Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Ahad, 10 Januari 2021

V 100 : 99 ASMAUL HUSNA ( 7. AL MUHAIMIN )

 AL MHUHAIMIN  ( المهيمن )

 ALLAH Yaa Muhaimin Yang Maha Memelihara. DIA memelihara hidup manusia daripada bahaya dan bencana. DIA memelihara manusia daripada tergelincir dari jalan kebenaran dan daripada mengikut bisikan syaitan serta memelihara hamba-hamba yang beriman daripada azab api neraka.

 Menghayati sifat Al Muhaimin akan menjadikan seseorang cuba sedaya upaya memelihara kesejahteraan manusia lain agar manusia selamat dunia dan akhirat. Juga memelihara manusia lain daripada terpesong dari kebenaran dengan kerja-kerja dakwah.

 Manusia harus memohon pemeliharaan daripada ALLAH Subhanahu Wata'ala daripada bencana dunia dan akhirat, makhluk  tidak mampu memelihara melainkan dengan pertolongan dan izin ALLAH Yaa Muhaimin. Manusia harus bergantung harap sepenuhnya hanya kepada ALLAH Yaa Muhaimin demi kesejahteraan dunia dan akhirat.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muhaimin, Yaa Muhaimin, Yaa Muhaimin, sesungguhnya Engkau Maha Melindungi lagi Maha Memelihara, Engkau memeliharaku dari kepanasan matahari dengan mencipta awan, Engkau melindungi kami di dunia ini dengan mengawal panas, hujan dan angin agar manfaatMu Yaa Nafi' dapat kami nikmati dan tidak memudaratkan kami Yaa Dharru.

 Engkau Yaa Muhyi menghidupkan alam dengan kehijauan pokok-pokok, agar kami semua dapat menghirup oksigenMu dan terlindung kami dari keracunan gas. Engkau Yaa Muhaimin Yaa Waliy mengawal binatang-binatang buas dan berbisa agar tidak dapat memudaratkan kami.

 Engkau Yaa Muhaimin mengurniakan sistem perkumuhan dalam tubuh kami untuk memelihara dan melindungi tubuh badan kami agar setiap bahan buangan dapat dibersihkan dan tidak menjadi racun kepada tubuh kami. Engkau melindungi kami dari gangguan makhluk ghaib yang kami tak nampak. Engkau juga Yaa Muhaimin memelihara kami dari melakukan kejahatan dan dosa dengan pancaran cahaya hidayahMu Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq.

 Yaa Allah Yaa Muhaimin, peliharalah kami dari siksaanMu Yaa Muntaqim di dalam kubur nanti, pelihara kami dari lemas dengan peluh dan air mata di Mahsyar nanti, pelihara kami dari jatuh ketika meniti titian sirat dan pelihara kami dari dicampakkan ke dalam api NerakaMu Yaa Muntaqim, sesungguhnya Engkau Yaa Muhaimin Maha Memelihara lagi Maha Pengasih Penyayang Yaa Rahman Yaa Rahim.



V 99 : 99 ASMAUL HUSNA ( 6. AL MUKMIN )

AL MUKMIN ( المؤمن )

ALLAH Yaa Mukmin Yang Maha Memberi Keamanan. Memberi keamanan jiwa, emosi dan jasmani serta dibebaskan dari rasa takut dan bimbang. ALLAH sumber  keamanan kehidupan manusia, saat sama DIA juga mampu memberikan bahaya dan ancaman (Yaa Dharr). Untuk mendapat keamanan daripada Yaa Mukmin, perlukan kekuatan persandaran dan keimanan yang teguh kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala, Malaikat, Rasul, Kitab, Akhirat, Qada’ dan Qadar sebagaimana yang dituntut dalam Rukun Iman.

 Penghayatan kepada Al Mukmin adalah seseorang harus ikhlas dalam setiap apa yang dilakukan demi kerana ALLAH Subhanahu Wata'ala semata-mata, bersemangat dan tidak ada sikap putus asa. Tidak gentar atau takut menghadapi cabaran kehidupan ini kerana tingginya keyakinan berdampingan dengan ALLAH Yaa Mukmin.

 

Bicara Hati

 Allahumma Yaa Mukmin, Yaa Mukmin, Yaa Mukmin, sesungguhnya Engkau Yang Maha Memberi Keamanan. Alam buana ini aman tanpa bencana alam, diamankan olehMu Yaa Mukmin.  Negara ini aman tanpa huruhara atas kurniaanMu Yaa Mukmin, Engkaulah Yaa Mukmin yang memberi rasa aman dalam jiwa-jiwa manusia dari kejahatan makhlukMu. Engkau juga yang memberi rasa aman di Alam Barzakh dan Alam Akhirat nanti dari azabMu Yaa Muntaqim.

 Sekiranya Engkau Yaa Mukmin mencabut rasa aman itu, akan cemas dan takutlah jiwa ini.  Sekiranya Engkau Yaa Mukmin mengambil balik keamanan dunia ini, akan huru-haralah dunia ini sehingga berlakunya bunuh-membunuh dan berperang antara satu sama lain di sana sini. Sesungguhnya seluruh keamanan itu milikMu dan kurniaanMu Yaa Mukmin kepada hamba-hambaMu. Oleh itu Yaa Allah Yaa Mukmin, amankanlah jiwa kami yang sering kali cemas dan takut ini, amankan kami dari gangguan dan tipu daya syaitan yang sentiasa membisik dan dari kejahatan makhluk samada yang nampak atau tak nampak. Amankan negara kami dan dunia ini Yaa Mukmin.



V 97 : 99 ASMAUL HUSNA ( 4. AL QUDDUS )

 AL QUDDUS ( القدوس ) 

 Allah Yaa Quddus Yang Maha Suci. Ini bererti Allah suci, bersih dan sempurna dari segala kesalahan, kecacatan atau kekurangan. Penciptaan langit dan bumi membuktikan kesempurnaan penciptaanNya dan kekuasaanNya. Al Quddus juga membawa makna mempunyai pekerti yang sangat mulia diliputi dengan kasih sayang tanpa kebencian.

 Penghayatan Al Quddus dalam diri manusia adalah dengan menyucikan jiwa daripada sembahan-sembahan lain selain daripada Allah Subhanahu Wata'ala (hawa nafsu, bisikan syaitan, dunia, kata-kata manusia). Menyucikan jiwa daripada penyakit-penyakit hati (dendam, benci, mengumpat, menghasut dan lain-lain). Menyucikan hidup daripada dosa dan noda, serta menyucikan mulut, telinga, mata, anggota tubuh dan sebagainya.

Bicara Hati

 Allahumma Yaa Quddus, Yaa Quddus, Yaa Quddus, sesungguhnya Engkau yang Maha suci lagi Maha Sempurna, setiap yang berlaku adalah atas kehendak dan takdirMu jua. Yaa Qodir, Yaa Muktadir yang melambangkan kesucian dan kesempurnaanMu. Kurniaan dan kasih sayang serta pemeliharaanMu melalui pelbagai peristiwa yang bersilih ganti dalam hidup kami ini antara kesempitan dan kesenangan, antara kejatuhan dan kenaikan, antara kemuliaan dan kehinaan, ialah tanda kesempurnaan sifat pemurah dan penyayangMu Yaa Quddus Yaa Rahman Yaa Rahim, kesempurnaan kebijaksanaanMu Yaa Quddus Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, kesempurnaan kekuasaanMu Yaa Quddus Yaa Qodir Yaa Muktadir Yaa Aziz Yaa Jabbar Yaa Mutakabbir.

 Allahumma Yaa Quddus yang Maha suci lagi Maha Sempurna, tindakanMu sangat tepat, tidak pernah tersilap, tepat pada masanya, caranya dan kesannya. Sekiranya kami lemah, Engkau memberi kami kekuatan dengan menghantar  peristiwa yang memaksa diri kami bergerak dengan kuat dan laju, Engkau tidak akan membiarkan kami terleka dan terlalai dengan dunia yang fana ini. Sekiranya kami terleka dengan harta benda dunia dan cinta manusia yang menyekat dan mengikat kami daripada datang hampir kepadaMu, Engkau Yaa Quddus sering kali memisahkan dan memutuskan dunia dan manusia dari kami agar hati ini merdeka daripada makhluk, dapat kembali mengabdi diri kepadaMu. Ketika kami tersasar ke jalan Neraka, Engkau Yaa Quddus mencipta peristiwa-peristiwa untuk mengembalikan daku ke jalan SyurgaMu, sesungguhnya tiada peristiwa yang berlaku kepada kami melainkan semuanya tanda kesempurnaanMu Yaa Quddus.



V 98 : 99 ASMAUL HUSNA ( 5. AL SALAM )

 AL SALAM ( السلام )

 Allah Yaa Salam bererti Yang Maha Sejahtera, tenang, menyelamatkan dan damai. Dia yang memberi kesejahteraan, ketenangan, keselamatan dan kedamaian kepada manusia. Dia memberi kesejahteraan jiwa, pemikiran, emosi dan tubuh badan. Untuk mendapat kesejahteraan daripada Yaa Salam, hendaklah mendekatkan diri denganNya dengan melakukan ketaatan dan memperbanyak ibadah-ibadah sunat.

 Penghayatan kepada Al Salam melahirkan manusia yang sanggup mengorbankan diri bagi kesejahteraan dan keselamatan orang lain dengan membantu mengikut kemampuan, memberi ketenangan melalui motivasi, nasihat dan pandangan.

 Menjaga kesejahteraan badan dengan mengikut sunah nabi (makan, tidur, bermuamalat dan lain-lain).

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Salam, Yaa Salam, Yaa Salam, sesungguhnya Engkau Maha Sejahtera, seluruh kesejahteraan pada alam dan makhluk milik dan kurniaanMu. Kami bersyukur kepadaMu Yaa Salam atas kesejahteraan yang Engkau kurniakan kepada jiwa kami sehingga jiwa ini sentiasa ingat kepadaMu, syukur atas kesejahteraan kurniaanMu kepada fikiran dan emosi kami sehingga tenang perasaan dan fikiran ini, syukur atas kesejahteraan kepada jasad kami dengan itu kami mampu lagi rukuk sujud kepadaMu dan melakukan kebaktian kepada manusia sekeliling kami.

Namun, ketika Engkau mengambil kembali kesejahteraan kurniaanMu Yaa Salam, gelaplah hati ini dari mengingatMu, resah gelisahlah fikiran dan perasaan kami dan sakitlah seluruh jasad kami. Oleh itu Yaa Allah Yaa Baaqi Yaa Salam, kekalkan kesejahteraan buat kami di dunia, di alam barzakh dan alam akhirat.



Khamis, 7 Januari 2021

V 96 : 99 ASMAUL HUSNA ( 3. AL MALIK )

 AL MALIK  ( الملك )

 Allah Yaa Malik Yang Maha Memiliki. Dia memiliki seluruh isi langit dan bumi secara mutlak. Dan Dia memiliki diri kita, tubuh badan kita, anak-anak kita, suami/isteri kita. Dia boleh memberi dan Dia boleh mengambil apa-apa sahaja daripada manusia pada bila-bila masa. Tiada siapa-siapa pun yang mampu menghalang sekiranya Allah Yaa Malik ingin memberi atau mengambil. Setiap pemberian ialah amanah dan pinjaman yang akan ditanyai semuanya di Akhirat kelak.

 Menghayati sifat Al Malik membuatkan seseorang sedar dirinya fakir, tidak memiliki suatu apa-apa pun. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan setiap amanah yang diberikan Allah Subhanahu Wata'ala dan menjaga semua anugerahNya yang dipinjamkan sebaik mungkin.

 Penghayatan kepada sifat Al Malik juga membolehkan manusia menggenggam dunia dan bertindak memastikan dunia tunduk kepada Al Malik. Dengan itu setiap kerjanya, tugasannya dan perlakuannya menjurus kepada menjadi alat Al Malik, mentadbir manusia ke jalan Allah Subhanahu Wata'ala.  Menghasilkan modul-modul, produk-produk, silibus-silibus, sekolah-sekolah, pusat-pusat latihan yang ditadbir oleh alat-alat Al Malik. Dunia akan menjadi aman apabila semuanya mampu tunduk kepada Al Malik.

 Tidak ada seorang pun yang dapat mendakwa diri sebagai penguasa tertinggi. Tugas pemerintah adalah untuk mewujudkan rasa aman, damai, sejahtera dan bahagia kepada saudara-saudaranya.

 

Bicara Hati

 Allahumma Yaa Malik, Yaa Malik, Yaa Malik, sesungguhnya Engkau Yang Maha Memiliki dan Berkuasa di atas segalanya. Kami ini milikMu Yaa Malik. Jantung kami milikMu, Engkaulah Yaa Muhyi yang mendegupkannya dan Engkau juga yang mampu menghentikannya Yaa Mumit. Otak kami dan ilmu dalam otak ini milikmu Yaa Malik Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, Engkau yang memasukkannya dan Engkau juga mampu mengeluarkannya, wang ringgit yang ada pada kami milikMu, Engkau memberi dan Engkau mampu mengambilnya kembali, suami/isteri kami, anak-anak kami, ibu bapa kami, sahabat-sahabat kami milik-Mu, Engkau memberi pinjam dan Engkau mampu mengambil mereka, segalanya milikMu Yaa Malik. Matahari, bulan, bintang dan planet-planet di angkasa raya semuanya milikMu Yaa Malik, Engkau Yaa Baari' mengatur perjalanannya dan Engkau juga akan memberhentikan dan memusnahkannya nanti. Alam dan isinya ini seluruhnya milikMu, Engkaulah Yaa Malik, Yaa Waliy, Yaa Wakil, Yaa Baari', Yaa Hayyu, Yaa Qayyum, pemilik mutlak yang mengurus, mentadbir dan mengatur semuanya dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa.

 Kami hamba yang fakir tiada memiliki apa pun, semuanya meminjam daripadaMu dan pinjaman itu ialah amanahMu yang akan dipersoal setiap satunya nanti di hari perhitungan, hari hisab dan di MahkamahMu nanti, oleh itu Yaa Allah Yaa Nuur, Yaa Haadi, Yaa Haq, bimbinglah kami dengan cahaya petunjuk dan cahaya makrifatMu agar kami dapat menggunakan segala amanah dan pinjaman milikMu ini di atas jalan redaMu Yaa Rahman Yaa Rahim.



V 95 : 99 ASMAUL HUSNA ( 2. AL RAHIM )

 AL RAHIM ( الرحيم )

Allah Yaa Rahim Yang Maha Penyayang. Allah Subhanahu Wata'ala penyayang kepada hambaNya yang beriman. Dengan sayangNya, Dia memelihara hamba pilihanNya untuk tetap berada di dalam redaNya. Sayang Allah Subhanahu Wata'ala akan berakhir dengan balasan syurga di akhirat.

Sifat Al Rahim yang ada pada manusia membolehkan manusia menyayangi, mendidik dan membimbing ummah untuk membawa manusia lain kepada Allah Yaa Rahim. Menegur sekiranya tersilap, memberikan perhatian dan sokongan di dalam perkara yang diperjuang.

Seseorang yang menghayati sifat Al Rahim akan mendatangi orang yang lalai dengan memberi teguran dan nasihat secara lembut, bukannya secara kasar. Orang derhaka dan masih bergelumang dengan dosa dipandang dengan penuh kasih, bukan dengan pandangan menghina.

Bicara Hati

Allahumma Yaa Rahim, Yaa Rahim, Yaa Rahim, Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang, Engkau sentiasa memimpin kami di atas jalan kebenaran dan keredaanMu, walau daku terus-terusan tersasar, malas, bertangguh dan beralasan dalam ibadah kami kepadaMu. Engkau terus-menerus membimbing kami, menarik-narik kami dari tersasar jauh dan kembali ke jalan yang benar agar kami dapat menjejak kaki ke SyurgaMu nanti.

SayangMu kepada kami tiada lafaz yang sepadan dapat kami lafazkan. Walau bagaimanapun kami ini, kerana sifat Al RahimMu, Engkau tetap memberi daya kepada kami untuk sujud dan rukuk kepadaMu, lidah ini masih lagi Engkau aturkan untuk menyebut-nyebut namaMu dan membaca kalamMu. Kaki ini masih lagi Engkau kurniakan daya untuk terus melangkah berbakti kepada ummah. Jalan kebaikan dan kebaktian masih terus Engkau buka kepada kami walau sering kali kami menggelengkan kepala tidak mahu melakukan.

Sering kali ketika lalai, Engkau mengejut kami dengan peristiwa ujian dan musibah agar kami sedar dari kelalaian, kembali mengingatiMu dan mendampingiMu. Terima kasih Yaa Rahim kerana masih sayang kepada kami. Masukkanlah rasa reda dalam hati kami atas sedikit ujianMu kerana sesungguhnya ujianMu itu tanda kasihMu kepada kami. Wujudkanlah rasa kasih dan sayang kepadaMu dalam jiwa kami yang kering ini agar kami sentiasa ingin memuji dan mentaatiMu.

Jadikan kami hamba yang suka membimbing orang-orang di sekeliling kami di atas jalan kebaikan dan kebenaran dengan sedikit sifat Al RahimMu yang Engkau alirkan dalam jiwa kami.




V 94 : 99 ASMAUL HUSNA ( 1. AL RAHMAN )

 AL RAHMAN ( الرحمن )

Allah Al Rahman. Maha Pengasih. Maha Pemurah. Maha Belas Kasihan. Dia menaburkan kasih kepada semua makhluk di dunia ini walaupun manusia tidak menyembahNya, tidak mengucapkan terima kasih kepadaNya atau tidak meminta kepadaNya. Rahmat Allah meliputi segala-galanya.

Al Rahman ialah vitamin jiwa yang didambakan oleh jiwa-jiwa manusia yang tandus dan gersang dengan perasaan kasih sayang. Sesungguhnya, setiap makhluk yang berkasih sayang di dunia ini atas daya kasih sayang Allah Al Rahman yang dialirkan sedikit kepada setiap makhluk ciptaanNya. Dengan itu, nyata bagi kita yang benar-benar mengenali Allah Al Rahman bahawa kasih sayang suami/ isteri, ibubapa, anak-anak, sahabat, manusia di sekeliling kita pada hakikatnya ialah kasih sayang Allah kepada diri kita selama ini. Kurniaan kasih sayang Al Rahman kepada manusia, sudah pasti kebahagiaan menunggu kita.
Kasih sayang mampu melahirkan kekuatan luar biasa. Seseorang yang menghayati sifat Allah Al Rahman akan berakhlak dengan sifat tersebut. Sedetik pun tidak pernah memperlihat perasaan benci. Setiap kata-katanya mengeluarkan mutiara-mutiara kasih, setiap tatapan matanya memancarkan kasih. Gerakan kaki dan tangannya hanya bertujuan menolong atas dasar kasih dan bukan atas kepentingan diri. Membantu dan menghulurkan bantuan tanpa bersikap pilih kasih.

Bicara Hati
Allahumma Yaa Rahman, Yaa Rahman Yaa Rahman, Sesungguhnya Engkau Maha Pemurah, Engkau tetap memberi walau terkadang kami lalai dan lupa kepadaMu. Engkau memberikan kami kurniaanMu tanpa pernah berkira, tidak berhenti-henti jantung ini terus Engkau degupkan walaupun kami balasMu dengan dosa yang bertimbun. Udara terus Engkau masukkan dalam tubuh ini walau anggota tubuh ini terus-terusan melakukan perkara yang sia-sia. Penglihatan kami masih Engkau pinjamkan walau kami terus-terusan melihat perkara yang Engkau murkai. Engkau terus menerus memberi kami pendengaran walau sering kali kami berpaling dan tidak menyahut panggilanMu.
Yaa Allah Yaa Rahman kurniaanMu pada kami melimpah ruah tanda kasihMu yang tidak terhingga kepada kami, sedangkan amalan terlalu sedikit dan dosa terlalu banyak. Sesungguhnya tiada lafaz syukur yang dapat kami ungkapkan sepadan dengan sifat Maha PemurahMu. Jadikanlah kami hamba yang sentiasa bersyukur kepadaMu, yang sentiasa menggunakan anggota tubuh, wang ringgit, harta benda, jawatan dan segala kurniaanMu di atas jalan keredaanMu. Jadikan kami hamba yang pemurah dengan orang-orang sekeliling kami dengan sedikit sifat Al Rahman yang Engkau alirkan dalam jiwa agar dapat kami menunaikan amanahMu sebagai khalifah di muka bumi ini.