Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Sabtu, 22 September 2012

I 30 MENDEKATI RAHMAT ALLAH SWT UNTUK JAMINAN KE SYURGA

Disiarkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 21hb. Ogos 2009

KETENTUAN jadi ahli syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah SWT. Tiada makhluk yang boleh menjangkaui bidang kuasa tersebut. Cuma dalam sejarah Nabi Muhammad SAW pernah memberi berita gembira kepada 10 orang sahabatnya yang bakal mengecapi kemuliaan itu. Malahan orang yang sentiasa berulang-alik ke masjid dan melaksanakan berbagai ketaatan agamapun belum tentu terpilih masuk syurga kecuali diperkenankan oleh Allah SWT. 

Walau bagaimanapun al-Quran sebagai kitab pedoman sepanjang zaman sedia menjelaskan dengan terperinci golongan yang bakal dipilih untuk masuk syurga antaranya;

Yang pertama, golongan orang yang memelihara solat dengan khusyuk. Sedia difahami bukan calang-calang orang boleh solat pada setiap waktu. Ia tugas berat yang perlu kepada akidah yang benar dan iman yang mantap sehingga dapat sentiasa melaksanakannya. Untuk khusyuk ketika solat pula, seseorang perlu mengosongkan jiwa daripada perkara selain solat disamping berusaha memahami setiap ucapan dan bacaan dan meletakkan diri dalam situasi benar-benar sedang menghadap Allah SWT. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin pernah mencadangkan supaya seseorang solat dengan memejamkan mata, menundukkan wajah ke tempat sujud, solat di ruangan yang gelap dan berhampiran dengan dinding agar terhad pandangan, dan elakkan daripada solat di jalanan juga kawasan tumpuan orang ramai semuanya bertujuan untuk memudahkan khusyuk semasa solat.

Yang kedua, menjauhkan diri daripada perkara sia-sia. Menurut al-Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya perkara sia-sia itu meliputi perbuatan syirik dan maksiat kepada Allah SWT. Sehubungan dengan itu individu Muslim yang mendambakan syurga selayaknya berusaha menjauhi perbuatan syirik seperti percayakan bomoh dan perkara khurafat disamping mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat yang mengundang kemurkaan Ilahi. Ini kerana menghindarkan diri daripada gejala ini juga sukar memandangkan ramai orang Islam terjebak dalam kancah ini. Yang lebih membimbangkan lagi apabila terdapat segelintir yang tidak merasa kekok apabila melakukan dosa, seronok dan berbangga kerana telah melakukannya. Begitulah situasi akhir zaman disaat rasa malu telah diangkat oleh Allah swt, sehingga manusia tanpa segan silu melakukan berbagai dosa dan noda.
Yang ketiga, membersihkan harta dengan menunaikan kewajipan zakat. Zakat adalah kewajipan agama yang disyariatkan untuk membantu golongan yang memerlukan. Menurut perspektif sistem ekonomi Islam, zakat berupaya mengurangkan jurang perbezaan miskin kaya yang ketara dalam sistem ekonomi konvesional. Selain daripada itu zakat merupakan bantuan khusus kepada individu Muslim yang tidak mampu dan mengharap pertolongan orang lain. Ia juga sesuatu yang sukar untuk ditunaikan memandangkan naluri manusia yang cintakan harta. Oleh kerana itu nikmat syurga adalah balasan setimpal bagi yang sedia berkorban menginfaqkan sebahagian harta yang dimiliki ke jalan Allah SWT.

Yang keempat, menjaga kehormatan diri dengan tidak terlibat melakukan hubungan zina yang dilarang agama. Malahan jika amalan ini dibiarkan berleluasa dalam masyarakat ia akan memberi kesan negatif kepada individu, masyarakat dan negara. Lihat sahaja isu buang bayi yang tiada penghujungnya, adalah berpunca daripada terjebak merosakkan kehormatan diri sehingga terlibat pula melakukan jenayah pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ia masalah kritikal umat Islam khususnya di negara kita sendiri yang perlukan penyelesian segera bagi mengelak kemurkaan Allah SWT.

Yang kelima, golongan yang sentiasa menunaikan janji dan menjaga amanah. Ini adalah akhlak mulia yang perlu dimiliki oleh setiap individu Muslim. Malahan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah melabelkan golongan yang tidak bersifat dengan sifat ini sebagai munafik. Ini berdasarkan sabdanya yang bermaksud Tanda orang munafik itu ada 3, apabila bercakap dusta, apabila berjanji dimungkiri dan apabila dipertanggungjawabkan dengan amanah dikhianati. Kegagalan umat Islam menghiasi diri dengan akhlak ini juga mengundang gejala rasuah yang jijik dan merosakkan negara secara umumnya.

Sebagai kesimpulan untuk masuk syurga setiap individu muslim selayaknya mempereratkan hubungan dengan Allah SWT melalui ibadah yang berkualiti, hubungan dengan sesama manusia melalui konsep amal ijtimai’ dan memelihara kehormatan diri dengan mengelak melakukan hubungan terlarang yang menjatuhkan maruah dan kehormatan diri. 

Sandaran kepada pernyataan ini adalah firman Allah SWT yang bermaksud

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”
(Surah al-Mukminun ayat 1-11).


Semua umat Islam diseru mengharap nikmat syurga dan terhindar daripada api neraka dengan berdoa memohon perlindungan daripadaNya. Apatah lagi menjelang ketibaan Bulan Ramadhan al-Mubarak, peluang yang datang sekali setahun tidak sewajarnya dibiarkan berlalu pergi begitu sahaja tanpa berbuat amal dan kebajikan. Kerugian yang besar bagi seseorang apabila terpilih menemui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya oleh Allah SWT.






I 29 PERBUATAN MENCEMARI KESUCIAN RAMADAN

Telah diterbitkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia bertarikh 25hb Ogos 2009

TINDAKAN sesetengah pengusaha kedai makanan milik orang Islam yang memulakan perniagaan di awal pagi dalam bulan Ramadan boleh dipersoalkan. Ini termasuklah pengusaha bazar Ramadan yang berniaga sejak sebelum waktu zuhur lagi. Untuk siapakah makanan itu disediakan? Kalau untuk orang bukan Islam berapa ramaikah pula daripada kalangan mereka yang bertandang ke premis mereka. Lebih mengelirukan apabila ada pelanggan yang keluar masuk kedai makan melalui pintu belakang sedangkan pintu hadapan tertutup. 

Boleh sahaja kesempatan ini diambil oleh orang yang tak mahu berpuasa sehingga menggalakkan lagi perbuatan keji itu. Perbuatan mereka ini boleh mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang mulia. Malah kemungkinan mendapat saham dosa dengan menggalakkan orang tidak berpuasa.

Memang pengusaha kedai makanan tidak boleh dipersalahkan seratus peratus dalam hal ini, ia akhirnya berbalik kepada keimanan individu itu sendiri. Namun jika jalan-jalan ke arah perbuatan keji itu ditutup mudah-mudahan dapat mengurangkan gejala buruk golongan ingkar berpuasa. 

Sebagai peniaga Islam, mereka dipertanggungjawabkan dalam apa sahaja yang dilakukan. Ingatlah semua itu pasti dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Janganlah semata-mata mengejar keuntungan, dosa dan pahala tidak dihiraukan. Tiada guna untung berlipat kali ganda kalau tiada keberkatan daripada segala yang diusahakan siang dan malam. 

Golongan peniaga Muslim juga dinasihatkan agar tidak mengabaikan tanggungjawab utama melaksanakan ibadah solat apabila sampai waktunya. Begitu pula dengan kewajipan lain seperti menutup aurat dan sebagainya. Ini kerana puasa tidak bermakna jika kewajipan-kewajipan lain terabai. 

Pendedahan JAKIM dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 23 Ogos 2009 juga perlu diberi perhatian serius oleh umat Islam. Trend sesetengah orang Islam berbuka puasa di hotel sepatutnya dipertimbangkan kerana hanya 27 buah daripada 2000 buah hotel diseluruh Negara disahkan halal oleh JAKIM. Ini penting kerana ia melibatkan apa yang disuapkan ke dalam mulut sehingga menjadi darah daging. Sabda Nabi Muhammad SAW :

“Setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram maka neraka adalah lebih utama baginya.” 

Dan lagi, apakah ganjaran puasa yang bakal diraih setelah seharian menahan diri daripada lapar dan dahaga, di saat berbuka puasa dicemari dengan juadah yang tidak halal. Memang, tiada siapa yang dapat menentukan pahala daripada ibadah puasa yang dikerjakan. Kerana puasa untuk Allah swt  dan Allah swt yang berhak menentukannya. Tetapi, setiap orang mesti berusaha untuk mendapat puasa berkualiti dengan memperhatikan apa yang dimakan ketika berbuka puasa.

Secara umumya trend berbuka puasa di hotel juga menyebabkan umat Islam leka membuang masa lalu terlepas peluang melaksanakan solat sunat tarawih yang dituntut untuk dilaksanakan. Ingatlah bulan Ramadhan bukan masa untuk berseronok-seronok malah seharusnya dipenuhi dengan berbagai ketaatan seperti I’tikaf di masjid dan berusaha memperoleh berbagai kurnia yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Justeru itu, setiap individu Muslim diseru untuk sentiasa ingat kepada Allah SWT dalam segala tindakan yang dilakukan. Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya

“Ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga.”


Pihak berwajib juga disaran mengambil pendekatan sewajarnya bagi membendung gejala tidak berpuasa di bulan Ramadan. Misalnya dengan menetapkan waktu tertentu untuk memulakan perniagaan di bazaar-bazaar Ramadan. Pihak berkuasa agama negeri juga disaran menjalankan pemantauan ke atas premis-premis menjual makanan milik orang Islam. Mungkin sahaja tindakan sita atau denda boleh dikenakan kepada pengusaha yang ingkar di samping menangkap mereka yang makan disiang hari bulan Ramadan.



I 28 RAMADAN BULAN KEMERDEKAAN

TANPA disedari bulan Ramadan menjanjikan seribu kemerdekaan dan kebebasan untuk umatnya. Apatah lagi bagi yang berusaha untuk memperoleh kurniaan itu. Bahkan mereka yang sedar kepentingan Ramadan bercita-cita pula agar Ramadan sepanjang tahun. Tidak lain kerana sekolah Ramadan mendidik manusia akan erti kemerdekaan yang sebenar. Ini dapat diperhatikan melalui proses pentarbiyahan ilahi sepanjang Ramadan.

Kesempatan syaitan dibelenggu merupakan peluang terbaik untuk meraih cinta hakiki. Ini bermakna manusia kini merdeka daripada cengkaman musuh utama iaitu syaitan. Sayugianya peluang ini tidak dibiarkan pergi tanpa berbuat sebanyak-banyak kebajikan. Sementelah lagi perjuangan manusia kini terhad kepada musuh nafsu dan kehendak semata-mata. Oleh itu belajarlah mengurus nafsu dengan baik agar setelah tamat Ramadhan, dunia penuh pancaroba boleh diharungi dengan berpandukan syariat ilahi.

Di dalam bulan ini juga, umat Islam dikehendaki sentiasa memelihara segenap pancaindera daripada kutukan dosa. Semuanya bertujuan membentuk puasa yang berkualiti dan diterima dengan sempurna. Secara tidak langsung masyarakat Islam merdeka daripada sifat mazmumah seperti mengumpat, bergosip dan mencela. Diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam.”

Kepada yang merokok pula bulan Ramadhan adalah bulan berhenti merokok. Inilah kesempatan ditentukan untuk umat Islam memerdekakan diri dari kongkongan asap rokok. Terimalah hakikat rokok lebih banyak mendatangkan mudarat daripada manfaat kalaupun ada. Malah dengan segala penyakit dan implikasi buruk akibat rokok seharusnya setiap individu Muslim yang terlibat berlapang dada, berusaha meloloskan diri dari rokok. Elakkan daripada terlibat menggadaikan kesihatan diri, sebagai mekanisme untuk menghambakan diri kepada ilahi.

Firman Allah SWT

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
(Surah al-Baqarah ayat 195)


Bulan Ramadan juga adalah bulan zakat dan sedekah. Umat Islam yang berkemampuan diwajibkan membayar zakat fitrah dengan nilai secupak makanan asasi, untuk diri dan orang yang di bawah tanggungannya. Oleh itu, bersegeralah menunaikan kewajipan ini agar bantuan dapat disampaikan kepada fakir miskin sebelum menjelang hari raya. 

Amalan sunat seperti bersedekah, sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan yang mengharapkan bantuan juga tidak patut diabaikan, berikutan ganjaran penghapusan dosa yang dijanjikan. Dengan cara ini manusia boleh memerdekakan diri daripada sifat bakhil dan tamakkan harta kemewahan dunia yang sementara. Walau bagaimanapun niatnya mesti ikhlas dan diharapkan agar berterusan bukan untuk hari raya sahaja.

Bagi yang terpedaya melakukan dosa pula dijanjikan pembebasan daripada bakaran api neraka di bulan mulia ini. Terutama pada bahagian terakhir daripada Ramadhan. Nabi Muhammad SAW bersabda memperihalkan Ramadhan

“Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.” 

Justeru itu, lipatgandakanlah amalan demi untuk kebahagiaan hidup di hari kemudian. Tentunya tiada siapa yang sanggup menanggung derita, kembali ke alam baqa’ dalam keadaan dosa yang bertimbun-timbun. Inilah masa untuk setiap insan, menjernihkan jiwa dan memerdekan diri daripada dosa dengan dengan bertaubat nasuha dan beramal saleh. Sesunguhnya amalan mulia mampu menghapuskan dosa ibarat air memadamkan api.

Selain itu, Ramadhan yang mulia adalah bulan mustajab doa. Peluang keemasan untuk diperkenankan segala doa adalah lebih tinggi berbanding bulan lain. Seolah-olah Ramadhan dan doa tidak dapat dipisahkan. Malah apabila dirujuk, ayat 186 Surah al-Baqarah, yang berkaitan doa dinyatakan setelah firmanNya yang bersangkutan dengan kewajipan puasa di bulan Ramadan. 

Allah SWT berfirman yang ertinya 

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."
( Surah al-Baqarah ayat 186). 


Dengan itu, apabila manusia berdoa, ia dapat menghilangkan pergantungan kepada sesama makhluk, dengan sentiasa berdoa dan berharap kepadaNya dalam segala permohonan.

Bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-52 yang jatuhnya dalam bulan Ramadhan ini juga, setiap warga 1 Malaysia diseru agar merenung dan bermuhasabah akan tingginya nilai kemerdekaan sesebuah negara. Tanpa kemerdekaan tak mungkin nikmat kebebasan yang dikecapi hari ini, membolehkan kita berkerja, berniaga dan melakukan apa sahaja termasuk peluang untuk beribadah. Syukurilah nikmat kemerdekaan negara, dengan mengelak dipengaruhi oleh pemikiran negatif, budaya songsang dan amalan tidak berperikemanusiaan yang merosakkan keharmonian negara.



I 27 IKTIBAR DARI KEMBARA AGUNG PERJALANAN KE LANGIT

Artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia dan Ruangan Agama Berita Harian bertarikh 20hb. Julai 2009

KINI setelah 40 tahun angkasawan Niel Amrstrong bersama Apollo 11, menjejakkan kaki ke bulan, masih banyak lagi rahsia langit yang tidak dapat diketahui oleh akal fikiran manusia. Malah akal tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai oleh pancaindera. Justeru itu wahyu dan pertolongan Allah SWT sahaja yang boleh merungkai segala rahsia alam ini.

Sebagai contohnya peristiwa kembara agung perjalanan Rasulullah SAW ke langit menjadi bukti kepada orang yang beriman betapa Allah SWT Maha berkuasa menjemput kekasihnya Nabi Muhammad SAW menerusi suatu perjalanan menakjubkan daripada Masjidil Haram di Mekah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitul Maqdis di Palestin lalu dibawa naik melepasi langit ke tujuh dalam satu malam bertemu zat Allah SWT Yang Maha Mulia. 

Peristiwa menghairankan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud,


“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
(Surah al-Isra’:1) 

Sehubungan dengan itu, umat Islam diperingatkan agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak yang menyelerakan sahaja tanpa berusaha mengambil pelajaran daripada kejadian yang berlaku. Ini kerana banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Antaranya ialah; 

Wajib beriman dengan perkara ghaib

Peristiwa Isra Mikraj merupakan peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab murtad kerana tidak dapat menerima perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Mana tidaknya perjalanan yang mengambil masa berbulan-bulan ditempuhi oleh Baginda SAW dalam tempoh satu malam. Oleh itu setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara-perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar, kerana di dunia ini terdapat banyak perkara yang dibuktikan sains wujud tetapi tidak terlihat oleh pandangan mata kasar. Sebagainya contohnya oksigen yang dihidu oleh manusia setiap masa masih tidak diketahui hakikat sbenarnya walaupun dibuktikan ada malah sangat penting kepada manusia. 

Wajib mengerjakan solat

Ibadah olat yang difardukan oleh Allah SWT pada malam Isra dan Mikraj merupakan suatu kaedah unik yang diadaptasi daripada pelakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT. Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini, dalam apa jua situasi tanpa sebarang persoalan. Sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah SWT juga merupakan tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredaannya. Bahkan ia termasuk perkara pertama yang akan dihisab dihari kemudian. Berbagai-bagai hukuman disediakan Allah SWT kepada yang ingkar cukup menjadi ingatan agar orang Islam tidak melalaikannya. Gambaran azab dengan menghantuk-hantukkan kepala ke dinding hanya kerana leka dan malas mengerjakan sembahyang cukup menjadi bukti betapa ibadah sembahyang sangat penting dalam kehidupan seorang muslim. 

Wajib percaya dengan Hari kiamat

Sayugia difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara, seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk diperhitungkan segala perlakuan semasa didunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Isra dan Mikraj, dunia kini diambang kehancuran. Oleh itu setiap orang Islam bukan sahaja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari dahsyat itu. Individu Muslim disaran agar meletakkan diri dalam realiti seorang pengembara dalam perjalanan bertemu Allah SWT dengan membawa berbagai bekalan kebajikan semasa di dunia bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Disamping itu persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.

Wajib percaya dengan azab Tuhan

Berbagai-bagai siksaan ditayangkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Isra dan Mikraj akibat perbuatan zina, makan riba’, engkar menunaikan kewajipan sembahyang dan membayar zakat, selalu berdusta serta pecah amanah membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menghukum hamba yang berdosa. Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi perbuatan dosa yang mengundang kemurkaan ilahi. Di sudut pandang yang lain, gambaran kurnia ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari yang sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang yang tinggi terutama ketika berhadapan dengan syaitan musuh yang paling utama. 


Wajib percaya dengan qadak dan qadar


Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah. Nabi Muhammad SAW sebagai insan biasa juga tak lekang daripada ujian itu. Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan 2 individu penting dalam karier dakwahnya iaitu Siti Khadijah isterinya dan Abu Talib bapa saudaranya. Tetapi baginda SAW tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga dipertemukan dengan Kekasihnya di malam Isra dan Mikraj yang penuh keberkatan. Maka selayaknya umat Islam mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW dengan menerima segala qada dan qadar ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba-hambanya.

Di sana terdapat berbagai lagi iktibar yang boleh diperolehi oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan berbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran disebalik setiap peristiwa yang berlaku. Syukurilah segala nikmat itu dengan mempertingkat amal kebajikan guna untuk kebahagiaan hidup kita bersama di dunia dan akhirat.






I 26 AMALAN KETIKA GERHANA MATAHARI

BERBAGAI fenomena alam yang berlaku membuktikan keajaiban ciptaan Allah SWT yang tidak ada tolok bandingnya. Sekalipun seluruh golongan jin dan manusia berganding bahu mengadakan sesuatu pasti mereka tidak akan berjaya menciptakannya.

Contohnya fenomena gerhana matahari yang dikatakan berlaku paling lama di abad ke-21 ini, mengajak manusia untuk bertafakkur, berfikir akan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Peristiwa penting ini juga seharusnya disusuli dengan melaksanakan ibadah solat sunat gerhana matahari sebagai bukti pengiktirafan terhadap kekuasaan Allah SWT.

Hukum melaksanakan solat sunat gerhana matahari adalah Sunat Muakkad sama ada bagi orang yang bermukim atau bermusafir, merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan dan sama ada ditunaikan secara berjamaah atau bersendirian. Waktunya bermula apabila nyata berlaku gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana itu. Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak disunatkan untuk melaksanakan solat itu.

Ia boleh dikerjakan sebanyak 2 rakaat seperti solat sunat biasa dan dimulai dengan niat “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala. Manakala yang lebih sempurna dilakukan dengan dua kali rukuk dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat. Pada rakaat pertama selepas membaca al-Fatihah, dibacakan Surah al-Baqarah atau mana-mana surah daripada al-Quran, lalu rukuk dan membaca tasbih sebanyak kira-kira 100 ayat al-Quran. Setelah itu bangun Iktidal, sekali lagi membaca Surah al-Fatihah dan Surah ali-Imran, atau mana-mana surah daripada al-Quran, lalu rukuk dengan membaca tasbih kira-kira 90 ayat al-Quran, kemudian iktidal dan sujud seperti biasa.

Pada rakaat yang kedua, selepas membaca al-Fatihah, dibaca pula Surah al-Nisa’ atau mana-mana surah, rukuk sambil membaca tasbih sebanyak 70 ayat al-Quran, Iktidal, kemudian membaca Surah al-Fatihah dan Surah al-Maidah atau surah-surah yang lain, rukuk lagi dengan membaca tasbih sebanyak 50 ayat al-Quran, iktidal, sujud sehinggalah mengucapkan salam.

Selain daripada itu disunatkan juga mandi untuk solat sunat gerhana seperti mandi sunat hari Jumaat. Jika solat berjamaah imam dikehendaki membaca secara perlahan disamakan hukumnya dengan solat pada waktu siang. Setelah selesai solat, imam dikehendaki pula membaca khutbah seperti khutbah hari raya cuma tidak disertai dengan ucapan takbir. Didalam khutbah itu imam hendaklah menyeru para jamaah supaya bertaubat, melaksanakan amalan kebajikan seperti bersedekah, mengingati manusia supaya tidak lalai dan leka dengan kemewahan dan tipu daya dunia yang sementara. Perlu juga dimaklumi menurut kitab fekah, solat ini hanya sunat dilakukan oleh sesiapa yang menyaksikannya. 

Terdapat kepercayaan tertentu dikalangan sesetengah masyarakat, gerhana matahari berlaku dengan sebab matinya orang-orang tertentu. Kepercayaan khurafat ini seharusnya dibuang jauh-jauh kerana telah disangkal oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Diriwayatkan bahawa seorang daripada anak Nabi Muhammad SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia setelah 70 hari dilahirkan dan kebetulan berlaku gerhana matahari pada waktu itu. Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda

“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah.”
( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

Diriwayatkan juga daripada Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sehingga perkara yang menakutkan itu hilang.”

Begitulah indahnya ajaran Islam yang mulia, sehingga apabila berlaku gerhanapun kita diperintahkan untuk melakukan solat sunat sebagai tanda bersyukur, terselamat daripada bencana Tuhan. Ini kerana gerhana matahari merupakan amaran perubahan cuaca secara tiba-tiba oleh Allah SWT kepada manusia. Untuk itu umat Islam hendaklah sentiasa taat dan patuh mengerjakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Allah SWT berfirman yang maksudnya ;

“Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu?. Maka (jawabnya: Hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut). Dan bulan hilang cahayanya. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri?”

(Surah al-Qiyamah:ayat 6-10).





I 25 BERHENTI MEROKOK DENGAN DOA

SEMPENA 31 Mei 2009, yang diisytiharkan sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia, semua pihak diminta memberi sokongan padu kepada kerajaan dengan berganding bahu menjayakan Kempen Pilih Untuk Berhenti Merokok bagi membendung gejala merokok terutama di kalangan remaja dan pelajar sekolah yang masih mentah.

Sehubungan dengan itu semua pihak diseru memainkan peranan semaksima mungkin untuk menjadikan ia sebagai suatu realiti dan tidak bermusim. Ia boleh dimulakan oleh golongan ulama dan cendikiawan Islam yang punya kedudukan tinggi disisi masyarakat melalui sesi ceramah dan kuliah-kuliah agama. Golongan ini disaran agar tidak hanya berceramah isu yang hebat-hebat sedangkan isu rokok pembunuh umat diabaikan dengan alasan isu lapuk dan ketinggalan zaman. Lebih malang lagi apabila terdapat daripada kalangan mereka yang merokok sehingga menimbulkan kekeliruan dikalangan khalayak ramai tentang hukum merokok menurut kacamata Islam. 

Pendekatan ini dilihat seiring dengan fatwa berkenaan pengharaman rokok yang pernah dikeluarkan di Negeri Selangor pada 7hb. Disember 1995. Fatwa tersebut menyatakan bahawa rokok adalah haram, oleh yang demikian , adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa -apa jenis rokok yang dihasilkan daripada tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya.

Pengharaman serupa juga turut difatwakan oleh Kerajaan Negeri Kedah, Perlis, Sarawak dan Pulau Pinang. Malah berdasarkan fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pengharaman turut meliputi penjualan atau penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam hal yang berkaitan dengan rokok. Tinggal lagi yang dimusykilkan ialah tiadanya penguatkuasaan ke atas pengharaman itu.

Walaupun terdapat percanggahan pendapat dikalangan ulamak berkenaan isu ini namun satu hakikat yang boleh diterima semua, perbuatan merokok adalah suatu pembaziran yang ditegah agama bahkan dilabel sebagai kawan syaitan, sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT. dalam firmannya yang bermaksud

“Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.”
(Surah Al-Israa’ ayat 27) 

Sementelah lagi dalam suasana kelembapan ekonomi yang dirasai kini, merokok menyebabkan peningkatan perbelanjaan individu, justeru berhenti merokok berupaya mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat dan ia boleh pula digunakan untuk keperluan lain yang lebih bermanfaat.

Selain ulama para ibubapa juga perlu bertindak mengawasi perlakuan anak-anak agar tidak terjebak merokok diusia muda. Malah Ibubapa wajib menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak dengan tidak merokok. Perbuatan sesetengah ibubapa memberikan wang membeli rokok kepada anak juga boleh diumpamakan seperti membunuh anak sendiri.

Dibimbangi anak-anak yang merokok diusia remaja akan terdedah melakukan gejala yang tidak sihat terutama apabila mereka ketiadaan wang untuk membeli rokok seperti mencuri, menjadi peragut dan sebagainya. Selain daripada itu tumpuan mereka terhadap pelajaran di bilik darjah juga kemungkinan akan terganggu disebabkan tidak dapat merokok untuk jangkamasa yang lama. Golongan pelajar juga diingatkan agar tidak membazirkan wang pinjaman pelajaran seperti PTPTN yang diperolehi dengan membeli rokok kerana ia bercanggah dengan maksud sebenar pemberian bantuan kewangan itu.

Pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan yang lebih efisien dalam menguatkuasakan undang-undang merokok ditempat awam. Ini kerana merokok ditempat awam akan memudaratkan orang lain yang tidak merokok, apabila mereka dipaksa menerima implikasi buruk asap rokok yang mencemarkan udara sekitar. Perokok juga akan mengotorkan tempat tumpuan awam seperti perhentian bas dan tandas awam dengan habuk dan puntung rokok yang dibuang sesuka hati. 

Langkah CUEPEC yang bercadang untuk melarang semua kakitangan awam merokok di tempat kerja juga adalah langkah proaktif yang boleh dicontohi oleh sektor swasta. Penguatkuasaan langkah ini oleh pihak kerajaan juga dilihat mampu menjadi pemankin ke arah mewujudkan genarasi bebas rokok pada masa hadapan. 

Oleh itu sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia, golongan perokok dinasihat berusaha untuk menghentikan amalan buruk yang ditegah agama ini. Tidak ada baiknya jika bertegang leher menegakkan benang yang basah sedangkan akhirnya diri sendiri dan keluarga yang merana. 

Tidak dinafikan berhenti merokok memang payah dan menyakitkan, apatah lagi setelah bertahun-tahun dibelenggu oleh perbuatan itu. Tetapi percayalah dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Hospital kerajaan sebagai contoh ada membuka Klinik Berhenti Merokok bagi sesiapa yang berhasrat untuk berhenti merokok. Rawatan secara tradisional juga kemungkinan boleh membantu. Malah terdapat ramuan herba yang apabila diminum akan menyebabkan perokok tidak berselera untuk merokok lagi. 

Bagi umat Islam pula tidak ada yang mustahil jika segala permasalahan diadukan kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui. Berdoa, bermunajatlah kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk berhenti merokok. Pokok pangkalnya tepuk dada tanya iman. Pilihan terletak ditangan sendiri, kerana Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali jika dia sendiri yang berusaha mengubahnya.

Mungkin ada yang mendakwa setelah bertahun-tahun merokok mereka tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya malah ada yang kelihatan awet muda dan jadi lebih sihat berbanding orang yang tidak merokok. Dakwaan ini mungkin benar untuk tempoh yang tertentu sahaja. Sedarlah satu ketika, padah menghisap rokok tetap akan mengena tak kira tua mahupun muda cuma masa yang menentukan segalanya.

Begitu pula mungkin ada yang mendabik dada mengatakan akhirnya semua manusia akan mati jadi jangan dikaitkan masalah rokok dengan punca kematian. Memang itu satu ketentuan ilahi yang tak dapat disangkal, tetapi biarlah mati dalam keadaan terhormat, dengan meninggalkan jasa dan sumbangan yang boleh dimanfaatkan untuk seluruh umat. Pepatah ada menyebutkan harimau mati meninggalkan belang , manusia mati meninggalkan nama.


Adalah diharapkan, dengan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia mensyaratkan setiap kotak rokok wajib mempamerkan imej kesan buruk akibat merokok yang mengerikan mampu menimbulkan keinsafan dan menyedarkan komuniti perokok tentang bahaya rokok kepada diri, keluarga dan masyarakat.



Jumaat, 21 September 2012

I 24 HUKUM JADI MAK NYAH

ALLAH SWT menjadikan manusia berlainan jantina dan berpasang-pasangan dengan tujuan dan maksud tersendiri, iaitu untuk saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Ia dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Surah al-Hujurat,ayat 13).

Selain daripada itu penciptaan manusia daripada kalangan lelaki dan wanita juga bertujuan untuk mengembang-biakkan generasi keturunan manusia agar terus berkekalan hingga ke Hari Kiamat, sebagaimana dinyatakan oleh Nabi Muhamad SAW dalam maksud sebuah hadisnya yang menggalakkan umatnya berkahwin dan memperbanyakkan zuriat kerana baginda SAW berbangga dengan bilangan umatnya yang ramai di Hari Akhirat kelak.

Sehubungan dengan itu tindakan nekad segelintir lelaki lembut memakan pil perancang keluarga seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini, dengan cita-cita untuk menjadi wanita adalah suatu perbuatan yang melanggar ketentuan agama dan tidak bersesuaian dengan etika nilai budaya ketimuran. 

Tidak keterlaluan jika dikatakan golongan ini telah bertindak melampaui takdir ketentuan tuhan yang telah menjadikan mereka daripada jenis lelaki dan wanita yang punya tugas dan tanggungjawab tertentu. Allah SWT berfirman yang ertinya

“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.”
(Surah al-Qamar, ayat 49).

Apatah lagi jika proses penukaran jantina itu melibatkan pembedahan dan pembuangan alat kelamin. Menurut al-Syeikh Walid bin Rashid al-Su’aidan, pembedahan menukar jantina melibatkan perubahan ciptaan Allah swt, mensia-siakan kejadiannya, mengikut hawa nafsu dan memenuhi tuntutan syaitan. Malahan doktor yang melakukan pembedahan seumpama ini dikira berdosa, kerana membuang zakar dan dua testis lelaki dengan tujuan untuk menukar jantina lelaki menjadi wanita begitu juga membuang buah dada dan saluran peranakan untuk menukar jantina wanita menjadi lelaki.

Mereka yang terlibat dengan perbuatan ini sebenarnya telah dipengaruhi oleh syaitan sehingga terdorong untuk mengikut nafsu dan angan-angan kosong sahaja. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 119 yang bermaksud

“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.” 


Malahan perbuatan mereka juga mendedahkan diri kepada risiko kerosakan anggota badan sehingga boleh lumpuh dan menyebabkan kehilangan nyawa. Sudah semestinya amalan buruk sebegini dilarang agama kerana manusia ditegah daripada mendedahkan diri kepada jurang kebinasaan yang merosakkan.

Selain daripada itu terdapat banyak hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang menegah manusia daripada mengubah ciptaan tuhan. Misalnya sebuah hadis riwayat Abdullah ibn Mas’ud RA. katanya

“Aku mendengar Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencabut bulu keningnya dan yang mengikir giginya untuk kelihatan cantik, yang mengubah ciptaan Allah SWT. Lalu bagaimana pula perbuatan seseorang yang memakan ubat dengan tujuan untuk menukar suara daripada garau menjadi lembut, memakan hormon untuk membentuk fizikal seperti wanita dan lain-lain yang lebih berat daripada sekadar mencukur bulu kening.

Menurut Ibnu Abbas RA., Rasulullah SAW juga direkodkan pernah melaknat lelaki yang menyerupai kaum wanita dan wanita yang menyerupai kaum lelaki.
(Riwayat Imam al-Bukhari). 


Perbuatan keji ini juga akan menimbulkan kecelaruan hukum syarak yang semuanya saling berkait antara satu sama lain.Ini kerana walaupun seseorang telah menukar jantina status jantinanya masih kekal di sisi syarak walaupun secara fizikal telah berubah. Lalu adakah wajib ke atasnya memakai tudung bagi menutup aurat jika telah menjadi seperti wanita, bolehkah dia berkahwin, menjadi wali dalam pernikahan. Bagaimana pula dengan hukum berkaitan wuduk, adakah batal jika bersentuhan dengan orang yang berbeza jantina? Ditakdirkan, jika mereka bertaubat berhenti daripada menjadi Mak Nyah adakah wajib untuk mereka mengembalikan semula kejantanan dan keperawanan mereka. 

Sehubungan dengan itu golongan yang berangan-angan untuk menukar jantina dinasihatkan berfikir seribu kali sebelum melakukan tindakan yang akan menyebabkan mereka merana seumur hidup. Syukurilah peluang hidup yang sementara dengan membuat kebajikan sebanyak-banyaknya agar beroleh rahmat dan keampunan daripadaNya.

Ingatlah bahawa syaitan sentiasa berjuang untuk memperdayakan manusia yang lemah iman dan menabur pelbagai janji-janji manis yang tak berkesudahan. Allah SWT berfirman yang maksudnya

“Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata. Mereka itu, tempat akhirnya ialah Neraka Jahanam dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.”
(Surah al-Nisa’, ayat 120-121)

Mereka yang terlibat dalam bidang seni juga diingatkan agar tidak hanya berusaha meraih populariti dengan menerbitkan karya-karya songsang yang jauh terpesong daripada landasan agama. Begitu juga pelakon yang melakon watak pondan walaupun dengan apa tujuan sekalipun dinasihat agar bertaubat kerana perbuatan itu termasuk dosa besar dan diharamkan.


Ini kerana direkodkan bahawa Rasulullah SAW pernah mengutuk, melaknat lelaki yang mengenakan atau memakai pakaian perempuan dan perempuan yang mengenakan atau memakai pakaian lelaki. (Hadis riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, al-Nasaiy dan al-Hakimiy)

Justeru redha dan akur atas segala ketetapan ilahi adalah jalan bahagia menuju kejayaan yang harus diusahakan oleh setiap insan yang mendambakan cinta agung, cinta sejati. Ini kerana dengan rahmat dan kasih-sayangNya manusia dikurniakan akal untuk berfikir sewaras-warasnya sehingga boleh membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara.






I 23 MENARIK; FAKTA TERBARU TENTANG ROKOK

ADAPTASI DARIPADA TULISAN oleh Hafizah Iszahanid, Berita Harian

PEROKOK di Malaysia menghisap 33 juta batang rokok sehari. Dengan anggaran minimum sebatang rokok berharga 26 sen, perokok membelanjakan kira-kira RM8.6 juta sehari untuk membeli rokok! Suatu pembaziran yang boleh dielakkan. 

Merokok adalah sejenis penyakit. Mengikut pengkelasan penyakit antarabangsa, merokok dikodkan sebagai F17.2 iaitu kategori penyakit mental dan perlakuan yang memungkinkan perokok ditakrifkan sebagai penagih. 

Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC (Konvensyen Rangka kerja dan Kawalan Tembakau), Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Zarihah Zain, berkata tembakau adalah penyebab kematian dan kesengsaraan paling utama di dunia ketika ini. 

Lebih daripada lima juta orang meninggal dunia akibat penggunaan tembakau, jumlah yang lebih besar daripada gabungan pesakit malaria, HIV/Aids dan batuk kering. 

Di Malaysia, orang Melayu adalah perokok paling ramai iaitu 1.66 juta atau 60.9 peratus daripada keseluruhan 2.73 juta perokok. Majoriti perokok adalah orang dewasa dan hanya 103,630 perokok remaja. 

Pada 1998, enam juta dokumen ‘rahsia’ daripada tujuh pengeluar rokok terkemuka di Amerika Syarikat seperti Philip Morris Incorporated, RJ Reynolds Tobbaco Company, Brown & Williamson Tobacco Corporation dan British American Tobacco Industries didedahkan berikutan membabitkan kes perundangan. Dokumen setebal 35 juta halaman itu mendedahkan pelbagai taktik kotor pengeluar tembakau untuk terus menyebabkan ketagihan. Misalnya, memorandum jualan daripada pengeluar rokok, Lorillard Tobacco Company menyebut: “Asas perniagaan kita adalah pelajar sekolah menengah atas.” 

Saintis Kanan British American Tobacco membuat dua kenyataan yang menggerunkan iaitu ‘perokok adalah penagih nikotin’ dan ‘perokok wanita lebih bermotivasi untuk merokok dan sukar berhenti. Perokok wanita lebih neurotik (tidak stabil dari segi mental) berbanding lelaki dan lebih suka merokok apabila tertekan.’ 

Tahap nikotin dalam rokok pada masa ini kemungkinan lebih tinggi berbanding rokok sekitar 90-an atau 80-an. 

Industri pengeluaran rokok kini menyasarkan lelaki dan perempuan kumpulan kelas pertengahan dan golongan kurang berpendidikan sebagai sasaran pasaran baru. Di Amerika, sasarannya ialah golongan kulit hitam, Hispanik dan masyarakat daripada Kepulauan Pasifik. 

Di Malaysia, jumlah perokok wanita juga semakin ketara. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.5 peratus wanita pernah merokok, 1.6 peratus masih merokok dan 0.9 peratus berjaya berhenti merokok. Di kalangan lelaki, 57.6 peratus pernah merokok, 46.4 peratus masih merokok, manakala 11 peratus berjaya berhenti merokok. 

Sejak 1998, semakin banyak negara bertegas dalam menangani perokok. Banyak negara sudah mensyaratkan semua rokok di pasaran mesti dibungkus dengan grafik komplikasi merokok, misalnya barah paru-paru dan keguguran janin. 

Di Malaysia, sejak 1 Jun 2009, semua kotak rokok di pasaran mesti mempunyai 40 peratus amaran bergambar di bahagian hadapan dan 60 peratus di belakang kotak. 

Hasilnya menurut Dr Zarihah, daripada kajian yang dibuat, kebanyakan perokok berasa terancam dari segi psikologi dengan kotak rokok beramaran. Daripada enam amaran bergambar (barah paru-paru, keguguran janin, kelahiran pramatang, barah mulut, barah tengkuk dan gangrene) perokok lebih memilih rokok dengan gambar beramaran ‘cap kaki’ (gangrene). 

Kajian turut mendapati, walaupun merokok di luar rumah atau di dalam bilik khas, partikel dan gas dari asap rokok berupaya melekat di rambut dan pakaian perokok. Kemudian, apabila perokok pulang ke rumah menyentuh anak-anak dan isteri, mereka juga berisiko berdepan dengan pelbagai komplikasi kesihatan akibat merokok. Antaranya, masalah jantung. ‘Third hand smoker’ atau perokok ketiga adalah terma terbaru yang digunakan bagi menjelaskan golongan yang berisiko pada kewujudan toksin tidak dapat dilihat yang datang dari gas dan partikel sebatang rokok. Malah, gas dan partikel rokok bukan saja melekat pada rambut dan pakaian perokok tetapi juga permaidani dan sofa. Kewujudan terma perokok ketiga ini juga hasil rumusan kajian terhadap risiko rokok pada bayi dan kanak-kanak. Laporan itu diterbitkan dalam Jurnal Pediatrik Amerika Syarikat pada Januari 2009. 

Pakar Runding Kardiologi, Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara, Dr Aizai Azan Rahim, berkata merokok adalah punca kira-kira 30 peratus daripada masalah jantung koronari dan ia adalah faktor risiko utama bagi strok iskemia dan penyakit berkaitan arteri. 

“Perokok ketiga tercemar dengan saki baki asap rokok yang mencemari persekitaran. Biasanya asap rokok kekal di situ selepas rokok habis dihisap. Partikel kimia menyebabkan tembakau terbakar termasuk tar dan nikotin terlekat pada pakaian, rambut, bekas rokok pada kadar yang lebih lama walaupun asap sudah hilang dari udara. Partikel ini membentuk lebih 200 gas beracun yang kebanyakannya menyebabkan barah seperti arsenik dan amonia. 

“Jadi perokok ketiga juga berdepan dengan risiko serangan acute coronary syndrome (ACS) (masalah jantung membabitkan kekurangan aliran darah ke jantung) atau barah. Tiada tahap selamat pada pendedahan terhadap asap rokok,” katanya. 

Perokok wanita, lebih cenderung menderita barah pangkal rahim jika terus merokok.

Berhenti merokok, membantu mengurangkan kadar kematian akibat penyakit jantung koronari berbanding terapi pencegahan lain seperti mengurangkan pengambilan kolesterol. Justeru, langkah berhenti rokok adalah asas dalam pencegahan penyakit kardiovaskular. Malah, tabiat merokok juga mengurangkan manfaat ubat yang mencegah faktor risiko kardiovasular. 

Pada abad ke-20, 100 juta penduduk dunia meninggal dunia disebabkan penyakit berkaitan tabiat merokok. Pada 2030, dianggarkan lapan juta kematian disebabkan faktor yang sama setiap tahun dengan 80 peratus berlaku di negara membangun. 

“Di Malaysia, 10,000 orang berhenti merokok setiap tahun. Malangnya mereka berhenti kerana meninggal dunia,” 

Setiap tahun jumlah kemasukan ke wad disebabkan komplikasi merokok meningkat. Pada 2006, 31,186 kemasukan dicatatkan di 773 unit rawatan rapi di Malaysia. Daripada jumlah itu, 12,534 kemasukan dikaitkan dengan ACS. Malah ACS membabitkan 47 kes dalam setiap 100,000 populasi, manakala insiden masalah koronari yang lain dicatatkan 141 per 100,000 populasi. 

Cabaran utama perokok untuk membuang tabiat itu ialah ketagihan dan kebergantungan pada nikotin. 

Ada terapi berhenti merokok menjimatkan kos yang boleh dipilih perokok jika mereka ingin berbuat demikian. Terapi penggantian nikotin boleh didapati dalam pelbagai bentuk, gula-gula getah, lozenges, tampalan, semburan hidung dan penyedut. Malah, ada juga pilihan ubat oral bukan nikotin yang dihasilkan secara khusus untuk membantu pengguna berhenti merokok,” 

SEMOGA FAKTA INI MAMPU MENYEDARKAN SAUDARA SEISLAM YANG MEROKOK




I 22 TUTUP AURAT KEWAJIPAN AGAMA YANG DIPANDANG REMEH

CORAK pakaian yang menjolok mata sering menjadi pilihan golongan muda untuk berhias dan berfesyen. Tanpa segan silu, ada yang mengenakan skirt pendek hingga ke panggal peha, mendedahkan bahagian dada dan tak kurang juga yang berbaju sendat sehingga menampakan bentuk badan yang menggiurkan.

Ramai orang Islam yang tak menyedari bahawa menutup aurat hukumnya wajib sama seperti menunaikan fardu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadan dan berbagai-berbagai kewajipan agama yang lain. Kewajipan ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran dan hadis-hadis yang direkodkan daripada Nabi Muhammad SAW. Bahkan seluruh ulama salaf dan khalaf bersepakat mengatakan menutup aurat hukumnya wajib dan mendedahkannya dikira berdosa tanpa ada yang mengingkarinya.

Bagi yang tidak mengetahui, dalil kewajipan itu boleh dirujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud.

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
( Surah al-Ahzab, 59).

Begitu pula di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang maksudnya

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
( Surah al-Nur:31)


Manakala bukti tegahan mendedahkan aurat daripada sabda Nabi Muhammad SAW pula boleh dirujuk kepada teguran Nabi Muhammad SAW terhadap Asma’ yang berpakaian nipis ketika datang bertemu Nabi SAW, sambil membelakanginya Nabi Muhammad SAW bersabda Wahai Asma’ Sesungguhnya seorang wanita apabila telah cukup umur (telah baligh), tidak boleh dilihat daripadanya, kecuali ini dan ini, seraya Baginda SAW menunjukkan kepada wajahnya dan kedua belah tapak tangannya. Jika hanya dengan berpakaian nipis sahaja sudah ditegah lalu bagaimana pula dengan realiti pakaian segelintir masyarakat Islam hari ini.


Sehubungan dengan itu setiap individu muslim perlu menginsafi diri dan berbuat sesuatu berlandaskan peraturan agama. Elakkan daripada mengamalkan budaya ikut-ikutan dengan meniru gaya dan corak berpakaian orang lain yang tidak berlandaskan kepada prinsip hidup beragama.

Lebih daripada itu, setiap muslim wajib memiliki sifat malu sebagai pendinding untuk menangkis serangan bertubi-tubi musuh Islam daripada berbagai penjuru yang ditujukan terutamanya kepada golongan belia Islam agar mereka jauh daripada pegangan agama yang sebenarnya.

Keengganan umat Islam mentaati perintah menutup aurat, mendedahkan diri mereka kepada gejala-gejala buruk yang tidak diingini seperti kemungkinan dirogol, diraba ditindas secara seksual dan lain sebagainya. Mereka juga bakal berhadapan dengan hukuman berat yang disediakan Allah SWT di hari akhirat kelak, akibat menggabaikan perintahNya.
Nabi Muhammad SAW direkodkan pernah bersabda YANG BERMAKSUD :

“Ada 2 kelompok penghuni neraka yang tidak pernah kulihat, satu kaum ditangannya cambuk-cambuk seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia. Manakala kelompok yang lain daripada kalangan wanita yang bertelanjangan, jalannya menggoda, rambutnya pula menggunung seperti unta yang sedang berjalan. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya. Padahal bau syurga itu dihidu daripada jauh perjalanan lima ratus tahun.”
(Hadis riwayat Imam Muslim) 

Perlu diingat bahawa perintah menutup aurat bukan sahaja ditujukan kepada wanita malahan juga kepada lelaki. Kitab-kitab fekah sedia menjelaskan tentang perkara ini. Menurut ulamak Mazhab Shafie aurat lelaki ialah di antara pusat dan lutut manakala aurat wanita adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan yang harus didedahkan kerana ia biasa digunakan ketika bekerja.

Justeru itu segala perintah agama dan larangannya harus menjadi tonggak dalam kehidupan masyarakat Islam, jika mahu mengecapi kejayaan hidup sebenar, dunia dan akhirat. Apalah erti iman jika hanya membenarkan dalam hati dan mengucapkan dengan lidah tanpa dibuktikan dengan pelaksanaan segala perintahnya.



I 21 ULAMA PERLU BANGKIT

DI SAAT masyarakat Islam terpedaya dengan berbagai dakyah dan mainan politik yang tidak berkesudahan, ulama perlu digerakkan bagi memperbaiki kesilapan dan kepincangan yang berlaku. Umat Islam secara umumnya perlu dipimpin untuk kembali menyelesaikan segala perselisihan berdasarkan pedoman al-Quran dan al-Sunnah, dan ditangan ulamalah dipertanggungjawabkan tugasan ini. 

Ditambah lagi dengan masalah sosial umat yang pelbagai dan tak bertepi, seperti peragut yang telah bertukar menjadi pembunuh, Mat Rempit yang menggila, Ibu yang tidak berperikemanusiaan membuang anak darah daging sendiri, Bohsia dan bohjan yang hilang arah tuju dan lain-lain lagi. Formula Islam yang komprehensif dinantikan dengan penuh pengharapan bagi meneutralkankan semua yang telah terjadi. 

Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud

“Manusia yang paling hampir dengan darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Adapun orang yang berilmu bertanggungjawab memberi petunjuk kepada manusia berdasarkan apa yang dibawa oleh Rasul-rasul, manakala orang yang berjihad, mereka berjuang dengan pedang membela apa yang dibawa oleh para Rasul.” 

Sejarah membuktikan bagaimana Nabi Muhamad SAW sebagai Rasul utusan Allah; dipertanggungjawabkan dengan tugas mengajar dan mendidik umat manusia menuju ke jalan kebenaran dan pada masa yang sama bertindak mengurus dan mentadbir negara dengan dengan penuh kebijaksanaan. Baginda SAW membentuk Piagam Madinah sebagai perlembagaan tertinggi negara yang wajib ditaati oleh semua dan berjaya pula menyatupadukan masyarakat majmuk Madinah yang terdiri daripada orang Ansar dan Muhajirin juga orang Yahudi dan golongan penyembah berhala.

Tokoh ulama tanahair juga tidak kurang sumbangannya. Nama-nama seperti Tok Kenali, Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman dan lain-lain pernah terlibat memainkan peranan yang sangat besar dalam mengetuai dan menggerakkan perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British, meskipun tercatat dalam sejarah sebagai pemberontak yang akhirnya gugur syahid ditangan penjajah. 

Justeru itu, golongan ulama dilihat mampu menangani kemelut Umat Melayu Islam masa kini, agar perpaduan bangsa yang berteraskan Islam sebagai agama rasmi negara dapat ditegakkan semula. Perselisihan dan percakaran sesama sendiri yang berlarutan harus dihentikan, kerana ia ibarat api dalam sekam yang boleh membakar pada bila-bila masa. 

Umat Islam telah lama mengidamkan pemimpin yang berwibawa serta berjaya mengasimilasikan agama dalam kehidupan. Saidina Umar al-Khattab pemimpin agung yang pernah membebaskan Palestin daripada cengkaman penjajahan tak lebih hanya tinggal kenangan indah kemenangan umat Islam di zaman silam. Begitu pula Umar bin Abd. Aziz, seorang khalifah Dinasti Umayyah yang berjaya mengurus perbendaharaan negara dengan adil dan sistematik sehingga digelar khlaifah Islam yang ke-lima.

Rahsia kejayaan mereka tentunya tidak terletak hanya kepada bakat kepimpinan yang dimiliki, malah mereka mengadaptasikan model kepimpinan Rasulullah SAW yang tak lapuk ditelan dek zaman sebagai sumber rujukan utama. Ini kerana bukan mudah untuk melahirkan seorang pemimpin yang ikhlas dan berintegriti. 

Salahuddin al-Ayubi, pemimpin Islam yang berjaya membebaskan Palestin daripada cengkaman penjajahan suatu ketika dahulu lahir hampir seratus tahun setelah gerakan menyemai semangat cintakan tanahair dan kewajipan membebaskannya daripada dijajah ditabur oleh golongan ulama dan cendiakiwan Islam.

Oleh itu golongan ulama perlu bangkit menggunakan segala kudrat yang ada untuk membantu membendung masalah umat yang semakin kritikal. Janganlah hanya asyik berceramah isu yang panas-panas sedangkan isu suvival umat Islam diketepikan dan tidak diendahkan. 

Walau bagaimanapun setiap manusia, perlu sedar bahawa mereka hanyalah wakil yang dibebankan tugas memakmurkan alam ini dan tidak melakukan sebarang kerosakan padanya. Sebagai wakil mereka tidak boleh bertindak melulu melainkan berdasarkan peraturan yang telah digariskan oleh syarak. Setiap pemimpin pula bertanggungjawab terhadap cara kepimpinannya yang pasti akan dipersoalkan dihadapan Allah pada hari akhirat kelak. 

Ulama pewaris para Nabi boleh menggalas tugas berat ini jika mereka benar-benar ikhlas melaksanakan sesuatu semata-mata kerana Allah SWT sambil berharap pertolongan daripadanya. Boleh dikatakan ia sebagai tuntutan fardu kifayah demi memelihara dan menjaga kepentingan bersama. Bahkan dalam sesetengah situasi boleh berubah menjadi tuntutan fardu ain pula apabila, kepentingan Islam terabai dan tidak terlaksana. 

Langkah kepimpinan baru melantik YB Senator Datuk Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama dan masyarakat Islam dilihat mampu menggerakkan ulama untuk bangun mencurahkan sepenuh bakti kepada negara. Pengalaman beliau yang luas dalam bidang kepimpinan juga boleh menjadi role model kepada ulama untuk mengajak seluruh masyarakat bekerja dan menunaikan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah perbuatan yang mungkar.