Tugas, risalah dan matlamat kejadian
setiap insan adalah untuk beribadah kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sebagaimana
firmannya :
“Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat
kepadaKu.”
(QS Az Zariaat : 56)
Ibadah yang dimaksudkan ialah yang syumul dan lengkap.
Setiap insan
tidak dapat mencapai kebahagiaan, kebebasan, kemuliaan, ketamadunan dan
kemanusiaannya kecuali dengan keikhlasan ubudiyah kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA semata-mata. Diri insan yang mulia terletak
pada kehinaannya di hadapan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
Oleh itu, seorang muslim merupakan seorang hamba yang bebas apabila ia
mengungkapkan :
“Hanya engkau yang kami sembah dan hanya engkau yang kami mohon
pertolongan.”
Ibadahnya mengambil semua detik
kehidupannya, tidak kira sama ada :
a. Malam atau siang.
b. Ketika menjadi rahib di malam hari atau bagaikan pahlawan di siang hari.
Dia adalah hamba di dalam masjid, rumah, institusi, tempat kerja dan di
jalanraya.
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan
ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan
mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya.”
(QS Al-An’aam : 162-163)
Dia ialah hamba dalam :
1. Kehidupan
pendidikannya.
2. Ilmunya.
3. Politiknya.
4. Sosialnya.
5. Kekeluargaannya.
6. Kehidupan peribadinya.
7. Kehidupan umumnya.
8. Perancangannya.
9. Pengurusannya.
10. Hala tujunya.
Ciri istimewa yang ada padanya ialah ibadah kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
Garis tetap dalam kehidupannya ialah ibadah.
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan
mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid.”
(QS Al Bayyinah : 5)
Ini adalah kerana hanya dengan ibadah, kita boleh sampai ke peringkat pimpinan
dunia.
Benarlah kata-kata Imam Hasan Al-Banna :
“Jadilah kamu hamba-hamba sebelum
menjadi pemimpin. Ibadah menyampaikan kamu kepada sebaik-baik kepimpinan.”
Oleh yang demikian, dia tidak akan meninggalkan perhambaannya itu
selama-lamanya.
Kesempurnaan ibadah menyebabkan dia tidak takut kepada keganasan ‘thaghut’,
walaupun tidak mempunyai apa-apa kekuatan material.
“Dan ingatlah ketika kamu sedikit
bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan
melarikan kamu, maka ALLAH memberi kamu tempat tinggal dan diperkuatkanNya,
serta dikurniakanNya kamu daripada rezeki yang baik, supaya kamu bersyukur.”
(QS Al Anfal : 26)
Di samping itu kita boleh katakan bahawa seseorang insan tidak akan maju dengan
kedua belah kakinya tetapi ia akan bergerak laju dengan tiga perkara iaitu :
a. Akalnya.
b. Jasadnya.
c. Jiwanya.
Punca Yang Bersih
Al Quran merupakan punca yang bersih
bagi muslim di zaman Rasulullah saw, walaupun wujudnya tamadun Rom dan Parsi,
bahkan Yahudi dan Nasrani di Semenanjung Tanah Arab. Mereka tidak membaca Al
Quran sebagai satu keseronokan atau kebudayaan, tetapi dibaca untuk
dilaksanakan serta merta.
Seolah-olah apabila seseorang daripada mereka masuk Islam, dia telah mencabut
semua unsur jahiliah dari tengkuknya seperti seorang bayi yang berbogel
bersedia untuk memakai baju Islam.
“Dan pakaian takwa itu ialah sebaik-baik
pakaian.”
Kekuatannya diambil daripada iman dan akidahnya yang menerangi kehidupannya.
Dia berakhlak dengan akidah ini sehingga membentuk keperibadian seorang
individu. Individu itu membentuk masyarakat. Mereka diikat dengan kesatuan
perasaan, nilai dan kasih sayang.
Tidak akan wujud kesatuan dalam masyarakat jika tiada kesatuan perilaku dan
akhlak pada setiap individunya. Oleh itu sistem akhlak Islam merangkumi setiap
sudut kehidupan insan samada sosial, politik dan sebagainya. la menggariskan :
a. Hubungan insan sesama insan.
b. Hubungan insan dengan Penciptanya.
c. Hubungan insan dengan alam semesta.
Daripada situ, berlakulah keseimbangan di samping jelaslah segala hak dan
tanggungjawab.
Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI
WASSALLAM :
“Sesungguhnya Tuhanmu ada hak ke atasmu,
dirimu ada hak ke atasmu, keluargamu ada hak ke atasmu, isterimu ada hak ke
atasmu, maka tunaikanlah setiap yang mempunyai hak akan haknya.”
Jika kita dapat menunaikan tanggungjawab dan hak kesemuanya, sudah pasti kita
dapat bangkit untuk mencapai matlamat. Betulkah kita ingin bangkit? Ya betul,
namun matlamat kebangkitan ialah untuk mencapai ubudiyah kepada ALLAH SUBHANAHU
WA TAALA.
Maka kita hendaklah menjadi
hamba-hambanya yang :
1. Sentiasa berwuduk dan bersujud.
2. Sentiasa bengkak kaki akibat ibadah.
3. Air matanya yang sentiasa mengalir.
4. Lidahnya yang sentiasa berzikir.
5. Hatinya yang bergetar kerana ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA.
6. Anggota tubuh badannya yang sentiasa khusyuk.
“Sesungguhnya orang yang beriman itu
(yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan
sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayatNya, menjadi mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah
mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan yang mendermakan
sebahagian daripada apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah
orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat
pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpahan
kurnia yang mulia (di syurga).”
(QS Al Anfaal : 2-4)
Mereka adalah mukminun sebenar kerana matlamat mereka ialah ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA sehingga masuk ke syurgapun matlamat mereka tetap ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA.
Matlamat ini ialah unsur tetap dakwah.
Unsur tetap ini menuntut setiap individu yang bergabung dengan dakwah ini agar
sentiasa menimbang segala aktiviti berdasarkan neraca matlamat ini.
Setiap sesuatu yang bermaksud untuk keredhaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA adalah
diterima dalam dakwah ini. Sebaliknya setiap sesuatu yang menyebabkan kemurkaan
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA adalah dibenci dan tidak diterima dalam dakwah ini.
Kerajaan Hanyalah Wasilah
Sistem dan pengurusan bahkan kerajaan,
NGO dan jamaah-jamaah yang ditubuhkan oleh manusia hanyalah sebagai wasilah
untuk menunaikan tujuan atau objektif dan ia bukanlah matlamat itu sendiri.
Namun kemuliaan wasilah diimbas dari kemuliaan matlamatnya dan ia dilakukan
untuk tujuan mencapai peratusan terbesar daripada matlamat yang tidak mungkin
dicapai melalui usaha individu. Maka dari sini terbentuknya jamaah, kumpulan
dan kepimpinan.
Kesan dari itu, maka tidak patut sama sekali dalam apa suasana sekalipun,
wasilah bertukar menjadi matlamat tetapi ia hendaklah tetap kekal sebagai
wasilah yang ditentukan berkadar dengan keperluan untuk mencapai objektif yang
kita imbaskan sebelum ini, iaitu:
“Melaksanakan pengabdian kepada ALLAH dan
memperolehi keredhaannya.”
Oleh itu bukanlah menjadi matlamat dakwah kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan
amal Islami dalam bentuknya yang berbagai untuk mendapat pemerintahan dan kuasa
melalui peribadi-peribadi dan cara-cara yang syari’e atau tidak syari’e.
Sebaliknya pemerintahan itu sendiri pada pandangan muslim tidak lebih hanya
sebagai cara untuk :
a. Merealisasikan ubudiah kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
b. Menyebarkan dakwah.
c. Melindungi dakwah dalam jangkaan yang lebih luas dan ruangan yang lebih
syumul.
Ini adalah kerana bagi seorang muslim, perkara yang utama ialah merealisasikan
pengertian dan maksud yang dikehendaki oleh Islam, kemudian ia meneruskan
perjalanan amal Islami dan terpikul ke atas bahu mereka
tanggungjawab-tanggungjawab baru yang kian berkembang dalam rangka
menyempurnakan pengabdian diri kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan ‘taklif’
yang lebih besar. Yang menjadi matlamat kepada itu semua ialah ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA.
Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika
Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan
solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang
dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi ALLAH jualah
kesudahan segala urusan.”
(QS Al Hajj : 41)
Sesungguhnya, seseorang muslim itu apabila tidak menyempumakan pengabdian ini
dan menunaikan hak yang sepatutnya, ia akan menjadi seburuk-buruk hidupan yang
merayap seperti yang dijelaskan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA :
“Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang
melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) ALLAH, ialah orang-orang yang pekak
lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya). Dan
kalaulah ALLAH mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Ia menjadikan
mereka dapat mendengar; dan kalau ALLAH menjadikan mereka dapat mendengar juga
(dengan keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil
memalingkan diri.”
(QS Al Anfaal : 22-23).
Natijah Perlaksanaan
Dengan terlaksananya ‘ubudiah’ (pengabdian), akan tercernalah pada diri
seseorang muslim :
1. Perasaan takut kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA.
2. Iltizam dalam bentuk akhlak dan peradaban terhadap perkara yang ia percayai
dan anuti.
3. Rasa tanggungjawab individu yang membawa kepada penggabungan.
4. Cinta untuk melakukan kewajiban walau apa risiko sekalipun.
5. Menghargai masa dan bimbang akan terlepas kerana ia akan dihisab terhadap
cara penggunaannya. Maka ia tidak mensia-siakanya dengan bertengkar dan
berdebat sebaliknya digunakan sebaiknya untuk beramal dan membuat pengorbanan.
6. Bersikap positif dalam melaksanakan tuntutan dengan melakukan proaktif dan
bertindak menyegerakan tindakan.
7. Menanamkan
rasa tenang dalam diri, optimis dalam hati serta ‘thiqah’ kepada Pencipta.
8. Mengurniakannya keberanian, kegagahan dan tidak takut dalam diri. Lalu ia
mengenalpasti halangan-halangan di perjalanan. Dengan sifat sifat itu ia
mengatasi kesukaran, mengatasi kepayahan, meredah kebatilan, menyebarkan
kebenaran dan menuntut bela terhadapnya. Ia meyakini akan kemenangan serta
menunggunya atau memperolehi shahadah.
9. Menggunakan senjata kebenaran, keikhlasan, iltizam dan kelainan dan senjata
ukhuwah dan thiqah kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA.
10. Gigih melaksanakan akad keimanan dan akad ukhuwah, dibantu oleh kethiqahan
hanya kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA dan kemudian kepada
saudaranya.
Semua unsur-unsur di atas tidak akan terlaksana kecuali dengan keikhlasan
beramal dan menyerahkan diri kepada ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA Tuhan Seru Sekalian
Alam.
Ini adalah kerana pertautan yang kukuh hanya dapat dicetuskan oleh iman,
sebagaimana kehilangannya adalah satu wajah dari wajah kekufuran.
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman
itu bersaudara.”
FirmaNya lagi :
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika
kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani ) yang
diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang
kafir sesudah kamu beriman.”
(QS Ali Imran : 100)
Para ulama’ mengatakan bahawa ayat-ayat yang mulia ini bermaksud :
Mereka, yakni ahli kitab menjadikan kamu
berpecah belah setelah kamu bersatu padu. Mereka tidak menjadi begitu kecuali
apabila berselisih hati, berpecah dan bercabang dari segi matlamat.
Dalam kes yang seperti inilah turunnya ayat tersebut dan kerana urusan inilah
ia didedahkan.
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM
menarik perhatian kita kepada pengertian ini sewaktu ia menghadapkan mukanya
kepada sahabat-sahabat baginda radhiyallahu anhum dan mengimbas kepada sebab
turunnya ayat ini lalu bersabda dengan maksud :
“Jangan kamu kembali selepasku menjadi kafir, sebahagian kamu memenggal
tengkuk sebahagian yang lain.”
Untuk tujuan itulah, Al Quran memandu kepada nilai ukhuwah dan kesatuan di atas
asas
Agama dan kerana itulah juga wirid rabithah mengingatkan kita kepada kesatuan
hala tuju dan matlamat pada waktu kita berdoa untuk sahabat kita.
Maka pertemuan di sini bukanlah pertemuan tubuh badan tetapi ianya adalah
pertemuan hati-hati di atas kecintaan kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan
ketaatan kepadanya.
Itu semua tidak akan berlaku kecuali apabila :
a. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menjadi matlamat kita.
b. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI
WASSALLAM menjadi ikutan kita.
c. Al Quran menjadi perlembagaan kita.
d. Jihad menjadi jalan kita.
e. Mati di jalan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA menjadi
setinggi-tinggi cita-cita kita.
Sesungguhnya mengukuhkan pegangan bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA matlamat kita
adalah antara unsur tetap dalam dakwah kita yang perlu diawasi dan kepekaan
bahawa segala yang bercanggah dengan matlamat ini perlu ditolak di samping
ianya mampu menimbulkan kesedaran untuk berdepan dengan segala perkara yang
membatalkan matlamat ini.
Memelihara syiar “ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA sebagai matlamat kita” sebagai satu ungkapan kepada tujuan kita yang
tertinggi menuntut susunan objektif lain diletakkan di tempatnya yang sesuai
pada tahap-tahap amal.
Ini bererti, kita tidak boleh mengabaikan objektif strategi yang boleh
menyampaikan kita kepada matlamat yang tertinggi ini, sebagaimana kita tidak
mungkin bertolak ansur untuk meninggalkan mana-mana tahap daripada tahap-tahap
yang telah ditetapkan.
Menegakkan ‘Khilafah Ar Rasyidah’ di atas manhaj ‘Nubuwwah’ misalnya adalah
salah satu daripada tahapan yang tidak akan menyampaikan kita kepada matlamat
tanpa menegakkannya.
Apa yang boleh kita fahami di sini
bahawa adalah tidak patut kita menggugurkannya dari pegangan kita.
Ketidakmampuan kita untuk menegakkannya hari ini lantaran penguasaan musuh kita
dan cengkaman sistem mereka yang bersifat sejagat terhadap keupayaan kita serta
kedudukan mereka yang mengatasi kita tidak bererti kita perlu memadamkannya
dari tahapan amal kita.
Begitu juga, kita tidak perlu menghapuskannya
dari matlamat kita kerana menyelamatkan diri dari pembantaian musuh, kerana ini
akan menyebabkan berlakunya pengaburan kepada generasi akan datang serta
memesongkan mereka dari salah satu kewajiban mereka yang juga merupakan
penurunan pada tahapan objektif kita yang akan menyebabkan mereka berada pada
anak tangga di bawah dari yang sepatutnya dan seterusnya menghalang mereka dari
merealisasikan matlamat membawa kebahagiaan yang abadi iaitu ALLAH SUBHANAHU WA
TAALA adalah matlamat kita.
Penyelewengan Dari Matlamat
Penyelewengan dari matlamat adalah sebahaya-bahaya bentuk penyelewengan dan
halangan yang paling serius terhadap tarbiah.
Oleh yang demikian, setiap ‘murabbi’ mesti mengetahui bahawa matlamat
keberadaan kita di atas jalan dakwah ini ialah semata-mata untuk ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA.
Jauhnya kita dari matlamat atau penyelewengan daripada matlamat bererti ia
bermaksud selain dari ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan ianya sedia diketahui bahawa
penyelewengan bentuk ini walaupun sedikit akan mendedahkan manhaj tarbiah
kepada kecacatan yang membahayakan.
Akhirnya, riak, bongkak, sombong,
angkuh, ingin menjadi ketua, menonjol diri dan mahu ke depan serta
kecenderungan duniawi lain yang hina adalah antara penyakit hati yang
menyelewengkan sesiapa yang dijangkitinya daripada matlamat asal di mana, ianya
akan merosakkan amal dan mengugurkan niat yang ikhlas.
Tidak semestinya penyelewengan dari matlamat itu bererti berpaling kepada
tujuan-tujuan keduniaan semata-mata, tetapi hanya dengan wujudnya penyelewengan
sama ada dalam tasawwur atau amal, ia akan menganggu manhaj tarbiah yang sahih.
Mereka yang menjadikan matlamat mereka
untuk :
1. Mengukuhkan struktur tanzim.
2. Mengemaskan perancangan strategi.
3. Menjadikan matlamat mereka untuk mendirikan tamadun kebendaan dan ilmu
teknologi.
Itu semua adalah urusan yang dituntut dan digalakkan tetapi ia bukanlah
matlamat. Ia hanyalah wasilah-wasilah untuk mencapai natijah.
Sekadar mana seseorang itu melakukan usaha dan mengikhlaskan niat, ia akan
diberi ganjaran berdasarkan usaha dan niatnya. Ia dengan itu telah mencapai
satu darjat dari darjat syuhada’, walhal ia berada di rumahnya.
“Dan tidak juga berdosa orang-orang yang
ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada
mereka, engkau berkata : “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan
untuk membawa kamu,” mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang
bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak
mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah.”
(QS At Taubah : 92)
Dengan roh yang seperti inilah, kaum muslimin telah mencapai kemenangan dan
dengan semangat yang seperti inilah, kalimah mereka menjadi tinggi. Bandingkan
pula, di mana kedudukan kita dari mereka.
Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA :
“(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang
memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam),
yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang
daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan
gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).”
(QS At Taubah : 112)
Di manakah ruh kita dari kumpulan yang menjadikan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA
sebagai matlamat mereka (ALLAH matlamat kita dalam tutur kata dan perbuatan
kita) di mana ia diberi ganjaran sama ada ia telah membuahkan hasil dan memetik
buah atau menanam benih dan hasilnya dituai oleh generasi yang seterusnya.
Benarlah sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM ketika baginda
mengucapkan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Jabir bin
Abdullah Al Ansari ra yang bermaksud :
Kami bersama Nabi saw dalam peperangan Tabuk, lalu baginda bersabda :
“Sesungguhnya di Madinah ada lelaki yang
sentiasa bersama kamu setiap kali kamu menyambung perjalanan dan meredah lembah
tetapi mereka dihalang oleh sakit ( dalam satu riwayat – mereka berkongsi
pahala dengan kamu ).”
(HR Muslim)
Junjungan besar Nabi Muhammad saw adalah pembawa risalah yang telah berbicara
mengenai berita besar ini bagi menenangkan hati para sahabat tentang
saudara-saudara mereka yang tidak berkesempatan keluar berjihad kerana keuzuran.
Baginda menanam kasih sayang di dalam hati mereka serta mempertautkan antara
jiwa-jiwa mereka.
a. Mereka
semua di lapangan perjuangan Islam seolah-olah satu jasad.
b. Mereka dikumpulkan oleh niat yang baik.
c. Mereka diikat dengan ketulusan niat menuju satu hadaf.
d. Mereka menuju ke Tabuk sebagai tentera mujahidin.
e. Mereka mendapat pahala kerana menanggung kesukaran perjalanan.
f. Mereka mendapat ganjaran ketika berpisah meninggalkan keluarga dan tanah air.
g. Mereka meneruskan perjalanan menjual nyawa mereka di jalan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan harga yang murah.
h. Mereka adalah golongan yang dihalang oleh keuzuran, sakit pada jasad dan
tubuh badan, namun ketulusan iman menggerakkan mereka. Hati mereka bergelora
dengan jihad serta melonjak-lonjak untuk menemui musuh.
i. Mereka dijadikan oleh RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM sebagai
rakan kongsi kepada pahala dan ganjaran lantaran ketulusan niat mereka.
Baginda gabungkan mereka kepada kumpulan
mujahidin dengan ruh mereka.
Sesungguhnya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA melihat kepada hati yang melompat kerana
cintakan jihad dan terbang kepada kebaikan di mana ia berlegar bersama
ketulusan di semua lapangan. Yang menjadi ukuran dalam semua keadaan ialah pada
hati kerana matlamat kedua-dua mereka adalah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
Adapun, apabila matlamat sudah terpesong
di mana :
1. Tamadun mesti terbina.
2. Perancangan mesti berjaya.
3. Penilaian dilihat kepada natijah amal tanpa mengambil kira keadaan dan
akhlak.
4. Pahala diukur setakat mana amal menatijahkan hasil.
Maka itu semua adalah jauh dari matlamat.
Ketika mana kita jadikan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sebagai matlamat, ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA mengatakan :
“Maka barangsiapa yang melakukan amal kebaikan sebesar zarah, ia akan
melihatnya dan barangsiapa yang melakukan keburukan sebesar zarah, ia akan
melihatnya.”
(QS Al Zalzalah : 7-8)
Pahala bagi satu zarah amal menjadi penting apabila matlamat kita adalah ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA.
Oleh yang demikian, ketika mana kita menilai seseorang lelaki berdasarkan
aktiviti mereka tanpa melihat kepada jauh dekat mereka daripada matlamat,
sesungguhnya kita telah melakukan kesilapan kerana tidak memberikan mereka
nilainya yang sebenar di mana kita memperkecilkan amalan mereka dan
mengurangkan sukatannya. Ini menyebabkan perjalanan kita terganggu oleh
kesalahfahaman yang seperti ini.
Kadang-kadang seseorang muslim berjaya
melaksanakan sesuatu perancangaan, tetapi ia :
a. Gugur dalam ujian yang dahsyat.
b. Terperangkap oleh hawa nafsu dalam dirinya.
c. Dihidapi penyakit hati (ghurur) yang mengugurkan amal, meskipun halus dan ianya
akan merosakkan perancangan walaupun kewaspadaan telah diambil.
Ini semua berlaku ketika mana seorang muslim menyangka bahawa ia mempunyai
keistimewaan yang mengatasi orang lain dari segi :
1. Pengalaman.
2. Kecerdikan.
3. Kebijaksanaan dalam mengurus.
4. Mahir dalam seni berpolitik.
5. Selok belok strategi.
6. Perancangannya dan teknik-teknik berkonfrantasi dengan musuh.
Iapun mula :
a. Bersikap sombong terhadap
kawan-kawannya.
b. Memandang kerdil terhadap mereka walaupun mereka adalah merupakan
orang-orang yang terdahulu dalam dakwah.
c.
Membahagikan mereka kepada dua golongan: satu golongan dianggap memiliki
pandangan dan ahli musyawarah dan kedudukan mereka di barisan depan dan
segolongan lagi bersikap ke belakang serta tidak berhak terlibat dalam
perancangan dan pemesyuaratan.
Manusia seperti mereka yang di atas, apabila tercapai kebaikan dakwah melalui
tangan mereka, mereka akan memulangkannya kepada kebolehan mereka dan kehandalan
mereka serta mereka lupa dengan kurniaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, bantuan dan
taufikNya.
“Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia
ALLAH dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorangpun di antara kamu
menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi ALLAH membersihkan
sesiapa yang dikehendakiNya.”
(QS An Nur : 21)
Logik mereka seperti logik golongan yang kagum dengan tamadun barat.
“Kalaulah aku memiliki seperti apa yang
dimiliki oleh Qarun, sesungguhnya ia adalah manusia yang amat beruntung.”
(QS Al Qashash : 79)
Kemudian ia membandingkan dirinya dengan sahabat-sahabatnya lalu dia merasakan
keluasan ufuk dan dirinya hebat, lalu berkata :
“Segala yang aku miliki itu adalah hasil ilmu dan kebijaksanaanku.”
(QS Al Qashash : 78)
Sesungguhnya mereka perlu memeriksa keikhlasan hati mereka dan memastikan
tujuan dan matlamat kewujudan mereka.
Benarlah apa yang diucapkan oleh Sayyid Qutb ketika beliau mengatakan :
“Anggota jamaah silih berganti
dijangkiti penyakit gopoh, satu demi satu mereka gugur seperti gugurnya daun
kering dari pokok besar. Kadangkala musuh bergayut di dahan pokok itu dan
menyangka ia akan mencabut pokok dari umbinya, sehingga tiba waktunya dahan itu
patah ditangannya seperti kayu api kering yang tidak berair dan tidak ada kehidupan,
namun pokok masih kekal abadi.”
Jika ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang menjadi matlamat kita, sudah tentu :
1. Tingkah laku kita akan menjadi lurus.
2. Amal kita akan menjadi sahih.
3. Ketenangan akan diturunkan oleh ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA kepada kita.
4. Kemenangan yang hampir akan dikurniakan kepada kita.
5. Ia akan tunduk sujud dan meminta ampun di waktu kemenangan tiba.
Yaa ALLAH, jadikanlah Engkau sebagai
matlamat kami selama-lamanya sehingga tidak ada suatu amal yang kami lakukan
melainkan semata-mata sebagai pengabdian kami kepadaMu. Jauhkanlah kami dari
penyelewengan matlamat dalam amal-amal kami sehingga ianya akan menjauhkan kami
dari matlamat yang ingin kami cari iaitu keredaanMu dan masuknya kami ke
syurgaMu yang disediakan untuk para hamba yang ikhlas pengabdiannya kepadaMu.
Rujukan :
http://www.ikram.org.my/v2/images/pdf/tarbiah/Allah%20Sebagai%20Matlamat.pdf