Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Memaparkan catatan dengan label ALLAH SWT - ASMAUL HUSNA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ALLAH SWT - ASMAUL HUSNA. Papar semua catatan

Sabtu, 17 September 2022

V 192: ASMAUL HUSNA ( 99. AS SOBUR)

 99. AS SOBUR ( الصبور )


ALLAH Yaa Sobur Maha Sabar dalam segala tindakanNYA. Yaa Sobur tidak tergesa-gesa dan tidak terburu-buru dalam mengambil apa jua tindakan terhadap makhlukNYA hatta manusia yang melakukan dosa juga diberi peluang oleh ALLAH untuk insaf dan bertaubat, tidak dihukum serta merta. Segala yang ALLAH Yaa Sobur lakukan tepat pada waktunya dengan cara yang sebaiknya dan sepatutnya.


Menghayati sifat Yaa Sobur akan melahirkan manusia yang sabar dalam mengharungi kehidupan, tidak tergesa-gesa dan cermat dalam mengambil apa jua tindakan. Orang yang bersifat dengan Al Sobur akan mampu mengawal hawa nafsu. Pahala yang besar dikurniakan kepada orang yang sabar menghadapi hawa nafsu dan ketika menghadapi musibah seperti kemiskinan, kemalangan dan penyakit. Kesabaran yang hakiki akan melahirkan rasa nikmat mengharungi kesusahan, penderitaan, musibah dan kesulitan kerana sedar ianya semua datang dari ALLAH sebagai ujian menguji kesabaran seseorang hambaNYA.

V 191: ASMAUL HUSNA ( 98. AL RASHID)

  AL RASHID ( الرشيد )

ALLAH Yaa Rashid Yang Maha Pintar dan Maha Cerdas, pandai dan cerdik dalam memberi petunjuk kepada hambaNYA searah kebaikan dan dengan kepintaranNYA Yaa Rashid menyelesaikan segala permasalahan makhlukNYA. Alam, makhluk, manusia dan peristiwa di dunia ini memperkenalkan kepintaran ALLAH dalam mengurus dan mentadbir. Yaa Rashid merupakan guru terhebat dan tertinggi yang mengajar kita menghadapi kehidupan ini mengikut kehendakNYA dan seterusNYA mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Menghayati sifat Yaa Rashid melahirkan manusia yang hatinya penuh tawakkal kepada ALLAH. Memulakan sesuatu pekerjaan dengan memohon perlindungan dari ALLAH, kemudian melakukannya dengan tekun. Hasil daripada kurniaan Yaa Rashid akan melahirkan hati yang cintakan keimanan dan ketaatan dan benci kepada kekafiran dan kederhakaan.

BICARA HATI 

Allahumma Yaa Rashid Yang Maha Pintar dan Cerdas,  setiap ciptaanMu dan peristiwa dalam hidup kami memaparkan kepintaran dan kecerdasanMu. KepintaranMu banyak yang terbalik dari apa yang kami, acap kali dengan akal kami yang cetek dan jahil ini kami tersilap faham dan tersilap tafsir akan peristiwa-peristiwa. Sungguh tanpa suluhan cahaya MakrifahMu Yaa Nuur sukar bagi kami memahami kepintaranMu yang penuh hikmah.

 Kehidupan dan kematian yang berlaku setiap hari, itulah caraMu Yaa Allah Yaa Rashid menyeimbang dunia ini. Seandainya kadar kelahiran terus berlaku dan kematian pula tidak wujud, akan penuhlah bumi ini dan tidaklah  dapat bumi ini menampung semua makhluk-makhluk. Ketika ada kawasan tanah terbiar, Engkau Yaa Rashid tumbuhkan pokok-pokok yang kami katakan semak, hakikatnya pokok-pokok itu amat diperlukan untuk menghasilkan oksigen kepada kehidupan. Keseimbangan alam ini dipelihara oleh Yaa Hafiz Yaa Muhaimin dengan kehijauan pokok-pokok.


Atas KepintaranMu Yaa Rashid orang-orang tua kembali menjadi seperti kanak-kanak, semua ini Engkau jadikan agar  anak-anak dapat berbakti, membelai dan membalas budi ibubapa mereka sepertimana ibubapa mereka membelai mereka semasa kecil. Dengan ini Engkau  Yaa Allah Yaa Rashid Yaa Fattah Yaa Razzaq bukakan pintu-pintu syurga buat ibubapa dan anak-anaknya.

Ketika mana manusia lalai dengan kerja dakwah, mengajak kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran, Engkau Yaa Rashid mencipta gejala sosial agar masyarakat bekerjasama membenterasnya, dengan itu dapatlah kami melakukan kerja-kerja dakwah, ini semua tanda kasihMu Yaa Allah Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Fattah Yaa Razzaq membuka pintu syurga buat kami.

Engkau Yaa Rashid menyeimbangkan kelapangan dan kesempitan dalam hidup manusia. Engkau Yaa Basith yang Maha Melapangkan, melapangkan rezeki wang ringgit supaya manusia boleh berbakti, dan ketika manusia leka dan lalai dengan wang ringgit itu, Engkau Yaa Qobidh hidangkan kesempitan agar manusia kembali insaf atas kelalaian itu dan redha atas teguranMu dan terus datang mendekatiMu memohon dan mengharap keampunanMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Tawwab dan setelah diampuni olehMu, dilimpah kelapangan lagi oleh Yaa Basith, dengan itu hati menjadi bersyukur. Itulah kepintaranMu Yaa Rashid dalam mendidik hambaMu dalam hidup agar sentiasa dalam redhaMu.

Apa yang kami sangkakan bala dan musibah itu sebenarnya kasih sayangMu Yaa Rahman Yaa Rahim kepada kami agar kami dapat berjalan atas jalan SyurgaMu dengan caraMu Yaa Rashid yang maha pintar dan cerdas. Yaa Allah Yaa Qohhar Yaa Rashid tundukkanku kepada kepintaranMu Yaa Rashid dan bimbingku Yaa Haadi agar dapat menyelesai masalah ummah hari dengan cahaya kepintaranMu Yaa Nuur Yaa Rashid dalam meniti jalan kehambaan dan kekhalifahan.

Ahad, 11 September 2022

V190 : ASMAUL HUSNA (97. SL WARITS)

 AL WARITS ( الوارث )

ALLAH Yaa Warits Yang Maha Mewarisi, mewarisi segala apa yang ada di alam semesta ini kerana DIAlah yang memiliki dan semuanya akan kembali kepadaNYA. DIA Yaa Warits berhak mewariskan apa sahaja kepada siapa sahaja. ALLAH Yaa Warits mewariskan syurga kepada hambaNYA yang bertakwa dan sebaliknya DIA mewariskan hukuman kepada hambaNYA yang melakukan kejahatan. Yaa Warits mewariskan dunia ini untuk hamba-hambaNya yang beriman yang diberi daya keimanan dan kejujuran YA MUKMIN untuk diurus dan ditadbir dengan daya Yaa Waali Yaa Wakil dengan penuh kebijaksanaan Yaa ‘Alim, Yaa Hakim, Yaa Rashid yang berasaskan Al Quran dan hadis, bersama kreativiti Yaa Khaliq, Yaa Baari', Yaa Musowwir.

Penghayatan kepada sifat Yaa Warits akan melahirkan manusia yang memikul agenda ALLAH Yaa Baari', memegang amanah warisan khazanah bumi dan langit, tiada sezarahpun agenda peribadi dan keinginan dunia singgah di hatinya, segalanya diletakkan digenggaman, digenggam kuat dengan kekuatan Yaa Aziz, Yaa Qowiy, Yaa Matin, amanah dalam melakukan kebaikan, memberi sedekah dan amal jariah lainnya.

BICARA HATI 

Allahumma Yaa Warits, Engkau Maha Mewarisi. Engkau mewarisi SyurgaMu kepada hamba-hambaMu yang beriman, Engkau mewarisi NerakaMu kepada hamba-hambaMu yang kufur.

Engkau Yaa Warits mewarisi KerajaanMu dan kekuasaanMu di dunia ini kepada hamba-hambaMu yang beriman dan bertakwa untuk diuruskan mengikut hukum hakamMu. Namun ketika hamba-hambaMu mencintai dunia dan tidak mencintaiMu, Engkau Yaa Warits mewarisi KerajaanMu kepada hamba-hambaMu yang kufur dan zalim sebagai hukuman kepada manusia yang tidak beriman kepadaMu.


Yaa Allah Yaa Warits Yaa Mukmin masukkanlah iman dalam jiwa kami agar kami dapat mengabdi diri kepadaMu untuk menerima warisanMU dalam mengurus alam ini.

V189 : ASMAUL HUSNA ( 96. AL BAAQI')

 AL BAAQI’ (الباقي )

ALLAH Yaa Baaqi’ Yang Maha Kekal akan tetap kekal, tidak akan hancur dan musnah. Sebaliknya makhluq ciptaanNYA akan pasti hancur dan musnah satu hari nanti dan bersifat fana’. DIA Yaa Akhir tidak ada pengakhiran.

Menghayati sifat Yaa Baaqi’ akan menjadikan seorang hamba itu insaf tentang kefana’an dan kehancuran diri dan dunia ini yang akan menjadikannya sentiasa ingat akan kematian dan pengakhiran yang akan dihadapinya dan hari-hari pertemuan dengan ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA dan dengan itu akan memberi semangat kepadanya untuk taat kepada perintah ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA dan menjauhi setiap laranganNYA. Menghayati sifat Al Baaqi’ juga akan melahirkan insan yang berusaha bersungguh-sungguh membuat kebaikan dan kebajikan akan dapat memberi manfaat yang berkekalan walaupun selepas kematiannya.

BICARA HATI 

Allahumma Yaa Baaqi’ yang Maha Kekal, hanya Engkau yang kekal, yang lain dariMu akan musnah, hilang dan fana'. Yaa Baaqi, kami semua akan musnah, mati dan meninggalkan segalanya walaupun suami/isteri dan anak-anak yang disayangi, kami akan pergi meninggalkan harta benda dan wang ringgit walau jutaan. Tiada sesuatu yang kekal di dunia ini melainkanMu Yaa Allah Yaa Baaqi’.


Yaa Allah Yaa Baaqi’, hanya cintaMu yang kekal, cinta manusia akan musnah dan hilang. Maka, oleh itu kami memilih untuk mencintaiMu Yaa Baaqi Yaa Wadud. Kami insaf, hati ini dicipta olehMu Yaa Khaliq hanya untuk satu cinta, oleh itu kami memilih cintaMu dan mengeluarkan cinta manusia ke genggaman kami. Cinta manusia tidak kekal, ia seumpama fatamorgana, pada hakikatnya tidak wujud sama sekali, hanya persangkaan dan tipudaya syaitan semata-mata.

Cinta sejati yang kekal abadi adalah cintaMu Yaa Wadud Yaa Baaqi’. Yaa Allah Yaa Baaqi’, hanya Engkau yang kekal, wang ringgit dan hartabenda yang ada pada kami akan musnah dan hilang, ia semua seperti fatamorgana yang tidak pernah wujud, makin dikejar makin hilang. Maka Yaa Allah Yaa Baaqi’ Yaa Wadud, kekalkan cintaMu di hati kami, kekalkan iman kepadaMu di hati kami Yaa Baaqi Yaa Mukmin. Kekalkan kami dalam kebenaranMu Yaa Baaqi’ Yaa Haq. Kekalkan kami dalam kebaikanMu Yaa Baaqi’ Yaa Barr, kekalkan kami dalam perlindunganMu Yaa Baaqi’ Yaa Hafiz Yaa Muhaimin.

Kekalkan kami dalam bimbinganMu, Yaa Baaq’i Yaa Haadi. Kekalkan roh kami dalam mandian cahaya makrifatMu agar setiap saat kami dapat merasai kehadiranMu dalam hidup kami, agar kami kekal dalam ingatan kepadaMu, sesungguhnya setiap kehendak itu adalah kehendakMu Yaa Qodir, setiap peristiwa itu ciptaanMu Yaa Khaliq, setiap yang berlaku itu agendaMu Yaa Baari', setiap sakit itu tanda cintaMu Yaa Wadud. Yaa Qobidh, setiap kesempitan dunia itu adalah untuk kelapangan akhirat kami Yaa Basith. Yaa Allah Yaa Baaqi Yaa Nuur kekalkan kami dalam cahaya MakrifahMu.

Khamis, 10 Februari 2022

V 188 : ASMAUL HUSNA ( 95. AL BADI’ )

 AL BADI’ ( البديع )

 ALLAH Yaa Badi’ Yang Maha Pencipta Keindahan mencipta alam ini penuh dengan keindahan dan kecantikan. Manusia harus merenungi keindahan ciptaan ALLAH dan memuja memuji ALLAH atas kehebatanNYA.

 Menghayati sifat Al Badi’ akan melahirkan insan yang suka keindahan dan kekemasan. DIA akan menjadi keindahan jiwa sambil menjaga keindahan sekelilingNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Badi', sesungguhnya Engkaulah yang Maha Cantik lagi mencipta kecantikan. Seluruh kecantikan di alam buana ini adalah kecantikan ciptaanMu Yaa Badi'. Engkau juga Yaa Badi' mengurniakan kecantikan akhlak kepada hamba-hambaMu, kecantikan budi bicara, kecantikan ibadah dan kecantikan jiwa seorang hamba sejati.

 Yaa Allah Yaa Majid Yaa Badi', kurniakan kami budi pekerti yang cantik, Yaa Baari' Yaa Badi', aturkan lidah kami dengan tuturkata yang cantik dan hasil kerja yang cantik. Sesungguhnya kecantikan budi seorang hambaMu kepadaMu Yaa Allah Yaa Badi' yang mencipta kami dengan penuh kecantikan adalah sujud di pagi hari sambil memujiMu dengan nama-namaMu, sentiasa memohon keampunan dan taubat kepadaMu Yaa Ghaffar Yaa Tawwab.

 Kecantikan budi kami kepada RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM JunjunganMu adalah berakhlaknya kami dengan akhlak baginda yang cantik, hidup dengan keindahan hidup seorang abid di pagi hari, mujahid di siang hari. Yaa Allah Yaa Baaqi Yaa Badi', sebagaimana cantiknya alam ciptaanMu ini, kekalkan kami dalam kecantikan akhlak terhadapMu, terhadap RasulMu, terhadap kedua ibubapa kami, suami/isteri kami, anak-anak kami, sahabat-sahabat kami, masyarakat dan pemimpin kami.

V 187 : ASMAUL HUSNA ( 94. AL HAADI )

 AL HAADI ( الهادئ )

 ALLAH Yaa Haadi Yang Maha Memberi Petunjuk memberi petunjuk dan hidayah kepada hamba-hamba pilihanNYA. DIA sahaja yang mampu memberi petunjuk, bimbingan dan hidayah kepada jalan yang lurus. Sekiranya Yaa Haadi tidak memberikan hidayah, tiada siapa yang mampu memberiNYA, maka akan sesatlah seseorang yang tidak dibimbing ALLAH Yaa Haadi.

 Menghayati sifat Al Haadi akan melahirkan seseorang hamba yang bergantung penuh dengan hidayah dan bimbingan ALLAH, merelakan dirinya dipimpin ALLAH Yaa Haadi walau jalan itu mendapat cemuhan dan fitnah daripada manusia. Penghayatan kepada sifat Al Haadi akan menjadikan seseorang itu ingin mengajak manusia lain kepada mendekatkan diri kepada ALLAH sehingga mampu diberi hidayah dan bimbingan daripada ALLAH Yaa Haadi.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Haadi, sesungguhnya Engkau Maha Memberi Petunjuk. Engkau menerangkan dalam Al QuranMu, 'Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk'.

(Al Qashash: ayat 56).

 

Sesungguhnya tanpa petunjukMu Yaa Haadi, kami akan tersasar dari kebenaran, ditipudaya oleh syaitan yang sentiasa datang kepada kami dari depan, belakang, kiri dan kanan. Yaa Allah Yaa Hafiz Yaa Muhaimin, lindungi dan pelihara hati kami dari bisikan syaitan yang sentiasa mengajak kami kepada dosa dan maksiat. Kami sesungguhnya sangat memerlukan pimpinan dan petunjukMu Yaa Allah Yaa Haadi. Jauhkan kami Yaa Haadi dari meletakkan pergantungan kepada manusia dan makhluk dalam membimbing kami, sesungguhnya manusia itu bersifat lemah, jahil lagi dhaif, tiada daya upaya untuk membimbing, diri sendiri pun tak mampu membimbing, apatah lagi orang lain.

 Engkau Yaa Haadi membimbing kami melalui ayat-ayat al QuranMu, maka berilah kami faham ayat-ayat QuranMu agar kami dapat hayati dalam kehidupan kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Guru yang hakiki Yaa ‘Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, kami hambaMu yang jahil. Yaa Haadi, pimpinlah kami di atas jalan baginda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, akhlakkan kami dengan akhlak baginda, sesungguhnya Engkaulah pemilik akhlak mulia dan sifat terpuji, Yaa Majid Yaa Hamid. Yaa Haadi Yaa Haq Yaa Barr Yaa Rahman Yaa Rahim, bimbinglah kami atas jalan hidup Ar Rasul SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, kehidupan yang benar, penuh kebaikan dan kasih sayangMu Yaa Allah.

 Yaa Haadi Yaa Haq Yaa Adl jadikan kami pejuang agamaMu yang terus menyambung perjuangan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bagi menegakkan kebenaran dan keadilan.

V 186 : ASMAUL HUSNA ( 93. AL NUUR )

 AL NUUR ( النور )

 ALLAH Yaa Nuur Yang Maha Bercahaya mampu memberikan cahaya kepada jiwa manusia yang mana jiwa yang mendapat cahaya ALLAH pasti mendapat bimbingan dan cinta ALLAH. ALLAH juga memberikan cahayaNYA kepada kehidupan di bumi dengan memancarkan cahaya Al NuurNYA melalui matahari. DIAlah sumber semua cahaya di seluruh alam semesta ini.

 Menghayati sifat Al Nuur ALLAH akan melahirkan manusia yang mampu menjadi penerang kepada orang lain dalam membantu mereka menunjuk jalan yang benar. Tetapi sesungguhnya cahaya itu adalah cahaya ALLAH Yaa Nuur dan hidayah itu adalah hidayah ALLAH Yaa Haadi. Jiwa yang bercahaya juga akan sentiasa berhati-hati dengan larangan ALLAH dan sentiasa melakukan ketaatan kepadaNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Nuur, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memancar Cahaya, Engkau memancar cahaya ke alam buana melalui matahari untuk kehidupan manusia, tumbuhan dan binatang. Engkau Yaa Nuur juga memancar cahayaMu di dalam hati manusia, dengan cahayaMu itu manusia mengenal kebenaran dan kebatilan, dengan cahayaMu, jelaslah jalan ke syurga dan jalan ke neraka. Dengan cahaya petunjukMu Yaa Nuur Yaa Haadi, hamba-hambaMu beriman dan hidup bersyariat serta dapat rukuk dan sujud kepadaMu.

 

Dengan cahayaMu di hati, nampaklah Nama dan Sifat-sifatMu di sebalik alam ini. Pokok-pokok yang tumbuh segar menceritakan tentangMu Yaa Muhyi, hujan turun menceritakan tentangMu Yaa Razzaq, sakit dan rawatan menceritakan tentangMu Yaa Salam Yaa Fattah. Pertukaran malam dan siang menceritakan tentangMu Yaa Baari' yang mengatur siang dan malam. Kasih sayang antara manusia memperkenalkanMu Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Rauf Yaa Halim.

 Allahumma Yaa Nuur, dayaMu terserlah pada pandangan matahati kami ketika hati  kami dimandikan dengan pancaran cahaya hidayah dan cahaya makrifah. Namun ketika cahayaMu padam, merabalah kami mencariMu Yaa Allah, tersesatlah kami ini sekiranya cahayaMu di hati ini Engkau padamkan. Oleh itu Yaa Allah Yaa Baaqi’ Yaa Nuur, kekalkan cahayaMu dalam hati kami agar kami dapat berjalan menujuMu dalam mencari kasih dan cintaMu Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wadud.

Rabu, 12 Januari 2022

V 185 : ASMAUL HUSNA ( 92. AL NAAFI')

AL NAAFI’  ( النافع )

 ALLAH Yaa Naafi’ Yang Maha Pemberi Manfaat mampu memberikan manfaat kepada hamba-hambaNYA. Setiap manfaat yang diterima oleh setiap manusia datangnya daripada ALLAH Yaa Naafi. DIA mampu memberi manfaat dan mampu menarik kembali manfaat dengan memberikan mudarat.

 Menghayati sifat Al Naafi’ akan melahirkan insan yang sentiasa ingin memberikan manfaat kepada orang lain bagi membantu orang lain dalam menghadapi masalah hidup mereka. Kehadiran mereka akan mengembirakan orang sekeliling kerana mereka mendapat manfaat dengan kehadirannya.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Naafi', sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memberi Manfaat dan kebaikan kepada hamba-hambaMu. Tiada siapa dapat menahan manfaat dariMu walau seluruh manusia membenci dan cuba menghalangnya. Manfaat dariMu untuk Akhirat Engkau peruntukkan untuk orang-orang beriman dan seringkali juga Engkau anugerahkan sedikit mudarat di dunia untuk manfaat di Akhirat agar kami sentiasa ingat kepadaMu dan bersyukur atas kurniaanMu.

Yaa Razzaq Yaa Naafi', jadikan rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami memberi manfaat kepada ummah di dunia ini. Yaa Allah Yaa Muhyi Yaa Naafi', jadikanlah hidup kami ini memberi manfaat kepada ummah. Yaa Allah Yaa Baari' Yaa Naafi', agendakan agendaMu yang bermanfaat bagi kami dunia dan akhirat dan agenda kami sebagai khalifahMu memberi manfaat kepada ummah sekeliling kami. Jauhkan kami dari lidah yang memudaratkan orang lain, perbuatan yang memudaratkan orang lain, lindungi kami Yaa Hafiz Yaa Muhaimin Yaa Nafi'. Janganlah Engkau keluarkan dari kami melainkan kebaikan dan manfaat untuk ummah.

V 184 : ASMAUL HUSNA ( 91. AL DHARR)

AL DHARR ( الضار )

 ALLAH Yaa Dharr Yang Maha Pemberi Derita mampu memberi penderitaan kepada hamba-hambaNYA bagi mengingatkan hambaNYA tentang kesilapan yang dilakukan, memberi hukuman kepada hambaNYA yang memohon taubat kepadaNYA agar memberikan pengajaran kepadaNYA dan sebahagian dari proses penyucian dari dosa yang telah dilakukan. ALLAH Yaa Dharr bukan memberi penderitaan kerana benciNYA DIA kepada hamba-hambaNYA, tetapi lebih kepada hukuman dan pelajaran kepada hambaNYA agar mereka insaf dengan kesalahan yang dilakukanNYA.

 Menghayati ALLAH Yaa Dharr akan melahirkan manusia yang redha dengan penderitaan yang diberikan oleh Yaa Dharr serta mengambil pelajaran daripada penderitaan itu agar tidak lagi melakukan kesilapan pada masa akan datang.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Dharr, sesungguhnya Engkau Maha Memberi Mudarat, tiada siapa makhluk yang boleh memberi mudarat melainkanMu Yaa Dharr. Makhluk sifatnya lemah dan tiada apapun daya upaya dan seluruh daya yang ada pada makhluk adalah daya-dayaMu Yaa Allah. Ketika manusia takut kepada kejahatan manusia dan jin dan tidak takut kepadaMu Yaa Allah Yaa Dharr, Engkau Yaa Hakam memberi hukuman melalui makhlukMu agar manusia kembali beriman kepadaMu Yaa Allah.

Sesungguhnya tiada daya pada bomoh dan jin, daya memberi mudarat hanyalah ada padaMu Allah Yaa Dharr. Api tiada boleh membakar, Engkau Yaa Dharr yang memberi kesan terbakar melalui api. Pisau tiada daya menghiris, Engkau Yaa Dharr yang memberi kesan hirisan melalui pisau. Sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, tidak boleh memberi mudarat kepada manusia, tetapi Engkau Yaa Dharr yang memberi mudarat itu kerana kasih kepada hambaMu.

 Yaa Dharr, masukkan rasa gerun kepadaMu dalam jiwa kami kepada kemudaratan di NerakaMu agar kami taat kepadaMu di dunia ini.

V 183 : ASMAUL HUSNA ( 90. AL MAANI')

AL MAANI’ ( المانع )

 ALLAH Yaa Maani’ Yang Maha Mencegah sentiasa mencegah hamba-hamba pilihanNYA daripada melakukan kemaksiatan kepadaNYA. ALLAH Yaa Maani’ seringkali mencegah dengan cara memberi ujian kesusahan, kesempitan dan kesakitan ketika hambaNYA lalai kepadaNYA.

 Menghayati sifat Yaa Maani’ akan menjadikan kita manusia yang suka mencegah perkara yang mungkar yang berlaku di sekeliling kita dengan cara yang penuh hikmah yang ditunjukkan oleh RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Menghayati sifat Yaa Maani’  juga menjadikan seseorang itu sentiasa bergantung dan berlindung dengan pencegahan ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA dari penyelewengan, kejahatan dan kelalaian.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Maani' Yang Maha Mencegah, Engkau mencegah hambaMu dari dosa dan kemaksiatan dengan mendatangkan peringatan demi peringatan melalui RasulMu, KitabMu dan hadis NabiMu. Engkau juga mencegah kami dari tersasar dari jalan syurga dengan sentiasa menarik kami dengan pelbagai peristiwa yang Engkau Yaa Khaliq ciptakan dan Engkau Yaa Baari' agendakan dan Engkau Yaa Haadi bimbing kami agar kami sentiasa berada di atas jalanMu yang lurus, Yaa Haq.

 Yaa Allah Yaa Maani', Engkau mencegah kami dari leka ketika hidup kami lapang dengan mendatangkan sedikit kesempitan agar dengan kesempitan itu, hati ini ingat kepadaMu. Begitu juga Engkau Yaa Maani' mencegah hambaMu yang memegang jawatan yang tinggi daripada leka dan lalai dengan menjatuhkan mereka seketika agar hati mereka tidak lupa kepadaMu, sesungguhnya Engkaulah Yaa Rafi' yang menaikan manusia ke suatu darjat dan Engkau Yaa Khafidh menjatuhkan manusia kepada darjat yang rendah.

 Allahumma Yaa Maani', Engkau mencegah hambaMu dari azab api neraka dengan membasuh kotoran-kotoran yang melekat pada roh kami dengan sedikit kesakitan dunia dengan penuh kelembutan, kesantunan dan kasihMu Yaa Latif Yaa Halim Yaa Rauf. Allahumma Yaa Maani', kami redha di atas apa jua peristiwa yang Engkau datangkan kepada kami agar kami dicegah dari azab siksa yang sangat dahsyat di akhirat nanti. Yaa Zohir, nampakkan pada pandangan matahati kami yang Engkau sentiasa mencegah kami dari kemurkaanMu.

V 182 : ASMAUL HUSNA ( 89. AL MUGHNI)

AL MUGHNI ( المغنى )

 ALLAH Yaa Mughni Yang Maha Pemberi Kekayaan suka memberi kekayaan kepada hamba-hambaNYA, tetapi kekayaan ALLAH bukan hanya dalam bentuk harta benda, tetapi juga DIA mampu memberi kekayaan jiwa sehingga sesiapa yang dikurniakan kekayaan jiwa, mereka akan menjadi seorang yang redha dan tenang dalam hidupNYA.

Menghayati sifat Yaa Mughni akan melahirkan insan yang suka membahagikan kekayaan yang ALLAH Yaa Mughni berikan kepadaNYA kepada orang lain yang memerlukan. Mereka sama sekali tidak merasakan yang mereka ini kaya dan mempunyai sifat dermawan, kerana menyedari semua datang daripada ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Mughni, sesungguhnya Engkau Maha Memberi Kekayaan, Engkau memberi kekayaan ilmu makrifah kepada sesiapa yang Engkau dekatkan, Engkau Yaa Mughni memberi kekayaan Syurga Akhirat kepada sesiapa yang Engkau sayangi, Engkau Yaa Mughni memberi kekayaan dunia yang hina melimpah ruah kepada sesiapa yang Engkau hinakan.

Yaa Mughni, Engkau memberi rasa kaya dalam jiwa hambaMu yang Engkau cintai sehingga hidupnya setiap saat memberi kepada orang yang memerlukan, tiada disimpan, tiada dikumpul, kekayaanMu hanya lalu seperti lalunya air sungai, memberi manfaat kepada manusia sekeliling.

 Yaa Allah Yaa Mughni, kurniakan kami kekayaan makrifah dan saat indah bertemu denganMu di Akhirat nanti, jauhkan kami dari kekayaan dunia yang melalaikan yang hina dan rendah disisiMu, jadikan setiap sen duit yang lalu melalui diri kami memberi manfaat kepada ummah.

V 181 : ASMAUL HUSNA ( 88. AL GHONIY)

AL GHONIY ( الغنى )

 ALLAH Yaa Ghoniy Yang Maha Kaya memiliki seluruh kekayaan langit dan bumi. Kekayaan yang ada pada orang kaya itu adalah kekayaanNYA. DIA mampu memberi kekayaan kepada sesiapa yang DIA kehendaki dan mengambil kembali kekayaan tersebut. Kekayaan ALLAH tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana yang nampak itu hanyalah terlalu sedikit dari kekayaanNYA yang ada.

 Menghayati sifat ALLAH Yaa Ghoniy akan melahirkan manusia yang sentiasa merasa cukup dengan rezeki dan anugerah ALLAH kepadaNYA yang menyebabkan mereka tidak meminta-minta kepada manusia. Sebahagian hamba ALLAH yang ALLAH lantik sebagai wakil Yaa Ghoniy ketika diberikan kekayaanNYA, mereka akan mengalirkan kekayaan itu kepada mereka yang memerlukan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Ghoniy yang Maha Kaya, sesungguhnya seluruh kekayaan di alam buana ini adalah kekayaanMu, selain dari Mu adalah fakir. Sesungguhnya kekayaan yang ada pada manusia adalah kekayaanMu, tiada sezarah pun kekayaan manusia, semuanya amanah dariMu Yaa Ghoniy untuk digunakan bagi mengerjakan amal soleh dan amal ibadah. Setiap kekayaanMu, Yaa Ghoniy yang dipinjamkan kepada manusia akan dihitung dan dihisab olehMu Yaa Ghoniy Yaa Muhsyi Yaa Hasib. Dan Engkau Yaa Ghoniy Yaa Hakam akan menghukum bagi setiap salahlaku terhadap kekayaanMu.

 Yaa Ghoniy, kekayaanMu terdapat di dalam bumi, tujuh lapisan bumi, di atas langit yang tujuh lapis. KekayaanMu di alam nyata dan alam ghaib, kekayaanMu tidak mampu dihitung oleh manusia dan dibayangkan dengan akal yang cetek ini. Allahumma Yaa Ghoniy, bimbing kami untuk menggunakan kekayaanMu ini untuk agendaMu Yaa Baari'. Yaa Ghoniy, jauhkan kami kekayaan yang membuat kami lalai kepadaMu.

Rabu, 29 Disember 2021

V 180 : ASMAUL HUSNA ( 87. AL JAAMI')

 AL JAAMI’ ( الجامع )

 ALLAH Yaa Jaami’ Yang Maha Menghimpun akan menghimpunkan orang-orang yang telah mati dan dihidupkan kembali untuk dihitung oleh ALLAH Yaa Muhsi, dihisab oleh Yaa Hasib, dibalas oleh Yaa Muntaqim dan diadili oleh Yaa ‘Adl. Di hari penghimpunan, manusia akan sedar siapakah ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA sebenarnya yang mana di dunia ini mereka tidak takuti akan azabNYA, tidak bersyukur akan nikmatNYA. Di hari penghimpunan ini, manusia yang sentiasa ingat ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA akan mendapat perhatian istimewa dariNYA.

 Menghayati sifat ALLAH Yaa Jaami’ akan menjadikan seseorang berusaha untuk menyatukan orang-orang yang berpisah dan berkelahi. Bergantung dengan ALLAH ALLAH Yaa Jaami’ mampu mengumpulkan hati-hati yang terpisah.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Jaami', sesungguhnya Engkau Maha Menyatukan, Engkau menyatukan planet-planet di dalam galaksi masing-masing. Ya Jaami', Engkau menyatukan galian-galian dalam tanah, Engkau menyatukan pelbagai jenis binatang dan tumbuhan dalam satu hutan. Engkau menyatukan jutaan sel dalam satu tubuh manusia. Yaa Jaami', Engkau menyatukan hati-hati manusia untuk bersatuhati dalam satu jemaah, satu dasar perjuangan, satu fikrah dan satu kaedah. Engkau Yaa Jaami' menyatukan pekerja dalam satu organisasi, Engkau menyatukan ibu, ayah dan anak-anak dalam satu keluarga, Engkau menyatukan 2 hati dalam satu perkahwinan.

 Engkau Yaa Jaami' menyatukan beberapa perkataan dalam satu ayat, Engkau menyatukan kumpulan-kumpulan manusia dalam satu bahasa, satu bangsa dan satu budaya. Yaa Jaami' Engkau juga menyatukan hati-hati hamba yang mencintaiMu dalam satu ingatan dan rindu kepadaMu, di dunia hati yang diikat dalam ingatan berterusan tanpa sesaat pun lupa kepadaMu, di Akhirat akan bersatu dengan roh-roh kekasih Allah untuk bertemu dengan kekasih sejati Yaa Wadud. Yaa Allah Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Jaami', satukan hati-hati kami sekeluarga, dengan sanak saudara, masyarakat dan pemimpin kami dengan kasih sayangMu agar kami dapat pimpin memimpin di atas jalan taqwaMu Yaa Haq Yaa Barr.

V 179 : ASMAUL HUSNA ( 86. AL MUQSITH)

 AL MUQSITH ( المقسط )

 ALLAH Yaa Muqsith Yang Maha Menyeimbangkan, mencipta dengan penuh keseimbangan dan mengagumkan, harmoni dan seimbang penuh kesempurnaan. KeadilanNYA memberikan kekayaan kepada sebahagian manusia dan kemiskinan kepada sebahagian yang lain, begitu juga memberi kelemahan kepada sebahagian yang lain dan kekuatan kepada yang lain, DIA memberi anugerahNYA kepada setiap hambaNYA dengan tepat. ALLAH Yaa Muqsith juga membalas setiap amal kebaikan, budi pekerti yang mulia dengan ganjaran yang penuh adil dan setimpal.

 Menghayati sifat ALLAH Al Muqsith akan melahirkan insan yang sentiasa memperjuangkan keadilan, keharmonian dan kedamaian berteraskan kembali kepada ALLAH. Menghayati Al Muqsith juga akan menjadikan seorang mampu melihat keadilan ALLAH di sebalik setiap kejadian dan mampu menikmati setiap ujianNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muqsith, sesungguhnya Engkau Maha Saksama dan Maha menyeimbangkan serta Maha Mengharmonikan. Engkau Yaa Muqsith mengharmonikan perjalanan bulan, bintang dan matahari sehingga semuanya bergerak dengan gerakan yang harmoni dan seimbang, tidak tergelincir walau seinci pun planet-planet pada orbitnya, matahari tidak pernah mengatasi bulan, bulan tidak pernah mendahului matahari, semuanya bergerak penuh keseimbangan dan harmoni.

 Semua binatang ciptaanMu Yaa Khaliq Yaa Muqsith hidup dalam ekosistem yang seimbang, rusa yang dimakan harimau, katak yang dimakan oleh ular menjadikan binatang hidup dengan penuh sistem keseimbangan, sebahagiannya menjadi makanan sebahagian yang lain. Tumbuhan yang mati menjadi baja kepada tumbuhan yang hidup, ada yang menjadi akar, batang, ranting dan pucuk, semuanya memainkan peranan masing-masing menjadikan hidupan yang harmoni dan seimbang, itulah kehebatanMu Yaa Muqsith. Engkau juga menyeimbangkan kehidupan manusia dengan memberi peluang kepada keperluan dunia dan keperluan akhirat. Engkau Yaa Muqsith seimbangkan waktu bekerja dan waktu berehat. Keseimbangan kehidupan manusia menjadikan setiap hari ada manusia yang baru lahir dan ada yang mati.

 Yaa Muqsith, Engkau harmonikan kehidupan manusia dengan menjadikan sebahagiannya kaya dan sebagian miskin agar yang kaya boleh membantu yang miskin. Anak-anak yatim dijaga oleh ibu yang tiada anak, orang-orang tua dijaga oleh orang-orang yang muda, orang-orang sakit dirawat oleh orang-orang yang sihat, orang-orang yang dalam kesempitan dilapangkan oleh orang-orang yang berkelapangan, begitulah seimbang dan harmoninya kehidupan manusia ciptaanMu Yaa Muqsith.

 Yaa Allah Yaa Muqsith, jadikanlah setiap kehidupan dunia ini sebagai bekalan untuk Akhirat kami, setiap lafaz kami sebagai zikir kepadaMu, setiap gerak kaki kami sebagai ziarah demiMu, setiap saat mata kami memandang, tiada yang kami lihat melainkan keseimbangan dan keharmonian aturanMu Yaa Muqsith.

V 178 : ASMAUL HUSNA ( 85. DZAL JALAALI WAL IKRAM)

 DZAL JALAALI WAL IKRAM ( ذو الجلال و الإكرام )

 ALLAH Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram Yang Maha Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan, semua kesempurnaan, kemuliaan dan rahmat datang dariNYA. DIA mampu memberi dan mengambilnya kembali.

 Menghayati sifat ALLAH Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram akan melahirkan insan yang sentiasa memuji memuja ALLAH sebanyak-banyaknya dengan lidah dan hatinya dan sentiasa menyedari bahawa kemuliaan dan kebesaran yang dikurniakan itu hanya sementara dan akan diambil kembali olehNYA pada bila-bila masa.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram, sesungguhnya Engkau Pemilik seluruh kemuliaan, keagungan, kesempurnaan dan ketinggian. Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram, tiada sedikitpun kemuliaan dan keagungan kepada manusia, makhluk dan alam ini melainkan semuanya hanya ciptaan yang menerima daya-dayaMu semata-mata, ketika Engkau memberi daya, nampak seolah-olah mereka berdaya, ketika Engkau menghilangkan daya-dayaMu, jadilah makhluk itu fatamorgana, tiada wujud lagi.

 Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram, kemuliaan dan kesempurnaanMu terlihat jelas pada alam dan makhluk ciptaanMu di angkasaraya dan di bumi. Jelas kelihatan daya-daya kemuliaanMu dan kehebatanMu pada hati yang bercahaya dipancari cahaya makrifahMu, dapat dirasai oleh hati yang dibuka hijab olehMu Yaa Fattah. Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram, keagungan dan kemuliaanMu terdapat pada sekecil-lecil makhluk seperti kuman yang ketika Engkau memberi daya membunuh, kuman itu akan menjadi asbab mematikan manusia. KeagunganMu juga terdapat pada sebesar-besar ciptaanMu di alam yang nyata ini, galaksi yang terkandung berbilion bintang, blackhole yang dapat menelan planet-planet termasuk bumi ini.

 Dan sesungguhnya alam nyata ini jika dibandingkan dengan keagunganMu pada alam yang ghaib, seumpama setitis air pada lautan yang luas tidak bertepi. Sesungguhnya tiada lafaz dapat dilafazkan oleh lidah ini bagi menyatakan keagungan, kemuliaan, kesempurnaanMu Yaa Allah. Yaa Quddus Yaa Jalil, bersihkan dalam hati kami sekiranya terdapat walau sebesar zarah rasa keagungan dan kehebatan milik diri ini kerana tiada makhluk di dunia ini yang mempunyai apa-apa kemuliaan dan keagungan melainkanMu Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram.

V 177 : ASMAUL HUSNA ( 84. MAALIKUL MULK)

 MAALIKUL MULK ( مالك الملك )

 ALLAH Yaa Maalikul Mulk Yang Maha Memiliki Kerajaan memiliki kerajaan alam semesta di langit dan di bumi, di dunia dan di akhirat dan DIA tidak merasa berat menguruskan dan mentadbir kerajaanNya. DIA tidak memerlukan sebarang bantuan dalam semua urusan tadbir kerajaanNYA dan DIA Raja yang sebenarnya. DIA memerintah dengan penuh keadilan. Di dunia DIA Yaa Malikul Mulk memilih hamba-hambaNYA menjadi Raja bagi pihakNYA dan ALLAH mengambilnya kembali dengan menurunkan takhtanya bila tiba masanya. Di akhirat, ALLAH adalah Raja yang mutlak yang setiap makhlukNYA akan berlutut kepadaNYA.

 Menghayati sifat Yaa Maalikul Mulk akan menjadikan seseorang ketika diberi kekuasaan, menggunakan kekuasaan untuk kebaikan dan keadilan dan sentiasa menyedari kekuasaan itu hanya sementara dan akan diambil kembali oleh ALLAH dan sentiasa bertasbih kepada ALLAH.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Malikul Mulk, sesungguhnya Engkau Maha Memiliki Seluruh Kerajaan tujuh lapisan langit, tujuh lapisan bumi, alam nyata dan alam ghaib. Engkau Yaa Malikul Mulk adalah Raja yang memerintah setiap kerajaan di alam dunia ini, raja-raja dan pemerintah di kalangan makhluk hanya alatMu semata-mata.

 Engkau melantik alatMu mengikut kehendakMu. Sesungguhnya hambaMu yang berjiwa hamba lah yang paling layak menjadi alatMu dalam pentadbiran sesebuah kerajaan di alam dunia ini, namun ketika hambaMu umat Islam sudah mencintai dunia dan kepentingan diri, Engkau Yaa Hakam menghukum mereka dengan Engkau Yaa Rofi' menaikkan hambaMu yang kufur dan musuhMu sebagai raja dan mengizinkan kezaliman berleluasa, agar umat Islam kembali menjadi abdiMu dan meninggalkan pengabdian kepada hawa nafsu dan dunia.

 Yaa Malikul Mulk, Engkaulah hakikatnya perdana menteri setiap negara, menteri di setiap kementerian, ketua jabatan di setiap jabatan, CEO setiap syarikat, ketua keluarga bagi setiap keluarga, pengurus setiap bank. Engkaulah yang menguasai semua pemerintahan di langit dan di bumi, Engkau Yaa Malikul mulk, Raja bagi setiap planet, setiap galaksi, setiap matahari, bintang-bintang. Engkau Raja setiap hutan belantara, Raja bagi harimau, ular, semut, kuman. Yaa Malikul Mulk, Engkau Raja setiap pokok, tumbuhan, sungai, lautan, awan, angin. Yaa Malikul Mulk, Engkau Raja yang menguasai bagi setiap jin, syaitan, iblis, dan segala makhluk halus. Engkau Yaa Malikul Mulk adalah Raja, penguasa dan pemilik yang mutlak bagi setiap sesuatu yang mentadbir, mengurus dan mengatur dengan penuh kebijaksanaanMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid. Yaa Malikul Mulk, kami menyerah diri kepadaMu sebagai khadamMu dalam pentadbiranMu dan KerajaanMu.

V 176 : ASMAUL HUSNA ( 83. AL ROUF)

 AL ROUF ( الرؤوف )

 ALLAH Yaa Rouf Yang Maha Pelimpah Kasih mencipta alam ini dengan penuh limpahan kasih sayang. KasihNYA diberikan kepada seluruh makhluk walaupun makhluk itu tidak berterima kasih kepadaNYA, tetapi kasih sayangNYA seringkali dalam bentuk ujian dan penderitaan bagi membersihkan hamba-hambaNYA supaya mereka dapat menerima cahaya dan kasihNYA.

 Penghayatan kepada sifat Al Rouf akan melahirkan seorang yang pemurah dan prihatin, dan diberi jalan oleh ALLAH Yaa Rouf untuk menolong orang lain.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Rouf, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih, Engkau kasih kepada hamba-hambaMu dengan memberi pelbagai keperluan hidup termasuk cahaya matahari, siang dan malam, air minuman, tanah yang terhampar, awan yang melindungi, cuaca yang nyaman, makanan, buahan, lauk pauk dan sayuran yang berkhasiat. Engkau Yaa Rouf memberi kepada hambaMu kasihMu melalui ibubapa, suami/isteri, anak-anak, sahabat-sahabat yang menyayangi dan mengasihi. KasihMu Yaa Rouf dapat dirasai ketika kami sujud, berzikir dan membaca Al Quran, dengan kasihMu Yaa Rouf Yaa Haq, Engkau memimpin kami di jalan yang benar.

 Allahumma Yaa Rouf, curahkan kasihMu kepada kami sekeluarga, masyarakat kami dan pemimpin-pemimpin kami, tanpa kasihMu dalam hati kami, kami tidak dapat hidup di dunia ini, akan merasa keseorangan, kebosanan, kesedihan dan kemurungan. KasihMu memberi kekuatan dan semangat luar biasa kepada kami untuk meneruskan kehidupan ini sehingga pertemuan denganMu nanti di Akhirat untuk menikmati kemuncak kasihMu Yaa Rouf iaitu hadiah syurgaMu.

V 175 : ASMAUL HUSNA ( 82. AL AFFUW)

 AL ‘AFFUW ( العفو )

 ALLAH Yaa ‘Affuw Yang Maha Pemaaf melebur dosa dan menghapuskan sama sekali. ALLAH suka memaaf dan menghapuskan dosa. DIA tidak menghukum segera hamba-hambaNYA yang melakukan dosa agar mereka bertaubat dan memohon maaf kepada ALLAH. Walaupun Neraka itu wujud, tetapi jalan untuk menyelamatkan diri terlalu banyak.

 Menghayati sifat Al ‘Affuw akan melahirkan sifat pemaaf atas kesalahan orang terhadap kita. Ikutlah sifat pemaaf ALLAH, walau sebanyak mana dosa, akan dimaafkan ALLAH dengan sifat Al ‘Affuw ALLAH.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa ‘Affuw Yang Maha Pemaaf, sesungguhnya Engkau memaafkan kesalahan dan kesilapan hambaMu ketika kami datang menadah tangan dan menangis di hadapanMu. Engkau Yaa ‘Affuw mengetahui dan memahami bahawa kami bukanlah sengaja ingin membuat kesalahan kepadaMu, kesalahan-kesalahan itu kami lakukan ketika kami terleka dan hati terlalai kepadaMu Yaa Allah, ini semua tanda menunjukkan kami ini hanyalah seorang hamba yang tidak berdaya dan sangat dhaif.

 Yaa ‘Affuw, Engkau Maha Memaafkan, walau kesalahan kami sangat banyak, lebih banyak dari pasir di pantai, banyak dan luas lagi kemaafanMu Yaa Allah. Yaa ‘Affuw, jadikan juga kami hamba yang pemaaf agar kami dapat bermaaf-maafan antara kami. Sesungguhnya kami ini hamba yang lemah, sekiranya Engkau tidak memberi kekuatan kepada kami Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin, kami akan terus lemah dan ketika itu banyaklah kesilapan dan kesalahan yang kami lakukan kepadaMu Yaa Allah dan kepada sesama kami.

 Maka, maafkanlah kami Yaa ‘Affuw dan berikan kami energi untuk memaafkan sesama kami. Yaa ‘Affuw, seringkali kami tersalah kata, terlajak bicara terhadapMu Yaa Allah dan terhadap sesama manusia, maka maafkanlah kami. Kadang-kadang terguris hati sesama kami, terluka dan tercalar hati-hati ini kerana tikaman lidah yang tajam, pandangan mata yang tajam, perbuatan yang penuh dengan kemarahan dan kekecewaan, maka Yaa Allah Yaa ‘Affuw, hanya Engkau yang mampu menyapu luka-luka di hati-hati kami dengan penawar kemaafanMu Yaa ‘Affuw. Dengan kemaafanMu Yaa ‘Affuw, kami dapat terus hidup dengan penuh harapan untuk menempuh hari-hari yang mendatang memikul amanahMu menyebarkan kemuliaan dan ketinggian sifat pemaafMu Yaa ‘Affuw kepada jiwa-jiwa yang dalam kegelapan dan keputusasaan.

V 174 : ASMAUL HUSNA ( 81. AL AHAD)

AL AHAD

ALLAH Yaa Ahad Yang Maha Esa atau Tunggal, terbebas daripada segala sifat, nama, tanda dan hubungan tetapi semuanya tersembunyi di dalamnya. DIA esa, tidak berbilang, tiada sekutu dan semua makhluk memerlukan dan bergantung dengan keesaanNYA.

 Menghayati ALLAH Al Ahad akan menjadikan kita hamba sejati yang bergantung harap terus kepada keesaan ALLAH Yaa Ahad.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Ahad yang Maha Esa, sesungguhnya seluruh kekuasaan di alam buana ini datang dariMu, Engkau diEsakan kerana tiada sesuatu yang wujud melainkan diwujudkan olehMu Yaa Khaliq dan dihidupkan olehMu Yaa Muhyi. Engkau diEsakan kerana milikMu lah seluruh kerajaan langit dan bumi Yaa Malik Yaa Malikul Mulk, seluruh kebesaran semua milikMu Yaa Kabir Yaa Mutakabbir, seluruh kemuliaan milikMu Yaa Karim, Yaa Majid, Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram, seluruh ketinggian milikMu Ya ‘Aliy Ya Muta’ali, seluruh kesempurnaan milikMu Yaa Quddus Yaa Jalil, seluruh keagongan milikMu Yaa Adzim. Engkau Yaa Ahad satu-satunya pemberi kasih saying. Yaa Rahman Yaa Rahim, tiada manusia yang boleh memberi kasih sayang melainkanMu.

 

Yaa Ahad, Engkaulah satu-satunya sumber kebaikan Yaa Barr, tiada kebaikan melainkan kebaikanMu, manusia hanya alatMu Yaa Ahad Yaa Barr dalam menyebarkan kebaikanMu. Yaa Ahad, dengan keEsaanMu juga Engkau Yaa Hakam menghukum semua penzalim, orang yang kufur dan menentangMu. Tiada siapa dapat menghalang hukumanMu Yaa Ahad. Engkau memutuskan sendiri orang-orang yang berhak menerima azabMu Yaa Dharru Yaa Muntaqim.

 Engkaulah Yaa Ahad satu-satu Raja dan Penguasa Padang Mahsyar, hari perhitungan Yaa Muhsyi, hari hisab Yaa Hasib, hari keadilan Yaa Hakam Yaa ‘Adl. Keputusan ke Syurga atau ke Neraka diputuskan olehMu sendirian tanpa campurtangan sesiapa Yaa Ahad, pemilik, penetap dan pemutus segalanya. Yaa Ahad yang Maha Esa, kami datang di pagi ini mengesakanMu dan mengakui hanya Engkau Tuhan yang memiliki segala kekuasaan, kerajaan, keputusan, keampunan, kemaafan, kelembutan, hukuman, azab dan nikmat.

V 173 : ASMAUL HUSNA ( 80. AL MUNTAQIM )

 AL MUNTAQIM ( المنتقم )

 ALLAH Yaa Muntaqim Yang Maha Penyiksa hanya menyeksa hamba-hambaNYA yang sudah keterlaluan membuat kerosakan dan kezaliman di bumi ini serta menyekutukan ALLAH. Namun begitu, sebelum turun azab, ALLAH akan beri peringatan demi peringatan agar mereka bertaubat demi kasih sayang dan rahmatNYA, tetapi ketika mereka berterusan melakukan dosa dan tidak menghiraukan peringatan ALLAH dan merasa gembira dengan kejahatan itu, maka akan turunlah azab Yaa Muntaqim. Bagi sesiapa yang memohon ampun segera setelah menyedari kesilapanNYA, seringkali ALLAH mengampuniNYA tanpa menghukumNYA.

 Menghayati sifat Al Muntaqim akan menjadikan seorang itu pemaaf dan menyerahkan urusan pembalasan dan penganiayaan kepada Yaa Muntaqim. Balasan dan azabNYA terkandung kasih-sayang dan rahmatNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muntaqim yang maha azab siksaan kepada hamba-hambaMu yang engkar, kufur dan yang memusuhiMu. SiksaanMu teramat pedih di NerakaMu, seringan-ringan siksaan Neraka, apabila dipakai selipar Neraka, menggelegak otak manusia. Yaa Muntaqim, NerakaMu itu rumahnya penuh dengan ular, kala jengking berbisa, minumannya dari darah dan nanah ahli neraka yang ditadah.

 Yaa Allah Yaa Muntaqim, azabMu tidak mengenal raja, menteri, pegawai, tukang sapu atau penganggur, semuanya akan menerima balasan yang setimpal atas kejahatan dan kezaliman masing-masing. Yaa Muntaqim, Engkau pasti melindungi hamba-hambaMu yang sentiasa memohon keampunanMu dan hamba-hamba yang berkorban untuk perjuangan agamaMu dari azabMu Yaa Muntaqim. Yaa Allah Yaa Muntaqim, masukkan dalam hati kami rasa gerun dan gementar kepada NerakaMu agar kami berhati-hati dalam hidup ini.

 Yaa Muntaqim, di dunia ini Engkau sentiasa memberi peringatan kepada hamba-hambaMu tentang Neraka melalui kalamMu dalam Al Quran dan melalui alam. Yaa Allah Yaa Muntaqim Yaa Zohir, sentiasalah zahirkan keadaan NerakaMu pada pandangan matahati kami agar kami sentiasa merasa takut kepada azabMu dan patuh kepada arahanMu dan menjauhi laranganMu. Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wahab Yaa Karim, tolonglah kami untuk taat kepadaMu.