Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Memaparkan catatan dengan label BILA HATI TELAH KERAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BILA HATI TELAH KERAS. Papar semua catatan

Rabu, 16 April 2014

Q 20 : ENAM GOLONGAN YANG SUKAR MENERIMA DAKWAH

PENDAHULUAN

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).”
Surah Al Baqarah [2] : [255]

PENGENALAN

Asas bagi penulisan artikel ini adalah dari buku-buku yang banyak menulis tentang metod berdakwah, ciri-ciri pendakwah, mendekati orang yang ingin didakwahkan dan sebagainya. Tetapi, penulisan mengenai siapakah orang paling sukar menerima dakwah adalah sangat kurang.
Contohnya, apabila ditanya kepada beberapa orang Islam, apakah isi khutbah jumaat (selepas solat jumaat), mereka tidak ingat malah ada yang tertidur. Ditanya pula apakah isi ceramah, tazkirah dan seumpamanya pada beberapa orang selepas tamat sesi tersebut, jawapan mereka lebih kurang sama. Perkara ini berlaku pada kebanyakan orang, anda boleh bertanya kepada diri sendiri dan boleh juga bertanya pada orang lain untuk melakukan ujikaji sendiri jika mampu bagi memastikan kebenarannya.

Mengenai orang bukan Islam pula, apabila ditanya mengenai agama Islam, mereka lebih mempercayai media cetak, media elektronik, ‘media angin’ (khabar angin), memerhatikan tingkahlaku orang Islam yang buruk dan menganggap semua agama adalah sama. Malah tidak kurang juga yang mengatakan Islam menggalakkan keganasan dan mencabuli hak kemanusiaan serta melanggar ‘Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia’ (saya menggelarnya Deklarasi Dajjal). Contoh yang diberi seperti poligami, menutup aurat dan sebagainya.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai. (Ayat ini ditujukan kepada orang kafir. Sila lihat empat ayat sebelumnya).
Surah An-Nahl [16] : 108
Sebenarnya mengetahui perkara ini (perkara yang menyebabkan sukar menerima dakwah) adalah perkara yang sangat penting kerana segala isi pengajaran yang didapati dalam sesi pembelajaran atau dakwah itu perlu diaplikasikan di dalam diri. Maksudnya ialah, dakwah perlu difahami kemudian memastikan kebenarannya serta menerima kebenaran itu dengan jujur dan barulah diyakini serta beramal dengannya.
Satu contoh yang mudah; jika seseorang berdakwah mengatakan sembahlah Allah yang Maha Besar, maka perlu kita fahami makna ‘Maha Besar’ itu. Iaitu, tidak ada yang lebih besar melainkan Allah. Kebenarannya, lihatlah isi di langit dan di bumi. Mampukah manusia sekecil kita mencipta semua itu (mencipta bulan, matahari, tanah, lautan dan lain-lain)? Kemudian terimalah kebenaran itu dengan jujur dan seikhlas hati dan mengucapkan tiada tuhan selain Allah yang Maha Besar.

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Katakanlah: "Taat kepada Allah dan taatlah kepada rasul; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajiban rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajiban rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang."
Surah An-Nuur [24] : 54

ISI PERBINCANGAN

Persoalannya, sejauh mana dakwah para pendakwah benar-benar berkesan terhadap penerima dakwah? Sedikit kajian, pemerhatian dan penelitian dalam al Quran, Hadis dan sirah Nabi Muhammad saw, didapati beberapa golongan yang sangat sukar menerima dakwah dan berdakwah kepadanya. Moga-moga kita terhindar dari menjadi golongan seperti ini, antaranya;

1. Mereka yang Menolak Kebenaran

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.”
Surah Al-Anfaal [8] : 22

Maksudnya, manusia yang paling buruk di sisi Allah yang Maha Agung ialah yang tidak mahu mendengar dan memahami kebenaran. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)

Zaman ini : Setelah mendengar seruan Nabi Muhammad salallahu ‘alaihi wasallam (saw) mereka mengingkarinya dan mengatakan itu adalah amalan orang-orang lama (konservatif) dan pemikiran yang beku (jumud). Mereka menolak hadis-hadis dari Rasulullah saw dengan pelbagai alasan, malah mengatakan hadis-hadis inilah punca perselisihan dan perpecahan umat Islam sekarang.

Orang-orang seperti ini sangat sukar menerima dakwah kerana mereka sendiri enggan mengakui akan kebenaran al Quran dan Nabi Muhammad saw. Perkara ini bukan hanya terjadi pada orang kafir dan munafik sahaja, malah tergolong juga pada orang-orang yang mengaku Islam pada mulutnya, tetapi tidak beriktikad dalam hatinya.
Mereka tetap bersolat dan melaksanakan ibadah sebagai seorang muslim, tetapi mereka menolak apa yang diperintahkan Allah yang Maha Agung melalui RasulNya dan sebenarnya mereka tidak mengetahui mereka telah cenderung kepada kemunafikan dan kekufuran. Contohnya; Mereka mengatakan ada perkataan dan hukum yang lebih baik dari al Quran, malah mencaci pula Rasulullah saw dan para sahabatnya r.a.

Daripada Abu Hurairah : Rasulullah saw bersabda,

"Barangsiapa taat kepadaku, bererti dia telah taat kepada Allah SWT; dan barangsiapa menderhakaiku, bererti dia derhaka kepada Allah SWT."
(0003) [Sahih Ibnu Majah]

2. Mereka yang Taksub Mengikuti Tradisi

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami." "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?"
Surah Al-Baqarah [2] : 170

Maksudnya, mereka yang telah diseru supaya mengikut perintah dan larangan Allah yang Maha Agung, tetapi mereka ingkar dan beralasan tradisi nenek moyang tidak boleh ditinggalkan, iaitu penyembahan berhala dan membuat sekutu-sekutu bagi Allah yang Maha Agung. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)

Zaman ini : Manusia zaman ini pula tidak terlepas dari mengikut tradisi nenek moyang mereka walaupun ia bertentangan dengan syariat. Amalan-amalan khurafat zaman dahulu seperti keris sakti pusaka, cincin geliga yang mampu menyembuh penyakit, gelang dan rantai yang dapat memberi kesihatan dan pelbagai lagi sekutu-sekutu yang diciptakan bagi menidakkan kekuasaan Allah yang Maha Agung.
Selain itu ada pula yang mengikuti tradisi kitab. Apabila berdakwah kepadanya mengenai sesuatu amalan atau ibadah yang bercanggah dengan syariat dan dikemukakan kebenaran dan faktanya, mereka mengatakan kitab itu hasil nenek moyang mereka dan mereka tetap mengikut kitab itu. Walhal kitab itu penuh penyelewengan seperti penuh hadis palsu, salah faham dalam penafsiran dan sebagainya.
Orang-orang seperti ini sangat sukar berdakwah kepadanya kerana mereka begitu taksub dengan tradisi mereka.

Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Barangsiapa menyeru ke jalan petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikitpun dari pahala-pahala amal mereka sama sekali. Barangsiapa menyeru kepada jalan yang menyesatkan, maka baginya dosa semisal (sama) dosa orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka sama sekali.” (0172) [Sahih Ibnu Majah]

3. Menyangka Majoriti adalah Kebenaran

Apa yang dimaksudkan adalah; melihat ramai orang yang melakukan sesuatu kemungkaran, dan kita menyangka bahawa perkara itu dibolehkan dalam syariat. Contohnya wanita yang memakai tudung yang jarang, wanita yang berbaju lengan pendek dan mempamerkan bentuk badan, wanita yang menyanyi di pentas (anugerah itu dan ini) dan pelbagai lagi yang bertentangan dengan syariat.
Walaupun contoh di atas pelakunya adalah wanita, tetapi di belakangnya terdapat kaum lelaki yang membiarkan malah menganjurkannya pula kerana mereka (lelaki) juga menyangka perkara itu dibolehkan. Ini termasuk para suami dan para bapa; sedangkan lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita dan mereka akan ditanya tentang kepimpinan mereka.

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita).”
Surah An-Nisaa' [4] : 34

Apabila tiba hari pembalasan, orang yang dipimpin akan mula menyalahi para pemimpinnya kerana terlalu takut.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Dan mereka berkata: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).”
Surah Al-Ahzab [33] : 67

Apa yang penting adalah, kebenaran itu didasari dengan ilmu. Di manakah pula cara, atau sumber kepada ilmu bagi mendapatkan kebenaran? Jawapannya adalah; al Quran dan Hadis termasuk juga ijtihad dan kesepakatan seluruh ulama. Selain itu terdapat juga ijtihad perseorangan ulama yang muktabar (kepelbagaian pendapat).
Kebenaran itu tidak semestinya mengikut majoriti, jika terdapat kesalahan dan kesilapan orang terdahulu kemudian setelah diketahui kebenarannya, hendaklah kita menerima dengan hati yang terbuka dan perbetulkan kembali kesalahan dan kesilapan itu agar tidak membiarkan generasi akan datang terus menerus dalam kesilapan.

Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran.”
Ia (Abu Hurairah) bertanya, ‘Bagaimana orang (yang) tidak memegang teguh amanah itu ya Rasulullah?’
Beliau (Nabi saw) menjawab, “Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.”
(1746) [Sahih Bukhari]

4. Mereka yang Berilmu Pengetahuan

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu.”
Surah Al-Mukmin [40] : 83

Di antara orang yang paling sukar didakwahkan juga adalah orang yang ‘menyangka’ dia sudah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Sebarang pendapat yang berlainan dengannya akan ditentang habis-habisan walaupun bertentangan dengan hadis Nabi saw. Mereka akan berhujah dengan kitab itu dan ini, kata-kata guru itu dan guru ini malah mereka lebih mengikut pendapat guru dan kitab mereka melebihi perkataan Rasulullah saw sendiri.
Apa yang lebih melucukan adalah, mereka menggunakan dalil yang langsung tidak layak seperti suratkhabar, radio dan sebagainya bagi menentang atau beralasan menolak hadis Rasulullah saw.

Hadis diringkaskan daripada Irbadh bin Sariyah : Rasulullah saw bersabda,

“....Kamu akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat sesudahku, maka hendaklah kamu berpegang pada Sunnah-ku dan Sunnah-Khulafa ur rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah dengan gigi gerahammu dan jauhilah perkara-perkara baru, sesungguhnya setiap bidaah (perkara baru dalam agama) adalah sesat.”
(0040)

5. Orang yang Mempunyai Pangkat, Harta dan Kuasa

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami, ia berkata: "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku." Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.”
Surah Az-Zumar [39] : 49

Umum kita mengetahui sepanjang sejarah dakwah para Rasul dan Nabi mempunyai banyak tentangan dari orang yang mempunyai pangkat, harta dan kuasa (sila rujuk sirah para Nabi dan Rasul). Keadaan ini berterusan pula sehingga ke hari ini, tetapi perlu diingat bahawa pengulangan sejarah ini adalah sebagai satu pengajaran buat umat zaman akhir ini. Apakah yang telah terjadi kepada orang-orang yang menentang risalah Rasul mereka? Mereka menerima kebinasaan di dunia dan di akhirat.
Mereka menganggap segala nikmat yang diberikan oleh Allah yang Maha Agung adalah kerana hasil usaha mereka sendiri. Mereka lupa bahawa nikmat itu pasti akan ditanya kembali pada hari pembalasan mengenai apakah yang telah mereka perbuat terhadap nikmat itu. Mari kita perhatikan kata-kata Qarun;


Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia tidak mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.”
Surah Al-Qashash [28] : 78

Kedua-dua ayat di atas menyatakan akan kesombongan golongan yang kelima ini. Apabila didakwahkan kepada mereka agar mentaati perintah Allah yang Maha Agung dan RasulNya, mereka sangat sombong; mereka berkata ada perkataan yang lebih baik dari itu pada zaman moden ini. Tujuan mereka tidak lain hanyalah untuk menambah kekayaan mereka sahaja dan takut rugi dari segi kehilangan pengaruh dan kuasa.

Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Setiap umatku masuk ke dalam syurga, selain orang yang enggan.”
Mereka bertanya, ‘Ya, Rasulullah, Siapakah yang enggan (masuk syurga) itu?’
Jawab Nabi saw, “Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku, maka sesungguhnya orang itu enggan(masuk syurga).”
(1952) [Sahih Bukhari]

6. Sangka Buruk

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjing (memfitnah, mengumpat atau mengata) satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
Surah Al-Hujuraat [49] : 12

Mereka ini sentiasa bersangka buruk pada orang lain, terutamanya kepada orang-orang yang mempunyai kelebihan dari mereka. Mereka mencari-cari kesalahan orang lain tanpa melihat diri sendiri. Mereka juga menganggap mudah mengenai hal-hal ilmu agama dan melihat orang lain lebih rendah dari mereka.

Firman Allah swt yang bermaksud :

 “Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan.”
Surah Al-Hujuraat [49] : 11

Mencela diri sendiri juga bermaksud mencela para mukmin yang lain. Orang seperti ini sukar didakwahkan kerana mereka menganggap orang lain semua sama seperti mereka termasuk juga para ilmuwan dan pendakwah. Padahal di dalam al Quran jelas mengatakan orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang jahil.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.”
Surah Az-Zumar [39] : 9

Daripada Aisyah r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Orang yang sangat dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan.”
(1915) [Sahih Bukhari]

PENUTUP
Setelah kita mengenali enam golongan di atas, dapatlah kita memperbaiki diri agar lebih mudah menerima pendapat orang lain dan bertolak ansur sesama saudara se-Islam. Mungkin juga kita tergolong dalam salah satu golongan di atas, tetapi kita tidak menyedarinya selama ini.
Kepada para pendakwah, strategi yang betul diperlukan bagi menarik minat orang ingin didakwahkan agar dakwah itu benar-benar memberi pemahaman kepada penerimanya. Selain itu, isu-isu yang diutarakan juga perlulah lebih segar, iaitu isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan semasa supaya contoh-contoh yang diberikan nampak lebih jelas dan mudahlah untuk mereka memahaminya.
Hanya kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayanglah kita memohon perlindungan agar terhindar dari menjadi enam golongan di atas. Kesabaran dalam berdakwah amat diperlukan, janganlah sesekali berputus asa kerana putus asa hanyalah sikap orang kafir.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”
Surah Al-Baqarah [2] : 153

Daripada Mu’awiyah r.a : Rasulullah saw bersabda,

“Sentiasa ada segolongan umatku yang selalu berjuang menegakkan agama Allah Taala. Mereka tidak akan celaka oleh orang-orang yang menghina atau menentang mereka sampai hari kiamat. Bahkan mereka tetap menang atas semua manusia.”
(1873) [Sahih Muslim]

Rujukan:
Terjemahan Al-Quran dan Tafsir Ibn Katsir
Hadis-hadis sahih
Sirah dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad Saw [Abu Mazaya Al-Hafiz]
Metodologi Dakwah [Prof. Dr. Abd Aziz bin Mohd. Zin]
As-Sunnah dalam mengamalkan As-Sunnah [Ustaz Fadlan bin Mohd. Othman]

 Koleksi Hadis  6:13 PM 




Khamis, 13 Februari 2014

O 142 : BILA HATI SUDAH MULA HITAM

"Tanda hati kita sudah mula hitam, pertama, bila kita buat dosa, kita tak rasa bersalah. Kedua, hilang kemanisan beribadah dan ketiga, hati tak makan nasihat."
(Imam Ghazali)




Selasa, 11 Februari 2014

O 122 : HATI YANG HIDUP

Air laut yang masin tidak mampu menyerap ke dalam isi ikan. Tetapi bila ikan sudah mati, secubit garam cukup untuk memasinkannya. Begitulah hati, hati yang hidup sangat sukar dinodai. Tetapi bila hati sudah mati, amat mudah sekali dipengaruhi. Ya Allah, peliharalah hati kami, moga hati ini mudah menerima hidayahMU, aamiin..




Sabtu, 8 Februari 2014

O 109 : TIGA TANDA HATI TELAH KERAS

1) Tidak sesal buat maksiat.
2) Tidak sesal tinggalkan taat.
3) Tidak sedia menerima nasihat.

Antara perkara yang dapat melunak dan melembutkan hati.

1) Dirikan solat.
2) Banyakkan sedekah.
3) Selalu menbaca al Quran.
4) Banyakkan zikir.
5) Banyak berlapar (berpuasa).
6) Banyakkan muhasabah diri (tafakur).
7) Mengingati mati yang boleh datang bila-bila waktu.
8) Tawaduk (sentiasa merendah diri).





Ahad, 23 Disember 2012

K 106 TANDA HATI YANG MATI



Tidak berasa kesal atau sesal malah berbangga di atas dosa-dosa yang dilakukan. Contoh paling terdekat dosa yang sering diungkapkan adalah : “Aku matipun kubur lain-lain. Biar aku tanggung je lah. Ko jangan sibuk nak nasihat aku."

“Yaa ALLAH... memang kubur lain lain, tapi yang memandikan dia orang lain, yang kafankan dia orang lain..yang nak usung dia ke tempat kubur orang lain, nak gali kuburpun orang lain...nak baca talqinpun orang lain....melainkan dia boleh mandi sendiri, kafan sendiri dan bergolek sendiri masuk dalam kubur....itu baru betul cara percakapan "kubur lain-lain."

Allahurobbi..jangan terlalu sombong dan takbur hingga boleh mengucapkan ayat seperti itu...kelak, jika ALLAH SUBHANAHU WA TAALA izinkan, tanpa sempat kita bertaubat..mati yang sia-sia dan tempahlah seksaan kelak...


sekadar peringatan dan muhasabah buat diriku yang jahil 

Isnin, 17 Disember 2012

K 81 Keras hati adalah musibah paling besar pada orang mukmin.


Malik Bin Dinar berkata;

“Tidak ada musibah yang lebih besar daripada hati yang keras.”

Keterangan:
“Kebaikan hati yang dibawa bersama keburukan nafsu di dalam ketaatan lebih baik daripada engkau membawa keburukan hati yang dibawa kebaikan nafsu semasa mengerjakan ketaatan. Sila lihat “Hati Bermaksiat, Anggota Tubuh Taat” pada bab yang telah lalu. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman pada Musa as, 

“Salahkanlah nafsu kamu, kerana yang paling layak untuk disalahkan adalah nafsu. Ketika bermunajat kepadaKu, bermunajatlah dengan lisan yang shidq (benar) dan hati yang takut.”

Keterangan:
“Ini satu lagi masalah yang sering kita lakukan bila berhadapan dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Seperti di atas, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberi amaran kepada Musa as supaya memperbetulkan munajatnya(doanya) dahulu sebelum munajat (berdoa) kepadaNya. Bagaimanakah dengan kita? Adakah amaran seperti itu tidak disampaikan pada kita? Adakah kita menginginkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menjelma di hadapan mata baru nak memperbetulkan munajat (doa)? Sejak bila ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tidak memberi amaran seperti amaran Musa as kepada kita? Masih tidak nampak ke? Salahkan nafsu kamu sendiri. 

Kamu yang meletakan nafsu kamu di hadapan, bukan hati kamu yang kamu kehadapankan. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memerintahkan Musa as supaya bermunajat (berdoa) dengan lisan(lidah) yang benar dan hati yang takut. Begitu juga dengan kita semua, di mana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA juga telah mengajukan perintahNya kepada kita untuk berdoa dengan Lidah yang benar, di mana lidah hati itu disalurkan pada lidah zahir disertakan ketakutan kepadaNya. 

Untuk dapat melakukan apa yang diperintahkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, hendaknya kita berdoa kepadaNya dengan sederhana. Jangan panjang-panjang yang penuh dengan angan angan hanya harap diberikan olehNya tetapi tidak mengorak langkah. Mustahillah . . . .

”Ketahuilah, setiap hati memiliki sesuatu yang baik, maka nafsupun memiliki perkara serupa yang dapat mengaburkan mata hati. Sebagaimana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberi hati akan keinginan(iradah), maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA juga memberi nafsu dengan angan-angan kosong (tamanniy). Sebagaimana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberi hati akan perasaan cinta (mahabbah), maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberikan nafsu dengan hawa nafsu (hawa). Sebagaimana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberi hati akan harapan (roja’), maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberikan nafsu dengan ketamakan (thoma’). Sebagaimana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberi hati akan perasaan takut (khauf), maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberi nafsu dengan perasaan putus asa(qunuth). Perhatikan dan renungkan kata-kataku ini. 

Keterangan:
“Lihatlah akan kebijaksanaan dan kesempurnaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam memberikan haq sesama mereka di antara hati dan nafsu supaya hambaNya dapat memilih dan tidak menunjukkan jari kepadaNya. Bila murid dapat memahami apa itu keinginan yang datang dari hati, maka dia pasti tahu apa itu angan-angan kosong yang didatangkan oleh permainan hawa. 

Contoh;
Datang keinginan dari hati untuk mengerjakan amal kebajikan untuk mendapatkan keampunan daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA seperti menghadiri kelas agama tetapi tidak menyiapkan diri dengan berdoa kepadaNya memohon pertolonganNya dan keizinanNya, maka dia mengambil langkah untuk berehat rehat dahulu. Masapun berlalu! Bila kesedaran datang akan kelambatannya maka diniatkan bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA Maha Mengetahui akan niatnya dengan berangan-angan kosong akan mendapat keampunan dariNya. Itulah hawa!!! Bila datang perasaan cinta dari hati untuk menghadiri kelas agama dengan mengetahui akan tuntutan dari agama yang mewajibkan setiap muslim menghadiri kelas agama, maka datang hawa nafsu meletakkan tidak penting sangat menghadiri kelas agama sekiranya ada urusan urusan yang lebih penting.

Sedutan:

http://www.slideshare.net/MuhammadFahmi4/rahsia-ilmu-kaum-muqarrabin

Rabu, 3 Oktober 2012

I 87 Enam Perkara yang merosakkan hati manusia

Hasan Basri telah berkata,

Kerosakkan hati manusia disebabkan 6 perkara :

1- Sengaja melakukan dosa dengan harapan dosanya akan diampunkan.

2- Memiliki ilmu tetapi tidak diamalkannya.

3- Apabila beramal tetapi tidak Ikhlas kepada Allah SWT.

4- Memakan rezeki Allah SWT tetapi tidak pernah bersyukur kepada Allah SWT.

5- Tidak reda dengan pemberian Allah SWT.

6- Sering mengubur orang mati tetapi tidak mahu mengambil pengajaran dari kematian tersebut.


Kitab Mutiara Kebijaksanaan Dalam Islam. M/S : 193.