Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Memaparkan catatan dengan label ALLAH SWT - MALAIKAT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ALLAH SWT - MALAIKAT. Papar semua catatan

Rabu, 28 Mei 2014

R 54 : MALAIKAT ISRAFIL

السلام عليكم
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Jika sebelum ini, telah aku kongsikan kisahnya Malaikat Jibrail, kali ini aku ingin kongsikan bersama kisah malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk meniup tiupan sangkakala pada Hari Kiamat, iaitu Malaikat Israfil.
Wallahualam.

Malaikat Israfil adalah salah satu di antara empat malaikat yang paling mulia dan bersaiz besar di sisi Allah SWT. Ia ditugaskan untuk meniup sebanyak tiga kali tiupan sangkakala pada hari kiamat. Seperti malaikat-malaikat yang lain ia diperbuat dari Nur. Ia berbulu dari kepala hingga kedua telapak kakinya dan mempunyai banyak mulut dan lidah.
Jika seluruh air di lautan dan sungai di dunia disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah.
Jumlah sayap malaikat Israfil itu ada empat. Sayapnya yang pertama panjangnya sampai ke barat, sayapnya yang kedua sampai ke timur, yang ketiga boleh menutupi seluruh badannya dan yang keempat menutupi kepalanya.
Ia mempunyai seribu tentera malaikat yang serupa dengan kejadiannya.
At-Tabrani meriwayatkan dari Ibnu Abbas RA: “Sewaktu Rasulullah SAW bersama-sama dengan malaikat Jibrail, tiba-tiba ufuk langit terpecah, maka menghadaplah satu lembaga malaikat tertunduk dan condong ke bumi. Berkata malaikat itu: “Hai Muhammad, sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu agar memilih antara menjadi nabinya hamba atau jadi rajanya nabi”.
Adapun “Rajanya Nabi” adalah mengerjakan apa yang diwajibkan oleh Allah SWT kepadanya dan tidak melakukan apa yang diharamkan oleh Allah SWT kepadanya. Ia menjalankan pemerintahan atau kerajaannya dan membelanjakan harta negara terhadap hal-hal yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT. Mereka menghindari dari sesuatu yang menimbulkan dosa. Nabi yang menjadi raja adalah seperti Nabi Sulaiman AS, Nabi Daud AS dan lain-lain. Adapun “Nabinya Hamba” adalah tidak memberikan sesuatu kepada seseorang kecuali dengan perintah Allah SWT. Ia tidak memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan tidak menghalangi kepada sesiapa yang mengkehendakinya, dia hanya memberi dan menghalangi atas perintah Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: “Jibrail memberi isyarat kepadaku dengan tangannya agar merendah. Maka tahulah aku bahawa itu nasihat untukku, maka aku berkata, “Hambanya Nabi”. Kemudian malaikat itu naik ke langit maka aku berkata, ‘Hai Jibrail, aku sungguh ingin bertanya hal ini kepadamu, tapi aku melihat halmu menyusahkan aku untuk mengemukakan pertanyaan itu. Siapakah itu wahai Jibrail?’ Jibrail menjawab, “Itulah dia Malaikat Israfil. Allah menciptakannya pada hari kejadiannya di hadapannya dengan dua kakinya lurus bersaf, tidak pernah mengangkat hujungnya.”
Ia tertutup di dalam beberapa lapisan dinding. Disebutkan bahawa jarak di antara malaikat Israfil dengan Arasy dilapisi dengan tujuh dinding yang mana satu dinding adalah sejauh lima ratus tahun perjalanan dan jarak malaikat Israfil dengan malaikat Jibrail kira kira tujuh puluh dinding.
Imam Ahmad RAH meriwayatkan dari Abu Said RA, Rasulullah SAW ada menyebutkan tentang malaikat peniup sangkakala, dengan sabdanya: “Disebelah kirinya ada malaikat Jibrail dan disebelah kanannya ada malaikat Mikail.”
Salah satu tiang Arasy berada di atas bahunya. Menurut riwayat, Lauhil Mahfuzh itu bergantungan di bawah Arasy dan malaikat Israfil berada di hadapan Lauhil Mahfuzh tersebut.
Adapun apabila setiap keputusan Allah SWT tercatit di Lauhil Mahfuzh, maka terbukalah dinding-dinding yang menghalanginya dan malaikat Israfil pun melihatnya. Apabila ia adalah tugas malaikat Jibrail, maka malaikat Israfil akan memerintahkan malaikat Jibrail untuk melaksanakanya, begitu juga apabila untuk tugasan-tugasan malaikat Mikail dan malaikat Izrail, ia akan memerintah mereka untuk melaksanakannya.
Malaikat Israfil sentiasa meletakkan terompet sangkakala di mulutnya.
Disebutkan bahawa terompet malaikat Israfil itu bercabang empat. Satu cabang diarahkan ke barat, satu ke timur, satu ke bawah bumi dan satu diarahkan ke langit yang ke tujuh.
Adapun lingkaran kepala terompet itu selebar langit dan bumi. Di dalamnya terdapat pintu-pintu sebanyak bilangan para arwah. Ada tujuh puluh rumah di dalamnya. Di antaranya rumah arwah para Nabi AS, arwah para manusia, para jin, syaitan, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda tentang terompet malaikat Israfil: “Terompet itu adalah sebuah tanduk raksaksa yang terdiri dari cahaya. Besar tiap lingkaran dalam tanduk itu selebar langit dan bumi. Terompet itu akan ditiup tiga kali. Tiupan pertama membuat makhluk takut, tiupan kedua membuat makhluk mati, tiupan ketiga untuk membangkitkan makhluk dari kubur”.
Warna malaikat Israfil adalah kuning tua, sedangkan sebab musabab wajahnya menjadi kuning adalah kerana getaran rasa takut kepada Allah SWT yang selalu meliputi malaikat Israfil Sabda Rasulullah SAW: “Bagaimana manusia boleh merasa senang sedangkan malaikat peniup sangkakala telah bersiap sedia meniupnya dan menundukkan keningnya serta memasang telinganya siap menunggu perintah“.

Sumber daripada: Kisah Sepanjang Zaman




R 53 : MALAIKAT JIBRAIL

السلام عليكم

Sebelum masuknya waktu Maghrib, ingin saya kongsi bersama kisah Malaikat Jibrail yang dipetik dari satu blog untuk renungan kita bersama selaku umat akhir zaman. In Sya Allah.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa,

“Sesungguhnya Allah telah menciptakan malaikat Jibrail dengan bentuk yang sangat elok. Jibrail mempunyai 124,000 sayap dan di antara sayap-sayap itu terdapat dua sayap yang berwarna hijau seperti sayap burung merak, sayap itu antara timur dan barat. Jika Jibrail menebarkan hanya satu daripada beberapa sayap yang dimilikinya, maka ia sudah cukup untuk menutup dunia ini.”

Setelah memandang dirinya yang nampak begitu indah dan sempurna, maka malaikat Jibrail pun berkata kepada Allah, “Wahai Rabbku, apakah Engkau menciptakan makhluk lain yang lebih baik daripada aku?” Kemudian Allah pun menjawab pertanyaan malaikat Jibrail, “Tidak.” Mendengar jawapan Allah, maka malaikat Jibrail pun berdiri dan melakukan solat dua rakaat untuk bersyukur kepada Allah. Pada setiap rakaat solat yang dikerjakan oleh malaikat Jibrail, dia menghabiskan masa selama 20,000 tahun lamanya.
Setelah malaikat Jibrail selesai melaksanakan solatnya, kemudian Allah pun berfirman kepadanya, “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti ibadah yang kamu lakukan, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.
Seandainya mereka mengerjakan solat dua rakaat walau hanya sebentar dan dalam keadaan lupa serta serba kurang, dengan fikiran yang melayang-layang dan dosa mereka pun besar, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai daripada solatmu. Hal tersebut kerana mereka telah mengerjakan solat itu atas perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu.”
Setelah mendengar hal tersebut, Jibrail pun kembali bertanya kepada Allah, “Ya Rabbku, apakah yang Engkau berikan kepada mereka sebagai ganjaran atas ibadah mereka kepadaMu?” Maka Allah berfirman yang ertinya, “Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal mereka.” Malaikat Jibril kemudian meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa tersebut.
Setelah Allah memberikan izin kepadanya, maka malaikat Jibrail pun mengembangkan sayapnya dan terbang menuju syurga Ma’waa. Satu hayunan sayap malaikat Jibrail adalah sama dengan jarak perjalanan selama 3000 tahun. Maka terbanglah malaikat Jibrail selama beberapa lama perjalanan, malaikat Jibrail akhirnya kepenatan dan turun untuk singgah dan berteduh di bawah sebuah pohon. Di sana ia bersujud kepada Allah lalu berkata, “Ya Rabbku, apakah aku telah menempuh setengah atau sepertiga atau seperempat dari perjalanan menuju ke syurga Ma’waa?”
Maka Allah pun berfirman, “Wahai Jibrail, meskipun kamu mampu terbang selama 3000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa puluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.”
Sabda Rasulullah saw, “Sebelah kanan sayap Jibrail terdapat gambar syurga berserta dengan segala isinya termasuk bidadari-bidadari, istana, pelayan dan sebagainya manakala sayapnya yang sebelah kiri terdapat gambar neraka dan segala isinya yang terdiri daripada beberapa macam ular yang cukup bisa, kala jengking dan neraka yang bertingkat-tingkat serta penjaganya yang terdiri daripada malaikat yang garang dan ganas yakni malaikat Zabaniyah.”
Kata Rasulullah saw lagi, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu, maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang kecil pada badan manusia kemudian mereka akan menarik rohnya dari kedua telapak kaki hingga lutut dan mereka pun keluar. Setelah itu datang lagi sekumpulan malaikat masuk menarik roh dari lutut ke perut. Begitulah seterusnya dari perut ke dada dan dada ke kerongkongnya. Itu saat nazak seseorang.”
“Kalau orang yang nazak itu orang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang itu dapat melihat kedudukannya di syurga sehingga terlupa orang-orang di sekelilingnya. Jika orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap sebelah kiri untuk menunjukkan tempatnya di neraka sehingga ia menjadi sangat takut serta lupa kepada keluarganya,” kata Rasulullah.
Kita sebagai umat Islam mesti mengakui kebenaran ini dan ia adalah sama seperti kita beriman kepada perkara ghaib. Tidaklah mustahil bagi Allah untuk menciptakan segala sesuatu kerana Dia maha pencipta. Cukuplah sekadar kita melihat langit yang tidak bertiang, bukankah ia perkara mustahil bagi manusia untuk membuatnya?



 

Isnin, 16 Disember 2013

N 100 : CARA MENGUNDANG MALAIKAT KE RUMAH

Tak seorang muslimpun yang tidak menginginkan rumah mereka sentiasa dihadiri oleh para Malaikat ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan dijauhkan dari syaitan.

Kerana kehadiran Malaikat di rumah mereka akan melahirkan aura ketenteraman dan kesejukan dan kedamaian rohani yang mengalir di rumah tersebut.

Kehadiran mereka akan membuat rumah kita laksana syurga.

Di antara para Malaikat itu ada yang sengaja keliling untuk menebarkan rahmat dan kedamaian di tengah manusia sebagaimana syaitan berkeliling untuk menebarkan kejahatan dan kesesatan di tengah mereka.

Lalu rumah apa sajakah yang akan di hadiri para Malaikat itu?

Di antaranya adalah :

1. Rumah yang dihuni oleh orang yang sentiasa diisi zikir kepada
ALLAH SUBHANAHU WA TAALA serta yang di dalamnya ada rukuk dan sujud (solat).

2. Rumah yang sentiasa bersih.

3. Rumah yang dihuni oleh orang yang jujur dan menepati janji.

4. Rumah yang dihuni oleh orang-orang yang sentiasa menyambung tali silaturahim.

5. Rumah yang dihuni oleh orang yang makanannya halal.

6. Rumah yang dihuni oleh orang yang sentiasa berbuat baik kepada kedua orang tuanya.

7. Rumah yang sentiasa ada tilawah (bacaan) al Quran.

8. Rumah yang dihuni oleh para penuntut ilmu.

9. Rumah yang penghuninya ada isteri solehah.

10. Rumah yang bersih dari barang-barang haram.

11. Rumah yang dihuni oleh orang yang rendah hati, sabar, tawakal, qana’ah (rendah hati), dermawan, pemaaf yang sentiasa bersih lahir batin dan para penghuninya makan tidak terlalu banyak.

Dengan membaca al Quran maka akan turun Malaikat Rahmat, akan datang kebaikan dan tumbuh ketenangan di dalam rumah kita.

Rumah yang tidak ada bacaan al Quran maka ketahuilah bahawa rumah itu sebenarnya laksana kuburan walaupun penghuninya masih bernyawa.

Mengenai penuntut ilmu yang dinaungi Sayap Malaikat,
NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda :

“Sesungguhnya Malaikat membentangkan sayapnya untuk para penuntut ilmu kerana suka dengan apa yang sedang dia tuntut.” 
(H.R. Tirmidzi)

Rumah-rumah yang akan dijauhi malaikat misalnya, rumah yang di dalamnya ada anjing, ada patung-patung dan gambar-gambar, dan ada bau busuk di rumah itu.

Islam adalah Agama yang cinta kebersihan sehingga mengingatkan bahayanya memiliki anjing, bahkan melarang memelihara anjing kecuali untuk kepentingan penjagaan keamanan atau pertanian.

Tidak sedikit nasihat Hadits yang menyatakan bahawa Malaikat Rahmat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan pahala pemilik anjing akan susut atau berkurang.

NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda:

“Malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan juga tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat gambar (patung).” 
(H.R. Bukhari, Muslim,Ahmad. Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Majah)

SubhanALLAH.
Semoga kita boleh menjadikan rumah kita menjadi seperti di atas agar para Malaikat sentiasa hadir dalam rumah kita.


Barakallahu fikum ya akhi wa ukhti.



Sabtu, 14 Disember 2013

N 84 : TUJUH PULUH KALI SEHARI

Ternyata Malaikat Maut Mengintai Kita 70 Kali Sehari!
Alangkah baiknya kita istighfar dulu.
“Astagfirullah Al'adzim."

Memang tidak ada yang pernah tahu bila seseorang akan menghadapi kematian, itulah sebabnya banyak orang tidak mempersiapkan diri menghadapi kedatangannya.
Maut dan kematian, ALLAH SUBHANAHU WA TAALA berfirman yang bermaksud :

“Setiap yang hidup akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan, sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” 
(Surah 21  AL ANBIYAA' : 35)

Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa memperhatikan serta melihat wajah kita sebanyak 70 kali dalam sehari?

Seandainya manusia boleh melihat dengan kasat mata seperti apa tingkahlaku malaikat pengintai itu, nescaya kaki mereka akan lemah jika mengetahuinya.
Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, itu sebabnya manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail di sekelilingnya.

Hadist RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas ra bahawa RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda :

“Bahawa malaikat maut memperhatikan wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari.”

Ketika Izrail datang merenungi wajah seseorang, didapati orang itu sedang bergelak-ketawa.  Maka berkata Izrail :

“Alangkah hairannya aku melihat orang ini, padahal aku diutus oleh ALLAH untuk mencabut nyawanya bila saja tetapi dia masih terlihat bodoh dan bergelak ketawa.”
Jika takdirnya hingga esok hari terakhir ALLAH SUBHANAHU WA TAALA pinjamkan nyawa untuk bernafas di muka bumi ini, apakah kita sudah cukup bekal menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzah dan alam akhirat?

Naaahhh ...

Pastikan ketika kita dijemput, kita dalam keadaan berbuat kebaikan yang terbaik, agar nanti dikumpulkan bersama manusia-manusia mulia di tempat terbaik di sisi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.


Selasa, 3 Disember 2013

M 141 : BIODATA MALAIKAT

Nama : Malaikat
Lahir : Sebelum diciptakannya manusia.
Agama : Islam
Jabatan : Pengawal orang yang taat kepada ALLAH subhanahu wa taala.
Teman dekat : Orang yang tidur dalam keadaan suci.
Tempat tinggal : Arsy / Langit
Patner Kerja : Muslim yang taat
Agen : Waliyullah dan para ulama.
Kekasih Di dunia : Orang yang selalu berselawat dan berzikir.
Musuh : Iblis, orang kafir, zionis dan lain-lain.
Hobi : Mengajak kebaikan terhadap manusia.
Tempat favorit : Majlis ta'lim, masjid dan rumah-rumah yang dibacakan al Quran, zikir, Selawat dll.
Tempat yang dibenci : Toilet, tempat maksiat dan rumah-rumah yang di dalamnya terdapat kemaksiatan Jurus Andalan :

1. Mengajak kepada kebajikan.
2. Menanamkan ketakwaan terhadap ALLAH Subhanahu Wa Taala.
3. Ikut Membaca al Quran bersama orang yang gemar membaca al Quran.

Pekerjaan :

1. Mengerjakan semua perintah ALLAH Subhanahu Wa Taala.
2. Mendoakan orang yang duduk menunggu waktu solat.
3. Mendoakan orang yang bersedekah dan berinfak dijalan ALLAH Subhanahu Wa Taala.
4. Mendoakan orang yang menjengok orang sakit.
5. Mendoakan orang yang mendoakan saudaranya tanpa sepengetahuan saudaranya.
6. Mendoakan orang yang tidur dalam keadaan suci.
7. Mendoakan orang yang duduk setelah selesai solat (ertinya berzikir, berdoa dll).
8. Mendoakan orang yang solat subuh dan ashar secara berjamaah.
9. Mendoakan orang yang berada pada shaf terdepan ketika solat berjamaah.
10. Mendoakan orang yang menyambung shaf yang kosong.
11. Mendoakan orang yang bersahur pada bulan ramadan.

SUBHANALLAH...
Semoga ALLAH perkenankan kita untuk didampingi malaikat-malaikatNya, atas izinNyalah para Malaikat senang membantu kita.
Oleh kerana itu, dekatlah kepada ALLAH, carilah ALLAH kalau mahu minta bantuan. Mudah-mudahan bala bantuan dari Malaikat akan datang berturut-turut atas seizinNya. Aamiin.



Khamis, 21 November 2013

M 64 : MALAIKAT MAUT : TETAMU YANG KERAP BERKUNJUNG

BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali.. Andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail.

Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

“Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.”

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

Meskipun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabi’e biasa sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang pula yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang zahir sahaja. Dia mengambil logik, bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebakaran dan juga kemalangan sama ada di udara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalanraya.

Selain itu, mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, taun dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang tersebut di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, “sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?”

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak akan tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimanapun, ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi satu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingati mati, untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi orang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.

Di kalangan orang solehin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan meraka, jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika ada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan terjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janjiNya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang solehin.

Selain itu juga, malaikat maut mengadu kepada tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana mengidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu, Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab ataupun tidak, sebagaimana yang dinyatakan pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal sama ada seseorang yang sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar-bugar.

Firman Allah Taala yang bermaksud :

“Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya.“ 

( Surah Al-A’raf ayat 34 )





Jumaat, 28 Disember 2012

K 129 DUA BELAS Golongan yang sentiasa di doa oleh Para Malaikat.

Oleh : Syaikh Dr. Fadhl Ilahi

Allah Taala berfirman, 

“Sebenarnya (malaikat–malaikat itu) adalah hamba–hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah–perintahNya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafaat melainkan kepada orang–orang yang diredhai Allah, dan mereka selalu berhati–hati kerana takut kepadaNya.”
(QS Al Anbiyaa’ 26-28)

Inilah orang–orang yang didoakan oleh para malaikat :

1) Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”
(hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)

2) Orang yang duduk menunggu solat. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.”
(Shahih Muslim no. 469)

3) Orang–orang yang berada di shaf bahagian depan di dalam solat. Imam Abu Daud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra’ bin ‘Azib Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat kepada (orang–orang) yang berada pada shaf–shaf terdepan.”
(hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Abi Daud I/130)

4) Orang–orang yang menyambung shaf (tidak membiarkan sebuah kekosongan di dalm shaf). Para Imam iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah Radhiyallahu ‘anha, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang–orang yang menyambung shaf–shaf.”
(hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/272)

5) Para malaikat mengucapkan ‘Aamiin’ ketika seorang Imam selesai membaca Al Fatihah. Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang masa lalu.”
(Shahih Bukhari no. 782)

6) Orang yang duduk di tempat solatnya setelah melakukan solat. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wuduknya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia.”
(Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir menshahihkan hadits ini)

7) Orang–orang yang melakukan solat subuh dan asar secara berjamaah. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Para malaikat berkumpul pada saat solat subuh lalu para malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga subuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, ‘Bagaimana kalian meninggalkan hambaku?’ mereka menjawab, ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, maka ampunilah mereka pada hari kiamat.”
(Al Musnad no. 9140, hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir)

8) Orang yang mendoakan saudaranya tanpa sepengetahuan orang yang didoakan. Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ummud Darda’ Radhiyallahu ‘anha, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa sepengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata ‘aamiin dan engkaupun mendapatkan apa yang ia dapatkan.”
(Shahih Muslim no. 2733)

9) Orang–orang yang berinfak. Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Tidak satu haripun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, salah satu di antara keduanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak.” 
Dan lainnya berkata, ‘Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang pelit’” 
(Shahih Bukhari no. 1442 dan Shahih Muslim no. 1010)

10) Orang yang makan sahur. Imam Ibnu Hibban dan Imam Ath Thabrani, meriwayatkan dari Abdullah bin Umar Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat kepada orang–orang yang makan sahur.”
(hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhiib wat Tarhiib I/519)

11) Orang yang menjengok orang sakit. Imam Ahmad meriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Tidaklah seorang mukmin menjengok saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70.000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang sehingga petang dan di waktu malam sehingga subuh.”
(Al Musnad no. 754, Syaikh Ahmad Syakir berkomentar, “Sanadnya shahih”)

12) Seseorang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain. Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda, 

“Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah di antara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.”
(dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Kitab Shahih At Tirmidzi II/343)
Maraji’ : Disarikan dari Buku Orang–orang yang Didoakan Malaikat, Syaikh Fadhl Ilahi, Pustaka Ibnu Katsir, Bogor, Cetakan Pertama, Februari 2005
Semoga Bermanfaat.
~Admin MFPU~





Isnin, 12 November 2012

J 106 SEBELAS ORANG YANG MENDAPAT DOA MALAIKAT

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘aamiin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

10. Orang yang sedang makan sahur.

11. Orang yang sedang menjengok (melawat) orang sakit.

Rujukan :
http://www.facebook.com/#!/profile.php?id=100001188535484





Jumaat, 2 November 2012

J 56 DUA Malaikat yang mengunjungi kita setiap hari

“Pada Setiap Fajar Ada Dua Malaikat Yang Berseru-Seru: “Wahai Anak Adam! Aku Adalah Hari yang Baru, Dan Aku Datang Untuk Menyaksikan Amalan Kamu. Oleh Sebab Itu Manfaatkanlah Aku Sebaik-Baiknya. Kerana Aku Tidak Kembali Lagi Sehingga Hari Pengadilan.”
(H.R.Termidzi)
“Yaa ALLAH baguskan Agamaku Kerana Ia Peganganku, Baikanlah Duniaku Kerana Ia adalah Tempat Kehidupanku, Baikanlah Akhiratku kerana Ia adalah Tempat Kembaliku.”


http://islamterbuktibenar.net/?pg=custom&id=4216