Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Ahad, 30 Disember 2012

K 137 : AKHLAK MULIA ADALAH HIASAN SYURGA YANG PALING INDAH

Kita semua akan pulang kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Ya. Itu satu kepastian. Dan semua kita inginkan syurga. Cuma yang berbeza, hanyalah cara kita menuju ke sana. Ada yang bergerak lambat, ada yang cepat, ada yang sangat-sangat pantas. Bahkan, ada yang tidak sampai-sampai. Namun, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tidak pernah biarkan hamba-hambaNya terkapai-kapai dalam perjalanan menuju-Nya. Disebabkan kita ada yang lambat, ada yang cepat, maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA motivasikan kita dengan khabar-khabar dari syurga. Supaya apa? Supaya dengan cerita-cerita syurga itu, yang lambat, dapat mempercepatkan langkahannya. Supaya dengan motivasi syurga itu, yang cepat, terus istiqamah di atas jalan yang benar, tidak jatuh dan terhenti di pertengahan dalam perjalanan itu, bahkan membantu yang lambat.

Temasya syurga, tempat bersama orang yang kita cinta

Tidak ada orang yang berjaya masuk syurga ingin hidup keseorangan sunyi dalam syurga. Tiada teman, tiada kawan. Seboleh mungkin, kita ingin hidup di syurga nanti bersama dengan orang-orang yang paling kita cinta sewaktu di dunia dahulu. Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik ra :

“Ada seorang Arab badwi bertanya kepada RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. “Bilakah kiamat itu tiba?” RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda : 
“Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu?” Lelaki itu menjawab : 
“Cinta ALLAH dan RasulNya.” RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menjawab : 
“Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.”
[HR Muslim, No. 4775]

Kalau orang yang kita cinta itu adalah ibu ayah kita, maka kita ingin sangat agar dapat bersatu semula bersama ibu ayah kita di syurga nanti. Kalau orang yang kita cinta itu adalah adik-beradik kita, kita ingin melihat wajah-wajah abang, adik dan kakak yang kita sayangi itu nanti bersama kita di syurga. Kalau orang yang kita cinta itu adalah sahabat kita, maka kita sungguh tidak sabar-sabar lagi untuk berpimpin tangan bersamanya ke syurga. Kalau orang yang kita cinta itu adalah isteri kita, maka sangat tinggi harapan kita untuk bersatu semula bersama isteri kita di sana nanti kerana dialah pelengkap kebahagiaan dan ketenangan kita ketika di dunia. Namun, semua ini hanya akan dapat dicapai bila kita melakukan taqmil wa istiqmal. Apa itu?

Lambat dan cepat, lemah dan kuat, perlu saling melengkapi

Taqmil wa istiqmal itu adalah saling melengkapi. Kita ada kelebihan dan ada kelemahan. Orang lain juga sama, ada kelebihan dan kekurangan. Tidak ada yang perfect, betul semua 100%. Dengan kelemahan yang kita ada itu, ia perlu ditampung dengan kelebihan yang ada pada orang lain. Begitulah juga, kelebihan yang ada pada kita perlu digunakan untuk membantu orang lain. Maka, barulah akan terbentuk satu masyarakat yang kuat. Kita semua ada kesilapan, ada kesalahan, ada kekurangan. Bila proses taqmil wa istiqmal ini saling dilaksanakan, maka pastinya tidak ada kesilapan yang tidak dibetulkan, pastinya tidak ada kesalahan yang tidak ditegur, dan pastinya tidak ada kekurangan yang tidak diperbaikkan. Jumpa sahaja dengan saudara kita di jalan-jalan, kita tidak segan-segan untuk bertegur sapa dan bertanya khabar serta melebarkan senyuman.
Bila melihat saudara kita melakukan kesilapan, kita tidak hanya memandang dan membiarkan sahaja, tetapi kerana rasa cinta kepada saudara kita, kita menegurnya meskipun kita mungkin dimarahi semula. Bila melihat saudara kita jauh daripada jalan iman, kita bersegera untuk lebih dekat dengannya, supaya kita mampu membetulkannya semula. Bukan bila dia jauh daripada jalan iman, kitapun menjauhinya. Ingatkah bagaimana kisah Abu Zar dengan Bilal bin Rabah? Bila Abu Zar telah mengeluarkan kata-kata tidak elok kepada Bilal hanya dengan mengatakan, 

“Wahai budak hitam…”

Maka, ditegur oleh RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bahawa dalam diri Abu Zar masih ada jahiliyah. Lalu, apa yang dilakukan oleh Abu Zar. Adakah dia marah dengan teguran itu? Tidak. Bahkan, dia pergi berjumpa dengan Bilal, sambil meletakkan mukanya di atas tanah, dia meminta Bilal memijak mukanya sebagai membalas perbuatannya yang mengeluarkan kata-kata itu. Kita hari ini, bagaimana? Kalau hendak dinisbahkan cara hukuman Abu Zar terhadap dirinya dengan kita, pastinya muka kita ini lebih layak dipijak banyak kali berbanding Abu Zar, tidakkah begitu?

Bagaimana mereka bergerak, sepatutnya begitulah kita

Mereka adalah generasi contoh. Generasi awal Islam yang sentiasa memberi motivasi untuk kita terus berjuang. Lihatlah mereka dan ambillah pengajaran. Bagaimana hebatnya ukhuwah antara Abd Rahman bin Auf dan Saad bin Rabi dalam peristiwa Hijrah, itulah yang ingin kita contohi. Mereka itu tidak pernahpun berjumpa, bahkan tidak pernah berutus surat apalagi bertanya khabar melalui facebook seperti yang kita miliki sekarang. Mereka memang tidak pernah berjumpa kecuali pada waktu hijrah itu sahaja. Tetapi, lihatlah. Bila mereka dihubung atas iman, ukhuwah yang mendominasi diri mereka menyebabkan proses taqmil wa istiqmal itu berjalan dengan hebat sekali. Abd Rahman datang dalam keadaan tidak memiliki apa-apa. Saad bin Rabi’ selain menawarkan separuh hartanya, dia juga menawarkan isterinya. Antara dua orang, pilih sahaja isteri mana satu yang dikehendaki oleh Abd Rahman bin Auf. Kalau kita di tempat Abd Rahman, apa yang kita lakukan agaknya bila menerima tawaran sebegitu?
Abd Rahman bin Auf bahkan tidak mengambil kesempatan langsung di atas kemurahan hati saudaranya itu. Beliau cuma meminjam beberapa dinar daripada Saad bin Rabi’ sebagai modal memulakan perniagaannya. Mereka itu, mampu saling melengkapi dalam keadaan tidak mengenali, bahkan menjadi lebih hebat setelah mereka saling mengenali. Kita bagaimana?

Penutup : temasya ke syurga perlu digerakkan bersama

Saidina Abu Bakar as-siddiq ketika mula-mula dilantik menjadi khalifah, beliau telah berpesan:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya aku telah dilantik di kalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka, jika aku melakukan kebaikan, bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong, maka betulkanlah aku.”

Perhatikanlah kerendahan hati seorang sahabat Nabi. Walaupun beliau seorang sahabat yang sangat akrab dengan Nabi s.a.w., tetapi beliau tetap meminta agar orang lain dapat membantu melengkapkan dirinya. Bila kita saling melengkapi, maka pastinya lebih mudah perjalanan menuju Ilahi ini. Bila kita saling melengkapi, pastinya kebahagiaan hidup di atas iman lebih mudah dirasai. Kita tidak hanya ingin sekadar diri kita sahaja menapak di syurga, bahkan kita akan rasa sangat terkilan bila melihat mereka yang pernah bersama kita di dunia, tidak bersama kita di syurga. Lihatlah Rasul s.a.w., beliau tidak hanya merisaukan dirinya, tetapi sibuk memikirkan tentang ummatnya. Bahkan, di akhirat nanti, bila dibangunkan semula di akhirat nanti, perkara pertama yang menjadi kerisauannya adalah umatnya.

Kita, adakah saudara kita yang bersama kita sekarang ini, menjadi kerisauan kita, atau kita hanya sekadar merisaukan diri kita? Suasana dalam syurga itu nanti sebagaimana yang digambarkan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam surah Al-Waqiah ayat 25-26 bermaksud :

“Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa. Mereka hanya mendengar ucapan: “selamat! selamat!” (dari satu kepada yang lain).”

Dalam syurga, kita hanya mendengar ucapan salam dan ucapan yang baik sahaja antara ahli syurga. Itulah kehebatan temasya di syurga nanti. Hubungan yang baik antara ahli syurga. Tetapi, jika kita tidak mula mempraktikkannya bermula daripada di dunia, apakah mungkin ada ruang dan peluang untuk kita merasainya ketika di akhirat nanti? Hendak merasai keindahan temasya di syurga, maka kita perlu merancang temasya itu bermula di dunia lagi. Temasya syurga hanya mampu dinikmati keindahannya bila proses taqmil wa istiqmal dilaksana ketika di dunia!
http://langitilahi.com/9848




K 136 SEPULUH Amalan yang mengubah kehidupan anda.

Motto Hidup : “Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam”.

Jiwa ini sungguh unik sifatnya. Ada saatnya kita rasa sangat bertenaga, bersemangat dan tabah. Tetapi, di celah-celah perjalanan kehidupan pasti ada titik-titik down kita. Apa perasaan ketika itu? Kita lemah, hilang segala semangat yang pernah membara dan jiwa terasa amat-amat kosong.
Normal kita jika berlaku sedemikian? Saudara-saudaraku, jika hal ini berlaku kepada kita ketahuilah ia adalah perkara yang biasa dan usahlah gusar serta terlalu tertekan dengannya.

“ Iman itu bertambah, dan berkurang.”

“ Jiwa itu ada saat segarnya, dan ada masa lemahnya.”

Persoalan di sini, bagaimanakah kita hendak menghadapinya? Sikap proaktif yang bagaimanakah akan kita cerna dan gerakan ketika menghadapi situasi sebegini. Suka saya mulaikan perkongsian ini dengan bingkisan jiwa murabbi saya, Abu Umar berkaitan jiwa kita.

Bingkasan Jiwa : Apabila Jiwa Kosong

Apabila jiwa kosong  maka kehidupan umpama lorong duka lara, simpang siurnya adalah kekeliruan dan kekecewaan sedangkan deru anginnya adalah nyanyian kedukaan. Tidak ada lagi keindahan pada mahligai tersergam juga kebahagiaan pada segala kemewahan dan solekan dunia. Jiwa adalah sarang kebahagiaan,
taman ketenangan dengan seribu janji senyuman. Ke manakah perginya kelazatan
pada sajian hebat yang terhidang di meja kehidupan. Dari manakah datangnya kepanasan di ruangan berhawa dingin yang membekukan hati.

Manusia tetap manusia, memerlukan hidayah untuk diisikan pada jiwanya
agar dirinya mengenal erti takut dan tunduk. Kerana takut itulah yang akan mengajarnya erti keberanian dan tunduk itulah yang akan mengajarnya erti ketinggian.
Keberanian untuk menempuh pahit dan getirnya kehidupan serta ketinggian untuk memetik buah kebahagian dalam rimbunan pepohon keimanan. Sungguh sederhana bahasanya serta sentuhan perasaan yang dinukilkan. Tetapi, jika kita amati jika jiwa kita kosong, hambar, hilang keghairahan serta tiada lagi manis-manis keimanannya maka yang bertakhta di hati hanyalah kesengsaraan, kekecewaan, kerisauan dan kesedihan.
Apabila dirundum kesedihan sedemikian rupa, apa sebenarnya yang kita hajati?

Tentunya, ramai orang hajatkan  sebuah hembusan yang bernama ketenangan, kebahagian dan ketenteraman. Justeru, rawatan pulih itu perlu disegerakan, digerakan, dilaksanakan dan diamalkan sepanjang hayat kita. Oleh itu, perkongsian saya kali ini ingin membawa sahabat pembaca kepada ubat yang boleh mengisi kelompongan yang ada dalam hati kita ini. Rawatan yang harus disegerakan sepantas kilat yang bercahaya.

Rawatan Jiwa : Super 10.
Super 10? ( Baca : Super Ten)
Apa tu?
Super 10 ini hanya nama yang saya letak untuk 10 amalan yang akan memberikan suatu kesan yang luar biasa sekiranya kita amalkan dalam kehidupan kita. Ianya hanya bermakna apabila kita buat, amal dan beristiqamah dengannya dalam bentuk pengamalan dan penghayatan.
Apakah elemen-elemen Super 10 ini?

Pertama :
Berusahalah untuk bertahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Solat Tahajud biasanya dilakukan semasa Qiamullail. Ibadah Qiamullail adalah kebiasaan para salaful soleh dan syiar para kekasih Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis :

“Hendaklah kamu mengerjakan qiamullail kerana qiamullail adalah kebiasan orang soleh sebelum kamu. Qiamullail mendekatkan diri kepada Allah SWT, menghapuskan dosa dan megusir penyakit daripada tubuh.”
( Riwayat At-Tirmidzi)
Solat malam merupakan ibadah yang paling afdal kerana ia lebih mendekatkan diri kepada rasa keikhlasan dan menjauhkan diri daripada riak. Latihan ini sangat baik untuk mendidik diri agar sentiasa bersih, jernih dan suci!

Kedua :
Melazimi membaca Al-Quran dan zikir al-mathurat sebelum terbit matahari kerana ia merupakan sumber ketenangan seorang mukmin muslim. Al-Quran adalah motivasi terulung bagi seorang mukmin. Anda percaya?Ya. Ia merupakan pengerak dan dinamo utama kepada energi kekuatan seorang insan untuk melaksanakan segala bentuk kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Tegas Allah SWT dalam Firmannya yang bermaksud :

“Dan Kami turunkan dari al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Al-Isra 17 : 82)
Dan satu ungkapan yang menarik yang diucapkan oleh Saidina Uthman Bi Affan RA : 

“Sekiranya hatimu itu suci, nescaya tidak akan kenyang (puas) dari firman Rabbmu ( al-Quran).”
Ketiga :
Memelihara kesempurnaan solat kerana inilah kekuatan mukmin muslim yang utuh. Solat.Ia merupakan talian hayat utama bagai seorang hamba kepada Tuannya. Solat menghubungkan jiwa, ruh dan hati seseorang insan terus kepada RabbNya. Kesempurnaan solat akan memberi pelbagai bentuk suntikan tenaga yang mampu menggerakan dan melonjakan produktiviti serta amal proaktif semua insan. Kesempurnaan solat terletak kepada kekhusyukan dan aspek-aspek yang menyempurnakannya. Dengan khusyuk, terbukalah kunci-kunci pintu hati, bersinar serta terserlahlah cahaya keimanan di dalam hati. Dengan ini seseorang akan merasai kemanisan iman di dalam jiwanya.
Solat menjadi kecintaan dan kerinduaannya kerana ia mendapat manfaat bersama ibadah solat. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda :

“Dan dijadikan mataku sejuk dalam solat.”
( HR Nasai)

Keempat :
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
Rasulullah SAW bersabda :

“Pada tiap-tiap pagi ada kewajipan ke atas setiap orang perseorangan (individu) untuk bersedekah, dan cukuplah menggantikan semuanya dengan mengerjakan dua rakaat sunat Dhuha.”
( Riwayat Abu Dzar RA)
Sejujurnya, kita akan merasai kelainan yang berbeza dalam menjalani kehidupan seharian apabila solat sunat ini telah menjadi malakah (darah daging) kita. Rasa janggal kalau termiss atau tertinggal walaupun sehari.

Kelima :
Sentiasa bersedekah setiap hari. Walaupun hanya dengan sekuntum senyuman kerana ia penyubur kasih sayang. Sedekah adalah amalan yang sangat mulia. Ia membersihkan diri daripada sifat-sifat yang mazmumah dan menyuburkan sifat kasih sayang dalam diri manusia. Dan ganjarannya di sisi Allah SWT amatlah besar dan lumayan.
Allah SWT berfirman :
“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan ganjaran bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas ( kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(Al-Baqarah 2 : 261)
Keenam :
Sentiasa memelihara wuduk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwuduk. Imam Al Banna selalu berpesan kepada sahabat-sahabatnya : “Bahawa Rasulullah SAW bersabda :

”Wuduk adalah senjata mukmin, kerana itu setiap Ikhwan mengambil berat soal memperbaharui wuduk apabila terbatal walaupun di kala malam yang dingin menusuk tulang.”
Saidina Umar Al-Khattab RA : 

“Sesungguhnya wuduk yang baik, mengusir syaitan dari dirimu.”

Ketujuh :
Amalkan istighfar setiap masa agar terhapus segala dosa dan noda. Apa itu istighfar? Maknanya : Proposal atau “Permohonan Ampunan kepada Allah SWT”. Istighfar ini menunjukan kemampunan seseorang untuk mengenali kesalahan, dosa, dan kemaksiatan yang telah dilakukan. Kemudian, muncul perasaan menyesal dan tekad yang kuat untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.

“Dan bersitighfarlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Al-Muzamil  73 : 20)

Nasihat Nabi Muhammad SAW kepada kita, sabda baginda :

“Sesungguhnya hatiku selalu lupa, padahal aku beristighfar kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali.”
( HR Muslim dan Abu Daud)

Kelapan  :
Perbaharui azam dan tekad untuk terus berkhidmat kerana Allah SWT Saban hari, pastinya jiwa dan hati kita akan diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian dan cabaran. Dan semestinya, jiwa kita itu harus disegarkan dengan memperbaharui azam dan tekad agar ia tidak layu dan kendur. Terus bersemangat dan mengobarkan cita-cita serta harapan adalah ciri yang harus pada ada seorang yang ingin melaksanakan tugas yang berat ini. Iaitu tugas mendaulatkan deen Allah SWT. Dengan sedikit kemampuan yang Allah SWT berikan kita boleh menyebarkan syiar Islam melalui pelbagai wasilah dan cara dengan kadar kepakaran serta kebolehan yang kita miliki.

Kesembilan :
Sentiasa ceria, bermanis muka dan berfikiran positif kerana itulah watak sahsiah seorang mukmin sejati. Rasulullah SAW mengalakan agar budaya senyum itu dihidupkan oleh para sahabat dengan ungkapannya : 

“Senyum itu adalah sedekah.”

Senyuman itu akan membahagiakan sesiapa sahaja yang melihat kita dan pastinya ia akan membenihkan bibit-bibit kasih sayang di dalam jiwa manusia. Sahsiah inilah yang harus dihidupkan bagi melahirkan masyarakat yang harmoni hidup berkasih sayang di bawah naungan Islam. Seharusnya juga, seseorang mukmin memelihara kesentiasaan positif dan meninggalkan pengaruh yang baik terhadap individu disekitarnya.
Imam Al-Banna berkata : 

“Orang soleh sentiasa meninggalkan pengaruh yang positif di manapun ia pernah berada.”

Kesepuluh :
Memelihara Diri dengan keikhlasan yang tulus kerana Allah SWT kerana disitulah terletaknya nilai amalan di sisi Allah SWT. Ikhlas adalah ibadah hati yang pertama, terpenting, tertinggi dan merupakan asas utamanya. Firman Allah SWT :

“Dan mereka tidak diperintahkan, selain untuk beribadah kepada Allah SWT mengikhlaskan agama hanya untuk-Nya dengan penuh ketundukan.”
( Surah Al-Bayyinah 98 : 5)

Ibnu Qayyim berbicara mengenai ikhlas : 

“Ikhlas adalah menjadikan Allah SWT sebagai matlamat dalam melakukan ketaatan, iaitu anda memiliki matlamat hanya pada Dia sahaja, bukan kepada selainNya.”

Penutup : Agar Jiwa Kita Sentiasa Terisi
Andaikata sudah lama kekosongan jiwa kita terlopong tanpa apa-apa sentuhan, maka marilah kita isinya dengan Super 10 ini. Ia akan benar-benar menjadi dan berkesan apabila kita sendiri yang melaksana sebagai agenda serta amalan kehidupan kita.

Ayuh, rakan-rakan kita jadikan 10 amalan ini sebagai kekuatan diri kita dalam rangka menjadi hamba Allah SWT.




K 135 Ketaatan dan Maksiat tidak pernah bercampur.




Minyak dan air, kalau dicampurkan dan digaulkan sekali di dalam sebuah bekas, ia tetap tidak akan bercampur. Minyak akan berada di lapisan atas sementara air pula di bawah.
Ia tidak dapat bercampur kerana yang satu lebih tumpat dari satu yang lain.  Ketumpatannya berbeza-beza.
Air yang dicampur dengan minyak, tidak mungkin ada lagi yang ingin meminumnya. Walaupun hakikatnya, sebenarnya lapisan air dan minyak tetap terpisah tidak bercampur, tetapi tetap tidak ada siapa yang mahu minumnya kalau sudah bercampur keduanya.
Maka, begitu jugalah amalan kemaksiatan dan ketaatan kepada Allah.

DUA HALA TUJU BERBEZA

Taat kita kepada Allah, ke arah manakah ia akan bawa kita?
Maksiat kepada Allah, ke arah mana pula?
Adakah mungkin kedua-duanya berada di landasan yang sama dan sehala?
Sudah tentulah tidak, bukan? Satunya bawa ke syurga, dan satu lagi bakal menghantar kita ke neraka. Mana mungkin ada persamaan antara keduanya. Bahkan, jauh sekali untuk bertembung.
Kalau satunya sudah ke Timur, dan yang satu lagi ke Barat, mana mungkin berlaku pertembungan.
Maka, begitulah kemaksiatan dan ketaatan kita kepada Allah.
Kedua-duanya adalah urusan yang tidak boleh dicampur adukkan.

‘ALAH, BANG. BUKAN SEMUA TAK BAGUS. ADA YANG BAGUS JUGA’

Mengadakan sambutan atau perayaan terhadap sesuatu seperti kejayaan, kemerdekaan atau apa-apa jua adalah bagus. Tidak ada masalah. Namun, bila yang diisi di dalam sambutan itu adalah kemaksiatan, maka itu yang menjadi masalah.
Hendak sambut hari apapun, atau perayaan apa-apa jua, tidak ada masalah. Asalkan yang terisi di dalam sambutan itu adalah yang benar-benar bertepatan dengan kehendak Allah.
Hendak sambut merdeka, tidak ada masalah, asalkan bukan percampuran dan pergaulan lelaki perempuan yang menjadi ‘pengisian’ di dalamnya. Hendak sambut hari perayaan tidak ada masalah, asalkan jangan melebih-lebih sangat sehingga mengabaikan tuntutan wajib seperti solat fardhu ataupun pergi dedah aurat sana sini.
Apakah yang diisi dalam sambutan atau perayaan itu? Baik atau tidak baik?
Kalau sekalipun sambutan atau perayaan itu baik, tetapi bila pengisiannya tidak baik, maka tidak baik jugalah jadinya.
Kalau sambutan itu sudah memang jelas bertentangan dengan syarak, maka isilah dengan zikir ke, doa ke, apa ke, tetap jadi tidak baik.
“Alah, bang. Bukan semua tak bagus. Kan ada juga yang bagus tu. Ada qiam dan solat berjemaah lagi”.
Sama sahaja. Meskipun dalam sambutan itu ada perkara yang baik seperti kuliah maghrib ke ataupun solat berjemaah ke, tetapi kemudian dihiasi atau dicampur aduk pula dengan perkara tidak baik pula seperti tarian antara lelaki dan perempuan, konsert yang tidak syar’i, persembahan-persembahan yang melampaui batas sehingga membuatkan lelaki dan perempuan tanpa segan silu lagi bercampur dan terkinja-kinja, maka ia tetap tidak baik.

‘HABIS TU, TAK BOLEHLAH KALAU NAK BERHIBUR SIKIT-SIKITPUN?’

Boleh. Siapa kata tak boleh?
Islam tidak pernah halang umatnya untuk berhibur. Bahkan berhibur itu sendiri adalah satu keperluan bagi manusia jika kena pada dos dan masanya.
Boleh saja nak berlakon, mahu nyanyi atau bernasyid, mahu bersajak atau bersyair, atau apa-apa jua jenis hiburan asalkan jangan sampai melanggar batas-batas yang Islam telah tetapkan.
Kalau dalam sebuah persembahan itu, sampai terkinja-kinja dan tergedik-gedik lelaki dan perempuan sehingga tengah malam, duduk pula bercampur aduk dan tidak dipisahkan, dedah aurat sana sini, maka itu sudah lebih dari dosnya dan sudah melampaui batas yang Islam telah tetapkan.
Hendak berhibur, berhiburlah. Tinggal lagi, jagalah batas-batas dan adab-adab yang Islam ajarkan pada kita.
Hiburan ini bukanlah keseluruhan kehidupan, tetapi ia adalah sebagai sebahagian daripada pelengkap kehidupan. Ibarat garam dalam makanan, kalau tidak letak langsung, makanpun tak berapa nak rasa, kalau terlebih banyak, masin pula jadinya. Maka, letakkan pada kadarnya, makanan kita akan jadi sedap.
Pendek kata, hendak berhibur, berhiburlah. Tidak ada masalah. Asalkan jangan melampau sangat. Jadikan hiburan sebagai medan ibadah kita juga, bukan medan dosa.

PENUTUP : HENDAK TAAT, TINGGALKAN MAKSIAT

Kalau air yang putih bersih boleh digunakan untuk minum, mandi dan bersuci, tetapi bila dicampur dengan air longkang, siapakah lagi yang mahu menggunakannya untuk minum, mandi ataupun bersuci?
Pastilah tidak ada.
Maka, pisahkanlah antara maksiat dan taat. Tidak mungkin kita hendak melakukan kebaikan, kemudian kita campur adukkannya dengan kejahatan. Hendak ke syurga, tetapi memilih jalan ke neraka, mana mungkin sampai ke syurga.
Positif + Negatif = Negatif
Persamaan yang pernah kita pelajari dalam Matematik ini sangat relevan untuk kita kaitkan dalam hal ini.
Dan apakah pula neraca yang kita gunakan dalam menentukan nilai baik sesuatu perkara?
Ada suatu kaedah syarak yang berbunyi bermaksud :
“Yang baik itu adalah apa yang dikatakan baik oleh syarak, yang buruk itu adalah apa yang dikatakan buruk oleh syarak.”
Itulah neraca kita dalam menentukan baiknya sesuatu perkara. Kita buat sesuatu mengikut apa yang Allah suka, bukan apa yang manusia suka. Kita buat sesuatu mengikut apa yang Allah mahu, bukan apa yang manusia mahu.
Maka, kalau kita hendak ikut apa yang Allah mahu, hendak suka apa yang Allah suka, tunduklah penuh ketaatan kepada Dia dan tinggalkanlah kemaksiatan!


Sabtu, 29 Disember 2012

K 134 Syirik yang tidak kita sedari.



“Kamu lahir bulan apa?” Kata seorang remaja kepada kawannya. Kawannyapun menjawab “21 Mei..” oo bererti, bintangmu gemini ya. Tahu tidak, minggu ini kamu akan tertimpa musibah kalau tidak percaya lihat saja zodiakmu di majalah itu” katanya "Masa’ sih? Iya…ya…”Fenomena di atas seringkali terjadi di kalangan remaja islam yang ada di negeri ini. Membaca zodiac. yang ada pada majalah-majalah remaja umumnya untuk mengetahui masa depan iaitu apa-apa yang akan mereka alami minggu ini. Apakah hal ini dibenarkan dalam pandangan syari’at islam? Berawal Mengenal Hukum Mendatangi Tukang Ramal.

Syeikh Muhammad bin Jamil Zainu dalam kitabnya “Khudz ‘Aqidataka Minal Kitaabi wa Sunnati Shohiihai” (Ambillah aqidahmu dari Al Kitab dan As Sunnah yang Shahih) memaparkan sebuah pertanyaan: “Apakah seseorang itu diperbolehkan untuk membenarkan tukang ramal yang mengetahui ilmu ghaib (baca: masa depan)?” Beliau menjawab, “Tidaklah dibenarkan untuk mereka mendatangi tukang-tukang ramal dalam rangka mengetahui perkara ghaib kerana Allah Taala telah berfirman,

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

“Katakanlah tidak ada satu orangpun yang ada di langit maupun di bumi yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah."
(QS. An-Naml: 65). 
Dan dalam hadist yang shahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, 

“Barang siapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal dan membenarkan perkataan mereka, maka orang itu telah kufur terhadap al Quran yang telah diturunkan pada Muhammad.” Kerana memang al Quran terang-terang menyatakan bahawa yang mengetahui perkara ghaib hanyalah Allah Taala.

Kaitan Zodiak dan Tukang Ramal?

Ramalan merupakan hal ghaib. Sudah jelas pula bahawa perkara ghaib tersebut hanya Allah Taala semata yang mengetahuinya. Membaca dan menelaah zodiak sama hukumnya dengan mendatangi tukang ramal, sebagaimana dikatakan oleh para ulama (semacam Syaikh Sholih Alu Syaikh dalam penjelasan beliau terhadap Kitab Tauhid Syaikh Muhammad At Tamimi). Kerana keduanya memiliki kesamaan iaitu sama-sama ingin menelaah yang ghaib. Jika seseorang percaya pada zodiak dan membenarkan hal-hal yang terkandung di dalamnya dapat diibaratkan dengan membenarkan perkataan tukang ramal yang sebenarnya tidak punya dasar apa-apa dalam menentukan nasib seseorang. Sehingga pembaca zodiak dapat dihukumi sama dengan mendatangi tukang ramal, bahkan mungkin lebih parah. Kerana tukang ramal kita mesti mendatanginya. Namun ramalan zodiak untuk saat ini didapat begitu mudah, boleh lihat dalam majalah, berita internet, boleh pula dengan mudah melihat SMS. Zodiak inipun dimasukkan ke rumah. Dari sisi inilah kita boleh menilai membaca zodiak itu lebih parah.

Hukum Membaca Zodiak

Zodiak atau ramalan bintang merupakan suatu kemungkaran yang sangat besar. Namun, terkadang sebahagian orang hanya iseng dalam melakukan hal tersebut. Para ulama telah merinci hukum mendatangi tukang ramal dan ini boleh kita terapkan pada masalah membaca zodiak.
Jika seseorang hanya sekadar mendatangi tukang ramal atau membaca zodiak, tanpa membenarkannya, maka ini termasuk keharaman kerana ditakutkan ia lama-kelamaan percaya dengan lamaran tersebut. Ini adalah sebagai saddu dzari’ah, menutup jalan agar tidak terjerumus pada keharaman yang lebih parah.

Jika seseorang mendatangi tukang ramal atau membaca zodiak, sampai membenarkannya, maka orang tersebut telah kufur terhadap Al Quran yang diturunkan pada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Solatnyapun tidak diterima selama 40 hari. Ertinya, ini adalah dosa besar.

Jika seseorang mendatangi tukang ramal atau membaca zodiak dengan keyakinan bahwa ramalan tersebut benar-benar mengetahui hal ghaib secara mutlak, maka hukumnya adalah kufur akbar kerana hal ini bererti telah menyamakan makhluk dengan Sang Kholiq.
Jika seseorang mendatangi tukang ramal atau membaca zodiak dengan maksud untuk membantah bahawa ramalan tersebut dusta dan ingin menjelaskan kekeliruannya, maka hal ini tidak mengapa bahkan kadang wajib dilakukan kerana hal ini termasuk dalam mengingkari hal yang mungkar.

Ya Allah, tunjukilah kami kebenaran yang sesungguhnya, lalu berilah kami kurnia untuk mengikuti dan mencintainya. Dan tunjukilah kami kebatilan yang sesungguhnya, lalu kurniakanlah kami untuk menjauhi dan membencinya.
Semoga Allah mengampuni penulis.
Penulis: Ummu Zubaidah
Muroja’ah: M.A. Tuasikal



K 133 Antara dosa dan pelaku dosa.







Kita tidak benci kepada pendosa, tetapi kita benci kepada dosa yang dilakukannya.

Dalam kehidupan ini, kita memang tidak lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Orang yang terpelihara dari kesalahan, dari dosa hanyalah para Nabi dan Rasul.
Kita, sebagai manusia biasa, akan sentiasa ada salah dan silap.
Tidak ada yang maksum. Hatta seorang syeikh, seorang wali, seorang sayyid, seorang ulamak, seorang habib, seorang perdana menteri, semuanya tetap ada kesalahan yang pernah dilakukan dalam kehidupan masing-masing.
Syurga itu pun nanti akan dimasuki oleh orang-orang yang tidak maksum. Yang bakal memasukinya adalah orang-orang yang sepanjang kehidupannya pernah melakukan dosa dan kesilapan.
Orang-orang yang merasakan dirinya bersih daripada dosa sepanjang hidupnya dan maksum selain Nabi dan Rasul, maka dia tidak perlu lagi kepada syurga.
Kerana sejak di dunia lagi, Dia tidak ada dosa. Untuk apa lagi syurga baginya?

KITA, KAU DAN AKU SEMUANYA PUNYA SALAH

Semua orang punya kesalahan masing-masing. Ada dosanya masing-masing. Bezanya hanyalah pada level berbuat dosa. Ada orang mungkin berbuat dosa kerana kejahilannya. Ada orang berbuat dosa dalam keadaan sudah mengetahui dan menyedarinya.
Contoh yang mudah, level seorang ulamak yang berzina dengan seorang rakyat jalanan yang berzina, sudah pastinya tidak sama, bukan?
Seorang ulamak dalam keadaan dia sudah mengetahui hukum hakam, mengetahui halal dan haram, sudah tentulah sesuatu yang berat jika dia terlibat dalam dosa-dosa besar yang dia sendiri sudah mengetahuinya.
Seorang rakyat jalanan, yang barangkali Allahpun tidak pernah dikenalinya, maka dosa zina yang dilakukannya itu walaupun berat, tetapi sebenarnya tidak sama berat dengan dosa zina yang dilakukan oleh ulamak yang lebih mengetahui daripada dirinya tadi.
Maka, tidak padanlah kalau kita menghukum semua orang dengan amal yang kita nampak secara zahir itu saja. Kita tidak pernah tahu keadaan hatinya bagaimana.
Barangkali, dia inginkan kepada kebenaran. Cuma tidak ada yang menunjuk dan membimbingnya menyebabkan dia jauh daripada kebenaran dan terjatuh dalam dosa.

BEZAKAN ANTARA SALAH DAN PESALAH

Salah dan pesalah. Bezakan keduanya. Yang salah adalah perbuatan. Pesalah pula adalah orangnya.
Kadang-kadang, saya sangat risau melihat orang begitu mudah menghukum orang yang melakukan dosa ataupun orang yang terjebak dengan dosa dengan hukum neraka.
‘Tak buat ini, dosa!’

‘Tak buat itu, masuk neraka!’
‘Kenapa kau buat benda tu, hah? Kau nak masuk neraka ke?’
Sewaktu kelas Madkhal Ila Dakwah saya, pensyarah saya, Doktor Adnan Khutotobah telah menceritakan kisah dua orang Bani Israil yang bersaudara. Salah seorangnya orang yang rajin beribadah, salah seorangnya lagi pula orang yang selalu berfoya-foya dan rajin bermaksiat.
Suatu hari, orang yang rajin beribadah ini pergi kepada saudaranya yang bermaksiat itu. Maka ditanya saudaranya itu, “Kenapa kau lakukan maksiat ni, hah? Kau nak masuk neraka ke?”
Jawab saudaranya itu, “Kau tahu mana aku akan masuk neraka?”
Maka dibalas kembali orang itu tadi, “Allah tidak akan memasukkan kamu ke dalam syurga dan akan memasukkan kamu ke dalam neraka kerana maksiat kamu itu”.
Di hari perhitungan, Allah telah campakkan orang yang rajin beribadah itu ke dalam neraka. Saudaranya yang rajin berfoya-foya itu pula Allah masukkan ke dalam syurga.
Kenapa?
Bukankah orang yang rajin beribadah itu selalu taat kepada Allah?
Ya, tetapi dia tidak menunjukkan sifat rahmah Allah kepada temannya yang telah melakukan kesalahan itu. Hukuman yang dia telah katakan pada temannya itu boleh mengakibatkan temannya itu bergerak lebih jauh daripada kebenaran, menyebabkan Allah campakkannya ke dalam neraka walaupun dia seorang yang rajin beribadah.
Kita perlu belajar membezakan antara salah dan pesalah. Memang yang melakukan perbuatan salah itu adalah manusia. Tetapi manusia tetap adalah manusia.
Selagi belum tertutup pintu taubat, selagi belum kiamat, maka dia masih tetap punya hak untuk memperbaiki dirinya dan memperbetulkan kesalahannya. Tidak layak untuk kita menghukum syurga atau neraka pada dirinya, kerana semua itu hanya di bawah pengetahuan Allah. Maka, bagaimana mungkin sesuatu perkara yang ghaib seperti itu kita pula yang boleh tentukan?
Dia adalah manusia. Kita juga adalah manusia.
Dia ada kesilapannya. Kita juga ada kesilapan kita. Sealim atau sehebat manapun ilmu kita, kita tetap tidak layak untuk menghukum orang yang berdosa itu ‘confirm-confirm’ masuk neraka.
Hari ini, mungkin dia berdosa. Hari esok, siapa yang tahu kalau-kalau dia pula yang jadi lebih baik dari kita?
Maka, kalau hendak ditegur dan dikritik, tegur dan kritiklah pada kesalahan yang dilakukannya. Bukan pada pelakunya. Teguran dan kritikan kita mestilah bertujuan untuk memperbetulkan kesalahannya, bukanlah dengan niat menjatuhkan peribadi dan mendedahkan aibnya pula.
Kita tidak pernah tahu balasan yang akan menimpa diri kita di hari muka. Barangkali, di hari muka kita menjadi lebih teruk daripada dia.
Siapakah yang dapat menjangka?

PENUTUP : MAKA, BELAJARLAH BERLAPANG DADA

Antara masalah segelintir orang-orang yang mempelajari teks-teks agama, adalah memahaminya hanya secara literal. Kemudian, dengan senang menghukum manusia dengan perasaan.
Tanpa mempertimbangkan kematangan dan logik akal, dengan mudahnya sebahagian orang menghukum orang yang berdosa ‘confirm-confirm’ masuk neraka.
Barangkali dia tidak sedar dirinya juga ada berdosa. Manusia selain Nabi dan Rasul semuanya tidak maksum. Kalaulah semua manusia yang tidak maksum pernah melakukan dosa akan dimasukkan ke neraka, maka tidak ada manusia yang akan masuk syurga kecuali hanya Nabi dan Rasul termasuklah dia juga akan dicampak ke neraka.
Bersederhana dan berlapang dadalah.
Barangkali orang itu berbuat dosa dalam keadaan jahilnya dia ataupun dalam keadaan terlupanya dia, maka kita tidak ada hak untuk menghukumnya selain hanya mengingatkan dan memperbetulkan kesalahannya.
Lagipun, syurga dan neraka bukanlah di bawah kekuasaan kita. Bukan tangan-tangan kita yang akan menyampaikan manusia di dalamnya. Itu adalah kerja Allah, dan Allah tahu dan tidak pernah silap dalam memberi hukuman kepada manusia.
Kita tinggalkan saja kerja-kerja menghukum kepada Allah, dan kita lakukan kerja yang sepatutnya kita lakukan.
Antara salah dan pesalah,
Masih tetap ada ruang untuk mereka tetap kembali kepada Allah,
Yang penting, kita teruskanlah memberi peringatan dan berdakwah!