sertakan bersama doa lisan itu.

Semasa berdoa, jangan sesekali lupa untuk berdoa dengan ikhlas dan kembali kepada Allah swt dengan perasaan rendah diri di dalam hati kita. Allah swt sangat dekat dengan kita, lebih dekat daripada urat saraf kita sendiri. Dia mengetahui dan mendengar segalanya. Doa ialah cara paling senang untuk kita berhubung dengan Allah swt. Tiada satu fikiran yang terlintas di minda dapat kita sembunyikan daripada pengetahuan-Nya.

Meskipun demikian, ramai yang tidak sedar bahawa Allah swt mengetahui doa dan keinginan setiap orang. Mereka fikir bahawa Allah swt hanya mendengar sesetengah daripada doa-doa itu sahaja dan jika Dia mendengarnya, Dia tidak memakbulkannya. (Sesungguhnya Allah swt adalah jauh daripada apa yang mereka sangkakan terhadap-Nya) Pendapat mereka adalah salah. Allah swt mengetahui segala fikiran kita, setiap perkataan yang akan diucapkan, dan Dia menjawab semuanya. Allah swt menarik perhatian kita kepada perkara ini di dalam al-Quran dengan ayat berikut:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
(Surah al-Baqara: 186)

Oleh itu, ingatlah, sekiranya kita mahukan sesuatu, kita perlu berdoa hanya kepada Allah swt. Berhubung dengan Allah swt adalah senang. Manusia adalah gopoh secara semulajadi, malah sifat ini ditekankan di dalam ayat:
“Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perlihatkan kepadamu tanda-tanda (azab)Ku. Maka janganlah kamu minta kepadaKu mendatangkannya dengan segera.”
(Surah al-Anbiya’: 37) 
Sifat tergesa-gesa ini kadang-kadang terserlah semasa kita berdoa. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, manusia selalu mengharapkan jawapan yang segera kepada doa-doanya.

Walau bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa hanya Allah swt yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita dimaklumkan tentang hal ini di dalam al-Qur’an 

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” 
(Surah al-Baqara: 216)

Sebab itulah, apabila seseorang meminta sesuatu daripada Penciptanya, walau apapun hasilnya, kita perlu senang dengan apapun keputusan Allah swt kerana segala keputusan terletak pada Allah swt sahaja. Tidak semua yang kita inginkan baik untuk kita. Oleh itu, Allah swt menjawab doa kita, tidak dengan cara yang kita harapkan, tetapi dengan cara yang paling adil bagiNya. Ia barangkali untuk kita menjadi lebih bijaksana, Allah swt mempersiapkan diri kita, sehingga sampai waktu untuk kita melakukannya. Mungkin juga, Allah swt akan menggantikan permintaan kita dengan sesuatu yang lebih baik, tetapi ia juga adalah ujian kepada kesabaran dan keimanan kita.

Nasihat Nabi Muhammad (sollalahualaihiwassalam) kepada orang-orang beriman tentang cara berdoa kepada Allah swt adalah contoh terbaik kepada mukmin:
Apabila di antara kamu berniat untuk melakukan sesuatu, hendaklah dia berdoa:

“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya”.(Muslim)
Sesungguhnya Allah swt mahukan kita sentiasa bersabar dalam berdoa:

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.
(Surah al-Baqara: 45)

Jangan sesekali lupa bahawa bersabar dalam berdoa akan menyucikan seseorang mukmin dan menambahkan kekuatan hati dan karakternya. Sebagai jawapan kepada doanya, seorang mukmin akan mencapai tahap rohani yang lagi tinggi dan ini lebih berharga daripada perkara lain yang dia minta.

Walau bagaimanapun, mereka yang tidak menganggap Allah swt sebagaimana yang layak untuk-Nya, mempunyai keraguan di dalam hati dan dengan salah menganggap doanya tidak termakbul. Seorang mukmin walau bagaimanapun berasa yakin bahawa Allah mendengar doanya dan memakbulkannya dengan cara tertentu. Dia sedar sepenuhnya bahawa tiada satu perkara pun di luar kuasa-Nya dan semua benda yang berlaku mengikut nasib yang telah ditakdirkan. Oleh itu, dia tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa doanya akan dimakbulkan. Jangan sesekali lupa berdoa kepada Allah swt tanpa sebarang keraguan dalam mendapatkan bantuan Allah swt, yakin bahawa doa kita akan dimakbulkan. Tanpa mengira keadaan, yakinlah pada Allah swt kerana Allah swt mahu hamba-Nya berada dekat dengan-Nya. Ia mudah untuk Allah swt, yang menciptakan kita daripada setitis cecair dan menciptakan alam semesta daripada tidak wujud langsung, apatah lagi untuk menjawab doa kita. Maka, apa yang kita semua perlu lakukan ialah untuk berdoa kepada Allah swt dengan yakin dan sabar.

Doa ialah hubungan istimewa antara manusia dengan Allah swt. Seseorang itu berkongsi segala masalah dan keinginannya dengan Allah swt; dia memohon kepada-Nya. Allah swt yang mendengar semua doa tidak pernah membiarkannya tidak terjawab. Inilah sebabnya al-Qur’an tidak mengkhususkan hanya satu cara beribadah. Di dalam al-Qur’an, Allah swt berfirman kepada manusia 

“…. ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring…” (Surah an-Nisa’: 103), 

yang bermaksud, seseorang boleh mengingati Allah swt dan berdoa kepada-Nya pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan tanpa melakukan sebarang perbuatan tertentu atau berada di dalam majlis tertentu. Ini kerana, apa yang penting bukanlah keadaan luaran, tetapi keikhlasan seseorang.

Di samping itu, tempat-tempat tertentu tidak perlu dikhususkan untuk berdoa. Ingatlah bahawa kita boleh berdoa pusat membeli-belah, di jalan raya, di dalam kereta, di sekolah, di pejabat dan di mana-mana sahaja. Apa yang kita perlu lakukan ialah untuk mengosongkan minda kita daripada sebarang fikiran yang sia-sia dan merasakan betapa dekatnya Allah swt dengan kita.

Ingatlah, hidup tanpa doa mempunyai kekurangan pada Pandangan Allah swt. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah al-Furqan, ayat 77

“Tuhanku tidak mengendahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu (berdoa) (Tetapi bagaimana kamu beribadat (berdoa) kepadaNya), padahal kamu sungguh telah mendustakanNya?” 

Sedar tentang kelemahan seseorang membuatkan dia disayangi Allah swt. Oleh itu, manusia perlu kembali kepada Penciptanya, mengakui kelemahan dirinya dan meminta pertolongan hanya daripada Allah swt. Perbuatan-perbuatan lain akan bererti menunjukkan keangkuhan kepada Allah swt dan membawa kepada hukuman yang kekal di neraka.

“Jangan sesekali lupa bahawa Allah Maha Pengasih. Sesiapa yang melakukan kejahatan dan selepas itu bertaubat akan mendapati bahawa Allah Maha Pengampun, Maha Pengasih”
(Surah an-Nisa’: 110). 

Maka ingatlah Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun dan berdoalah kepada-Nya dengan penuh harapan.

Tidak kira betapa besarnya kesalahan yang kita telah lakukan dan betapa menyesal terhadap perbuatan itu, ia bukanlah alasan untuk kita berputus asa daripada keampunan Allah swt. Oleh itu, betapa bersalahnya seseorang akan berasa, dia akan sentiasa mendapati Allah swt sentiasa mengampuni. Malah, al-Qur’an memberitahu kita hanya orang-orang yang tidak beriman yang berputus asa daripada rahmat Allah swt:

“…Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari ahmat Allah, melainkan kaum yag kafir”.
(Surah Yusuf: 87)

Walau bagaimanapun, jangan sesekali lupa bahawa tiada siapa yang boleh memberi jaminan yang dia layak untuk memasuki syurga. Tiada siapa yang selamat daripada hukuman Tuhannya. Oleh itu, apabila seseorang berdoa kepada Allah swt, dia perlu berharap kepada rahmat Allah swt dan juga berasa takut untuk kehilangan keredhaan Allah swt.
Seperti mana dia berdoa dengan penuh kesungguhan untuk mendapatkan syurga, jadi dia harus bersungguh untuk mengelakkan daripada neraka. Dalam kata lain, kerana takutkan neraka, dia berharap untuk mendapatkan syurga. Seseorang yang mengetahui kebesaran Allah swt, akan takut hukuman-Nya dan akan mengharapkan keredhaan-Nya. Oleh itu, dia akan berpaling kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Dengan cara yang sama, seseorang yang menyerahkan diri kepada Allah swt, menjadikan Allah swt sebagai Wali dan Penolongnya, akan menyerahkan segala usaha dan kesusahannya kepada Allah swt. Sebagaimana kisah Nabi Ya’qoob yang berkata, 

“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya,” 
(Surah Yusuf: 86), 

dia akan menyerahkan segala kesengsaraan dan permintaannya kepada Allah swt dan memohon pertolongan dan kebaikan daripada Allah swt sahaja.

Juga, ingatlah berdoa untuk mendapatkan nikmat di dunia sahaja adalah suatu bentuk ketidak ikhlasan. Objektif sebenar orang-orang beriman ialah syurga. Allah swt menganugerahkan nikmat dunia ini kepada mereka yang hanya mahukan dunia. Tetapi, mereka tidak akan mendapat balasan yang baik di akhirat sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Qur’an:

“…Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia,” dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. Dan di antara mereka ada orang yang berdoa, “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan Allah sangat cepat perhitunganNya”.
(Surah al-Baqara: 200-202)

Pada masa susah, mereka yang jahil mengasingkan diri mereka dan kembali kepada Allah swt dengan berdoa. Namun, apabila mereka senang, dengan pantas mereka kembali kepada keadaan sebelumnya yang penuh kelalaian, seolah-lah mereka tidak pernah meminta kepada Allah swt. Mereka berpaling kepada Allah swt sebagai ‘jalan terakhir’. Sifat tidak bersyukur ini dinyatakan di dalam al-Qur’an:

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkannya) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan”.
(Surah Yunus: 12)

“Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (belayar) di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah, dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya semata-mata. (Mereka berkata): Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur.” Maka tatkala Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa (alasan) yang benar. Hai manusia, sesungguhnya (bencana) kezalimanmu akan menimpa dirimu sendiri: (hasil kezaliman) itu hanyalah kenikmatan hidup duniawi, kemudian kepada Kamilah kembalimu, lalu Kami khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.
(Surah Yunus: 22-23)

Sebenarnya, tidak ada satu detikpun yang berlalu di mana manusia tidak memerlukan Allah swt. Oleh itu, jangan sesekali lupa untuk berdoa kepada Allah swt 

“…dengan rasa rendah diri dan takut, tanpa meninggikan suara, pada waktu pagi dan petang”
(Surah al-A’raf: 55, 205). 

Ingatlah penghujung kepada mereka yang tidak berdoa kepada Allah swt ialah azab yang kekal didalam neraka.

Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepadaku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina.”

(Surah Ghafir: 60)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan