Orang Yang Tak Sedarkan Diri
Daripada Abu Hurairah ra Bahawasanya RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI
WASSALLAM bersabda yang bermaksud,
“Jika ada seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka
orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka.”
(HR Muslim)
Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasik
Daripada Anas ra. Beliau berkata, bersabda RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud,
“Akan ada pada akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama
yang fasik.”
(HR Ibnu Ady)
[Orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasik]
Menjual Agama Kerana Dunia
Daripada Abu Hurairah ra. Beliau berkata, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari
keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain
dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari
dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis
daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala. ALLAH SWT berfirman
kepada mereka, “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu
berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan
suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang
alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung.”
(HR Tirmizi)
Pendusta Dan Pengkhianat
Daripada Abu Hurairah ra. Beliau berkata, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan
tipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar
dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah
dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba membetulkan)
hanyalah golongan “Ruwaibidhah.” Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu
wahai RASULULLAH?” NABI SAW menjawab, “Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui
bagaimana hendak mengurus orang yang ramai.”
(HR Ibnu Majah)
Kefasikan Berleluasa
Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian
berat) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada
waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang
yang masih beriman pada waktu petang, kemudian pada keesokan harinya dia sudah
menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia.”
(HR Muslim)
Penindasan Terhadap Umat Islam
Daripada Tsauban ra. Beliau berkata, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI
WASSALLAM bersabda yang bermaksud,
“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh
dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan
mengerumuni bekas hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya,
“Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” NABI SAW menjawab, “Bahkan kamu
pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan ALLAH
akan mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan ALLAH
akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya,
“Apakah ‘wahan’ itu, wahai RASULULLAH?” RASULULLAH menjawab, “Cinta dunia dan
takut mati.”
(HR Abu Daud)
Namanya Saja Islam
Daripada Ali bin Abi Thalib ra. Beliau berkata, telah bersabda RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud,
“Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari
Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al Quran kecuali hanya
tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama
mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada
merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali.”
(HR Al-Baihaqi)
Budaya Barat Ikutan Umat Islam Kini
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. Beliau berkata, bahawasanya RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu,
sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk
ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka.” Sahabat bertanya, “Ya RASULULLAH!
Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?” NABI SAW menjawab, “Siapa
lagi?”
(HR Muslim)
Ulama Tidak Dipedulikan
Daripada Sahl bin Saad as-Sa ‘idi ra. Beliau
berkata, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Ya ALLAH! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan
kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak
diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka
seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab.”
(HR Ahmad)
Ulama Agama Semakin Berkurang
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash ra. Beliau berkata, aku mendengar RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Bahawasanya ALLAH SWT tidak akan mencabut (menghilangkan)
ilmu dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi ALLAH SWT menghilangkan ilmu
agama dengan mematikan para ulama. Apabila telah ditiadakan para ulama, orang
banyak akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin
yang jahil itu ditanyakan, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka
sesat dan menyesatkan orang lain.”
(HR Muslim)
Golongan Anti Hadis
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba ra. Beliau berkata, bahawasanya RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang
duduk bersandar di atas kerusi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah
hadis dari hadisku maka dia berkata, “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitab ALLAH
sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al Quran kami halalkan. Dan apa yang ia
haramkan kami haramkan.” (Kemudian NABI SAW melanjutkan sabdanya) “Padahal apa
yang diharamkan RASULULLAH itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan ALLAH
SWT.”
(HR Abu Daud dan Ibnu Majah)
Berbangga-Bangga Dengan Masjid
Daripada Anas bin Malik ra. Bahawasanya RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Tidak terjadi hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah
dengan bangunan masjid.”
(HR Abu Daud)
Tak Ada Imam Untuk Solat Berjemaah
Daripada Salamah binti al-Hurr ra. Beliau
berkata, aku mendengar RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud,
“Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri
tegak beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat mengimami
mereka solat.”
(HR Ibnu Majah)
Penyakit Umat Islam Masa Kini
Daripada Abu Hurairah ra. Katanya, aku mendengar RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda,
“Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa
umat-umat terdahulu.” Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat
terdahulu itu?” NABI SAW menjawab, “Penyakit-penyakit itu adalah,
1.Terlalu sombong,
2.Terlalu mewah,
3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin,
4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia,
5.Saling memarahi,
6.Dengki-mendengki sehingga menjadi zalim menzalimi.”
(HR Hakim)
Perangkap Riba
Daripada Abu Hurairah ra. Beliau berkata, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorangpun kecuali dia
terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakannya secara langsung,
dia akan terkena debunya.”
(HR Ibnu Majah)
Manusia Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya
Daripada Abu Hurairah ra. Beliau berkata, bersabda RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM,
“Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan
daripada mana dia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun
haram.”
(Riwayat Muslim)
Banyaknya Sumber Galian
Daripada Ibnu Omar ra. Beliau berkata,
“Pada suatu masa dibawa ke hadapan RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM sepotong
emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu
telah dibawa oleh Bani Sulaim dari lombong (galian) mereka. Maka sahabat
berkata, “Wahai RASULULLAH! Emas ini adalah hasil galian kita.” Lalu Nabi SAW
menjawab, “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan
menguruskannya adalah orang-orang yang jahat.”
(HR Baihaqi)
Khamar
Daripada Abu Malik Al-Asy’ari ra. Katanya RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku yang meminum
khamar dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. Sambil diiringi dengan
alunan muzik dan suara biduanita. ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA akan menenggelamkan mereka
ke dalam bumi dan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA akan mengubah
mereka menjadi kera atau babi.”
(HR Ibnu Majah)
Banyaknya Perzinaan
Daripada Anas ra. Beliau berkata, “Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah
Hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku
mendengar RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda,
“Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan,
banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti
seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan.”
(HR Bukhari Muslim)
Berpakaian Tetapi Telanjang
Daripada Abu Hurairah ra. Beliau berkata, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka, keduanya
belum pernah aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai
cambuk bagaikan ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan
yang berpakaian tetapi telanjang, lenggang-lenggok sewaktu berjalan,
mengayun-ayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol (belakang unta). Kedua
golongan ini tidak akan masuk syurga, malah tidak akan dapat mencium bau
harumnya. Sesungguhnya keharuman syurga itu akan terhidu dari jarak perjalanan
yang sangat jauh.”
(HR Muslim)
Perilaku Manusia Masa Kini
Daripada Aisyah ra. Dia berkata “Aku mendengar RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda,
“Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi
sebab kemarahan (bagi ibubapanya), hujan akan menjadi panas, akan bertambah
banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi
berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik.”
(HR Thabrani)
Anak Menjadi Tuan Kepada Ibunya
Daripada Umar bin al-Khattab ra. (dalam sebuah
hadis yang panjang), …kemudian Jibrail bertanya kepada RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM,
“Maka khabarkan kepadaku tentang hari kiamat?” Lalu NABI SAW
menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang
bertanya.” Maka Jibrail berkata, “Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku
tanda-tandanya.” Maka NABI SAW menjawab, “Bahawa hamba akan melahirkan tuannya
dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi
miskin yang hanya menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan.”
(Riwayat Muslim)
Peperangan Demi Peperangan
Daripada Abu Hurairah ra, katanya RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI
WASSALLAM bersabda yang bermaksud,
“Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah
ruah dan timbul banyak fitnah dan sering terjadi “al-Harj”. Sahabat bertanya
“Apakah al-Harj itu wahai RASULULLAH?” NABI SAW menjawab, “Peperangan,
peperangan, peperangan.” Beliau mengucapkannya tiga kali.
(HR Ibnu Majah)
Perang Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana
Berebut Kekayaan
Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai
Euphrates, Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung dari
emas. Banyak orang yang terbunuh kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan
puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang
terlibat berkata, “Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu.” Di dalam
riwayat lain disebutkan, “Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan
menjadi surut airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari emas, maka siapa sahaja
yang hadir di situ janganlah dia mengambil sesuatu pun dari harta tersebut.”
(HR Bukhari Muslim)
[Terdapat sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam Hadis
ini sebenarnya petroleum]
Waktu Terasa Pendek
Daripada Anas bin Malik ra. Beliau berkata, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Tidak akan terjadi kiamat sehingga waktu terasa pendek, maka
setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu
dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam
dirasakan seperti satu kilatan api.”
(HR Tirmizi)
Hilangnya Sifat Amanah
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman ra. Katanya, …
“Kemudian jadilah orang ramai berjualbeli, maka hampir sahaja
tiada seorang pun yang suka menunaikan amanah, sehingga dikatakan orang
bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang
yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan,
“Alangkah tekunnya dia dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah
cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun
hanya seberat timbangan biji sawi.”
(HR Bukhari & Muslim)
Islam Akan Pudar Secara Perlahan-Lahan
Daripada Huzaifah bin al-Yaman ra. Beliau berkata, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian,
sehingga orang tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan puasa, apakah yang
dimaksudkan dengan solat, apakah yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadah), dan
apakah yang dimaksudkan dengan sedekah. Al Quran akan hilang semuanya pada
suatu malam sahaja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini
darinya walaupun hanya satu ayat. Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok
manusia, di antaranya orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya dapat
berkata, Kami sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat
LAILAHAILLALLAH, lalu kami pun mengucapkannya juga.”
(HR Ibnu Majah)
Bilakah Akan Terjadi Kehancuran?
Daripada Abu Hurairah ra. Beliau berkata,
“Pada suatu hari ketika NABI SAW sedang berada dalam suatu
majlis dan berbicara dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi
(Arab Badwi) lalu dia bertanya kepada RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM “Bilakah akan
terjadi hari Kiamat?” NABI SAW terus saja berbicara. Sebahagian yang hadir
berkata “Beliau (NABI SAW) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu
tidak disenanginya” Sementara yang lain berkata “Sesungguhnya beliau tidak
mendengar pertanyaan itu.” Sehingga apabila NABI SAW selesai berbicara, beliau
bersabda, “Di mana orang yang bertanyakan mengenai hari Kiamat tadi?” Lalu Arab
Badwi itu menyahut, “Ya! Saya wahai RASULULLAH.” Maka NABI SAW bersabda,
“Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat.” Arab Badwi itu
bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” NABI SAW
menjawab “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah
kedatangan hari Kiamat.”
(HR Bukhari)
Kebinasaan Umat Islam
Daripada Ummul Mukminin , Zainab binti Jahsy (isteri RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM), beliau
berkata,
“(Pada suatu hari) RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM masuk ke
dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, LAILAHAILLALLAH, celaka
(binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa
mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud seperti
ini”, dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk)
yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu
bertanya “Ya RASULULLAH! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami
masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda “Ya, jikalau
kejahatan sudah terlalu banyak.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Punca Kebinasaan Seseorang
Daripada Abu Hurairah ra. Beliau berkata, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Akan datang suatu zaman di mana orang yang beriman tidak
akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari
puncak bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu gua ke gua yang lain.
Maka apabila zaman itu telah tiba, segala sumber pendapatan tidak dapat
diperoleh kecuali dengan melaksanakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan ALLAH
SUBHANAHU WA TAALA. Apabila ini telah terjadi,
maka kebinasaan seseorang adalah disebabkan memenuhi kehendak isteri dan
anak-anaknya. Kalau dia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya
disebabkan memenuhi kehendak kedua ibubapanya. Dan jikalau ibubapanya sudah
tidak ada lagi, maka kebinasaannya disebabkan mengikuti kehendak keluarganya
atau disebabkan mengikuti kehendak jiran tetangganya.” Sahabat bertanya, “Wahai
RASULULLAH, apakah maksud perkataan engkau itu?” NABI SAW menjawab, “Mereka
akan menghinanya dengan kesempitan hidupnya. Maka ketika itu sesungguhnya dia
telah menceburkan dirinya ke jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan
dirinya.”
(HR Baihaqi)
Perselisihan Yang Banyak
Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah ra. Beliau
berkata,
“Telah menasihati kami RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM akan satu
nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air kami ketika
mendengarnya, lalu kami berkata, Ya RASULULLAH! Seolah-olah ini adalah nasihat
yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami.” Lalu baginda pun
bersabda, “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada ALLAH dan
mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya
seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti
dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh
dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin
(Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan
yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah
perkara-perkara yang baru (bidaah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya
tiap-tiap bidaah itu adalah sesat.”
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Golongan Yang Selamat
Daripada ‘Auf bin Malik ra. Beliau berkata, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu
golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh
puluh akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh
dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu
golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku di dalam
kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan,
hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua akan masuk
neraka. Sahabat bertanya, “Golongan mana yang selamat?” NABI SAW menjawab,
“Mereka adalah jemaah.”
(HR Ibnu Majah)
Orang Asing
Daripada Abu Hurairah ra. Beliau berkata, Bersabda RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang bermaksud,
“Islam mula berkembang dalam keadaan asing. Dan ia akan
kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing.”
(HR Muslim)
Kepayahan Orang Yang Beriman
Daripada Anas ra. Berkata RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang bermaksud,
“Akan datang pada manusia suatu zaman di mana orang yang
berpegang teguh di antara mereka kepada agamanya laksana orang yang memegang
bara api.”
(HR Tarmizi)
Kesusahan Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan
Daripada Ali bin Abi Thalib ra,
“Bahawasanya kami sedang duduk bersama RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM di dalam
masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair ra. Dan tidak ada di badannya kecuali
hanya selembar selendang yang bertampal dengan kulit. Tatkala RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM melihat
kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan
kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh
ibunya), dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah
sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di
Mekah). Kemudian NABI MUHAMMAD SAW bersabda,
“Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti, pergi pada waktu pagi dengan
satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan
apabila diberikan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan
kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu Kaabah?”
Maka jawab sahabat, “Wahai RASULULLAH, tentunya keadaan kami pada waktu itu
lebih baik daripada keadaan kami pada hari ini. Kami akan memberikan perhatian
sepenuhnya kepada masalah ibadat sahaja dan tidak bersusah payah lagi untuk
mencari rezeki.” Lalu NABI SAW bersabda, “Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah
lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu.”
(HR Tirmizi)
Golongan Yang Sentiasa Menang
Daripada Mughirah bin Syu’bah ra. Beliau berkata, RASULULLAH
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda yang
bermaksud,
“Sentiasa di kalangan umatku ada golongan yang sentiasa
menang (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah pada suatu waktu yang
dikehendaki ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Mereka sentiasa menang.”
(HR Bukhari)