Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 20 Januari 2021

V 110 : ASMAUL HUSNA ( 17. AL RAZZAQ )

 AL RAZZAQ ( الرزاق )

 ALLAH Yaa Razzaq Yang Maha Pemberi Rezeki, memberi rezekiNYA kepada setiap makhlukNYA. Setiap makhluk samada manusia, tumbuh-tumbuhan atau binatang sudah tersedia rezeki masing-masing. Rezeki ALLAH Subhanahu Wata'ala dalam pelbagai bentuk. Terdapat rezeki dalam bentuk keperluan duniawi seperti makan-minum, wang ringgit, rumah, kenderaan dan sebagainya. Terdapat juga rezeki dalam bentuk ukhrawi iaitu ilmu mengenal ALLAH Subhanahu Wata'ala dan Syurga. Rezeki juga merupakan ujian daripada ALLAH Subhanahu Wata'ala. ALLAH Subhanahu Wata'ala memerintahkan kita untuk menafkahkan sebahagian daripada rezekiNYA kepada orang yang memerlukan.

 Penghayatan sifat Al Razzaq akan melahirkan manusia yang bekerja dan berdikari. Manusia yang inovatif, suka membuat perkara-perkara baru dan perubahan dalam kehidupan tetapi semuanya berlandaskan hukum syariat ALLAH Subhanahu Wata'ala. Sekiranya diperlukan, keluarlah merantau mencari rezeki dari seluruh pelusuk dunia kerana kepunyaan ALLAH Subhanahu Wata'ala perbendaharaan langit dan bumi.

 Setiap rezeki yang diterima harus disyukuri setiap masa dan setiap yang hilang harus diredhai juga. Semuanya hanyalah pinjaman daripada ALLAH yang akan dihisab setiap satu amanah yang diberikanNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Razzaq Yaa Razzaq Yaa Razzaq, sesungguhnya Engkau Maha memberi Rezeki, Engkau memberi rezekiMu kepada kami dalam pelbagai bentuk, ilmu-ilmu yang bermanfaat dan berkat, kesihatan yang bermanfaat dan berkat, hartabenda yang bermanfaat dan berkat, wang ringgit yang bermanfaat dan berkat, pangkat, gelaran dan kemasyuran yang bermanfaat dan berkat, keluarga yang baik. Daku bersyukur atas kurniaan rezekiMu Yaa Wasi' yang sangat luas dan tidak bertepi dan tidak terhitung.

 Yaa Syakur Yang Maha Menghargai, jadikan kami hamba yang sering mensyukuri nikmat-nikmatMu. Maafkan kami Yaa Affuw kerana seringkali meminta-meminta kepadaMu, tetapi nikmat rezeki yang melimpah ruah yang sedang kami nikmati ini seringkali kami lupa untuk mengungkapkan terima kasih dan syukur kepadaMu. Yaa Allah Yaa Zohir, nampakkan sentiasa rezekiMu yang mengalir pada diri kami agar kami mampu memujiMu Yaa Hamid dan mensyukuriMu Yaa Syakur, membesar-besarkanMu Yaa Kabir Yaa Mutakabbir dan mengagungkanMu Yaa Adzim.

 Allahumma Yaa Razzaq Yaa Razzaq Yaa Razzaq, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memberi rezeki kepada hamba-hambaMu, sesungguhnya tiada sezarah pun rezeki melainkan semuanya datang dariMu, manusia hanyalah alatMu semata-mata dalam mengalirkan rezekiMu.

 Sesungguhnya rezekiMu yang paling mulia disisiMu adalah ilmu makrifatullah, dengan ilmuMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, kami mengenalMu. Apabila pancaran cahaya makrifatMu Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq memancar dalam jiwa kami, leburlah wujud daya diri kami, terpancarlah dengan terang nama-nama dan sifat-sifatMu pada cermin hati kami. Dengan mengenalMu, hati kami akan kasih kepadaMu apabila mengenal kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim, kagum kepada kebijaksanaanMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, kreativitiMu Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir, gerun kepada azabMu Yaa Muntaqim Yaa Dharru Yaa Hakam Yaa Adl.



V 109 : ASMAUL HUSNA ( 16. AL WAHHAB )

 AL WAHHAB ( الوهاب )

 ALLAH Yaa Wahhab Yang Maha Memberi, memberi apa yang diperlukan oleh manusia tanpa meminta balasan dan seringkali ALLAH Subhanahu Wata'ala memberi tanpa manusia meminta. KebaikanNYA tidak putus-putus mengalir kepada manusia. Kadang-kadang pemberianNYA dalam bentuk kesusahan atau kemiskinan, namun jika itu memberi kebaikan kepada kita, bersikaplah redha dan berlapang dada. Mungkin kesenangan dan kekayaan akan melalaikan kita, oleh kerana itu ianya dijauhi oleh ALLAH Subhanahu Wata'ala. Panjatkan sentiasa rasa bersyukur atas setiap pemberianNYA.

 Al Wahhab sebagai vitamin jiwa akan membangkitkan semangat sentiasa ingin memberi kepada orang lain, termasuk membahagiakan dan menggembirakan orang lain serta mengurangkan derita orang lain. Manusia perlu bekerja keras memajukan ummah, membantu orang-orang yang susah dan memerlukan. Walau kita dalam keadaan lapang mahupun sempit, kita perlu memberi apa sahaja yang kita miliki.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Wahhab Yang Maha Menolong, sesungguhnya Engkaulah yang selama ini menolong diri kami. Engkau Yaa Wahhab menolong kami dengan memberiku roh yang dihiasi dengan sifat-sifat mulia rabbaniah. Engkau Yaa Wahhab memberi makan kepada kami sejak di dalam rahim ibu kami, Engkau menolong mendegupkan jantung kami sejak dari dalam rahim ibu kami sehingga ke saat ini. Engkau menolong kami dengan mengajar menghisap susu, makan, merangkak, berdiri, berjalan sehingga berlari, menolong kami membuang najis dalam tubuh kami, membunuh kuman yang menjangkiti kami, mengeluarkan karbon dioksida dalam tubuh kami dan memasukkan oksigen dalam tubuh kami. Yaa Wahhab, Engkau juga menolong kami untuk melangkah ke alam persekolahan, Engkau menolong kami waktu kepayahan menghadapi zaman remaja dan persekolahan kami. Engkau juga menolong kami mendapatkan pekerjaan dan rezekiMu dalam bentuk wang ringgit, hartabenda, pakaian, makanan, rumah dan kenderaan.

 Allahumma yaa Wahhab, sebegitu banyak dan tidak terbilang kurniaanMu, namun kami masih tidak mampu dan sangat berat bagi kami menyebut nama-namaMu dan memujiMu, masih berat untuk kami sujud dan rukuk kepadaMu, masih berat bagi kami berkorban untukMu menolong anak-anak yatim, fakir miskin dan orang yang memerlukan, masih berat untuk kami berdakwah di jalanMu. Yaa Allah Yaa Wahhab, hinanya diri kami, derhakanya diri kami kepadaMu, terus menerus tenggelam dalam kemungkaran, malasnya diri kami untuk berkorban untukMu, menumpang bumiMu tetapi tiada adab denganMu, duduk berlindung di bawah langitMu, menikmati cahayaMu dan menghirup udaraMu, namun melupaiMu, malas menyebut-nyebut namaMu, malahan membalas kebaikanMu yang tak terbilang itu dengan perbuatan mengumpat, mengata, membenci dan pelbagai dosa lagi.

 Yaa Allah Yaa Wahab, pada pagi ini kami malu untuk berhadapan denganMu yang Maha Mulia lagi Suci, Yaa Karim Yaa Quddus Yaa Jalil, sekiranya boleh, kami ingin menyebut namaMu tanpa henti, sujud kepadaMu tanpa bangkit, menangis dihadapanMu tanpa henti, mengadapMu tanpa menoleh kiri dan kanan, namun hanya Engkau jua Allahumma Yaa Wahhab yang boleh memberi kami daya upaya untuk melakukan semua itu, oleh itu kami menyerahkan jiwa raga kami, seluruh anggota tubuh kami, wang ringgit, harta, jawatan yang ada pada kami untuk Engkau bimbing kami Yaa Haadi untuk digunakan atas kebaikan dan keredhaanMu, bantu kami Yaa Wahhab untuk terus berzikir mengingatMu, mencintaiMu, berkorban untukMu. Terima kasih Yaa Wahhab atas segalanya.



Isnin, 18 Januari 2021

V 108 : ASMAUL HUSNA ( 15. AL QOHHAR )

 AL QOHHAR ( القهار )

 ALLAH sebagai Al Qohhar Yang Maha Menundukkan, menundukkan orang kafir dengan kejelasan tanda-tanda kebesaranNYA, menundukkan yang ingkar dan yang mungkar dengan kekuasaanNYA, menjinakkan para pencintaNYA sehingga bergembira di hadapan pintu RahmatNYA, menundukkan panas dengan dingin, menggabungkan kering dengan basah, mengalahkan besi dengan api, memadamkan api dengan air, memberi manusia apa yang tidak diinginkan dan menghalanginya daripada apa yang diingini.

 Ketika manusia berdegil tidak mematuhi perintah ALLAH, ALLAH Yaa Qohhar akan menghukum agar manusia kembali ke jalan ALLAH.

 Hamba yang menghayati sifat Al Qohhar akan aktif, produktif dan inovatif dalam hidupnya, tak pernah menyusahkan orang lain kerana mereka yakin suntikan vitamin Al Qohhar dalam jiwa mereka adalah sumber kekuatan luar biasa bagi mengharungi hidup yang sukar di dunia ini, dan mereka bertawakkal kepadaNYA kerana yakin ALLAH Subhanahu Wata'ala akan membantu dan menolongnya.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Qohhar, Yaa Qohhar, Yaa Qohhar, sesungguhnya Engkau Maha menundukkan, Engkaulah yang menundukkan matahari kepadaMu dan memancarkan cahayaMu ke bumi. Engkau menundukkan planet-planet sehingga ia beredar di atas orbitnya dengan patuh sekali, bulan dan matahari silih berganti menjalankan tugasnya malam dan siang tanpa terlambat sesaatpun.

 Engkau Yaa Qohhar menundukkan para malaikatMu, ada yang sujud kepadaMu selama-lamanya. Engkau Yaa Qohhar juga mampu menundukkan manusia untuk rukuk dan sujud kepadaMu, Engkau menundukkan ego, kesombongan, ketakburan manusia, sesungguhnya tiada sesuatupun yang tak boleh ditundukkan olehMu Yaa Qohhar.

 Allahumma Yaa Qohhar, tundukkan nafsu makan kami yang seringkali berlebih-lebihan, nafsu tidur kami yang seringkali melebihi had, nafsu membeli-belah yang seringkali membazir, nafsu berborak yang seringkali tersasar, nafsu bermewah yang seringkali mendatangkan kemarahanMu. Tundukkan diri ini kepadaMu di pagi hari kerana mungkin esok kami terbaring dalam keranda tanpa boleh rukuk dan sujud lagi kepadaMu.



V 107 : ASMAUL HUSNA ( 14. AL GHOFFAR)

 AL GHOFFAR ( الغفار )

 ALLAH Yaa Ghaffar Yang Maha Pengampun mengampunkan dosa-dosa hambaNYA walaupun dosa itu seluas buih di lautan, sebanyak pasir di pantai. DIA mengampunkan kesalahan hambaNYA walaupun setiap kali melakukan kesalahan, memohon ampun namun diulangi balik kesalahan itu, maka memohon ampun lagi dan kemudian diulangi dan begitulah seterusnya. Walau banyak kali melakukan kesalahan tapi setiap kali melakukan kesalahan akan memohon ampun dan bertaubat dan berazam meninggalkan kesalahan tersebut, pasti akan diampunkan oleh ALLAH Yaa Ghaffar.

 Menghayati sifat Yaa Ghaffar akan melahirkan manusia pemaaf yang mudah memaafkan manusia lain. Hamba Al Ghaffar akan mudah menerima kelemahan dan kekurangan orang lain dan bersedia memaafkan kesalahan dan kelemahan tersebut. Ini akan membuatkan seseorang tidak mudah putus asa dan merasa rendah diri dalam menjalani kehidupan seharian.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Ghaffar, Yaa Ghaffar, Yaa Ghaffar, sesungguhnya Engkau yang Maha Pengampun, ampunkan dosa-dosa kami, sesungguhnya Engkau mengampunkan dosa hambaMu walau seluas buih di lautan dan sebanyak pasir di pantai. Walau kami bawa dosa setinggi gunung, tinggi lagi keampunanMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Aliy, walau dosa kami seluas langit dan bumi, luas lagi keampunanMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Wasi'. Sesungguhnya Engkau sentiasa menunggu kami datang kepadaMu di pagi-pagi hari menangis di hadapanMu. Kami datang kepadaMu dalam sujud dan rukuk kami bersama airmata menangis dan merintih kepadaMu Yaa Ghaffar Yaa Sami' Yaa Mujib memohon keampunanMu atas atas segala dosa-dosa kami yang banyak, yang tidak disengajakan mahupun yang disengajakan.

 Yaa Rahman Yaa Rahim, kasihanilah kami, tiada erti hidup ini, kekayaan ini dan hartabenda ini tanpa keampunan dan redhaMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Rahman Yaa Rahim.



V 106 : ASMAUL HUSNA ( 13. AL MUSOWWIR)

 AL MUSOWWIR ( المصور )

 ALLAH Yaa Musowwir Yang Maha Merekabentuk, merekabentuk alam semesta dan semua makhlukNYA dengan cantik dan sempurna serta penuh keunikan dan amat kreatif. Maha Kreatif ALLAH Yaa Musowwir mencipta alam yang berwarna warni ini, pelbagai bentuk planet dan bintang, pelbagai gerakan alam yang menghasilkan pelbagai jenis cuaca, pelbagai rupabentuk gunung dan bukit, air terjun yang pelbagai rupa, pokok dan binatang yang berjuta jenis, kuman dan virus yang pelbagai, jenis tanah yang pelbagai, bisnes yang pelbagai, produk dan perkhidmatan yang pelbagai, pendekatan, teknik dan strategi yang pelbagai, rakan, sahabat, lawan, musuh yang pelbagai jenis, nikmat syurga yang pelbagai, azab neraka yang pelbagai, jin yang pelbagai jenis, syaitan yang pelbagai jenis kejahatan, penjahat dan pendosa yang pelbagai, pelbagai jenis perbuatan baik dan amal soleh, jutaan cara amalan asmaulhusna dalam kehidupan, pelbagai teknik untuk solat kusyuk, pelbagai jenis bidang ilmu, penyelidikan, pelbagai jenis ujian hidup, pelbagai jenis penyakit, pelbagai jenis stres. Sungguh tidak mampu diungkapkan kreatifnya ALLAH Yaa Musowwir.

 Setiap kreativiti yang ada pada manusia merupakan sifat ALLAH Yaa Musowwir yang dialirkan sedikit sifat ini. DIA mengalirkan sifat Al Mosowwir kepada manusia sehingga manusia menjadi kreatif dalam perbuatannya.

 Menghayati SIFAT Al Musowwir akan melahirkan manusia yang kreatif dalam tindakannya seperti dalam merekabentuk bangunan, mencipta teknik dan kaedah-kaedah baru yang kreatif dan menghasilkan idea-idea baru yang tidak pernah difikirkan oleh manusia lain.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Musowwir, sesungguhnya Engkau yang Maha Kreatif, Engkau mencipta berbagai jenis planet, pelbagai jenis awan, pelbagai jenis cuaca, pelbagai jenis binatang, tumbuhan dan berbagai bangsa manusia, kaum, warna, budaya dan bahasa, juga pelbagai penyakit, kuman dan peristiwa-peristiwa hidup manusia. Seluruh ciptaan di alam ini memaparkan kreativitiMu Yaa Musowwir. Kurniakanlah daku kreativitiMu untuk mencipta pelbagai pendekatan, teknik, formula, produk, perkhidmatan, teknologi bagi membawa manusia mengenalMu dan mendekatkan diri kepadaMu, mengingatMu sentiasa serta memujiMu setiap saat hidup ini. 



V 105 : ASMAUL HUSNA ( 12. AL BAARI' )


AL BAARI’ ( البارئ )

 ALLAH Yaa Baari’ Yang Maha Merancang dan Mengatur kejadian alam dan agenda hidup manusia. DIA merancang kehidupan manusia dan perjalanan seluruh makhluk di dunia ini. Perancangan dan pengaturanNYA sangat hebat dan sempurna. Manusia sering gagal melihat perancangan dan aturan ALLAH Subhanahu Wata'ala yang menyebabkan mereka merosakkan perancangan ALLAH Subhanahu Wata'ala dengan perancangan sendiri yang dipengaruhi nafsu dan bisikan syaitan sehingga merosakkan alam dan kehidupan ini.

 Menghayati Al Baari’ melahirkan hamba yang menyerah diri mengikut perancangan, aturan dan agenda ALLAH Subhanahu Wata'ala. Membiarkan diri mengikut agenda ALLAH Subhanahu Wata'ala akan melahirkan kehidupan yang tenang dan bahagia tanpa kecewa dan derita. Agenda ALLAH Yaa Baari’ penuh dengan kesempurnaan, ketaatan dan kebaikan. Sebailknya agenda manusia sering dipenuhi kepentingan diri dan nafsu.

 Menghayati Al Baari juga akan melahirkan manusia yang berperancangan, tidak mudah panik dan terburu-buru atau tergesa-gesa. Sentiasa merancang dan melakukan perubahan ke arah kebaikan dan kecemerlangan, tidak ada istilah putus asa atau kecewa dalam hidupnya.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Baari' Yang Maha Mengatur, sesungguhnya alam buana ini bergerak dengan aturanMu, Engkau mengatur pergerakan bulan, bintang dan matahari, planet bergerak di atas orbitnya dengan aturanMu. Engkau juga mengatur perjalanan hidup manusia, dari kelahiran hingga kepada kematian, setiap peristiwa yang datang dalam hidup kami semuanya diatur olehMu satu persatu, samada kesenangan mahupun kesempitan, kejayaan mahupun kegagalan, kesihatan mahupun kesakitan, kenaikan mahupun kejatuhan, kemuliaan mahupun kehinaan, semuanya itu diatur olehMu.

 Engkau juga mengatur perjalanan hidup kami di Mahsyar, di hari perhitungan, hari hisab, mahkamahMu di akhirat dan ketika melalui titian sirat. Yaa Allah, kami mohon agar Engkau aturkan perjalanan yang baik yang Engkau redhai setiap saat hidup kami di dunia ini dan di akhirat nanti, janganlah Engkau biarkan kami mengatur sendiri hidup kami mengikut nafsu kami untuk kepentingan diri sendiri. Aturlah Yaa Baari' hidup kami seperti kehidupan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang mana setiap saat hidup baginda, memberi kasih sayang kepada orang sekeliling, memberi ilmu dan bimbingan menuju syurgaMu, agar di akhirat nanti dalam perjalanan itu dapat kami menumpang kenderaan baginda yang lajunya lebih laju dari kepantasan cahaya.

V 104 : ASMAUL HUSNA ( 11. AL KHALIQ )

AL KHALIQ ( الخالق )

 ALLAH Yaa Khaliq Yang Maha Pencipta menciptakan alam semesta ini serta seluruh isi langit dan bumi tanpa bantuan sesiapa. DIA pencipta dan pemilik mutlak ke atas segalaNYA. PenciptaanNYA sangat sempurna, indah dan harmoni. Manusia adalah ciptaan ALLAH Subhanahu Wata'ala dan sebagai pencipta, ALLAH Subhanahu mengetahui keperluan manusia, DIA mengatur segala keperluan manusia di atas muka bumi ini. Untuk mencapai kesempurnaan penciptaan Yaa Khaliq, manusia harus kembali kepada fitrah kesempurnaan ciptaan yang dialirkan dengan sifat-sifat ALLAH Yang Maha Hebat.

 Penghayatan kepada sifat Al Khaliq akan menjadikan manusia suka mencipta perkara dan idea baru, sentiasa membuat perubahan ke arah kebaikan dan memikirkan teknik dan kaedah baru yang tidak pernah difikirkan oleh orang lain. Mereka tidak mengenal putus asa dan kecewa kerana bergantung penuh dengan Yaa Khaliq.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Khaliq Yaa Khaliq Yaa Khaliq, sesungguhnya Engkau Maha Pencipta, Engkau mencipta seluruh alam dan isinya kerana cinta kepada manusia. Bulan, bintang, matahari dan planet-planet adalah ciptaanMu. Engkau mencipta semua ini agar manusia mengkaji kebesaran dan keagongan serta kebijaksanaanMu, memuji memujaMu Yaa Allah Yaa Hamid Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir.

 Yaa Khaliq Engkau mencipta manusia, seluruh anggota tubuh manusia dan sistem tubuh manusia dengan penuh kasih dan cintaMu. Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wadud. Engkau juga pencipta peristiwa-peristiwa hidup manusia agar manusia mengenalMu dan merasa kasih kepadaMu Yaa Rahman Yaa Rahim, merasa kagum kepadaMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, merasa berharap denganMu Yaa Qobidh, Yaa Khafidh, Yaa Muzill, merasa gerun kepadaMu Yaa Muntaqim Yaa Dharru Yaa Hakam.

 Yaa Allah seluruh ciptaanMu ini Engkau ciptakan agar kami mengingatMu, merasa dekat denganMu dan mencintaiMu, oleh itu ciptakanlah rasa kasih dan cinta kepadaMu dalam hati kami, ciptakanlah rasa rindu dalam hati ini kepadaMu, ciptakanlah peristiwa-peristiwa yang membawa kami menghampirkan diri kepadaMu, walau kami terpaksa melalui sedikit kesempitan, kejatuhan, kehinaan di dunia ini, kami redha asalkan kami dapat berada di sisiMu memuji memujaMu setiap saat hidup kami.