Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 20 Januari 2021

V 117 : ASMAUL HUSNA ( 24. AL MU’IZ )

AL MU’IZ ( المعز )

 Kemuliaan itu milik ALLAH Yaa Mu’iz Yang Maha Memuliakan dan DIA memberikan kepada sesiapa yang DIA kehendaki dan DIA memberi kepada utusanNYA dan orang-orang yang beriman. DIA juga boleh menarik balik kemuliaan itu dengan menghinakan. Orang-orang yang menjadi hamba dunia, pangkat dan wang tidak akan mendapat kemuliaan dari Yaa Mu’iz.

 Hamba kepada Yaa Mu’iz mempunyai keyakinan diri, harga diri yang tinggi dan hidup berdikari menggunakan seluruh potensi yang ada pada diri untuk kebaikan manusia sejagat. Dengan mempercayai pertolongan ALLAH Yaa Mu’iz, kekuatan luar biasa akan terserlah dan kemenangan akan dicapai. Hamba Yaa Mu’iz juga senang memuliakan orang lain serta menebarkan cinta dan kasih sayang sesama manusia.

V 116 : ASMAUL HUSNA ( 23. AL RAFI' )

 AL RAFI’ ( الرافع )

 ALLAH Yaa Rafi’ Yang Maha Meninggikan atau Mengangkat mampu meninggikan seseorang mengikut pilihanNYA. DIA mampu meninggikan seseorang samada semasa hidup atau selepas mati. Perjuangan manusia semasa hidup akan dinikmati oleh generasi akan datang sementara kemaksiatan juga akan menghinakan generasi akan datang.

 Hamba Yaa Rafi’ sentiasa sedar bahawa ada kuasa yang sentiasa mengendalikan hidupnya dan apabila diuji, dia yakin bahawa selepas kesukaran pasti ada kemudahan. Apabila dihina oleh manusia, dia juga yakin bahawa ALLAH Yaa Rafi’ akan meninggikan darjat selagi mana dia bertaqwa kepadaNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Khofidh Yaa Rofi', sesungguhnya Engkau Maha Menjatuhkan dan Maha Menaikkan. Setiap kejatuhan samada jatuh jawatan, jatuh bisnes, jatuh status dan sebagainya, semuanya itu perbuatanMu Yaa Allah Yaa Khofidh. Engkau menjatuh kami kerana kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim kepada kami kerana ketika berada di atas kami sering lalai kepadaMu, sombong, riak dan ujub, dan kejatuhan itu membuat kami insaf diri kami yang dhaif dan lemah serta hina ini Yaa Allah.

 Kejatuhan itu juga merupakan kerihatan dari tanggungjawab yang berat yang mana Engkau mengetahui betapa penatnya kami selama ini, kejatuhan itu memberi kami peluang mendekatkan diri kepadaMu untuk mencari secebis cintaMu Yaa Wadud. Di sebalik setiap kejatuhan di sisi manusia merupakan kenaikan olehMu Yaa Rofi' di sisiMu, masukkan rasa redha dan syukur Yaa Qodir Yaa Muqtadir Yaa Syakur dalam jiwa kami atas setiap peristiwa kejatuhan yang Engkau Yaa Khofidh datangkan dalam hidup kami.

V 115 : ASMAUL HUSNA ( 22. AL KHOFIDH )

AL KHOFIDH ( الخافض )

 ALLAH Yaa Khofidh Yang Maha Merendahkan atau Menjatuhkan berhak merendahkan atau menghinakan makhlukNYA sekiranya DIA merasakan perlu bagi memberi peringatan kepada hambaNYA yang lalai. ALLAH Yaa Khofidh juga mampu menghinakan tempat kembali hamba-hambanya di Akhirat, iaitu di Neraka disebabkan oleh dosa-dosa. Orang yang dipandang hina oleh manusia mungkin dipandang mulia oleh ALLAH Subhanahu Wata'ala di sisiNYA dan sebaliknya.

 Manusia harus berhati-hati dalam mempergunakan amanah ALLAH Subhanahu Wata'ala dalam bentuk kemuliaan seperti harta, pangkat, anak-anak kerana DIA Yaa Khofidh boleh merendahkan pada bila-bila masa. Menghayati nama Yaa Khofidh, seseorang itu tidak akan menghina sesama makhluk apatah lagi manusia, terutamanya orang-orang miskin yang dimuliakan ALLAH.



V 114 : ASMAUL HUSNA ( 21. AL BASITH )

 AL BASITH ( الباسط )

 ALLAH Yaa Basith Yang Maha Melapangkan mampu melapangkan rezeki seseorang setelah disempitkanNYA. ALLAH Subhanahu Wata'ala melapangkan rezeki seseorang mengikut keperluan dan kesesuaian. Di sebalik kelapangan itu tersirat ujian daripada ALLAH Subhanahu Wata'ala. Setiap kelapangan harus diiringi dengan syukur, menafkah sebahagiannya dan alat untuk mendekatkan diri kepadaNYA. Hamba ALLAH Yaa Basith adalah orang yang yakin diri, mempunyai harga diri dan berdikari. Mereka berusaha tanpa henti mengejar cita-cita, cekal dan sabar. Hamba Yaa Qobidh suka melapangkan orang lain, memberi apa yang ada padanya demi menolong orang yang memerlukan.

 Kita harus mentauladani Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam yang menjadikan hidup dan hartanya diabdikan untuk kepentingan manusia, keselamatan dunia dan akhirat. Orang yang dilapangkan pangkat dan kekuasaan menggunakannya untuk membantu orang lain menyelesaikan masalah hidup. Ingatlah kelapangan itu adalah amanah yang akan dipersoalkan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Qobidh Yaa Basith, sesungguhnya Engkau Maha Menyempitkan dan Maha Melapangkan. Engkau menyempitkan kami kerana kasihMu kepada kami agar sentiasa ingat kepadaMu dan ketika kami datang merintih kepadaMu, Engkau melapangkan kami. Yaa Basith, kami insaf Yaa Allah Yaa Qobidh, nafsu ini seringkali tersasar dari jalan kebenaranMu, hanya dengan sedikit kesempitan, ia akan tunduk dan kembali kepadaMu memohon ampun dan taubat, Yaa Affuw Yaa Ghaffar Yaa Tawwab. Ketika kami sihat, kesihatan itu membuat kami melupakanMu dan hari Akhirat, Engkau Yaa Qobidh menyempitkan kami sedikit dengan kesakitan, maka sakit itu tanda Engkau akan melapangkan akhirat bagi kami.

 Ketika wang ringgit membuat kami lalai dan membazir, Engkau Yaa Qobidh menyekat wang ringgit seketika agar kami bermuhasabah dan insaf diri agar wang ringgit itu tidak dikalungkan ke leher kami menjadi kalungan api Neraka nanti. Yaa Allah Yaa Qobidh, ketika Engkau menyempitkan kami, kurniakan kami kesabaran. Yaa Sobur, kekuatan Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin, cahaya petunjukMu Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq dan kelapangan Yaa Basith. Dan ketika kami dilapangkan olehMu Yaa Basith, jadikan kami hamba yang bersyukur Yaa Syakur dan menggunakan segala kurniaanMu di jalan kebenaran dan kebajikan.



V 113 : ASMAUL HUSNA ( 20. AL QOBIDH)

 AL QOBIDH ( القابض )

 ALLAH Yaa Qobidh Yang Maha Menyempitkan mampu menggenggam, menyempitkan, menghalang. DIA mampu menyempitkan rezeki seseorang sekiranya DIA merasakan perlu sebagai peringatan dan hukuman kepada hambaNYA. DIA juga mampu menghalang atau menangguhkan seseorang daripada mendapat sesuatu seperti jawatan, harta, kasih sayang dan sebagainya, tetapi setiap ketentuan ALLAH Yaa Qobidh mempunyai kebaikan yang seringkali tidak mampu difikirkan oleh manusia. DIA juga menutup dosa hamba-hambaNYA dengan menyempitkannya.

 Hamba ALLAH Yaa Qobidh adalah seorang yang redha atas setiap ketentuanNYA dan mengambil pengajaran atas setiap yang berlaku, memohon ampun di atas setiap kesalahan yang disedarinya. Ketika diuji oleh ALLAH Yaa Qobidh, haruslah memerah tenaga dan akal untuk menghadapinya dengan usaha dan tawakkal. Setiap ujian yang diberikan untuk membuktikan nilai seseorang di sisi ALLAH Subhanahu Wata'ala. Dalam menghadapi ujian Yaa Qobidh, hendaklah bersikap redha dan tunjukkan kesenangan dengan ketentuanNYA dan memohon pertolonganNYA serta mengharapkan semata-mata dariNYA.



V 112 : ASMAUL HUSNA ( 19. AL 'ALIM)

 AL ‘ALIM ( العليم )

 ALLAH Yaa ‘Alim Yang Maha Mengetahui, mengetahui setiap sesuatu yang berlaku. DIA mengetahui perkara-perkara yang ghaib yang diluar jangkauan manusia dan DIA mengetahui setiap apa yang akan berlaku. Tiada sehelai daun pun yang gugur tanpa pengetahuanNYA. Ilmu ALLAH Yaa ‘Alim sangat hebat. Kehebatan ilmuNYA terserlah dalam kesempurnaan penciptaan makhlukNYA. Yaa ‘Alim memberikan ilmuNYA kepada sesiapa yang dikehendakiNYA. Hamba ALLAH Yaa ‘Alim akan membuka fikirannya untuk dialirkan Ilmu ALLAH Yaa ‘Alim untuk digunakan bagi kesejahteraan sejagat. Hamba Yaa ‘Alim juga rela menimba ilmu daripada ALLAH Subhanahu melalui makhluk-makhlukNYA tanpa merasa dirinya hebat dengan sedikit ilmu yang ALLAH Subhanahu Wata'ala berikan.

 IlmuNYA juga perlu disebarkan kepada orang lain agar dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan manusia dunia dan akhirat. Orang yang dikurniakan ilmu sewajarnya lebih takut kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala kerana mengetahui kehebatan dan sifat-sifatNYA. ALLAH Yaa ‘Alim mengarahkan kita mencari ilmuNYA bersungguh-sungguh dan tanpa henti serta di mana sahaja. Dalam mencari ilmu, kita harus merenungi, mengkaji, menganalisis dan mengamati serta mengambil pengajaran dari semua itu dan seterusnya sujud kepada ALLAH apabila dapat melihat kehebatan dan keagonganNYA melalui penciptaanNYA.

BICARA HATI

 Allahumma Yaa ‘Alim Yaa ‘Alim Yaa ‘Alim, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berilmu dan Maha Mengetahui. Seluruh ilmu pengetahuan di alam buana ini dan yang ada dalam otak manusia adalah ilmuMu, tiada satulah ilmu manusia. Kami hanya hambaMu yang jahil, tanpa ilmuMu, kami akan terus jahil. Engkau memberi ilmuMu kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. IlmuMu Engkau datangkan melalui pelbagai cara, melalui Al Quran, Hadis NabiMu, melalui ulama' Mu, ilham dalam hati manusia, melalui pengalaman kehidupan, melalui guru-guru yang Engkau alirkan ilmuMu, melalui pemerhatian di sebalik makhluk dan alam. IlmuMu meliputi alam ghaib dan alam zohir.

 Engkau Yaa “Alim memberi ilmu dan mengambil kembali ilmuMu dari otak manusia mengikut kehendakMu. Yaa ‘Alim, kurniakan kami ilmu mengenalMu agar dapat mengasihiMu, mengagumiMu dan gerun kepadaMu, oleh itu dapat kami hidup dalam redhaMu sentiasa.



V 111 : ASMAUL HUSNA ( 18. AL FATTAH)

 AL FATTAH ( الفتاح )

 ALLAH Yaa Fattah Yang Maha Membuka, membuka setiap yang tertutup. DIA membuka pintu rezeki, pintu penyelesaian segala masalah hidup, membuka pintu kasih sayang untuk yang hati tertutup, membuka minda dan pemikiran yang buntu dan tertutup dan membuka setiap sesuatu yang tertutup yang diperlukan oleh manusia. DIA juga mampu membuka jalan ke arahNYA dengan membuka pintu misteri dan keajaiban untuk manusia lebih dekat denganNYA dengan membuka pintu hati dan akal.

 Kekuatan Al Fattah yang ada dalam diri manusia mampu menjadikan manusia sentiasa berusaha memecah pelbagai kesulitan yang dihadapi. Hamba kepada Yaa Fattah mempunyai hati dan fikiran yang jernih yang mampu menerima pandangan orang lain, sentiasa positif kerana yakin Yaa Fattah akan sentiasa membuka jalan bagi hamba-hambaNYA yang menyerah diri dan bersandar kepadaNYA, tidak pernah mengenal erti putus asa.

 ALLAH Yaa Fattah bersifat Maha Membuka sentiasa membuka ruang pengampunan dan taubat kepada hamba yang beriman. Keterbukaan ini dapat dilihat apabila ALLAH Subhanahu Wata'ala detikkan manusia beriman untuk bermunajat di malam hari memohon keampunan dan membuka pintu berdampingan denganNya di malam hari. ALLAH Yaa Fattah lah yang merungkaikan kesulitan yang manusia alami, membuka kesempitan dan keresahan. ALLAH Yaa Fattah sentiasa membiarkan pintu ke jalan yang benar terbuka luas kerana ALLAH YAA WAASI' YAA BASITH Maha Luas Maha Melapangkan.

 Hamba yang beriman kepada ALLAH  Yaa Fattah akan menzahirkan fitrah keterbukaan ini, mewujudkan suasana 'welcoming' kepada manusia sekeliling. Hubungan sesama manusia terutama yang mempunyai matlamat sama iaitu memperjuangkan agama dan membantu ummah sentiasa dipandang positif. Bukakan persepsi matahati supaya tiada rendah-merendah, benci-membenci timbul. Bersifat terbukalah kepada semua orang yang didatangkan ALLAH Subhanahu Wata'ala kepada kita, pasti ada agenda ALLAH Subhanahu Wata'ala yang tersirat di situ samada berbentuk tugasan atau ujian. Bersifat terbuka merupakan sunnah Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam hatta kepada orang buta yang membenci Baginda.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Fattah Yaa Fattah Yaa Fatah, sesungguhnya Engkau Yang Maha Membuka, Engkau yang membuka langit yang terbuka luas, 7 lapisan langit yang mempunyai rahsia keagunganMu Yaa Adzim yang hanya Engkau yang mengetahui Yaa Alim. Engkau juga Yaa Fattah membuka pintu Syurga kepada hamba-hamba yang Engkau Yaa Rahman Yaa Rahim redhai, membuka pintu Neraka bagi hamba yang engkar kepadaMu yang Engkau murkai.

 Engkaulah Yaa Fattah yang membuka laluan yang luas di atas titian sirat kepada para Nabi dan Rasul serta pengikutnya yang taat, Engkau juga membuka laluan yang sempit yang nipisnya lebih nipis dari rambut dibelah tujuh dan lebih tajam dari mata pedang yang paling tajam.

 Yaa Allah Yaa Fattah Yaa Haq, bukalah jalan kebenaran bagi kami di dunia ini, Yaa Fattah Yaa Mukmin, bukalah jalan keimanan kepada kami, Yaa Fattah Yaa Barr, bukalah jalan kebaikan kepada kami, Yaa Fattah Yaa Rahman Yaa Rahim, bukalah jalan kasih sayangMu kepada kami. Yaa Fattah, bukalah hijab yang menghijab antara kami denganMu selama ini. Yaa Fattah Yaa Wasi’, bukalah minda kami seluas langit dan bumi untuk menerima ilmuMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid sederas tsunami. Yaa Fattah, buka lah pintu hati suami/isteri kami untuk bangun di pagi-pagi hari sujud rukuk kepadaMu sebagaimana Engkau buka pintu hati kami. Yaa Fattah Yaa Wadud, bukalah jalan kekasih dan pencintaMu kepada kami agar kami dapat mencintai dan merinduiMu Yaa Allah.