Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 22 November 2024

W 14 : AJARAN ISLAM PERIHAL DIAM

 ORANG Mukmin diperintahkan agar memelihara lisan (termasuk yang ditulis dalam media sosial):


وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ


“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam.”

(HR Al-Bukhari)


Termasuk perkataan yang baik adalah berkata benar, mencegah kemungkaran dan tidak menjadi saksi palsu.


Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam lagi:

إِنَّ أَفَرَى الفِرَى أَنْ يُرِي عَيْنَيْهِ مَا لَمْ تَرَيَا


“Sesungguhnya kedustaan yang paling berat ialah apabila seseorang mengemukakan kesaksian terhadap hal yang tidak di­saksikannya.”

(HR Al-Bukhari)


Begitu aneh manusia. Kita mengambil masa sekitar dua tahun untuk belajar bertutur tetapi, kemungkinan kita memerlukan seumur hidup untuk belajar menahan diri daripada berbicara perkara yang tidak perlu.


Kata Ibnu Rajab:


“Tidak ada perkataan yang bersifat pertengahan antara bicara dan diam. Kemungkinan yang ada ialah, suatu ucapan merupakan kebaikan sehingga kita diperintahkan untuk mengatakannya. Kemungkinan yang lain pula, suatu ucapan mengandungi keburukan sehingga kita diperintahkan untuk diam.”

(Jami’ul Ulum wal Hikam)


Kita perlu menyedari kekurangan kita selaku manusia biasa. Tidak semua perkara berada di dalam pengetahuan kita. Maklumat kita terbatas. Oleh kerana itu, Islam memberi panduan khusus berkenaan pendirian seorang Mukmin terhadap perkara yang tidak diketahuinya.

Diam. Orang yang suka menunjuk-nunjuk pengetahuannya seringkali terbabas hingga mempamerkan pula kejahilan dirinya. Adakah seorang Muslim diwajibkan untuk mengulas setiap isu yang berlaku? Tidak. Akan tetapi, kita pasti akan disoal atas setiap kata-kata dan perbuatan kita.


Allah Subhanahu Wata'ala berfirman:


وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا


“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempu­nyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung­jawabkannya.”

(Al-Isra’: 36)


Empat pendapat berkenaan ayat:

1.     Ibnu Abbas mengata­kan bahawa makna ‘la taqfu‘ ialah ‘la taqul‘. Janganlah kamu mengatakan.

2.     Al-Aufi - Janganlah kamu menuduh seseorang dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuan berkenaannya.

3.     Muhammad bin al-Hanafiyah - Makna yang dimaksudkan ialah kesaksian palsu.

4.     Qatadah - Janganlah kamu mengatakan bahawa kamu melihatnya, padahal kamu tidak melihatnya. Atau kamu katakan bahawa kamu mendengarnya, padahal kamu tidak mendengarnya. Atau kamu katakan bahawa kamu mengetahuinya, padahal kamu tidak mengetahui. Kelak Allah Subhanahu Wata'ala akan meminta kamu bertanggungjawab berkenaan hal tersebut secara keseluruhan.

Kesimpulan pendapat mereka, Allah Subhanahu Wata'ala melarang hambaNya mengatakan sesuatu tanpa pengetahuan, bahkan melarang pula mengatakan sesuatu berdasarkan sangkaan semata-mata. Berbeza pula bagi mereka yang mempunyai ilmu, mereka diperintahkan untuk menyampaikan kebenaran.


Pesan Imam Ahmad bin Hanbal:


إذا سكت العالم تقية، والجاهل يجهل، فمتى يظهر الحق؟


“Apabila orang yang alim berdiam diri kerana taqiyah (play safe), dan orang jahil terus jahil, bilakah lagi kebenaran itu akan tertegak?”

Maha benar Kalamullah:


قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُواْ الألْبَابِ


“Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.”

(az-Zumar: 9)

W13 : DOA SEPERTI NABI

 *Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh*


*بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم*

_*Alhamdulillahi rabbil a'lamiin Wassolatuwassalamuala asrofil anbia iwalmursalin Wa'ala alihi wasohbihi ajmain..*_


_"Yaa Allah, Yaa Tuhan kami, kurniakan kekuatan, keimanan, kepada kami Yaa Allah seperti mana yang telah Kau kurniakan kepada nabiMu Ibrahim Yaa Allah.

Berikan kesembuhan dalam segala penyakit kami Yaa Allah seperti mana yang telah Kau kurniakan kepada nabiMu Ayub Yaa Allah. 


Kurniakan kepada kami jalan keluar bagi segala permasalahan kami Yaa Allah seperti mana yang telah Kau kurniakan kepada nabiMu Yunus Yaa Allah. 


Kurniakan kepada kami keluasan rezeki yang halal Yaa Allah, seperti mana yang telah Kau berikan kepada NabiMu Sulaiman Yaaa Allah. 


Yaa Allah, Yaa Tuhan kami, berikan kepada kami bantuan dalam segala yang kami usahakan, seperti mana yang telah Kau berikan kepada NabiMu Musa Yaa Allah. 


Berikan kepada kami, ketabahan dalam segala ujian hidup kami Yaa Allah, seperti mana yang telah Kau berikan kepada NabiMu Isa, Yaa Allah. 


Yaa Allah, Yaa Tuhan kami, kurniakan kepada kami akhlak dan adab sopan yang baik Yaa Allah, seperti mana yang telah Kau berikan kepada junjungan kami, Nabi Muhammad Yaa Allah.


Kurniakan kepada kami, anak-anak yang soleh dan solehah, keluarga yang bahagia Yaa Allah, seperti mana yang telah Kau berikan kepada Saidina 'Ali dan Fatimah, Yaa Allah.

Yaa Allah, Yaa Tuhan kami, ampunkan segala dosa kami, bantulah segala urusan kami Yaa Allah."


"Yaa Allah, muliakanlah Islam dan kaum Muslimin, Yaa Allah, tolonglah kaum Muslimin dan Mujahidin di Palestin."


_*Rabbana atina fid-dunya hasanatan wa fil 'akhirati hasanatan waqina 'adhaban-nar*_

_*Wassolallahhu 'ala sayyidina Muhammad Wa'ala alihi wasohbihi wasalam Walhamdulillah hirabbal a'lamiin*_

_*Aamiin Aamiin Yaa Rabbal A'lamin.*_