Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 28 Oktober 2013

M 13 ; PERISTIWA Israk dan Mikraj



PERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kepada manusia yang paling layak dan teragung, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM.

Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.

Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah ILAHI. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang istimewa di sisiNya.

Pengajaran Tentang Solat

Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.

Apabila Mikraj RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menjadikan bagi umat NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ’ALAIHI WASSALLAM Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui ALLAH SUBHANAHU WA TAALA bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, kekuasaan serta keesaanNya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.

Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.

Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.

Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA telah memfardukan solat ke atas hamba-hambaNya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadratNya, peringatan tentang keagunganNya dan tanda kesyukuran hamba-hambaNya atas nikmat yang dicurahkanNya.

Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM: 

“Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain.” 
(Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma’ al Zawaid (1/291))

Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu’ kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.

Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepadaNya, bertakwa kepadaNya, menunaikan perkara yang menjurus kepada kerhedaanNya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmatNya.

Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: 

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.”

Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.

Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM: 

“Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya.” 
(riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).

Sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM lagi: 

“Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga.”
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim)


Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.

Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.

Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana ALLAH SUBHANAHU WA TAALA pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.

Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang maksudNya: 

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati ALLAH, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya ALLAH membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya ALLAH memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.”
(al-Nur: 37 dan 38)

Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menyebut tentang solat dengan sabdanya: 

“Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf.” 
(riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)

Daripada Abi Hurairah ra berkata, aku mendengar RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda: 

“Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?” Sahabat menjawab, “Tidak ada suatu kotoranpun yang tinggal.” Sabda BAGINDA SAW, “Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya ALLAH menghapuskan kesalahan-kesalahan.”
(Riwayat al Bukhari dan Muslim)

Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM.


Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj








M 12 ; MUKJIZAT ISRAK DAN MIKRAJ NABI AGUNG MUHAMMAD SAW.



Dikutip dari kitab Sirah Nabawiyah karya asy-Syahid asy-Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthy.

Israk ialah perjalanan NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ’ALAIHI WASSALLAM dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsha di al-Quds Palestin.

Mikraj ialah kenaikan
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menembus beberapa lapisan langit tertinggi sampai batas yang tidak dapat dijangkau oleh ilmu semua makhluk, malaikat, manusia dan jin. Semua itu ditempuh dalam sehari semalam.

Terjadi silang pendapat tentang sejarah terjadinya mukjizat ini. Apakah pada tahun ke-10 kenabian ataukah sesudahnya? Menurut riwayat Ibnu Sa’d di dalam Thabaqatnya peristiwa ini terjadi 18 bulan sebelum hijrah.

Jumhur kaum muslim sepakat bahawa perjalanan ini dilakukan
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dengan jasad dan ruh. Kerana itu, ia merupakan salah satu mukjizatnya yang mengagumkan yang dikurniakan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kepadanya. Kisah perjalanan ini disebutkan oleh Imam Bukhari dan Muslim secara lengkap di dalam shahihnya.

Disebutkan bahawa dalam perjalanan ini
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menunggang Buraq, yakni satu jenis binatang yang sedikit lebih besar dari keldai dan lebih kecil sedikit dari unta. Binatang ini berjalan dengan langkah sejauh mata memandang.

Disebutkan pula bahawa
NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ’ALAIHI WASSALLAM memasuki Masjidil Aqsha lalu solat dua rakaat di dalamnya. Kemudian Jibril datang kepadanya seraya membawa segelas khamr dan segelas susu. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM memilih susu. Setelah itu Jibril as berkomentar: “Engkau telah memilih fitrah (kesucian).”

Dalam perjalanan ini
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM naik ke langit pertama, kedua, ketiga, dan seterusnya sampai ke Sidratul Muntaha. Di sinilah kemudian ALLAH SUBHANAHU WA TAALA mewahyukan kepadanya apa yang telah diwahyukan. Di antaranya adalah kewajipan solat lima waktu atas kaum muslim, di mana pada awalnya sebanyak lima puluh kali sehari semalam.

Keesokan harinya
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menyampaikan apa yang disaksikan kepada penduduk Mekah. Tetapi oleh kaum musyrik berita ini didustakan dan ditertawakan. Sehingga sebahagian mereka menentang RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM untuk menggambarkan Baitul Maqdis, jika benar ia telah pergi dan melakukan solat di dalamnya. Padahal ketika menziarahinya, tidak pernah terlintas dalam pikiran RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM untuk menghafal bentuknya dan menghitung tiang-tiangnya. Kemudian ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memperlihatkan bentuk dan gambar Baitul Maqdis di hadapan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM sehingga dengan mudah beliau menjelaskannya secara rinci.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda: “Ketika kaum Quraisy mendustakan aku, aku berdiri di Hijr Isma’il, lalu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memperlihatkan Baitul Maqdis kepadaku. Kemudian aku kabarkan kepada mereka tentang tiang-tiangnya dari apa yang aku lihat.”

Berita ini oleh sebahagian kaum musyrik disampaikan kepada Abu Bakar dengan harapan dia akan menolaknya. Tetapi ternyata Abu Bakar menjawab dengan tegas: “Jika memang benar MUHAMMAD yang mengatakannya, maka dia telah berkata benar dan sungguh aku membenarkan lebih dari itu.”


Pada pagi harinya di malam Israk itu Jibril as datang kepada
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM mengajarkan tata cara solat dan menjelaskan waktu-waktunya. Sebelum disyariatkannya solat lima waktu, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM melakukan solat dua rakaat di pagi hari dan dua rakaat di petang hari sebagaimana dilakukan oleh Nabi Ibrahim as.










M 11 ; Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW



1. Sebelum Israk dan Mikraj

RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah.” Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM akan melakukan hijrah. 
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa as menerima wahyu daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA; 
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetapt teguh beriman kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA (tak mahu mengakui Firaun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahanam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.`

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM berhenti.

RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui ALLAH SUBHANAHU WA TAALA):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam as. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

11. Langit Kedua: RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa as dan Nabi Yahya as.

111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf as.

1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris as.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun as yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAMRASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, Nabi Ibrahim as bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersolat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibubapanya.

x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan MUHAMMAD, RasulNya:
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA : Ya MUHAMMAD. RASULULLAH : Labbaika. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapapun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izinMu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.

4. Selesai munajat, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dibawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM merayu kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya ALLAH SUBHANAHU WA TAALAperkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan takut kepada kekuasaanNya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaranNya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam














Ahad, 27 Oktober 2013

M 10 : Ku Sangka Orang Gila




Pagi tadi lebih kurang pukul 10.30 aku singgah sarapan di bazar batu buruk sementara menunggu interview di steten minyak kerana sudah tiada kerja di Terengganu yang menggunakan Ijazah aku ini. Sewaktu makan, mata ni terpandang seorang pakcik yang "lusuh " karekternya.. Bau busuk, baju koyak, pakai kain pelikat singkat, tak beralas kaki, tapi berkopiah.

Duduk bersandar di tiang bazar dekat dengan kerusi aku. Terdetik dalam hati, apa pakcik ni kelaparan. Orang gila pun lapar, masih tetap manusia. Aku pesan satu lagi nasi minyak. Pesanan aku sampai ke meja. Terus aku beri pada pakcik tadi. Tuan kedai terkejut dan mengangkat tangan melambai seolah2 memanggilku. Aku pun balas tunggu sekejap.

Pakcik tadi tenung aku sambil berkata "pakcik dah makan nak.. terima kasih nak.." Dalam hati terdetik sungguh indah bahasa pakcik yang ku sangka gila tadi. Aku bangun dengan kecewa kerana pesanan aku tidak dijamah oleh pakcik. Lalu aku pergi kepada tuan kedai yang memanggil ku tadi.

Ada apa pakcik? Pakcik kedai balas: Jangan bagi dan suruh dia makan kat sini, nanti customer pakcik lari. Aku tersentap. Dan spontan aku membalas. "Jika orang ini ayah kandung pakcik, pakcik halau tak dia?" Pakcik tu diam. Takpe pakcik, saya akan bayar ansuran kalo pakcik rugi hari ni. Saya nak tanya, betul ke pakcik td tu sudah makan? Pakcik kedai jawab, tidak. Dari mula pakcik buka kedai pukul 6.30 tadi pakcik kopiah tu duduk kat tiang tu.

Dalam hati kecil ni cakap, tak pernah aku jumpa pakcik gila semulia ini. Tidak mengemis, tidak pula meminta. Aku pegi semula pada pakcik kopiah tu. "Pakcik, saya sunyi makan sorang2, pakcik teman saya makan jom." Pakcik tu akur dengan pelawaan aku kerana kesungguhan aku. Ramai yang beralih meja kerana bau pakcik tu, namun kerana ingin menjaga hati orang tua yang aku tak kenal, aku tahan bau itu.

Lega tengok pakcik tu makan dengan sangat sopan. Aku lontarkan beberapa soalan pada pakcik tu. Pakcik dari mana, tinggal dimana? Pakcik tu jawab. Pakcik merantau cari redha Allah. Aku terkejut. Dalam hati aku dah syak bukan2. Kot2 wali ke ni? Mana keluarga pakcik?

Pakcik dibuang oleh keluarga pakcik kerana sekeping geran tanah. Kenapa pakcik? Apa masalahnya? Pakcik sedekahkan geran itu untuk seseorang untuk dibangunkan pondok2 mengaji. Keluarga pakcik terus buang pakcik. Allah...

Pakcik tinggal dimana? Pakcik tu diam tak menjawab. Masa terlalu singkat untuk aku menyambung urusan kerja. Aku panggil pakcik kedai untuk kira. Semuanya berharga RM 11.60. Aku celup dompet aku, dan aku lupa yang aku hanya bawa RM 5.00. Aduh.... Pakcik tu nampak raut wajah muka aku seolah2 melihat masalah dalam dompetku. Pakcik tu mencelah. Nak, ambil duit ni, pakcik bayarkan.

Nak tau ape? pakcik keluarkan satu sampul surat sebagai dompet dia (macam dompet TGNA), dalam tu duit seratus setebal setengah inci, dan satu kad BSN dan i.c lama (pakcik tu bekas tentera laut).. Satu kedai dia bayarkan. Allah.. Satu kedai hairan apabila pakcik kedai tu announce yang makanan semua sudah dibayarkan oleh pakcik kopiah tadi. Masing2 semua pandang aku dan pakcik kopiah. Dengan tiba2 pakcik kopiah angkat tangan dan berdoa dengan suara yang agak sederhana kuat, aku pun turut angkat sama. Dan paling terharu apabila aku dengar suara "amin....." dengan suara yang ramai. Bila aku berpaling ke belakang, satu kedai mengangkat tangan bersama pakcik kopiah tu.. Ada yang bangun mendekati kami berdoa dekat2.

Terasa sangat gemuruh dan terharu dengan keperibadian orang yang ku sangka gila ini rupanya seorang guru agama!! Ada yang menangis kerana doa oleh sang guru itu sungguh merdu.. Kecoh seketika.. Selesai berdoa, aku bersalam dengan pakcik tadi dan ucap terima kasih dengan harapan dapat jumpa lagi. Aku terus berjalan ke motor aku. Aku berpaling ke belakang, semakin ramai yang berkerumun pada pakcik tadi. Aku senyum tanda puas bahawa orang sekeliling mula mendekati pakcik. Aku buka semula dompet aku kerana aku simpan kunci motor dalam tu.

Nak tau apa? Aku terkejut kerana ada 2 keping duit seratus dan satu nota kecil yang bertulis: "Ambil duit ni buat beli susu anak dan buah delima untuk orang rumah anak yang mengidam.." Aku terkaku, dan terus pandang ke arah tempat pakcik tadi. Beliau sudah tiada disitu. Aku terus pakai helmet dan tutup pemuka helmet. Aku menangis kerana terharu dan sangat bersyukur. Bagaimana dia tahu aku dalam kesusahan...
Ya Allah.. Kau peliharakanlah pakcik itu..


M 9 : MENGAGUNGKAN SUNNAH BUAH NYATA AKIDAH YANG BENAR



(ditulis oleh: Al-Ustadz Abu Usamah Abdurrahman)

Islam Datang Dalam Keadaan Asing

Kita telah mengetahui bahawa agama yang benar adalah Islam, yang telah disempurnakan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sekaligus penyempurna agama-agama sebelumnya. Sebagai agama penutup, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA telah menurunkannya melalui Nabi dan Rasul terakhir, MUHAMMAD BIN ABDULLAH, di tengah-tengah rosaknya manusia, agama dan cara beragama mereka. Itulah alam jahiliyah. Mereka menghalalkan, Islam datang mengharamkan. Begitu pula sebaliknya, mereka mengharamkan, Islam datang menghalalkan.

Islam datang kepada mereka sebagai sebuah agama asing yang jelas-jelas bertolak belakang dengan apa yang selama ini mereka anut dan peluk. Sekaligus sebagai ancaman kekuatan yang akan meruntuhkan singgasana kebatilan yang langsung dipelopori dan dipimpin oleh Iblis laknatullah ‘alaihi. Kerana keasingan itulah, mereka menolak, menentang, dan memusuhinya.

Akhirnya, mereka menghimpun kekuatan, menyusun dan merancang tipudaya dan muslihat. Berkecamuklah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan. Ketakutan dan kengerian menyelimuti kehidupan. Para pembela kebenaran pantang mundur untuk mencari kemuliaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebaliknya, musuh-musuh kebenaran makin tersadar akan kekalahan dan kegagalan mereka. Hal ini terbukti dengan turunnya janji-janji ALLAH SUBHANAHU WA TAALA untuk menyempurnakan kebenaran, wahyu yang diturunkan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sebagai simbol kerugian dan kegagalan mereka. ALLAH SUBHANAHU WA TAALA juga membuktikan kegagalan mereka dengan masuk Islamnya sederetan hambaNya.

ALLAH SUBHANAHU WA TAALA mengisyaratkan hal ini di banyak tempat dalam al Quran:

“Mereka ingin memadamkan cahaya ALLAH dengan mulut (tipudaya) mereka, tetapi ALLAH (justeru) menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir membencinya. Dia-lah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dia memenangkannya di atas segala agama, meskipun orang musyrik membenci.”
(Ash-Shaf: 8—9)

“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) ALLAH dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka dan ALLAH tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayanya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (al Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.” 
(At-Taubah: 32—33)


Dan katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap.” Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. Dan Kami turunkan dari al Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” 
(Al-Isra: 81—82)


“Sebenarnya Kami melontarkan yang haq atas yang batil lalu yang haq itu menghancurkannya, maka dengan serta-merta yang batil itu lenyap, dan kecelakaanlah bagimu disebabkan kamu menyifati (ALLAH dengan sifat-sifat yang tidak layak bagiNya).” 
(Al-Anbiya: 18)


Keasingan Islam akan terus berlangsung hingga datangnya keputusan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan diangkatnya agama ini dalam kondisi asing pula. Diriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda:

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ



“Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing pula. Maka berbahagialah bagi orang yang asing.” 
(HR. Muslim no. 208)

Dalam riwayat yang lain, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menjelaskan siapa yang dimaksud dengan orang-orang yang dikatakan asing.


الَّذِينَ يَصْلُحُونَ إِذَا فَسَدَ النَّاسُ


“(Mereka adalah) orang-orang yang baik ketika manusia ini rosak.” 
(Lihat Silsilah Ash-Shahihah no. 1273)




نَاسٌ صَالِحُونَ قَلِيْلٌ فِي نَاسٍ سُوْءٍ كَثِيرٍ، مَنْ يَعْصِيهِمْ أَكْثَرُ مِمَّنْ يُطِيعُهُمْ



“(Mereka adalah) orang-orang soleh dalam jumlah yang sedikit di tengah-tengah manusia jahat yang sangat banyak. Orang yang memaksiati mereka lebih banyak daripada yang menaatinya.” (Lihat Silsilah Ash-Shahihah no. 1619)

Lebih lanjut, Ibnul Qayyim menerangkan bentuk keasingan ini, “Seorang mukmin asing dalam urusan agamanya kerana rosaknya agama manusia (saat itu). Dia asing dalam berpegang (dengan As-Sunnah) kerana umat ini berpegang dengan kebidaahan. Dia asing dalam keyakinannya kerana rosaknya bentuk-bentuk keyakinan mereka. Dia juga asing dalam tata cara solatnya kerana buruknya cara solat manusia. Dia asing pula dalam jalan yang ditempuhnya kerana sesatnya jalan manusia. Dia asing dalam mengelompokkan dirinya kerana umat ini menyelisihinya dalam hal ini. Dia asing dalam pergaulannya kerana dia bergaul dengan mereka dalam hal yang tidak diinginkan oleh hawa nafsu mereka. Kesimpulannya, dia asing dalam hal dunia dan akhiratnya.

Dia tidak menemukan seorang penolongpun dari umatnya. Dia tumbuh sebagai orang alim di tengah-tengah orang-orang jahil, pengikut As Sunnah di tengah-tengah pengikut bidaah, sebagai da’i kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan RasulNya di tengah-tengah para penyeru kepada hawa nafsu dan kebidaahan, penyeru kepada yang makruf di tengah kaum yang (mengubah) makruf menjadi mungkar dan yang mungkar menjadi makruf.” (Lihat Madarijus Salikin 3/199)

Islam Adalah Sunnah Dan Sunnah Adalah Islam

‘Islam adalah sunnah dan sunnah adalah Islam’ merupakan ucapan ulama salaf umat ini. Ucapan ini menunjukkan bahawa Islam tidak boleh dilepaskan dari As Sunnah, begitu pula sebaliknya. Oleh kerana itu, tatkala seseorang menghinakan As Sunnah bererti dia telah menghinakan Islam, sedangkan yang memuliakannya bererti dia telah memuliakan Islam.

Al-Imam Al-Barbahari mengatakan:

اعْلَمْ أَنَّ الْإِسْلَامَ هُوَ السُّنَّةُ وَالسُّنَّةَ هِيَ الْإِسْلَامُ، وَلَا يَقُومُ أَحَدُهُمَا إِلَّا بِالْآخَرِ، فَمِنَ السُّنَّةِ لُزُوْمُ الْجَمَاعَةِ وَمَنْ رَغِبَ غَيْرَ الْجَمَاعَةِ وَفَارَقَهَا فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامَ مِنْ عُنُقِهِ وَكَانَ ضَالًّا مُضِلًّا

“Ketahuilah bahawa Islam adalah As Sunnah dan As Sunnah adalah Islam, salah satunya tidak akan boleh tegak melainkan dengan yang lainnya. Termasuk As Sunnah adalah konsekuen dengan Al Jama’ah. Barangsiapa mencari yang selain Al Jama’ah serta memisahkan diri darinya, sungguh dia telah mencabut kalung keislamannya dari lehernya, serta sesat dan menyesatkan.”

As Sunnah yang kita maksudkan di sini bukan sunnah yang merupakan sinonim (persamaan kata) dari kata mustahab, mandub, yang merupakan lawan makruh. Bukan pula yang kita maksudkan di sini dengan kata sunnah adalah pendamping al Quran seperti ucapan mereka: “Al Quran dan As Sunnah.” Tetapi, yang kita maksudkan di sini adalah petunjuk RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dan jalan yang beliau saw tempuh. Oleh kerana itu, As Sunnah menurut definisi ini mencakup hal yang wajib, yang sunnah, dan segala bentuk keyakinan, ibadah, muamalah, serta akhlak.

Ulama salaf mengatakan, “Yang dimaksud dengan As Sunnah adalah beramal dengan al Quran dan As Sunnah serta mengikuti jalan salafus saleh dan mengikuti atsar.” (Al-Hujjah fi Bayanil Mahajjah 2/ 248)

Dengan demikian, benarlah jika kita mengatakan bahawa Islam adalah As Sunnah dan As Sunnah adalah Islam dengan makna As Sunnah di atas.


Mengagungkan As Sunnah Adalah Mengagungkan Islam

Kita telah meyakini bahawa al Quran dan As Sunnah merupakan wahyu daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang menjadi landasan dalam beragama. Seseorang yang berakidah bersih akan menjunjung wahyu tersebut setinggi-tingginya. Dia akan meletakkannya pada tempat yang tinggi di dalam hatinya, kerana dia mengetahui bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan mengangkat derjat seseorang sesuai dengan kadar berpegang teguhnya dia dengan tuntunan tersebut. RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM sendiri telah bersabda:

إِنَّ اللهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ


“Sesungguhnya ALLAH telah mengangkat suatu kaum dengan kitab ini dan telah merendahkan suatu kaum dengan kitab ini.” 
(HR. Muslim no. 1353 dari ‘Umar ibnul Khaththab )


Mereka mengetahui bahawa mengagungkan wahyu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA merupakan kewajipan bagi setiap muslim sebagaimana dijelaskan dalam banyak dalil. Di antaranya:

“Dan apa yang datang dari Rasul kepadamu, maka ambillah dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH amat keras hukumannya.”
(Al-Hasyr: 7)

“Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahNya takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih.” 
(An-Nur: 63)


“Barangsiapa menaati Rasul itu sesungguhnya ia telah menaati ALLAH dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.” 
(An-Nisa: 80)

“Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan. Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka suatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” 
(An-Nisa: 65)

Bentuk pengagungan terhadap sunnah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM banyak sekali. Di antaranya adalah mempelajari, mengamalkan segala perintah dan menjauhi segala larangan beliau, membela beliau dari segala celaan dan hinaan, juga menampakkan syiar beliau dan menyebarluaskannya. 
(Masa’il Furu’ fi Masa’il ‘Aqidah, 1/36)

Jika kita mencuba menggali dan membaca pengagungan terhadap sunnah yang dilakukan salaf umat ini nescaya akan tumbuh sifat kecemburuan pada diri kita sebagaimana yang ada pada diri mereka. Demikianlah setiap generasi ulama Islam. Mereka mengingkari dengan keras segala bentuk penyelisihan terhadap sunnah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, sebagaimana Ibnu Wadhdhah, Ath-Thurthusyi, Abu Syamah, dan lainnya telah menuliskannya dalam karya-karya besar mereka. Al-Imam Sufyan ats-Tsauri t berkata, “Jika kamu berada di Syam, sebut-sebutlah manaqib (keutamaan) ‘Ali. Jika kamu berada di Kufah, sebut-sebutlah manaqib Abu Bakr dan ‘Umar.”

Keteladanan Ahli Tauhid dalam Mengagungkan Sunnah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM

Mereka adalah para mujahid agama dan telah meninggal di atas keistiqamahan dalam membela agama ini. Mereka adalah para ulama, generasi terbaik umat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Mereka menjadikan sabda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ


“Tidak dikatakan sempurna iman seseorang hingga aku lebih ia cintai daripada ayahnya, anaknya, dan manusia semuanya.”
(HR. Al-Bukhari no. 14 dan Muslim no. 62 dari sahabat Anas bin Malik )

sebagai pijakan mereka dalam melangkah. Mereka begitu taat dan mencintai beliau. Sunnah, ucapan, dan petunjuk beliau lebih mereka dahulukan daripada segala sesuatu. Ucapan beliau di hadapan mereka menjadi yang paling dikedepankan daripada ucapan manusia manapun. Mereka membela sunnah dan melindunginya.

Apabila mereka melihat seseorang menentang sunnah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, tentu mereka akan mencela dan memperingatkan orang lain darinya. Mereka akan meninggalkannya, tidak berbicara dengannya, dan terkadang tidak mahu tinggal satu atap bersamanya. Mereka menjaga sunnah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dari tipudaya orang-orang jahat dan musuh-musuh sunnah. Mereka tampil menegakkan nasihat di jalannya. Mereka adalah generasi sahabat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM.

Setelah mereka meninggal dunia, bukan bererti perjuangan menegakkan sunnah itu berakhir. Setelah mereka, datang generasi tabi’in yang berjalan di atas jalan mereka dalam membela sunnah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Inilah sederetan dari mereka.

Abu Bakr ash-Shiddiq

Beliau berkata:

لَسْتُ تَارِكًا شَيْئًا كَانَ رَسُولُ اللهِ n يَعْمَلُ بِهِ إِلَّا عَمِلْتُ بِهِ وَإِنِّي لَأَخْشَى إِنْ تَرَكْتُ شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِ أَنْ أَزِيغَ



“Tidaklah saya meninggalkan sesuatupun yang telah dikerjakan oleh RASULULLAH, melainkan saya mengerjakannya juga. Jika saya tidak melakukannya, saya khuatir akan menyimpang.” 
(Al-Ibanah, Ibnu Baththah 1/246)


Abdullah bin Abbas

Beliau berkata:


يُوشِكُ أَنْ تَنْزِلَ عَلَيْكُمْ حِجِارَةٌ مِنَ السَّمَاءِ، أَقُولُ لَكُمْ: قَال النَّبِيُّ n، وَتَقُولُونَ: قاَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ!؟



“Aku khuatir turun hujan batu dari langit terhadap kalian. Aku mengatakan, ‘Rasulullah bersabda demikian,’ dan kalian menyangkalnya dengan mengatakan, ‘Abu Bakar berkata demikian dan ‘Umar berkata demikian?” 
(Majmu’ Fatawa 26/50)



Abdullah bin Umar

Diriwayatkan oleh putranya, Salim, bahawa Ibnu Umar berkata, “Aku telah mendengar RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda: “Jangan kalian larang isteri-isteri kalian ke masjid bila mereka meminta izin.”

Salim berkata, “Tiba-tiba Bilal bin Abdullah berkata, ‘Saya, demi ALLAH, akan melarang mereka.”

Salim melanjutkan, “Ibnu Umar lalu menghadap kepada Bilal dan mencercanya dengan cercaan yang sangat keras. Saya belum pernah mendengar beliau mencerca seperti itu sama sekali. Beliau berkata, ‘Saya memberitahu kamu dari RASULULLAH, lalu kamu mengatakan, Saya akan melarang mereka?” 
(HR. Muslim no. 135)

‘Ubadah bin Ash-Shamit

Diceritakan oleh Abu Makhariq, ‘Ubadah menyebutkan sebuah riwayat dari Rasulullah bahwa beliau melarang menukar dua dirham dengan satu dirham. Lalu seseorang mengatakan, “Saya berpendapat tidak mengapa, selama yadan bi yadin (secara kontan).” ‘Ubadah serta-merta berkata: “Saya mengatakan, ‘RASULULLAH bersabda demikian,’ dan engkau mengatakan, ‘Saya berpendapat tidak mengapa!’ Demi ALLAH, jangan sekali-kali aku bersamamu dalam satu atap.” 
(HR. Ibnu Majah dan Ad-Darimi, disahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani)



Abu Darda’

Diceritakan oleh ‘Atha’ bin Yasar, seseorang menjual satu pecahan emas atau perak dengan sesuatu yang sejenis namun tidak sama timbangannya. Abu Darda’ lalu berkata kepadanya, “Aku mendengar RASULULLAH melarang cara seperti ini, kecuali bila timbangannya sama.” Orang tersebut menjawab, “Saya berpendapat hal ini tidak mengapa.” Abu Darda’ kemudian berkata lagi, “Siapa yang akan mencarikan alasan untukku bagi fulan? Aku menyampaikan kepadanya sabda RASULULLAH, lalu dia memberitahukanku tentang pendapatnya. Saya tidak akan menginjak daerah yang kamu berada padanya.” 
(Al-Ibanah, Ibnu Baththah hlm. 94)

Abu Sa’id al-Khudri

Al-A’raj menceritakan bahawa dia mendengar Abu Sa’id al-Khudri z berkata kepada seseorang, “Apakah engkau mendengarku bila aku sampaikan (hadits) daripada RASULULLAH, beliau bersabda, ‘Jangan kalian menukar dinar dengan dinar, dan dirham dengan dirham, kecuali harus sama, serta jangan kalian menjualnya dengan tidak kontan,’ lalu engkau berfatwa seperti ini? Demi Allah, jangan sampai ada yang menaungiku bersamamu kecuali masjid.” 
(Al-Ibanah, Ibnu Baththah hlm. 95)

Muhammad bin Sirin (tabi'in)

Qatadah ra menceritakan bahawa Ibnu Sirin ra menyampaikan hadits Nabi kepada seseorang. Orang tersebut lalu berkata, “Fulan berkata demikian dan demikian.” Ibnu Sirin lalu berkata, “Saya menyampaikan daripada RASULULLAH, lalu engkau mengatakan fulan berkata demikian demikian! Saya tidak akan mengajakmu berbicara selama-lamanya.” 
(Sunan Ad-Darimi no. 441)

Umar bin Abdul Aziz (tabi'in)

Beliau ra berkata:


لَا رَأْيَ لِأَحَدٍ مَعَ سُنَّةٍ سَنَّهَا رَسُولُ اللهِ n



“Tidak ada hukum akal bagi seseorang di hadapan sunnah yang datang dari RASULULLAH SAW.” 
(Al-Ibanah 1/246)



Abu Qilabah


إِذَا حَدَّثْتَ الرَّجُلَ بِالسُّنَّةِ فَقَالَ: دَعْنَا مِنْ هَذَا وَهَاتِ كِتَابَ اللهِ؛ فَاعْلَمْ أَنَّهُ ضَالٌّ



“Apabila kamu menyampaikan hadits RASULULLAH sawa kepada seseorang, lalu dia mengatakan: ‘Tinggalkan kami dari yang seperti ini. Datangkan kepadaku kitab ALLAH SWT,’ ketahuilah bahawa dia orang yang sesat.” 
(I’lamul Muwaqqi’in 2/282)

Al-Imam Asy-Syafi’i

أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى أَنَّ مَنِ اسْتَبَانَ لَهُ سُنَّةُ رَسُولِ اللهِ n لَمْ يَحِلَّ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ


“Kaum muslimin telah bersepakat, barangsiapa yang sudah jelas baginya sunnah RASULULLAH, tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana ucapan seseorang.” (I’lamul Muwaqqi’in 2/282)

Al-Imam Ahmad bin Hanbal

مَنْ رَدَّ حَدِيثَ النَّبِيِّ n فَهُوَ عَلَى شَفَا هَلَكَةٍ



“Barangsiapa menentang satu hadits RASULULLAH, dia berada di tepi kehancuran.” (Thabaqat Hanabilah 2/15, Al-Ibanah 1/ 260)


Al-Imam Al-Barbahari

وَإِذَا سَمِعْتَ الرَّجُلَ يَطْعَنُ فِي الْآثَارِ أَوْ يُرِيدُ غَيْرَ الْآثَارِ فَاتَّهِمْهُ عَلَى الْإِسْلَامِ، وَلَا تَشُكَّ أَنَّهُ صَاحِبُ هَوًى مُبْتَدِعٌ



“Apabila engkau mendengar seseorang mencela hadits, atau menginginkan yang selain hadits, curigailah keislamannya. Janganlah engkau ragu bahawa dia adalah pengikut hawa nafsu dan mubtadi.” 
(Syarhus Sunnah hlm. 51)



Abul Qasim al-Ashbahani

قَالَ أَهْلُ السُّنَّةِ مِنَ السَّلَفِ: إِذَا طَعَنَ الرَّجُلُ عَلَى الْآثَارِ يَنْبَغِي أَنْ يُتَّهَمَ عَلَى الْإِسْلاَمِ


Ahlus Sunnah dari kalangan salaf mengatakan, “Apabila seseorang mencela sunnah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, pantas untuk dicurigai keislamannya.” (Al-Hujjah fi Bayanil Mahajjah, 2/428)

Dari mana sikap dan ucapan para imam tersebut kalau bukan buah dari ketauhidan yang benar kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA? Oleh kerana itu, yang akan mengagungkan dan mengamalkan sunnah Rasulullah adalah orang yang memiliki akidah yang benar dan kukuh, kerana konsekuensi dari keyakinan yang benar adalah menjunjug tinggi syiar-syiar ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, baik lahir mahupun batin. Dengan kata lain, orang yang benar akidahnya, lahiriahnya tidak akan menyelisihi batinnya. Bila hal ini terjadi, perlu diragukan kemurnian akidahnya.

Ucapan mereka menggambarkan bentuk pengagungan yang tinggi terhadap syariat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Kita wajib meneladani mereka dalam hal ini. Kemuliaan hidup, kemenangan, kebahagiaan dunia dan akhirat, ada dalam kebersamaan dengan mereka.

Wallahu a‘lam.

SUMBER : Majalah AsySyariah Edisi 061

 — bersama