Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Memaparkan catatan dengan label KEZALIMAN MANUSIA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KEZALIMAN MANUSIA. Papar semua catatan

Sabtu, 30 Disember 2017

S 46 : KEZALIMAN DAN KESOMBONGAN

Rasulullah -shallallaahu ‘alaihi wa sallam- bersabda:

اللهُمَّ، مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِيْ شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ، فَاشْقُقْ عَلَيْهِ، وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِيْ شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ، فَارْفُقْ بِهِ

“Yaa Allah, barangsiapa yang berkuasa atas umatku kemudian menyusahkan mereka; maka susahkanlah dia, dan barangsiapa yang berkuasa atas umatku kemudian bersikap baik kepada mereka; maka berilah dia kebaikan.”
HR. Muslim (no. 1828).

Imam Al-Munawi -rahimahullaah- (wafat th. 1021 H) berkata:

“Ini adalah doa yang mustajab (diijabahi oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA), kerana kebenarannya tidak diragukan oleh orang yang berakal. Tidaklah anda lihat seorang yang memiliki kekuasaan kemudian berbuat kasar, zalim, memperlakukan hamba-hamba ALLAH dengan sikap keras dan kesombongan; melainkan (ALLAH SUBHANAHU WA TAALA jadikan) akhir perkaranya adalah kebinasaan dan terbaliknya keadaan. Kalaulah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tidak menghukumnya di dunia dengan hal itu; maka akan pendek umurnya dan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA segerakan untuk menuju tempat paling buruk iaitu Neraka Saqar.

Dan ini sebagaimana anda lihat adalah:
- larangan yang sangat keras dari menyusahkan manusia, dan
- pendorong terbesar untuk berbuat baik kepada mereka.

Dan banyak sekali ayat-ayat dan hadits-hadits tentang masalah ini.
Peringatan: Dikatakan dalam “Al-Adzkaar”: Lahiriyah hadits ini menunjukkan bolehnya mendoakan keburukan atas orang-orang zalim dan yang semisalnya. Akan tetapi Al-Ghazali mengisyaratkan tentang keharamannya dan menjadikannya semakna dengan laknat. Sekian.
Al-Hafizh berkata: Lebih bagus kalau perkataan Al-Ghazali dibawa kepada maksud: yang lebih utama (untuk tidak mendoakan) kerana hadits-hadits menunjukkan akan bolehnya.”
[“Faidhul Qadiir Syarh Al-Jaami’ Ash-Shaghiir” (II/394- cet. Daarul Hadiits)]

-diterjemahkan secara ringkas oleh: Ahmad Hendrix-

Ahad, 4 November 2012

J 68 Malangnya anak Rohingya

TADI jam 3.00 petang seorang budak lelaki berumur 12 tahun datang menemui saya meminta sedekah. Kerana saya lama berbual dengan budak lelaki ini, abangnya yang berusia 14 tahun datang pula menemui saya. Mereka berdua berjalan ke mana-mana saja untuk meminta sedekah, untuk meneruskan hidup.

Saya kutip semula apa yang diceritakannya tadi. Ibu bapanya adalah pelarian Myanmar (Rohingya) muslim. Pelarian Rohingya ini diterima oleh kerajaan Melaysia sebagai pelarian politik dan disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). UNHCR adalah badan dalam PBB yang mengesahkan status pelarian ini. Pelarian Rohingya ini diberi surat khas oleh UNHCR. Dengan surat itu, mereka tidak akan diusir keluar dari negara ini.

Diceritakan, budak berdua tadi ada dua lagi adiknya bawah 10 tahun. Tinggal dengan neneknya, orang Rohingya juga. Si abang mengaku tidak bersekolah sewaktu ayahnya masih hidup. Adik-adiknya juga tidak sekolah. Jadilah mereka buta huruf dan jahil.

Mengapa tidak sekolah? Jawab mereka ialah pentadbiran sekolah tidak menerimanya bersekolah kerana ibu bapanya pelarian sekalipun ada surat UNHCR. Anak-anak ini mengaku ada surat sijil lahir kerana dilahirkan di Malaysia.
.
Ditanya mengenai kad pengenalan atau Mykad. Jawabnya ialah dia sudah membuatnya di Pejabat Pendaftaran tetapi pegawai tidak membenarkan mengambilnya kerana ayah dan ibunya orang pelarian. Kerana kejahilannya, saya yakin dia polos, jadi jawapannya benar seperti yang diberitahu oleh pihak sekolah dan Pejabat Pendaftaran.

Orang asing yang ada surat pengesahan seperti Pemastautin Tetap (PR) atau UNHCR, mereka boleh meneruskan kehidupan di Malaysia secara sah dan dijaga hak-haknya mengikut undang-undang. Siapa bilang anak pelarian UNHCR tidak boleh sekolah? Untuk persekolahan anak-anak, mereka wajib berurusan dengan Jabatan Pelajaran Negeri, yang mungkin saja JPN perlu pengesahan daripada Kementerian Luar Negeri atau Kementerian Dalam Negeri. Jika itu syarat-syaratnya, maka beritahu dengan terang supaya anak-anak ini tidak membesar tanpa pengetahuan dan menjadi beban masyaarakat sepanjang hidup kerana buta huruf dan jahil.

Saya harap remaja Rohingya tadi tersalah jawab dengan mengatakan pegawai Pendaftaran Negara tidak membenarkan dia mengambil Mykadnya disebabkan anak pelarian UNHCR. Kalau permohonan sudah diproses, tidak ada sebab sampai dua tahun Mykad tidak diberikan. Sama ada dia bertaraf PR atau warga negara, dia wajib memiliki Mykad.

Tanpa Mykad dan buta huruf, akhirnya mereka dan yang senasib dengannya akan menjadi beban negara. Kerana terdesak, mereka akan mengganggu kehidupan kita warga biasa dengan meminta sedekah. Lebih memburukkan keadaan, mereka akan mengenakan kupiah menggambarkan anak-anak muslim, tetapi pakaiannya berbau busuk dan kotor sebagai gambaran hidup yang tidak terurus.

Sudah 14 tahun baru belajar ngaji Iqra! Mereka akan menjadi seperti ‘Tarzan’ datang dari hutan Afrika ke kota London! Sejak tahun 80-an saya sudah didatangi anak-anak Rohingya ini, dan sekarang masih ada warisnya. Tentu di luar pengetahuan saya, ada banyak lagi anak-anak malang seperti ini. Kalau ada yang terdesak, mungkin saja ada yang akan menjadi penjenayah.

Salahnya bermula dengan kita yang tidak memberi tunjuk jalan sebenar untuk persekolahannya dan (jika betul) membekukan Mykadnya dengan ada muslihat lain, mungkin wang rasuah!

Jadi begitulah, kalau kita teliti dalam-dalam. Apa yang kita perhatikan, sebenarnya mempunyai kaitan dan cerita yang panjang. Seperti air batu di tengah lautan, hanya 20 peratus yang kelihatan, bakinya yang besar ada tersembunyi dengan gagah di dalam laut. Kapal sehebat Titanicpun tenggelam kerana melanggarnya. Anak-anak Rohingya dan yang senasibnya umpama 20 peratus air batu yang muncul. Masalah mereka yang merayau-rayau meminta sedekah adalah 80 peratus yang tersembunyi, dan menyebabkan negara menanggung beban. Beban negara sebenarnya ditanggung oleh warganya. Kita adalah warganegara Malaysia pembayar cukai!


Zalimkah kita ???? 
Janganlah kita menjadi insan yang zalim di bumi kepunyaan Allah SWT ini. Tak mampu membantu dari segi kewangan dan harta benda, mohonlah kita kepada Allah SWT(berdoalah) semoga semua Umat Islam selamat dan tidak dizalimi. In Shaa Allah. Sesungguhnya semua muslim adalah bersaudara. Bantulah saudara-saudara kita.


Selasa, 16 Oktober 2012

I 145 TIGA Ciri mereka yang menzalimi diri sendiri

1- Mengumpul apa yang tidak berguna untuk dirinya sendiri.

2- Bertambah-tambah dosanya sehingga  membinasakan dirinya sendiri.

3- Meninggalkan amal soleh yang dapat menyelamatkan dirinya.


Kitab Tanbihul Ghafilin. Jilid 1 & 2. M/S : 955.


Ahad, 5 Ogos 2012

F 45 BILAKAH KEMENANGAN UNTUK ISLAM AKAN TIBA?

Penindasan, pencabulan dan pembunuhan umat Islam hari ini berlaku di seluruh dunia. Beberapa tahun sebelum ini kezaliman ke atas umat Islam Moro di Asia Tenggara, muslimin Kashmir di India, umat Islam Bosnia-Herzegovina di Eropah, umat Islam di Iraq dan peperangan yang sehingga kini mengancam umat Islam di Gaza, Palestin.

Berita penguasaan dan penganiayaan terhadap umat Islam dunia berdengung dari semasa ke semasa. Tidaklah menjadi suatu keanehan mengapa umat Islam sentiasa ditindas dan diperlakukan sewenang-wenangnya oleh musuh? Apakah umat Islam hanya layak menjadi bahan permainan musuh-musuh Islam tanpa berupaya bangkit mempertahankan diri? Kehinaankah milik umat Islam sepanjang zaman?

Mukmin yang sejati

Allah S.W.T telah menukilkan di dalam al-Quran bahawa umat Islam merupakan golongan teratas dan terbaik di kalangan manusia seluruhnya.

Firman Allah Taala yang bermaksud :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah” 
(Ali-Imran : 110)

Alangkah tinggi dan mulianya kedudukan umat Islam disisi Allah S.W.T. Namun hari ini di manakah pengiktirafan daripada Penguasa alam ini? Di manakah kemuliaan dan ketinggian darjat umat Islam di tengah lautan umat manusia kini? Apakah pernyataan al-Quran ini hanya tinggal satu pernyataan yang tidak berjejak? Sesungguhnya Maha Suci Allah S.W.T daripada menyatakan sesuatu yang dusta. Maha Suci Allah!! Lalu ternyatalah umat Islam pernah menggenggam kemuliaan ini tetapi telah melepaskannya begitu sahaja. Sehingga kini muslimin tercungap kelelahan dalam usaha menggapainya kembali.

Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam mampu meraih kegemilangan yang menyilaukan pandangan dan mengkagumkan pemikiran.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka bekas-bekas sujud”
(Al-Fath : 29)

Dengan itu jelaslah bahawa umat Islam terdahulu begitu berkarisma dan beridentiti. Betapa indah dan tepatnya perbandingan yang Allah S.W.T titipkan untuk renungan. Ibarat sepohon pokok yang berakar tunjang kukuh dan terhunjam jauh ke dalam bumi, pucuk dan dedaunnya menjulang tinggi, begitu rendang dan subur sehingga mengkagumkan para petani. Demikianlah muslimin terdahulu menggerunkan musuh dan menggoncang hati mereka.

Di Manakah Silapnya?

Siapakah yang harus dipersalahkan bila umat Islam begitu lemah dan ketinggalan dalam serba-serbi? Umat Islam di seluruh dunia menjadi mustad’afin dan mengalami krisis yang berbagai. Umat Islam kehilangan taring bila kuasa politik jatuh ke tangan sekularis. Kemalapan keilmuan dan pembekuan daya fikir menjadi lambang kemunduran akademik serta intelek Islam dan natijahnya kita terpaksa akur kepada cendekiawan kuffar. Ketamadunan umat Islam kian jatuh bila dibandingkan dengan kecanggihan dan kemajuan umat lain. Di manakah silapnya sehingga umat Islam demikian hina?

Sedangkan jika dikaji dari segi fizikal, umat Islam semakin ramai. Negara-negara umat Islam merupakan negara yang kaya dengan barangan dagangan utama dunia seperti petroleum dan bahan galian. Negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Libya dan lain-lain merupakan pembekal minyak dunia. Tetapi mengapa umat Islam masih boleh diperkotak-katikkan?

Firman Allah yang bermaksud :

“Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”
(Al-Anfal : 63).

Ternyata aspek-aspek material dan fizikal semata-mata tidak memadai untuk umat Islam bangkit dan tegak kembali. Malah andainya kekayaan itu tidak diiringi dengan iman dan taqwa kepada Allah S.W.T ia akan mendatangkan malapetaka kepada umat Islam sebagaimana yang berlaku pada hari ini. Kemajuan material bukan syarat utama mencapai kejayaan.

Sejarah peperangan Badar yang mahsyur itu telah memaparkan kebenaran yang nyata. Bilangan umat Islam yang sedikit serta tidak mempunyai senjata yang lengkap telah berjaya mengalahkan tentera Quraisy yang jauh lebih ramai dan bersenjata lengkap. Afghanistan sebuah negara yang miskin dan dhaif mampu mengalahkan tentera Rusia sehingga negara itu jatuh muflis akhirnya. Dari manakah kekuatan serta kehebatan yang diperolehi kalau tidak dengan pertolongan Allah S.W.T? Dan adakah pertolongan Allah S.W.T akan datang tanpanya iman, takwa serta tawakal kepadanya?

Allah S.W.T telah menggariskan beberapa prasyarat untuk mencapai pertolongan dan kejayaan di sisiNya.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya : Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah! Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”
(Al-Baqarah : 214)

Beberapa kesilapan

Janji-janji Allah S.W.T tentang kemenangan umat Islam adalah benar. Dan cita-cita ummah untuk bangkit kembali bukanlah angan-angan yang terawang-awangan. Cuma yang perlu disedari seterusnya diperbaiki ialah beberapa kesilapan umat Islam yang menghalang kejayaan.

Umat Islam kini sedang mengalami krisis keimanan dan keyakinan yang kian parah. Berapa ramai umat Islam yang kehilangan ciri mukmin muslim yang sebenar. Betapa ramainya muslimin yang berpenyakit wahan (cintakan dunia dan bencikan mati).

Seterusnya umat Islam kini membiarkan pemimpin yang zalim menguasai mereka. Mereka seolah-olah merestui dan meredhai kezaliman dan kekejaman pemimpin tersebut, serta tidak menyedari hal tersebut membawa kecelakaan kepada mereka. Apakah umat Islam melupai amaran Allah S.W.T tentang perkara ini.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukarkan nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?”
(Ibrahim : 28)

Hampir keseluruhan umat Islam kini bergantung kepada kaum kuffar dalam ekonomi dan politik. Pemimpin-pemimpin umat Islam telah mengangkat orang-orang kafir sebagai tempat pergantungan. Umpamanya apa yang telah berlaku di dalam Perang Teluk. Betapa dungunya tindakan memanggil orang-orang kafir untuk mendapatkan perlindungan. Bukankah Allah S.W.T telah melarang muslimin daripada menjadikan musuh sebagai teman apalagi untuk diminta bantuan?

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhku dan musuhmu menjadi teman-teman setia..”
(Mumtahanah : 1)

Penutup

Jelasnya umat Islam kini menuju kejatuhan disebabkan kesilapan-kesilapan mereka sendiri. Kesilapan yang tidak dilakukan oleh umat terdahulu yang telah menaikkan maruah umat Islam di mata dunia dan mencapai kemuliaan di akhirat. Demikianlah apa yang telah dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran bahawa satu kaum itu binasa disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan Allah tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. Maka mereka ditimpa oleh (akibat) kejahatan dan diliputi oleh azab yang selalu mereka perolokkan.”
(An-Nahl : 33/34)

Wahai pemuda-pemudi Islam! Ayuhlah! Bangkitlah! Perjuangan ini mesti diteruskan, kemenangan Islam adalah milik kita, hak kita sebagai umat Islam..umat Nabi Muhammad S.A.W. Kitalah golongan ansorullah yang akan mempertahankan kemuliaan dan kesucian Islam ini. Yakinlah, kemenangan Islam akan tiba suatu hari nanti.

(Risalah HEWI – Julai 1992)