Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 29 Januari 2021

V 139 : ASMAUL HUSNA ( 46. AL HAKIM )

AL HAKIM  ( الحكيم )

 ALLAH Yaa Hakim Yang Maha Bijaksana, kebijaksanaanNYA tidak mampu difikirkan dan difahami oleh sesiapa kecuali NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ’ALAIHI WASSALLAM. DIA bertindak penuh hikmah bagi menampakkan kekuasaanNYA. KebijaksanaanNYA tidak mampu dilihat dengan pandangan zahir, bahkan hanya dengan pandangan mata hati. Semua tindakan ALLAH penuh dengan kebijaksanaan. Penciptaan alam ini juga melambangkan kebijaksanaan ALLAH Yaa Hakim yang mana semuanya berlaku penuh harmoni dan saling berkait.

 Manusia dikurniai sifat Al Hakim yang mampu mengemudi kehidupanNYA dalam mencapai martabat yang mulia lebih mulia daripada malaikat. Penghayatan kepada sifat Al Hakim melahirkan insan yang bekerja keras dalam kehidupan ini dengan bergantung dengan kebijaksanaan ALLAH Yaa Hakim.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Hakim, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Bijaksana. KebijaksanaanMu terserlah melalui alam buana ciptaanMu ini.  KebijaksanaanMu juga tergambar dalam penciptaan manusia dengan segala aturan dan peristiwa hidup manusia. Engkau bijak mengurus hidup manusia dengan mengurniakan otak yang Engkau alirkan ilmu dan kebijaksanaanMu dan dengan itu manusia dapat menjalankan tugas khalifah atas muka bumi ini. Yaa Allah Yaa Basith Yaa Waasi' Yaa Fattah luaskan otak kami seluas langit dan bumi, dan Yaa ‘Alim Yaa Hakim Yaa Rashid alirkan ilmu dan kebijaksanaan dalam otak kami sederas tsunami.

 Engkau bijaksana dalam membawa hamba yang lalai kepadaMu, Engkau bijaksana dalam memberi peringatan kepada hamba yang sombong dengan pelbagai peristiwa yang menundukkan manusia. Sesungguhnya seluruh manusia adalah hamba yang jahil yang dicipta dari tanah yang hina, seluruh kebijaksanaan pada manusia adalah milikMu, dan Engkau akan mengambil kembali pada saat yang Engkau kehendaki.

V 138 : ASMAUL HUSNA ( 45. AL WAASI’ )

AL WAASI’  ( الواسع )

 ALLAH Yaa Waasi’ Yang Maha Luas pemberian dan nikmatNYA yang tidak dapat dihitung dan diperincikan. ALLAH Yaa Waasi’ juga Maha Luas IlmuNYA, Maha Luas KekuasaanNYA, Maha Luas Petunjuk dan BimbinganNYA, Maha Luas RezekiNYA, Maha Luas KeampunanNYA dan GanjaranNYA.

 Allah Yaa Waasi' yang Maha Luas, ALLAH luas dari segala aspek, luas pemberianNya dan kurniaanNya, luas kemaafan, keampunan dan pintu taubatNya, luas kekayaanNya, luas kerajaanNya, luas kekuasaanNya, luas kebijaksanaanNya, luas alam ciptaanNya, luas syurga dan nerakaNya, luas padang mahsyarNya, luas pandanganNya, luas pendengaranNya, luas petunjuk dan bimbinganNya, luas ilmuNya, luas bimbinganNya dan luas ZatNya.

 Penghayatan kepada Al Waasi’ akan melahirkan seorang yang berwawasan luas dan jauh pandangan, pantang menyerah dalam mengharungi samudera kehidupan. SIFAT Al Waasi’ melahirkan insan pejuang dan aktivis, membenci kemalasan dan tidak suka bergantung kepada orang lain dan memaksimakan potensi diri yang ada. Hidup sebagai pejuang akan melahirkan kemuliaan dan kejayaan. Tanamkan ke dalam hati hidup ini dalam keluasan kurniaan ALLAH yang mana DIA sentiasa melimpahkan kurniaNYA setiap saat tanpa diduga.

 Saudara/saudari, kaum kerabat,  sahabat handai, Luaskan harapanmu terhadap ALLAH Yaa Waasi’, pasti dirimu akan keluar dari segala kesempitan, kebuntuan dan halangan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Waasi' Yang Maha Luas, sesungguhnya Engkaulah yang meluaskan langit yang luasnya tak bertepi, Engkaulah yang meluaskan 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi, meluaskan Padang Mahsyar, Syurga dan Neraka. Yaa Waasi' Engkau juga yang meluaskan jalan bagi hambaMu menghampiriMu, Yaa Waasi' Yaa Tawwab Engkau meluaskan pintu taubatMu. Yaa Waasi' Yaa Ghaffar keluasan keampunanMu lebih luas dari langit dan bumi. Yaa Waasi' Yaa Rahman Yaa Rahim luasnya kasih sayangMu. Yaa Waasi’ Yaa Affuw luasnya kemaafanMu.  Yaa Waasi'  Yaa Razzaq, luasnya rezekiMu.

 Yaa Waasi', luaskanlah jiwa kami yang sempit ini, luaskanlah jalan hidup kami yang sempit, luaskanlah pemikiran kami yang sempit ini, luaskan ilmu dan kebijaksanaanMu dalam otak kami, luaskanlah jalan keluar bagi segala masalah ummah pada hari ini.

 Sesungguhnya keluasanMu membuat  kami yakin denganMu dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini. Yaa Baaqi Yaa Waasi' Yaa Rahman Yaa Rahim kekalkan kami dalam keluasan kasihMu di dunia, alam barzah hingga alam akhirat.

V 137 : ASMAUL HUSNA ( 44. AL MUJIB )

AL MUJIB  ( المجيب )

 ALLAH Yaa Mujib Yang Maha Mengabulkan pasti menjawab dan memberi ‘response’NYA kepada setiap keluhan, permohonan dan rayuan. ALLAH memberi masalah dan ujian hanya semata-mata  untuk menguji tahap keimanan dan keyakinan hambaNYA. Yaa Mujib berhak mempercepat atau melambatkan pengabulan hajat hambaNYA kerana kebijaksanaanNYA dalam menentukan samada hajat itu membawa manfaat atau mudarat. Doa hajat hendaklah dipohon dengan penuh yakin dan sabar. ALLAH Yaa Mujib tidak pernah jemu dengan keluhan dan permintaan hamba-hambaNYA.

 Penghayatan kepada Al Mujib melahirkan insan yang berfikiran positif dan tidak berfikir negatif terhadap ALLAH dan janjiNYA, begitu juga dengan manusia lain dan hakikat kehidupan ini. Semuanya diterima sebagai ketentuan ALLAH dan sebagai seorang hamba, dia perlu redha sepenuhnya. Manusia hanya perlu berdoa kepada ALLAH bukan kepada manusia lain. Elakkan berputus ada, teruslah mengulangi doa dan hajat itu sekiranya masih tidak dimakbulkan. Dengan hubungan semasa manusia, lapangkanlah manusia lain dengan senyuman dan tunaikan permintaan manusia semampu mungkin.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Mujib, sesungguhnya Engkau Yang Maha Mengabulkan permintaan, doa dan rintihan hamba-hambaMu. Tiada suatupun permintaan kami yang Engkau abaikan walaupun banyaknya permintaanMu, arahanMu dan laranganMu yang kami abaikan. Engkau Yaa Mujib menunggu-nunggu kami di pagi hari untuk kami menadah tangan dan menyungkurkan diri kepadaMu memohon segala permintaan bagi segala masalah dan cabaran hidup kami.

 Yaa Allah Yaa Mujib, Engkau mengabulkan permintaan kami yang baik-baik untuk akhirat dan dunia kami kerana Engkau Maha Baik Yaa Barr dan Engkau tidak akan mengabulkan permintaan yang tidak baik bagi akhirat untuk kami walaupun kami rasakan ianya kebaikan untuk dunia kami. Engkau Yaa Mujib Yaa Baari' mengabulkan mengikut masa yang Engkau tentukan kerana Engkau Yaa ‘Alim Yaa Hakim Yaa Rashid Maha Mengetahui apa yang terbaik dan masa yang terbaik untuk hamba-hambaMu.

 Yaa Allah Yaa Mujib, walaupun Engkau memperkenalkan diriMu Maha Mengabulkan, seringkali kami masih juga mencari-cari manusia dan makhluk untuk memohon pertolongan kerana tidak yakin denganMu Yaa Allah, kadangkala berputus asa kerana tidak sabar dalam memohon kepadaMu, kadang-kadang meminta sesuatu yang tidak baik bagi kami kerana kejahilan dan ketidakyakinan kami kepadaMu Yaa Allah. Oleh itu Yaa Mukmin Yaa Mujib, masukkan keimanan dan keyakinan dalam jiwa kami bahawa Engkau sentiasa mengabulkan permintaan hambaMu yang merayu merintih kepadaMu, yang memanggil-manggilMu dengan Nama-namaMu.

Rabu, 27 Januari 2021

V 136 : ASMAUL HUSNA ( 43. AL ROQIB )

AL ROQIB ( الرقيب )

 ALLAH Yaa Roqib Yang Maha Mengawasi, tegak dan lurus bagi memelihara sesuatu, memerhatikan dan mengawas apa yang dipeliharaNYA. DIA pencatat ucapan dan perbuatan manusia. ALLAH mengawasi bukan untuk mencari kesalahan manusia, tetapi hendak mengarahkan, membimbing dan memelihara hambaNYA agar tidak terjerumus kepada dosa dan kesalahan, agar manusia berwaspada dalam setiap tindakan.

 Penghayatan kepada Al Roqib akan melahirkan hamba yang muraqabah sentiasa mengamati kewujudan ALLAH dengan lebih jelas dalam alam dan diri. Muraqabah Tuhan kepada semua makhluk – kurniaan Muraqabah Tuhan kepada perlaksanaan ibadah – menggerakkan hamba melaksanakan ibadah. Muraqabah Makhluk kepada Tuhan adalah dengan merasa ALLAH sentiasa memerhati dan mengawasi.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Roqib, sesungguhnya Engkau Maha Mengawasi, Engkau sentiasa mengawasi kami dari tersasar dari jalan kebenaranMu. Sekiranya kami tersasar, Engkau Yaa Nuur Ya Haadi Yaa Haq segera menarik kami kembali ke jalan kebenaran kadang-kadang dengan kelembutanMu Yaa Latif Yaa Halim Yaa Rouf dan kadang-kadang dengan sedikit kekerasanMu Yaa Qohhar Yaa Jabbar kerana kedegilan nafsu kami.

 Engkau Yaa Roqib sentiasa mengawasi kami dengan sentiasa mengingatkan kami kepadaMu ketika kami lupa dan lalai dengan pelbagai peristiwa yang kami sangka ujian dan musibah. Allahumma Yaa Roqib, Engkau mengawasi kami agar dunia dan manusia tidak melalaikan kami dariMu, ketika kami hampir terlalai, Engkau memanggil kami kembali kepadaMu dan membuat kami merintih dan merayu kepadaMu.

 Allahumma Yaa Roqib Yaa Bashir Yaa Khobir, awasilah kami, pandanglah kami dan waspadakan kami dari dosa nafsu kami sendiri, jangan biarkan kami merancang dan menjalani hidup ini sendirian, pastilah kami akan sentiasa tersasar. Dengarkanlah Yaa Sami’ kami menyerahkan seluruh jiwaraga kami kepadaMu Yaa Baari' untuk Engkau agendakan dengan agendaMu, kami hanya abdi dan khadamMu di dunia yang sedikit masa lagi akan kami tinggalkan.  Kami pasti akan kembali kepadaMu Yaa Allah Yaa Mu'id Yaa Mumit. Yaa Allah Yaa Somad, kami sesungguhnya sangat memerlukanMu setiap saat, kekalkan kami dalam pengawasanMu Yaa Baaqi’ Yaa Roqib.

V 135 : ASMAUL HUSNA ( 42. AL KARIM )

AL KARIM ( الكريم )

 ALLAH Yaa Karim Yang Maha Mulia, Maha Pemurah, Maha Dermawan. Memberi tanpa hitungan, tidak pernah menghalang siapapun untuk datang kepadaNYA dan gembira memberi anugerah kepada makhlukNYA. Kemuliaan ALLAH Yaa Karim juga digambarkan ketika ALLAH memberi pendidikan, pemeliharaan dan pembaikan kepada makhlukNYA. ALLAH Yaa Karim tak pernah memutuskan harapan hambaNYA yang meminta kepadaNYA.

 Penghayatan kepada sifat Al Karim akan melahirkan hamba yang hanya menuju permintaan dan harap kepada ALLAH Yaa Karim yang Maha Mulia dan Pemurah serta mengabulkan doa dan mampu melahirkan orang yang berfikiran positif kerana yakin dengan pertolongan ALLAH dan mereka akan sentiasa bertaqwa dan bertawakkal kepadaNYA. Orang yang menghayati sifat Al Karim akan sentiasa bersifat dermawan sesama manusia walaupun DIA dalam keadaan susah atau senang.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Karim Yang Maha Mulia lagi Maha Memberi. Engkau memberi tanpa perlu meminta. Engkau  Yaa Karim Yaa Muqit memberi secukupnya kepada hamba-hambaMu. Engkau Yaa Karim Yaa Bashir sentiasa memberi segala keperluan hambaMu kerana Engkau sentiasa melihat keadaan hambaMu. Engkau Yaa Khabir Yaa Roqib sentiasa waspada dan mengawasi hamba-hambaMu dan memberi pertolongan bila hambaMu memerlukan. Ketika Engkau Yaa Karim ingin memberi, seringkali Engkau detikkan hati hambaMu untuk berdoa dan berbicara kepadaMu sebagai menunjukkan dhaif dan hinanya kami hamba-hambaMu, menundukkan ego dan nafsu ammarah kami.

 Mulianya ALLAH Yaa Karim, Engkau hanya memberi pemberian yang mulia kepada hambaMu yang Engkau muliakan yakni ilmu makrifatullah dan syurga abadi.  Dengan ilmu makrifatullah Engkau bawa hamba-hambaMu mengenalMu dan mencintaiMu, dan Engkau bawa kepada jalan pencintaMu iaitu jalan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM.  Masukkan kami Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Jami’ dalam golongan orang-orang yang Engkau muliakan ini Yaa Karim, istiqomahkan kami untuk terus rukuk sujud mentaatiMu Yaa Ahad Yaa Wahid Yaa Somad. Aturkan lidah kami Yaa Baari’, izinkan kami sentiasa menyebut-nyebut nama-namaMu dan berbicara denganMu dikala orang lain masih lena berselimut.

V 134 : ASMAUL HUSNA ( 41. AL JALIL )

 AL JALIL ( الجليل )

 ALLAH Yaa Jalil Yang Maha Mempunyai Keagungan dan Kesempurnaan, Maha Kaya, Maha Suci, Maha Luas dan semuanya. Apabila sifat Al Jalil mampu dilihat dengan mata hati akan nampaklah kecantikan dan keindahan ALLAH dan melahirkan suasana kekaguman yang luar biasa, akan membangkitkan kehairanan, ketakjuban dan penghargaan yang tak terhingga sehingga tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Apabila keindahan ALLAH tersingkap, maka sifat Al Jalil akan tersingkap dan seseorang akan merasakan kerinduan yang mendalam.

 Penghayatan kepada Sifat Al Jalil dan Al Jamil akan mempamerkan budi pekerti yang luhur dan mulia kepada sesama manusia dengan kecantikan dalam dan luar. Menghayati Sifat Al Jalil ialah kemampuan untuk merenung keagungan dan keindahan ALLAH melalui diri kita sendiri dan seluruh alam semesta ciptaanNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Jalil, sesungguhnya Engkau Maha Agung lagi Maha Sempurna. Seluruh keagungan dan kesempurnaan di alam buana ini milikMu secara mutlak. Engkau sempurna dari segi kekayaan, kebijaksanaan, keluasan, kehebatan, kekuasaan, kekuatan dan segala-galanya. Kami hambaMu yang dhaif dan penuh dengan kekurangan ini datang pada saat ini tunduk kepadaMu, merendah diri, menghina diri dengan penuh rasa kehambaan yang sangat tidak berdaya, bergantung dan bersandar kepadaMu Yaa Jalil untuk apa jua keperluan hidup kami. Yaa Jalil, ketika Engkau memberi kepada kami, kami dapat melaksanakan tugas sebagai khalifahMu, ketika Engkau tidak memberi, tiadalah daya kami sedikitpun. Yaa Zohir Yaa Jalil, nampakkan sentiasa pada pandangan matahati kami akan keagungan dan kesempurnaanMu, kedhaifan dan kehinaan diri ini serta bimbing kami Yaa Haadi untuk menjadi hamba dan khalifah sejati.

Selasa, 26 Januari 2021

V 133 : ASMAUL HUSNA ( 40. AL HASIB )

 AL HASIB ( الحسيب )

 ALLAH Yaa Hasib Yang Maha Menghisab, Menghitung atau Maha Mencukupi. ALLAH Yaa Hasib mencukupkan segala keperluan makhlukNYA tidak lebih dan tidak kurang, semuanya telah ditetap dan diatur oleh ALLAH. Apabila ALLAH Yaa Hasib mencukupkan anugerah dan keperluan seseorang, tiada siapapun yang boleh mengurangkannya. ALLAH Yaa Hasib juga menghitung setiap perbuatan manusia walau sebesar biji zarah sekalipun dan setiap kebaikan itu akan dibalas dengan adil, begitu juga dengan keburukan dan kejahatan.

 Penghayatan Al Hasib akan menjadikan seorang hamba itu sentiasa berwaspada dengan setiap apa yang ingin dilakukan kerana semuanya akan dihisab dan dihitung setiap masa dan saat ALLAH Yaa Hasib.

 Menghayati sifat Al Hasib adalah mencukupkan keperluan orang lain dengan membantu mereka. Kita adalah nakhoda kapal yang membawa manusia menuju pantai bahagia dan damai. Kita perlu bermasyarakat dan menentukan hala tuju masyarakat, mengeluarkan masyarakat daripada kegelapan jahiliyah kepada cahaya Islam yang membahagiakan. Walaupun kita merasa lemah dan tidak mampu, yakinlah ALLAH Yaa Hasib akan mencukupkan segala keperluan kita.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Hasib, sesungguhnya Engkau Maha menghisab, setiap perbuatan kami Engkau hisab, hitung, kira dan timbang di atas timbangan dan neraca keadilan. HisabMu sangat teliti dan tepat, tiada sezarahpun kebaikan yang tertinggal, pasti akan dihisab dan ditimbang, begitu juga kejahatan kami, akan dihisab semuanya.

 Sesungguhnya setiap sen duit yang Engkau pinjamkan kepada kami akan dihisab ke manakah ia dibelanjakan. Setiap saat kami bersama anak dan suami/isteri, setiap saat akan dihisab apakah yang kami lakukan untuk mereka. Setiap saat anggota tubuh yang Engkau pinjamkan ini akan Engkau hisab, apakah yang dipandang oleh mata kami, apakah yang didengar oleh telinga kami, apakah yang diberi oleh tangan ini, apakah yang diungkap oleh lidah ini, apakah yang difikir oleh akal ini, ke mana kaki ini dilangkahkan, semuanya dihisab olehMu tanpa tertinggal walau sezarahpun kebaikan mahupun kejahatan. Segala pahala dan dosa itu akan ditimbang di atas timbangan amal yang sangat adil.

 Yaa Allah, kami tak akan mampu berhadapan denganMu nanti di hari hisab dalam keadaanku sebegini, banyaknya dosa yang kami lakukan setiap masa dan sedikitnya amal soleh. Sesungguhnya walau seberat bumi amalan kami, nescaya harga sebelah mata kurniaanMu ini pun tak mampu kami bayar, apatah lagi untuk membayar harga SyurgaMu. Oleh itu Yaa Allah Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Hasib, kami mohon belas kasihMu di hari hisab nanti, padamkan segala catatan kejahatan kami Yaa Quddus Yaa Jalil Yaa Bathin, dan permudahkan kami untuk melakukan amal soleh sebanyak-banyaknya di dunia ini, kurniakan kami solat yang khusyuk dan amalan yang ikhlas, disertai hati yang redha dan sabar atas apa jua ujianMu.

V 132 : ASMAUL HUSNA ( 39. AL MUQIT )

 AL MUQIT  ( المقيت )

 ALLAH Yaa Muqit Yang Maha Memberi Kekuatan dan Kecukupan. ALLAH Yaa Muqit juga menggenggam manusia. ALLAH Yaa Muqit mencukupkan keperluan manusia, berkuasa ke atas manusia serta mampu menggenggam manusia mengikut kehendakNYA. ALLAH Yaa Muqit  juga mencukupkan rasa kebahagiaan dan kepuasan kepada hamba-hambaNYA hasil daripada amalan dan ketaatan hamba itu kepada ALLAH.

 Penghayatan kepada Al Muqit melahirkan manusia yang tidak pernah berputus asa kerana kemampuan dan kekuatan yang cukup yang diberikan oleh ALLAH kepada kita untuk melakukan tugas dan amanah di atas dunia ini. Mereka akan sentiasa disuntik dengan kekuatan-kekuatan baru. Sifat Al Muqit juga akan melahirkan insan yang mengambil berat hal orang lain, suka menolong orang yang sedih, menderita, lapar dan sakit. Hidup juga tidak disia-siakan kerana sedar kematian pasti akan datang kerana itu menggunakan kekuatan ALLAH Yaa Muqit untuk melakukan kebaikan dan kebajikan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muqit Yang Maha mencukupkan, Engkau mencukupkan segala keperluan hambaMu dalam hidup ini. Bagi orang-orang yang beriman mahupun kafir, Engkau Yaa Muqit mencukupkan keperluan dunia kami dan untuk hambaMu yang beriman, Engkau cukupkan keperluan dunia dan akhirat bagi kami. Yaa Muqit Yaa Razzaq, Engkau sentiasa mencukupkan rezeki dunia bagi kami, tetapi kami yang sering merasai ketidakcukupan sehingga mencari-cari untuk menambah lagi harta dunia yang fana' ini, sehingga lalailah kami tentang akhirat.

 Lalu Engkau ingin mencukupkan bekalan akhirat kami dengan menghalang rezeki dunia dari datang kepada kami, dengan mencipta pelbagai peristiwa yang pedih dan perit dalam hidup ini sebagai mencukupkan bekalan akhirat dengan pahala sabar dan redha. Yaa Allah Yaa Muqit, cukupkanlah segala keperluan kami untuk mengadapMu nanti agar kami terselamat dari azabMu Yaa Muntaqim.

V 131 : ASMAUL HUSNA ( 38. AL HAFIDZ )

 AL HAFIDZ  ( الحفيظ )

 ALLAH Yaa Hafidz Yang Maha Memelihara dan menjaga seluruh ciptaanNYA. Tidak ada satu pun yang terlepas daripada jagaanNYA. DIA memelihara langit dan bumi dan setiap apa yang ada di antara keduanya. Manusia dijaga oleh Malaikat atas perintah ALLAH. Di antara pemeliharaan ALLAH ke atas manusia adalah dikurniakan kesihatan yang baik. Walaupun begitu melalui kesakitan, ALLAH Yaa Hafidz memelihara jiwa kita agar sentiasa ingat kepadaNYA dan ketika sakit manusia mampu merenungi apa yang berlaku di sekelilingnya terutama berinteraksi dengan tuhan yang selama ini dilupakannya. Ujian kesusahan dan kesakitan adalah cara ALLAH menyelamatkan hamba-hambaNYA dari azab api neraka. ALLAH Yaa Hafidz juga mampu melindungi kita daripada bisikan hawa nafsu dan syaitan.

 Penghayatan kepada sifat Al Hafidz adalah sentiasa ingat yang memelihara kita, anak-anak kita, suami/isteri kita, ibubapa kita, sahabat-sahabat kita dan seluruh manusia di dunia ini adalah ALLAH Yaa Hafidz, bukan sesekali makhluk. Penghayatan Al Hafidz juga menjadikan manusia mengeluarkan seluruh potensi yang ada pada dirinya dengan pemeliharaan dan perlindungan Al Hafidz, menjadi manusia yang yakin diri dengan bantuan dan pemeliharaan ALLAH.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Hafidz Yang Maha Memelihara, sesungguhnya Engkaulah yang memelihara alam buana ini agar semuanya tetap bergerak dan berfungsi dan manusia dapat hidup dengan aman dan sejahtera. Yaa Hafidz, Engkaulah yang memelihara tubuh badan kami sehingga masih boleh berdegup jantung ini, masih boleh bernafas, darah masih mengalir, makanan masih boleh ditelan dan diproses, anggota tubuh semuanya masih berfungsi, semuanya atas pemeliharaanMu Yaa Hafidz.

 Allahumma Yaa Hafidz, peliharalah kami dari azab NerakaMu nanti, dari huru-hara Mahsyar, dari jatuh ke dalam api semasa meniti titian sirat, peliharalah kami dari azab kubur yang sempit lagi menghimpit, gelap gelita dan tiada peneman. Yaa Hafidz  Yaa Mukmin, peliharalah iman kami, Yaa Quddus, pelihara kesucian hati kami agar kami setiap saat ingat kepadaMu dan bersandar hidup denganMu. Yaa Hafiz Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Jami', peliharalah kesatuan hati-hati kami. 

Ahad, 24 Januari 2021

V 130 : ASMAUL HUSNA ( 37. AL KABIR )

AL KABIR  ( الكبير )

 ALLAH Yaa Kabir Yang Maha Besar merupakan ungkapan kesempurnaan Zat. KebesaranNYA menyebabkan DIA tidak memerlukan kepada sesiapapun, malah semua makhlukNYA memerlukan kepadaNYA.

 Menghayati sifat Al Kabir akan melahirkan manusia yang merendah diri, tidak menyombong diri kerana sedar kebesaran itu hak mutlak ALLAH Yaa Kabir dan kita tidak ada apa-apa hak bagi mengakui kebesaran diri. Bagi orang yang dikurniakan harta kekayaan sehingga merasa sombong dan penguasa yang melakukan kezaliman dan penganiayaan akan menerima balasan daripada ALLAH kerana mereka merasa diri lebih besar dari orang lain dan merasa orang lain hina. Orang yang merendah diri akan diangkat ALLAH dan orang takbur akan direndah oleh ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA.

 Takbir ketika solat merupakan simbol menafikan segala sesuatu selain ALLAH. Hanya ALLAH Yaa Kabir sahaja yang dibesarkan dan kita hamba yang paling kecil, kerdil dan hina di hadapanNYA. Takbir juga tanda seorang hamba itu sedia untuk bertemu dan berdialog dengan ALLAH.

 Penghayatan kepada sifat Al Kabir melahirkan manusia berjiwa besar, bijak dan pantang menyerah kalah ketika dilanda pelbagai masalah dan yakin semuanya dirancang ALLAH dan di akhirnya kebahagian menanti.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Kabir Yang Maha Besar, hambaMu ini semuanya kerdil, untuk membuka kelopak mata pun mengharapkan pertolonganMu, hanya Engkau layak dibesar-besarkan, kami tidak layak sedikit pun membesar-besarkan diri kami kerana setiap kebaikan yang kami buat adalah kurniaanMu jua Yaa Barr, Engkau Yaa Qodir Yaa Baari' yang mendetikkan hati-hati ini dan mengagendakan manusia untuk melakukan kebaikan, dengan kekuatanMu jua Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin kaki ini digerakkan.

 Hanya Engkau Yaa Kabir yang layak dibesar-besarkan kerana Engkaulah Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq yang menunjuk jalan kebenaran kepada kami, dengan itu dapat kami beriman, sujud kepadaMu, taat kepadaMu, melakukan ketaatan kepadaMu dan menjauhi diri dari laranganMu. Tanda kebesaranMu Yaa Kabir jelas terbentang pada alam buana dan seluruh isinya ini. Engkaulah Yaa Kabir memiliki gelaran-gelaran kebesaran yang ada pada manusia, Engkau juga mengurnia pelbagai kurniaan sehingga manusia dibesar-besarkan. Semuanya itu milikMu Yaa Kabir dan hanya Engkau yang layak dibesar-besarkan, kami hambaMu sangat kerdil. Yaa Kabir, basahilah lidah ini untuk sentiasa membesarkanMu, Yaa Mani', cegahlah kami dari segala sifat membesar-besar diri.

V 129 : ASMAUL HUSNA ( 36. AL ‘ALIYY )

 AL ‘ALIYY ( العلى )

 ALLAH Yaa ‘Aliyy Yang Maha Tinggi mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada yang ditakluki dan dikalahkan, sekaligus menakluki makhlukNYA. Kedudukan ALLAH Yaa ‘Aliyy mencapai puncak tertinggi di tempat yang tinggi. DIA Maha Tinggi disebabkan Dzat dan sifat-sifatNYA, lebih daripada gambaran makhlukNYA. DIA Yaa ‘Aliyy menganugerahkan darjat ketinggian kepada hamba-hamba pilhanNYA seperti para nabi dan rasul.

 Merendah diri kepada ALLAH Yaa ‘Aliyy dicapai melalui sujud dalam solat yang mana ianya simbol merendahkan dan menghinakan diri di hadapan ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA. Sujud adalah darjat hamba yang paling tinggi. Seluruh makhluk di dunia ini sujud kepada ALLAH Yaa ‘Aliyy. Sujud adalah kondisi terbaik bagi seseorang mendekatkan diri kepada ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA.

 Menghayati sifat Al ‘Aliyy melahirkan manusia positif dalam meraih cita-cita, optimis apabila memandang masa depan dan tidak pernah mengundur ke belakang. Ia menjadi asas kukuh dalam usaha mendaki ke puncak yang mana banyak onak dan duri, ujian datang silih berganti, ada pujian dan ada cemuhan. Ianya akan menghasilkan sikap tabah dan tekad.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Aliyy yang Maha Tinggi, Hanya Engkau yang layak ditinggi-tinggikan kerana seluruh alam buana yang tingginya dan luasnya tidak bertepi adalah ciptaanMu Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir, semuanya milikMu Yaa Malik Yaa Malikul Mulk, semuanya tanda kebijaksanaanMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid. Kami makhlukMu datang  sujud merendah diri meninggikanMu, tidak layak sedikit pun kami seorang hamba, abdi, ciptaanMu yang hina dan rendah ini yang Engkau cipta dari tanah yang hina lagi rendah, tempat yang kami pijak itu menyombong diri meninggi-ninggikan diri kami yang serba dhaif, rendah, fakir, lemah, jahil lagi hina ini.

 Hanya Engkau yang layak ditinggi-tinggikan kerana seluruh hartabenda dan kekayaan yang ada pada kami adalah milikMu Yaa Ghoni Yaa Mughni, seluruh kekuatan yang ada pada tubuh kami yang membuatkan kami bergerak adalah kekuatan milikMu, seluruh gelaran-gelaran ketinggian yang ada pada kami ini adalah milikMu, Engkau memberi pinjam semua ini kepada kami agar kami sujud meninggi-ninggikan Mu Yaa ‘Aliyy dan merendah diri kami. Yaa ‘Aliyy, sujudkanlah jiwa dan jasad ini kepadaMu dan tundukkan jiwa yang suka meninggi-ninggi diri ini kepadaMu dan basahilah lidah ini untuk meninggi-ninggikanMu Yaa ‘Aliyy Yaa Muta’ali.

 Pancarkan cahaya makrifah pada pandangan matahati kami agar terang benderanglah ketinggian, keluasan dan kebesaranMu di sebalik alam yang tinggi, luas dan besar ini dan dengan itu hati ini sentiasa merendah diri di hadapanMu. Yaa ‘Aliyy, masukkan ketinggian cita-cita dalam jiwa ini untuk memimpin keluarga, masyarakat dan ummah agar mereka sujud kepadaMu sentiasa bagi meninggi-ninggikanMu Yaa ‘Aliyy Yaa Muta’ali dan menginsafi diri yang rendah ini.

V 128 : ASMAUL HUSNA ( 35. AL SYAKUR )

 AL SYAKUR  ( الشكور )

 ALLAH Yaa Syakur Yang Maha Mensyukuri dan Menghargai sentiasa menghargai hamba-hambaNYA yang mentaatiNYA dan mengikut perintahNYA serta melakukan kebaikan dan amal soleh. DIA Yaa Syakur akan sentiasa menunjukkan penghargaanNYA membalasnya dengan mengalirkan kasih sayangNYA, mengalirkan rezeki dan kekayaanNYA, memberikan perlindunganNYA serta memberikan balasan syurga di Akhirat kelak.

 Menghayati sifat Al Syakur akan melahirkan seorang manusia yang suka menghargai sumbangan dan jasa seseorang kepadanya. Dia mudah memberikan pujian sewajarnya sebagai adab sesama manusia dan pujian yang hakiki ditujukan hanya kepada ALLAH Yaa Syakur yang sentiasa menghargai hamba-hambaNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Syakur, Sesungguhnya Engkau Maha Menghargai, Engkau menghargai sumbangn kebaikan hambaMu walau sebesar zarah sekalipun, Engkau catat dan akan Engkau balas dengan berlipat kali ganda. Walau manusia tidak memandang sumbangan kami, Engkau tetap memandang dan menghargainya. Kami menolong sesama manusia untuk mendapat penghargaan manusia, upah mahupun anugerah tetapi semata-mata mencari redhaMu Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Syakur, kami membesarkan dan mendidik anak-anak kami bukan untuk dihargai dan dibalas oleh anak-anak, hanya semata tanda menghargai dan mensyukuri kurniaanMu. Kami sujud di pagi-pagi hari tanda kesyukuran kami dan menghargai kurniaan cahaya hidayah dan cahaya makrifah dariMu Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq.

 Yaa Syakur, jadikan kami hambaMu yang sentiasa mensyukuri dan menghargai kurniaanMu kepada kami, walau ketika kami diuji olehMu. Engkau Yaa Syakur Yaa Wahhab Yaa Razzaq Yaa Karim tetap menghantar orang-orang menghargai dan menolong kami, tetap Engkau ingatkan kami untuk rukuk dan sujud kepadaMu. Sesungguhnya kami sangat menghargaiMu Yaa Allah, setitik air minum sangat berharga, sekiranya Engkau tidak memberi kepada kami, tiada siapa boleh memberinya, walau air banjir melimpahi kami, namun air yang kotor itu tidak akan dapat kami minum, Engkau menguji kami dengan dahaga dalam limpahan air ketika banjir,  dengan lapar dalam timbunan makanan yang rosak, dengan miskin dalam timbunan duit yg tiada nilai, begitu kekuasaanMu Yaa Aziz Yaa Jabbar Yaa Mutakabbir, Engkau zahirkan wujud ZatMu dengan kejadian banjir yang luarbiasa ini agar manusia menghargai setiap kurniaanMu Yaa Syakur.