Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 6 Julai 2012

A 38 : ISTIGHFAR


"Manakala kita berdosa, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA murka kepada kita. Dan kalau kita membawa dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang, bermakna kita menyembah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam keadaan Dia sedang murka kepada kita. Adalah lebih patut kita beristighfar dan meminta ampun kerana kita sangat-sangat tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan di hadapan Tuhan semasa di dalam sembahyang." Istighfar bererti meminta maaf, meminta ampun dan bertaubat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Di sini ingin diceritakan tentang dua istighfar.

Istighfar pertama:

Istighfar yang pertama ialah sebelum solat atau sebelum sembahyang, iaitu sebelum takbiratul ihram. Istighfarlah dan bertaubatlah sebanyak-banyaknya dan sepuas-puasnya. Istighfarlah sehingga hati kita terasa kenyang, tenang dan tenteram. Semoga dengan itu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA ampunkan dosa-dosa kita. Supaya kita tidak membawa dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang kita.

Antara sebabnya ialah:

1. Manakala kita berdosa, 
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA murka kepada kita. Dan kalau kita membawa dosa-dosa kita yang di luar sembahyang ke dalam sembahyang, bermakna kita menyembah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dalam keadaan Dia sedang murka kepada kita.

2. Manakala kita berdosa dan tidak bertaubat dari dosa-dosa itu, kita sebenarnya orang yang derhaka dengan Tuhan. Kalau kita sembahyang juga tanpa kita bertaubat dari dosa-dosa tersebut maka sembahyang kita ialah sembahyang orang yang derhaka dengan Tuhan.

3. Kalau kita berdosa dan kita tidak mahu bertaubat dari dosa-dosa itu, kita ialah orang yang angkuh dan sombong dengan Tuhan. Kalau dalam keadaan itu kita bersembahyang, maka sembahyang kita ialah sembahyang orang yang angkuh dan sombong, bukan setakat angkuh dan sombong kepada manusia yang mungkin boleh dianggap ringan sedikit, tetapi angkuh dan sombong dengan 
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA itu sendiri iaitu Tuhan yang hendak kita sembah.

4. Di dalam sembahyang, kita banyak berdoa. Kalau kita membawa dosa, 
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA murka kepada kita. Bagaimana kita dapat berdoa kepada Tuhan yang sedang murka dengan kita. Apakah peluang bagi doa-doa kita itu dimakbulkan Tuhan? Kalau ALLAH SUBHANAHU WA TAALA tidak makbulkan doa-doa kita kerana Dia sedang murka kepada kita, mungkin kita akan selamat. Tetapi kalau ALLAH SUBHANAHU WA TAALA makbulkan juga doa dan permintaan kita dalam sembahyang dalam keadaan Dia sedang murka dengan kita, maka apa sahaja yang Allah kurniakan itu akan menjadi istidraj. Iaitu ia akan menjadi nikmat yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kurniakan dengan marah. Ia akan menjadi nikmat yang tidak diiringi dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Di hujungnya nanti, kita akan jadi kufur nikmat.


5. Bagaimana pula hendak kita sembah Tuhan dalam keadaan kita sedang derhaka kepadaNya kerana dosa-dosa kita yang tidak terampun. Kalau kita mengadap dan menyembah raja atau sultan manusia di dunia inipun, dalam keadaan kita derhaka kepadanya, mungkin dia tidak mahu tengok kita. Kalau tengok pun, mungkin diherdik dan dimaki hamunnya kita. Atau mungkin dia akan terus tangkap dan hukum kita.

6. Bagaimana pula akan kita sembah Tuhan kalau kita angkuh dan sombong denganNya kerana tidak mahu bertaubat dari dosa-dosa kita. Angkuh dan sombong itu bukan sifat hamba. Ia sifat Tuhan. Bagaimana boleh kita bersifat sombong dan angkuh dan kemudian mahu menyembah Tuhan. Ketika itu kita bukan lagi hamba. Kita tidak tawadhuk dan tidak merendah diri di hadapan Tuhan. Ketika itu kita seolah-olah mahu menyamai atau menandingi Tuhan. Dalam keadaan ini, bolehkah sembahyang kita itu dianggap sebagai satu penyembahan atau satu pengabdian. Adakah ketika itu kita benar-benar sedang sembahyang dan sedang mengabdikan diri kepada Tuhan? Inilah di antara sebab mengapa sembahyang itu gagal untuk menghidupkan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan dalam diri orang yang bersembahyang. Kerana dalam sembahyang, mereka dimurkai Tuhan, mereka derhaka, dan mereka sombong dan angkuh dengan Tuhan. Bila sembahyang tidak khusyuk dan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan tidak timbul atau tidak wujud di dalam sembahyang, maka sembahyang itu tidak ada nilai dan tidak ada erti apa-apa. Ia tidak mendidik hati kita dan tidak akan dapat menjauhkan kita dari perkara-perkara yang keji dan yang mungkar.

Istighfar kedua:

Istighfar yang kedua ialah sesudah memberi salam. Lainlah kalau sembahyang kita itu seperti sembahyang orang muqarrobin atau orang siddiqin yang tidak ada lalai dalam sembahyang mereka. Bagi mereka ini, layaklah mereka mengucapkan hamdallah atau Alhamdulillah selepas salam sebagai tanda syukur kerana 
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA telah kurniakan mereka nikmat khusyuk, tawadhuk dan khuduk di dalam sembahyang mereka. Tetapi bagi kita orang-orang awam, yang sembahyang kita cacat sini cacat sana, bocor sini bocor sana, koyak sini koyak sana dan defect sini defect sana, mana mungkin layak bagi kita mengucapkan hamdallah. Adalah lebih patut kita beristighfar dan meminta ampun kerana kita sangat-sangat tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan di hadapan Tuhan semasa di dalam sembahyang.

Contohnya:

1. Di hadapan Tuhan kita lafazkan berbagai-bagai perkataan, misalnya, Allahu Akbar, tetapi tidak faham pun apa yang kita lafazkan itu. Kalaupun faham, tidak terasa pula bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TAALA itu benar-benar Maha Besar di hati kita. Kita tidak maksudkan dan kita tidak rasa apa yang kita kata. Kita hanya berlakon dan berpura-pura di hadapan Tuhan.

2. Dalam masa kita sedang menyembah Tuhan pula, jasad kita berdiri,
Rukuk dan sujud, tetapi hati dan jiwa kita entah ke mana-mana. 
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menunggu kita untuk disembah dan untuk menerima segala pengaduan tetapi kita tidak hadir. Kita wakilkan sahaja kepada jasad dan tubuh badan kita yang tidak tahu dan tidak faham apa-apa. Jasad dan jawarih kita sahajalah yang menyembah Tuhan. Sudahlah di luar sembahyang kita tidak pernah bersama Tuhan, ini sedang menyembah Tuhan dalam sembahyang pun kita gamak tinggalkan Tuhan untuk berfoya-foya dengan hal-hal dunia. Belum pernah lagi kita dengar ada orang yang mengadap raja atau sultan dan sedang dia mengadap itu, langsung tidak menghiraukan raja malah dia tinggalkannya sultan begitu sahaja untuk pergi ke kedai membeli rokok. Tapi dengan Tuhan, semasa dalam sembahyang, inilah akhlak dan perangai kita.


3. Dalam sembahyang, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA bukan hendak berhadapan dengan jasad kita tetapi dengan roh atau hati kita. Tetapi roh kita jarang hadir. Ramai orang yang boleh membawa jasad dan lidah mereka untuk bersembahyang tetapi tidak ramai yang mampu membawa roh dan hati mereka untuk bersembahyang sama. Demikianlah kita orang awam, selalu sahaja tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan dengan Tuhan. Kalau ini berlaku di luar sembahyang pun sudah dianggap berat, inikan pula ia berlaku ketika kita sedang mengadap dan menyembah Tuhan. Lagi-lagilah ianya dianggap berat. Patut sangatlah kita beristighfar dan meminta ampun selepas memberi salam!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan