Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Sabtu, 22 Jun 2013

Bab 223 Perintah Kepada Orang Yang Berpuasa Supaya Menjaga Lisan Dan Anggotanya Dari Perselisihan Dan Saling Bermaki-makian Dan Sebagainya





1237. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya adalah berpuasa."
(Muttafaq 'alaih)

1238. Daripada Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Nabi s.a.w. bersabda: 

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tidak pula meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta, maka tidak ada keperluannya bagi Allah dalam ia meninggalkan makan dan minumnya." Maksudnya: Di waktu berpuasa itu hendaknya meninggalkan hal-hal di atas, agar berpahala puasanya tadi. 

(Riwayat Bukhari)





Bab 222 Keutamaan Menyegerakan berbuka Dan Apa Yang Digunakan Untuk Berbuka Itu Serta Apa Yang Diucapkan Setelah Selesai Berbuka




1230. Daripada Sahl bin Sa'ad r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Tiada henti-hentinya orang-orang itu memperoleh kebaikan, selama mereka itu suka menyegerakan berbuka." 
(Muttafaq 'alaih)

1231. Daripada Abu 'Athiyah, katanya: 

Yang Bermaksud : "Saya dan Masruq masuk ke tempat Aisyah radhiallahu 'anha, laiu Masruq berkata padanya: "Ada dua orang lelaki dari sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. tidak melalaikan kebaikan, yang seorang menyegerakan Maghrib dan berbuka, sedang yang lainnya mengakhirkan Maghrib dan berbuka." Aisyah lalu bertanya: "Siapakah yang menyegerakan Maghrib dan berbuka?" Masruq menjawab: "Iaitu Abdullah yang dimaksudkan Abdullah bin Mas'ud." Aisyah radhiallahu 'anha lalu berkata: "Demikian itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w." 
(Riwayat Muslim)

1232. Daripada Abu Hurairah r.a., pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Allah 'Azzawajalla berfirman dalam Hadis qudsi: "Yang paling saya cintai di antara hamba-hambaKu ialah yang lebih menyegerakan berbukanya."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

1233. Dari Umar bin al-Khaththab r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Apabila malam telah menghadap yakni datang dari sebelah ini yakni dari sebelah timur dan siang telah berlalu dari sebelah ini yakni sebelah barat, juga matahari telah terbenam, maka benar-benar sudah waktunyalah seseorang yang berpuasa itu berbuka," yakni jangan menunggu lama lagi. 
(Muttafaq 'alaih)

1234. Daripada Abu Ibrahim yaitu Abdullah bin Abu Aufa radhiallahu 'anhuma, katanya: 

Yang Bermaksud : "Kita berjalan yakni bepergian bersama Rasulullah s.a.w. dan beliau s.a.w. berpuasa. Ketika matahari terbenam, lalu beliau bersabda kepada sebahagian kaum yang mengikuti perjalanan itu: "Hai Fulan, turunlah lalu masaklah roti itu dengan air untuk kita." Orang itu berkata: "Andaikata petang hari nanti, tentunya lebih baik." Maksudnya: Oleh sebab tampak masih agak siang, maka alangkah baiknya kalau memasaknya itu menantikan agak petang sedikit. Beliau s.a.w. lalu bersabda lagi: "Turunlah lalu masaklah roti dengan air untuk kita." Orang itu berkata lagi: "Sesungguhnya hari ini masih siang bagi Tuan guna berbuka". Beliau s.a.w. bersabda lagi: "Turunlah, lalu masaklah roti dengan air untuk kita." Yang meriwayatkan Hadis ini berkata: "Orang yang disuruh tadi lalu turun, kemudian ia memasak roti dengan air untuk orang banyak. Rasulullah s.a.w. lalu minum kemudian bersabda: "Apabila engkau semua telah melihat waktu malam datang dari sebelah sini yakni sebelah timur, maka benar-benar sudah waktunyalah seseorang yang berpuasa itu berbuka." Beliau bersabda demikian sambil menunjuk dengan tangannya ke arah sebelah timur.” 
(Muttafaq 'alaih)

Sabdanya: Ijdah dengan menggunakan Jim lalu dal lalu ha'yang keduanya muhmalah, ertinya ialah campurlah roti sawiq dengan air.

1235. Daripada Salman bin 'Amr ad-Dhahabi ash-Shahabi r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

Yang Bermaksud : "Jikalau seseorang di antara engkau semua berbuka, maka hendaklah berbuka atas kurma, tetapi apabila tidak menemukan kurma, maka hendaklah berbuka atas air, kerana sesungguhnya air itu suci."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

1236. Daripada Anas r.a., katanya: 

Yang Bermaksud : "Rasulullah s.a.w. itu berbuka sebelumnya melakukan solat Maghrib atas beberapa buah kurma basah, tetapi apabila tidak ada kurma basah, maka berbuka atas kurma biasa, tetapi apabila tidak ada kurma, maka beliau s.a.w. minum beberapa teguk air."


Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.




Bab 221 Keutamaan Bersahur Dan Mengakhirkannya Selama Tidak Takut Menyingsingnya Fajar






1226. Daripada Anas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: 

Yang Bermaksud : "Bersahurlah engkau semua, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkahannya." 
(Muttafaq 'alaih)

1227. Daripada Zaid bin Tsabit r.a., katanya: 

Yang Bermaksud : "Kita bersahur bersama Rasulullah s.a.w. kemudian kita berdiri untuk melakukan solat yakni solat Subuh." Kepadanya ditanyakan: "Berapa jarak waktu antara keduanya itu?" Yakni antara selesainya sahur dengan berdirinya untuk solat Subuh. la menjawab: "Sekira cukup membaca lima puluh ayat."
(Muttafaq 'alaih)

1228. Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. itu mempunyai dua orang juru azan, iaitu Bilal dan Ibnu Ummi Maktum. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Sesungguhnya Bilal itu berazan di waktu masih malam yakni sebelum menyingsingnya fajar sadik, maka makanlah dan minumlah engkau semua untuk bersahur sehingga Ibnu Ummi Maktum berazan sebagai tanda masuknya waktu Subuh." Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma berkata: "Tidak ada jaraknya antara kedua orang juru azan itu, melainkan kalau yang ini turun yakni Bilal lalu yang ini yakni Ibnu Ummi Maktum naik." Maksudnya jarak waktu antara keduanya itu tidak terlalu lama.
(Muttafaq 'alaih)

1229. Daripada 'Amr bin al-'Ash r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Pemisahan yakni perbezaan antara puasa kita dengan puasanya kaum ahlulkitab yakni kaum Yahudi dan Nasrani itu ialah adanya makan sahur." 

(Riwayat Muslim)

Jumaat, 21 Jun 2013

Bab 220 Apa Yang Diucapkan Di Waktu Melihat Bulan Sabit Yakni Rukyatul Hilat





1225. Daripada Thalhah bin Ubaidullah r.a., bahawasanya Nabi s.a.w. itu apabila melihat bulan sabit yakni hilal, maka mengucapkan yang ertinya: "Ya Allah, keluarkanlah bulan sabit itu dengan penuh keberkahan dan keimanan, keselamatan dan keislaman. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah. Inilah bulan sabit membawa petunjuk dan kebaikan."

Diriwayatkan oleh ImamTermidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.






Bab 219 Larangan Mendahului Ramadan Dengan Puasa Sesudah Pertengahan Syaaban, Melainkan Bagi Orang Yang Mempersambungkan Dengan hari-hari Yang Sebelumnya Atau Tepat Pada Kebiasaan Yang Dilakukannya, Misalnya Bahawa Kebiasaannya Itu ialah Berpuasa Hari Isnin Dan Khamis Lalu Bertepatan Dengan Itu.




1221. Daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: 

Yang Bermaksud : "Janganlah seseorang di antara engkau semua itu mendahului Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari, kecuali kalau seseorang itu biasa berpuasa tepat hari puasanya, maka hendaklah ia berpuasa pada hari itu." 
(Muttafaq 'alaih)

1222. Daripada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Janganlah engkau semua berpuasa sebelum Ramadan. Berpuasalah Ramadan itu kerana melihat yakni rukyah bulan dan berbukalah kerana melihat bulan. Apabila terhalang di balik bulan itu oleh awan, maka sempurnakanlah hitungan tiga puluh hari."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

1223. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Apabila telah tertinggal separuh dari bulan Syaaban, maka janganlah engkau berpuasa."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

1224. Daripada Abulyaqzhan, iaitu 'Ammar bin Yasir radhiallahu 'anhuma, katanya:

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang berpuasa pada hari yang diragu-ragukanlah hari itu yakni apakah masih Syaaban ataukah sudah masuk hari Ramadan, maka ia telah bermaksiat dengan Abul Qasim yakni Nabi Muhammad s.a.w."

Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi, dan Termidzi mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan shahih.







Bab 218 Dermawan Dan Melakukan Kebaikan Serta Memperbanyak Kebaikan Dalam Bulan Ramadan Dan Menambahkan Amalan Itu Dari Yang Sudah-sudah Apabila Tiba Sepuluh Hari Terakhir Dari Ramadan Itu




1219. Daripada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: 

Yang Bermaksud : "Rasulullah s.a.w. itu adalah sedermawan-dermawannya para manusia dan lebih-lebih lagi kedermawannya itu ialah dalam bulan Ramadan ketika ditemui oleh Jibril. Jibril itu menemui beliau s.a.w. pada setiap malam bulan Ramadan lalu membacakan al-Quran padanya. Maka nescayalah Rasulullah s.a.w. itu, ketika ditemui oleh Jibril, adalah lebih dermawan dalam memberikan kebaikan daripada angin yang dilepaskan tiupannya."
(Muttafaq 'alaih)

1220. Daripada Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: 

Yang Bermaksud : "Rasulullah s.a.w. apabila telah masuk sepuluh hari yang terakhir dari Ramadan maka beliau s.a.w. menghidupkan malamnya dengan memperbanyakkan amalan ibadatnya, juga membangunkan isterinya agar ikut memperbanyak amalannya serta mengeraskan ikat pinggangnya yakni sebagai kata kinayah bahawa beliau s.a.w. menjauhi untuk berkumpul dengan isterinya." 

(Muttafaq 'alaih)


Bab 217 Wajibnya Puasa Ramadan, Uraian Keutamaan Berpuasa Dan Hal-hal Yang Berhubungan Dengan Puasa Itu





Allah Taala berfirman:

Yang Bermaksud : "Hai sekalian orang yang beriman! Diwajibkanlah puasa atas engkau semua sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang sebelum engkau semua itu," sampai kepada firmanNya: "Bulan ramadan yang di dalamnya itu diturunkan al-Quran, sebagai :petunjuk untuk semua manusia dan merupakan keterangan-keterangan dari petunjuk dan yang memperbezakan antara kebenaran dan kesesatan. Maka barangsiapa di antara engkau semua ada yang menyaksikan bulan Ramadan, hendaklah berpuasa dan barangsiapa yang sakit atau datam perjalanan, maka berpuasalah menurut hitungan yang tidak dipuasainya itu pada bari-hari yang lain," sampai akhirnya ayat. 
(al-Baqarah: 183)

1212. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Allah 'Azzawajalla berfirman dalam Hadis qudsi: "Semua amal perbuatan anak Adam  yakni manusia itu adalah untuknya, melainkan berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan saya akan memberikan balasan dengannya. Puasa adalah sebagai perisai dari kemaksiatan serta dari neraka. Maka dari itu, apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya adalah berpuasa." Demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaanNya, nescayalah bau bacin dari mulut seseorang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. Seseorang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan dan ia dapat merasakan kesenangannya, iaitu apabila ia berbuka, iapun bergembiralah dan apabila telah bertemu dengan Tuhannya, iapun gembira dengan adanya amalan puasanya." 
(Muttafaq 'alaih)
Dan ini adalah lafaz riwayat Imam Bukhari.

Dalam riwayat Imam Bukhari yang lain disebutkan: Allah berfirman dalam Hadis qudsi:

Yang Bermaksud : "Orang yang berpuasa itu meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana taat pada perintahKu. Puasa adalah untukKu dan Aku akan memberikan balasannya, sedang sesuatu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipat gandanya."
Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan:

Yang Bermaksud : "Setiap amal perbuatan anak Adam yakni manusia itu, yang berupa kebaikan akan dilipatgandakan pahalanya dengan sepuluh kalinya sehingga tujuh ratus kali lipatnya." 

Allah Taala berfirman: 

Yang Bermaksud : "Melainkan puasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku akan memberikan balasannya. Orang yang berpuasa itu meninggalkan kesyahwatannya, juga makanannya semata-mata kerana ketaatannya pada perintahKu. Seseorang yang berpuasa itu mempunyai dua macam kegembiraan, sekali kegembiraan di waktu berbukanya dan sekali lagi kegembiraan di waktu menemui Tuhannya. Nescayalah bau bacin mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi."

1213. Daripada Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang menafkahkan sepasang binatang yakni dua ekor kuda, lembu ataupun unta dalam kepentingan fi-sabilillah, maka ia akan dipanggil dari semua pintu syurga dengan ucapan: "Hai hamba Allah, inilah yang lebih baik." Maka jikalau seseorang itu dari golongan ahli solat, ia akan dipanggil dari pintu Solat, barangsiapa yang termasuk dalam ahli jihad, ia akan dipanggil dari pintu Jihad, barangsiapa yang termasuk dalam ahli puasa, ia akan dipanggil dari pintu Rayyan ertinya puas atau kenyang minuman, barangsiapa yang termasuk dalam ahli sedekah, maka ia dipanggil dari pintu Shadaqah." Abu Bakar r.a. berkata: "Biabi anta wa ummi ya Rasuiullah, tidak ada kerugian sama sekali bagi seseorang yang telah dipanggil dari pintu-pintu itu, tetapi apakah ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Ya, ada dan saya mengharapkan agar anda termasuk dalam golongan orang yang dipanggil dari segala pintu tadi."
(Muttafaq 'alaih)

1214. Daripada Sahl bin Sa'ad r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: 

Yang Bermaksud : "Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut pintu Rayyan  ertinya: Puas dan kenyang minum. Dari pintu ini masuklah semua orang yang berpuasa besok pada hari kiamat. Tidak ada seorang yang selain orang-orang yang berpuasa itu yang dapat masuk dari pintu itu. Dikatakanlah: "Manakah orang-orang yang berpuasa." Mereka itu lalu berdiri, lalu tidak seorangpun yang dapat masuk dari pintu Rayyan tadi selain orang-orang yang berpuasa. Jikalau mereka telah masuk seluruhnya, lalu pintu itupun ditutuplah, jadi tidak seorangpun lagi yang dapat memasukinya". 
(Muttafaq 'alaih)

1215. Daripada Abu Said r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: 

Yang Bermaksud : "Tiada seorang hambapun yang berpuasa sehari dengan niat fi-sabilillah yakni semata-mata menuju kepada ketaatan kepada Allah, melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya yakni dirinya kerana puasanya tadi, sejauh perjalanan tujuh puluh tahun dari neraka." 
(Muttafaq 'alaih)

1216. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: 

Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkanlah untuk dosa-dosanya yang terdahulu." 
(Muttafaq 'alaih)

1217. Daripada Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Apabila bulan Ramadan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan." 
(Muttafaq 'alaih)

1218. Daripada Abu Hurairah r.a, pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Berpuasalah kerana melihat rukyah bulan dan berbukalah kerana melihat bulan. Maka apabila terhalang oleh awan atasmu semua, maka sempurnakanlah hitungan bulan Syaaban sebanyak tiga puluh hari." 
(Muttafaq 'alaih)

Ini adalah lafaznya Imam Bukhari.

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan:



Yang Bermaksud : "Maka jikalau tertutup oleh awan atasmu semua, maka berpuasalah sebanyak tiga puluh hari."

Khamis, 20 Jun 2013

Bab 216 Mengokohkan Kewajipan Zakat Dan Uraian Tentang Keutamaannya Serta Apa-apa Yang Berhubungan Dengan Zakat Itu




Allah Taala berfirman:

Yang Bermaksud : "Dan dirikanlah solat olehmu semua dan berikanlah zakat."
(al-Baqarah: 43)

Allah Taala berfirman pula:

Yang Bermaksud : "Dan mereka tidaklah diperintah, melainkan untuk beribadat kepada Allah, penuh keikhlasan mengerjakan agama untukNya, serta dengan kecondongan hati, demikian pula mendirikan solat dan memberikan zakat. Yang sedemikian itu adalah agama yang benar." 
(al-Bayyinah: 5)

Allah Taala berfirman lagi:

Yang Bermaksud : "Ambillah sedekah dari sebahagian harta benda mereka, untuk memberikan serta menyucikan hati mereka." 
(at-Taubah: 103)

1203. Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Agama Islam itu didirikan atas lima perkara, iaitu menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah hamba dan pesuruh Allah, mendirikan solat, memberikan zakat, beribadat haji di Baitullah dan berpuasa dalam bulan Ramadan." 
(Muttafaq 'alaih)

1204. Daripada Thalhah bin Ubaidullah bin Usman bin 'Amr bin Ka'ab at-Taimi r.a., katanya: 

Yang Bermaksud : "Ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. iaitu dari penduduk Najad, teruraikan rambut kepalanya, kita dapat mendengarkan dengungan suaranya, tetapi tidak dapat kita fahami apa yang diucapkan olehnya itu, sehingga ia mendekat kepada Rasuluilah s.a.w. Tiba-tiba orang tersebut menanyakan perihal Agama Islam. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Iaitu lima kali solat dalam sehari semalam." la bertanya: "Apakah tidak ada lagi kewajipan atas diriku selain solat lima kali sehari semalam itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Tidak ada, melainkan kalau engkau ingin beribadat sunnah." Rasulullah s.a.w. lalu menyambung sabdanya: "Dan berpuasa dalam bulan Ramadan." Orang itu bertanya: "Apakah tidak ada kewajipan lain selain itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Tidak, melainkan kalau engkau hendak beribadat sunnah." Thalhah berkata: "Rasulullah s.a.w. lalu menyebutkan kepada orang itu perihal zakat, lalu orang itu bertanya: "Apakah tidak ada kewajipan lain atas diriku selain itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Tidak ada, melainkan kalau engkau hendak beribadat sunnah." Orang itu lalu menyingkir dan ia berkata: "Demi Allah, saya tidak akan menambah dari kewajipan-kewajipan itu dan tidak pula akan saya kurangi." Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Orang itu akan berbahagia jikalau ia benar kata-katanya." 
(Muttafaq 'alaih)

1205. Daripada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma bahawasanya Nabi s.a.w. mengutus Mu'az r.a. ke Yaman, lalu beliau s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Ajaklah mereka itu untuk bersyahadat bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa saya adalah pesuruh Allah. Jikalau mereka sudah mentaati untuk melakukan itu, maka beritahukanlah kepada mereka bahawasanya Allah mewajibkan atas mereka itu lima kali solat dalam setiap sehari semalam. Jikalau mereka sudah mentaati yang sedemikian itu, maka beritahukanlah kepada mereka pula bahawasanya Allah mewajibkan sedekah yakni zakat atas mereka yang diambil dari golongan yang kaya-kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada golongan yang fakir-fakir dari mereka." 
(Muttafaq 'alaih)

1206. Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Saya diperintahkan oleh Allah, supaya saya memerangi kepada para manusia, sehingga mereka suka menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah pesuruh Allah mendirikan solat dan memberikan zakat. Jikalau mereka telah melakukan yang sedemikian itu, maka terpeliharalah darah-darah serta harta benda mereka daripadaku, sedang tentang hisab yakni perhitungan amalan mereka adalah terserah atas Allah." 
(Muttafaq 'alaih)

1207. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: 

Yang Bermaksud : "Ketika Rasulullah s.a.w. telah meninggal dunia, dan Abu Bakar r.a. telah menjadi khalifah, sedang telah menjadi kafirlah orang Arab yang kembali pada kekafiran. Umar r.a. berkata kepada Abu Bakar r.a.: "Bagaimanakah dasarnya engkau memerangi para manusia itu, sedangkan Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Saya diperintah untuk memerangi para manusia, sehingga mereka mengucapkan La ilaha illallah, maka barangsiapa yang mengucapkan sedemikian itu, sungguh-sungguh ia telah terpelihara daripadaku akan hartabenda dan dirinya melainkan dengan haknya yakni yang sudah ditentukan dalam Agama Islam. Adapun hisabnya orang itu adalah atas Allah." Abu Bakar menjawab: "Demi Allah, nescayalah saya akan memerangi orang yang memperbezakan antara solat dan zakat, sebab sesungguhnya zakat adalah haknya harta. Demi Allah andai kata orang-orang itu enggan memberikan kepadaku ikatan-ikatan yang berhubungan dengan ketentuan zakat yang dulu pernah mereka tunaikan kepada Rasulullah s.a.w., nescayalah saya akan memerangi mereka sebab keengganan memberikannya itu." Setelah itu Umar berkata: "Demi Allah, tidaklah keterangan Abu Bakar itu melainkan saya telah melihat bahawa Allah telah membuka dada Abu Bakar untuk dasar melakukan peperangan, maka saya berpendapat bahawa itulah yang hak yakni benar."
(Muttafaq 'alaih)

1208. Daripada Abu Ayub r.a. bahawasanya ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.: 

Yang Bermaksud : "Beritahukanlah kepada saya perihal sesuatu amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga!" Beliau s.a.w. bersabda: "Supaya engkau menyembah kepada Allah, tidak menyekutukan sesuatu denganNya, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mempereratkan ikatan kekeluargaan."
(Muttafaq 'alaih)

1209. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya ada seorang Arab penghuni pedalaman negeri Arab mendatangi Nabi s.a.w. lalu berkata: 

Yang Bermaksud : "Ya Rasulullah, tunjukkanlah kepada saya akan sesuatu amalan yang apabila saya mengerjakannya, maka saya dapat memasuki syurga." Beliau s.a.w. menjawab: "Supaya engkau menyembah kepada Allah, tidak menyekutukan sesuatu denganNya, mendirikan solat, memberikan zakat yang diwajibkan dan berpuasa Ramadan."
Orang itu lalu berkata: "Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, saya tidak akan menambah dari itu semua." Setelah orang itu beredar, Nabi s.a.w. lalu bersabda: "Barangsiapa yang senang jikalau melihat seseorang lelaki dari ahli syurga, maka hendaklah melihat orang ini tadi."
(Muttafaq 'alaih)

1210. Daripada Jarir bin Abdullah r.a., katanya: 

Yang Bermaksud : "Saya berbai'at kepada Nabi s.a.w. untuk tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan memberi nasihat kepada setiap orang Islam."
(Muttafaq 'alaih)

1211. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang Bermaksud : "Tiada seorangpun yang memiliki emas dan tidak pula yang memiliki perak, lalu ia tidak menunaikan haknya zakatnya dari emas dan perak itu, melainkan apabila telah tiba hari kiamat nanti dibuatkan untuknya beberapa lembaran dari api neraka lalu dipanaskanlah dalam neraka Jahanam, kemudian diseterikalah lambung, kening dan punggungnya dengan lembaran-lembaran tadi, setiap kali ia telah menjadi dingin lalu dikembalikan lagi untuknya yakni dipanaskan dan diseterikakan lagi. Hal sedemikian itu terjadi dalam masa yang perkiraan lamanya ialah selama lima puluh ribu tahun  menurut hitungan hari dunia, sehingga diputuskanlah antara sekalian hamba Tuhan, lalu orang itu dapat mengetahui kelanjutan nasib dirinya, ada kalanya ke syurga dan ada kalanya ke neraka." Rasulullah s.a.w. lalu ditanya: "Ya Rasulullah, kalau unta bagaimanakah?" Beliau s.a.w. menjawab: "Tiada seorangpun yang memiliki unta yang ia tidak menunaikan haknya yakni zakatnya, dan setengah daripada haknya unta ialah memerah susunya di waktu ia didatangkan di tempat air lalu air susunya itu disedekahkan kepada siapa saja yang memerlukan, melainkan apabila telah tiba hari kiamat, maka dibeberkanlah di mukanya sebidang tanah luas lagi licin dan unta-unta itu dalam keadaan yang gemuk-gemuk yang pernah dialaminya. Orang itu tidak akan kehilangan seekor anak untapun yakni seluruh miliknya itu lengkap dan semua untanya itu akan menginjak-injaknya dengan kakinya serta menggigitnya dengan mulutnya. Setiap kali ia telah dilaluinya oleh yang mula-mula, maka akan dikembalikan pula yang terakhirnya maksudnya terus saja unta-unta itu berputar-putar untuk menginjaknya. Hal ini terjadi dalam suatu masa yang perkiraan lamanya itu ialah lima puluh ribu tahun, sehingga diputuskanlah antara seluruh hamba Tuhan, lalu orang itu akan mengetahui kelanjutan nasibnya ada kalanya ke syurga dan ada kalanya ke neraka.” Beliau s.a.w. lalu ditanya: "Ya Rasulullah kalau lembu dan kambing, bagaimanakah?" Beliau s.a.w. menjawab: "Tiada seorang yang memiliki lembu ataupun kambing yang ia tidak menunaikan haknya zakatnya, melainkan apabila telah tiba hari kiamat, maka dibeberkanlah untuknya sebidang tanah luas lagi licin. Ia tidak akan kehilangan seekorpun dari ternaknya itu, di dalamnya tidak ada yang bertanduk lengkung, tidak ada yang tak bertanduk dan tidak ada pula yang patah tanduknya. Semuanya itu menuberuknya dengan tanduk-tanduknya tadi dan menginjak-injaknya dengan kaki-kakinya. Setiap kali ia telah dilalui oleh yang mula-mula, maka akan dikembalikan pula yang terakhirnya. Hal ini terjadi dalam masa yang perkiraan lamanya itu ialah lima puluh ribu tahun, sehingga diputuskanlah antara sekalian hamba Tuhan, lalu orang itu akan mengetahui kelanjutan nasibnya, ada kalanya ke syurga dan ada kalanya ke neraka." Beliau s.a.w. lalu ditanya: "Ya Rasulullah, kalau kuda bagaimanakah?" Beliau s.a.w. menjawab: "Kuda itu ada tiga macam. la bagi seseorang adalah merupakan dosa, ada pula yang bagi seseorang merupakan tabir untuk keperluan peribadi sehingga tidak memelukan bantuan orang lain, tetapi ada yang bagi seseorang merupakan pahala. Adapun kuda yang bagi seseorang itu merupakan dosa, ialah kuda yang diikatnya yakni dimilikinya untuk dijadikan bahan riak yakni berpameran, lagi untuk kemegahan atau untuk menentang kepada umat Islam, maka kuda sedemikian inilah yang pemiliknya dapat memperoleh dosa. Adapun kuda yang dapat menjadi sebagai tabir ialah seseorang yang mengikatnya yakni memilikinya untuk sabilillah, kemudian ia tidak melalaikan haknya Allah dalam hal punggungnya yakni untuk dinaiki guna melakukan ketaatan ataupun di waktu ada keperluan sendiri, bahkan tidak melalaikan pula akan lehernya maksudnya diperhatikan apa-apa yang menjadi kemaslahatan kuda tadi dan melindunginya dari bahaya maka inilah kuda yang dapat menjadi tabir. Adapun kuda yang bagi pemiliknya merupakan pahala ialah seseorang yang mengikatnya yakni memilikinya untuk kepentingan sabilillah saja dan diperuntukkan seluruh umat Islam, digembalakan di tanah yang penuh tanaman ataupun taman yang banyak makanannya. Maka tidaklah kuda itu makan sesuatu dari ladang atau taman itu, melainkan dicatatlah untuknya beberapa kebaikan sebanyak apa yang dimakan oleh kuda tersebut, bahkan dicatatlah beberapa kebaikan sebanyak hitungan kotorannya dan kencingnya. Tidak pula kuda itu menempuh dengan kakinya lalu berlari ke sebuah atau dua buah bukit lalu kembali lagi ke tempat penggembalaannya melainkan Allah mencatat untuknya beberapa kebaikan sebanyak hitungan bekas langkahnya dan juga sebanyak kotoran-kotoran yang ada. Tidak pula pemiliknya itu melalui sesuatu sungai, lalu kuda itu minum dari sungai tadi, sedangkan ia tidak hendak memberi minuman padanya, melainkan Allah mencatat untuk pemiliknya itu beberapa kebaikan sebanyak hitungan tegukan yang diminumnya." Beliau s.a.w. ditanya lagi: "Ya Rasulullah, kalau keldai bagaimanakah?" Beliau s.a.w. menjawab: "Tiada sesuatu wahyu yang diturunkan kepada saya mengenai hal keldai ini, melainkan ayat yang tersendiri maknanya ini tetapi menghimpun segala macam persoalan, iaitu yang ertinya: "Barangsiapa yang mengerjakan seberat timbangan semut kecil dari kebaikan, maka ia akan mengetahuinya dan barangsiapa yang mengerjakan seberat timbangan semut kecil, dari keburukan, maka ia akan mengetahuinya pula." 
(az-Zalzalah: 7-8) 
(Muttafaq 'alaih)

Dan ini adalah lafaznya Imam Muslim.

Alqa' ertinya ialah tempat yang rata dan luas dari bumi, sedang alqarqar ialah licin.