Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Sabtu, 23 Januari 2021

V 127 : ASMAUL HUSNA ( 34. AL GHAFFUR )

 AL GHAFFUR  ( الغفور )

 ALLAH Yaa Ghaffur Yang Maha Pengampun mengampuni hambaNYA walaupun dosa hambaNYA seluas buih di lautan. Setiap kali hambaNYA melakukan dosa dan kemudian memohon ampun kepada ALLAH Yaa Ghaffur, pasti DIA akan mengampunkan dosa mereka. Seorang hamba semestinyalah sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH Yaa Ghaffur kerana tanpa keampunanNYA, pastilah seseorang itu akan menerima azab api NerakaNYA di Akhirat kelak.

 Menghayati sifat Al Ghaffur dalam diri seseorang akan melahirkan seorang yang sentiasa memaafkan kesilapan dan kesalahan orang lain. Seseorang itu amat mudah memaafkan kerana mengingati akan dosa-dosanya yang diampunkan ALLAH atas sifatNYA yang Maha Pengampun. Sifat suka memaafkan orang akan menjalin hubungan baik sesama manusia dan mampu mengubah seseorang daripada kelakuan yang buruk kepada kelakuan yang baik.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Ghaffur, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, ampunilah dosa hambaMu yang banyak dan pelbagai jenis dosa ini samada yang kami sengaja kerana kalahnya kami dengan nafsu kami atau yang tidak sengaja kerana kelalaian kami, dosa yang kami tahu atas ilmu yang Engkau kurniakan mahupun yang kami tak ketahui kerana kejahilan kami, dosa yang kami ulangi kerana sifat degilnya kami, dosa yang pelbagai jenis yang tak mampu kami bilang, dosa seluruh anggota tubuh ini, dosa terhadap ibubapa kami, suami, anak-anak, adik beradik, saudara mara, jiran tetangga, anak-anak yatim, fakir miskin, orang-orang sakit yang kami abaikan, masukkan rasa pemaaf dalam jiwa mereka untuk memaafkan kami, dan bersihkan kami dari dosa syirik yang mana kami menyekutukanMu Yaa Allah dengan makhluk  tanpa kami sedar sehingga kami rasa hebat diri ini ketika melakukan kebaikan sedangkan Engkaulah yang melakukan kebaikan itu melalui kami, kami menyekutukanMu tanpa sedar dengan makhluk sekeliling kami kerana kami sangkakan merekalah yang hebat mencipta pelbagai ciptaan, kehebatan ilmu, dan pelbagai kehebatan lagi sehingga kami kagumi mereka, sedangkan itu semua kehebatanMu, hanya Engkau yang layak dikagumi, kami juga sering menyekutukanMu dengan makhluk kerana yakin mereka boleh memberi mudharat, sedangkan yang memberi mudharat itu hanya Engkau Yaa Dharru, maka bersihkanlah segala kotoran dosa-dosa kami agar hati ini bersih.

 Sesungguhnya Engkau mengampuni dosa seluas buih di lautan, Yaa Baaqi Yaa Ghaffur, kekalkan kami dalam keampunanMu sentiasa, ampuni juga Yaa Ghaffur dosa ibubapa, suami/isteri, anak-anak, masyarakat dan pemimpin kami.

V 126 : ASMAUL HUSNA ( 33. AL ‘ADZIM )

AL ‘ADZIM  ( العظيم )

 ALLAH Yaa ‘Adzim Yang Maha Agong memiliki seluruh isi langit dan bumi. KeagunganNYA mengatasi keagungan manusia kerana manusia hanyalah hamba yang menggunakan pinjaman dan amanah ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA secara sementara. ALLAHlah pemilik yang mutlak dan DIA mampu berbuat apa sahaja kepada sesiapa sahaja tanpa perlu keizinan hamba-hambaNYA. DIA mengurus, mengatur dan mengawal setiap makhlukNYA tanpa bantuan dan begitu sempurna tanpa cacat-cela dan DIA juga Maha Pengasih Penyayang, Pelindung serta mempunyai budi pekerti mulia yang melayakkanNYA diagung-agungkan.

 Menghayati sifat ALLAH Yaa ‘Adzim menuntut seseorang itu hanya mengagungkan ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA dan tidak wajar baginya mengagungkan manusia kerana ALLAH Yang Maha Hebat sedangkan manusia hanyalah hamba yang tidak berdaya tanpa pertolongan ALLAH Yaa ‘Adzim.

 Sifat Al ‘Adzim juga mampu melahirkan manusia berani menentukan kehidupan, berani berusaha membuat perubahan dan mengambil risiko demi perjuangan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Adzim Yang Maha Agung. Engkau layak diagung-agungkan kerana Engkaulah yang menghamparkan bumi untuk kami memijak dan hidup, membentangkan langit untuk kami, memberikan udara dan rezeki kepada kami dengan percuma tanpa kami perlu membayar kepadaMu Yaa Allah Yaa Adzim. Tanda keagunganMu juga terserlah dengan penciptaan langit, matahari, planet, bintang dan seluruh binaan langit yang berputar setiap saat bertasbih mengagungkanMu Yaa Adzim. Atas keagunganMu Yaa Adzim jua tercipta pelbagai ciptaan binatang dan tumbuhan untuk kesejahteraan manusia.

 

KeagunganMu Yaa Adzim juga terserlah dengan ciptaan tubuh badan manusia, sistem-sistem  tubuh manusia, daya dan energi yang ada pada roh, nafsu, fikiran dan jasad manusia yang sesungguhnya tiada lafaz yang sepadan untuk mengagungkanMu Yaa Adzim.

 Hanya Engkau yang mengetahui keagunganMu yang sebenar, kami hamba yang jahil ini mohon dibuka sedikit rahsia keagunganMu agar dapat kami sujud dan menghina diri kepadaMu dengan penuh rasa kehambaan, ketundukan, kedhaifan, kefakiran dengan penuh rasa keagunganMu Yaa Allah Yaa Adzim. Walaupun apa jua ujian yang Engkau datangkan dalam hidup kami, kami akan tetap mengagungkanMu Yaa Allah Yaa Adzim kerana tiada ujian, ketetapan dan takdirMu melainkan semua kebaikan bagi kami di dunia dan akhirat.

Jumaat, 22 Januari 2021

V 125 : ASMAUL HUSNA ( 32. AL HALIM )

AL HALIM  ( الحليم )

 ALLAH Yaa Halim Yang Maha Penyantun sentiasa bersifat santun kepada hamba-hambaNYA walaupun hamba-hambaNYA tidak santun kepadaNYA. ALLAH Yaa Halim, santun dalam memberikan nasihat dan teguran, santun dalam layanan, santun dalam perkataan, santun dalam tindakbalas kasar hambaNYA. Kesantunan ALLAH dapat dilihat dengan mata hati dalam diri wakil-wakilNYA Yaa Halim yang bersifat santun kepada sesama manusia.

 Menghayati sifat Al Halim, seseorang itu harus menunjukkan kesantunan sesama manusia bagi mengalirkan sifat kesantunan ALLAH kerana dengan menyebarkan sifat santun Yaa Halim akan melembutkan hati yang keras, menundukkan kesombongan orang yang sombong dan merendahkan orang yang suka meninggi diri serta berbangga dengan kehebatan diri. Manusia dilarang bersikap kasar kerana jiwa manusia itu inginkan dan sukakan kelembutan.

 ALLAHUMMA Yaa Halim Yang Maha santun menyantuni hamba-hambaNya dengan membuka jalan kemaafan walaupun berkali-kali hambaNya melakukan kesilapan, walaupun hambaNya berkali-kali tersungkur dengan dosa dan kemaksiatan, namun kerana ALLAHUMMA Yaa Halim sangat memahami akan lemahnya dan dhaifnya hamba-hambaNya, namun Dia Yaa Syakur mengetahui akan kesucian hati hamba-hambaNya yang sangat amat ingin bertaubat, sangat amat ingin kembali kepada jalan kebenaran, sangat amat ingin menjadi abdi dan khalifah yang diredhai Allah. DIA Yaa Halim Yaa Syukur Yaa Karim Yaa Rahman Yaa Rahim terus sudi memaafkan, memberi peluang, memimpin dan membimbing di atas jalan kebenaran. Yaa Halim menyantuni hamba-hambaNya dengan menghormati dan menghargai walau sezarahpun kebaikan atau sumbangan, walau manusia sekeliling tidak menghargai, tidak nampak, tidak ucap terima kasih, ALLAH Yaa Halim sangat menghargai, sangat melihat dan sentiasa berterima kasih kepada hamba-hambaNya setiap masa dengan mencurahkan kurniaanNya yang secukupnya di dunia dan melimpah ruah di akhirat nanti.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Halim, sesungguhnya Engkau Maha Santun. KesantunanMu terhadap makhlukMu terserlah dengan pelbagai kurniaan yang tidak pernah berhenti dan tidak bertepi walau bagaimana pun keadaan makhlukMu, Engkau tetap terus menyantuni mereka. Engkau Yaa Halim Yaa Nuur terus menyantuni hamba-hambaMu dengan pancaran cahaya matahari walau hambaMu sedang membuat maksiat kepadaMu, Engkau Yaa Halim Yaa Muhyi terus mendegup jantung hambaMu walau dia tidak pernah mahu sujud kepadaMu, Engkau terus menerus menyantuni hamba-hambaMu dengan membalas kejahatan dan kebiadaban hambaMu dengan kesantunan dan kelembutanMu Yaa Halim Yaa Latif.

 KesantunanMu Yaa Halim, Engkau serlahkan melalui kesantunan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam agar baginda menjadi contoh tauladan buat kehidupan kami. Sikap baginda yang Engkau alirkan kesantunanMu Yaa Halim, penuh santun tak kira kepada kawan atau lawan, tak kira kepada yang tua mahupun yang muda, tak kira kepada yang miskin atau yang kaya, tak kira yang sakit mahupun yang sihat. Hidup baginda memberi RahmatMu Yaa Allah Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Halim Yaa Latif Yaa Karim kepada seluruh alam dan isinya sebagai  pancaran sifat-sifat kebaikan dan kesantunanMu terhadap seluruh alam. Yaa Halim, jadikan kami hamba yang sentiasa menyantuniMu di pagi-pagi hari denggn pujian kepadaMu atas kesantunanMu kepada kami yang tak terhingga.

V 124 : ASMAUL HUSNA ( 31. AL KHABIR )

AL KHABIR  ( الخبير )

 ALLAH Yaa Khabir Yang Maha Waspada sentiasa berwaspada terhadap tingkahlaku manusia. Sekiranya manusia tersasar, maka akan diperbetulkan untuk berpatah balik ke jalan yang benar.

 Penghayatan kepada sifat Al Khabir akan melahirkan manusia yang sentiasa berwaspada dengan kehadiran, penglihatan dan kewaspadaan ALLAH. Mereka akan mengelakkan diri daripada perkara-perkara dosa, kemaksiatan dan kemarahan ALLAH. Khalifah Yaa Khabir juga akan waspada dengan kemaksiatan anak-anaknya, suami/isterinya, sahabat-sahabatnya dan orang-orang sekelilingnya dengan mengingati serta menasihati mereka agar kembali ke jalan yang benar ketika mereka melakukan kesalahan dan dosa.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Khabir Yang Maha Waspada. Sesungguhnya Engkau sentiasa berwaspada terhadap kami, ketika kami mula berjalan di atas jalan Neraka, Engkau Yaa Khabir sentiasa menarik kami kembali di atas jalan Syurga. Ketika Engkau melihat hambaMu terleka dengan dunia yang melalaikan ini, Engkau Yaa Khabir menarik kami hampir kepadaMu dengan pelbagai peristiwa yang menjauhkan kami dari dunia dan mendekatkan diri kepadaMu.  Engkau sentiasa mewaspadakan kami tentang kampung akhirat yang kami akan tuju, agar bekalan kami nanti cukup di sana.

 Ketika datang perasaan sombong diri dalam hati kami tentang kehebatan yang Engkau kurniakan, Engkau Yaa Qohhar Yaa Khabir menundukkan ego dan kesombongan kami dengan pelbagai kesempitan. Ketika kami tidur lena di pagi hari dan hidup bersantai-santai, Engkau Yaa Khabir mewaspadakan kami dengan bantal dan tilam Neraka dan minuman Neraka, agar masuk rasa gerun dalam jiwa ini, dengan itu kami bangkit untuk sujud kepadaMu. Engkau Yaa Khabir waspadakan kami sentiasa dari tipudaya syaitan dengan menarik kami ke dalam golongan mukhlisin yang dipelihara olehMu Yaa Hafiz Yaa Muhaimin. Kami bersyukur atas kewaspadaanMu terhadap diri kami, Yaa Baaqi Yaa Khabir, kekalkan kami dalam kewaspadaan sentiasa agar kami sentiasa dalam redhaMu.

V 123 : ASMAUL HUSNA ( 30. AL LATIF )

 AL LATIF  ( اللطيف )

 ALLAH Yang Maha Lembut membawa erti hasil ciptaanNYA Maha Halus, setiap takdir ke atas manusia penuh kebaikan dan hikmah dan ALLAH melihat sesuatu dengan penuh lembut dan halus. ALLAH Yaa Latif juga melayan hamba-hambaNYA dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. KelembutanNYA dapat dirasai ketika dimaafkan segala kesalahan kita ketika kita memohon ampun, dimakbulkan segala keperluan ketika kita memohon, diselamatkan dari bala bencana ketika kita memohon perlindungan dan kata-kata yang lembut oleh manusia sekeliling kita apabila dialirkan kelembutanNYA.

 Penghayatan Al Latif di dalam diri sebagai seorang khalifah mampu menjadikan seseorang itu bersikap lemah-lembut sesama manusia kerana fitrah manusia sukakan kelembutan dan tidak selesa dengan kekasaran. Kelembutan itu dapat digambarkan melalui kata-kata dan tingkah laku yang sopan serta sikap suka memaafkan, menerima kelemahan dan bertolak ansur.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Latif, sesungguhnya Engkau Maha Lembut, kelembutanMu dapat kami rasakan ketika Engkau memberi apa saja yang kami perlukan dalam hidup ini walaupun kami ini hamba yang dhaif dan penuh kelemahan. KelembutanMu juga sentiasa kami rasakan ketika Engkau sentiasa membuka ruang bagi kami untuk bertaubat atas segala kesilapan dan dosa yang kami lakukan samada sengaja kerana kalah dengan hawa nafsu kami mahupun tak sengaja kerana kelalaian dan kejahilan kami.

 KelembutanMu juga tergambar di sebalik kelembutan layanan suami/isteri, anak-anak dan orang-orang sekeliling kami yang sebenarnya sifat kelembutan kurniaanMu Yaa Latif. Allahumma Yaa Latif, lembutkan hati kami yang keras ini, yang sering berpaling dari arahanMu, yang sering mengulang-ngulang laranganMu, yang tak dapat merasa khusyuk ketika solat, tak dapat bangkit di pagi hari walau esok mungkin hari kami akan mengadapMu.

Khamis, 21 Januari 2021

V 122 : ASMAUL HUSNA ( 29. AL ‘ADL )

 AL ‘ADL   ( العدل )

 ALLAH Yaa ‘Adl bersifat Yang Maha Adil kepada makhlukNYA. Seseorang tidak akan dirugikan dan akan dibalasi mengikut apa yang dia kerjakan. Jalan keburukan yang dilalui oleh manusia akan dibalas dengan adil oleh ALLAH Yaa ‘Adl. Manusia harus menerima pengadilan ALLAH Subhanahu Wata'ala dengan penuh rasa nikmat kerana kasih sayangNYA menyelamatkan kita daripada bencana. Keadilan ALLAH tidak mampu ditafsirkan oleh manusia. Seringkali apa yang disukai ALLAH tidak disukai manusia dan apa yang dibenci ALLAH Subhanahu Wata'ala disukai pula oleh manusia. Beringat sentiasa bahawa setiap pengadilan ALLAH itulah yang paling adil dan baik untuk manusia dan terimalah ianya dengan redha penuh rasa nikmat.

 Manusia harus menghayati sifat Al ‘Adl agar berlaku adil kepada semua orang tanpa memilih atau memihak kepada orang-orang tertentu serta tidak mengikut hawa nafsu dalam memberi keadilan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa ‘Adl, sesungguhnya Engkau Maha Adil, mengadili setiap hambaMu sehingga setiap zarah kebaikan Engkau hargai dan ganjari, setiap zarah kejahatan juga Engkau adili seadil-adilnya sehingga tiada siapa yang teraniaya dan dizalimi olehMu. Engkau Yaa ‘Adl mengurniakan Syurga abadi bagi hamba-hambaMu yang beriman yang menyibukkan diri dengan amal soleh di dunia ini. Bagi yang memilih kekufuran dan kesenangan dunia yang fana’ ini, Engkau limpahkan sebanyak-banyaknya kurniaanMu di dunia ini sehingga mereka tidak dapat menuntut lagi di Akhirat, di sana mereka menemui Neraka yang menyala-nyala sebagai balasan atas kekufuran mereka.

 Engkau juga Yaa ‘Adl membalas dengan penuh keadilan bagi hamba yang Engkau uji dengan kesakitan, ujian dan musibah yang beriskap redha dan sabar dengan ganjaran pahala yang melimpah ruah. KeadilanMu sentiasa dapat dilihat ketika Engkau memberikan rezekiMu yang mulia kepada hamba-hambaMu yang melalui pelbagai kepayahan dan keperitan hidup.

 Golongan miskin di dunia ini Engkau izin memasuki Syurga Akhirat terlebih dahulu dari golongan kaya kerana setiap sen kekayaanMu yang dipinjamkan kepada hambaMu akan diadili seadil-adilnya. Setiap ibubapa akan diadili setiap anak-anaknya, apakah didikan yang diberikan, setiap suami akan diadili akan tanggungjawab memimpin keluarganya ke syurga, setiap majikan akan diadili tanggungjawab terhadap pekerjanya dan setiap saat kehidupan ini akan disoal siasat dan diadili apakah yang dia lakukan di dunia ini. Yaa Allah Yaa ‘Adl, selamatkan kami di hari keadilanMu nanti, di mana hakim yang akan mengadili kami adalah Engkau Yaa Hakam Yaa ‘Adl, tiada siapa yang dapat menolong kami melainkanMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Tawwab Yaa Wahhab Yaa Karim.

V 121 : ASMAUL HUSNA ( 28. AL HAKAM )

AL HAKAM  ( الحكم )

 ALLAH Yaa Hakam Yang Maha Menghukum mempunyai ketetapan hukum terhadap manusia. ALLAH menetapkan hukum untuk kebaikan manusia dan agar manusia mengikut jalan yang benar. Tiada siapa yang boleh menghalang dan mengingkari hukuman ALLAH Subhanahu Wata'ala. Manusia harus menerima apa sahaja hukum ALLAH Subhanahu Wata'ala sebagai anugerah dan nikmat, bukan bencana. Manusia harus membaca keputusan hukuman ALLAH sebagai satu ujian, satu proses pembersihan dosa-dosa manusia dan menerima penderitaan sebagai pengubatan, serta redha di atas segala ketentuan ALLAH Subhanahu Wata'ala.

 Penghayatan kepada sifat ALLAH Al Hakam akan melahirkan manusia yang redha, tenang dan berusaha tanpa putus asa bagi mengatasi segala kesulitan dan bencana yang dikurniakan oleh ALLAH Yaa Hakam.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Hakam Yang Maha Menetapkan Peraturan dan Menetapkan hukuman, Engkau menetapkan peraturan dan landasan iman, Islam dan ihsan sebagai peraturan hidup hambaMu. Sekiranya hidup mengikut peraturan lain, maka hukuman akan dikenakan. Sekiranya hati tidak beriman dan tidak yakin kepada Allah Yaa Razzaq telah menjamin rezeki dunia, sebaliknya leka dan terus bermati-matian bersungguh-sungguh mengejar rezeki dunia kerana lebih yakin kepada ikhtiar sendiri, maka hukuman Yaa Hakam adalah kekecewaan dunia dan akhirat.

 Sekiranya hati tidak beriman kepada Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam iaitu dengan meninggalkan cara dan peraturan hidup sederhana yang telah ditunjuki oleh Baginda, hukuman Yaa Hakam adalah kesibukan dunia yang memenatkan dan tiada kesempatan untuk ibadah kepada Allah, terjebak dalam riak dan ujub, menjadi muflis apabila segala amalan menjadi debu yang berterbangan. Allahumma Yaa Hakam yang menetapkan peraturan iman, Islam dan ihsan untuk hidup kami sebagai abdi dan khalifahMu, tundukkan kami kepada peraturanMu Yaa Qohhar, pimpin kami atas landasan iman, Islam dan ihsan Allahumma Yaa Haadi, perhatikan kami dan awasi kami serta cegahlah kami agar kami tidak tergelincir dari ketiga-tiga landasan ini Allahumma Yaa Bashir Yaa Khobir Yaa Raqib. Sekiranya kami tersasar dan Engkau Yaa Hakam Yaa Latif Yaa Halim menghukum kami di dunia ini dengan hukuman yang penuh kelembutan dan kesantunan, kami redha Yaa Allah, asalkan saja kami terselamat dari hukuman NerakaMu Yaa Muntaqim.

 

V 120 : ASMAUL HUSNA ( 27. AL BASHIR )

AL BASHIR ( البصير )

 ALLAH Yaa Bashir Yang Maha Melihat. DIA melihat setiap perbuatan manusia dan menghitung setiap perbuatan tersebut. Tiada sesuatupun yang boleh lari daripada pandangan dan perhatian ALLAH.

 Manusia yang mengenali ALLAH Yaa Bashir akan sentiasa berwaspada atas apa sahaja tindakan dan aktiviti yang ingin dilakukan kerana sudah pasti ALLAH melihat walaupun manusia lain tidak melihat. Manusia yang mengamalkan sifat Al Bashir akan sentiasa melihat nasib dan masalah orang lain dan membantu manusia menyelesaikan masalah hidup.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Bashir Yang Maha Melihat, Engkau melihat hambaMu setiap saat apa yang kami perlukan dalam hidup ini, Engkau Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wahhab Yaa Karim terus memberi, seringkali tanpa perlu kami meminta-minta kepadaMu. Engkau melihat segala ibadah kami kepadaMu, segala akhlak kami zahir dan batin, Engkau melihat segala perbuatan kebaikan kami dan Engkau Yaa Muhshi Yaa Hasib terus mencatat dan menghisab untuk diganjari dengan ganjaran berlipatganda di Syurga nanti.

 Engkau juga Yaa Bashir sentiasa melihatku, ketika kami nyaris terjebak dengan dosa dan kejahatan, Engkau terus mewaspadakan kami Yaa Khobir dan sentiasa mengawasiku Yaa Roqib dari tipudaya syaitan dan nafsu. Yaa Bashir, Engkau sentiasa ada di sisi kami ketika kami kesunyian, keseorangan dan kesakitan, sudi menemani kami setiap saat.  Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin, Engkau sentiasa memberi kami kekuatan ketika Engkau melihat kami lemah, Engkau Yaa Salam memberi kami ketenangan ketika Engkau melihat kami kerisauan, Engkau Yaa Fattah memberi kami jalan keluar ketika Engkau melihat kami kebuntuan. Yaa Allah Yaa Baaqi Yaa Bashir kekalkan penglihatanMu terhadap kami yang lemah lagi hina ini, ketika kami tersasar, bimbinglah kami Yaa Nuur yaa Haadi Yaa Haq.

V 119 : ASMAUL HUSNA ( 26. AL SAMII’ )

AL SAMII’ ( السميع )

 ALLAH Yaa Samii’ Yang Maha Mendengar mendengar dan mengabulkan permintaan hamba-hambaNYA, mendengar keluhan serta puji-pujian kepadaNYA. ALLAH juga mendengar setiap rahsia yang disembunyikan oleh hamba-hambaNYA. DIA mendengar suara lidah dan suara hati dan DIA menghitungnya.

 Hamba ALLAH Yaa Samii’ akan sentiasa berhati-hati dalam bicaranya dan tindakannya kerana ALLAH mendengar semuanya, tiada suatu pun dapat lari dari pendengaranNYA. HAMBA Yaa Samii’’ menjadi pendengar yang baik kepada pandangan dan teguran orang disekitarnya dan juga keluhan hati mereka.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Sami', sesungguhnya Engkau yang Maha Mendengar, Engkau mendengar setiap bicara hati, rintihan, tangisan, rayuan, permintaan, harapan, cita-cita dan apa saja doa hambaMu yang merintih kepadaMu. Yaa Allah Yaa Sami', Engkau tidak pernah membezakan antara hamba-hambaMu yang miskin atau kaya, yang sihat atau sakit, yang muda atau tua, semuanya Engkau beri layanan yang sama tanda kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim.

 Yaa sami', dengarilah rintihan hambaMu ini di pagi yang mulia ini Yaa Karim, sesungguhnya kami ingin hidup sebagai abdi dan khadamMu yang sejati yang Engkau redhai, setiap saat kami ingin dalam ketaatan, tak mahu terjerumus dalam dosa dan kemurkaanMu. Yaa Sami' Yaa Mujib, dengarlah rayuan hambaMu ini, tunjuki kami jalan yang lurus Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq, kurniakan kami ilmu mengenalMu Yaa ‘Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, agar daku dapat mengasihiMu, kagum kepadaMu dan gerun kepadaMu.

 Yaa Sami', walau tiada siapa yang mendengar rintihan kami, kami yakin sepenuhnya Engkau tetap sudi mendengarnya. Yaa Sami', lepaskan kami dari tali perhambaan nafsu, manusia dan makhluk sebaliknya ikatkan kami dengan tali perhambaan hanya kepadaMu Yaa Ahad Yaa Wahid Yaa Somad dan kukuhkan tali ini Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin, kekalkan ikatan yang kuat ini Yaa Baaqi.

Rabu, 20 Januari 2021

V 118 : ASMAUL HUSNA ( 25. AL MUDZIL )

 AL MUDZIL ( المذل )

 ALLAH Yaa Mudzil Yang Maha Menghinakan berhak dan berkuasa menghinakan seseorang dan tiada siapa yang terlepas daripadaNYA. Sekiranya dihina ALLAH, tiada siapa yang dapat memuliakannya. ALLAH Yaa Mudzil menghina manusia yang melampaui batas, zalim, mementing diri sendiri dan sombong. ALLAH Subhanahu Wata'ala juga menghina manusia ketika mereka menjauhiNYA, melakukan laranganNYA dan tidak menghiraukan perintahNYA dan ketika manusia lebih takut kepada manusia daripada murka ALLAH Subhanahu Wata'ala.

 Hamba ALLAH Yaa Mudzil akan sentiasa mendekatkan diri dengan ALLAH, mengerjakan perintahNYA dan menjauhi laranganNYA. Hamba Yaa Mudzil juga adalah manusia yang merendah diri sesama manusia dan mengganggap manusia itu sama dan tidak boleh membangga diri.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muiz Yaa Mudzil, sesungguhnya Engkau Maha Memuliakan dan Menghinakan. Setiap kemuliaan, pujian, anugerah adalah kurniaanMu Yaa Muiz sebagai tanda Engkau memuliakan dan menghargai setiap pengorbanan hambaMu dan Engkau juga memuliakan kami pada pandangan mata manusia agar dengan kemuliaan ini, kami mampu mengajak manusia kepada jalanMu, namun kadangkala kemuliaanMu itu membuat kami lalai dan datangnya riak dan ujub apabila manusia mula mengagumi kami, maka Engkau Yaa Mudzil mendatangkan peristiwa kehinaan, fitnah dan keaiban kepada kami agar menginsafi bahawa diri kami ini dicipta dari tanah yang hina. Tanpa kemuliaan kurniaanMu Yaa Muiz, kami akan hina dan dipandang hina. Kehinaan yang Engkau kurniakan kepada kami juga akan mengelakkan manusia mengagungkan dan memuja kami kerana yang hanya layak dipuja adalah Engkau Yaa Hamid Yaa Dzal Jalaa liwal ikhram Yang Maha Terpuji dan Pemilik Seluruh Kemuliaan Dan Keagungan di alam buana ini. Yaa Allah Yaa Muiz Yaa Mudzil, kurniakan kami rasa syukur dan redha atas setiap peristiwa yang memuliakan kami mahupun yang menghinakan kami, kami tidak mengharapkan kemuliaan manusia, kami hanya mengharapkan kemuliaan disisiMu di akhirat nanti, kurnia kami kekuatanMu Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin dalam mengharungi kehidupan ini.

V 117 : ASMAUL HUSNA ( 24. AL MU’IZ )

AL MU’IZ ( المعز )

 Kemuliaan itu milik ALLAH Yaa Mu’iz Yang Maha Memuliakan dan DIA memberikan kepada sesiapa yang DIA kehendaki dan DIA memberi kepada utusanNYA dan orang-orang yang beriman. DIA juga boleh menarik balik kemuliaan itu dengan menghinakan. Orang-orang yang menjadi hamba dunia, pangkat dan wang tidak akan mendapat kemuliaan dari Yaa Mu’iz.

 Hamba kepada Yaa Mu’iz mempunyai keyakinan diri, harga diri yang tinggi dan hidup berdikari menggunakan seluruh potensi yang ada pada diri untuk kebaikan manusia sejagat. Dengan mempercayai pertolongan ALLAH Yaa Mu’iz, kekuatan luar biasa akan terserlah dan kemenangan akan dicapai. Hamba Yaa Mu’iz juga senang memuliakan orang lain serta menebarkan cinta dan kasih sayang sesama manusia.

V 116 : ASMAUL HUSNA ( 23. AL RAFI' )

 AL RAFI’ ( الرافع )

 ALLAH Yaa Rafi’ Yang Maha Meninggikan atau Mengangkat mampu meninggikan seseorang mengikut pilihanNYA. DIA mampu meninggikan seseorang samada semasa hidup atau selepas mati. Perjuangan manusia semasa hidup akan dinikmati oleh generasi akan datang sementara kemaksiatan juga akan menghinakan generasi akan datang.

 Hamba Yaa Rafi’ sentiasa sedar bahawa ada kuasa yang sentiasa mengendalikan hidupnya dan apabila diuji, dia yakin bahawa selepas kesukaran pasti ada kemudahan. Apabila dihina oleh manusia, dia juga yakin bahawa ALLAH Yaa Rafi’ akan meninggikan darjat selagi mana dia bertaqwa kepadaNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Khofidh Yaa Rofi', sesungguhnya Engkau Maha Menjatuhkan dan Maha Menaikkan. Setiap kejatuhan samada jatuh jawatan, jatuh bisnes, jatuh status dan sebagainya, semuanya itu perbuatanMu Yaa Allah Yaa Khofidh. Engkau menjatuh kami kerana kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim kepada kami kerana ketika berada di atas kami sering lalai kepadaMu, sombong, riak dan ujub, dan kejatuhan itu membuat kami insaf diri kami yang dhaif dan lemah serta hina ini Yaa Allah.

 Kejatuhan itu juga merupakan kerihatan dari tanggungjawab yang berat yang mana Engkau mengetahui betapa penatnya kami selama ini, kejatuhan itu memberi kami peluang mendekatkan diri kepadaMu untuk mencari secebis cintaMu Yaa Wadud. Di sebalik setiap kejatuhan di sisi manusia merupakan kenaikan olehMu Yaa Rofi' di sisiMu, masukkan rasa redha dan syukur Yaa Qodir Yaa Muqtadir Yaa Syakur dalam jiwa kami atas setiap peristiwa kejatuhan yang Engkau Yaa Khofidh datangkan dalam hidup kami.

V 115 : ASMAUL HUSNA ( 22. AL KHOFIDH )

AL KHOFIDH ( الخافض )

 ALLAH Yaa Khofidh Yang Maha Merendahkan atau Menjatuhkan berhak merendahkan atau menghinakan makhlukNYA sekiranya DIA merasakan perlu bagi memberi peringatan kepada hambaNYA yang lalai. ALLAH Yaa Khofidh juga mampu menghinakan tempat kembali hamba-hambanya di Akhirat, iaitu di Neraka disebabkan oleh dosa-dosa. Orang yang dipandang hina oleh manusia mungkin dipandang mulia oleh ALLAH Subhanahu Wata'ala di sisiNYA dan sebaliknya.

 Manusia harus berhati-hati dalam mempergunakan amanah ALLAH Subhanahu Wata'ala dalam bentuk kemuliaan seperti harta, pangkat, anak-anak kerana DIA Yaa Khofidh boleh merendahkan pada bila-bila masa. Menghayati nama Yaa Khofidh, seseorang itu tidak akan menghina sesama makhluk apatah lagi manusia, terutamanya orang-orang miskin yang dimuliakan ALLAH.



V 114 : ASMAUL HUSNA ( 21. AL BASITH )

 AL BASITH ( الباسط )

 ALLAH Yaa Basith Yang Maha Melapangkan mampu melapangkan rezeki seseorang setelah disempitkanNYA. ALLAH Subhanahu Wata'ala melapangkan rezeki seseorang mengikut keperluan dan kesesuaian. Di sebalik kelapangan itu tersirat ujian daripada ALLAH Subhanahu Wata'ala. Setiap kelapangan harus diiringi dengan syukur, menafkah sebahagiannya dan alat untuk mendekatkan diri kepadaNYA. Hamba ALLAH Yaa Basith adalah orang yang yakin diri, mempunyai harga diri dan berdikari. Mereka berusaha tanpa henti mengejar cita-cita, cekal dan sabar. Hamba Yaa Qobidh suka melapangkan orang lain, memberi apa yang ada padanya demi menolong orang yang memerlukan.

 Kita harus mentauladani Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam yang menjadikan hidup dan hartanya diabdikan untuk kepentingan manusia, keselamatan dunia dan akhirat. Orang yang dilapangkan pangkat dan kekuasaan menggunakannya untuk membantu orang lain menyelesaikan masalah hidup. Ingatlah kelapangan itu adalah amanah yang akan dipersoalkan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Qobidh Yaa Basith, sesungguhnya Engkau Maha Menyempitkan dan Maha Melapangkan. Engkau menyempitkan kami kerana kasihMu kepada kami agar sentiasa ingat kepadaMu dan ketika kami datang merintih kepadaMu, Engkau melapangkan kami. Yaa Basith, kami insaf Yaa Allah Yaa Qobidh, nafsu ini seringkali tersasar dari jalan kebenaranMu, hanya dengan sedikit kesempitan, ia akan tunduk dan kembali kepadaMu memohon ampun dan taubat, Yaa Affuw Yaa Ghaffar Yaa Tawwab. Ketika kami sihat, kesihatan itu membuat kami melupakanMu dan hari Akhirat, Engkau Yaa Qobidh menyempitkan kami sedikit dengan kesakitan, maka sakit itu tanda Engkau akan melapangkan akhirat bagi kami.

 Ketika wang ringgit membuat kami lalai dan membazir, Engkau Yaa Qobidh menyekat wang ringgit seketika agar kami bermuhasabah dan insaf diri agar wang ringgit itu tidak dikalungkan ke leher kami menjadi kalungan api Neraka nanti. Yaa Allah Yaa Qobidh, ketika Engkau menyempitkan kami, kurniakan kami kesabaran. Yaa Sobur, kekuatan Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin, cahaya petunjukMu Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq dan kelapangan Yaa Basith. Dan ketika kami dilapangkan olehMu Yaa Basith, jadikan kami hamba yang bersyukur Yaa Syakur dan menggunakan segala kurniaanMu di jalan kebenaran dan kebajikan.



V 113 : ASMAUL HUSNA ( 20. AL QOBIDH)

 AL QOBIDH ( القابض )

 ALLAH Yaa Qobidh Yang Maha Menyempitkan mampu menggenggam, menyempitkan, menghalang. DIA mampu menyempitkan rezeki seseorang sekiranya DIA merasakan perlu sebagai peringatan dan hukuman kepada hambaNYA. DIA juga mampu menghalang atau menangguhkan seseorang daripada mendapat sesuatu seperti jawatan, harta, kasih sayang dan sebagainya, tetapi setiap ketentuan ALLAH Yaa Qobidh mempunyai kebaikan yang seringkali tidak mampu difikirkan oleh manusia. DIA juga menutup dosa hamba-hambaNYA dengan menyempitkannya.

 Hamba ALLAH Yaa Qobidh adalah seorang yang redha atas setiap ketentuanNYA dan mengambil pengajaran atas setiap yang berlaku, memohon ampun di atas setiap kesalahan yang disedarinya. Ketika diuji oleh ALLAH Yaa Qobidh, haruslah memerah tenaga dan akal untuk menghadapinya dengan usaha dan tawakkal. Setiap ujian yang diberikan untuk membuktikan nilai seseorang di sisi ALLAH Subhanahu Wata'ala. Dalam menghadapi ujian Yaa Qobidh, hendaklah bersikap redha dan tunjukkan kesenangan dengan ketentuanNYA dan memohon pertolonganNYA serta mengharapkan semata-mata dariNYA.



V 112 : ASMAUL HUSNA ( 19. AL 'ALIM)

 AL ‘ALIM ( العليم )

 ALLAH Yaa ‘Alim Yang Maha Mengetahui, mengetahui setiap sesuatu yang berlaku. DIA mengetahui perkara-perkara yang ghaib yang diluar jangkauan manusia dan DIA mengetahui setiap apa yang akan berlaku. Tiada sehelai daun pun yang gugur tanpa pengetahuanNYA. Ilmu ALLAH Yaa ‘Alim sangat hebat. Kehebatan ilmuNYA terserlah dalam kesempurnaan penciptaan makhlukNYA. Yaa ‘Alim memberikan ilmuNYA kepada sesiapa yang dikehendakiNYA. Hamba ALLAH Yaa ‘Alim akan membuka fikirannya untuk dialirkan Ilmu ALLAH Yaa ‘Alim untuk digunakan bagi kesejahteraan sejagat. Hamba Yaa ‘Alim juga rela menimba ilmu daripada ALLAH Subhanahu melalui makhluk-makhlukNYA tanpa merasa dirinya hebat dengan sedikit ilmu yang ALLAH Subhanahu Wata'ala berikan.

 IlmuNYA juga perlu disebarkan kepada orang lain agar dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan manusia dunia dan akhirat. Orang yang dikurniakan ilmu sewajarnya lebih takut kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala kerana mengetahui kehebatan dan sifat-sifatNYA. ALLAH Yaa ‘Alim mengarahkan kita mencari ilmuNYA bersungguh-sungguh dan tanpa henti serta di mana sahaja. Dalam mencari ilmu, kita harus merenungi, mengkaji, menganalisis dan mengamati serta mengambil pengajaran dari semua itu dan seterusnya sujud kepada ALLAH apabila dapat melihat kehebatan dan keagonganNYA melalui penciptaanNYA.

BICARA HATI

 Allahumma Yaa ‘Alim Yaa ‘Alim Yaa ‘Alim, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berilmu dan Maha Mengetahui. Seluruh ilmu pengetahuan di alam buana ini dan yang ada dalam otak manusia adalah ilmuMu, tiada satulah ilmu manusia. Kami hanya hambaMu yang jahil, tanpa ilmuMu, kami akan terus jahil. Engkau memberi ilmuMu kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. IlmuMu Engkau datangkan melalui pelbagai cara, melalui Al Quran, Hadis NabiMu, melalui ulama' Mu, ilham dalam hati manusia, melalui pengalaman kehidupan, melalui guru-guru yang Engkau alirkan ilmuMu, melalui pemerhatian di sebalik makhluk dan alam. IlmuMu meliputi alam ghaib dan alam zohir.

 Engkau Yaa “Alim memberi ilmu dan mengambil kembali ilmuMu dari otak manusia mengikut kehendakMu. Yaa ‘Alim, kurniakan kami ilmu mengenalMu agar dapat mengasihiMu, mengagumiMu dan gerun kepadaMu, oleh itu dapat kami hidup dalam redhaMu sentiasa.



V 111 : ASMAUL HUSNA ( 18. AL FATTAH)

 AL FATTAH ( الفتاح )

 ALLAH Yaa Fattah Yang Maha Membuka, membuka setiap yang tertutup. DIA membuka pintu rezeki, pintu penyelesaian segala masalah hidup, membuka pintu kasih sayang untuk yang hati tertutup, membuka minda dan pemikiran yang buntu dan tertutup dan membuka setiap sesuatu yang tertutup yang diperlukan oleh manusia. DIA juga mampu membuka jalan ke arahNYA dengan membuka pintu misteri dan keajaiban untuk manusia lebih dekat denganNYA dengan membuka pintu hati dan akal.

 Kekuatan Al Fattah yang ada dalam diri manusia mampu menjadikan manusia sentiasa berusaha memecah pelbagai kesulitan yang dihadapi. Hamba kepada Yaa Fattah mempunyai hati dan fikiran yang jernih yang mampu menerima pandangan orang lain, sentiasa positif kerana yakin Yaa Fattah akan sentiasa membuka jalan bagi hamba-hambaNYA yang menyerah diri dan bersandar kepadaNYA, tidak pernah mengenal erti putus asa.

 ALLAH Yaa Fattah bersifat Maha Membuka sentiasa membuka ruang pengampunan dan taubat kepada hamba yang beriman. Keterbukaan ini dapat dilihat apabila ALLAH Subhanahu Wata'ala detikkan manusia beriman untuk bermunajat di malam hari memohon keampunan dan membuka pintu berdampingan denganNya di malam hari. ALLAH Yaa Fattah lah yang merungkaikan kesulitan yang manusia alami, membuka kesempitan dan keresahan. ALLAH Yaa Fattah sentiasa membiarkan pintu ke jalan yang benar terbuka luas kerana ALLAH YAA WAASI' YAA BASITH Maha Luas Maha Melapangkan.

 Hamba yang beriman kepada ALLAH  Yaa Fattah akan menzahirkan fitrah keterbukaan ini, mewujudkan suasana 'welcoming' kepada manusia sekeliling. Hubungan sesama manusia terutama yang mempunyai matlamat sama iaitu memperjuangkan agama dan membantu ummah sentiasa dipandang positif. Bukakan persepsi matahati supaya tiada rendah-merendah, benci-membenci timbul. Bersifat terbukalah kepada semua orang yang didatangkan ALLAH Subhanahu Wata'ala kepada kita, pasti ada agenda ALLAH Subhanahu Wata'ala yang tersirat di situ samada berbentuk tugasan atau ujian. Bersifat terbuka merupakan sunnah Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam hatta kepada orang buta yang membenci Baginda.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Fattah Yaa Fattah Yaa Fatah, sesungguhnya Engkau Yang Maha Membuka, Engkau yang membuka langit yang terbuka luas, 7 lapisan langit yang mempunyai rahsia keagunganMu Yaa Adzim yang hanya Engkau yang mengetahui Yaa Alim. Engkau juga Yaa Fattah membuka pintu Syurga kepada hamba-hamba yang Engkau Yaa Rahman Yaa Rahim redhai, membuka pintu Neraka bagi hamba yang engkar kepadaMu yang Engkau murkai.

 Engkaulah Yaa Fattah yang membuka laluan yang luas di atas titian sirat kepada para Nabi dan Rasul serta pengikutnya yang taat, Engkau juga membuka laluan yang sempit yang nipisnya lebih nipis dari rambut dibelah tujuh dan lebih tajam dari mata pedang yang paling tajam.

 Yaa Allah Yaa Fattah Yaa Haq, bukalah jalan kebenaran bagi kami di dunia ini, Yaa Fattah Yaa Mukmin, bukalah jalan keimanan kepada kami, Yaa Fattah Yaa Barr, bukalah jalan kebaikan kepada kami, Yaa Fattah Yaa Rahman Yaa Rahim, bukalah jalan kasih sayangMu kepada kami. Yaa Fattah, bukalah hijab yang menghijab antara kami denganMu selama ini. Yaa Fattah Yaa Wasi’, bukalah minda kami seluas langit dan bumi untuk menerima ilmuMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid sederas tsunami. Yaa Fattah, buka lah pintu hati suami/isteri kami untuk bangun di pagi-pagi hari sujud rukuk kepadaMu sebagaimana Engkau buka pintu hati kami. Yaa Fattah Yaa Wadud, bukalah jalan kekasih dan pencintaMu kepada kami agar kami dapat mencintai dan merinduiMu Yaa Allah.



V 110 : ASMAUL HUSNA ( 17. AL RAZZAQ )

 AL RAZZAQ ( الرزاق )

 ALLAH Yaa Razzaq Yang Maha Pemberi Rezeki, memberi rezekiNYA kepada setiap makhlukNYA. Setiap makhluk samada manusia, tumbuh-tumbuhan atau binatang sudah tersedia rezeki masing-masing. Rezeki ALLAH Subhanahu Wata'ala dalam pelbagai bentuk. Terdapat rezeki dalam bentuk keperluan duniawi seperti makan-minum, wang ringgit, rumah, kenderaan dan sebagainya. Terdapat juga rezeki dalam bentuk ukhrawi iaitu ilmu mengenal ALLAH Subhanahu Wata'ala dan Syurga. Rezeki juga merupakan ujian daripada ALLAH Subhanahu Wata'ala. ALLAH Subhanahu Wata'ala memerintahkan kita untuk menafkahkan sebahagian daripada rezekiNYA kepada orang yang memerlukan.

 Penghayatan sifat Al Razzaq akan melahirkan manusia yang bekerja dan berdikari. Manusia yang inovatif, suka membuat perkara-perkara baru dan perubahan dalam kehidupan tetapi semuanya berlandaskan hukum syariat ALLAH Subhanahu Wata'ala. Sekiranya diperlukan, keluarlah merantau mencari rezeki dari seluruh pelusuk dunia kerana kepunyaan ALLAH Subhanahu Wata'ala perbendaharaan langit dan bumi.

 Setiap rezeki yang diterima harus disyukuri setiap masa dan setiap yang hilang harus diredhai juga. Semuanya hanyalah pinjaman daripada ALLAH yang akan dihisab setiap satu amanah yang diberikanNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Razzaq Yaa Razzaq Yaa Razzaq, sesungguhnya Engkau Maha memberi Rezeki, Engkau memberi rezekiMu kepada kami dalam pelbagai bentuk, ilmu-ilmu yang bermanfaat dan berkat, kesihatan yang bermanfaat dan berkat, hartabenda yang bermanfaat dan berkat, wang ringgit yang bermanfaat dan berkat, pangkat, gelaran dan kemasyuran yang bermanfaat dan berkat, keluarga yang baik. Daku bersyukur atas kurniaan rezekiMu Yaa Wasi' yang sangat luas dan tidak bertepi dan tidak terhitung.

 Yaa Syakur Yang Maha Menghargai, jadikan kami hamba yang sering mensyukuri nikmat-nikmatMu. Maafkan kami Yaa Affuw kerana seringkali meminta-meminta kepadaMu, tetapi nikmat rezeki yang melimpah ruah yang sedang kami nikmati ini seringkali kami lupa untuk mengungkapkan terima kasih dan syukur kepadaMu. Yaa Allah Yaa Zohir, nampakkan sentiasa rezekiMu yang mengalir pada diri kami agar kami mampu memujiMu Yaa Hamid dan mensyukuriMu Yaa Syakur, membesar-besarkanMu Yaa Kabir Yaa Mutakabbir dan mengagungkanMu Yaa Adzim.

 Allahumma Yaa Razzaq Yaa Razzaq Yaa Razzaq, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memberi rezeki kepada hamba-hambaMu, sesungguhnya tiada sezarah pun rezeki melainkan semuanya datang dariMu, manusia hanyalah alatMu semata-mata dalam mengalirkan rezekiMu.

 Sesungguhnya rezekiMu yang paling mulia disisiMu adalah ilmu makrifatullah, dengan ilmuMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, kami mengenalMu. Apabila pancaran cahaya makrifatMu Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq memancar dalam jiwa kami, leburlah wujud daya diri kami, terpancarlah dengan terang nama-nama dan sifat-sifatMu pada cermin hati kami. Dengan mengenalMu, hati kami akan kasih kepadaMu apabila mengenal kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim, kagum kepada kebijaksanaanMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, kreativitiMu Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir, gerun kepada azabMu Yaa Muntaqim Yaa Dharru Yaa Hakam Yaa Adl.



V 109 : ASMAUL HUSNA ( 16. AL WAHHAB )

 AL WAHHAB ( الوهاب )

 ALLAH Yaa Wahhab Yang Maha Memberi, memberi apa yang diperlukan oleh manusia tanpa meminta balasan dan seringkali ALLAH Subhanahu Wata'ala memberi tanpa manusia meminta. KebaikanNYA tidak putus-putus mengalir kepada manusia. Kadang-kadang pemberianNYA dalam bentuk kesusahan atau kemiskinan, namun jika itu memberi kebaikan kepada kita, bersikaplah redha dan berlapang dada. Mungkin kesenangan dan kekayaan akan melalaikan kita, oleh kerana itu ianya dijauhi oleh ALLAH Subhanahu Wata'ala. Panjatkan sentiasa rasa bersyukur atas setiap pemberianNYA.

 Al Wahhab sebagai vitamin jiwa akan membangkitkan semangat sentiasa ingin memberi kepada orang lain, termasuk membahagiakan dan menggembirakan orang lain serta mengurangkan derita orang lain. Manusia perlu bekerja keras memajukan ummah, membantu orang-orang yang susah dan memerlukan. Walau kita dalam keadaan lapang mahupun sempit, kita perlu memberi apa sahaja yang kita miliki.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Wahhab Yang Maha Menolong, sesungguhnya Engkaulah yang selama ini menolong diri kami. Engkau Yaa Wahhab menolong kami dengan memberiku roh yang dihiasi dengan sifat-sifat mulia rabbaniah. Engkau Yaa Wahhab memberi makan kepada kami sejak di dalam rahim ibu kami, Engkau menolong mendegupkan jantung kami sejak dari dalam rahim ibu kami sehingga ke saat ini. Engkau menolong kami dengan mengajar menghisap susu, makan, merangkak, berdiri, berjalan sehingga berlari, menolong kami membuang najis dalam tubuh kami, membunuh kuman yang menjangkiti kami, mengeluarkan karbon dioksida dalam tubuh kami dan memasukkan oksigen dalam tubuh kami. Yaa Wahhab, Engkau juga menolong kami untuk melangkah ke alam persekolahan, Engkau menolong kami waktu kepayahan menghadapi zaman remaja dan persekolahan kami. Engkau juga menolong kami mendapatkan pekerjaan dan rezekiMu dalam bentuk wang ringgit, hartabenda, pakaian, makanan, rumah dan kenderaan.

 Allahumma yaa Wahhab, sebegitu banyak dan tidak terbilang kurniaanMu, namun kami masih tidak mampu dan sangat berat bagi kami menyebut nama-namaMu dan memujiMu, masih berat untuk kami sujud dan rukuk kepadaMu, masih berat bagi kami berkorban untukMu menolong anak-anak yatim, fakir miskin dan orang yang memerlukan, masih berat untuk kami berdakwah di jalanMu. Yaa Allah Yaa Wahhab, hinanya diri kami, derhakanya diri kami kepadaMu, terus menerus tenggelam dalam kemungkaran, malasnya diri kami untuk berkorban untukMu, menumpang bumiMu tetapi tiada adab denganMu, duduk berlindung di bawah langitMu, menikmati cahayaMu dan menghirup udaraMu, namun melupaiMu, malas menyebut-nyebut namaMu, malahan membalas kebaikanMu yang tak terbilang itu dengan perbuatan mengumpat, mengata, membenci dan pelbagai dosa lagi.

 Yaa Allah Yaa Wahab, pada pagi ini kami malu untuk berhadapan denganMu yang Maha Mulia lagi Suci, Yaa Karim Yaa Quddus Yaa Jalil, sekiranya boleh, kami ingin menyebut namaMu tanpa henti, sujud kepadaMu tanpa bangkit, menangis dihadapanMu tanpa henti, mengadapMu tanpa menoleh kiri dan kanan, namun hanya Engkau jua Allahumma Yaa Wahhab yang boleh memberi kami daya upaya untuk melakukan semua itu, oleh itu kami menyerahkan jiwa raga kami, seluruh anggota tubuh kami, wang ringgit, harta, jawatan yang ada pada kami untuk Engkau bimbing kami Yaa Haadi untuk digunakan atas kebaikan dan keredhaanMu, bantu kami Yaa Wahhab untuk terus berzikir mengingatMu, mencintaiMu, berkorban untukMu. Terima kasih Yaa Wahhab atas segalanya.



Isnin, 18 Januari 2021

V 108 : ASMAUL HUSNA ( 15. AL QOHHAR )

 AL QOHHAR ( القهار )

 ALLAH sebagai Al Qohhar Yang Maha Menundukkan, menundukkan orang kafir dengan kejelasan tanda-tanda kebesaranNYA, menundukkan yang ingkar dan yang mungkar dengan kekuasaanNYA, menjinakkan para pencintaNYA sehingga bergembira di hadapan pintu RahmatNYA, menundukkan panas dengan dingin, menggabungkan kering dengan basah, mengalahkan besi dengan api, memadamkan api dengan air, memberi manusia apa yang tidak diinginkan dan menghalanginya daripada apa yang diingini.

 Ketika manusia berdegil tidak mematuhi perintah ALLAH, ALLAH Yaa Qohhar akan menghukum agar manusia kembali ke jalan ALLAH.

 Hamba yang menghayati sifat Al Qohhar akan aktif, produktif dan inovatif dalam hidupnya, tak pernah menyusahkan orang lain kerana mereka yakin suntikan vitamin Al Qohhar dalam jiwa mereka adalah sumber kekuatan luar biasa bagi mengharungi hidup yang sukar di dunia ini, dan mereka bertawakkal kepadaNYA kerana yakin ALLAH Subhanahu Wata'ala akan membantu dan menolongnya.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Qohhar, Yaa Qohhar, Yaa Qohhar, sesungguhnya Engkau Maha menundukkan, Engkaulah yang menundukkan matahari kepadaMu dan memancarkan cahayaMu ke bumi. Engkau menundukkan planet-planet sehingga ia beredar di atas orbitnya dengan patuh sekali, bulan dan matahari silih berganti menjalankan tugasnya malam dan siang tanpa terlambat sesaatpun.

 Engkau Yaa Qohhar menundukkan para malaikatMu, ada yang sujud kepadaMu selama-lamanya. Engkau Yaa Qohhar juga mampu menundukkan manusia untuk rukuk dan sujud kepadaMu, Engkau menundukkan ego, kesombongan, ketakburan manusia, sesungguhnya tiada sesuatupun yang tak boleh ditundukkan olehMu Yaa Qohhar.

 Allahumma Yaa Qohhar, tundukkan nafsu makan kami yang seringkali berlebih-lebihan, nafsu tidur kami yang seringkali melebihi had, nafsu membeli-belah yang seringkali membazir, nafsu berborak yang seringkali tersasar, nafsu bermewah yang seringkali mendatangkan kemarahanMu. Tundukkan diri ini kepadaMu di pagi hari kerana mungkin esok kami terbaring dalam keranda tanpa boleh rukuk dan sujud lagi kepadaMu.



V 107 : ASMAUL HUSNA ( 14. AL GHOFFAR)

 AL GHOFFAR ( الغفار )

 ALLAH Yaa Ghaffar Yang Maha Pengampun mengampunkan dosa-dosa hambaNYA walaupun dosa itu seluas buih di lautan, sebanyak pasir di pantai. DIA mengampunkan kesalahan hambaNYA walaupun setiap kali melakukan kesalahan, memohon ampun namun diulangi balik kesalahan itu, maka memohon ampun lagi dan kemudian diulangi dan begitulah seterusnya. Walau banyak kali melakukan kesalahan tapi setiap kali melakukan kesalahan akan memohon ampun dan bertaubat dan berazam meninggalkan kesalahan tersebut, pasti akan diampunkan oleh ALLAH Yaa Ghaffar.

 Menghayati sifat Yaa Ghaffar akan melahirkan manusia pemaaf yang mudah memaafkan manusia lain. Hamba Al Ghaffar akan mudah menerima kelemahan dan kekurangan orang lain dan bersedia memaafkan kesalahan dan kelemahan tersebut. Ini akan membuatkan seseorang tidak mudah putus asa dan merasa rendah diri dalam menjalani kehidupan seharian.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Ghaffar, Yaa Ghaffar, Yaa Ghaffar, sesungguhnya Engkau yang Maha Pengampun, ampunkan dosa-dosa kami, sesungguhnya Engkau mengampunkan dosa hambaMu walau seluas buih di lautan dan sebanyak pasir di pantai. Walau kami bawa dosa setinggi gunung, tinggi lagi keampunanMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Aliy, walau dosa kami seluas langit dan bumi, luas lagi keampunanMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Wasi'. Sesungguhnya Engkau sentiasa menunggu kami datang kepadaMu di pagi-pagi hari menangis di hadapanMu. Kami datang kepadaMu dalam sujud dan rukuk kami bersama airmata menangis dan merintih kepadaMu Yaa Ghaffar Yaa Sami' Yaa Mujib memohon keampunanMu atas atas segala dosa-dosa kami yang banyak, yang tidak disengajakan mahupun yang disengajakan.

 Yaa Rahman Yaa Rahim, kasihanilah kami, tiada erti hidup ini, kekayaan ini dan hartabenda ini tanpa keampunan dan redhaMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Rahman Yaa Rahim.



V 106 : ASMAUL HUSNA ( 13. AL MUSOWWIR)

 AL MUSOWWIR ( المصور )

 ALLAH Yaa Musowwir Yang Maha Merekabentuk, merekabentuk alam semesta dan semua makhlukNYA dengan cantik dan sempurna serta penuh keunikan dan amat kreatif. Maha Kreatif ALLAH Yaa Musowwir mencipta alam yang berwarna warni ini, pelbagai bentuk planet dan bintang, pelbagai gerakan alam yang menghasilkan pelbagai jenis cuaca, pelbagai rupabentuk gunung dan bukit, air terjun yang pelbagai rupa, pokok dan binatang yang berjuta jenis, kuman dan virus yang pelbagai, jenis tanah yang pelbagai, bisnes yang pelbagai, produk dan perkhidmatan yang pelbagai, pendekatan, teknik dan strategi yang pelbagai, rakan, sahabat, lawan, musuh yang pelbagai jenis, nikmat syurga yang pelbagai, azab neraka yang pelbagai, jin yang pelbagai jenis, syaitan yang pelbagai jenis kejahatan, penjahat dan pendosa yang pelbagai, pelbagai jenis perbuatan baik dan amal soleh, jutaan cara amalan asmaulhusna dalam kehidupan, pelbagai teknik untuk solat kusyuk, pelbagai jenis bidang ilmu, penyelidikan, pelbagai jenis ujian hidup, pelbagai jenis penyakit, pelbagai jenis stres. Sungguh tidak mampu diungkapkan kreatifnya ALLAH Yaa Musowwir.

 Setiap kreativiti yang ada pada manusia merupakan sifat ALLAH Yaa Musowwir yang dialirkan sedikit sifat ini. DIA mengalirkan sifat Al Mosowwir kepada manusia sehingga manusia menjadi kreatif dalam perbuatannya.

 Menghayati SIFAT Al Musowwir akan melahirkan manusia yang kreatif dalam tindakannya seperti dalam merekabentuk bangunan, mencipta teknik dan kaedah-kaedah baru yang kreatif dan menghasilkan idea-idea baru yang tidak pernah difikirkan oleh manusia lain.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Musowwir, sesungguhnya Engkau yang Maha Kreatif, Engkau mencipta berbagai jenis planet, pelbagai jenis awan, pelbagai jenis cuaca, pelbagai jenis binatang, tumbuhan dan berbagai bangsa manusia, kaum, warna, budaya dan bahasa, juga pelbagai penyakit, kuman dan peristiwa-peristiwa hidup manusia. Seluruh ciptaan di alam ini memaparkan kreativitiMu Yaa Musowwir. Kurniakanlah daku kreativitiMu untuk mencipta pelbagai pendekatan, teknik, formula, produk, perkhidmatan, teknologi bagi membawa manusia mengenalMu dan mendekatkan diri kepadaMu, mengingatMu sentiasa serta memujiMu setiap saat hidup ini.