Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Memaparkan catatan dengan label IBADAH - PUASA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label IBADAH - PUASA. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Julai 2014

R 82 : SIAPA LAYAK MENDAPAT KELEBIHAN LAILATUL QADAR?

UMAT Islam kini berada pada penghujung fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadar dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada ALLAH SWT.

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada ALLAH.” 
(riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis lain, RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: 

Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan ALLAH, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu.” 
(riwayat Muslim).

Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadar berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.

Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan. RASULULLAH SAW pernah bersabda maksudnya: 

“Barangsiapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27.” 
(riwayat Ahmad)

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apapun harinya, yang penting pada malam itu, ALLAH SWT menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hambaNya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan ALLAH SWT.
Kelebihan malam al-Qadar tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja.

Fadhilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.
Kata al-Imam al-Qurtubiy, RASULULLAH SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang.

Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis RASULULLAH SAW. Sebab itu ALLAH SWT menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada RASULULLAH SAW dan umatnya.

Justeru itu, malam al-Qadar dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepada RASULULLAH SAW dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmatNya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba ALLAH pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.
Kerana keutamaan ini, RASULULLAH SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar. Dalam hal ini, RASULULLAH SAW perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya.

RASULULLAH SAW sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya: 

“Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan ALLAH SWT.
Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada ALLAH SWT daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang ALLAH SWT.
Dalam hal ini, RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: 

“Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada ALLAH.”
(riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada ALLAH SWT biarpun sekecil mana kesalahan itu.
Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan ALLAH SWT sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari

http://www.islamituindah.my/siapa-layak-dapat-kelebihan-lailatul-qadar






Jumaat, 27 Jun 2014

R 81 : RAMADAN BULAN MENGUMPUL PAHALA DAN HINDARI DOSA

RAMADAN dan sinarnya kembali bertandang menemui sekalian hamba kalangan umat Islam. Bulan setiap hamba diundang menjadi tetamu ALLAH SWT dan dimuliakan olehNya. Pada bulan ini setiap hela nafas menjadi tasbih, tidur menjadi ibadah, amalan diterima dan doa-doa diperkenankan.

Tatkala mengingatkan imbauan silam saat junjungan besar RASULULLAH SAW dan para sahabat amat girang serta tidak sabar-sabar menanti ketibaannya pada setiap tahun, terdetik persoalan di manakah kita dalam meneladani dan menghayati RASULULLAH SAW di madrasah Ramadan yang penuh keberkatan ini?

Bulan dan detik-detik yang sarat dengan kebaikan, peluang sisa umur yang sangat indah sebelum terlena kerana adakah masa yang paling indah daripada Ramadan untuk melakukan munajat kepada ALLAH SWT dengan berdiri menghadap Rabb al-Izzati sambil mendengar alunan ayat-ayatNya yang menghiasi pendengaran, membersihkan hati dan menambahkan keimanan dalam diri?

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” 
(Surah 2,  AL BAQARAH : ayat 183)

Puasa ‘madrasah’ membentuk peribadi Muslim sejati

Matlamat puasa tidak lain adalah untuk merawat penyakit dan kecacatan yang menimpa diri seorang muslim. Puasa merupakan madrasah membentuk peribadi muslim yang bersifat ikhlas, sabar, melatih rohani dan jasmani.

Puasa mendidik dan membentuk muslim bersifat sabar dalam apa jua situasi dan keadaan. Sabar yang paling kuat adalah sabar dalam melawan kehendak nafsu ammarah dan sering mengajak tuannya ke lembah kejahatan dengan melakukan perkara-perkara haram dan menjauhkan dirinya daripada melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT.

Seseorang yang berpuasa yang meneladani dan memahami anjuran RASULULLAH SAW ketika mendengar kata-kata keji dan kurang enak dilemparkan ke atasnya akan segera berkata, “sesungguhnya aku berpuasa.”
Sifat sabar yang dimiliki oleh setiap muslim menjadikan amalannya di atas paksi ikhlas kerana ALLAH SWT. ALLAH SWT menjadikan setiap pahala amalan kepada hamba-hambanya melainkan puasa kerana puasa dinisbahkan kepadaNya dalam erti kata lain ALLAH SWT yang memberikan ganjaran pahalanya.

Puasa mengajar seorang muslim menjaga lidahnya dari berkata dusta, mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang kesat. BAGINDA SAW bersabda yang bermaksud,

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan ghibah maka tidak ada ertinya di sisi ALLAH baginya berpuasa dari makan dan minum.” 
 (riwayat al-Imam al-Bukhari)

Hadis ini adalah peringatan kepada setiap diri agar meninggalkan perkataan dusta dan ghibah. Sabda BAGINDA SAW tidak ada ertinya di sisi ALLAH SWT merupakan perumpamaan tertolaknya ibadah puasa yang bercampur dengan perkataan dusta.
Seorang muslim yang berpuasa sewajarnya membetulkan niat ikhlas kerana ALLAH SWT dalam menjalani ibadah puasa. Selain itu, menjaga diri daripada perkara-perkara yang menyebabkan berlakunya kecacatan terhadap puasa yang dilakukan dengan mengikut garis panduan yang diajar oleh BAGINDA SAW.

Memelihara ikhlas adalah dengan cara mengarahkan hati hanya kepada ALLAH SWT dan hanya mengharapkan pahala dan keredhaan daripadaNya. Manakala ittiba’ (pengajaran) dalam puasa pula adalah dengan mengetahui hukum-hukum puasa sehingga sah puasa yang dilakukan, mengecapi kenikmatan dan pahala, serta jauh dari dosa.
Bagaimana mungkin seorang muslim dapat merealisasikan ittiba’ iaitu meneladani RASULULLAH SAW dalam puasa, sementara dia jahil terhadap puasa-puasa yang wajib sehingga membatalkan puasanya.

Puasa bukan hanya semata-semata menahan diri dari makan dan minum. RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan palsu dan melakukannya, maka ALLAH SWT tidak mempedulikannya dalam meninggalkan makanan dan minumannya.” 
(riwayat al-Bukhari)

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa berpuasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum tetapi berpuasa adalah menjaga daripada berkata-berkata perkara yang sia-sia atau perkara keji.

Menyingkap Ramadan RASULULLAH SAW

Ramadan merupakan nikmat kesempatan sangat berharga yang tiada galang gantinya. Setiap malamnya ALLAH SWT membebaskan 100,000 ribu orang dari mereka yang sudah tercatat sebagai penghuni neraka.
Pada malam terakhirnya ALLAH SWT membebaskan mereka tanpa batas seperti malam-malam sebelumnya.
Dr. Aid al-Qarni dalam mengajak umat Islam meneladani peribadi RASULULLAH SAW dalam menyambut Ramadan berkata, 

“Renungilah bagaimana RASULULLAH SAW seorang Nabi yang maksum menjadi ukuran kebenaran menyambut tamu agung ini.”

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: 

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan ia banyak menyebut Allah.” 
(Surah 33,  AL AHZAB : ayat 21)

Alangkah beruntung siapa yang setia mengikuti petunjuk NABI MUHAMMAD SAW dan meneladani beliau dalam semua segi dari kehidupan ini. Dan alangkah besar kerugian orang yang selalu melafazkan sabdanya tetapi tidak mengikuti kandungan isinya.
Apabila RASULULLAH SAW melihat hilal (anak bulan) petanda bahawa Ramadan telah tiba, BAGINDA SAW berdoa kepada ALLAH SWT, 

“Ya ALLAH, jadikanlah bulan ini bulan keamanan dan keimanan, serta kedamaian dan keislaman bagi kami. kerana ia adalah bulan kebaikan dan kebenaran. Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya ALLAH.”

Tambahan, menurut Aid al-Qarni hadis di atas dapat difahami seolah-olah Nabi berkata kepada hilal, 

“Wahai hilal, engkau adalah makhluk seperti juga aku, Tuhanku dan Tuhanmu adalah ALLAH SWT. Engkau tidak dapat mendatangkan mudarat dan tidak juga manfaat, tidak dapat menghidupkan dan tidak pula mematikan, dan tidak dapat mendatangkan rezeki dan mengatur segala sesuatu. Sesungguhnya merupakan kesalahan yang amat besar sekiranya ada insan yang menyembahmu”.

RASULULLAH SAW tatkala menjelang bulan Ramadan lebih tekun melakukan amal kebaikan seperti memperbanyak tilawah al Quran, bersedekah, mengeratkan silaturrahim sesama muslim dan mempertingkatkan ibadah-ibadah sunat.
Justeru, perlu ditegaskan di sini, apa yang paling penting dan mustahak pada bulan Ramadan ialah kita mencontohi sikap BAGINDA SAW.

Memperbanyak Tilawah

Puasa dan al Quran mempunyai kaitan yang sangat dalam. RASULULLAH SAW memperbanyak membaca al Quran dalam Bulan Ramadan.
RASULULLAH SAW mempunyai sifat dermawan, dan sifat dermawan baginda terserlah pada bulan Ramadan ketika Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan al Quran. RASULULLAH SAW lebih dermawan dan pemurah berbanding dengan angin yang ditiupkan.
BAGINDA SAW gemar mendengarkan al Quran dan sering matanya berlinang ketika mendengarkan bacaan bait-bait ayat al Quran.

Ibnu Mas’ud menceritakan bahawa, suatu hari RASULULLAH SAW memintaku membaca al Quran untuk baginda, “Ibnu Mas’ud bacalah sesuatu dari al Quran untukku,” lalu aku membaca surah al-Nisa’ hingga ayat 41, yang bermaksud, “Maka bagaimanakah apabila Kami datangkan seorang saksi dari tiap-tiap umat dan Kami datangkan kamu (MUHAMMAD) sebagai saksi atas mereka atas mereka itu sebagai umatmu.” Aku melihat kedua mata baginda basah menitiskan air mata. 
(riwayat al-Bukhari).

Abdullah bin Amr pernah bertanya kepada RASULULLAH SAW, “Berapa kali aku harus menghatamkan al Quran?” RASULULLAH menjawab, “khatamkanlah al Quran dalam satu bulan”. Abdullah bin Amr berkata, “aku mampu lebih cepat dari itu.” Jawab RASULULLAH, “jika begitu lakukanlah setiap 20 hari.” Tambah Abdullah bin Amr, “Aku masih mampu untuk lebih cepat dari itu.” “Kalau begitu dalam 15 hari” lalu “10 hari.” Abdullah bin Amr berkata, “aku masih lebih cepat dari itu.” RASULULLAH menjawab, “kalau begitu lima hari.” lalu RASULULLAH tidak melanjutkan lagi. 
(riwayat al-Tirmidzi).

Sebahagian ulama memahami tindakan RASULULLAH SAW ini, sehingga mereka meninggalkan segala urusan fatwa dan pengajian-pengajian di Bulan Ramadan. Juga menjauhkan diri daripada orang ramai agar dapat mengkhusyukkan diri dalam beribadat kepada ALLAH SWT dengan memanfaatkan bulan yang penuh berkah ini.
Mudarasah atau tadarus antara NABI MUHAMMAD SAW dan malaikat Jibril terjadi pada malam hari, kerana malam tidak terganggu oleh pekerjaan seharian.
Di malam hari, hati seseorang juga lebih tenang dan konsisten untuk melakukan ibadah-ibadah sunat.
Rujukan :
http://www.islamituindah.my/ramadhan-bulan-kumpul-pahala-hindari-dosa




R 80 : SEPULUH AMALAN LAILATUL QADAR

Di antara amalan yang wajar dilakukan pada malam Lailatul Qadar:

1- Bertaubat kepada ALLAH SWT.

2- Sentiasa berdoa.

3- Beristighfar kepada ALLAH SWT.

4- Solat berjamaah.

5- Berjaga malam atau Qiamul Lail.

6- Sentiasa mengingati atau bersedia menyambut kehadiran Malam Lailatul Qadar.

7- Menggandakan amalan kebajikan.

8- Beriktikaf di masjid sekadar yang mampu.

9- Bersedih dengan pemergian Malam Lailatul Qadar.

10- Berdoa agar sempat menemuinya pada tahun hadapan.





R 79 : AMALAN KESUKAAN NABI MUHAMMAD S.A.W DI BULAN RAMADAN

AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadan adalah dituntut.

Ibn Abbas melaporkan:“RASULULLAH adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al Quran.” 
(Hadis riwayat Bukhari)

Membaca al Quran

Disunatkan memperbanyakkan bacaan al Quran pada bulan Ramadan kerana ia bulan al Quran seperti firman ALLAH SWT yang bermaksud: 

“… bulan Ramadan yang padanya diturunkan al Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
(Surah 2, AL BAQARAH : ayat 185)

Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al Quran dengan NABI MUHAMMAD SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan al Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.

Saidina Uthman bin Affan khatam al Quran setiap hari pada Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadan, “Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.”

Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.”
(Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)

Qiamullail

Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadan.

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada ALLAH TAALA, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Solat tarawih

Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.

Mengerjakan umrah

Perkara disunatkan pada Ramadan adalah mengerjakan umrah berdasarkan sabda RASULULLAH SAW yang bermaksud: 

“Umrah pada Ramadan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku.” 
(Hadis riwayat Bukhari)

Zakat fitrah

Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai zakat fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Rujukan :
http://www.islamituindah.my/amalan-kesukaan-nabi-muhammad-s-a-w-di-bulan-ramadhan





R 77 : LIMA NIKMAT KHUSUS UNTUK UMAT MUHAMMAD SAW DALAM BULAN RAMADAN

1- Pada malam pertama bulan Ramadan ALLAH SWT akan menilik setiap wajah insan-insan yang berpuasa.

2- Mulut umat NABI MUHAMMAD SAW yang berpuasa akan berbau lebih wangi daripada Kasturi pada hari Kiamat nanti.

3- Umat NABI MUHAMMAD SAW yang berpuasa akan mendapat Doa Keampunan daripada Para mailaikat siang dan malam.

4- ALLAH SWT akan mengarah kepada Syurga agar bersiap dan berhias  dengan penuh keindahan  agar sedia menerima kedatangan umat NABI MUHAMMAD SAW yang menunaikan puasa Ramadan.

5- Pada malam terakhir Ramadan ALLAH SWT bersedia mengampun segala dosa umat NABI MUHAMMAD SAW yang berpuasa kecuali dosa-dosa yang berkaitan dengan manusia.
Suntingan daripada hadis dalam ceramah agama.
Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. ( Solusi . m/s : 27 ).





R 76 : KEGEMBIRAAN RAMADAN MELINDUNGI DIRI DARIPADA NERAKA

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
(Surah 2, AL BAQARAH : ayat 183)

Tanpa terasa, waktu demi waktu berlalu dengan cepatnya, dan berapa hari lagi bulan suci Ramadan akan tiba kembali lagi. Kehadirannya memberi harapan dan semangat kepada setiap Muslim, kerana ia akan membawa kenikmatan jiwa dan rohani dalam kehidupan ini.
Dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan ini, orang-orang beriman menyambutnya dengan rasa gembira kerana kekasihnya Ramadhan akan datang, sehingga perintah shaum (puasa) yang diwajibkan ALLAH SWT pada bulan itu dapat dilakukannya dengan baik. NABI MUHAMMAD SAW bersabda; 

“Siapa yang bergembira menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Allah mengharamkan tubuhnya disentuh oleh api neraka.”
(Al-Hadis).

Tetapi ada juga orang yang menyambut bulan suci Ramadan dengan perasaan tidak senang, sebab kedatangannya dianggap akan merugikan dirinya. Juga mengekang kebiasaannya yang dilakukannya di luar bulan Ramadan, seperti makan dan minum di siang hari, merokok(haram), dan sebagainya.
Ramadan akan kembali menyapa kita, suatu bulan yang penuh dengan keberkatan. Kehadirannya membawa keberkatan yang melimpah ruah, kerana sebulan dalam bulan Ramadan itu dibuka lebar-lebarnya semua pintu syurga dan dikunci semua pintu neraka,

“Sesungguhnya telah datang bulan yang penuh keberkatan, di mana telah difardhukan atas kamu berpuasa. Dibukakan pada bulan itu semua pintu syurga dan dikuncikan padanya semua pintu neraka dan dibelenggu pada bulan itu segala syaitan. Dalam bulan itu, ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
(HR. Ahmad, Nasai dan Baihaqi dari Abu Hurairah).

Jumaat, 20 Jun 2014

R 75 : AMALAN-AMALAN PENTING DI BULAN RAMADAN

AMALAN-AMALAN

Segala puji bagi ALLAH SWT yang menjadikan Bulan Ramadan lebih baik dari pada bulan-bulan lainnya dengan menurunkan al Quran dan mewajibkan puasa bagi kaum muslimin sebagai salah satu pondasi Islam. selawat dan salam tercurah kepada NABI MUHAMMAD SAW yang telah menyampaikan kepada kita tentang ibadah-ibadah di Bulan Ramadan dan memberikan contoh kepada kita bagaimana sebaiknya menghidupkan bulan bulan yang penuh berkah ini.

Daripada Abu Hurairah ra, ia berkata, ‘RASULULLAH SAW memberi kabar gembira kepada para sahabatnya dengan bersabda:

قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ, شَهْرٌ مُبَارَكٌ, كَتَبَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ, فِيْهِ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةُ وَتُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ. فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ. مَنْ ُحُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.

Telah datang kepadamu Bulan Ramadan, bulan yang diberkahi. ALLAH SWT mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa yang tidak memperoleh kebaikannya, maka ia tidak memperoleh apa-apa.”
(HR. Ahmad dan an-Nasa`i)

Berikut ini adalah amalan-amalan yang dianjurkan di Bulan Ramadan:

1.    Puasa: ALLAH SWT memerintahkan berpuasa di Bulan Ramadan sebagai salah satu rukun Islam.

Firman ALLAH SWT :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Surah 2, AL BAQARAH : ayat 183)

RASULULLAH SAW bersabda:

بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيْتَاءِ الزَّكَاةُ وَصَوْمِ رَمَضَانَ وَحَجِّ الْبَيْتِ الْحَرَامِ.

Islam didirikan di atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tidak tuhan yang berhak disembah selain ALLAH  dan MUHAMMAD  adalah rasul ALLAH, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa Ramadan, dan pergi ke Baitul Haram.”
(Muttafaqun ‘alaih)

Puasa di Bulan Ramadan merupakan penghapus dosa-dosa yang terdahulu apabila dilaksanakan dengan ikhlas berdasarkan iman dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH SWT, sebagaimana RASULULLAH SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala dari ALLAH, nescaya diampuni dosa-dosanya telah lalu.”
Muttafaqun ‘alaih.

1.    Membaca al Quran: Membaca al Quran sangat dianjurkan bagi setiap muslim di setiap waktu dan kesempatan. RASULULLAH SAW bersabda:
2.     
اِقْرَؤُوْا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي  يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيْعًا ِلأَصْحَابِهِ.

Bacalah al Quran, sesungguhnya ia datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat bagi ahlinya (iaitu, orang yang membaca, mempelajari dan mengamalkannya). 
HR. Muslim.

Dan membaca al Quran lebih dianjurkan lagi pada Bulan Ramadan, kerana pada bulan itulah diturunkan al Quran. Firman ALLAH SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
(Surah 2, al Baqarah : ayat 185)

RASULULLAH SAW selalu memperbanyak membaca al Quran di hari-hari Ramadan, seperti diceritakan dalam hadits ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata:

وَلاَ أَعْلَمُ نَبِيَّ الله ِقَرَأَ الْقُرْآنَ كُلَّهُ فِى لَيْلَةٍ, وَلاَ قَامَ لَيْلَةً حَتَّى يُصْبِحَ وَلاَ صَامَ شَهْرًا كَامِلاً غَيْرَ رَمَضَانَ.

“Saya tidak pernah mengetahui RASULULLAH  SAW membaca al Quran semuanya, sembahyang sepanjang malam, dan puasa sebulan penuh selain di Bulan Ramadan.”
HR. Ahmad.

Dalam hadits Ibnu Abbas ra yang diriwayatkan al-Bukhari, disebutkan bahawa RASULULLAH SAW melakukan tadarus al Quran bersama Jibril as di setiap Bulan Ramadan.

1.    Menghidupkan malam-malam Bulan Ramadan dengan solat Tarawih berjamaah: Solat Tarawih disyariatkan berdasarkan hadits ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata: “Sesungguhnya RASULULLAH SAW keluar pada waktu tengah malam, lalu beliau solat di masjid, dan solatlah beberapa orang bersama beliau.  Di pagi hari, orang-orang memperbincangkannya. Ketika NABI MUHAMMAD SAW mengerjakan solat (di malam kedua), banyaklah orang yang solat di belakang beliau. Di pagi hari berikutnya, orang-orang kembali memperbincangkannya. Di malam yang ketiga, jumlah jamaah yang di dalam masjid bertambah banyak, lalu RASULULLAH SAW keluar dan melaksanakan solatnya. Pada malam keempat, masjid tidak mampu lagi menampung jamaah, sehingga RASULULLAH SAW hanya keluar untuk melaksanakan solat Subuh. Tatkala selesai solat Subuh, beliau menghadap kepada jamaah kaum muslimin, kemudian membaca syahadat dan bersabda, ‘Sesungguhnya kedudukan kalian tidaklah samar bagiku, aku merasa kuatir ibadah ini diwajibkan kepada kalian, lalu kalian tidak sanggup melaksanakannya.” RASULULLAH SAW wafat dan kondisinya tetap seperti ini.
(HR. al-Bukhari dan Muslim).

Setelah RASULULLAH SAW wafat, syariat telah mantap, hilanglah segala kekhuatiran. Disyariatkan solat Tarawih berjamaah tetap ada kerana telah hilang ‘illat(sebabnya), kerana ‘illat itu berputar bersama ma’lul, ada dan tiadanya. Di samping itu, Khalifah Umar ra telah menghidupkan kembali syariat solat Tarawih secara berjamaah dan hal itu disepakati oleh semua sahabat RASULULLAH SAW pada masa itu.Wallahu A’lam.

1.    Menghidupkan malam-malam Lailatul Qadarlailatul qadar adalah malam yang lebih baik dari pada seribu bulan yang tidak ada lailatul qadar dan pendapat paling kuat bahawa ia terjadi di sepuluh hari terakhir Bulan Ramadan, terlebih lagi pada malam-malam ganjil, iaitu malam 21, 23,25,27, dan 29. Firman ALLAH SWT:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌمِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.
(Surah AL-QADAR : ayat 3)

Malam itu adalah pelebur dosa-dosa di masa lalu, RASULULLAH SAW bersabda:

وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدَرِ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

Dan barangsiapa yang beribadah pada malam ‘Lailatul qadar’ semata-mata kerana iman dan mengharapkan pahala dari ALLAH, nescaya diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.”
HR. al-Bukhari.

Menghidupkan Lailatul qadar adalah dengan memperbanyak solat malam, membaca al Quran, zikir, berdoa, membaca selawat. Aisyah radhiyallahu ‘anha pernah berkata, ‘Aku bertanya, ‘Wahai RASULULLAH, jika aku mendapatkan lailatul qadar, maka apa yang aku ucapkan? Beliau menjawab, ‘Bacalah:
اَللّهُمًَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَفاَعْفُ عَنِّي

Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Yang suka mengampuni, ampunilah aku.”

Iktikaf di malam-malam Lailatul Qadar: Iktikaf dalam bahasa adalah berdiam diri atau menahan diri pada suatu tempat, tanpa memisahkan diri. Sedang dalam istilah syar’i, iktikaf bererti berdiam di masjid untuk beribadah kepada ALLAH SWT dengan cara tertentu sebagaimana telah diatur oleh syari’at.

Iktikaf merupakan salah satu sunnah yang tidak pernah ditinggal oleh RASULULLAH SAW, seperti yang diceritakan oleh Aisyah radhiyallahu ‘anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ اْلأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتىَّ تَوَفَّاهُ اللهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ.

“Sesungguhnya Nabi saw selalu iktikaf pada sepuluh hari terakhir dari Bulan Ramadan sampai meninggal dunia, kemudian isteri-isteri beliau beriktikaf sesudah beliau.”
(Muttafaqun ‘alaih)

Memperbanyak sedekah: RASULULLAH SAW adalah orang yang paling pemurah, dan beliau saw lebih pemurah lagi di Bulan Ramadan. Hal ini berdasarkan riwayat Ibnu Abbas ra, ia berkata:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ, وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُوْنُ فِى رَمَضَانَ حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبْرِيْلُ …

RASULULLAH SAW adalah manusia yang paling pemurah, dan beliau lebih pemurah lagi di bulan saat Jibril as menemui beliau,
HR. al-Bukhari.

Melaksanakan ibadah umrah: salah satu ibadah yang sangat dianjurkan di Bulan Ramadan adalah melaksanakan ibadah umrah dan RASULULLAH SAW menjelaskan bahawa nilai pahalanya sama dengan melaksanakan ibadah haji, seperti dalam hadits yang berbunyi:

عُمْرَةٌ فِى رَمَضَانَ تَعْدِلُ حَجَّةً

“Umrah di Bulan Ramadan sama dengan ibadah haji.”

Demikianlah beberapa ibadah penting yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan di bulan Ramadan dan telah dicontohkan oleh RASULULLAH SAW. Semoga kita termasuk di antara orang-orang yang mendapat taufik dari ALLAH SWT untuk mengamalkannya agar kita mendapatkan kebaikan dan keberkahan Bulan Ramadan. Wallahu A’lam.