Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Memaparkan catatan dengan label ALLAH SWT - TAKUT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ALLAH SWT - TAKUT. Papar semua catatan

Sabtu, 25 Januari 2020

U 113 : KETAKUTAN

Yang aku takut hatiku kian mengeras dan sulit menerima nasihat namun sangat pandai menasihati.
Yang aku takut aku merasa paling benar sehingga merendahkan orang lain.
Yang aku takut egoku terlalu tinggi hingga merasa paling baik di antara yang lain.
Yang aku takut aku lupa bercermin diri namun sibuk berprasangka buruk kepada yang lain dan aku yang paling aku takut aku hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesusahan dan penderitaan saudara-saudara seagama di bumi bergolak. 

Sabtu, 29 Disember 2018

T 85 : TANGISAN SUCI


Ketahuilah. Di tubuh kita ada air yang sangat suci yang boleh menyelamatkan kita di dunia yang sementara ini dan di alam akhirat kelak. Air ini sumbernya adalah hati yang suci dan jiwa yang bersih dan sangat sulit keluar dari hati yang keras dan kotor.

Air mata cinta dan takut kepada ALLAH SWT. Itulah air yang dimaksudkan. Air mata yang keluar kerana menangis takut kepada ALLAH SWT. Wahai sahabatku. Sudahkah air mata itu membasahi pelupuk mata dan pipimu? Sudahkah di tahun ini, di bulan ini, di minggu ini atau di hari ini air itu memancar dan menitis dari matamu dan membasahi pipimu?

Jangan sampai kita susah menangis kerana hati kita sudah keras dan gersang kerana noda, dosa dan ambisi dunia, sehingga begitu sulitnya keluar dari pelupuk mata kita tetapi ketika kehidupan dunia kita terganggu dan ketika kita sudah ditimpa kesusahan dan musibah kerana kehilangan harta benda, baru kita dengan mudahnya menangis dan meratap sejadi-jadinya dengan begitu banyak mengeluarkan air mata.

Menangislah kita kepada ALLAH SWT di saat senang mahupun susah. Di saat gembira mahupun di saat bersedih. di saat masa lapang mahupun di saat sempitmu. Di saat sihat mahupun di saat sakitmu.



Ahad, 14 Oktober 2012

I 137 TUJUH Tanda takut kepada Allah SWT

Tanda-tanda takut kepada Allah SWT kelihatan dalam tujuh perkara :

1- Lidahnya tidak berdusta, mengumpat, menyebar fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap tetapi lidah orang yang bertakwa sentiasa berzikir kepada Allah SWT, membaca Al-Quran dan muzakarah ilmiah.

2- Hatinya tiada permusuhan, kebodohan, kedengkian pada sahabat kerana kedengkian akan menghapuskan segala pahala kebaikan.

3- Pandangannya tidak suka memandang makanan, minuman, pakaian atau lain-lain perkara haram dan tidak terpikat pada dunia. Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa memenuhi matanya daripada perkara Haram, maka Allah SWT akan memenuhinya dengan daripada api pada hari Kiamat”.

4- Perutnya tidak dipenuhi dengan hasil haram, Rasulullah SAW telah bersabda “Setiap suapan daripada yang haram masuk ke perut seseorang, maka segala Para Malaikat di langit dan di bumi melaknatnya selama suapan itu berada dalam perutnya.  Jika dia mati dalam keadaan demikian, maka tempatnya di dalam Neraka”.

5- Kedua tangannya tidak diguna untuk perkara haram malah kedua tangannya diguna untuk perkara ketaatan kepada Allah SWT.

6- Pada kedua kakinya tidak melangkah ke tempat maksiat, malah kedua kakinya hanya melangkah ke tempat Ketaatan kepada Allah SWT.

7- Segala Ketaatan kepada Allah SWT bukanlah bertujuan Riak atau bersifat Munafik tetapi segala Ketaatannya adalah Ikhlas kepada Allah SWT semata-mata.

Lihatlah Ganjaran dan Janji Allah SWT kepada mereka yang bertakwa ( Takut kepada Allah SWT ) :

“Sesungguhnya orang yang bertakwa dalam kebun-kebun dan mata air ( Syurga )”.
(Surah Al-Hijr : 45).


Kitab Penenang Jiwa Imam Al-Ghazali . M/S : 3-5.


Selasa, 2 Oktober 2012

I 82 TUJUH Tanda takut kepada Allah SWT pada diri anda

1- Terbukti di lidahnya, apabila lidahnya berupaya menahan daripada berdusta, mengumpat dan bercakap dengan perkara sia-sia lalu lidahnya digunakan untuk  berzikir kepada Allah SWT, membaca al-Quran dan mempelajari ilmu.

2- Terbukti pada perutnya, apabila  perutnya hanya makan perkara yang halal dan makan sekadar diperlukan.

3- Terbukti pada matanya, apabila matanya tidak melihat perkara yang haram dan melihat dunia ini sekadar untuk mengambil pengajaran.

4- Terbukti pada tangan, apabila tangannya tidak menghulurkan perkara yang haram  malah tangannya hanya digunakan pada perkara ketaatan kepada Allah SWT.

5- Terbukti pada kakinya, apabila kedua kakinya tidak digunakan untuk berjalan kepada perkara maksiat.

6- Terbukti pada hati, apabila hatinya tidak memiliki sifat hasad dengki dan iri hati, malah hatinya sentiasa menyayangi sesama Islam.

7- Terbukti pada hati apabila hati tidak bersifat dengan sifat  munafik malah hatinya dipenuhi dengan sifat tulus ikhlas kepada Allah SWT.


Kitab Tanbihul Ghafilin, Jilid 1 & 2.  M/S : 589.



Sabtu, 29 September 2012

I 62 Tahap keimanan penentu rasa takut kepada Allah swt

WAKTU siang atau malam, di mana juga kita berada, patut ditanamkan dalam hati rasa takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Dengan kata lain, sepanjang masa kita hendaklah sentiasa berasa takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang Maha Berkuasa.

Berlakunya kemungkaran dan maksiat di sekeliling kita hari ini disebabkan rasa takut akan azab dan seksaan maha pedih daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tidak ada dalam hati mereka yang melakukannya dan ini menunjukkan mereka tidak takut sama sekali dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Takut adalah sifat terpuji dan patut ada dalam hati setiap mukmin yang ingin mendapatkan takwa. Dengan adanya perasaan takut membuatkan seseorang itu menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran yang mendatangkan dosa hingga menjerumuskan ke api neraka di akhirat kelak.

Jika kita ada rasa takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, sudah pasti kita tidak akan berani melanggar perintahNya. Rasa takut akan mendorong seseorang itu benar-benar menghambakan dirinya kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Semua perintah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan dipatuhinya dan larangan ditinggalkannya.

Seorang ulama telah berkata: 

“Cucilah empat perkara dengan empat perkara. Cucilah wajahmu dengan air matamu, cucilah lidahmu dengan zikir kepada Penciptamu, cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan cucilah dosamu dengan bertaubat kepada Penguasamu.”

Walaupun Rasulullah SAW bersih daripada melakukan sebarang dosa dan dijamin ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan syurga, di hati Baginda tertanam rasa takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud: 

“Akulah manusia yang paling takut kepada ALLAH di antara kamu semua itu.” 
(Hadis riwayat Bukhari)

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman yang maksudnya: 

“Hanya orang Mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama ALLAH, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada ALLAH sajalah mereka menyerah diri.” 
(Surah al-Anfal, ayat 2)

Orang yang betul-betul kenal dan takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA hanya lahir di hati mereka yang mempunyai sikap tawakal atau penyerahan pada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Dengan kata lain, hanya orang beriman saja yang akan dapat merasai rasa takut itu.

Ibn Abbas meriwayatkan, NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud: 

“Ada dua mata yang tidak disentuh api neraka, iaitu mata yang menangis di tengah malam kerana takut kepada ALLAH dan mata yang celik kerana terjaga dalam peperangan di jalan ALLAH.”

Sabda NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud: 

“Jika berasa gentar hati seorang mukmin kerana takut kepada ALLAH, maka runtuh dosanya bagaikan daun kering yang runtuh dari pohonnya.” 
(Dari kitab Tanbihul Ghafilin II)

Sebenarnya rasa takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ini bergantung kepada tingkat keimanan seseorang. Jika sekadar percaya adanya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tetapi tidak dapat berasakan takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, maka iman orang itu amat tipis dan lemah kerana tidak dapat berasa gerun kepada neraka serta azab ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Dengan kata lain, tidak ada rasa takut dan gerun kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menandakan hati seseorang itu telah mati. Al Quran mengingatkan mengenai seksaan pedih bakal diterima orang yang derhaka (tidak takut) dan balasan nikmat bagi mereka yang melakukan kebaikan (takut).

Lukman Al-Hakim berpesan kepada anaknya: “Berharaplah kepada ALLAH dengan sesungguhnya sehingga kamu berasa aman dari tipu daya dan takutlah kepadaNya supaya kamu tidak terputus dari rahmat dan kasih sayangNya.”

Secara umum kita dapat mengenal orang yang memiliki rasa takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA melalui tanda seperti banyak membaca al-Quran, rajin mengerjakan solat wajib dan sunat, selalu membelanjakan hartanya di jalan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, mengeratkan silaturahim dan menjauhkan daripada perkara mungkar.

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman yang maksudnya: 

“Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” 
(Surah 79  AN NAAZI´AAT, ayat 40-41)

Rujukan:

http://www.islamituindah.my/tahap-keimanan-penentu-rasa-takut-kepada-allah#comment-3942


Selasa, 18 September 2012

I 5 IKTIBAR DARIPADA KETAKUTAN

GEMPA bumi yang berlaku di Acheh baru-baru ini pasti mengimbau kenangan pahit kejadian tsunami yang berlaku pada pagi 26 Disember 2004, kira-kira lapan tahun yang lalu. Peristiwa menyayat hati yang mengorbankan nyawa ratusan ribu penduduk setempat disifatkan sebagai detik yang sangat menakutkan terutama oleh mereka yang terselamat dan pernah mengharungi detik-detik mencemaskan itu. 

Justeru tidak hairan apabila gempa bumi terbaharu berkekuatan lebih daripada lapan skala Richter di Perairan Acheh, menyebabkan ramai yang ketakutan dan bergegas mencari perlindungan di kawasan tinggi. Amaran tsunami yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara juga turut mencetuskan keadaan panik dan kelam-kabut sehingga orang ramai diperintah untuk menjauhi kawasan pantai yang berisiko tinggi jika berlaku tsunami. 

Sesungguhnya perasaan takut dan cemas merupakan fitrah semula jadi manusia. Kehidupan manusia pula sentiasa diselubungi dengan pelbagai ketakutan yang akhirnya mengembalikan manusia kepada fitrah semula jadi keperluan untuk beragama. Fenomena ini sekali gus mencetuskan nilai kepercayaan serta keyakinan bahawasanya tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya hanya Dia yang memiliki kuasa mutlak untuk menghindarkan segala 
ketakutan itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”
(Al-Baqarah 155-156)

Sifat takut dan merasa tidak selamat daripada balasan Tuhan juga sepatutnya diadaptasikan dalam berbagai lapangan kehidupan Muslim. Dengan perasaan ini individu Muslim akan sentiasa berusaha mengelak diri daripada terus menerus melakukan kemungkaran yang menyebabkan pelakunya terdedah pula kepada balasan azab Tuhan yang menakutkan. 

Ini kerana akhir-akhir ini pelbagai gejala sosial dan moral berlaku dalam masyarakat. Malah menurut laporan akhbar jenayah rasuah juga turut mengalami dimensi baharu apabila rasuah berbentuk habuan seks dan pelancongan telah menggantikan pemberian wang yang bersifat tradisi lagi mudah dikesan oleh pihak berwajib. Golongan lesbian, gay, bisekual dan transgender (LGBT) juga secara terang-terangan, tanpa rasa malu mendedahkan aktiviti mereka di laman sosial demi ikutan nafsu songsang yang memudaratkan. Kelab-kelab gay dan lesbian juga seolah-olah mendapat lesen rasmi untuk menjalankan aktiviti jijik lagi tidak bermoral. 

Amalan keji yang bertentangan dengan fitrah asal kejadian manusia seperti ini seharusnya diperangi habis-habisan kerana ia mencemarkan nilai budaya ketimuran dan ajaran agama Islam yang suci. Malahan musibah dan bencana yang pernah menimpa kaum Nabi Luth AS dan masyarakat Pompei di Itali patut dijadikan pengajaran untuk tidak mengulangi lagi perbuatan terkutuk seperti itu. Kejadian menakutkan, negeri Kaum Nabi Luth AS diterbalikkan dan masyarakat Pompei ditimbus dengan lahar gunung berapi hidup-hidup membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menimpakan balasannya kepada sesiapa yang ingkar dan sombong daripada mentaatinya. 

Ekoran daripada pelbagai bencana alam yang sering berlaku dewasa ini juga umat Islam secara khususnya diseru untuk berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui pelbagai kegiatan ibadat sama ada yang bersifat fardu ain mahupun fardu kifayah demi kebaikan bersama. 

Ini kerana jika Allah SWT menghendaki untuk menurunkan azabnya akibat daripada keterlanjuran segelintir masyarakat maka semua akan terpalit dengan kesengsaraan akibat daripada musibah yang menimpa. Pada ketika itu tiada yang akan terselamat melainkan golongan Mukmin yang benar akidah, beramal dengan ajaran syariat dan berada pada landasan yang tidak menyimpang. 

Di sudut pandang yang lain, sebagai manefestasi daripada perasaan takut seorang hamba kepada Penciptanya, umat Islam diseru mensyukuri segala nikmat pemberian Tuhan dengan bersungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Nya. Pengumuman pembayaran gaji baharu dan tunggakan gaji oleh YAB Perdana Menteri kepada lebih daripada satu juta penjawat awam pada akhir bulan ini sebagai contohnya wajib disyukuri dan dimanfaatkan kepada tujuan yang diredai. Ini termasuklah membantu sesama manusia yang memerlukan sama ada dalam konteks individu mahupun kepada badan-badan kebajikan. 

Sesungguhnya setiap kejadian yang berlaku memberi isyarat betapa Allah SWT Maha Berkuasa atas segala makhluknya. Segala peristiwa yang baik mahupun buruk mempunyai hikmah yang tersembunyi yang hanya difahami oleh golongan yang kuat iman dan kepercayaannya kepada Tuhan. Sebaliknya kalangan yang tidak beriman akan terus menodai kesucian agama dengan menurut runtunan nafsu tanpa sedar implikasi buruk perbuatan mereka. 

Terdapat pula segelintir yang mempercayai bahawa musibah dan bencana yang berlaku adalah fenomena alam semula jadi yang tidak dapat dielakkan. Apapun sebelum tiba detik kemusnahan secara total ke atas alam semesta ini, para Muslimin diseru sentiasa memuhasabah diri sambil berbakti kepada Ilahi sebelum matahari terbit daripada sebelah Barat dan tenggelam di ufuk Timur.




Khamis, 16 Ogos 2012

H 3. 90 peratus daripada ibadat adalah takutkan Allah SWT dan jauhi dunia

Abu Syaqiq Al-Bakhli berkata :

1-Sembilan bahagian daripada ibadat adalah  Takut kepada ALLAH SWT  dan menjauhkan dunia. Satu bahagian lagi adalah menutup mulut.

2- Mati itu pasti akan tiba, oleh itu bersedialah menghadapinya.

3- Jangan tangguh memohon Taubat kepada  ALLAH SWT kerana mengharapkan Kurniaan  ALLAH SWT  serta panjang umur.

4- Hendaklah melebihkan pergantungan kepada Janji-janji   ALLAH SWT berbanding dengan janji-janji manusia.
Rujukan :
Kitab Tazkirah Awliya’. m/s : 82.


Rabu, 8 Ogos 2012

F 140 TANDA-TANDA TAKUT KEPADA ALLAH SWT

Abu Laits telah menegaskan, bahawa seseorang dinyatakan takut kepada Allah SWT dapat terlihat tanda-tandanya dalam tujuh macam hal sebagai berikut:

1. Ia memiliki lidah yang selalu menjadikannya sibuk berzikir atau bertasbih kepada Allah dengan membaca Al-Quran dan mempelajari ilmu agama.

2. Ia memiliki hati yang selalu mengeluarkan dari dalam hatinya perasaan tidak bermusuhan, iri, dengki dan lain sebagainya.

3. Penglihatannya tidak akan memandang kepada hal-hal yang haramtidak memandang dunia dengan keinginan hawa nafsu, tetapi ia memandanginya dengan mengambil iktibar dan pelajaran.

Rasulullah SAW bersabda;

“Barangsiapa memenuhi matanya dengan hal-hal yang haram, Allah SWT akan memenuhi matanya besok di hari kiamat dengan api neraka”.

4. Perutnya, dia tidak memasukkan hal-hal haram ke dalamnya, sebab yang demikian itu adalah perbuatan dosa, seperti sabda Nabi kita Muhammad SAW yang ertinya:

“Ketika sesuap haram masuk dalam perut anak cucu Adam, semua
malaikat di bumi dan di langit membenci dan melaknat kepadanya, selama
suapan itu masih berada dalam perutnya dan kalau ia mati dalam keadaan
seperti itu, maka tempatnya adalah jahanam.

5. Tangannya, dia tidak memanjangkan tangannya ke arah hal-hal yang haram, tetapi memanjangkannya untuk memenuhi ketaatan.

6. Telapak kakinya, dia tidak berjalan kepada hal-hal yang haram atau ke dalam kemaksiatan, tetapi berjalan di jalan Allah SWT dengan bersahabat atau berteman dengan orang-orang yang soleh.

7. Ketaatannya, dia menjadikan ketaatannya itu murni dan ikhlas
kerana Allah SWT.

Amaliah-amaliah yang tersebut di atas, memang tidak mudah untuk dilaksanakan,
tetapi bagi orang-orang yang benar-benar mengharapkan kebahagiaan yang abadi
di akhirat kelak, beban berat yang mesti dilaksanakan itu bukan lagi menjadi
persoalan, meskipun ia harus merangkak sedikit demi sedikit.

Sudah barang tentu, untuk menanamkan rasa takut kepada Allah SWT hingga
mendarah daging dan tertanam atau terpanteri di dalam hati, harus terlebih
dahulu membiasakan diri dengan memenuhi perintah Allah SWT mulai sejak kecil. Oleh kerana hal tersebut, sudah sepatutnyalah kita mengajak dan mendidik anak-anak dan adik-adik kita untuk solat, membaca Al-Quran, beramal soleh, mentaati segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Insya Allah dengan usaha seperti itu dari hari ke hari, ketakwaan kita akan selalu bertambah dan meningkat terus, dan ingatlah  bahwasanya iman yang kita miliki terkadang bertambah dan terkadang berkurang, “al-imaanu yazdaadu wa yanqushu”, dan ketika iman kita berkurang
atau menurun, maka syaitan menjadi kuat menguasai diri kita disebabkan kerana pertolongan nafsu dan segala kesenangannya, pada saat tulah kita tertipu oleh hawa nafsu. “Musuhmu yang paling jahat adalah nafsumu sendiri yang berada di antara kedua sisimu”.

Dengan demikian bererti kita harus mempunyai modal besar dalam mengarungi
hidup yang penuh dengan aneka ragam godaan syaitan dan duniawi. Allah SWT
berfirman: “Dan hendaklah setiap manusia memperhatikan apa yang dia ajukan
untuk hari esok”.

Dengan memenuhi perintah Allah SWT, tentu kita akan sentiasa mengoreksi diri, apa kekurangan kita? Apa kesalahan kita? Dan bila kita memperbaiki
diri? Bila kita berbuat amal kebajikan? Bila kita beramal soleh?
Dengan demikian, tepatlah apa yang di katakan oleh Sayyidina Umar bin
Khattab Radiallahu ‘anhu:

“Hisabilah diri kalian atau adakanlah perhitungan pada diri kalian sebelum
kalian di hisab”.


Sekali lagi marilah kita adakan perhitungan, sudahkah kita penuhi
perintah-perintah Allah swt? Dan sudahkah kita menjauhi larangan-laranganNya!


Selasa, 31 Julai 2012

D 111 ENAM PERKARA MENYEBABKAN TANGISAN DAN TAKUT KEPADA ALLAH SWT

1.    Bertaubat kepada Allah SWT, beristighfar dengan hati dan lidah.

2.    Meninggalkan maksiat zahir dan batin serta meninggalkan segala dosa kecil, apatah lagi dosa-dosa besar.

3.    Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan solat, puasa, haji, sedekah, zakat dan segala amalan kebaikkan.

4.    Mengingati Akhirat, dunia ini adalah ajakan syahwat, sedangkan kehidupan di Akhirat adalah Hakiki.

5.    Mengenali Allah SWT dengan sempurna bermuala dengan Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, Tauhid Asmau Wassifat dan segala syariatnya.


6.    Memperbanyakkan bacaan kisah-kisah orang Soleh dan mengambil pengajaran serta panduan daripada mereka.



Jumaat, 27 Julai 2012

C 137 Mereka Yang Takut Kepada Allah SWT Mendapat Dua Syurga

Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga.




Jumaat, 20 Julai 2012

B 96 LIMA TANDA-TANDA ORANG YANG TAKUT KEPADA ALLAH SWT.

Osman bin Affan berkata:

Tanda-tanda orang bertakwa atau takut kepada Allah  SWT 5 perkara,

1-Dia tidak akan duduk melainkan bersama orang yang elok agamanya ( dapat menahan kemaluan dari melakukan zina dan dapat  menahan lidah daripada ucapan yang tidak baik ).

2-Bila ditimpa musibah dunia, maka ia melihat akibat keburukannya. Jika ditimpa musibah  berkaitan Akhirat  maka ia berkeyakinan bahawa dia akan mendapat keuntungan besar disisi Allah swt hasil daripada musibah tersebut.

3-Perutnya dipenuhi dengan makanan yang berkat dan halal.

4-Dia melihat orang lain sentiasa selamat dari kecelakaan kerana orang lain sentiasa beribadat kepada Allah Azzawajal.


5-Dia melihat dirinya berada dalam kecelakaan kerana dosa yang dilakukan, ia merasakan kemurkaan Allah swt akan datang bila-bila masa disebabkan amalannya yang  bercampur dengan dosa.

Ahad, 8 Julai 2012

A 121 : ENAM PERKARA MENYEBABKAN TANGISAN DAN TAKUT KEPADA ALLAH SWT

1.    Bertaubat kepada Allah SWT, beristighfar dengan hati dan lidah.

2.    Meninggalkan maksiat zahir dan batin serta meninggalkan segala dosa kecil, apatah lagi dosa-dosa besar.

3.    Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan solat, puasa, haji, sedekah, zakat dan segala amalan kebaikan.

4.    Mengingati Akhirat, dunia ini adalah ajakan syahwat, sedangkan kehidupan di Akhirat adalah Hakiki.

5.    Mengenali Allah SWT dengan sempurna bermula dengan Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, Tauhid Asmau Wassifat dan segala syariatnya.

6.    Memperbanyakkan bacaan kisah-kisah orang Soleh dan mengambil pengajaran serta panduan daripada mereka.

Surah Al-Hajj, ayat : 46.

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada."