Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 18 November 2013

M 53 : Apa Patut Kita Buat Jika Terlupa Rakaat Masa Solat. Berhenti Dan Solat Semua Ke?

SOALAN : Apa Patut Kita Buat Jika Terlupa Rakaat Masa Solat . Berhenti Dan Solat Semua Ke ?

JAWAPAN :-
Itulah bijaknya syaitan melalaikan kita dan betapa lemahnya kita kerana terpedaya dengan tipu helah syaitan. Konsepnya mudah sahaja apabila terlupa dalam solat iaitu hendaklah membina atas keyakinan.
Contohnya terlupa bilangan rakaat sama ada tiga atau empat rakaat. Cuba ingati semula susur galur solat untuk mempastikan bilangan yang yakin. Jika tidak dapat, maka ambillah rakaat yang paling sedikit iaitu tiga rakaat.

Sabda NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud,

“Jika seseorang daripada kamu syak dalam solatnya, lalu dia tidak tahu berapa rakaat telah dilakukannya. Adakah tiga atau empat? Maka buanglah syak dan peganglah apa yang diyakini (buatlah jumlah rakaat yang diyakini). Kemudian sujudlah dua kali sujud sebelum memberi salam. Jika dia telah melakukan lima rakaat, maka ia (kedua sujud dan duduk antaranya) menggenapkan solatnya. Jika dia telah melakukan sempurna empat rakaat, kedua sujud itu sebagai satu tanda kehinaan bagi syaitan.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Jadi tak perlulah untuk menghentikan solat lalu memulakan solat baru. Jangan pula diambil bilang rakaat yang banyak. Kalau ambil bilangan rakaat yang banyak lalu pada hakikatnya kurang, maka solat itu tidak sempurna. Tetapi kalau diambil bilangan rakaat yang sedikit lalu pada hakikatnya sudah terlebih, itu tidak mengapa.

Rujukan : Harian Islam.com





Ahad, 17 November 2013

M 52 : Islam Itu Bukan Hanya Di Sekolah Agama

Izzati. Indah nama itu. Secantik dan semulia akhlak insan yang menjadi pemegangnya. Hidup di IPIS (Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam) memang merupakan impiannya sejak sekian lama. Sudah hampir 3 tahun dia berdoa agar dirinya nanti dihantar ke suatu tempat yang dia kira cukup Islamik, agar mudah untuk dia mengubah diri serta jalan hidupnya.
Bukan selama ini dia tersesat, cuma dia ingin menjadi seseorang yang baru, berbeza dengan dirinya yang dahulu. Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Mengalir air mata suci daripada sepasang mata yang sering melemparkan pandangan bening itu. Begitu dia bersyukur apabila doanya dijawab. Subhanallah. Allah itu Maha Berkuasa.
6 bulan pertama berada di IPIS sudah cukup untuk merubah segala-galanya tentang dirinya. Usahkan penampilan, cara pergaulan dan percakapannya berubah sama sekali. Dia kini seorang yang serba baru. Meskipun begitu, dia tidak pernah lupa asal usulnya. Siapa dia,dari mana dirinya.
Setelah 6 bulan berada di IPIS, sudah tibalah masanya untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Sedih juga rasanya untuk meninggalkan IPIS yang kini sudah menjadi sebahagian daripada jiwanya.
“Assalamualaikum!! Izzati dah sampai!! Mak, Ayah!!” Terdengar suaranya yang lantang memecah keheningan subuh…
“Wajah insan tersayang kini sudah berada di depan mata. Apalagi, pergilah peluk!” gertak jiwa kecilnya.Tidak tergambar rasa gembiranya hati apabila dapat mengucup pipi ibu serta ayah tercinta.
Perubahan Izzati sedikit sebanyak telah mempengaruhi orang di sekelilingnya. Ada yang boleh menerimanya dengan baik. Tidak kurang juga yang memandang serong terhadapnya. Tetapi, bukan itu yang Izzati risaukan. Kini, dia sudah ada tanggungjawab besar yang akan disoal di akhirat kelak. Tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu yang ada padanya. Ilmu yang masih sangat sedikit itu ingin dia kongsikan bersama dengan harapan mereka akan turut merasakan betapa manisnya hidup mengikut acuan Islam sejati.
Perjuangan Izzati tidak mudah. Untuk mengubah keluarga sendiripun dia masih tertatih-tatih. Walaupun begitu dia tidak pernah berputus asa. Hampir setiap hari, ada sahaja terdengar suaranya memenuhi rumah dengan nasihat serta pengajaran yang penuh bermakna. Ada kalanya kaum keluarga mendengar dengan penuh perhatian. Ada pula waktunya Izzati seperti berbicara sendirian kerana orang-orang di sekelilingnya sudah bosan dengan ucapan yang agak sama setiap hari. Tetapi, tidak pernah pula sikap seperti itu merubah semangat Izzati.
Hari itu Izzati pergi menziarahi neneknya yang kurang sihat di kampung. Alangkah gembiranya Izzati apabila dia menemui seorang sahabat lama yang dahulunya turut bersamanya bermain teng-teng dan meneruskan perjuangan bersama sehingga ke sekolah menengah. Tetapi,dalam kegembiraan tersebut timbul sedikit kesedihan di hati Izzati. Lia yang dia kenali dahulu sudah berubah sama sekali.Tudung tidak lagi menutup rambutnya. Rambutnya kini pula sudah dihiasi dengan segala jenis macam warna yang menyakitkan mata yang memandang. Belum lagi ditambah dengan tindikan-tindikan di telinga yang melemaskan jiwa. Baju yang nipis dan ketat. Pergaulan dengan lelaki?? Tidak mampu Izzati membicarakan perihal Lia yang selanjutnya.
“Lia, kenapa Lia berubah? Kenapa Lia tak pakai tudung? Rambut Lia ni… dulu kan cantik.. Lia dah lain sangat. Janganlah macam ni Lia. Zati rindu Lia yang dulu. Lia yang lembut, sopan, pemalu, yang jaga aurat dan yang paling penting, jaga pergaulan…” keluh Izzati pada suatu petang yang sunyi.
Lia hanya mendiamkan diri. Mungkin sedikit terkesan di hatinya apabila kata-kata seperti itu diucapkan oleh sahabat karibnya sendiri. Memang dia akui kata-kata Zati itu betul semuanya. Tetapi, suasana di kampung memang telah banyak mempengaruhi gaya hidup Lia. Bergaul dengan remaja sebayanya yang bermasalah telah betul-betul menjadikan Lia insan yang berbeza. Dengan nada yang agak keras, Lia menjawab segala persoalan yang Izzati ajukan padanya.
“Zati… Zati kena ingat. Ini kampung. Bukan macam tempat Zati IPIS tu Islamik. Memanglah senang Zati nak kekalkan diri Zati yang baik ni. Kampung ni. Macam-macam ada. Orang-orang yang tinggal dalam kampung ni bukan sembahyang sangat pun. Kalau dah yang tua-tua itu pun tak dapat nak jadi contoh, macam mana kita orang yang muda ni nak jadi baik? Zati patut ajar yang tua-tua tu dulu, baru ajar Lia. Zati cakap senanglah. Nanti, kalau Zati dah lama-lama kat sini, mesti Zati pun berubah. Takkan bertahannya diri Zati yang sekarang ni. Percayalah cakap Lia. Zati janganlah nak jadi hipokrit. Buat-buat baik kat sini untuk tunjuk kat kita orang semua. Lia tahu Zati ni siapa. Pasal tudung dan rambut tu, tempat ni lain Zati. Kalau kat IPIS Zati wajib pakai tudung labuh, kat sini tidak ada peraturan macam itu. Jangan pula Zati nak wujudkan peraturan sendiri. INI BUKAN IPIS!”
“Astarghfirullahalazim! Lia! Kenapa Lia cakap macam itu?! Islam itu ada di mana-mana Lia. Bukan dekat IPIS sahaja. Sebagai umat Islam sejati, sudah menjadi kewajipan kita untuk mematuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah walau di manapun Lia berada. Jangan jadikan suasana kampung ini sebagai alasan untuk Lia berubah. Lia, kalau orang di sekeliling Lia tidak mampu untuk mendidik Lia, Lia patut didik dan kuatkan diri sendiri. Memang tidak mudah Lia. Zati pun tak rasa mudah untuk kekal  begini. Tetapi, itulah hakikatnya. Kita takkan mampu untuk berubah sekiranya kita sendiri tidak berusaha. Ingat Lia. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu umat itu sehingga mereka sendiri berusaha untuk berubah..” berlinang air mata suci Izzati tatkala mengucapkan kata-kata tersebut. Sungguh tidak disangka, sampai begitu sekali Lia berubah. Baru 6 bulan mereka berjauhan, Lia sudah jauh pergi meninggalkan agamanya.
“Ala…Janganlah Zati nak buat-buat suci kat sini. Tempat ni lain Zati. LAIN! Zati pakai macam ni, tudung-tudung yang macam ‘khemah bergerak’ ni, Zati ingat orang sanjung Zati ke? Budak-budak kampung ni… hari-hari mengumpat Zati.. Zati datang je dia orang gelarkan Zati ‘khemah bergerak.’ Kelakarlah Zati. Janganlah pakai macam ini lagi Zati. Tak sesuai kat sini. Kita dekat kampung, buatlah macam cara dekat kampung. Nanti, kalau Zati dah balik IPIS, sesuailah Zati pakai macam ni. Memang wajib dekat sana kan? Dekat sini takpun..” Dengan nada selamba Lia mengucapkan kata-kata tersebut.
Zati hampir pengsan apabila mendengar kata-kata seperti itu diucapkan oleh sahabatnya sendiri. Bertambah pilu dan sedih hatinya. Bukan kerana gelaran ‘khemah bergerak’ itu atau umpatan orang kampung, tetapi kerana cara hidup sahabatnya yang kini semakin jauh dari Allah. Dalam diam Zati berdoa di dalam hati agar dosa-dosa sahabatnya itu diampunkan oleh Allah dan dibukakan semula pintu hatinya untuk kembali pada Islam. Sungguh kasih dia pada sahabatnya ini sehingga tidak sanggup dia untuk melihat Lia tersiksa di akhirat kelak. Azan maghrib yang berkumandang menyedarkan Zati. Cepat-cepat dia menyeka air matanya. Dia segera membetulkan tudungnya.
“Lia, jom balik. Dah masuk waktu maghrib. Kita solat. Hari ini kita baca surah an-nisa’ serta tafsirannya sekali.”
Teringat Izzati saat-saat indah dahulu di mana dia dan Lia seringkali membaca al Quran bersama-sama dan bertadabbur di surau berhampiran rumah neneknya. Sungguh indah waktu itu.
“Jom Lia..” Izzati menarik lembut tangan sahabatnya itu.
“Takpe. Zati pergilah! Hati Lia sudah tertutup untuk itu. Lia nak keluar dengan kawan-kawan Lia kejap lagi ni. Bila Lia dah dapat SERU nanti Lia solat. Kita masih muda Zati .Masih banyak masa untuk kita. Zati ni macam orang tua la. Sibuk beribadah macam dunia ni dah nak kiamat. Dia orang patutlah buat macam itu. Umur pun dah tak panjang.Kita ni muda lagi.”
Astarghfirullahalazim. Pedih sekali hati Izzati mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Izzati sudah tidak mampu lagi berdiri di situ. Dia segera berlalu. Kudratnya sudah lama habis. Lemah dirinya apabila mendengarkan kata-kata Lia. Di dalam hati Izzati banyak-banyak berdoa dan meminta keampunan kepada Allah di atas kelemahannya yang tidak mampu untuk membantu sahabatnya itu. Dia pergi meninggalkan Lia dengan linangan air mata.
Setelah hampir dua bulan bercuti, kini Izzati akan kembali semula ke IPIS untuk semester kedua. Perjuangannya kali ini pasti lebih sukar. Azamnya kali ini lebih tinggi. Bila dia kembali lagi nanti, dia akan buat lebih banyak lagi.
“Zati!!” Terdengar sayup-sayup suara Lia memanggilnya dari jauh. Zati menoleh ke belakang.
“Lia…dah lama tak jumpa Lia. Zati nak balik dah ni. Nanti Zati datang sini lagi. Ingat Lia .Islam itu ada di mana-mana. Bukan di IPIS saja. Di sini juga.. di HATI…” ucap Zati smbil meletakkan kedua-dua tangan sahabatnya di dadanya.
Kemudian Izzati berlalu pergi. Dengan linangan air mata, dia berharap agar pintu taubat masih terbuka untuk sahabatnya itu. Lia hanya terdiam dan tergamam. Masih cuba untuk memahami kata-kata Izzati tadi.
Sumber: iluvislam.com

Rujukan : Harian Islam.com




M 51 : WANITA YANG BERWAJAH TIDAK CANTIK

Seorang gabenor pada zaman Khalifah Al-Mahdi, pada suatu hari mengumpulkan sejumlah rakyatnya dan menaburkan wang dinar di hadapan mereka. Semuanya saling berebut untuk memungut wang itu dengan riang gembira. Kecuali  seorang wanita berkulit hitam dan berwajah buruk.
Dia hanya diam sahaja tidak bergerak, sambil memandang jiran–jirannya yang sebenarnya lebih kaya dari dirinya, tetapi seolah-olah mereka kekurangan harta.
Dengan kehairanan Gabenor bertanya, “Mengapa engkau tidak memungut wang dinar itu seperti jiran engkau yang lain?”
Wanita berwajah buruk itu menjawab, “Mereka cari wang dinar sebagai bekal dunia. Sedangkan yang saya memerlukan bukan dinar melainkan bekal akhirat.”
“Maksud kamu?” tanya Gabenor yang mulai tertarik akan keperibadian perempuan itu.
Maksud saya, wang dunia sudah cukup. Yang masih saya perlukan adalah bekal akhirat, iaitu solat, puasa dan zikir. Kerana perjalanan di dunia amat pendek jika dibandingkan dengan pengembaraan di akhirat yang panjang dan kekal.”
Dengan jawapan seperti itu, Si Gabenor merasa telah disindir tajam. Dia insaf, dirinya selama ini hanya sibuk mengumpulkan harta benda dan melalaikan kewajipan agamanya. Padahal kekayaannya melimpah ruah, tidak akan habis dimakan keluarganya sampai tujuh keturunan. Sedangkan umurnya sudah di atas setengah abad, dan Malaikat Izrail sudah mengintainya.
Akhirnya Gabenor jatuh cinta kepada perempuan buruk itu. Khabar itu tersebar ke segenap pelusuk negeri. Menteri dan orang besar negara sangat hairan, bagaimana seorang Gabenor boleh menaruh hati kepada perempuan hodoh itu.
Maka pada suatu kesempatan, mereka diundang oleh Gabernor dalam sebuah pesta mewah. Semua rakyat, termasuk wanita yang hodoh tadi. Mereka diberikan gelas cristal yang bertahtakan permata, berisi minuman anggur segar. Gabenor memerintah agar mereka membaling gelas masing-masing.
Semuanya kebingungan dan tidak mahu menuruti perintah itu.
Namun, tiba-tiba terdengar bunyi berderai, tanda ada orang gila yang melaksanakan perintah itu. Itulah si perempuan berwajah buruk tersebut. Di kakinya terdapat pecahan gelas berhamburan. Semua orang nampak terkejut dan kehairanan. Gabenor itu bertanya, “Mengapa kamu membaling gelas itu?“
Tanpa takut wanita itu menjawab :
Ada beberapa sebab:
Pertama, dengan memecahkan gelas ini bererti berkurangnya kekayaan Tuan. Tetapi, pada saya perkara itu lebih baik, kerana kewibawaan Tuan terjaga lantaran perintah Tuan tidak dipatuhi.”
Gabenor terkesima. Para tetamunya juga kagum akan jawapan yang masuk akal itu.
Sebab lain?” tanya Gabenor itu lagi. Wanita itu menjawab.
“Kedua, saya hanya mentaati perintah Allah. Sebab di dalam al Quran, Allah memerintahkan agar kita mematuhi Allah, UtusanNya, dan para penguasa. Sedangkan Tuan adalah penguasa, atau ulil amri, maka saya laksanakan perintah Tuan.”
Gabenor semakin takjub. Demikian pula para tetamunya.
“Masih ada sebab lain?”
Perempuan itu mengangguk dan berkata.
“Ketiga, dengan saya memecahkan gelas itu, orang-orang akan menganggap saya gila. Namun, perkara ini baik buat saya. Biarlah saya di cap gila daripada tidak melakukan perintah Gabenornya, yang bererti saya sudah berbuat derhaka. Tuduhan saya gila, akan saya terima dengan lapang dada daripada saya dituduh derhaka kepada penguasa saya. Itu lebih berat buat saya.
Maka Gabenor yang sedang menduda itu melamar lalu menikahi perempuan hodoh dan hitam legam itu. Semua yang mendengar sangat gembira kerana Gabenor memperolehi jodoh yang bukan sahaja taat kepada suami, tetapi juga taat kepada gabenorrnya, kepada Nabinya, dan kepada Tuhannya.
Oleh : Ust M. Zainuddin & Pakarcinta.com

Rujukan : Harian Islam.com


M 50 : Sayangilah Ibu Kami Ya Allah

Pada suatu hari seorang Pemuda yang bernama Hassan tidur dan telah bermimpi. Dalam mimpinya, seolah-olah setiap orang dapat melihat bentuk hati di dada orang lain termasuk hatinya sendiri. Sekilas,dia sangat mengagumi dan hairan dengan suasana ini. Hassan mengalihkan pandangan ke dadanya sendiri, dia sangat bangga ketika melihat hatinya berwarna merah jambu utuh dan berkilauan. “Hati yang sempurna” katanya,
“Tak bercacat dan tak bernoda.”
Lalu dia melangkahkan kakinya keluar. Dia mulai mengamati hati orang-orang di sekitarnya. Ada yang terpancar indah seperti miliknya, ada yang terdapat luka, ada yang besar, ada yang kecil, dan sebagainya. “Wow, luar biasa…” katanya lagi. Si Hassan semakin yakin bahawa hatinyalah yang paling sempurna kerana dia tidak melihat ada hati yang lebih indah dari miliknya.
Tiba–tiba, pandangan Hassan terpaku saat melihat seorang wanita tua yang bertudung labuh. Wanita tua itu hampir tidak kelihatan wajahnya. Wanita tua itu berhati sangat besar tetapi tak berbentuk. Hassan pun kehairanan kenapa banyak sekali lubang terdapat pada hati orang itu.
Dia berjalan mendekati si wanita tua itu dan bertanya kepadanya.
“Kenapa hatimu seperti itu? kenapa tidak berbentuk sempurna dan indah seperti milik saya?” Katanya dengan megah.
Jawab wanita itu, “Mungkin kerana kamu masih terlalu muda dan belum begitu memahami dunia.”
Wanita tua melanjutkan kata–katanya,
“Setiap kali saya mencintai seseorang, saya mencungkil hati ini dan saya berikan padanya. Begitu juga jika saya menolong seseorang, selalu ada serpihan hati yang ku berikan pada orang itu.
Dulu, waktu saya masih muda dan bergaul dengan banyak sahabat, hati saya terhiris-hiris kerana harus dibahagikan pada banyak sahabat. Semasa saya menikah dan mempunyai anak, hati saya hampir habis tersiat-siat untuk memahami suami dan mengasuh anak.”
“Tetapi, ada suatu masa di mana orang–orang lain juga mulai membahagi hati pada saya. Mereka juga belajar menghiris hatinya untuk menutup setiap luka di hati saya hingga bertompok-tompok, itulah sebabnya kenapa hati saya lebih besar dari hatimu, sekalipun tidak ada bentuk lagi.
Memang, tidak semuanya mahu berbuat sedemikian, itulah sebabnya kenapa masih banyak lubang ternganga di hati ini. Sekarang, hati siapa yang lebih indah? hatiku atau hatimu?”
Hassan tertegun untuk sekian lama. Dia mulai menyedari bahawa hati wanita tua itu jauh lebih sempurna dari hatinya. Luka, cacat, dan banyaknya tampalan di hati wanita itu menjadikannya lebih indah dan lebih besar dari miliknya. Setiap lubangnya seolah–olah berbicara tentang cinta dan keikhlasan dalam kehidupan yang dijalaninya..
sumber asal: Muslimah Sholehah
Rujukan : Harian Islam.com


M 49 :Maaf, Saya Lebih Takutkan Allah..

Seorang gadis kecil pulang dari sekolah. Setibanya di rumah, ibunya melihat anak kecilnya dirundung kesedihan. Maka ibu pun bertanya kepada puterinya itu tentang sebab kesedihannya.

Anak: “Aduhai ibuku, sesungguhnya Pengetua telah memberi amaran akan membuangku dari sekolah kerana pakaian labuh yang ku pakai.”
Ibu: “Tetapi itu adalah pakaian yang dikehendaki oleh Allah, wahai puteriku.”
Anak: “Benar, wahai ibu, akan tetapi Pengetua tidak menyukainya.”
Ibu: “Baiklah, wahai puteriku, Pengetua itu tidak menghendaki, tetapi Allah meng­hendakinya. Maka siapakah yang akan kamu taati? Adakah kamu akan mentaati Allah yang telah menciptakanmu dan membentukmu, serta yang telah mengurniakan kenikmatan kepadamu? Atau kamu akan mentaati seorang makhluk yang tidak mampu memberikan manfaat dan kebaikan kepada dirinya sendiri?”
Anak: “Sesungguhnya saya akan taat kepada Allah.”
Ibu: “Bagus, wahai puteriku, kamu tepat sekali.”
Pada hari berikutnya, gadis kecil itu pergi dengan mengenakan baju yang labuh dan menutup aurat. Tatkala Pengetua melihatnya, dia memarahi gadis kecil itu dengan keras. Gadis kecil itu tidak mampu memikul amarah tersebut, ditambah lagi oleh pandangan rakan–rakan sekelas yang tertumu kepadanya.
Tidak ada yang dapat dilakukan gadis itu selain menangis. Kemudian, gadis kecil itu mengeluarkan kata-kata yang besar maknanya meskipun sedikit jumlahnya, “Demi Allah, saya tidak tahu siapa yang akan saya taati, tuan ataukah Dia?”
Pengetua itu pun bertanya, “Siapakah Dia itu?”
Anak itu menjawab, “Allah. Apakah saya harus taat kepada tuan, sehingga saya mesti memakai pakaian seperti yang tuan kehendaki, tetapi saya telah berbuat maksiat kepadaNya.
Maaf, saya lebih takutkan Allah. Biarlah saya akan mentaatiNya sahaja dari mentaati tuan, dan apa yang terjadi biarlah terjadi.”
Gadis kecil itu bertekad untuk berpegang kuat dan taat ke­pada perintah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa akan tetapi adakah Pengetua itu hanya berdiam sahaja?
Pengetua itu meminta dipanggilkan ibu si anak kecil tersebut. Apa yang Pengetua itu inginkan dari ibunya?
Maka datanglah si ibu itu…
Ibu guru berkata kepada ibu anak kecil itu, “Sesungguhnya puteri puan telah menasihatiku dengan nasihat paling besar yang pernah aku dengar di sepanjang hidupku.”
Seorang guru yang ilmunya tidak dapat menghalangnya untuk mengambil nasihat dari seorang gadis kecil yang mungkin seusia dengan cucunya
Wahai ibu-ibu muslimah, di depan anda adalah anak-anak anda. Mereka seperti adunan tepung. Anda boleh membentuknya sebagaimana yang anda kehendaki, maka bersegeralah untuk membentuk mereka dengan bentuk yang diredhai oleh Allah dan RasulNya.
Ajarkanlah solat kepada mereka
Ajarkan mereka ketaatan kepada Allah
Ajarkan mereka untuk tetap teguh di atas kebenaran..

Rujukan : Harian Islam.com



M 48 : Rasulullah S.A.W Dan Kucingnya

Diceritakan dalam suatu kisah, Nabi Muhammad SAW memiliki seekor kucing yang diberi nama Mueeza.
Suatu ketika, di kala nabi hendak mengambil jubahnya, ditemuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai di atas jubahnya. Kerana tidak mahu mengganggu haiwan kesayangannya itu, nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya.
Ketika Nabi kembali ke rumah, Muezza terbangun dan tunduk sujud kepada tuannya.
Sebagai balasan, nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengusap lembut ke badan kucing baginda itu sebanyak 3 kali.
Dalam peristiwa lain, setiap kali Nabi menerima tetamu di rumahnya, nabi selalu menggendong mueeza dan diriba di atas pahanya.
Salah satu sifat Mueeza yang nabi sukai ialah dia selalu mengeong ketika mendengar azan, dan seolah-olah suaranya terdengar seperti mengikuti lantunan suara azan.
Kepada para sahabat, nabi selalu berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan, seperti menyayangi keluarga sendiri.
Hukuman bagi mereka yang menyakiti haiwan manja ini sangatlah berat, dalam sebuah hadis sahih Al Bukhari, dikisahkan tentang seorang wanita yang tidak pernah memberi makan kucingnya, dan tidak pula melepaskan kucingnya untuk mencari makan sendiri.
Nabi SAW pun menjelaskan bahawa hukuman bagi wanita ini adalah siksaan neraka.
Tidak hanya nabi, isteri nabi sendiri, Aisyah binti Abu Bakar Ash Siddiq pun amat menyukai kucing, dan merasa amat kehilangan di kala kucingnya meninggalkannya.
Seorang sahabat yang juga ahli hadis, Abdurrahman bin Sakhr Al Azdi diberi jolokan Abu Hurairah (bapa kucing jantan), kerana kegemarannya dalam merawat dan memelihara banyak kucing jantan di rumahnya.
*Ada sesetengah dari kita sanggup membiarkan kucing kelaparan. Mungkin ramai yang tidak mengetahui balasannya.
*Saya pun suka kucing, ada semua suka kucing tak? sunnah nabi ni..hi3
sumber : zharifalimin.blogspot
Rujukan : Harian Islam.com


M 47 : Rama-Rama Yang Tak Mampu Terbang..

Suatu hari, ada seorang budak lelaki sedang memerhatikan seekor kepompong..
Di dalamnya ada rama-rama yang sedang berjuang untuk melepaskan diri dari dalam kepompong dan Kelihatannya begitu sukar
Budak lelaki tersebut merasa kesian kepada rama–rama tersebut
Dia ingin membantu rama-rama agar dapat keluar dengan mudah.
Akhirnya kanak-kanak mengambil gunting dan membantu memotong
kepompong agar rama-rama dapat keluar dengan segera dan senang.
Alangkah senang dan leganya kanak-kanak tersebut.
Tetapi apa yang terjadi?
Rama-rama itu memang dapat keluar dari sana,
Tetapi rama-rama itu tidak dapat terbang, dia hanya dapat merayap.
Apa sebabnya?
Rama-rama yang sedang berjuang dari kepompongnya tersebut,
Sebenarnya pada saat rama-rama mengerahkan seluruh tenaganya, ada satu cecair di dalam tubuhnya mengalir dengan kuat ke seluruh tubuhnya, yang akan membuatkan sayapnya dapat mengembang sehingga ia dapat terbang.
Tetapi kerana tiada lagi perjuangan tersebut, maka sayapnya tidak dapat mengembang sehingga ia menjadi seekor rama-rama yang hanya dapat merayap.
Kadangkala niat baik kita belum tentu menghasilkan sesuatu yang baik.
Sama seperti pada sewaktu kita mengajar anak kita.
Kadangkala kita sering membantu mereka kerana kasihan atau rasa sayang, tetapi sebenarnya membuatkan mereka tidak berdikari
Membuat potensi dalam dirinya tidak berkembang. Memandulkan kreativiti
Kerana kita tidak sanggup melihat mereka mengalami kesulitan,
Yang sebenarnya jika mereka berjaya mengatasinya, mereka akan menjadi KUAT.
Demikian juga pada sewaktu kita sedang berjuang menghadapi sesuatu, jangan mengharapkan bantuan orang lain, berjuanglah dahulu dengan mengerahkan segala kemampuan kita.
Hidup penuh dengan PERJUANGAN.
Sering kali juga kita sering menyalahkan situasi yang kita hadapi,
Tetapi ternyata situasi itulah yang akan mendewasakan kita.


Rujukan : Harian Islam.com