Oleh : Ustaz Nik Nazimuddin
الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على رسول لله وعلى آله وصحبه ومن تبعهم الى يوم
القيامة , أما بعد:
Disusunkan artikel ini bertujuan menerangkan kepada
masyarakat tentang beberapa hukum yang dikelirukan oleh sesetengah pihak yang
menggunakan zahir lafaz hadis tanpa merujuk kepada huraian ulama mujtahid yang
berkelayakkan dalam menghuraikan hukum-hakam yang tersirat di dalam sesebuah
hadis. Para ulama yang muktabar memperincikan lagi maksud sebenar huraian imam
ikutan mereka itu. Maka mantaplah segala hukum dan terhindar daripada huraian
mengikut hawa nafsu, ilmu yang cetek serta akal yang dangkal. Ini kerana, tidak
semua diberikan ilmu yang seperti ulama-ulama tersebut. Merekalah pewaris nabi
yang beramanah dalam menjaga agama ini.
ان العلماء ورثة الأنبياء ورثوا علما…
Ertinya:
"Sesungguhnya para ulama adalah pewaris kepada para anbia dan mereka itu
mewarisi keilmuan.…”
(Al-Hadis)
Hukum Binaan Di atas Kubur
Tentang hadis larangan binaan di atas kubur, Imam
Syafie menerangkan hukum dan sebab larangan tersebut di dalam kitab Ummnya (bab
jenazah):
” ورأيت من الولاة (بمكة) من يهدم ما يبنى فيها ولم أر
فقهاء يعيبون عليه ذلك ولأن في ذلك تضييقا على الناس “
Ertinya: “Aku melihat pembesar di Mekah
meruntuhkan binaan-binaan kubur yang ada padanya dan aku tidak melihat para
Fuqaha (Mujtahid) yang mencela perbuatan pembesar tersebut dan kerana pada
binaan itu menyempitkan tanah perkuburan ke atas orang ramai.”
Katanya lagi:
” فان كانت القبور في الأرض يملكها الموتى
في حياتهم أو ورثتهم بعدهم , لم يهدم شىء يبنى منها وانما يهدم ان هدم ما لا يملكه
أحد فهدمه لئلا يحجر على الناس “
Ertinya: “Maka jika adalah perkuburan di dalam
tanah yang dimiliki oleh orang-orang mati semasa hidup mereka atau diwarisi
oleh pewaris selepas kematian mereka, nescaya tidak boleh diruntuhi sesuatu
binaan di dalamnya. Hanya diruntuhi sesuatu binaan di dalam tanah yang tidak
dimiliki oleh sesiapa pun maka hendaklah diruntuhinya supaya tidak menegah
orang ramai untuk tanam mayat yang lain.”
Bila ditanyakan fatwa kepada Ibnu Hajar Haitami
tentang suatu binaan, beliau menghukumkan haram binaan itu dan menyatakan sebab
( ألعلة ) pengharaman tersebut dengan katanya (Fatawa Kubra, bab jenazah):
” ولوجود علة تحريم البناء في ذلك وهى تحجير الأرض على
من يدفن بعد بلاء الميت اذ الغالب أن البناء يمكث الى ما بعد البلى وأن الناس يهابون
فتح القبر المبني فكان في البناء تضييق للمقبرة ومنع الناس من الانتفاع بها فحرم “
Ertinya: “Kerana terdapat sebab pengharaman binaan
pada binaan yang berkenaan iaitu menegah tanah kubur daripada ditanamkan mayat
lain selepas hancur mayat di dalam kubur itu. Ini kerana, kebiasaannya binaan
di atas kubur menjadi kekal sehinggakan selepas masa hancurnya mayat, dan orang
ramai takut hendak membuka kubur yang dibinakan di atasnya. Maka binaan itu
menyempitkan tanah perkuburan dan menegah orang ramai daripada mengambil
manfaat dengannya lalu ia menjadi haram.”
Beberapa perkara yang difahami daripada huraian
Imam Syafie adalah:-
1) Binaan di dalam tanah perkuburan milik sendiri
2) Binaan di dalam tanah perkuburan disabilkan
3) Binaan yang menyebabkan:
a) terhalang daripada ditanamkan mayat lain (bila
berlaku kesesakan)
b) menyempitkan tanah perkuburan dengan perkara
yang berlebih-lebihan
Para ulama yang mengikuti Imam Syafie menghuraikan
maksud sebenar perkataan Imam mereka tentang Hukum Binaan tersebut, adalah
seperti berikut:-
Maksud sebenar Binaan tersebut dan dimakruhkan di
tanah perkuburan milik sendiri
Binaan yang di maksudkan itu ialah binaan yang sama
betul dengan liang lahad mayat (tidak memakan ruang yang terlebih luas) dan
juga binaan yang memakan ruang yang terlebih luas daripada itu seperti kubah,
masjid, bilik dan lain-lain. Binaan tersebut dimakruhkan di dalam kawasan tanah
kubur milik persendirian. Ini adalah pendapat yang muktamad dalam mazhab
Syafie.
Tersebut di dalam kitab Tuhfah bagi Ibnu Hajar
Haitami ketika mensyarahkan matan Minhaj Imam Nawawi (bab jenazah) :
” (ويكره تجصيص القبر والبناء) عليه في حريمه وخارجه,
نعم ان خشي نبش أو حفر سبع أو هدم سيل لم يكره “
Ertinya: “{Dimakruhkan (dalam tanah perkuburan
milik sendiri) memutihkan kubur dengan kapur dan membuat binaan} di atas kubur
pada permukaan liang lahadnya dan ruang yang terlebih luas daripada itu,
sungguh pun begitu tiada makruh jika takut dibongkari (oleh pencuri kain kapan
atau dibongkari untuk ditanam jenazah lain sebelum hancur jasadnya), digali
binatang buas atau diruntuhi air banjir yang deras.”
As-Syarwani menjelaskan lagi perkataan Ibnu Hajar
itu di dalam Hasyiahnya:
” أي ويكره على القبر في حريمه وهو ما قرب منه جدا وخارج
الحريم هذا في غير المسبلة “
Ertinya: “ Iaitu dimakruhkan binaan di atas kubur
pada permukaan liang kubur iaitu ruang atau tanah yang betul-betul hampir
dengan liang lahad kubur dan dimakruhkan juga pada ruang atau tanah yang
terlebih luas daripada liang kubur tersebut. Hukum makruh terbabit adalah di
dalam tanah perkuburan yang bukan disabilkan
( iaitu tanah perkuburan milik sendiri).”
Terdapat Pendapat yang lemah di dalam mazhab Syafie
yang menyatakan bahawa dimakruhkan binaan yang tidak memakan ruang yang
terlebih luas daripada permukaan liang lahad kubur dan diharamkan binaan yang
memakan ruang yang terlebih luas daripadanya, sama ada binaan berkenaan di
dalam tanah perkuburan milik sendiri atau tanah perkuburan yang disabilkan.
Di dalam kitab Murghni Muhtaj, bab jenazah: “
Sesetengah ulama mazhab Syafie menyesuaikan perkataan Imam Nawawi di dalam
matan Minhaj dan perkataannya di dalam Majmuk dan lain-lain, dengan memberi
maksud bahawa dimakruhkan apabila dibina hanya di atas kubur, dengan makna
adalah binaan itu berada sama betul dengan permukaan liang kubur. Diharamkan
binaan itu apabila didirikan di atas kubur kubah atau bilik yang didiami.
Pendapat yang muktamad adalah haram semata-mata (tanpa membezakan di antara
binaan sama betul dengan liang lahad dan binaan yang terlebih luas daripada
itu).”
Di atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada di
dalam tanah perkuburan milik sendiri
Binaan seperti kubah, bilik, masjid dan lain-lain,
tiada haram serta tiada makruh sekiranya dibina di atas kubur para nabi, wali,
ulama dan syuhada di dalam tanah perkuburan milik sendiri. Tujuan didirikan
binaan tersebut adalah untuk menggalakkan orang ramai datang menziarahi kubur
mereka dan sempena mengambil berkat.
Berkata Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya, bab jenazah
(jilid 3, m/s 226):
” قال بعضهم الا في صحابي ومشهور الولاية فلا يجوز وان
انمحق ويؤيده تصريحهم بجواز الوصية بعمارة قبور الصلحاء أي في غير المسبلة على ما يأتي
في الوصية لما فيه من احياء الزيارة والتبرك “
Ertinya: “ Sesetengah ulama syafie berkata: “
Melainkan pada kubur sahabat dan mereka yang masyhur dengan kewalian maka tiada
harus membongkarkan kuburnya, sekalipun telah hancur jasadnya. Pendapat mereka
dikuatkan dengan kenyataan fuqaha bahawa diharuskan berwasiat supaya
dibangunkan binaan di atas kubur orang yang soleh, iaitu di dalam tanah
perkuburan yang bukan disabilkan, mengikut keterangan yang akan datang pada bab
wasiat. Keharusan itu bertujuan memakmurkan kubur mereka dengan ziarah dan
sempena mengambil berkat.”
Binaan di dalam tanah perkuburan yang disabilkan
Di dalam tanah perkuburan yang disabilkan atau
diwakafkan, haram membina kubah, bilik, rumah atau masjid di atasnya. Wajib
diruntuhkan binaan tersebut walaupun didirikan atas kubur para nabi, wali,
ulama dan syuhada. Ini adalah pendapat yang muktamad di dalam mazhab syafie.
Tersebut di dalam kitab Nihayah bagi Syeikh Ramli
ketika mensyarahkan Minhaj Imam Nawawi, bab jenazah:
“( ولو بني في مقبرة مسبلة, هدم) البناء وجوبا لحرمته
ولما فيه من تضييق على الناس وسواء أبني قبة أو بيتا أو مسجدا أم غيرها “
Ertinya: “ (Jika dibinakan di atas kubur di dalam
kawasan perkuburan yang disabilkan nescaya mesti diruntuhkan) binaan itu
sebagai hukum yang wajib. Ini kerana binaan tersebut adalah haram dan kerana
terdapat padanya sebab (العلة) pengharaman iaitu menyempitkan (tanah perkuburan
yang disabilkan). Hukumnya tetap seperti itu, sama ada dibinakan kubah, bilik
(rumah), masjid atau lainnya.”
Diharamkan binaan tersebut walaupun di atas kubur
para nabi, wali, ulama dan lain-lain di dalam tanah perkuburan yang disabilkan
sebagaimana kenyataan Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya, bab jenazah (jilid 3, m/s
226) yang telah lalu mengikut beliau binaan seperti kubah, bilik, rumah dan
masjid tidak dimakruhkan di atas kubur mereka sekiranya di dalam kawasan tanah
perkuburan milik persendirian. Maka difahami daripada perkataan beliau bahawa
binaan tersebut diharamkan di dalam tanah perkuburan yang disabilkan.
Binaan yang diharuskan di atas kubur para nabi,
wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan di sabilkan
Binaan yang diharuskan di atas kubur para nabi,
wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan di sabilkan ialah hanya
binaan seperti simen, marmar dan lain-lain dimana binaan itu tidak memakan
ruang yang terlebih luas daripada liang lahad kubur.
Ini ada dinyatakan di dalam Nihayah karangan Syeikh
Ramli bab jenazah (jili 3, m/s 41,عند قول المتن لا للتكفين على الأصح ) ketika
membahaskan larangan membongkar kubur sahabat dan wali setelah hancur jasad
mereka untuk ditanam jenazah lain. Kerana larangan inilah, diharuskan binaan di
atas liang lahad kubur mereka supaya tidak dibongkarkan untuk ditanam jenazah
lain.Beliau menukilkan perkataan Muwaffiq bin Hamzah yang mengharuskan
berwasiat untuk membina binaan di atas kubur sahabat dan wali bertujuan
memakmurkan kubur mereka dengan menziarahi dan mengambil berkat.
Binaan yang dimaksudkan oleh nukilan Syeikh Ramli
itu ialah hanya binaan di atas liang lahad kubur para nabi, wali, ulama dan
seumpamanya sahaja seperti disimen dan dipasangkan marmar, bukan binaan yang
memakan ruang lebih luas daripada itu, seperti kubah, bilik, rumah, masjid dan
lain-lain. Ini sebagaimana yang telah diterangkan oleh Al-Allamah Ali
Syabramalisi di dalam Hasyiah Nihayah (jilid 3 : m/s 41 bab jenazah) dengan
katanya:
” والمراد بعمارة ذلك بناء محل الميت فقط لا بناء القباب
ونحوها “
Ertinya: “ Dimaksudkan dengan mendirikan binaan
tersebut ialah binaan di tempat liang lahad simati (nabi, wali, ulama dan
seumpamanya) sahaja, bukannya binaan segala kubah dan seumpamanya.”
Al-Allamah Ali Syabramalisi di dalam Hasyiah
Nihayah juga menegaskan:
“ Pendapat yang muktamad ialah apa yang dikatakan
oleh Syeikh Ramli di dalam bab jenazah iaitu harus berwasiat untuk meratakan
tanah kubur para nabi dan orang soleh serta membangunkan binaan (yakni binaan
seperti simen, marmar) di atas kubur mereka di dalam tanah kubur yang
disabilkan.”
(حاشية الشرواني على التحفة : كتاب الوصايا وما يتعلق
به عند قول المتن واذا أوصى لجهة عامة فالشرط أن لا تكون معصية : ج 3/ ص 6)
Terdapat pendapat yang lemah di dalam mazhab syafie
bahawa diharuskan binaan yang memakan ruang yang terlebih luas seperti kubah,
bilik dan lain-lain di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di
dalam tanah perkuburan yang disabilkan sebagaimana yang tersebut di dalam kitab
‘Iaanah AtThalibin (Fasal : solat ke atas simati, jilid 2 : m/s120) :
” وقال البجيرمي : واستثنى بعضهم قبور الأنبياء والشهداء
والصالحين ونحوها (برماوي) , وعبارة الرحماني : نعم قبور الصالحين يجوز بناؤها ولو
قبة لاحياء الزيارة والتبرك , قال الحلبي : ولو في مسبلة وأفتى به وقد أمر به الشيخ
الزيادي مع ولايته…”
Ertinya: “ Al-Bujairimi berkata: Sesetengah ulama
mazhab syafie mengecualikan (daripada hukum haram) kubur para nabi, syuhada,
orang-orang soleh dan seumpamanya (nukilan Barmawi). Teks Ar-Rahmani menyebut:
Sungguhpun begitu, kubur orang-orang soleh diharuskan membina di atasnya,
sekalipun binaan kubah bertujuan memakmurkan dengan ziarah dan mengambil
berkat. Al-Halabi berkata: Walaupun di dalam tanah perkuburan yang disabilkan
dan beliau berfatwa sebegitu. Sesungguhnya Syeikh Ziyadi memerintahkan supaya didirikan
binaan tersebut ketika beliau berkuasa…..”
Fatwa Negeri Kedah
Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa
RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :
ALLah
subhanahu wa taala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara
mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika
sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan
mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para
pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa
tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan.
(Riwayat
Bukhari dan Muslim)