Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Ahad, 15 Julai 2012

B 44 KETEGUHAN BENTENG TAKDIR




KEKUATAN SEMANGAT (AZAM, CITA-CITA, IKHTIAR) TIDAK BERUPAYA MEMECAHKAN BENTENG TAKDIR.

Kalam Hikmat yang pertama menyentuh tentang hakikat amal yang membawa kepada pengertian tentang amal zahir dan amal batin. Ia mengajak kita memerhatikan amal batin (suasana hati) berhubung dengan amal zahir yang kita lakukan. Sebagai manusia biasa hati kita cenderung untuk menaruh harapan dan meletakkan pergantungan kepada keberkesanan amal zahir. Hikmat kedua memperjelaskan mengenainya dengan membuka pandangan kita kepada suasana asbab dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi kerana seseorang itu melihat kepada keberkesanan sebab dalam melahirkan akibat. Apabila terlepas daripada waham sebab musabab baharulah seseorang itu masuk kepada suasana tajrid.

Dua Hikmat yang lalu telah memberi pendidikan yang halus kepada jiwa. Seseorang itu mendapat kefahaman bahawa bersandar kepada amal bukanlah jalannya. Pengertian yang demikian melahirkan kecenderungan untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Sikap menyerah tanpa persediaan kerohanian boleh menggoncangkan iman. Agar orang yang sedang meninggi semangatnya tidak terkeliru memilih jalan, dia diberi pengertian mengenai  kedudukan asbab dan tajrid. Pemahaman tentang makam asbab dan tajrid membuat seseorang mendidik jiwanya agar menyerah kepada Allah s.w.t dengan cara yang betul dan selamat bukan menyerah dengan cara yang melulu.

Hikmat ketiga ini pula mengajak kita merenung kepada kekuatan benteng takdir yang memagar segala sesuatu. Ketika membincangkan tentang ahli tajrid, kita dapati ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Tuhan yang meletakkan keberkesanan kepada sesuatu sebab dan menetapkannya dalam melahirkan akibat Ini bermakna semua kejadian dan segala hukum mengenai sesuatu perkara berada di dalam pentadbiran Allah s.w.t. Dia yang menguasai, mengatur dan mengurus setiap makhluk-Nya. Urusan ketuhanan yang menguasai, mengatur dan mengurus atau suasana pentadbiran Allah s.w.t itu dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang tidak dikuasai, diatur dan diurus oleh Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu yang tidak termasuk di dalam takdir.

Manusia terhijab daripada memandang kepada takdir kerana waham sebab musabab. Kedirian seseorang menjadi alat sebab musabab yang paling berkesan menghijab pandangan hati daripada melihat kepada takdir. Keinginan, cita-cita, angan-angan, semangat, akal fikiran dan usaha menutupi hati daripada melihat kepada kekuasaan, aturan dan urusan Tuhan. Hijab kedirian itu jika disimpulkan ia boleh dilihat sebagai hijab nafsu dan hijab akal. Nafsu yang melahirkan keinginan, cita-cita, angan-angan dan semangat. Akal menjadi tentera nafsu, menimbang, merancang dan mengadakan usaha dalam menjayakan apa yang dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang baik, akal bergerak kepada kebaikan itu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang buruk, akal itu juga yang bergerak kepada keburukan. Dalam banyak perkara akal tunduk kepada arahan nafsu, bukan menjadi penasihat nafsu. Oleh sebab itulah di dalam menundukkan nafsu tidak boleh meminta pertolongan akal.

Dalam proses memperolehi penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t terlebih dahulu akal dan nafsu perlu ditundukkan kepada kekuatan takdir. Akal mesti mengakui kelemahannya di dalam membuka simpulan takdir. Nafsu mesti menerima hakikat kelemahan akal dalam perkara tersebut dan ikut tunduk bersama-samanya. Bila nafsu dan akal sudah tunduk baharulah hati boleh beriman dengan sebenarnya kepada takdir.

Beriman kepada takdir seharusnya melahirkan penyerahan secara berpengetahuan bukan menyerah kepada kejahilan. Orang yang jahil tentang hukum dan perjalanan takdir tidak dapat berserah diri dengan sebenarnya kepada Allah s.w.t kerana di sebalik kejahilannya itulah nafsu akan menggunakan akal untuk menimbulkan keraguan terhadap Allah s.w.t. Rohani orang yang jahil dengan hakikat takdir itu  masih terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan biasa. Dia masih melihat bahawa makhluk boleh mendatangkan kesan kepada kehidupannya. Tindakan orang lain dan kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan yang demikian menyebabkan dia tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri kepada Tuhan. Sekiranya dia memahami tentang hukum dan peraturan Tuhan dalam perkara takdir tentu dia dapat bertahan dengan iman. Hadis menceritakan tentang takdir:

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, apakah iman?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Juga engkau beriman dengan Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah dari Allah s.w.t”. { Maksud Hadis }

Pandangan kita sering keliru dalam memandang kepada takdir yang berlaku. Kita dikelirukan oleh istilah-istilah yang biasa kita dengar Kita cenderung untuk merasakan seolah-olah Allah s.w.t hanya menentukan yang asas sahaja sementara yang halus-halus ditentukan-Nya kemudian iaitu seolah-olah Dia  Melihat dan Mengkaji perkara yang berbangkit baharulah Dia membuat keputusan. Kita merasakan apabila kita berjuang dengan semangat yang gigih untuk mengubah perkara dasar yang telah Allah s.w.t tetapkan dan Dia Melihat kegigihan kita itu dan bersimpati dengan kita lalu Dia pun membuat ketentuan baharu supaya terlaksana takdir baharu yang sesuai dengan perjuangan kita. Kita merasakan kehendak dan tadbir kita berada di hadapan sementara Kehendak dan Tadbir Allah s.w.t mengikut di belakang. Anggapan dan perasaan yang demikian boleh membawa kepada kesesatan  dan kederhakaan yang besar kerana kita meletakkan diri kita pada taraf Tuhan dan Tuhan pula kita letakkan pada taraf hamba yang menurut telunjuk kita. Bagi menjauhkan diri daripada kesesatan dan kederhakaan yang besar itu kita perlu sangat memahami soal sunnatullah atau ketentuan Allah s.w.t. Segala kejadian berlaku menurut ketentuan dan pentadbiran Allah s.w.t. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Ilmu Allah s.w.t meliputi yang awal dan yang akhir, yang azali dan yang abadi. Apa yang dizahirkan dan apa yang terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala  bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami)  sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya  yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. 
(Ayat 22 : Surah al-Hadiid)

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
( Ayat 1 : Surah al-Mulk )

Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah  petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); 
( Ayat 3 : Surah al-A’laa)

Dan Kami jadikan bumi memancarkan mataair-mataair (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara  yang telah ditetapkan
( Ayat 12 : Surah al-Qamar )

Segala perkara, tidak kira apa istilah  yang digunakan, adalah termasuk dalam ketentuan Allah s.w.t. Apa yang kita istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar, doa, kekeramatan, mukjizat dan lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t. Pagar takdir mengelilingi segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah pun yang mampu menembusi benteng takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan dan ikhtiar melainkan perjuangan dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir. Tidak berdoa orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir untuknya yang sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang didoakan juga tidak lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak berlaku kekeramatan dan mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah takdir yang tidak menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu nafas atau berdenyut satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan urusan Allah s.w.t pada azali.
Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali.

Segala perkara datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang mengadakan ketentuan tanpa campurtangan sesiapapun. Segala perkara kembali kepada-Nya kerana Dialah yang mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa sesiapapun mampu menyekat urusan-Nya.

Apabila sudah difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah takdir yang menurut ketentuan Allah s.w.t, maka seseorang itu tidak lagi berasa bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri. Ikhtiar dan berserah diri sama-sama berada di dalam pagar takdir. Jika seseorang menyedari makamnya sama ada asbab atau tajrid maka dia hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya. Ahli asbab perlu berusaha dengan gigih menurut keadaan hukum sebab-akibat. Apa juga hasil yang muncul dari usahanya diterimanya dengan senang hati kerana dia tahu hasil itu juga adalah takdir yang ditadbir oleh Allah s.w.t. 

Jika hasilnya baik dia akan bersyukur kerana dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari Allah s.w.t. Jika tidak ada ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia mendapat kebaikan. Jika hasil yang buruk pula sampai kepadanya dia akan bersabar kerana dia tahu apa yang datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan Allah bukan tunduk kepada usaha dan ikhtiarnya. Walaupun hasil yang tidak sesuai dengan seleranya  datang kepadanya tetapi usaha baik yang dilakukannya tetap diberi pahala dan keberkatan oleh Allah s.w.t sekiranya dia bersabar dan rela dengan apa juga takdir yang sampai kepadanya itu.

Ahli tajrid pula hendaklah reda dengan suasana kehidupannya dan tetap yakin dengan jaminan Allah s.w.t. Dia tidak harus merungut jika terjadi kekurangan pada rezekinya atau kesusahan menimpanya. Suasana kehidupannya adalah takdir yang sesuai dengan apa yang Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya adalah juga ketentuan Allah s.w.t. Jika terjadi kekurangan atau kesusahan maka ia juga masih lagi di dalam pagar takdir yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Begitu juga jika terjadi keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia harus melihat itu sebagai takdir yang menjadi bahagiannya.

Persoalan takdir berkait rapat dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan daripada yang banyak kepada yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang. Setelah ditanam benih yang kecil itu akan tumbuh dengan sempurna, mengeluarkan beberapa banyak buah kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula benih untuk menumbuhkan pokok-pokok kacang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga kacang yang bermula dari satu biji benih menjadi jutaan juta kacang. Kacang yang sejuta tidak ada bezanya dengan kacang yang pertama. Benih kacang yang pertama itu bukan sahaja berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang, malah ia mampu mengeluarkan semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya boleh mengeluarkan kacang, tidak benda lain.

Kajian akal boleh memperakui bahawa semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu zat kacang. Zat kacang pada benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke satu juta malah ia adalah zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu itulah ‘bergerak’ pada semua kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang, tidak menjadi benda lain. Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal pertumbuhan kacang namun, zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana kacang. Ia tidak berupa dan tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak berpisah dengan mana-mana kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang. Zat kacang ini dinamakan “Hakikat Kacang”. Ia adalah suasana ketuhanan yang mentadbir dan mengawal seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga kesudahan, sampai ke hari kiamat. Hakikat Kacang inilah suasana pentadbiran Allah s.w.t yang Dia telah tentukan untuk semua kejadian kacang. Apa sahaja yang dikuasai oleh Hakikat Kacang tidak ada pilihan kecuali menjadi kacang.

Suasana pentadbiran Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan manusia pula dinamakan “Hakikat Manusia” atau “Hakikat Insan”. Allah s.w.t telah menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan yang ada pada sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat dan keupayaan untuk melahirkan semua keturunan manusia sehingga hari kiamat. Manusia akan tetap melahirkan manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah Hakikat Manusia.

Pada Hakikat Manusia itu ada hakikat yang menguasai satu individu manusia dan hubungkaitnya dengan segala kejadian alam yang lain. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Nabi” pasti menjadi nabi. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Wali” pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah s.w.t atau hakikat itu menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja mempamerkan segala maklumat yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh adalah menjalankan urusan Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t.

Dan katakan: “ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. 
( Ayat 85 : Surah Al-Israa’ )

Pentadbiran Allah s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada mempamerkan ketentuan-Nya yang berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan hakikat sesuatu sejak azali lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah s.w.t. Segala sesuatu dikawal oleh hakikat yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak boleh meminta menjadi kambing. Beruk tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh meminta menjadi malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan oleh Allah s.w.t.

B 43 KELAZATAN IMAN


Daripada Saidina Al-Abbas ibn Abdul Muttalib r.a., beliau berkata, bahawasanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud):

“Seseorang akan merasai kelazatan iman, jika dia meredai bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sebagai Rabbnya, dan jika meredhai bahawa Islam ialah agamanya, dan meredai bahawa Muhammad s.a.w. ialah seorang Nabi (ALLAH).”

Hadith riyawat Imam Ahmad bin Hanbal r.a. dalam musnadnya, Imam Muslim r.a., dan Imam Ar-Rifa’ie r.a. dalam buku “Halah Ahl Haqiqah Ma’a ALLAH”.

Telah berkata Imam Ahmad Ar-Rifa’ie dalam buku beliau “Halah Ahl Haqiqah Ma’a Allah”: Zauq (perasaan dan kelazatan) tersebut tumbuh dari sifat redha, (adapun redha tersebut) ialah suatu makrifat (ilmu dan pengenalan) tentang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Makrifat (mengenal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA) ialah cahaya yang diletakkan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA di dalam hati seseorang yang dikasihiNya dari kalangan para hambaNya. Tiada satupun perkara yang lebih mulia dan agung dari cahaya tersebut (jika dibandingkan dengan nikmat-nikmat ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang lain kepada para hambaNya). Hakikat Makrifat (mengenal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA) ialah kehidupan hati dengan Tuhan yang Maha Menghidupkan seperti firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. yang bermaksud: 

“Tidakkah jika seseorang itu mati, maka kami hidupkannya…” 
(Surah Al-An’am: 122).

Imam Ar-Rifa’ie seterusnya berkata lagi: “Sesiapa yang telah mati nafsunya, maka dunianya akan menjauhinya, dan sesiapa yang mati hatinya, maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan jauh darinya.”
Sheikh Ar-Rifa’ie berkata juga: “sesiapa yang melihat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA (menghalakan pandangan mata hatinya menghadap ALLAH SUBHANAHU WA TAALA), tidak akan melihat kepada dunia, dan tidak pula melihat kepada akhirat. Mentari hati seseorang Arif (orang yang telahpun mengenal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA), lebih bercahaya dari mentari di siang hari…”

Alfaqir yang hina, menambah dengan bantuanNya:
Maksud dari perkataan As-Sheikh, bahawa “sesiapa yang melihat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.” ialah, seseorang itu mula menghalakan seluruh tujuan hidupnya, seluruh tujuan amal perbuatannya, kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Setiap perkara yang dilakukannya, setiap masa yang digunakannya dari usianya, dan seluruh gerak diamnya, hanya kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, di bawah payungan rahmat Ilahi di dalam konsep kehambaan yang mutlak kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Ini difahami oleh kaum sufi dengan istilah “At-Tawajjuh”. Hal ini merupakan intipati dari makna firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud: 

“Katakanlah bahawasanya: solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku hanyalah kerana Allah.”
Antara hadith yang turut menjelaskan tentang perkara ini ialah hadith Jibril a.s., dalam perbahasan ihsan, di mana Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa: “Ihsan ialah, kamu menyembah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sepertimana kamu melihatNya. Kalaulah kamu tidak melihatNya sekalipun, sesungguhnya Dia melihat kamu.”

Ramai di kalangan para ulamak sufi yang membincangkan hadith ini dari sudut batinnya, di dalam buku-buku mereka dengan perbahasan-perbahasan zauqiyah, namun cukuplah di sini, kita kutip salah satu kefahaman ringkas dan mudah dari hadith ini iaitu, berkenaan dengan musyahadah dan muroqobah.

Musyahadah (penyaksian) ialah suatu keadaan hudur Al-Qalb fi Hadratillah atau kehadiran hati yang sentiasa melihat bahawasanya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA melihatnya. Kehadiran hati tersebut merupakan lawan bagi kelalaian.

Muroqobah (pengawasan) merupakan peringkat di bawah peringkat musyahadah, dan ianya merupakan peringkat asas sebelum sampai kepada peringkat musyahadah. Muroqobah bererti, pengawasan diri dan sentiasa menanamkan dan mengingatkan diri kita, bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sentiasa melihat dan memerhatikan setiap gerak geri kita.

Demikianlah sedikit sebanyak tentang hadith tersebut.
Seterusnya, apabila kita sudah mengakui bahawasanya, seluruh amalan dan kehidupan kita serta kematian kita adalah kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, bererti kita juga telah mengakui bahawa, apa yang sebenarnya dicari oleh kita di dalam kehidupan kita ialah reda daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA  yang mana, kepadaNyalah kita mempersembahkan dan memperbentangkan amalan kita kepadaNya.

Apabila kita dapati bahawa, makna dan tujuan kita hidup di dunia ini tidak lebih daripada untuk “hidup dan mati kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA,” maka tergamakkah kita mempersembahkan dan memperbentangkan amalan-amalan kita kepada selain daripadaNya?

Sudah pasti, apabila makna “hidup dan matiku kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.” sudah terealisasi dan tersemat erat di dalam jiwa seseorang, sudah tentu dia tidak lagi mengadapkan tujuan kehidupannya untuk mencapai selain dari redha dan rahmat daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
Makna “Kehidupan dan kematianku kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.” juga membawa pelbagai maksud tauhid yang lain seperti “kehidupan dan kematianku untuk ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.” 

“Kehidupan dan kematianku dengan kehendak ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.” dan “kehidupan dan kematianku daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.”
Pernyataan “kehidupan dan kematianku daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.” merupakan pintu untuk mencapai kefahaman-kefahaman yang lain.

Apabila seseorang melihat dalam dirinya sendiri, dia pasti merenung, dari manakah datangnya diriku ini? Kalau dari ibu dan bapa, bererti mereka berkuasa dalam menjadikanku. Tetapi, mereka juga akhirnya mati seperti ibu bapa mereka (datuk nenekku), menunjukkan bahawa, mereka juga tidak berkuasa terhadap diri mereka sendiri, bagaimana mungkin pula berkuasa terhadap diriku ini? Akhirnya, pmikirannya yang waras akan serta-merta menunjukkan kepada natijah iaitu, di sana, adanya satu Tuhan yang berkuasa ke atas segala sesuatu, dan dari Dialah kita wujud.

Apabila sudah memahami bahawasanya: “kehidupan dan kematianku dari Dia yang Maha Berkuasa” tersebut, kita juga seterusnya bermuhasabah diri di hadapan ajaran-ajaran agama Islam untuk meningkatkan kefahaman kita tentang diri kita ini.

Apabila kita selami makna dari roh ajaran Islam itu sendiri, kita fahami bahawa, tujuan hidup dan mati kita adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya berdasarkan firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud:  “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah (kepadaKu).”

Dari kefahaman ini, kita seoalah-olah dilintasi oleh hembusan syaitan yang mempersoalkan bahawa: “mengapa kita perlu beribadah kepadaNya, sedangkan kita diberi kebebasan untuk memilih apa yang kita suka?” Jadi, nafsu turut meronta-ronta untuk tidak tunduk kepada perintah Samawi tersebut, seraya berkata: “kalau anda ikut agama, untuk beribadah kepadaNya, tentu anda akan keletihan. Pilihlah hala tuju yang menyenangkan anda, dengan tidak patuh kepada-Nya”.

Dalam menangkis pelbagai hasutan syaitan dan tipu daya nafsu, anda sudah tentu terfikir tentang suatu hakikat yang lebih besar dari pelbagai tipu daya tersebut. Ia turut tersemat di dalam kata-kata Sheikhuna (guru kami) Sheikh Yusuf Al-Hasani: “Sesiapa yang keluar ke dunia (lahir ke dunia) bukan kerana pilihan dirinya sendiri, pasti akan keluar dari dunia bukan kerana pilihannya sendiri juga. Oleh yang demikian, di mana pula letaknya kebebasan kehendak kita di antara kedua-duanya (antara kamu hidup bukan kerana pilihanmu dan kamu mati bukan kerana pilihanmu)”.

Pernyataan Sidi Yusuf Al-Hasani cuba menjelaskan bahawa:
Kita lahir ke dunia bukan kerana kita yang memilih untuk hidup di dunia ini.
Kita juga akan mati bukan kerana kita yang memilih untuk meninggalkan dunia ini.
Ajal dan usia sememangnya di tangan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Berapa ramai orang yang berkahwin (sebab untuk mendapatkan anak), tetapi tidak mempunyai anak. Berapa ramai yang cuba membunuh diri (sebab untuk menghilangkan nyawa), tetapi tidak berjaya untuk mati.

Ini menunjukkan bahawa, kita sebenarnya (bahkan seluruh kewujudan), sebenarnya bergerak di bawah kehendak, izin dan kekuasaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Oleh yang demikian, walaupun kita diberi kebebasan majazi untuk memilih, ianya tidak terlepas dari kekuasaan dan kehendak ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, kerana kita sudah tentu tidak mampu membuat sebarang pemilihan melainkan dengan izin ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Dari izin ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tersebut, yang merupakan dari kehendakNyalah, kita dapat membuat pemilihan, bahkan kita sendiri dapat saksikan bahawa, bukan semua yang kita mahukan, kita akan mendapatinya.

Realiti ini menunjukkan bahawa, kita yang diberi peluang untuk memilih dengan izin ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ini, tidak akan memilih melainkan untuk taat kepadaNya, dengan keinginan kita sendiri. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA boleh memaksa seluruh manusia taat dan patuh kepadaNya, dengan kehendak dan kekuasaanNya, tetapi dengan ilmu dan Lutf (kelembutan) ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, yang menyembunyikan hikmah-hikmah di sebalik perbuatanNya, Dia membiarkan seluruh manusia dengan kebebasan memilih, yang merupakan pemberian dariNya, untuk menguji yang manakah di antara mereka yang akan mentaatiNya dengan kerelaan dan yang mana akan mengkufuri nikmat “kebebasan memilih” tersebut dengan kerelaannya juga.

Oleh yang demikian, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menjanjikan nikmat syurga kepada para hambaNya yang taat, untuk menzahirkan kasih-sayangNya kepada para hambaNya dan untuk menyembunyikan cintaNya kepada para hambaNya, dari musuh-musuh para kekasihNya.

Demikian juga, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menjanjikan siksaan neraka kepada mereka yang ingkar dalam mentaatiNya, untuk menzahirkan kebesaran dan keagunganNya serta memberi peringatan kepada manusia sebelum mereka mati, supaya kembali kepadaNya dengan ketaatan, selagi ada hayat.

Dari sinilah, jika kita memahami bahawa, hidup dan mati kitapun daripadaNya, mengapa tidak kita jadikan seluruh hidup dan mati kita untukNya dan beramal di dalam kehidupan kita semata-mata keranaNya. Pilihan untuk beramal keranaNya dan metaatiNya keranaNya semata-mata merupakan sebaik-baik pilihan, kerana dengan memilih sebaliknya (iaitu untuk menderhakai ALLAH SUBHANAHU WA TAALA), ia sebenarnya mengundang kepada kebencian ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan tidak membawa sebarang kebaikan bagi kita.

Apabila seseorang sudah menghayati bahawa, dirinya hidup dengan izin dan kuasa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, dia akan menghayati bahawa, dia juga perlu menjadikan seluruh hidupnya untuk ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, kerana itulah tujuan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menciptakan dirinya.

Sheikhuna (guru kami) Sidi Yusuf Al-Hasani menegaskan makna ini dengan katanya: “Tauhid ialah, kamu jadikan diri kamu hanya untuk Dia yang Maha Esa semata-mata”.
Dari sinilah, apabila kamu melakukan sesuatu, kerana diri kamu untuk ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, maka kamu tidak akan melakukan sesuatu melainkan keranaNya, kerana kamu ialah, semata-mata hanya untukNya.

Apabila ia menyerap ke dalam hati seseorang, maka, di sinilah timbulnya ikhlas, di mana, apabila dia melakukan kebaikan, beribadah kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, menolong sesama manusia, dan sebagainya, dia tidak akan melakukannya melainkan kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Apabila nilai-nilai kehambaan ini kembang mekar di dalam diri seseorang hamba, maka keharuman “redanya kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sebagai Tuhannya” akan menyelubungi seluruh kehidupannya. Pada ketika itulah, keredaannya kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sebagai Tuhannya akan berkembang sehingga dia reda dengan seluruh apa yang diredai oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan meredai seluruh ketetapan hukum dan ketentuan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Lahirlah dari perasaan tersebut, keredaannya kepada Islam sebagai agamanya, dan Rasulullah s.a.w. sebagai rasul dan kekasih ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Dari sinilah timbulnya benih-benih makrifat yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut sebagai “kelazatan iman”. Bukankah kelazatan tidak dapat diterjemahkan ke dalam bahasa perkataan? Bukankah sesuatu kelazatan itu tidak dapat diketahui dan difahami melainkan orang yang pernah merasakannya sahaja. Anda tidak akan tahu kelazatan sesuatu makanan melainkan anda sendiri pernah merasakannya. Ketahuilah bahawasanya, kefahaman kita terhadap hakikat sesuatu merupakan makanan rohani kita, dan sebaik-baik makanan rohani ialah, kefahaman kita terhadap ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang seterusnya membawa kepada makrifatullah (mengenal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA).

Begitulah seperti kata-kata Sheikhuna Sisi Yusuf Al-Hasani: “Rezeki rohani ialah rezeki yang paling istimewa. Ketahuilah bahawasanya, rezeki rohani ialah kefahaman kita mengenai ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.”

Oleh yang demikian, tiada suatu nikmatpun yang diberikan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kepada seseorang hambaNya, melebihi kenikmatan takkala mengenali diri-Nya. Ini kerana, makrifatullah (mengenal ALLAH SUBHANAHU WA TAALA) ialah nikmat yang paling tinggi nilainya bagi seseorang hamba, kerana ia merupakan roh sesuatu kehambaan seseorang kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Diriwayatkan bahawasanya, Yahya bin Mu’az r.a. (m 258H) pernah berkata: “makrifat ialah kehampiran hati dengan yang Maha Dekat (ALLAH SUBHANAHU WA TAALA), kewaspadaan roh di sisi Kekasihnya (ALLAH SUBHANAHU WA TAALA), dan menyendirikan hatinya dari selain ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan menjadikan ia hanya untuk ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. yang Maha Pemerintah lagi Maha Menjawab segala permintaan.”

Dari makna inilah, kita dapati bahawa, seseorang yang sudah mengenali ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, sudah mengenali kehinaan diri di hadapan keagungan-Nya, dan sudah mengenali kehinaan dunia di sisi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, sudah tentu tidak lagi memalingkan dirinya kepada dunia yang lebih hina dari dirinya, dan sebaliknya memalingkan seluruh tujuan kehidupannya untuk ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Maka, pada ketika itu, dunia sedikitpun tidak mampu lagi untuk menggodanya, dengan perhiasan-perhiasan dan kecantikannya, kerana di matanya (hamba tersebut), hanya ada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, yang Maha Agung lagi Maha Cantik.

Jadi, sesiapa yang jujur dalam mengharapkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, sudah pasti tidak akan memalingkan dirinya dengan mengadap dan mengemis di hadapan dunia yang fana’ ini, seperi kata Imam Ja’far bin As-Sodiq r.a. (m 148H).


Imam Al-Rifa’ie r.a. berkata: Makrifah itu seperti pohon yang mempunyai tiga ranting utama.
Ranting Pertama: Tauhid
Ranting Kedua: Tajrid
Ranting Ketiga: Tafrid

Tauhid ialah pengakuan kita bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Ia merupakan langkah melenyapkan seteru ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dari diri kita.
Tajrid pula ialah berkaitan dengan keikhlasan kita kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, dengan memotong segala asbab. Dalam erti kata yang lain, tidak memandang dan bergantung kepada asbab (sebab-sebab) tetapi bergantung harap kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA semata-mata.
Adapun Tafrid ialah memutuskan seluruh keterpautan hati secara keseluruhannya dan hanya melihat dan berpaut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA pada setiap keadaan. Ia merupakan suatu yang amat tinggi. Tafrid juga bermakna, berhubungan dengan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tanpa sebuah perjalanan, tanpa sesuatupun hatta tanpa selain dariNya. Ini lebih menjurus kepada perbahasan Al-Fana’ dan Al-Baqo’ dalam istilah kaum sufi.

Imam Ar-Rifa’ie seterusnya menjelaskan bahawa: “jalan untuk mencapainya (makrifat) ada lima iaitu:

Pertama: 
Takut kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam keadaan sendirian ataupun di khalayak awam.

Kedua:
Ketaatan mutlak dalam kehambaan (kepatuhan dengan melaksanakan syariat ALLAH SUBHANAHU WA TAALA)

Ketiga: 
Memutuskan sebarang keterpautan hati melainkan hanya berpaut kepadaNya dan menghadapNya secara keseluruhan.

Keempat: 
Ikhlas dalam perkataan, perbuatan dan niat.

Kelima: 
Berwaspada dan berjaga dalam setiap lintasan dan setiap pergerakan.
Kesimpulan dari perbincangan berkisar tentang hadith yang mulia tersebut, sesungguhnya makrifatullah itu merupakan suatu kalazatan yang dirasai oleh hati seseorang hamba ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Kelazatan tersebut sebenarnya merupakan natijah dari kejujuran nilai-nilai kehambaan seseorang kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam menunaikan perintah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan reda terhadap segala apa yang datang dari ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Semoga ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menganugerahkan kepada kita sifat reda tersebut supaya dengannya, kita terbang menuju redaNya di laman kemurahan dan rahmatNya.

Amin…

B 42 INILAH KUNCI SEGALA KUNCI YANG TERLALU PENTING.


Al-Imam Ibnul Qoyyim rahimahullah berkata:


“Sesungguhnya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA telah menjadikan bagi segala sesuatu kunci untuk membukanya, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menjadikan kunci pembuka solat adalah bersuci sebagaimana sabda RASULULLAH  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WA SALLAM ‘Kunci solat adalah bersuci’, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menjadikan 

kunci pembuka haji adalah ihram, 
kunci kebajikan adalah kejujuran, 
kunci surga adalah tauhid,
kunci ilmu adalah bagusnya bertanya dan mendengarkan, 
kunci kemenangan adalah kesabaran, 
kunci ditambahnya nikmat adalah syukur, 
kunci kewalian adalah mahabbah dan zikir,
kunci keberuntungan adalah takwa, 
kunci taufik adalah harap dan cemas kepada ALLAH ‘AZZA WA JALLA, kunci dikabulkan adalah doa, 
kunci keinginan terhadap akhirat adalah zuhud di dunia, 
kunci keimanan adalah tafakkur pada hal yang diperintahkan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, keselamatan bagi-Nya, serta keikhlasan terhadap-Nya di dalam kecintaan, kebencian, melakukan, dan meninggalkan, 
kunci hidupnya  hati adalah, tadabbur al-Quran, beribadah di waktu sahur, dan meninggalkan dosa-dosa
kunci didapatkannya rahmat adalah ihsan di dalam peribadatan terhadap Khaliq dan berupaya memberi manfaat kepada para hambaNya, 
kunci rezeki adalah usaha bersama istighfar dan takwa, 
kunci kemuliaan adalah ketaatan kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan Rasul-Nya, 
kunci persiapan untuk akhirat adalah pendeknya angan-angan, 
kunci semua kebaikan adalah keinginan terhadap ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan kampung akhirat,  kunci semua keburukan adalah cinta dunia dan panjangnya angan-angan. 

“Ini adalah bab yang agung dari bab-bab ilmu yang paling bermanfaat, iaitu mengetahui pintu-pintu kebaikan dan keburukan, tidaklah diberi taufik untuk mengetahuinya dan memperhatikannya kecuali seorang yang memiliki bahagian dan taufik yang agung, kerana sesungguhnya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA telah menjadikan kunci bagi setiap kebaikan dan keburukan, kunci dan pintu untuk masuk kepadanya sebagaimana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA jadikan kesyirikan, kesombongan, berpaling dari apa yang disampaikan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kepada Rasul-Nya, dan lalai dari zikir terhadap-Nya dan melaksanakan hak-Nya sebagai kunci ke neraka, sebagaimana ALLAH SUBHANAHU WA TAALAjadikan khamr sebagai kunci segala dosa. 

Dia jadikan nyanyian sebagai kunci perzinaan,
Dia jadikan melepaskan pandangan pada gambar-gambar sebagai kunci kegelisahan dan kegandrungan,
Dia jadikan kemalasan dan kesantaian sebagai kunci kerugian dan luputnya segala sesuatu, 
Dia jadikan kemaksiatan-kemaksiatan sebagai kunci kekufuran, 
Dia jadikan dusta sebagai kunci kenifakan(kemunafikan -ed), 
Dia jadikan kekikiran dan ketamakan sebagai kunci kebakhilan, memutus silaturahim, serta mengambil harta dengan cara yang tidak halal dan 
Dia jadikan berpaling dari apa yang dibawa Rasul sebagai kunci segala kebidaahan dan kesesatan.

“Perkara-perkara ini tidaklah membenarkannya kecuali setiap orang yang memiliki ilmu yang shahih dan akal yang boleh mengetahui dengannya apa yang ada dalam dirinya dan apa yang berwujud dari kebaikan dan keburukan. Maka sepantasnya seorang hamba memperhatikan dengan sebaik-baiknya ilmu terhadap kunci-kunci ini dan kunci-kunci yang dijadikan untuknya.” (Hadil Arwah 1/48-49)

B 41 : ALLAH SWT MENGAMPUNKAN SEMUA DOSA KECUALI 6 GOLONGAN

Allah SWT tidak ampunkan dosa pada malam Nisfu Syaaban terhadap enam golongan manusia :

(1) Orang yang kekal minum arak,

(2) Orang yang derhaka dua ibubapanya,

(3) Orang yang kekal dalam zina,

(4) Orang yang banyak berkelahi,

(5) Orang yang melakukan penjualannya dengan sumpah yang dusta dan

(6) Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi.
(Al-Hadis)

Hadis nabi Riwayat dan Sanadnya ???



B 40 AMALAN YANG MENINGGIKAN MARTABAT MANUSIA






Abu Laith berkata:

1.   Banyak bersedekah.

2.   Sentiasa membaca Al Quran.

3.   Bersama orang yang mengingati Akhirat.

4.   Menghubungkan Silatur Rahim.

5.   Menziarahi orang sakit.

6.   Sedikit bergaul dengan orang kaya yang lupa Akhirat.

7.   Banyak berfikir tentang kesudahannya.

8.   Diam dan sedikit berbicara.

9.   Tawadduk.


B 39 EMPAT PULUH PUJIAN DAN ANUGERAH ALLAH SWT KEPADA HAMBANYA YANG SOLEH DAN SOLEHAH

Imam Al-Ghazali menyebut dalam kitab “  Minhaj Al-Abidin” kelebihan tersebut ialah:

1.    Mendapat pujian dan disebut oleh Allah SWT.

2.    Diagongkan dan dimuliakan oleh Allah SWT.

3.    Dicintai oleh Allah SWT semasa hidup di dunia.

4.    Selama hidup di dunia, kerana TAAT dan Tawakkal sehingga seolah-olah Allah SWT menjadi wakilnya dalam semua urusan. Semua urusan Allah SWT mengatur untuknya.

5.    Segala rezekinya ditanggung oleh Allah SWT.

6.    Mendapat pertolongan Allah SWT setiap kali niat buruk musuh terhadapnya.

7.    Tidak ada perasaan khuatir kerana hatinya sentiasa ditenteramkan oleh Allah SWT.

8.    Darjat kemuliaannya sentiasa diangkat atau sentiasa bertambah oleh Allah SWT.

9.    Himmah atau nilai diri sentiasa diangkat oleh Allah SWT.

10. Hatinya sentiasa kaya, kekayaan hatinya melebihi kekayaan yang dimilikinya SWT.

11. Hatinya sentiasa bersih dan senang menerima ilmu Allah SWT.

12. Bersabar dan Ikhlas menerima segala dugaan dan musibah terjadi hasil dari kelakuan dan kejahatan musuh.

13. Dihormati dan disegani orang lain.

14. Dicintai orang lain - semua orang mengagong dan mencintainya serta memuliakannya.

15. Setiap tutur katanya mendatangkan banyak kebaikan.

16. Bumi, langit dan laut tunduk kepadanya.

17. Semua haiwan tunduk dan takut kepadanya.

18. Memiliki kunci-kunci bumi.

19. Menjadi pemimpin dan mempunyai pengaruh dalam pintu Rabbul Izzati.

20. Allah SWT sentiasa setia menunggu memaqbulkan doanya.

21. Diringan dan dimudahkan oleh Sakaratul Maut ketika menemui ajalnya.

22. Sentiasa Dalam Makrifat dan beriman kepada Allah SWT.

23. Allah SWT sentiasa  melimpahkan kebahagiaan dan keredhaan kepadanya.

24. Kekal di dalam Syurga Allah SWT dan dekat kepada Allah SWT.

25. Semasa di alam Ghaib rohnya diiringi ke langit dengan penuh kehormatan, lemah-lembut dan mendapat segala kenikmatan.

26. Allah SWT melancarkan segala jawapan apabila ditanya oleh semasa disoal dalam kubur dan tidak  diseksa di dalam kubur sehingga hari Qiamat.

27. Rohnya mengadap Allah SWT dengan tenang, rohnya tidak menghadapi kesulitan ketika berpisah dengan jasad kerana mendapat penghormatan daripada Allah SWT, Rohnya tergolong dalam golongan roh orang yang dimuliakan Allah SWT dan jasadnya mudah dikebumikan.

28. Kuburnya luas dan diterangi cahaya.

29. Setelah bangkit dari kubur mendapat penghormatan dan kemuliaan daripada Allah SWT di Padang Mahsyar.

30. Wajah akan bercahaya dan bersinar-sinar.

31. Aman dari segala ancaman di alam Akhirat.

32. Menerima Catatan Amalan dengan tangan kanan.

33. Hisabnya diringankan.

34. Timbangan kebaikkan diberatkan.

35. Dapat mengadap Rasulullah di telaga Rasulullah dan meminum air telaga Rasulullah.

36. Dapat meniti Sirat dan melepasi api neraka.

37. Dapat memberi Shafaat kepada orang lain setelah mendapat keizinan Allah SWT.

38. Mendapat kekuasaan kekal di dalam Syurga Allah SWT.

39. Mendapat Keredaan Allah SWT yang paling agung.

40. Dapat Mengadap Allah Azzawajal.

Tazkiah Nufus. m/s: 61