Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 18 Januari 2021

V 107 : ASMAUL HUSNA ( 14. AL GHOFFAR)

 AL GHOFFAR ( الغفار )

 ALLAH Yaa Ghaffar Yang Maha Pengampun mengampunkan dosa-dosa hambaNYA walaupun dosa itu seluas buih di lautan, sebanyak pasir di pantai. DIA mengampunkan kesalahan hambaNYA walaupun setiap kali melakukan kesalahan, memohon ampun namun diulangi balik kesalahan itu, maka memohon ampun lagi dan kemudian diulangi dan begitulah seterusnya. Walau banyak kali melakukan kesalahan tapi setiap kali melakukan kesalahan akan memohon ampun dan bertaubat dan berazam meninggalkan kesalahan tersebut, pasti akan diampunkan oleh ALLAH Yaa Ghaffar.

 Menghayati sifat Yaa Ghaffar akan melahirkan manusia pemaaf yang mudah memaafkan manusia lain. Hamba Al Ghaffar akan mudah menerima kelemahan dan kekurangan orang lain dan bersedia memaafkan kesalahan dan kelemahan tersebut. Ini akan membuatkan seseorang tidak mudah putus asa dan merasa rendah diri dalam menjalani kehidupan seharian.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Ghaffar, Yaa Ghaffar, Yaa Ghaffar, sesungguhnya Engkau yang Maha Pengampun, ampunkan dosa-dosa kami, sesungguhnya Engkau mengampunkan dosa hambaMu walau seluas buih di lautan dan sebanyak pasir di pantai. Walau kami bawa dosa setinggi gunung, tinggi lagi keampunanMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Aliy, walau dosa kami seluas langit dan bumi, luas lagi keampunanMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Wasi'. Sesungguhnya Engkau sentiasa menunggu kami datang kepadaMu di pagi-pagi hari menangis di hadapanMu. Kami datang kepadaMu dalam sujud dan rukuk kami bersama airmata menangis dan merintih kepadaMu Yaa Ghaffar Yaa Sami' Yaa Mujib memohon keampunanMu atas atas segala dosa-dosa kami yang banyak, yang tidak disengajakan mahupun yang disengajakan.

 Yaa Rahman Yaa Rahim, kasihanilah kami, tiada erti hidup ini, kekayaan ini dan hartabenda ini tanpa keampunan dan redhaMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Rahman Yaa Rahim.



V 106 : ASMAUL HUSNA ( 13. AL MUSOWWIR)

 AL MUSOWWIR ( المصور )

 ALLAH Yaa Musowwir Yang Maha Merekabentuk, merekabentuk alam semesta dan semua makhlukNYA dengan cantik dan sempurna serta penuh keunikan dan amat kreatif. Maha Kreatif ALLAH Yaa Musowwir mencipta alam yang berwarna warni ini, pelbagai bentuk planet dan bintang, pelbagai gerakan alam yang menghasilkan pelbagai jenis cuaca, pelbagai rupabentuk gunung dan bukit, air terjun yang pelbagai rupa, pokok dan binatang yang berjuta jenis, kuman dan virus yang pelbagai, jenis tanah yang pelbagai, bisnes yang pelbagai, produk dan perkhidmatan yang pelbagai, pendekatan, teknik dan strategi yang pelbagai, rakan, sahabat, lawan, musuh yang pelbagai jenis, nikmat syurga yang pelbagai, azab neraka yang pelbagai, jin yang pelbagai jenis, syaitan yang pelbagai jenis kejahatan, penjahat dan pendosa yang pelbagai, pelbagai jenis perbuatan baik dan amal soleh, jutaan cara amalan asmaulhusna dalam kehidupan, pelbagai teknik untuk solat kusyuk, pelbagai jenis bidang ilmu, penyelidikan, pelbagai jenis ujian hidup, pelbagai jenis penyakit, pelbagai jenis stres. Sungguh tidak mampu diungkapkan kreatifnya ALLAH Yaa Musowwir.

 Setiap kreativiti yang ada pada manusia merupakan sifat ALLAH Yaa Musowwir yang dialirkan sedikit sifat ini. DIA mengalirkan sifat Al Mosowwir kepada manusia sehingga manusia menjadi kreatif dalam perbuatannya.

 Menghayati SIFAT Al Musowwir akan melahirkan manusia yang kreatif dalam tindakannya seperti dalam merekabentuk bangunan, mencipta teknik dan kaedah-kaedah baru yang kreatif dan menghasilkan idea-idea baru yang tidak pernah difikirkan oleh manusia lain.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Musowwir, sesungguhnya Engkau yang Maha Kreatif, Engkau mencipta berbagai jenis planet, pelbagai jenis awan, pelbagai jenis cuaca, pelbagai jenis binatang, tumbuhan dan berbagai bangsa manusia, kaum, warna, budaya dan bahasa, juga pelbagai penyakit, kuman dan peristiwa-peristiwa hidup manusia. Seluruh ciptaan di alam ini memaparkan kreativitiMu Yaa Musowwir. Kurniakanlah daku kreativitiMu untuk mencipta pelbagai pendekatan, teknik, formula, produk, perkhidmatan, teknologi bagi membawa manusia mengenalMu dan mendekatkan diri kepadaMu, mengingatMu sentiasa serta memujiMu setiap saat hidup ini. 



V 105 : ASMAUL HUSNA ( 12. AL BAARI' )


AL BAARI’ ( البارئ )

 ALLAH Yaa Baari’ Yang Maha Merancang dan Mengatur kejadian alam dan agenda hidup manusia. DIA merancang kehidupan manusia dan perjalanan seluruh makhluk di dunia ini. Perancangan dan pengaturanNYA sangat hebat dan sempurna. Manusia sering gagal melihat perancangan dan aturan ALLAH Subhanahu Wata'ala yang menyebabkan mereka merosakkan perancangan ALLAH Subhanahu Wata'ala dengan perancangan sendiri yang dipengaruhi nafsu dan bisikan syaitan sehingga merosakkan alam dan kehidupan ini.

 Menghayati Al Baari’ melahirkan hamba yang menyerah diri mengikut perancangan, aturan dan agenda ALLAH Subhanahu Wata'ala. Membiarkan diri mengikut agenda ALLAH Subhanahu Wata'ala akan melahirkan kehidupan yang tenang dan bahagia tanpa kecewa dan derita. Agenda ALLAH Yaa Baari’ penuh dengan kesempurnaan, ketaatan dan kebaikan. Sebailknya agenda manusia sering dipenuhi kepentingan diri dan nafsu.

 Menghayati Al Baari juga akan melahirkan manusia yang berperancangan, tidak mudah panik dan terburu-buru atau tergesa-gesa. Sentiasa merancang dan melakukan perubahan ke arah kebaikan dan kecemerlangan, tidak ada istilah putus asa atau kecewa dalam hidupnya.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Baari' Yang Maha Mengatur, sesungguhnya alam buana ini bergerak dengan aturanMu, Engkau mengatur pergerakan bulan, bintang dan matahari, planet bergerak di atas orbitnya dengan aturanMu. Engkau juga mengatur perjalanan hidup manusia, dari kelahiran hingga kepada kematian, setiap peristiwa yang datang dalam hidup kami semuanya diatur olehMu satu persatu, samada kesenangan mahupun kesempitan, kejayaan mahupun kegagalan, kesihatan mahupun kesakitan, kenaikan mahupun kejatuhan, kemuliaan mahupun kehinaan, semuanya itu diatur olehMu.

 Engkau juga mengatur perjalanan hidup kami di Mahsyar, di hari perhitungan, hari hisab, mahkamahMu di akhirat dan ketika melalui titian sirat. Yaa Allah, kami mohon agar Engkau aturkan perjalanan yang baik yang Engkau redhai setiap saat hidup kami di dunia ini dan di akhirat nanti, janganlah Engkau biarkan kami mengatur sendiri hidup kami mengikut nafsu kami untuk kepentingan diri sendiri. Aturlah Yaa Baari' hidup kami seperti kehidupan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang mana setiap saat hidup baginda, memberi kasih sayang kepada orang sekeliling, memberi ilmu dan bimbingan menuju syurgaMu, agar di akhirat nanti dalam perjalanan itu dapat kami menumpang kenderaan baginda yang lajunya lebih laju dari kepantasan cahaya.

V 104 : ASMAUL HUSNA ( 11. AL KHALIQ )

AL KHALIQ ( الخالق )

 ALLAH Yaa Khaliq Yang Maha Pencipta menciptakan alam semesta ini serta seluruh isi langit dan bumi tanpa bantuan sesiapa. DIA pencipta dan pemilik mutlak ke atas segalaNYA. PenciptaanNYA sangat sempurna, indah dan harmoni. Manusia adalah ciptaan ALLAH Subhanahu Wata'ala dan sebagai pencipta, ALLAH Subhanahu mengetahui keperluan manusia, DIA mengatur segala keperluan manusia di atas muka bumi ini. Untuk mencapai kesempurnaan penciptaan Yaa Khaliq, manusia harus kembali kepada fitrah kesempurnaan ciptaan yang dialirkan dengan sifat-sifat ALLAH Yang Maha Hebat.

 Penghayatan kepada sifat Al Khaliq akan menjadikan manusia suka mencipta perkara dan idea baru, sentiasa membuat perubahan ke arah kebaikan dan memikirkan teknik dan kaedah baru yang tidak pernah difikirkan oleh orang lain. Mereka tidak mengenal putus asa dan kecewa kerana bergantung penuh dengan Yaa Khaliq.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Khaliq Yaa Khaliq Yaa Khaliq, sesungguhnya Engkau Maha Pencipta, Engkau mencipta seluruh alam dan isinya kerana cinta kepada manusia. Bulan, bintang, matahari dan planet-planet adalah ciptaanMu. Engkau mencipta semua ini agar manusia mengkaji kebesaran dan keagongan serta kebijaksanaanMu, memuji memujaMu Yaa Allah Yaa Hamid Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir.

 Yaa Khaliq Engkau mencipta manusia, seluruh anggota tubuh manusia dan sistem tubuh manusia dengan penuh kasih dan cintaMu. Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wadud. Engkau juga pencipta peristiwa-peristiwa hidup manusia agar manusia mengenalMu dan merasa kasih kepadaMu Yaa Rahman Yaa Rahim, merasa kagum kepadaMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, merasa berharap denganMu Yaa Qobidh, Yaa Khafidh, Yaa Muzill, merasa gerun kepadaMu Yaa Muntaqim Yaa Dharru Yaa Hakam.

 Yaa Allah seluruh ciptaanMu ini Engkau ciptakan agar kami mengingatMu, merasa dekat denganMu dan mencintaiMu, oleh itu ciptakanlah rasa kasih dan cinta kepadaMu dalam hati kami, ciptakanlah rasa rindu dalam hati ini kepadaMu, ciptakanlah peristiwa-peristiwa yang membawa kami menghampirkan diri kepadaMu, walau kami terpaksa melalui sedikit kesempitan, kejatuhan, kehinaan di dunia ini, kami redha asalkan kami dapat berada di sisiMu memuji memujaMu setiap saat hidup kami.



Ahad, 10 Januari 2021

V 103 : 99 ASMAUL HUSNA ( 10. AL MUTAKABBIR )

 AL MUTAKABBIR ( المتكبر )

 ALLAH Yaa Mutakabbir Yang Maha Memiliki Kebesaran. Kebesaran ZATNYA meliputi kebesaran alam ini. Manusia dan alam semesta sangat kerdil berbanding dengan kebesaran ALLAH Subhanahu Wata'ala.

 Menghayati Al Mutakabbir menjadikan manusia sedar akan kekerdilan diri, tidak menyombong diri, sentiasa merendah dan menginsafi diri. Hamba Al Mutakabbir bergantung penuh kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala dalam setiap yang dilakukan kerana menyedari akan kedhaifan dan kekurangan diri.

 Hamba Al Mutakabbir yang dipakaikan jubah kebesaranNYA seperti jawatan, kedudukan ataupun kebesaran gelaran sedar dirinya hanya alat ALLAH Yaa Mutakabbir dalam menjalankan amanah sebagai Abdi dan Khalifah ALLAH Subhanahu Wata'ala di dunia ini semata-mata.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Mutakabbir, sesungguhnya Engkau Maha Memiliki Kebesaran, alam ini menceritakan akan kebesaranMu. Engkau mencipta makhluk, manusia dan peristiwa agar manusia sentiasa membesar-besarkanMu. Engkau layak dibesar-besarkan kerana Engkaulah Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir yang mencipta, mengatur dengan penuh kreativitiMu seluruh alam dan isinya, hatta kenderaan dan telefon yang canggih itu semuanya adalah ciptaanMu bukan ciptaan Jepun atau Korea. Engkau Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid yang memasukkan idea, ilmu dan kreativiti ke dalam otak manusia, sesungguhnya otak manusia buntu tanpa ilmuMu. Dengan itu Engkau layak dibesar-besarkan.

 Yaa Mutakabbir, kami insaf bahawa diri ini sangat kerdil, untuk membuka kelopak matapun tiada daya kami apatah lagi untuk menguruskan makhluk dan kehidupan kami, maka bantulah kami hambaMu yang dhaif dalam kehidupan ini. Walau apapun yang Engkau kurniakan bagi diri kami, itu semua milikMu, harta itu milikMu Yaa Ghoni Yaa Mughni, jawatan serta gelaran pada manusia adalah kurniaanMu Yaa Kabir Yaa Mutakabbir, Yaa Aliy, Yaa Muta’ali, Yaa Adzim, suami/isteri/anak-anak adalah milikMu Yaa Malik, kecantikan itu milikMu Yaa Baadi' , seluruh anggota tubuh badan kami milikMu Yaa Malik, kami hanya peminjam sementara, dengan itu Engkaulah yang layak dibesar-besarkan, kami hambaMu hanya ciptaanMu yang sangat kerdil.



V 102 : 99 ASMAUL HUSNA ( 9. AL JABBAR )

AL JABBAR ( الجبار )

ALLAH Yaa Jabbar Yang Maha Memaksa, yang kehendakNYA tidak dapat diingkari oleh sesiapa pun. PemaksaanNYA tanda kasih sayangNYA kepada hamba-hamba pilihanNYA kerana manusia itu sifatnya sering lupa dan lalai. Hanya dengan pemaksaan dan kehendakNYA manusia akan ingat kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala ketika diri alpa.

 Menghayati Al Jabbar menjadikan manusia bersyukur dan bersikap redha kerana mengerti kehendak ALLAH Subhanahu Wata'ala itu tanda kasih sayangNYA, untuk menyelamatkan manusia daripada kemungkaran dan kemurkaan ALLAH Subhanahu Wata'ala. Disempitkan rezekinya atau diberikan ujian kesakitan dan kehinaan agar manusia kembali ingat dan menginsafi setiap salah silapnya dan berpatah balik ke jalan yang benar. ALLAH Yaa Jabbar memastikan hambaNya bergerak di atas landasan orbit yang ditetapkanNya dengan tegas, apabila tersasar ditarik kembali samada secara lembut atau paksaan.

 Orang beriman yang menghayati nama ALLAH Yaa Jabbar menzahirkan fitrah ini pada akhlak dan peribadinya. Setiap saat berlapang dada dan redha akan agenda Allah Subhanahu Wata'ala meskipun tidak disukai oleh nafsunya yang sukakan rehat dan keduniaan. Sentiasa tunduk pada setiap arahan Allah Subhanahu Wata'ala. Istiqomah dalam menyebarkan ilmu makrifat, menegakkan kebenaran dan mencantas kemungkaran.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Jabbar, Yaa Jabbar Yaa Jabbar, sesungguhnya Engkau Maha Pemaksa, sekiranya kami tersasar dari jalan kebenaranMu, Engkau memaksa kami kembali dengan sedikit ketegasanMu kerana kasihMu kepada kami. Ketika kami bersantai-santai di dunia ini sedangkan mahligai Syurga belum terbina dan jurang Neraka sudah terbuka, Engkau Yaa Jabbar menarik kami untuk sujud kepadaMu dengan peristiwa-peristiwa yang memaksa kami terpisah dengan dunia dan manusia, peristiwa kesakitan, kebangkrapan, perpisahan, kemiskinan dan pelbagai peristiwa yang Engkau Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir ciptakan agar kami datang merintih dan mengadu kepadaMu Yaa Rahman Yaa Rahim.

 Ketika mata kami asyik menonton tv dan video yang melalaikan, Engkau Yaa Jabbar mencabut sedikit nikmat penglihatan kami agar ianya tidak terkena kotoran dosa, ketika pendengaran ini sering kami pergunakan untuk mendengar umpat keji dan perkara dosa lagi syirik, Engkau Yaa Jabbar mengambil nikmat pendengaran kami agar ianya tidak dikotori. Ketika kaki ini begitu malas untuk menghidupkan sunnah ziarah menziarahi, sibuk bersantai-santai, Engkau Yaa Jabbar mengambil nikmat kaki kami agar kami ada masa berdamping denganMu. Ketika hati ini kosong dari cintaMu Yaa Wadud, Engkau Yaa Jabbar memaksa kami untuk mencintaiMu dengan perpisahan dan perceraian dengan makhluk. Ketika kami lupa kematian kami yang akan datang entahkan esok entahkan lusa, Engkau Yaa Jabbar memaksa kami untuk membuat persiapan menghadapinya dengan pelbagai peristiwa penyucian bagi hati kami yang kotor ini. Terima kasih Yaa Allah Yaa Jabbar kerana kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wadud, maafkan dan ampuni kami Yaa Affuw Yaa Ghafar kerana tidak mampu memaksa nafsu kami untuk tunduk kepadaMu.




V 101 : 99 ASMAUL HUSNA ( 8. AL AZIZ )

 AL AZIZ ( العزيز )

 ALLAH Yaa Aziz Yang Maha Perkasa. DIA lebih perkasa daripada seluruh makhluk di dunia ini. KeperkasaanNYA dapat dilihat dalam penciptaan langit dan bumi serta makhlukNYA. DIA perkasa dalam menguasai setiap makhluk ciptaanNYA seperti matahari, bulan, bintang, binatang, gunung serta manusia. Seluruh keperkasaan makhlukNYA adalah daya keperkasaanNYA Yaa Aziz. DIA juga mampu memperkasakan jiwa manusia agar cekal dan tabah dalam menghadapi ujian kehidupan.

 Menghayati sifat Al Aziz akan melahirkan manusia yang cekal semangat dalam mengharungi kehidupan, tidak mudah putus asa ketika kecewa dan berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Hamba Al Aziz akan menguatkan jiwa-jiwa yang lemah dan kecewa dengan keyakinan bahawasanya semakin dia diuji, semakin cinta ALLAH Subhanahu Wata'ala kepadanya dan DIA reda dan sabar atas ujian itu.

 

BICARA HATI

 Alllahumma Yaa Aziz Yang Maha Perkasa, sesungguhnya seluruh keperkasaan dan kekuatan di alam buana ini adalah milikMu, tiada wujud makhluk yang perkasa selain Engkau. Berputarnya alam dan isinya adalah dengan daya keperkasaanMu, bergeraknya planet-planet di atas orbit, memancarnya matahari, tegaknya langit, terhamparnya bumi, bergeraknya awan, semuanya dengan daya keperkasaan dan kekuatanMu Yaa Aziz. Sedetik sahaja Engkau cabut kekuasaan ini, lemah dan hancurlah alam ini.

 Sebagaimana perkasanya alam ini Yaa Aziz, perkasakan jiwa kami yang lemah ini. Seringkali kami lemah ketika berhadapan dengan ujianMu, merasa gagal dan kecewa dalam hidup ini, kami lemah dengan kata-kata dan cemuhan manusia, lemah ketika diberi tugasan dan agendaMu, lemahnya jiwa kami untuk rukuk sujud kepadaMu khususnya di pagi-pagi hari, lemahnya kami dalam mengawal nafsu kami, sibuk dengan agenda shopping, berborak, menonton tv, melayari internet, whatsapp, mengejar-ngejar kekayaan dunia yang hina ini.

 Maka Allahumma Yaa Aziz, perkasa dan kuatkan iman kami kepadaMu, kuatkan pergantungan kami hanya kepadaMu, kuatkan keyakinan kami kepadaMu agar dapat kami hidup dengan pergantungan yang kukuh kepadaMu dan Yaa Baaqi Yaa Mukmin Yaa Aziz, kekalkan kekuatan iman kami sehingga akhir hayat kami.