Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Ahad, 10 Januari 2021

V 103 : 99 ASMAUL HUSNA ( 10. AL MUTAKABBIR )

 AL MUTAKABBIR ( المتكبر )

 ALLAH Yaa Mutakabbir Yang Maha Memiliki Kebesaran. Kebesaran ZATNYA meliputi kebesaran alam ini. Manusia dan alam semesta sangat kerdil berbanding dengan kebesaran ALLAH Subhanahu Wata'ala.

 Menghayati Al Mutakabbir menjadikan manusia sedar akan kekerdilan diri, tidak menyombong diri, sentiasa merendah dan menginsafi diri. Hamba Al Mutakabbir bergantung penuh kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala dalam setiap yang dilakukan kerana menyedari akan kedhaifan dan kekurangan diri.

 Hamba Al Mutakabbir yang dipakaikan jubah kebesaranNYA seperti jawatan, kedudukan ataupun kebesaran gelaran sedar dirinya hanya alat ALLAH Yaa Mutakabbir dalam menjalankan amanah sebagai Abdi dan Khalifah ALLAH Subhanahu Wata'ala di dunia ini semata-mata.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Mutakabbir, sesungguhnya Engkau Maha Memiliki Kebesaran, alam ini menceritakan akan kebesaranMu. Engkau mencipta makhluk, manusia dan peristiwa agar manusia sentiasa membesar-besarkanMu. Engkau layak dibesar-besarkan kerana Engkaulah Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir yang mencipta, mengatur dengan penuh kreativitiMu seluruh alam dan isinya, hatta kenderaan dan telefon yang canggih itu semuanya adalah ciptaanMu bukan ciptaan Jepun atau Korea. Engkau Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid yang memasukkan idea, ilmu dan kreativiti ke dalam otak manusia, sesungguhnya otak manusia buntu tanpa ilmuMu. Dengan itu Engkau layak dibesar-besarkan.

 Yaa Mutakabbir, kami insaf bahawa diri ini sangat kerdil, untuk membuka kelopak matapun tiada daya kami apatah lagi untuk menguruskan makhluk dan kehidupan kami, maka bantulah kami hambaMu yang dhaif dalam kehidupan ini. Walau apapun yang Engkau kurniakan bagi diri kami, itu semua milikMu, harta itu milikMu Yaa Ghoni Yaa Mughni, jawatan serta gelaran pada manusia adalah kurniaanMu Yaa Kabir Yaa Mutakabbir, Yaa Aliy, Yaa Muta’ali, Yaa Adzim, suami/isteri/anak-anak adalah milikMu Yaa Malik, kecantikan itu milikMu Yaa Baadi' , seluruh anggota tubuh badan kami milikMu Yaa Malik, kami hanya peminjam sementara, dengan itu Engkaulah yang layak dibesar-besarkan, kami hambaMu hanya ciptaanMu yang sangat kerdil.



V 102 : 99 ASMAUL HUSNA ( 9. AL JABBAR )

AL JABBAR ( الجبار )

ALLAH Yaa Jabbar Yang Maha Memaksa, yang kehendakNYA tidak dapat diingkari oleh sesiapa pun. PemaksaanNYA tanda kasih sayangNYA kepada hamba-hamba pilihanNYA kerana manusia itu sifatnya sering lupa dan lalai. Hanya dengan pemaksaan dan kehendakNYA manusia akan ingat kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala ketika diri alpa.

 Menghayati Al Jabbar menjadikan manusia bersyukur dan bersikap redha kerana mengerti kehendak ALLAH Subhanahu Wata'ala itu tanda kasih sayangNYA, untuk menyelamatkan manusia daripada kemungkaran dan kemurkaan ALLAH Subhanahu Wata'ala. Disempitkan rezekinya atau diberikan ujian kesakitan dan kehinaan agar manusia kembali ingat dan menginsafi setiap salah silapnya dan berpatah balik ke jalan yang benar. ALLAH Yaa Jabbar memastikan hambaNya bergerak di atas landasan orbit yang ditetapkanNya dengan tegas, apabila tersasar ditarik kembali samada secara lembut atau paksaan.

 Orang beriman yang menghayati nama ALLAH Yaa Jabbar menzahirkan fitrah ini pada akhlak dan peribadinya. Setiap saat berlapang dada dan redha akan agenda Allah Subhanahu Wata'ala meskipun tidak disukai oleh nafsunya yang sukakan rehat dan keduniaan. Sentiasa tunduk pada setiap arahan Allah Subhanahu Wata'ala. Istiqomah dalam menyebarkan ilmu makrifat, menegakkan kebenaran dan mencantas kemungkaran.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Jabbar, Yaa Jabbar Yaa Jabbar, sesungguhnya Engkau Maha Pemaksa, sekiranya kami tersasar dari jalan kebenaranMu, Engkau memaksa kami kembali dengan sedikit ketegasanMu kerana kasihMu kepada kami. Ketika kami bersantai-santai di dunia ini sedangkan mahligai Syurga belum terbina dan jurang Neraka sudah terbuka, Engkau Yaa Jabbar menarik kami untuk sujud kepadaMu dengan peristiwa-peristiwa yang memaksa kami terpisah dengan dunia dan manusia, peristiwa kesakitan, kebangkrapan, perpisahan, kemiskinan dan pelbagai peristiwa yang Engkau Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir ciptakan agar kami datang merintih dan mengadu kepadaMu Yaa Rahman Yaa Rahim.

 Ketika mata kami asyik menonton tv dan video yang melalaikan, Engkau Yaa Jabbar mencabut sedikit nikmat penglihatan kami agar ianya tidak terkena kotoran dosa, ketika pendengaran ini sering kami pergunakan untuk mendengar umpat keji dan perkara dosa lagi syirik, Engkau Yaa Jabbar mengambil nikmat pendengaran kami agar ianya tidak dikotori. Ketika kaki ini begitu malas untuk menghidupkan sunnah ziarah menziarahi, sibuk bersantai-santai, Engkau Yaa Jabbar mengambil nikmat kaki kami agar kami ada masa berdamping denganMu. Ketika hati ini kosong dari cintaMu Yaa Wadud, Engkau Yaa Jabbar memaksa kami untuk mencintaiMu dengan perpisahan dan perceraian dengan makhluk. Ketika kami lupa kematian kami yang akan datang entahkan esok entahkan lusa, Engkau Yaa Jabbar memaksa kami untuk membuat persiapan menghadapinya dengan pelbagai peristiwa penyucian bagi hati kami yang kotor ini. Terima kasih Yaa Allah Yaa Jabbar kerana kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wadud, maafkan dan ampuni kami Yaa Affuw Yaa Ghafar kerana tidak mampu memaksa nafsu kami untuk tunduk kepadaMu.




V 101 : 99 ASMAUL HUSNA ( 8. AL AZIZ )

 AL AZIZ ( العزيز )

 ALLAH Yaa Aziz Yang Maha Perkasa. DIA lebih perkasa daripada seluruh makhluk di dunia ini. KeperkasaanNYA dapat dilihat dalam penciptaan langit dan bumi serta makhlukNYA. DIA perkasa dalam menguasai setiap makhluk ciptaanNYA seperti matahari, bulan, bintang, binatang, gunung serta manusia. Seluruh keperkasaan makhlukNYA adalah daya keperkasaanNYA Yaa Aziz. DIA juga mampu memperkasakan jiwa manusia agar cekal dan tabah dalam menghadapi ujian kehidupan.

 Menghayati sifat Al Aziz akan melahirkan manusia yang cekal semangat dalam mengharungi kehidupan, tidak mudah putus asa ketika kecewa dan berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Hamba Al Aziz akan menguatkan jiwa-jiwa yang lemah dan kecewa dengan keyakinan bahawasanya semakin dia diuji, semakin cinta ALLAH Subhanahu Wata'ala kepadanya dan DIA reda dan sabar atas ujian itu.

 

BICARA HATI

 Alllahumma Yaa Aziz Yang Maha Perkasa, sesungguhnya seluruh keperkasaan dan kekuatan di alam buana ini adalah milikMu, tiada wujud makhluk yang perkasa selain Engkau. Berputarnya alam dan isinya adalah dengan daya keperkasaanMu, bergeraknya planet-planet di atas orbit, memancarnya matahari, tegaknya langit, terhamparnya bumi, bergeraknya awan, semuanya dengan daya keperkasaan dan kekuatanMu Yaa Aziz. Sedetik sahaja Engkau cabut kekuasaan ini, lemah dan hancurlah alam ini.

 Sebagaimana perkasanya alam ini Yaa Aziz, perkasakan jiwa kami yang lemah ini. Seringkali kami lemah ketika berhadapan dengan ujianMu, merasa gagal dan kecewa dalam hidup ini, kami lemah dengan kata-kata dan cemuhan manusia, lemah ketika diberi tugasan dan agendaMu, lemahnya jiwa kami untuk rukuk sujud kepadaMu khususnya di pagi-pagi hari, lemahnya kami dalam mengawal nafsu kami, sibuk dengan agenda shopping, berborak, menonton tv, melayari internet, whatsapp, mengejar-ngejar kekayaan dunia yang hina ini.

 Maka Allahumma Yaa Aziz, perkasa dan kuatkan iman kami kepadaMu, kuatkan pergantungan kami hanya kepadaMu, kuatkan keyakinan kami kepadaMu agar dapat kami hidup dengan pergantungan yang kukuh kepadaMu dan Yaa Baaqi Yaa Mukmin Yaa Aziz, kekalkan kekuatan iman kami sehingga akhir hayat kami.



V 100 : 99 ASMAUL HUSNA ( 7. AL MUHAIMIN )

 AL MHUHAIMIN  ( المهيمن )

 ALLAH Yaa Muhaimin Yang Maha Memelihara. DIA memelihara hidup manusia daripada bahaya dan bencana. DIA memelihara manusia daripada tergelincir dari jalan kebenaran dan daripada mengikut bisikan syaitan serta memelihara hamba-hamba yang beriman daripada azab api neraka.

 Menghayati sifat Al Muhaimin akan menjadikan seseorang cuba sedaya upaya memelihara kesejahteraan manusia lain agar manusia selamat dunia dan akhirat. Juga memelihara manusia lain daripada terpesong dari kebenaran dengan kerja-kerja dakwah.

 Manusia harus memohon pemeliharaan daripada ALLAH Subhanahu Wata'ala daripada bencana dunia dan akhirat, makhluk  tidak mampu memelihara melainkan dengan pertolongan dan izin ALLAH Yaa Muhaimin. Manusia harus bergantung harap sepenuhnya hanya kepada ALLAH Yaa Muhaimin demi kesejahteraan dunia dan akhirat.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muhaimin, Yaa Muhaimin, Yaa Muhaimin, sesungguhnya Engkau Maha Melindungi lagi Maha Memelihara, Engkau memeliharaku dari kepanasan matahari dengan mencipta awan, Engkau melindungi kami di dunia ini dengan mengawal panas, hujan dan angin agar manfaatMu Yaa Nafi' dapat kami nikmati dan tidak memudaratkan kami Yaa Dharru.

 Engkau Yaa Muhyi menghidupkan alam dengan kehijauan pokok-pokok, agar kami semua dapat menghirup oksigenMu dan terlindung kami dari keracunan gas. Engkau Yaa Muhaimin Yaa Waliy mengawal binatang-binatang buas dan berbisa agar tidak dapat memudaratkan kami.

 Engkau Yaa Muhaimin mengurniakan sistem perkumuhan dalam tubuh kami untuk memelihara dan melindungi tubuh badan kami agar setiap bahan buangan dapat dibersihkan dan tidak menjadi racun kepada tubuh kami. Engkau melindungi kami dari gangguan makhluk ghaib yang kami tak nampak. Engkau juga Yaa Muhaimin memelihara kami dari melakukan kejahatan dan dosa dengan pancaran cahaya hidayahMu Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq.

 Yaa Allah Yaa Muhaimin, peliharalah kami dari siksaanMu Yaa Muntaqim di dalam kubur nanti, pelihara kami dari lemas dengan peluh dan air mata di Mahsyar nanti, pelihara kami dari jatuh ketika meniti titian sirat dan pelihara kami dari dicampakkan ke dalam api NerakaMu Yaa Muntaqim, sesungguhnya Engkau Yaa Muhaimin Maha Memelihara lagi Maha Pengasih Penyayang Yaa Rahman Yaa Rahim.



V 99 : 99 ASMAUL HUSNA ( 6. AL MUKMIN )

AL MUKMIN ( المؤمن )

ALLAH Yaa Mukmin Yang Maha Memberi Keamanan. Memberi keamanan jiwa, emosi dan jasmani serta dibebaskan dari rasa takut dan bimbang. ALLAH sumber  keamanan kehidupan manusia, saat sama DIA juga mampu memberikan bahaya dan ancaman (Yaa Dharr). Untuk mendapat keamanan daripada Yaa Mukmin, perlukan kekuatan persandaran dan keimanan yang teguh kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala, Malaikat, Rasul, Kitab, Akhirat, Qada’ dan Qadar sebagaimana yang dituntut dalam Rukun Iman.

 Penghayatan kepada Al Mukmin adalah seseorang harus ikhlas dalam setiap apa yang dilakukan demi kerana ALLAH Subhanahu Wata'ala semata-mata, bersemangat dan tidak ada sikap putus asa. Tidak gentar atau takut menghadapi cabaran kehidupan ini kerana tingginya keyakinan berdampingan dengan ALLAH Yaa Mukmin.

 

Bicara Hati

 Allahumma Yaa Mukmin, Yaa Mukmin, Yaa Mukmin, sesungguhnya Engkau Yang Maha Memberi Keamanan. Alam buana ini aman tanpa bencana alam, diamankan olehMu Yaa Mukmin.  Negara ini aman tanpa huruhara atas kurniaanMu Yaa Mukmin, Engkaulah Yaa Mukmin yang memberi rasa aman dalam jiwa-jiwa manusia dari kejahatan makhlukMu. Engkau juga yang memberi rasa aman di Alam Barzakh dan Alam Akhirat nanti dari azabMu Yaa Muntaqim.

 Sekiranya Engkau Yaa Mukmin mencabut rasa aman itu, akan cemas dan takutlah jiwa ini.  Sekiranya Engkau Yaa Mukmin mengambil balik keamanan dunia ini, akan huru-haralah dunia ini sehingga berlakunya bunuh-membunuh dan berperang antara satu sama lain di sana sini. Sesungguhnya seluruh keamanan itu milikMu dan kurniaanMu Yaa Mukmin kepada hamba-hambaMu. Oleh itu Yaa Allah Yaa Mukmin, amankanlah jiwa kami yang sering kali cemas dan takut ini, amankan kami dari gangguan dan tipu daya syaitan yang sentiasa membisik dan dari kejahatan makhluk samada yang nampak atau tak nampak. Amankan negara kami dan dunia ini Yaa Mukmin.



V 97 : 99 ASMAUL HUSNA ( 4. AL QUDDUS )

 AL QUDDUS ( القدوس ) 

 Allah Yaa Quddus Yang Maha Suci. Ini bererti Allah suci, bersih dan sempurna dari segala kesalahan, kecacatan atau kekurangan. Penciptaan langit dan bumi membuktikan kesempurnaan penciptaanNya dan kekuasaanNya. Al Quddus juga membawa makna mempunyai pekerti yang sangat mulia diliputi dengan kasih sayang tanpa kebencian.

 Penghayatan Al Quddus dalam diri manusia adalah dengan menyucikan jiwa daripada sembahan-sembahan lain selain daripada Allah Subhanahu Wata'ala (hawa nafsu, bisikan syaitan, dunia, kata-kata manusia). Menyucikan jiwa daripada penyakit-penyakit hati (dendam, benci, mengumpat, menghasut dan lain-lain). Menyucikan hidup daripada dosa dan noda, serta menyucikan mulut, telinga, mata, anggota tubuh dan sebagainya.

Bicara Hati

 Allahumma Yaa Quddus, Yaa Quddus, Yaa Quddus, sesungguhnya Engkau yang Maha suci lagi Maha Sempurna, setiap yang berlaku adalah atas kehendak dan takdirMu jua. Yaa Qodir, Yaa Muktadir yang melambangkan kesucian dan kesempurnaanMu. Kurniaan dan kasih sayang serta pemeliharaanMu melalui pelbagai peristiwa yang bersilih ganti dalam hidup kami ini antara kesempitan dan kesenangan, antara kejatuhan dan kenaikan, antara kemuliaan dan kehinaan, ialah tanda kesempurnaan sifat pemurah dan penyayangMu Yaa Quddus Yaa Rahman Yaa Rahim, kesempurnaan kebijaksanaanMu Yaa Quddus Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, kesempurnaan kekuasaanMu Yaa Quddus Yaa Qodir Yaa Muktadir Yaa Aziz Yaa Jabbar Yaa Mutakabbir.

 Allahumma Yaa Quddus yang Maha suci lagi Maha Sempurna, tindakanMu sangat tepat, tidak pernah tersilap, tepat pada masanya, caranya dan kesannya. Sekiranya kami lemah, Engkau memberi kami kekuatan dengan menghantar  peristiwa yang memaksa diri kami bergerak dengan kuat dan laju, Engkau tidak akan membiarkan kami terleka dan terlalai dengan dunia yang fana ini. Sekiranya kami terleka dengan harta benda dunia dan cinta manusia yang menyekat dan mengikat kami daripada datang hampir kepadaMu, Engkau Yaa Quddus sering kali memisahkan dan memutuskan dunia dan manusia dari kami agar hati ini merdeka daripada makhluk, dapat kembali mengabdi diri kepadaMu. Ketika kami tersasar ke jalan Neraka, Engkau Yaa Quddus mencipta peristiwa-peristiwa untuk mengembalikan daku ke jalan SyurgaMu, sesungguhnya tiada peristiwa yang berlaku kepada kami melainkan semuanya tanda kesempurnaanMu Yaa Quddus.



V 98 : 99 ASMAUL HUSNA ( 5. AL SALAM )

 AL SALAM ( السلام )

 Allah Yaa Salam bererti Yang Maha Sejahtera, tenang, menyelamatkan dan damai. Dia yang memberi kesejahteraan, ketenangan, keselamatan dan kedamaian kepada manusia. Dia memberi kesejahteraan jiwa, pemikiran, emosi dan tubuh badan. Untuk mendapat kesejahteraan daripada Yaa Salam, hendaklah mendekatkan diri denganNya dengan melakukan ketaatan dan memperbanyak ibadah-ibadah sunat.

 Penghayatan kepada Al Salam melahirkan manusia yang sanggup mengorbankan diri bagi kesejahteraan dan keselamatan orang lain dengan membantu mengikut kemampuan, memberi ketenangan melalui motivasi, nasihat dan pandangan.

 Menjaga kesejahteraan badan dengan mengikut sunah nabi (makan, tidur, bermuamalat dan lain-lain).

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Salam, Yaa Salam, Yaa Salam, sesungguhnya Engkau Maha Sejahtera, seluruh kesejahteraan pada alam dan makhluk milik dan kurniaanMu. Kami bersyukur kepadaMu Yaa Salam atas kesejahteraan yang Engkau kurniakan kepada jiwa kami sehingga jiwa ini sentiasa ingat kepadaMu, syukur atas kesejahteraan kurniaanMu kepada fikiran dan emosi kami sehingga tenang perasaan dan fikiran ini, syukur atas kesejahteraan kepada jasad kami dengan itu kami mampu lagi rukuk sujud kepadaMu dan melakukan kebaktian kepada manusia sekeliling kami.

Namun, ketika Engkau mengambil kembali kesejahteraan kurniaanMu Yaa Salam, gelaplah hati ini dari mengingatMu, resah gelisahlah fikiran dan perasaan kami dan sakitlah seluruh jasad kami. Oleh itu Yaa Allah Yaa Baaqi Yaa Salam, kekalkan kesejahteraan buat kami di dunia, di alam barzakh dan alam akhirat.