Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Memaparkan catatan dengan label AGAMA ISLAM - KESABARAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AGAMA ISLAM - KESABARAN. Papar semua catatan

Khamis, 3 Januari 2019

T 163 : GANJARAN BESAR SIAPA YANG BERSABAR

1. Abu Malik (Alharits) bin Ashim Al-Asj’ary r.a berkata: Bersabda Rasulullah SAW:

“Kebersihan (kesucian) itu sebahagian dari iman, dan ucapan: Alhamdulillah, memenuhi timbangan dan Subhanallah serta Alhamdulillah memenuhi apa yang ada di antara langit dan bumi, sembahyang sebagai pelita (cahaya), sedekah sebagai bukti iman, kesabaran itu penerangan, Al Quran sebagai bukti yang membenarkan kamu atau yang menentang kamu, semua manusia pada waktu pagi menjual dirinya, ada yang membebaskan dan yang membinasakan dirinya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

2. Abu Jahja (Shuhaib) bin Sinan Arrumy r.a berkata: Bersabda Rasulullah SAW:

“Sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu lebih baik baginya, dan bila menderita kesusahan (ia) sabar, maka kesabaran itu lebih baik baginya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

3. Anas bin Malik ra berkata: Pada suatu hari Rasulullah SAW berjalan melalui seorang wanita yang sedang menangis di atas kuburan. Maka Nabi SAW bersabda:

“Bertakwalah kepada Allah dan sabarlah. Dijawab oleh wanita (itu) : Nyahlah kau daripadaku, kau tidak menderita bala musibahku ini. Wanita itu tidak mengetahui bahawa yang berbicara itu adalah Rasulullah SAW. Kemudian ia diberi tahu bahawa itu tadi Nabi SAW. Maka segeralah wanita itu pergi ke rumah Nabi SAW dan di sana ia tidak menemukan juru kunci atau penjaga pintu sehingga dapat masuk dengan tidak bersusah payah, lalu berkata: Sebenarnya saya tidak mengetahui bahawa yang berbicara tadi adalah engkau ya Rasulullah SAW. Maka sabda Nabi SAW: Sesungguhnya kesabaran itu hanyalah pada pukulan yang pertama dari bala.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Anas ra berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Allah SWT telah berfirman: Apabila Saya menguji seorang hambaKu dengan buta kedua matanya, kemudian ia sabar, maka Saya akan menggantikannya dengan syurga.”
(Hadis Riwayat Bukhari)


Selasa, 7 Ogos 2012

F 86 SABAR-SENANG DILAFAZ, AMAT SUKAR DITUNAIKAN DALAM KEHIDUPAN

Maksud “SABAR” di dalam konteks amalan hati ialah menahan nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau memberontak, resah gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman kesusahan, ketidak selesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau diingini. Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan iaitu :

1. Tabah dan tekun di dalam melakukan taat

2. Menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran

3. Memelihara diri dari godaan dunia, nafsu dan syaitan.

4. Tenang atau teguh hati menghadapi cubaan musibah 

Sabar adalah satu tuntutan agama dan satu perisai untuk menahan diri daripada fitnah nafsu yang bergelora. Orang yang gagal bersabar akan gagal di dalam hidup dan akan rugi di dunia dan akhirat. Antara tujuan kita di suruh bersabar itu ialah:

1) Supaya dapat mengerjakan ibadah dengan tenteram dan dapat kesempurnaan dan seterusnya mencapai matlamatnya.

2) Untuk kita berfikir dengan lebih matang.

Apabila nafsu telah menguasai akal, akal tidak dapat berfikir secara rasional di dalam menghadapi tindakan yang akan dilakukan. Segala yang dilakukan itu hanya betul mengikut ukuran nafsu. Akibatnya apabila terjadi kerosakkan atau kecelakaan disebabkan tindakan itu, diri manusia sudah tidak dapat mengelak, jadilah manusia itu terbelenggu disebabkan perbuatannya sendiri. Kerana itu di dalam menangani nafsu yang bergelora, sabar itu sangat perlu. Di samping kita disuruh untuk bermujahadah (berperang) dengan nafsu yang jahat. Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM :

“Sejahat-jahat musuh kamu iaitu nafsu yang di antara dua lambungmu.”
(HR Tarmidzi)

Selain daripada itu, sifat takwa perlu diusahakan dengan menanamkan iman di dalam diri. Untuk mendapatkan sifat takwa, kelemahan diri perlu diperbaiki. Bagi mereka yang berusaha memperbaiki dirinya, hati mereka akan sentiasa tenang dan bahagia. Bukan kerana kaya atau berada, tetapi kerana puas kepada apa yang ada. Bersabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM :

“Kamu tidak akan merasakan kemanisan iman sehingga kamu menyintai ALLAH dan Rasul lebih dari segalanya, Tidak menyintai seseorang melainkan kerana ALLAH. Dan benci kembali kepada kekufuran seperti benci berpaling pada neraka.”

Di samping itu apabila orang yang memiliki iman, sembahyangnya akan khusyuk, mereka menyempurnakan puasa dan menunaikan pembayaran zakat dengan segala adab dan tuntutannya, menunaikan haji dengan memahami segala tujuan dan tuntutannya, menjauhkan diri dari maksiat dan dosa, menjauhi perbuatan zina dan perkara yang menghampirinya, tidak mengumpat, mengadu domba, menfitnah, tidak hasad sesama sendiri, tidak sombong, tidak ujub dan sum’ah (mencari nama dan pangkat), tidak pendendam dan lain-lain.

Bila dapat kemanisan iman, penderitaan menjadi kecil dan dunia tiada ruang di dalam hatinya. Hatinya akan asyik dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Ini berlaku pada sahabat-sahabat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Bilal apabila dijemur di tengah panas serta diazab untuk dipaksa kembali kepada kekufuran, dengan tenang dia menjawab, “Ahad, Ahad.” Azab sengsara, tidak terasa. Ini juga berlaku kepada seorang sahabat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang dicuri untanya ketika sedang bersembahyang, dia tidak menghentikan sembahyangnya itu. Kerana terasa kemanisan sembahyang dan tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Banyak lagi hal-hal yang sedemikian yang boleh kita baca di dalam sejarah kehidupan para sahabat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM.

Kerana itu kita perlu melakukan Mujahadatun Nafs (melawan hawa nafsu) dan membersihkan diri kita daripada sifat-sifat mazmumah (yang tercela) seperti iri dengki, dendam, buruk sangka, mementingkan diri, gila pangkat, gila puji, gila dunia, bakhil, sombong dan sebagainya.

Langkah pertama untuk mendapatkan iman ini, maka seseorang itu perlu mempunyai :

a) Ilmu yang Islam yang sempurna dan tepat agar segala tindakan dapat diselaraskan dengan syariat dan kehendak ALLAH SUBHANAHU WA TAALA melalui hukum-hukum yang telah ditetapkannya.

b) Yakin. Keyakinan adalah perlu dan penting. Oleh itu wajiblah kita belajar dan berusaha menyuburkan keyakinan kita. Jangan biarkan keyakinan dicelahi oleh keraguan walaupun sedikit. Keraguan mesti dilawan dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan akal semata-mata. Syaitan dan nafsu sentiasa menyuruh dan mempengaruhi akal untuk ragu-ragu dan mewas-waskan kita. Tanpa ilmu yang benar dan menyeluruh, kita akan terperangkap di dalam perangkap syaitan. Jikalau kita terperangkap di dalam jerat syaitan bagi soal-soal keyakinan, maka hapuslah segala pahala amal dan hapuslah iman. Jikalau terjadi demikian, maka matilah kita sebagai orang yang tidak beriman dan kekal di dalam neraka.

c) Beramal dengan ilmu yang telah difahami dan diyakini.

d) Bermujahadah. Iaitu melawan nafsu yang mendorong ke arah kejahatan dan menghalang diri dari melakukan maksiat lahir dan batin.

e) Istiqamah beramal. Iaitu melakukan amalan ketaatan dan ibadah serta menjauhi kemungkaran secara berterusan.

f) Mempunyai guru yang Mursyid yang dapat memimpin dan mendidik diri agar sentiasa taat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

g) Selalu berdoa kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Kerana jikalau hanya usaha lahir saja dilakukan tanpa mengharapkan bantuan daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, maka ia amat mustahil untuk membuang nafsu yang jahat di dalam jiwa manusia.

3. Kita disuruh bersabar adalah untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA :

“Dan ALLAH amat menyukai orang yang sabar.”
(Ali Imran: 146)

“Sesungguhnya orang yang beriman itu dicukupkan ganjaran mereka tanpa batas”
(az Zumat: 10)

“Hai orang yang beriman, bersabarlah kamu (melakukan taat dan menghadapi musibah), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah kewaspadaan serta siap siaga dan bertawakkallah kepada ALLAH agar kamu beruntung (merebut syurga dan bebas dari neraka).”
– (al Baqarah: 200)


Demikianlah kesabaran itu merupakan ubat yang pahit tetapi mujarab di dalam menahan diri daripada nafsu dan godaan dunia. Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita, sekaligus menolak kemudaratan kepada kita. Sebagai ubat ‘kepahitan’ hanya sesaat, akan tetapi ‘kemanisannya’ akan berpanjangan. Wallahu A’lam.


Ahad, 5 Ogos 2012

F 50 PENGERTIAN SABAR

Iaitu menahan diri daripada keluh kesah pada sesuatu yang tidak disukai.
·         Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:

1. Menahan diri daripada keluh kesah dan menahan diri daripada mengadu kepada yang lain daripada Allah subhanahu wata‘ala ketika berlaku sesuatu bala atau bencana.

2. Menahan diri dalam mengerjakan segala perintah Allah swt.

3. Menahan diri dalam meninggalkan segala larangan Allah swt.

·         Sifat sabar itu dipuji pada syarak kerana seseorang yang bersifat sabar menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah swt, dan menunjukkan ia taat dan menjunjung segala perintah agama.

·         Orang yang beriman kepada Allah swt mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas drinya adalah kehendak Allah swt yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang yang taat, tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala perintah Allah swt dan meninggalkan laranganNya.


Rabu, 11 Julai 2012

A 144 EMPAT JENIS KESABARAN

SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.

Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.

Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja’ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut ‘dabtun nafs’ dan lawannya ‘al-batr’.

Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.

Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: “Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Ali-Imran:200)

Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:
1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.
Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.

2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.

3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan yang menzalimi orang lain  yang pada lahirnya mereka mendapat nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.

4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.

Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:
 Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.

Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.

Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.

 Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.


Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.