Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Memaparkan catatan dengan label IKTIBAR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label IKTIBAR. Papar semua catatan

Khamis, 17 April 2014

Q 39 : IKTIBAR DARI PENCIPTAAN MASA

Merenung Ciptaan Allah yang Maha Agung (Bahagian 3)- Iktibar Dari Penciptaan

Masa

PENGENALAN

Pengurusan Masa – Hanya Empat Golongan yang Mampu Mengurusnya

Sebenarnya penulisan ini bukanlah cara-cara mengenai pengurusan masa, tetapi lebih kepada permulaan sebelum menguruskan masa. Banyak buku-buku, artikel, kursus dan sebagainya menerangkan cara-cara menguruskan masa, teknik-teknik, cara menjadual dan sebagainya. Tetapi mungkin ada yang terlupa asas, atau ciri-ciri seseorang yang mampu melakukan itu semua. Tidak semua orang yang mampu menguruskan masanya hanya dengan buku atau kursus.
Sebaliknya ia memerlukan pemahaman dan mempunyai ciri-ciri tertentu untuk melaksanakannya. Allah yang Maha Agung telah bersumpah bahawa demi masa, semua manusia dalam kerugian kecuali golongan yang dikehendakiNya. Maksudnya, tidak kira walau 1001 buku mahupun 1001 kursus kita belajar mengenai masa, belum tentu kita terselamat dari kerugian ini.

Firman Allah swt yang bermaksud :

1. “Demi masa.

2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,

3. KECUALI orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”
(Surah 103, Al-´Asr: 1-3)

Imam As-Syafi’I berkata : “Seandainya manusia benar-benar memahami surah ini, nescaya surah ini mencukupi bagi mereka.”
Seperti apa yang telah kita ketahui, masa itu adalah sangat-sangat penting buat manusia, kerana Allah yang Maha Agung telah berfirman sebegitu, RasulNya juga telah berkata sebegitu.

PERBINCANGAN

Maksud masa

Persoalannya, sejauh mana kefahaman kita mengenai masa, sedangkan para saintis juga mempunyai pelbagai pendapat mengenai masa. Umum mengetahui tentang maksud masa, tetapi jika dilihat di dalam al Quran kita dapat mengetahui pelbagai lagi contoh mengenai masa, antaranya;

Masa terbahagi kepada lima.

1. Masa yang hanya diketahui oleh Allah yang Maha Agung (Pencipta Masa)

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Atau apakah (kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui suatu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi atapnya. Dia berkata: "Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?" Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: "Berapakah lamanya kamu tinggal di sini?" Ia menjawab: "Saya tinggal di sini sehari atau setengah hari." Allah berfirman: "Sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya.”
Surah Al-Baqarah [2] : 259
 (Kisah Nabi Uzair a.s)

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun (berbanding hitungan dunia).”
Surah Al-Ma´aarij [70] : 4

Firman Allah swt yang bermaksud :

19. “Dan demikianlah Kami bangunkan mereka agar mereka saling bertanya di antara mereka sendiri. Berkatalah salah seorang di antara mereka: Sudah berapa lamakah kamu berada (disini?)." Mereka menjawab: "Kita berada (disini) sehari atau setengah hari." Berkata (yang lain lagi): "Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini).......

25. Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).” 
Al Kahfi [18] : 19 dan 25
(Kisah Ashabul Kahfi)

Banyak lagi ayat-ayat al Quran yang menunjukkan akan kekuasaan Allah yang Maha Agung terhadap penciptaan dan kekuasaanNya pada masa.

2. Masa depan (Perkara akan datang, termasuk kejadian di akhirat)

Firman Allah swt yang bermaksud :

1. “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.

3. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.”
(Surah 111, Al-Lahab  : 1 dan 3)

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Sungguh telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mereka dengan Tuhan; sehingga apabila kiamat datang kepada mereka dengan tiba-tiba, mereka berkata: "Alangkah besarnya penyesalan kami, terhadap kelalaian kami tentang kiamat itu!" sambil mereka memikul dosa-dosa di atas punggungnya. Ingatlah, amat buruklah apa yang mereka pikul itu.”
(Surah 6, Al-An'aam  : 31)

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan dibawa ke dalam syurga berombong-rombongan (pula). Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: "Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu. Berbahagialah kamu! maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya."
Surah Az-Zumar [39] : 73

Menjelaskan perkara akan datang, seperti Abu Lahab yang pasti masuk neraka dan orang lalai juga ke neraka dan sebaliknya bagi orang yang bertakwa akan ke syurga.

3. Masa lampau (Zaman dahulu atau zaman silam ataupun sejarah)
Firman Allah swt yang bermaksud :

“Belumkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, 'Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan dan negeri-negeri yang telah musnah? Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata, maka Allah tidaklah sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.”
Surah At-Taubah [9] : 70

Menerangkan mengenai kisah-kisah terdahulu bagaimana kaum yang ingkar yang telah diazab di dunia dan akan diazab lagi di akhirat kelak sebagai pengajaran kepada umat akan datang.

4. Masa dunia (Perkiraan tahun, waktu, dan sebagainya)

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi,”
Surah At-Taubah [9] : 36

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya.”
(Surah 21, Al-Anbiyaa'  : 33)

Begitulah ketetapan Allah yang Maha Agung yang menciptakan satu tahun bersamaan dua belas bulan dan hikmahnya; manusia diberi pengetahuan untuk mengukur masa.

5. Masa kini atau masa yang sedang dilalui oleh manusia (Zaman ini atau zaman umat Nabi Muhammad salallahu’alaihi wasallam (saw))

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”
(Surah 2, Al-Baqarah : 143)

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
(Surah 30, Ar-Ruum  : 41)

Begitulah sedikit pengembaraan atau gambaran mengenai masa yang telah difirmankan oleh Allah yang Maha Agung dalam al Quran.

Berdasarkan ayat al Quran di atas, saya mendefinisikan;

‘Masa itu adalah ciptaan Allah yang Maha Agung secara mutlak.

[1]. Masa itu mempunyai dimensinya sendiri dari tempoh atau ukuran tertentu hingga ke tempoh atau ukuran tertentu.
[2]. Masa juga boleh berubah-ubah dimensi dan kelajuannya mengikut kehendak Allah yang Maha Agung. Walaupun begitu,
[3]. manusia hanya diberi pengetahuan dan keupayaan dalam mengukur dan menguruskan masa mereka oleh Allah yang Maha Agung,
[4]. tetapi sama sekali tidak diberi kawalan ke atas masa itu.

Perumpamaannya; kita mampu menggunakan ‘remote control’ seperti ‘rewind-forward-skip’ ketika menonton filem, tetapi kita tidak mampu mengubah jalan ceritanya, segalanya sudah ditentukan.

Empat Golongan yang Mampu Menguruskan Masa

Firman Allah swt yang bermaksud :

1. “Demi masa.

2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,

3. KECUALI orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”
(Surah 103, Al-´Asr : 1-3)

1. Iman (orang-orang yang beriman)

Umum telah mengetahui akan isi rukun iman dan tidak perlu dihuraikan di sini, tetapi perlu kita ketahui maksud iman itu adalah melafazkan kalimah tauhid dengan iktikad di dalam hati serta mengamalkannya kerana tahap keimanan seseorang boleh bertambah dan berkurangan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka
(kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.”
(Surah 8, Al-Anfaal : 2)

(a). Selain itu, iman juga tidak boleh dicampuradukkan dengan sesuatu yang lain. Tidak boleh menyembah Allah yang Maha Agung disamping menyembah bomoh, duit, ubat-ubatan, orang-orang tertentu atau apa-apa sahaja yang boleh menyebabkan menyekutukan Allah yang Maha Agung.
Malah jika mengatakan ada perkataan yang lebih baik dari firman Allah yang Bijaksana itu juga adalah syirik, kerana menganggap ada sesuatu yang lebih besar, lebih tinggi autoriti dan lebih bijak dari Allah yang Maha Agung. Maha Suci Allah dari apa yang diperkatakan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah 6, Al-An'aam  : 82)

(b). Orang-orang beriman tidak mempersoalkan dan yakin sepenuh hati apa yang diperintahkan oleh Allah yang Maha Agung melalui RasulNya. Jadi, orang-orang beriman tidak membuang masa mencari kelebihan amal ibadah dan sebagainya. Contohnya, dengan sujud akan mendapat itu-ini dan dengan rukuk pula akan mendapat itu-ini.

Orang-orang yang beriman menuruti perintah Allah yang Maha Agung dengan sifat ta’abuddiyah, iaitu; tidak memerlukan penjelasan akal (rasional) untuk menuruti perintah Allah yang Maha Agung. Bukan menolak penggunaan akal, cuma prinsip pengagungan kepada Allah yang Maha Agung dengan pengagungan yang sebenar telah mula hilang dari hati manusia.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Rasul telah beriman kepada al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasulNya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat." (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali."
(Surah 2, Al-Baqarah : 285)

(c). Prinsip ‘kami dengar dan kami taat’ sudah mula hilang di hati orang-orang yang mengaku beriman kemudian digantikan, ‘kami dengar, tapi kami fikir dahulu apa rasionalnya,” seperti “apakah kelebihan itu dan apakah kelebihan ini?” Atau “apakah rasionalitinya solat, tentu ada penjelasan sains mengenainya.”
Ini adalah contoh manusia zaman ini, mereka mula mempersoalkan perintah Allah yang Maha Agung dan sibuk dengan fadhilat sehingga melupakan syarat sahnya sesuatu ibadat, iaitu sahnya beribadah adalah mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah yang Maha Tinggi dalam mentaati perintahNya dan menepati pula apa yang diajarkan oleh Rasulullah saw.
Orang-orang yang menyalahgunakan akalnya adalah lebih cenderung gagal dalam pengurusan masa di dunia dan akhirat, manakala orang yang sebaliknya, In Sya Allah yang Maha Agung.

2. Amal Soleh (mengerjakan amal soleh)

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
(Surah 16, An-Nahl  : 97)

(a). Sangat jelas ayat di atas, Allah yang Maha Agung berjanji kepada orang yang beramal soleh akan diberi kehidupan kehidupan di dunia dan balasan baik di akhirat. Tetapi, apakah yang dimaksudkan dengan amal soleh itu? Apakah yang dikatakan amal soleh? Mengikut tafsir Ibnu Katsir, amal soleh adalah mengikuti al Quran dan Sunnah Rasulullah saw.
Antara contoh yang berupa amal soleh di dalam al Quran dan Hadis adalah menuntut ilmu, solat, puasa, menepati waktu solat (tidak menangguhkan) atau secara umumnya tidak membuang masa dengan melakukan pekerjaan yang sia-sia.

(b). Termasuk juga amal soleh adalah ihsan, padahal mempelajari bab ihsan adalah wajib sebagaimana sebuah hadis sahih yang panjang;

Daripada Abu Hurairah r.a : Rasululullah saw bersabda, ......(diringkaskan sebelum itu di mana Malaikat Jibril a.s datang bertanya tentang rukun Iman dan rukun Islam)

“(Tanya Jibril), ‘Ya, Rasulullah. Apakah yang dikatakan ihsan?’ Jawab Rasulullah saw, “Hendaklah engkau takut kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekalipun engkau engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu.” 
(Diringkaskan, selepas itu ditanya pula mengenai tanda-tanda kiamat).
[Sahih Muslim, Hadis Nombor 0003]

Ini bermakna mempelajari ihsan sangat penting kerana ia dikaitkan dengan rukun iman, rukun Islam dan tanda-tanda hari kiamat (sila rujuk keseluruhan hadis). Maksud ihsan adalah perbuatan kita sentiasa dilihat oleh Allah yang Maha Agung. Apa sahaja yang kita lakukan perlu difikir dahulu dan barulah dikatakan mempunyai akhlak yang baik. Contohnya akhlak ketika solat, ketika selisih faham, ketika bertemu kawan-kawan dan sebagainya, kemudian hendaklah kita tetapkan dalam hati sesungguhnya Allah yang Maha Agung melihat apa yang kita kerjakan pada setiap saat dan ketika.

Di Malaysia umumnya pendedahan kepada bab akhlak adalah sangat kurang dan dianggap tidak penting. Kita boleh lihat dari segi subjek matapelajaran dari peringkat rendah hingga ke universiti, amat kurang pendidikan akhlak dan jika adapun, kepentingannya diambil sambil lewa. Dari segi pendidikan agama pula lebih banyak persoalan fiqah, sehinggakan orang yang tidak memahami usul fiqah juga ingin membicarakannya. Itu salah satu contoh orang yang tidak mempelajari akhlak.

Tambahan : Para ahli sufi telah menggelar bab akhlak ini sebagai tasauf kadangkala ada pula yang menyalahi al Quran dan Sunnah (bukan semua), contohnya menganggap, seseorang ulama itu adalah sultan para wali atau wali teragung dan lain-lain. Namun jika wujudnya istilah wali agung ini, maka yang sepatutnya mendapat gelaran itu adalah Saidina Abu Bakar r.a dan kemudian para Khulafa ur rasyidin seterusnya. (Anda boleh rujuk Fiqh Tasawwuf [Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah])
(c). Tetapi bukan itu hendak dibincangkan. Saya lebih suka menggelar tasauf itu ihsan, kerana sesuai dengan hadis dari Rasulullah saw dan lebih mudah difahami, kerana Allah yang Maha Agung telah berfirman dan begitu pula sabda RasulNya ‘kebenaran itu sudah jelas dan kebatilan itu juga sudah jelas’, mengapa kita perlu mengaburi?

3. Nasihat mengikuti kebenaran (menasihati supaya mentaati kebenaran)

Firman Allah swt yang bermaksud :

5. “Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.

24. Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran (agama tauhid dan hukum-hukumnya) sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umatpun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.”
(Surah 35, Faathir : 5 dan 24)

(a). Orang yang menasihati agar mengikut pada kebenaran adalah orang yang membimbing manusia mentauhidkan Allah yang Maha agung dan beramal menurut al Quran. Sesuai dengan nasihat dari Luqman;.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."
(Surah 31, Luqman  : 13)

(b). Selain itu menasihati kebenaran juga adalah berdakwah kepada mengerjakan kebajikan dan menjauhi dosa. Apakah kebajikan dan dosa?

Daripada Nawwas bin Sam’an Al-Anshari r.aAku pernah bertanya kepada kepada Rasulullah saw tentang erti kebajikan dan dosa. Sabda Nabi saw,

“Kebajikan itu ialah budi pekerti yang indah. Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, padahal engkau sendiri segan perbuatanmu itu akan diketahui orang lain.”
(Sahih Muslim, Hadis Nombor 2183)

Jika diperincikan lagi, budi bermaksud akal atau kebijaksanaan manakala pekerti adalah perangai atau kelakuan. Jadi bolehlah diungkapkan kebajikan adalah perangai dan kelakuan yang dipamerkan dengan kebijaksanaan akalnya.

(c). Maksudnya berdakwah kepada orang dengan bijaksana serta mengajak orang lain mempamerkan tingkah laku atau akhlak yang baik. Tidak ada cara lain yang lebih unggul melainkan dimulakan oleh diri sendiri, iaitu kita sendiri harus mempunyai tingkah laku yang baik dan kemudian akan menjadi ikutan orang lain.

4. Nasihat tetap pada kesabaran (nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran)

Firman Allah swt yang bermaksud :

17. “Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.

18. Mereka (orang-orang yang beriman dan saling berpesan itu) adalah golongan kanan.

19. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri.

20. Mereka berada dalam neraka yang ditutup rapat.”
(Surah 90, Al-Balad  : 17- 20)

(a). Golongan yang keempat dan yang terakhir adalah orang yang berpesan supaya tetap kepada kesabaran. Mereka adalah golongan yang berpesan supaya bersabar dalam menghadapi kesusahan atau musibah yang melanda, iaitu redha akan takdir Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sama ada baik atau buruknya.

(b). Dalam menasihati kesabaran, orang yang berpesan juga harus ada sifat sabar dalam dirinya, seperti sabar dalam mentaati perintah Allah yang Maha Agung, sabar menghadapi kerenah orang yang didakwahkan, sabar dalam menuntut ilmu dan sebagainya.

(c). Sabar dalam melakukan perbuatan keji dan mungkar (dosa), iaitu tidak melakukan perkara yang menyakiti orang lain dan tidak pula berbuat maksiat jika bersendirian, apalagi di hadapan orang lain.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).”
(Surah 13, Ar-Ra'd  : 22)

PENUTUP

Jadi bolehlah dikatakan bahawa orang yang dapat mengurus masanya dengan baik di dunia dan akhirat secara umumnya, adalah;
[1]. Orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, iaitu bukan munafik, syirik dan kafir.
[2]. Orang yang beramal soleh serta berakhlak mulia.
[3]. Orang yang menasihati dengan kebenaran dan memberi contoh tauladan yang baik melalui dirinya.
[4]. Orang yang bersabar dan menasihati orang lain supaya bersabar dan tidak putus asa dalam mencari keredhaan Allah yang Maha Agung.
Namun perlu diingat sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, berdasarkan firmanNya;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.”
(Surah 2, Al-Baqarah  : 286)

Apa yang penting adalah kita jangan berhenti dalam berusaha untuk mendapat keredhaan Allah yang Maha Agung dan berusaha untuk merealisasikan diri menjadi umat pilihan dan yang terbaik (umat Nabi Muhammad saw); sesuai dengan firman Allah yang Maha Agung,

 “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(Surah 3, Ali 'Imran : 110)

Rujukan :
Al Quran terjemahan, Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Al-Munir
Kitab Hadis-Hadis sahih
Rasul dan Risalah [Dr. Umar Sulaiman Al-Asykar]
Fiqh Tasawwuf [Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah]
Rahsia Di Sebalik Sumpah Allah [Ibnu Qayyim Al-Jauziyah]
Metodologi Dakwah [Prof. Dr. Ab. Aziz bin Mohd. Zin]
Ajaran Sesat - Sejarah Kemunculan dan Ciri-Cirinya [Siti Norbaya bt. Abd. Kadir]
Ensiklopedia Fizik
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi Keempat)




Q 38 : IKTIBAR DARI PENCIPTAAN MANUSIA

Merenung Ciptaan Allah yang Maha Agung – (bahagian 2)

PENGENALAN

Manusia

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang Maha Agung. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, manusia ialah makhluk yang mempunyai akal budi. Jika diperincikan lagi maksudnya, akal dari aspek manusia bermaksud dapat berfikir, manakala budi pula bermaksud kebijaksanaan. Jadi bolehlah dirumuskan secara ringkas dan umum dari segi bahasa, bahawa manusia itu adalah makhluk yang dapat berfikir dengan bijaksana.

Penciptaan Manusia

Di dalam al Quran telah diterangkan mengenai asal penciptaan manusia yang bermula dari tanah (Nabi Adam a.s) kemudian seterusnya sepertimana firman Allah yang Maha Agung;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah.
Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim).
Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.”
Surah Al-Mukminun [23] : 12-14

Perlu diingat bahawa asal penciptaan manusia di dalam al Quran bukanlah sebuah teori atau sangka-sangka manusia. Ini adalah hakikat penciptaan manusia yang sebenar oleh Allah yang Maha Pencipta dengan sebaik-baik ciptaanNya; malahan Allah yang Maha Agung juga mampu mencipta sesuatu yang lebih baik dari manusia.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Al Mukmin [40] : 57

Sekiranya begitu terperinci sekali dalam penciptaan manusia, bagaimana pula dalam penciptaan langit dan bumi? Bukankah penciptaan langit dan bumi lebih besar dari penciptaan manusia? Maha Suci Allah segala puji-pujian bagiNya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.

Mengapa manusia perlu sombong? Sombong dalam segala aspek kehidupan, dari segi hartanya, keluarganya, pangkat dan kekuasaannya dan ilmunya.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia dari tanah.
Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina.
Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur.”
Surah As-Sajdah [32] : 7-9

Sekiranya manusia merasakan dirinya hebat dengan adanya pangkat dan kekuasaan, sila perhatikan dari apa ia diciptakan? Bukankah sperma melalui zakar yang berkongsi dengan air kencing? Manusia berkongsi tempat dengan saluran najis kencing, hinakah manusia? Tidak kira siapapun juga, Presiden Amerika, Russia, China mahupun Sultan, Perdana Menteri hatta para Nabi ‘alaihi salam sekalipun melalui proses yang sama kecuali Nabi Adam a.s, Hawa dan Nabi Isa a.s.

Akan tetapi, Allah yang Maha Agung telah mengangkat manusia menjadi makhluk yang mulia dan memberi gelaran yang terbaik. Pangkat yang terbaik dan mengatasi segala gelaran atau pangkat yang diberikan oleh manusia, iaitu;

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia."
Surah Al-Hajj [22] : 78

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Surah Al-Hujuraat [49] : 13

Pangkat dan gelaran terbaik itu selain para Nabi dan Rasul, adalah Muslim dan kemuliaan yang paling mulia adalah manusia yang paling bertakwa di sisi Allah yang Maha Agung. Perlu diingat, manusia tidak dapat mengatasi ketakwaan para Nabi dan Rasul kerana mereka adalah maksum.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”
Surah Al-Baqarah [2] : 143

ISI PERBINCANGAN

Tujuan Manusia Diciptakan

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Ingatlah ketika Tuhan-mu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau." Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Surah Al-Baqarah [2] : 30

[a]. Di dalam ayat di atas diterangkan akan tujuan manusia diciptakan, iaitu untuk dijadikan sebagai khalifah di muka bumi. Apakah yang dimaksudkan dengan khalifah itu? Dalam tafsir Ibn Katsir, ayat ‘menjadikan seorang khalifah’ bukan sahaja untuk melantik pemimpin di kalangan manusia, malahan Allah yang Maha Agung juga berkehendak melantik para Nabi dan Rasul.

Selain dari melantik para Nabi dan Rasul, Allah yang Maha Agung juga berkehendak menjadikan di antara manusia itu; para syuhada’, orang-orang soleh, para wali, para ulama’ dan secara umumnya; orang yang mencintai Allah yang Maha Agung serta orang-orang yang mengikuti para rasulNya.

Apa yang paling utama adalah Allah yang Maha Penyayang mahu memberi kenikmatan syurga pada hambaNya yang inginkan nikmat syurga. Manusia pasti tidak dapat merasai nikmat syurga jika tidak diciptakan.
Jadi, adakah kita benar-benar menepati tujuan kita diciptakan? Adakah kita benar-benar mencintai Allah yang Maha Agung dan mengikuti apa yang diajarkan oleh Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam (saw)? Adakah kita benar-benar mahukan nikmat syurga?

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.”
Surah Adz-Dzariyat [51] : 56

[b]. Di dalam Surah Adz-Dzariyat [51] : 56, Allah yang Maha Agung secara jelas menerangkan akan tujuan penciptaan jin dan manusia, iaitu untuk menyembahNya. Tidak boleh dipersoalkan lagi.

Mengikut Ibn Abas radiyallahu anhu (r.a), ‘tidak diciptakan mereka (jin dan manusia) itu, kecuali untuk tunduk (patuh) beribadah kepada Allah yang Maha Agung secara sukarela atau terpaksa. Dalam tafsir Ibn Katsir juga menerangkan sedemikian dan ditambah, ‘manusia disuruh beribadah kepadaNya dan bukan kerana Aku (Allah yang Maha Tinggi) memerlukan mereka (manusia).

Maksudnya jin dan manusia disuruh menyembah Allah yang Maha Agung semata-mata, tidak boleh menyembah selainnya, kemudian Allah yang Maha Agung tidak memerlukan manusia sebaliknya, manusialah yang memerlukan Allah yang Maha Penyayang.

Jadi, adakah kita benar-benar memerlukan Allah yang Maha Agung atau kita memerlukan selainNya? Adakah kita lebih memerlukan pangkat, harta dan segala jenis keindahan di dunia melebihi rahmat dan penjagaan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Apakah manusia mengira, bahawa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggung jawapkan)?”
Surah Al-Qiyaamah [75] : 36

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur, yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.”
Surah Al-Insaan [76] : 2

[c]. Manusia diberi ujian berupa tanggungjawab melaksanakan perintah dan larangan di bumi sebelum diadili di akhirat, iaitu penentu sama ada masuk syurga atau neraka.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Surah Al-Mu'minuun [23] : 115

Penciptaan Anggota Badan

Manusia dianugerahkan dengan keseimbangan tubuh yang sempurna dan sesuai dengan firman Allah yang Maha Agung;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang,
dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.”
Surah Al-Infithaar [82] : 7-8

Allah yang Maha Penyayang telah menciptakan manusia dengan tubuh badan yang sempurna, seimbang dan rupa yang menarik. Maksud kesempurnaan di sini adalah tanpa melalui tahap-tahap evolusi seperti yang dikatakan oleh saintis kafir. Malah keupayaan berfikir otak termasuk bahasa dan percakapan juga telah sempurna semenjak Nabi Adam a.s.
Sekiranya kita mengatakan penciptaan manusia zaman awal bodoh dan tidak mampu bercakap atau mempunyai bahasa, maka kita menolak kepintaran para Nabi a.s. Maka apakah hukumnya mengatakan para Nabi a.s itu bodoh? Adakah al Quran itu salah seperti dalam Surah Al-Baqarah [2] : 31, di mana Allah yang Maha Bijaksana telah mengajar Nabi Adam a.s nama-nama segala benda? Namun pembicaraan ini perlu dihurai dalam tulisan yang lain.
Anggota badan telah diletakkan sesuai pada tempatnya dan mudah digunakan. Jari-jari yang fleksibel, rambut yang digunting tidak merasa sakit, mata yang dilengkapi alis mata dan semua penciptaan original dari Allah yang Maha Bijaksana telah sempurna dan sesuai pada tempatnya. Samakah penciptaan anggota tiruan manusia dengan penciptaan original oleh Allah yang Maha Agung?
Sedikit persoalan;
1. Manakah yang lebih baik antara tangan tiruan ciptaan manusia dengan tangan original ciptaan Allah yang Maha Agung? Jawapan : Tentulah yang original.
2. Manakah yang lebih baik antara kaki tiruan ciptaan manusia dengan kaki original ciptaan Allah yang Maha Agung? Jawapan : Tentulah yang original.
3. Manakah yang lebih baik antara pendengaran (telinga) dan penglihatan (mata) tiruan ciptaan manusia dengan mata dan telinga original ciptaan Allah yang Maha Agung? Jawapan : Tentulah yang original.
4. Manakah yang lebih baik antara hukum tiruan ciptaan manusia dengan hukum original (al Quran) ciptaan Allah yang Maha Agung. Jawapan : Jawablah dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Nikmat manakah yang hendak kita dustakan lagi?

Antara Sifat-Sifat Semulajadi Manusia

1. Mengakui Kewujudan Tuhan

Semua manusia telah diciptakan oleh Allah yang Maha Agung dalam keadaan mengakui akan kewujudan yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu sama ada secara sedar atau tidak. Walaupun orang yang mendakwa tuhan itu tidak wujud, namun jauh dalam hatinya tetap mengaku akan kewujudan tuhan. Berdasarkan firman Allah yang Maha Agung dalam;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Surah Ar-Ruum [30] : 30

Oleh kerana manusia sudah fitrahnya (fitrah di sini bermaksud pembawaan atau sifat-sifat semulajadi) mengakui akan kewujudan tuhan, maka manusia perlu mencari bagaimana memohon (mengadu nasib, melepaskan diri dari kesulitan dan sebagainya) kepada tuhan. Maka diutuslah para Rasul untuk memberi penjelasan kepada manusia mengenai tuhan yang wajib disembah dan sebenar-benar tempat bermohon; iaitu hanya menyembah Allah yang Maha Esa dan tidak mensyirikkannya (agama tauhid).
Oleh kerana itu, wajiblah bagi manusia untuk menuntut ilmu; iaitu ilmu yang diajarkan oleh para Nabi dan Rasul supaya tetap di jalan agama Allah yang lurus dan tidak terjerumus dalam kesyirikan dan melanggar fitrah yang ditetapkan oleh Allah yang Maha Agung. Perumpamaannya, seperti fitrah bumi dan bulan yang beredar dalam orbitnya. Andaikata bumi dan bulan melanggar sifat semulajadinya, pasti hancur keduanya berlanggar sesama sendiri. Begitu juga manusia, jika melanggar fitrahnya, maka porak perandalah sistem kehidupan.

2. Dorongan Fisiologi

Dorongan fisiologi di sini bermaksud ‘pentadbiran’ sistem badan tanpa sedar atau tanpa perlu berfikir dan tanpa kehendak. Ini adalah salah satu nikmat terbesar dari Allah yang Maha Agung dan sangat-sangat diperlukan oleh manusia untuk meneruskan kehidupan dan mengembangkan populasi manusia di muka bumi. Sesungguhnya Allah Maha Teliti ciptaanNya.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Musa berkata: "Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk.”
Surah Thaahaa [20] : 50

[a]. Contohnya, perjalanan sperma, jantung yang berdegup, kefungsian buah pinggang, kelenjar pituitari, sistem pernafasan dan pelbagai lagi nikmat yang dikurniakan kepada manusia secara semulajadi tanpa manusia perlu berfikir untuk melakukan itu semua.

Persoalannya, berapa ramaikah di antara manusia pernah bersyukur akan nikmat jantung, buah pinggang, hormon dan pelbagai lagi nikmatNya? Pernahkah walau sekali ketika selepas solat kita berdoa agar Allah yang Maha Penyayang mengekalkan nikmat mata yang berkelip, jantung yang berdegup atau sekurang-kurangnya mengucapkan syukur atas nikmat yang tidak terhingga ini?

[b]. Termasuk dalam dorongan fisiologi adalah nafsu. Nafsu bermaksud dorongan hati atau keinginan yang kuat. Kadangkala kita juga memerlukan kehendak, contohnya apabila lapar, perut perlu diisi. Maksudnya kita tidak perlu berfikir sama ada perlu ‘lapar’ atau tidak. Ia berlaku secara semulajadi. Allah yang Maha Agung berfirman dalam yang bermaksud;

“(Nabi Yusuf a.s berkata) Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Surah Yusuf [12] : 53

Ini bermaksud nafsu itu adalah rahmat dan nikmat kepada manusia, tetapi dorongan hati yang kuat untuk melakukan kemaksiatanlah antara punca kejahatan dan ia dipanggil hawa nafsu. Apa yang paling penting adalah, manusia perlu mengenal dan memahami perbezaan nafsu dan hawa nafsu dan bukan memeranginya, tetapi mengendalikannya kerana ia sebahagian dari fitrah manusia. Bagaimana mungkin kita memerangi fitrah Allah yang Maha Pencipta segala sesuatu?
Ciptaan Allah yang Maha Agung adalah sempurna dan tiada kekurangan sebesar zarah sekalipun; mahupun yang lebih kecil dari itu. Setelah menciptakan, Dia tidak pula membiarkan seperti di dalam ayat di bawah; perhatikan ayat [7]-[8],

Firman Allah swt yang bermaksud :

1. Demi matahari dan cahayanya di pagi hari, 

2. dan bulan apabila mengiringinya, 

3. dan siang apabila menampakkannya, 

4. dan malam apabila menutupinya (gelap-gelita) 

5. dan langit serta pembinaannya, 

6. dan bumi serta penghamparannya, 

7. dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), 

8. maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.”
Surah Asy-Syams [91] : 1-8

Oleh kerana manusia diberikan nafsu, maka diilhamkan kepada manusia jalan kefasikan dan ketakwaan. Maksudnya dalam tafsir Ibn Katsir adalah ‘diberi kefahaman kepada manusia mengenai jalan kebaikan dan keburukan.’ Jadi, manusialah yang memilih mahu berbuat kebaikan atau keburukan berdasarkan tahap pengendalian nafsunya.
Sumpah Allah yang Maha Agung dalam ayat di atas dimulakan dengan penciptaan yang lebih besar dari penciptaan manusia, iaitu penciptaan alam semesta serta penciptaan langit dan bumi serta memberi peringatan kepada manusia bahawa segala sesuatu adalah ciptaan Allah yang Maha Agung termasuk jalan kefasikan dan ketakwaan. (Rujukan : Rahsia Sumpah Allah [Ibnu Qayyim Al-Jauziyah]. Sila perhatikan akhir Surah Asy-Syams bagaimana orang yang cenderung mengikut hawa nafsu mengakhiri hidupnya.

3. Dorongan Kerohanian atau Spiritual
Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.”
Surah Al-Baqarah [2] : 265

Manusia dijadikan secara semulajadi agar menyukai pada kebaikan, ketenteraman, rasa kasih sayang, hatta penganiaya, perompak atau orang yang zalim seumpamanya juga mahukan kebaikan, kasih sayang dan suasana yang harmoni. Contohnya seorang pencuri akan berasa marah bila barangannya sendiri dicuri atau peragut juga akan berasa marah jika dia sendiri diragut serta penjajah juga akan berasa marah bila negaranya sendiri dijajah. Ini adalah fitrah manusia yang sentiasa inginkan kebaikan.
Dalam Surah Al-Baqarah [2] : 265 di atas diterangkan, manusia yang membelanjakan hartanya di jalan Allah yang Maha Agung dan benar-benar yakin akan pahala amal perbuatannya itu (Rujukan Ibn Katsir). Dari aspek yang lain, manusia berusaha memenuhkan atau memuaskan keperluan rohaninya dengan cara berbuat perkara-perkara kebaikan.
Persoalannya, jika manusia secara semulajadi inginkan kebaikan, mengapa ramai manusia yang berbuat kejahatan? Apakah yang memperdayakan manusia sehingga derhaka kepada Allah yang Maha Tinggi?
Jawapan : Ini kerana manusia [1] terpedaya dengan hasutan syaitan yang memang membenci dan bersumpah untuk menyesatkan semua manusia. Manusia juga gagal melawan hasutan syaitan kerana [2] kegagalan mengendali hawa nafsunya dan kegagalan mengendali hawa nafsu pula adalah kerana; [3] tiada ilmu (Rujuk artikel Tipu Daya Iblis Zaman Ini danTujuan Menuntut Ilmu).

Antara Sikap dan Perangai Manusia

1. Tergesa-gesa

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perIihatkan kepadamu tanda-tanda azabKu. Maka janganlah kamu minta kepadaKu mendatangkannya dengan segera.”
Surah Al-Anbiyaa' [21] : 37

Manusia bersifat tergesa-gesa dalam pelbagai urusan harian termasuk juga dalam hal keagamaan. Antara contoh; dalam berdoa, solat dan lain-lain.

2. Berselisih Pendapat

Allah yang Maha Agung berfirman dalam;

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Manusia dahulunya hanyalah satu umat, kemudian mereka berselisih. Kalau tidaklah kerana suatu ketetapan yang telah ada dari Tuhanmu dahulu, pastilah telah diberi keputusan di antara mereka, tentang apa yang mereka perselisihkan itu.”
(Surah 10, Yunus : 19)

Berselisih pendapat dan kepelbagaian pendapat mempunyai maksud yang berbeza. Berselisih pendapat bermaksud bersengketa atau tiada muafakat serta berpecah belah. Manakala kepelbagaian pendapat bermaksud berbagai-bagai atau bermacam cara. Contohnya, kepelbagaian pendapat para sahabat radiyallahu anh dan para ulama mazhab terdahulu adalah berdasarkan pemahaman mereka dalam al Quran dan Hadis dan semua pendapat mereka adalah benar.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan.”
Surah Al Baqarah [2] : 213

Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri......
Tetapi, bukankah Allah yang Maha Agung yang menciptakan jalan kefasikan dan ketakwaan? Mengapakah Allah yang Maha Agung mencipta perselisihan pada hambaNya? Perlu diingat segala perkara yang manusia gelar sebagai kebaikan mahupun keburukan adalah datang dari Allah yang Maha Agung, kebaikan adalah rahmatNya, keburukan juga rahmatNya sebagai ujian pada manusia, seperti dalam,

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikanNya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberianNya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukanNya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu,
dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (iaitu orang yang bersepakat membuat hukum sendiri dan meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah).”
Surah Al-Maa'idah [5] : 48-49

Ayat di atas juga adalah satu perintah agar tetap berpegang pada al Quran dan as Sunnah dan tidak membuat keputusan berdasarkan logik yang terdorong oleh hawa nafsu semata-mata terutama mengenai prinsip-prinsip Islam termasuk dari segi struktur pemerintahan, perundangan, pendidikan, sistem kemasyarakatan, ekonomi dan kerohanian. Kecacatan salah satu dari sistem tersebut bermakna keruntuhan tamadun atau khilafah Islam.
Ini bermakna, salah satu cara asas dan umum bagi mewujudkan kembali khilafah Islam dan menyatukan umat Islam adalah dengan kembali kepada al Quran dan as Sunnah dengan sebenar-benar pemahaman (pemahaman sahabat r.a, tabiin dan tabiut tabiin), bukan pemahaman sendiri dan logik akal semata-mata, malah agama tidak didasari dengan logik sepenuhnya kerana akal manusia terbatas.

3. Zalim dan Bodoh

Firman Allah swt yang bermaksud :

72. “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.”
(Surah 33, Al Ahzab  : 72)

Amanat seperti ayat di atas mengikut Tafsir Ibnu ‘Abbas r.a bermaksud ketaatan atau perintah dan larangan. Sebelum ditawarkan kepada Nabi Adam a.s, ditawarkan kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi ditolak kerana takut melanggar perintah Allah yang Maha Agung. Setelah itu Allah yang Maha Agung menawarkan kepada Nabi Adam a.s dan diterima oleh Nabi Adam a.s. FirmanNya kepada Nabi Adam a.s,‘Jika engkau berbuat baik, engkau diberi balasan, jika berbuat buruk, engkau akan disiksa.’ (Rujukan tafsir Ibn Katsir).

Maksud manusia menjadi zalim dan bodoh kerana setelah tahu wujudnya syurga dan neraka, mereka tetap mahu mencari jalan menuju ke neraka dan setelah nampak kebenaran mereka memilih kesesatan. Mohon semoga Allah yang Maha Penyayang melindungi kita dari azab api neraka. Hanya kepada Allah yang Maha Penyayang kita mohon pertolongan.

4. Mengeluh dan Kikir (Kedekut, Bakhil atau terlalu Berkira-kira)

Firman Allah swt yang bermaksud :

19. “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir.”
(Surah 70, Al-Ma´aarij : 19)

Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Seburuk-buruk perangai yang ada pada seseorang ialah sifat bakhil lagi gelisah dan sifat pengecut lagi pasif.”
(Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud, dinukil dari tafsir Al-Munir).

Sebenarnya terlalu banyak untuk diterangkan mengenai sikap dan perangai manusia serta sifatnya seperti lemah, lalai, dengki, berbantah-bantah dan sebagainya. Manakala sikap dan perangai manusia yang baik adalah lawan pada keburukannya.

KESIMPULAN

Penutup

Apa yang paling utama adalah bagaimana mengatasi sifat-sifat buruk manusia agar dapat seiring dengan apa yang Allah yang Maha Agung perintahkan kepada manusia. Berikut adalah sepuluh cara melalui al Quran bagaimana merawat sikap dan tabiat buruk manusia.

Rawatan 1 dan 2 : Mengerjakan solat dan tetap berterusan mengerjakannya.

Firman Allah swt yang bermaksud :

22. ..... “orang-orang yang mengerjakan solat,
23. yang mereka itu tetap mengerjakan salatnya,”
Surah Al-Ma´aarij [70] :

Rawatan 3 : Menunaikan zakat dan bersedekah.

Firman Allah swt yang bermaksud :

24. “dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu,
25. bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta),”
Surah Al-Ma´aarij [70] :

Rawatan 4 : Mengakui adanya hari pembalasan dan setiap amalan akan dibalas.

Firman Allah swt yang bermaksud :

26. “dan orang-orang yang mempercayai hari pembalasan,”
Surah Al-Ma´aarij [70] :

Rawatan 5 : Takut pada azab Allah yang Maha Agung sebagai penghalang pada perbuatan maksiat.

Firman Allah swt yang bermaksud :

27. “dan orang-orang yang takut terhadap azab Tuhannya.

28. Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka tidak dapat orang merasa aman (dari kedatangannya).”
Surah Al-Ma´aarij [70] :

Rawatan 6 : Berakhlak mulia dan menjauhi segala perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah swt yang bermaksud :

29. “Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya,

30. kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak-budak yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

31. Barangsiapa mencari yang di sebalik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.”
Surah Al-Ma´aarij [70] :

Rawatan 7 dan 8 : Menunaikan amanah yang diberikan dan menepati janji yang dibuat.

Firman Allah swt yang bermaksud :

32. “Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.”
Surah Al-Ma´aarij [70] :

Rawatan 9 : Menjadi saksi yang benar, iaitu tidak menyembunyikan sebarang kebenaran jika diminta menjadi saksi oleh hakim tanpa sentimen pilih kasih. Contohnya, walaupun memberi keterangan kepada ahli keluarga sendiri atau siapa sahaja tidak kira pangkat atau keturunan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

33. “Dan orang-orang yang memberikan kesaksiannya.”
Surah Al-Ma´aarij [70] :

Rawatan 10 : Memelihara solat dengan sempurna iaitu, tepat pada waktunya, tidak melengah-lengahkan serta memahami dan mengetahui cara bersolat dengan betul dan bukan mengikut-ikut atau agak-agak sahaja. Buku fardhu ain tentang solat begitu banyak di Malaysia, bolehlah dibeli sekurang-kurangnya satu setiap rumah.

Firman Allah swt yang bermaksud :

34. “Dan orang-orang yang memelihara solatnya.”
Surah Al-Ma´aarij [70] :
(Rujukan : Tafsir Al-Munir)

Bersyukur kita kepada Allah yang Maha Agung yang telah menciptakan manusia dan menyempurnakannya. Janganlah kita melanggar fitrah yang telah ditetapkan kerana perlanggaran itu boleh membawa kemudaratan yang besar pada manusia seperti yang terjadi pada umat Islam kini.
Semoga Allah yang Maha Agung menyatukan umat Nabi Muhammad saw dan segala puji-pujian bagi Allah yang Maha Agung;

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.
Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepadaNya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Surah Al-Hasyr [59] : 23-24

Rujukan : Terjemahan al Quran dan Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu ‘Abbas r.a, Tafsir Al-Munir [Dr. Wahbah al-Zuhaily].
Al Quran dan Psikologi [Prof. Dr. Muhammad Usman Najati], Kisah Para Nabi [Ibnu Katsir], Psikologi Agama (Edisi 2008) [Prof. Dr. H. Jalaluddin], Psikologi Rasulullah saw [Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari], Hormon [Dr. Mohd. Hamim Rajikin], Deria [Francesca Baines], Adab Seorang Muslim dengan Masyarakat [Dr. Sholeh Fauzan].