Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Isnin, 3 Disember 2012

K 39 Rahsia mengapa Rasulullah SAW sentiasa sihat



Selama ini kita mengenali dua bentuk rawatan. Rawatan sebelum dijangkiti penyakit / pencegahan (At-thib Al-wiqo`i), dan rawatan selepas dijangkiti penyakit (at-thib al-`ilaji).
Dengan mencontohi pola makan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, kita sebenarnya sedang menjalani terapi pencegahan penyakit dengan makanan. (Attadawi bil ghidza`). Ini tentu jauh lebih baik daripada kita harus “berhubungan” dengan ubat-ubat kimia.

Dalam setiap aktiviti dan pola hidupnya, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM memang sudah disiapkan untuk menjadi contoh teladan bagi semua manusia, termasuk dalam hal pola makan. Ini bukan perkara remeh. Sebab salah satu faktor penting penunjang fizikal utama RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM adalah kecerdasan beliau dalam memilih menu makanan dan mengatur pola konsumsinya.

Perkara pertama yang menjadi menu seharian RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM adalah udara segar di subuh hari. Sudah umum diketahui bahawa udara pagi kaya dengan oksigen dan belum dikotori oleh bahan-bahan lain. Ini ternyata sangat besar pengaruhnya terhadap vitaliti seseorang dalam aktivitinya selama sehari penuh. Maka tidak usah hairan ketika kita tidak bangun di subuh hari, kita menjadi terasa begitu malas untuk beraktiviti. 

Selanjutnya RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM menggunakan siwak untuk menjaga kesihatan mulut dan gigi. Lepas subuh, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM membuka menu sarapannya dengan segelas air yang dicampur dengan sesudu madu asli. Khasiatnya luar biasa. Dalam Al quran, kata “syifa” / kesembuhan, yang dihasilkan oleh madu, diungkapkan dengan isim nakiroh, yang bererti nama am, atau menyeluruh. Ditinjau dari ilmu kesihatan, madu berfungsi membersihkan perut, mengaktifkan usus-usus, menyembuhkan sembelit, buasir dan keradangan. Dalam istilah orang Arab, madu dikenali dengan “al-hafidz al-amin”, kerana boleh menyembuhkan luka bakar.

Masuk waktu dhuha, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM selalu makan tujuh butir kurma ajwa` / matang. Sa’ad ra mendengar RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda, 

“Barangsiapa memakan tujuh butir kurma ajwah di pagi hari, maka racun dan sihir tidak akan membahayakannya pada hari itu.”
(Hadits riwayat Bukhari) 

Dan ini terbukti apabila seorang wanita Yahudi menaruh racun dalam makanan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dalam sebuah percubaan pembunuhan di Perang Khaibar, racun yang ditelan oleh baginda kemudian boleh dineutralkan oleh bahan-bahan yang terkandung dalam kurma. Bisyir ibnu al-Bara, salah seorang sahabat yang ikut makan racun tersebut, akhirnya meninggal, tetapi RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM selamat. Apa rahsianya? Tujuh butir kurma!

Dalam sebuah kajian di Mesir, penyakit kanser ternyata tidak tersebar ke kawasan-kawasan yang penduduknya banyak mengambil kurma. Kebelakangan ini terbukti bahawa kurma mempunyai zat-zat yang boleh mematikan sel-sel kanser. Maka tidak perlu hairan jikalau ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menyuruh Maryam ra, untuk makan kurma di saat kehamilannya. Sebab memang itu bagus untuk kesihatan janin.

RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM selalu berbuka puasa dengan segelas susu dan kurma, kemudian solat maghrib. Kedua-dua jenis makanan itu kaya dengan glukosa, sehingga langsung menggantikan zat-zat gula yang kering setelah seharian berpuasa. Glukosa itu sudah cukup mengenyangkan, sehingga setelah solat maghrib, tidak akan berlebihan apabila bermaksud untuk makan lagi.

Menjelang petang hari, menu RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM selanjutnya adalah cuka dan minyak zaitun. Tentu saja bukan hanya cuka dan minyak zaitunnya sahaja, tetapi pengambilan dengan makanan pokok, seperti roti misalnya. Manfaatnya banyak sekali, antaranya mencegah lemah tulang dan kenyanyukan di hari tua, melancarkan sembelit, menghancurkan kolesterol dan melancarkan pencernaan. Ia juga berfungsi untuk mencegah kanser dan menjaga suhu tubuh di musim sejuk.

Ada kisah menarik berkaitan dengan buah tin dan zaitun, yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA bersumpah dengan kedua-duanya. Dalam al Quran, kata “at-thin” hanya ada satu kali, sedangkan kata “az-zaytun” diulang sampai tujuh kali. Seorang ahli kemudian melakukan kajian, yang kesimpulannya, jika bahan-bahan yang terkandung dalam tin dan zaitun berkumpul dalam tubuh manusia dengan perbandingan 1:7, maka akan menghasilkan “ahsani taqwim”, atau tubuh yang sempurna, seperti yang dinyatakan dalam Surah at-thin. Subhanallah!

Syeikh Ahmad Yasin adalah salah seorang yang secara rutin mengambil jenis makanan ini, sehingga wajarlah beliau tetap sihat, kuat dan begitu menggerunkan para Yahudi, walaupun lumpuh sejak kecil. Kalau saja beliau tidak lumpuh, barangkali sudah habis para Yahudi Israel itu.

Di malam hari, menu utama RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM adalah sayur-sayuran. Beberapa riwayat mengatakan, baginda selalu mengambil sana al makki dan sanut. Anda kenal nama tersebut? Di mesir, kata Dr. Musthofa, kedua-duanya serupa dengan sabbath dan ba`dunis. Masih tidak kenal juga? Dr. Musthofa kemudian menjelaskan, secara umum sayur-sayuran mempunyai kandungan zat dan fungsi yang sama, iaitu memperkuat daya tahan tubuh dan melindunginya daripada serangan penyakit. Jadi, asalkan namanya sayur-sayuran, sepanjang ianya halal, In sya ALLAH berkhasiat tinggi. Maka, para penggemar kangkung dan bayam tidak usah panik. Para peniaga tauge juga tidak perlu pindah haluan.

Disamping menu wajib di atas, ada beberapa jenis makanan yang disukai Rasulullah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM tetapi beliau tidak rutin mengambilnya. Di antaranya tsarid, iaitu campuran antara roti dan daging dengan kuah air masak. Kemudian beliau juga senang makan buah Yaqthin atau labu manis, yang terbukti boleh mencegah penyakit gula. Kemudian beliau juga senang makan anggur dan hilbah.

Sekarang masuk pada tata cara mengambilnya. Ini tidak kurang pentingnya dengan pemilihan menu. Sebab setinggi apapun gizinya, kalau pola konsumsinya tidak teratur, akan buruk juga akibatnya. Yang paling penting adalah mengelakkan isrof, atau berlebihan. Kata RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, “Cukuplah bagi manusia itu beberapa suap makanan, kalaupun harus makan, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk air minumnya dan sepertiga lagi untuk nafasnya” (al hadis). Ketika seseorang terlalu banyak makanannya, maka perutnya akan penuh dan pernafasannya tidak bagus, sehingga zat-zat yang terkandung dalam makanan tersebut menjadi tidak berfungsi dengan baik. Imbasnya, keadaan fizikal menjadi tidak prima, dan aktiviti tidak akan maksima.

Dr. Musthofa menekankan bahawa as-syab`u, yang bererti kenyang itu bukan al-imtila`, atau memenuhi. Tetapi kenyang adalah mencukupinya tubuh dengan bahan-bahan yang diperlukan, sesuai dengan perkadaran dan ukurannya. Jadi ini penting, jangan kekenyangan!

RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM juga melarang untuk idkhol at-thoam ala at-thoam, atau makan lagi sesudah kenyang. Suatu hari, di masa selepas wafatnya RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, para sahabat melawat Aisyah ra. Waktu itu daulah islamiyah sudah sedemikian luas dan makmur. Lalu, sambil menunggu Aisyah ra, para sahabat, yang sudah menjadi orang-orang kaya, saling bercerita tentang menu makanan mereka yang meningkat dan bermacam-macam. Aisyah ra, yang mendengar hal itu tiba-tiba menangis. “Apa yang membuatmu menangis, wahai bonda?” Tanya para sahabat. Aisyah ra lalu menjawab, “Dahulu RASULULLAH tidak pernah mengenyangkan perutnya dengan dua jenis makanan. Ketika sudah kenyang dengan roti, beliau tidak akan makan kurma, dan ketika sudah kenyang dengan kurma, baginda tidak akan makan roti.”

Dan penelitian membuktikan bahawa berkumpulnya berjenis-jenis makanan dalam perut telah melahirkan bermacam-macam penyakit. Maka sebaiknya jangan mudah tergoda untuk makan lagi, kalau sudah yakin bahawa anda sudah kenyang.

RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM tidak makan dua jenis makanan panas atau dua jenis makanan yang sejuk secara serentak. Beliau juga tidak makan ikan dan daging dalam satu-satu masa dan juga tidak terus tidur selepas makan malam, kerana tidak baik bagi jantung. Beliau juga meminimumkan dalam mengambil daging, sebab terlalu banyak daging akan mengakibatkan buruk pada sendi dan buah pinggang. Mesej Umar r.a “Jangan kau jadikan perutmu sebagai kuburan bagi haiwan-haiwan ternakan!” Ayam, kambing, lembu, kerbau semuanya masuk.

Masih banyak pola hidup sihat ala RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang boleh kita pelajari. Kali ini, Dr. Musthofa memang khusus membincangkan menu makan dan cara mengambilnya. Dari sini kita boleh tahu bahawa ternyata RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM sangat memerhatikan masalah gizi dan menu makanan. Dan di tengah kaburnya semangat untuk mengikuti sunnah Rasul, ini boleh menjadi semangat untuk memulakan menghidupkannya kembali. Apalagi menu-menu tersebut terbukti boleh dipertanggungjawabkan secara kesihatan.

[Disarikan dari Ceramah Umum "ghidza` unnabi" oleh Prof. Dr. Musthofa Romadhon di Wisma Nusantara, Kaherah, Mesir) tulisan ini ditulis oleh Muhammad As'ad Mahmud, Lc. - lintasberita.com] http://unikversiti.blogspot.com/2012/01/mengapa-rasulullah-saw-sentiasa-sihat.html

K 38 Cara minum yang mendapat Lima Puluh Pahala setiap kali minum



Cara untuk mendapat 50 pahala tersebut adalah:

1- Membaca Bismillah.

2- Minum dengan menggunakan tangan kanan.

3- Minum secara duduk.

4 -  Minum dengan kadar 3 tegukan.

5- Mengucap Alhamdulillah setelah selesai minum.

LIMA Pahala di atas  dikali dengan setiap perbuatan kebajikan yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA bonuskan 10 pahala, maka berhasil 50 pahala.

Rujukan:






































































K 37 Bahagia hingga ke Syurga

Kebahagiaan dalam hidup berkeluarga bukannya mudah. Ia memerlukan kerjasama semua pihak. Organisasi kecil ini memerlukan pengurus yang baik bergelar suami. Memerlukan pembantu pengurus yang cekap bergelar isteri. Ahli organisasi juga perlu bekerjasama dan bekerja keras untuk merealisasikan impian membentuk keluarga bahagia. Mahligai impian duniawi ini cuma akan nampak indah dan sentiasa dihiasi bunga cinta yang segar mekar apabila semua pihak yang bernaung di bawahnya memahami tanggungjawab dan tugas masing-masing. Bergerak seia sekata dalam satu barisan dan sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain.

Tunggak utama mestilah ajaran agama dan reka bentuknya tidak boleh lari jauh dari pelan kekeluargaan Rasulullah s.a.w. Ruang udaranya mestilah sentiasa dibekalkan dengan cinta kasih dan belas kasihan.

Keluarga juga umpama kapal. Ia tidak akan sentiasa berlayar di air tenang, malah menjadi sunnahnya berhadapan dengan ombak dan taufan. Perjalanan masa menjadikan ikatan cinta makin longgar dan suhu sayang juga semakin sejuk. Punca utama ialah rasa jemu kerana bertemu orang yang sama bertahun-tahun lamanya. Tidur sebantal dengan orang yang sama. Makan sehidang dengan orang yang sama. Mungkin juga berpunca dari faktor usia. Usia memakan kulit yang tegang menjadi kendur, rambut yang lebat menjadi luruh dan beruban, muka yang cantik menjadi kusam berkedut.

Mungkin cinta pada waktu ini sudah tidak mampu untuk terus bertahan menjadi kemudi dan dayungnya. Ia memerlukan kekuatan kedua yang bernama ‘belas kasihan’. Biar sedalam manapun perasaan jemu, hodoh manapun rupa paras, lemah manapun tenaga batin, bosan manapun jiwa, belas kasihan masih mampu membawa ahli keluarga ke titik terakhir matlamat cinta iaitu syurga. Lantaran itu, Allah S.W.T. mengingatkan pasangan yang ingin berumahtangga agar dari awal lagi menjadikan cinta sebagai mahar dan belas kasihan sebagai hantaran.
Firman Allah S.W.T: 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa cinta dan belas kasihan.”

Kasihani isteri yang telah lama berkorban jiwa dan raganya untuk mendampingi anda. Ia telah menyerahkan hati dan jasadnya untuk ketenangan anda. Sanggup bangun seawal pagi untuk menyediakan sarapan dan menggosok pakaian. Pulang anda disambut dengan senyuman dan hidangan minuman kegemaran. Malam pula ia sanggup bermesra dengan anda walaupun fizikalnya sudah keletihan kerana banyaknya tugasan rumah yang perlu ia selesaikan. Ia juga dengan jayanya mendidik anak-anak yang seharian anda tinggalkan kerana kerjaya dan tugas mencari rezeki buat keluarga. Ia juga sanggup mengadai nyawa untuk melahirkan anak-anak anda. Fikirkanlah sebelum terfikir untuk mengeluarkan kalimah cerai.
Rasulullah s.a.w. bersabda: 

“Seorang mukmin tidak akan menceraikan isterinya yang mukminah sekiranya ia membenci satu sifat dari sifat-sifatnya sedang dalam masa yang sama ia redha dan mengingati kebaikan-kebaikannya yang lain.”

Kasihani suami yang sanggup mengambil anda sebagai isterinya. Mengorbankan usia dan keringatnya untuk menyara keluarga. Mendamaikan jiwa ketika kesedihan. Ingatlah kegirangan yang ia bawa dalam hidup anda. Ingatlah bagaimana ia masih mampu tersenyum setiap kali ia pulang dari kerja walaupun ia telah kehilangan sebahagian tenaganya di tempat kerja. Ingatlah koceknya yang sering kosong kerana membeli keperluan anda dan anak-anak. Ingatkan semua itu sebelum terlintas di fikiran untuk meminta cerai.

Jika kebaikan pasangan tidak mampu meleraikan kekusutan hubungan, ingatlah pada anak-anak. Kalian mendambakan kehadiran mereka semenjak malam pertama perkahwinan. Hari kelahiran mereka merupakan sejarah besar keluarga yang membawa sejuta wangian kebahagiaan. Ia pelengkap kehidupan anda. Kehadirannya menjadikan anda memiliki status manusia yang sempurna. Anda sudah jadi individu, suami, bapa, isteri dan ibu. Ingatlah pada anak-anak anda sebelum mana-mana pihak berfikir untuk bercerai.

Perkahwinan dan keluarga yang dibina tidak sepatutnya berakhir di kamar mahkamah tetapi sewajibnya berkesudahan di kamar syurga. Allah S.W.T. menjanjikan orang-orang yang beriman akan tinggal bersama dengan ahli keluarganya di syurga. Firman Allah S.W.T.:

“Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka ingini. Di dalam syurga mereka saling memperebutkan piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa. Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan. Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling tanya-menanya. Mereka berkata, “Sesungguhnya kami dahulu sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan diazab)”. Maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka. Sesungguhnya kami dahulu menyembah-Nya. Sesungguhnya Dia-lah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.”

“Syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan): “Salam sejahtera atas mu kerana kesabaranmu”. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.

Imam al-Qurtubi ketika memberi komen tentang ayat 23 dalam Surah al-Ra’d berkata, “Sesungguhnya antara nikmat di syurga itu nanti, ialah dengan menghimpunkan ahli syurga dengan kerabatnya di dalam syurga”. Imam Ibnu Kathir pula menyebut, “(Orang mukmin) akan dihimpunkan bersama orang-orang yang ia sayangi termasuk ibu bapa, isteri-isteri dan anak-anaknya andainya mereka itu layak memasuki syurga di kalangan mereka yang beriman agar tenang perasaan mereka dengan kehadiran keluarganya sehingga ia diangkat dari darjat bawahan di syurga ke darjat paling atas sebagai anugerah dari Allah dan pemberian yang tidak ternilai tanpa dikurangi sedikitpun.”

Kata Said bin Jubair: “Apabila orang mukmin masuk syurga ia akan bertanya tentang ibu bapanya, anak-anaknya, di manakah mereka? Lalu dikatakan kepadanya, “Sesungguhnya mereka tidak mencapai tahapmu dalam melakukan amal kebaikan”. Lalu ia berkata, “Sesungguhnya aku melakukan semua amalan itu untukku dan mereka”. Lalu merekapun digabungkan bersamanya dalam syurga pada darjat yang serupa.”

Inilah impian tertinggi orang mukmin dalam berkeluarga. Impian untuk hidup sebumbung di syurga akhirat. Itulah hakikat cinta abadi bagi pasangan yang menjadikan Allah S.W.T. sebagai pusat kecintaan dan Rasul-Nya s.a.w. sebagai sumber ikutan mereka. Syurga yang menghimpunkan segala kenikmatan yang tidak pernah terlintaspun di pemikiran manusia. Itulah tempat tuju mereka. Bermula dari hari pertama perkahwinan, dikurniakan zuriat dan melayari kehidupan berkeluarga yang penuh pancaroba, kesudahan yang mereka harapkan ialah syurga dan nikmat syurga. Walaupun mungkin di dunia mereka terlepas banyak peluang kebahagiaan dan kesenangan.
Untuk itu, apabila anda menziarahi pasangan yang baru melangsungkan pernikahan mereka, jangan ucapkan “Selamat pengantin baru, moga kekal ke anak cucu”, tidak juga ucapan, “Selamat pengantin baru moga kekal ke akhir hayat”, tapi ucapkanlah “Selamat pengantin baru, moga kekal hingga ke syurga.” Ucapan begitulah yang lebih bermakna.

Semoga kebahagiaan dan kerukunan yang dikecapi dalam keluarga, berterusan hingga ke akhirat. Tempat yang tiada lagi duka nestapa, tidak perlu lagi merajuk dan memujuk, tiada penat dan lesu, tiada sedih dan sepi. Yang ada cuma kebahagiaan yang kekal abadi. Allahumma Amin Ya Rabb al-Alamin.

Rujukan :
http://ismashahalam.net/v2/bahagia-hingga-ke-syurga/



K 36 Baitul Muslim sebagai Qudwah



Mahasiswa dan mahasiswi Malaysia yang berumahtangga di Negara-negara Barat atau di mana-mana luar negara sering dijadikan qudwah (contoh tauladan) atau sekurang-kurangnya penaung oleh pelajar-pelajar yang belum berkahwin di sana, khususnya pelajar-pelajar “undergraduate” (pra-siswazah). Ini yang pernah saya rasakan ketika menuntut di Australia sekitar tahun-tahun 1980an dahulu. Bahkan kekadang mereka dirasakan seperti “abah dan emak” atau “Along dan Kak Long” tempat mengadu, salah satu sumber kekuatan untuk menjaga iman ketika hidup di tengah-tengah masyarakat Barat yang penuh dengan pancaroba. Saya masih ingat, semasa di tahun pertama di Australia tahun 1983, di waktu-waktu biasa atau ketika gundah gelana, saya akan pergi menziarahi pasangan suami isteri di kalangan para Duat yang tinggal berdekatan semata-mata untuk mendapat kekuatan dari hidup berjemaah di rantau orang.

Walaupun jarak usia antara kami hanya beberapa tahun tetapi keadaan mereka berpasangan seperti itu cukup menjadikan mereka seperti ayah dan ibu saudara saya sendiri. Walaupun yang dihidangkannya hanya secawan teh, cekodok atau spaghetti (mee) goreng tetapi suasana seperti itu saya rasakan seperti masakan emak saya sendiri. Ia adalah kenangan ukhuwwah yang boleh menitiskan air mata walaupun telah berlalu lebih 25 tahun yang lalu.

Oleh kerana di dalam Jalan Dakwah, “qudwah” (teladan) merupakan salah satu faktor utama kejayaan Tarbiyah kepada para Pendakwah, pasangan-pasangan yang berumahtangga mesti menyedari hakikat  ini dan harus memastikan perkara-perkara berikut :
1.    Amal Dakwah tidak berkurangan selepas mereka berumahtangga berbanding dengan semasa mereka belum berkahwin. Kekadang terdengar rungutan mengatakan ada mahasiswi yang menjadi kurang aktif selepas berkahwin berbanding sebelumnya. Kita berharap rungutan itu tidak berlaku atau jika benar ia berlaku, ia segera dibaiki.

2.    Suami tidak “mengurung” isterinya di rumah menjadikaan Dakwah kehilangan seorang lagi pendakwah wanita yang berkaliber, dengan hujjah tugas seorang isteri hanyalah semata-mata  di rumah, dan semata-mata untuk suaminya. Kepada beliau kita bertanya, tidakkah ramai para Duat memperoleh isteri mereka yang solehah hasil dari didikan Dakwah ini, bahkan sesetengahnya melalui Dakwah ini ?

3.    Jika bebanan pelajaran sangat besar, mahasiswa/i yang berkahwin mestilah merancang masa mereka dengan baik agar tidak banyak terbuang. Dalam suasana tertentu seperti musim peperiksaan, pernah saya dan isteri memasak kari ayam untuk 3 hari, menyimpannya di peti sejuk dan memanaskannya setiap kali hendak makan. Ia boleh berlanjutan sehingga lebih dari sebulan lamanya.

4.    Bertemu dan berinteraksi sesama manusia adalah salah satu faktor penting dalam Tarbiyah dan juga Dakwah. Kalangan mahasiswa mudah bertemu di masjid dan di padang permainan, berbanding mahasiswi. Oleh itu faktor dan suasana rumah kediaman atau tempat tinggal adalah sangat penting bagi perkembangan prestasi Tarbiyah dan Dakwah  mereka. Untuk itu ketika dialam pengajian dahulu saya sering merancang agar isteri saya sering berada di rumah mahasiswi dan saya saya sendiri menjaga anak-anak supaya dia lebih fokus dalam bermuayashah (berinteraksi) sesama mereka.

5.    Sentiasa mengingati niat dan harapan kita sebelum mendirikan rumahtangga, iaitu  tidak lain selain untuk Agama yang tercinta dan untuk Dakwah yang kita  perjuangkan. Mengingatinya akan banyak membantu menyelamatkan kita dari tergelincir ke arah tarikan godaan dunia dan menguatkan jiwa untuk bekerja dengan lebih kuat untuk Allah swt.
6.     
7.    Sentiasa berjimat dalam berbelanja, walaupun anda dalam kemewahan atau mempunyai simpanan wang yang banyak. Banyak masalah rumahtangga di Malaysia berpunca dari masalah kelemahan pengurusan wang suami isteri.  Penyelesaiannya ialah belajar lebih awal cara berjimat dan mengurus wang ketika di alam pengajian.

8.    Pastikan rumah sentiasa kemas dan mudah menerima tetamu pada bila-bila masa. Kata-kata sebahagian orang kita “Rumahku Syurgaku”  sebagai tempat penenang hati dan merehatkan saraf boleh juga kita panggil “Rumahku Markazku” sebagai tempat bertandang para tetamu dikalangan teman-teman seperjuangan, para mad’u (orang-orang yang didakwahkan) maupun masyarakat umum.

9.    Menggalakkan berkahwin awal di luar negara agar membantu perdidikan diri pasangan berkenaan di satu aspek, dan membantu Dakwah diaspek yang lain.

Pergaulan dikalangan sesama Duat memberi kesan langsung dalam pembentukan peribadi mereka. Mereka yang telah berumahtangga mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menunjukkan prestasi Dakwah yang lebih mantap kerana telah menyempurnakan sebahagian dari Agama mereka dan medan mereka telah meluas kerana kini dakwahnya meliputi kedua-dua golongan lelaki dan wanita. Oleh kerana itu kita menggalakkan mereka berkahwin seawal boleh semasa di tahun-tahun awal menuntut di luar negara, tanpa berlengah lagi.

Harapan kita ialah Bait Muslim Qudwah semasa di alam pengajian akan terus bertambah bilangannya dan berterusan menjadi Bait-bait Muslim yang banyak bilangannya dan tersebar di seluruh tanahair lalu menjadi qudwah kepada segenap masyarakat dan rakyat jelata. Ini adalah faktor yang terkuat dalam membuat perubahan kepada Negara ke arah Islam hakiki lagi sejati yang kita impikan.

Rujukan:
http://ismashahalam.net/v2/baitul-muslim-sebagai-qudwah/


K 35 TUJUH Tanda Allah SWT mencintai hambaNya



1- ALLAH SUBHANAHU WA TAALA memberi terbaik kepada anda.

2- ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menganugerahkan perasaan kasih sayang dan bersifat lemah-lembut.

3- Penduduk dunia menerima anda dan menyayangi anda.

4- ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menguji anda dengan mushibah  dan anda sabar menghadapinya serta sentiasa menjadikan ujian ALLAH SUBHANAHU WA TAALA kepada anda sebagai pengajaran.

5- Mati dalam keadaan taat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA serta sentiasa ghairah menyahut seruan jihad.

6- Melakukan ketaatan kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan meninggalkan perkara maksiat.

K 34 ILMU PENGETAHUAN DAN PERKEMBANGAN KEROHANIAN

Ilmu pengetahuan zahir mengenai benda-benda yang nyata dibahagikan kepada dua belas bahagian dan ilmu pengetahuan batin juga dibahagikan kepada dua belas bahagian. Bahagian-bahagian tersebut dibahagikan di kalangan orang awam dan orang khusus, hamba-hamba Allah yang sejati, menurut kadar keupayaan dan kebolehan mereka. 

Bagi tujuan yang berkaitan dengan kita pembicaraan ilmiah mengenai ini dibuat dalam empat bahagian. 

Bahagian pertama melibatkan peraturan agama, mengenai kewajipan dan larangan berhubung dengan perkara-perkara dan peraturan-peraturan di dalam dunia ini. 

Kedua menyentuh soal pengertian atau maksud dalaman serta tujuan kepada peraturan-peraturan tersebut dan bahagian ini dinamakan bidang kerohanian iaitu pengetahuan mengenai perkara-perkara yang tidak nyata. 

Ketiga mengenai hakikat kerohanian yang tersembunyi yang dinamakan kearifan. 

Keempat mengenai hakikat dalaman kepada hakikat iaitu mengenai kebenaran yang sebenar-benarnya. Manusia yang sempurna perlu mempelajari semua bidang atau bahagian tersebut dan mencari jalan ke arahnya.

Nabi s.a.w bersabda, 

“Agama ialah pokok, kerohanian adalah dahannya, kearifan (makrifat) adalah daunnya, kebenaran (hakikat) adalah buahnya. al Quran dengan ulasannya, keterangannya, terjemahannya dan ibarat-ibaratnya mengandungi semuanya itu.”

Di dalam buku al-Najma perkataan-perkataan tafsir, ulasan dan takwil serta terjemahan melalui ibarat dimengertikan sebagai: ulasan terhadap Al Quran adalah keterangan dan perincian bagi faedah kefahaman orang awam, sementara terjemahan melalui ibarat adalah keterangan tentang maksud yang tersirat yang boleh diselami melalui tafakur yang mendalam serta memperolehi ilham sebagaimana yang dialami oleh orang-orang beriman yang sejati. Terjemahan yang demikian adalah untuk hamba-hamba Allah yang khusus lagi teguh, berterusan di dalam suasana kerohanian mereka dan teguh dengan pengetahuan yang membolehkan mereka membuat pertimbangan yang benar. Kaki mereka teguh berpijak di atas bumi sementara hati dan fikiran mereka menjulang kepada ilmu ketuhanan. Dengan rahmat Allah swt keadaan berterusan begini yang tidak bercampur dengan keraguan di tempatkan di tengah-tengah hati mereka. Hati yang teguh dalam suasana ini bersesuaian dengan bahagian kalimah tauhid “La ilaha illa Llah” , pengakuan terakhir keesaan.

“Dia jualah yang menurunkan Kitab kepada kamu. Sebahagiannya adalah ayat-ayat yang menghukum, iaitu ibu-ibu bagi Kitab, dan (sebahagian) yang lain adalah ayat-ayat yang perlukan takwil. Adapun orang-orang yang di hati mereka ada kesesatan mencari-cari apa yang ditakwil daripadanya kerana hendak membuat fitnah dan kerana hendak membuat takwilnya sendiri padahal tidak mengetahui takwilnya melainkan Allah dan orang-orang yang teguh kuat di dalam ilmu berkata, ‘Kami beriman kepadanya (kerana) semua itu daripada Tuhan kami’, dan tidak mengerti melainkan orang-orang yang mempunyai fikiran.”
(Surah Imraan, ayat 7)

Jika pintu kepada ayat ini terbuka akan terbuka juga semua pintu-pintu kepada alam rahsia batin.

Hamba Allah yang sejati berkewajipan melaksanakan perintah-perintah-Nya dan menjauhkan diri daripada larangan-Nya. Dia juga perlu menentang ego dirinya dan membendung kecenderungan jasad yang tidak sihat. Asas penentangan ego terhadap agama adalah dalam bentuk khayalan dan gambaran yang bercanggah dengan kenyataan. Pada peringkat kerohanian ego yang khianat itu menggalakkan seseorang supaya memperakui dan mengikuti sebab-sebab dan rangsangan yang hanya hampir dengan kebenaran (bukan kebenaran yang sejati), walaupun ianya risalat nabi dan fatwa wali yang telah diubah, juga mengikuti guru yang pendapatnya salah. Pada peringkat makrifat ego cuba menggalakkan seseorang supaya memperakui kewalian dirinya sendiri malah ego juga mengheret seseorang kepada mengakui ketuhanannya – dosa paling besar menganggapkan diri sendiri sebagai bersekutu dengan Allah swt. Allah swt berfirman: 

“Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan..” 
(Surah Furqaan, ayat 43).

Tetapi peringkat kebenaran sejati adalah berbeza. Ego dan iblis tidak boleh sampai ke sana. Malah malaikat juga tidak sampai ke sana. Sesiapa sahaja kecuali Allah swt jika sampai ke sana pasti terbakar. Jibrail berkata kepada Nabi Muhamamd s.a.w pada sempadan peringkat ini, “Jika aku mara satu langkah lagi aku akan terbakar menjadi abu”.
Hamba Allah yang sejati bebas daripada perlawanan egonya dan iblis kerana dia dilindungi oleh perisai keikhlasan dan kesucian.

“Ia (iblis) berkata: Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali di antara mereka hamba-hamba-Mu yang dibersihkan.”
(Surah Shad, ayat 82 & 83).

Manusia tidak dapat mencapai hakikat kecuali dia suci murni kerana sifat-sifat keduniaannya tidak akan meninggalkannya sehinggalah hakikat menyata dalam dirinya. Ini adalah keikhlasan sejati. Kejahilannya hanya akan meninggalkannya bila dia menerima pengetahuan tentang Zat Allah swt. Ini tidak dapat dicapai dengan pelajaran; hanya Allah swt tanpa pengantaraan boleh mengajarnya. Bila Allah Yang Maha Tinggi sendiri yang menjadi Guru, Dia kurniakan ilmu yang daripada-Nya sebagaimana Dia lakukan kepada Khaidhir. Kemudian manusia dengan kesedaran yang diperolehinya sampai kepada peringkat makrifat di mana dia mengenali Tuhannya dan menyembah-Nya yang dia kenal.

Orang yang sampai kepada suasana ini memiliki penyaksian roh suci dan dapat melihat kekasih Allah, Nabi Muhamamd s.a.w. Dia boleh bercakap dengan baginda s.a.w mengenai segala perkara daripada awal hingga ke akhirnya dan semua nabi-nabi yang lain memberikannya khabar gembira tentang janji penyatuan dengan yang dikasihi. Allah swt menggambarkan suasana ini: 

“Kerana Barangsiapa taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka mereka beserta orang-orang yang diberi nikmat daripada nabi-nabi, siddiqin, syuhada dan salihin dan Alangkah baiknya mereka ini sebagai sahabat rapat.”
(Surah Nisaa’ ,ayat 69).

Orang yang tidak boleh menemui pengetahuan ini di dalam dirinya tidak akan menjadi arif walaupun dia membaca seribu buah buku. Nikmat yang boleh diharapkan oleh orang yang mempelajari ilmu zahir ialah syurga; di sana semua yang dapat dilihat adalah kenyataan sifat-sifat Ilahi dalam bentuk cahaya. Tidak kira bagaimana sempurna pengetahuannya tentang perkara nyata yang boleh dilihat dan dipercayai, ia tidak membantu seseorang untuk masuk kepada suasana kesucian dan mulia, iaitu kehampiran dengan Allah swt, kerana seseorang itu perlu terbang ke tempat tersebut dan untuk terbang perlu kepada dua sayap. Hamba Allah yang sejati adalah yang terbang ke sana dengan menggunakan dua sayap, iaitu pengetahuan zahir dan pengetahuan batin, tidak pernah berhenti di tengah jalan, tidak tertarik dengan apa sahaja yang ditemui dalam perjalanannya. Allah swt berfirman melalui rasul-Nya: 

“Hamba-Ku, jika kamu ingin masuk kepada kesucian berhampiran dengan-Ku jangan pedulikan dunia ini ataupun alam tinggi para malaikat, tidak juga yang lebih tinggi di mana kamu boleh menerima sifat-sifat-Ku yang suci.”

Dunia kebendaan ini menjadi godaan dan tipu daya syaitan kepada orang yang berilmu. Alam malaikat menjadi rangsangan kepada orang yang bermakrifat dan suasana sifat-sifat Ilahi menjadi godaan kepada orang yang memiliki kesedaran terhadap hakikat. Sesiapa yang berpuas hati dengan salah satu daripada yang demikian akan terhalang daripada kurniaan Allah swt yang membawanya hampir dengan Zat-Nya. Jika mereka tertarik dengan godaan dan rangsangan tersebut mereka akan berhenti, mereka tidak boleh maju ke hadapan, mereka tidak boleh terbang lebih tinggi. Walaupun matlamat mereka adalah kehampiran dengan Pencipta mereka tidak lagi boleh sampai ke sana. Mereka telah terpedaya, mereka hanya memiliki satu sayap.

Orang yang mencapai kesedaran tentang hakikat yang sebenar, menerima rahmat dan kurniaan dari Allah swt yang tidak pernah mata melihatnya dan tidak pernah telinga mendengarnya dan tidak pernah hati mengetahui namanya. Inilah syurga kehampiran dan keakraban dengan Allah swt. Di sana tidak ada mahligai permata juga tidak ada bidadari yang cantik sebagai pasangan. Semoga manusia mengetahui nilai dirinya dan tidak berkehendak, tidak menuntut apa yang tidak layak baginya. Saidina Ali r.a berkata, “Semoga Allah merahmati orang yang mengetahui harga dirinya, yang tahu menjaga diri agar berada di dalam sempadannya, yang memelihara lidahnya, yang tidak menghabiskan masanya dan umurnya di dalam sia-sia.”

Orang yang berilmu mestilah menyedari bahawa bayi roh yang lahir dalam hatinya adalah pengenalan mengenai kemanusiaan yang sebenar, iaitu insan yang sejati. Dia patut mendidik bayi hati, ajarkan keesaan melalui berterusan menyedari tentang keesaan, tinggalkan keduniaan kebendaan ini yang berbilang-bilang, cari alam kerohanian, alam rahsia di mana tiada yang lain kecuali Zat Allah. Dalam kenyataannya di sana bukan tempat, ia tidak ada permulaan dan tidak ada penghujung. Bayi hati terbang melepasi padang yang tiada berkesudahan itu, menyaksikan perkara-perkara yang tidak pernah dilihat mata sebelumnya, tiada sesiapa bercerita mengenainya, tiada sesiapa boleh menggambarkannya. Tempat yang menjadi rumah kediaman bagi mereka yang meninggalkan diri mereka dan menemui keesaan dengan Tuhan mereka, mereka yang memandang dengan pandangan yang sama dengan Tuhan mereka, pandangan keesaan. Bila mereka menyaksikan keindahan dan kemuliaan Tuhan mereka tidak ada apa lagi yang tinggal dengan mereka. Bila dia melihat matahari dia tidak dapat melihat yang lain, dia juga tidak dapat melihat dirinya sendiri. Bila keindahan dan kemurahan Allah menjadi nyata apa lagi yang tinggal dengan seseorang? Tidak ada apa-apa!

Nabi s.a.w bersabda, 

“Seseorang perlu dilahirkan dua kali untuk sampai kepada alam malaikat.” 

Ia adalah kelahiran maksud daripada perbuatan dan kelahiran rohani daripada jasad. Kemungkinan yang demikian ada dengan manusia. Ini adalah keanehan rahsia manusia. Ia lahir daripada percampuran pengetahuan tentang agama dan kesedaran terhadap hakikat, sebagaimana bayi lahir hasil daripada percampuran dua titik air.

“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia daripada setitik (mani) yang bergiliran, yang Kami berikan percubaan kepada mereka, iaitu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.”
(Surah Insaan, ayat 2).

Bila maksud menjadi nyata dalam kewujudan ia menjadi mudah untuk melepasi bahagian yang cetek dan masuk ke dalam laut penciptaan dan membenamkan dirinya ke dasar hukum-hukum peraturan Allah swt. Sekalian alam kebendaan ini hanyalah satu titik jika dibandingkan dengan alam kerohanian. Hanya bila semua ini difahamkan maka kuasa kerohanian dan cahaya keajaiban yang bersifat ketuhanan, hakikat yang sebenar-benarnya, memancar ke dalam dunia tanpa perkataan tanpa suara.

Rujukan:

https://sites.google.com/site/galerihidayah/sirrul7


K 33 TAUBAT DAN PENGAJARAN MELALUI PERKATAAN



Tahap-tahap dan peringkat-peringkat perubahan kerohanian telahpun disebut. Perlu ditegaskan bahawa setiap peringkat dicapai terutamanya dengan taubat. Bolehlah dipelajari cara bertaubat dengan orang yang mengetahui cara berbuat demikian dan yang telah sendirinya bertaubat. Taubat yang sebenar dan menyeluruh merupakan langkah pertama di dalam perjalanan. 

“(Ingatlah) tatkala orang-orang kafir itu adakan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyah. Lalu Allah turunkan ketenteraman atas rasul-Nya dan atas mukmin. Dan Dia wajibkan mereka (ucapkan) perkataan menjaga keselamatan (taubat) kerana mereka lebih berhak dengan itu, dan memang (mereka) ahlinya, dan adalah Allah mengetahui tiap sesuatu.”
(Surah Fath, ayat 26).

Keadaan takutkan Allah swt mempunyai maksud yang sama dengan kalimah “La ilaha illa Llah” – tiada Tuhan, tiada apa-apa, kecuali Allah. Bagi orang yang mengetahui ini akan ada perasaan takut kehilangan-Nya, kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya, keampunan-Nya; dia takut dan malu melakukan kesalahan sedangkan Dia melihat, dan takutkan azab-Nya. Jika seseorang itu tidak berkeadaan demikian dia perlu mendapatkaan orang yang takutkan Allah dan menerima keadaan takutkan Allah itu daripada orang berkenaan.

Sumber dari mana perkataan itu diterima mestilah bersih dan suci daripada segala-galanya kecuali Allah swt, dan sesiapa yang menerimanya mestilah ada kebolehan untuk membezakan antara perkataan orang yang suci hatinya dengan perkataan orang awam. Penerimanya mestilah sedar cara perkataan itu diucapkan, kerana perkataan yang bunyinya sama mungkin mempunyai maksud yang jauh berbeza. Tidak mungkin perkataan yang datangnya daripada sumber yang asli sama dengan perkataan yang datangnya daripada sumber lain.

Hatinya menjadi hidup bila dia menerima benih tauhid daripada hati yang hidup kerana benih yang demikian sangat subur, itulah benih kehidupan. Tidak ada yang tumbuh daripada benih yang kering lagi tiada kehidupan. Kalimah suci “La ilaha illa Llah” disebut dua kali di dalam Quran menjadi bukti. 

“(Kerana) apabila dikata kepada mereka “Tiada Tuhan melainkan Allah” mereka menyombong. Dan mereka berkata, ‘Apakah kami mesti tinggalkan tuhan-tuhan kami buat (mengikut) seorang ahli syair dan gila?” 
(Surah Shaaffaat. Ayat 35 & 36).

Ini adalah keadaan orang awam yang baginya rupa luar termasuk kewujudan zahirnya adalah tuhan-tuhan. 

“Oleh itu Ketahuilah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Dan mintalah perlindungan bagi buah amal kamu, dan bagi mukmin dan mukminat, dan Allah mengetahui tempat usaha kamu (di siang hari) dan tempat kembali kamu (pada malam hari).”
(Surah Muhammad, ayat 19).

Firman Allah swt ini menjadi panduan kepada orang-orang beriman yang tulen yang takutkan Allah swt.

Saidina Ali r.a meminta Rasulullah s.a.w mengajarkan kepadanya cara yang mudah, paling bernilai, paling cepat kepada keselamatan. Baginda s.a.w menanti Jibrail memberikan jawapannya daripada sumber Ilahi. Jibrail datang dan mengajarkan baginda s.a.w mengucapkan “La ilaha” sambil memusingkan mukanya yang diberkati ke kanan, dan mengucapkan “illa Llah” sambil memusingkan mukanya ke kiri, ke arah hati sucinya yang diberkati. Jibrail mengulanginya tiga kali; Nabi s.a.w mengulanginya tiga kali dan mengajarkan yang demikian kepada Saidina Ali r.a dengan mengulanginya tiga kali juga. Kemudian baginda s.a.w mengajarkan yang demikian kepada sahabat-sahabat baginda. Saidina Ali r.a merupakan orang yang pertama bertanya dan menjadi orang yang pertama diajarkan.

Kemudian satu hari selepas kembali daripada peperangan, Nabi s.a.w berkata kepada pengikut-pengikut baginda, 

“Kita baharu kembali daripada peperangan yang kecil untuk menghadapi peperangan yang besar.”

Baginda s.a.w merujukkan kepada perjuangan dengan ego diri sendiri, keinginan yang rendah yang menjadi musuh kepada penyaksian kalimah tauhid. Baginda s.a.w bersabda, 

“Musuh kamu yang paling besar ada di bawah rusuk kamu."

Cinta Ilahi tidak akan hidup sehinggalah musuhnya, hawa nafsu badaniah kamu, mati dan meninggalkan kamu.

Mula-mulanya kamu mesti bebas daripada ego kamu yang mengheret kamu kepada kejahatan. Kemudian kamu akan mula memiliki suara hati yang belum penuh, walaupun kamu masih belum bebas sepenuhnya daripada dosa. Kamu akan memiliki perasaan mengkritik diri sendiri tetapi ia belum mencukupi. Kamu mesti melepasi tahap tersebut kepada peringkat di mana hakikat yang sebenarnya dibukakan kepada kamu, kebenaran tentang benar dan salah. Kemudian kamu akan berhenti melakukan kesalahan dan akan hanya melakukan kebaikan. Dengan demikian diri kamu akan menjadi bersih. Di dalam menentang hawa nafsu dan tarikan badan kamu, kamu mestilah melawan nafsu kehaiwanan, kerakusan, terlalu banyak tidur, pekerjaan yang sia-sia dan menentang sifat-sifat haiwan liar di dalam diri kamu kekejian, marah, kasar dan berkelahi. 

Kemudian kamu mesti usahakan membuang perangai-perangai ego yang jahat, takbur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit tubuh dan hati kamu. Cuma orang yang berbuat demikian yang benar-benar bertaubat dan menjadi bersih, suci murni dan tulen. 

“Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang bertaubat dan memelihara kesuciannya.”
(Surah Baqarah, ayat 222).

Dalam melakukan taubat seseorang itu mestilah mengambil perhatian supaya penyesalannya tidak samar-samar dan tidak juga secara umum agar dia tidak jatuh ke dalam ancaman Allah swt: 

“Tidak kira berapa banyak mereka bertaubat mereka tidak sebenarnya menyesal. Taubat mereka tidak diterima.”

Ini ditujukan kepada mereka yang hanya mengucapkan kata-kata taubat tetapi tidak tahu sejauh mana dosa mereka, malah tidak mengambil tindakan pembaikan dan pencegahan. Itulah taubat yang biasa, taubat zahir yang tidak menusuk kepada punca dosa. Ia adalah umpama orang yang cuba menghapuskan rumput dengan memotong bahagian di atas tanah tetapi tidak mencabut akarnya yang di dalam bumi. Tindakan yang demikian membantu rumput untuk tumbuh dengan lebih segar. Orang yang bertaubat dengan mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan itu berazam tidak mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada kesalahan itu, mencabut akar pokok yang merosakkan itu. Cangkul yang digunakan untuk menggali akarnya, punca kepada dosa-dosa, ialah pengajaran kerohanian daripada guru yang benar. Tanah mestilah dibersihkan sebelum ditanam pokok orkid.

“Dan Kami bawakan perumpamaan kepada manusia supaya mereka memikirkannya.”
(Surah Hasyr, ayat 21).

“Dia jualah Penerima taubat hamba-hamba-Nya dan mengampunkan dosa, dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Syura, ayat 25).

“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan amal soleh, maka mereka itu Allah tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan kerana adalah Allah itu Pengampun, Penyayang.”
(Surah Furqaan, ayat 70).

Ketahuilah taubat yang diterima tandanya ialah seseorang itu tidak lagi jatuh ke dalam dosa tersebut.

Ada dua jenis taubat taubat orang dan taubat mukmin sejati. Orang awam berharap meninggalkan kejahatan dan masuk kepada kebaikan dengan cara mengingati Allah swt dan mengambil langkah usaha bersungguh-sungguh, meninggalkan hawa nafsunya dan kesenangan badannya dan menekankan egonya. Dia mesti meninggalkan keegoannya yang ingkar terhadap peraturan Allah swt dan masuk kepada taat. Itulah taubatnya yang menyelamatkannya dari neraka dan memasukkannya ke dalam syurga.

Orang mukmin sejati, hamba Allah yang tulen, berada di dalam suasana yang jauh berbeza. Mereka berada pada makam makrifat yang jauh lebih tinggi daripada makam orang awam yang paling baik. Sebenarnya bagi mereka tidak ada lagi anak tangga untuk dipanjat; mereka telah sampai kepada kehampiran dengan Allah swt. Mereka telah meninggalkan kesenangan dan nikmat dunia ini dan menikmati kelazatan alam kerohanian rasa kehampiran dengan Allah swt, nikmat menyaksikan Zat-Nya dengan mata keyakinan.

Perhatian orang awam tertuju kepada dunia ini dan kesenangan mereka adalah merasai nikmat kebendaan dan kewujudan kebendaannya. Malah, jika kewujudan kebendaan manusia dan dunia merupakan satu kesilapan begitu jugalah nikmat dan kecacatan yang paling baik daripadanya. Kata-kata yang diucapkan oleh orang arif, 

“Kewujudan dirimu merupakan dosa, menyebabkan segala dosa menjadi kecil jika dibandingkan dengannya.”

Orang arif selalu mengatakan bahawa kebaikan yang dilakukan oleh orang baik-baik tidak mencapai kehampiran dengan Allah swt tidak lebih daripada kesalahan orang yang hampir dengan-Nya. Jadi, bagi mengajar kita memohon keampunan terhadap kesalahan yang tersembunyi yang kita sangkakan kebaikan, Nabi s.a.w yang tidak pernah berdosa memohon keampunan daripada Allah swt sebanyak seratus kali sehari. Allah Yang Maha Tinggi mengajarkan kepada rasul-Nya: 

“Pintalah perlindungan bagi buah amal kamu dan bagi mukmin dan mukminat.”
(Surah Muhamad, ayat 19).

Dia jadikan rasul-Nya yang suci murni sebagai teladan tentang cara bertaubat dengan merayu kepada Allah supaya menghilangkan ego seseorang, sifat-sifatnya dan dirinya, semuanya pada diri seseorang, mencabut kewujudan diri seseorang. Inilah taubat yang sebenarnya.

Taubat yang demikian meninggalkan segala-galanya kecuali Zat Allah, dan berazam untuk kembali kepada-Nya, kembali kepada kehampiran-Nya untuk melihat Wajah Ilahi. Nabi s.a.w menjelaskan taubat yang demikian dengan sabda baginda s.a.w, 

“Ada sebahagian hamba-hamba Allah yang tulen yang tubuh mereka berada di sini tetapi hati mereka berada di sana, di bawah arasy.”

Hati mereka berada pada langit kesembilan, di bawah arasy Allah kerana penyaksian suci terhadap Zat-Nya tidak mungkin berlaku pada alam bawah.
Di sini hanya kenyataan atau penzahiran sifat-sifat suci-Nya yang dapat disaksikan, memancar ke atas cermin yang bersih kepunyaan hati yang suci. Saidina Umar r.a berkata, “Hatiku melihat Tuhanku dengan cahaya Tuhanku”. Hati yang suci adalah cermin di mana keindahan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah memancar. Nama lain yang diberi kepada suasana ini ialah pembukaan (kasyaf), menyaksikan sifat-sifat Ilahi yang suci.

Bagi memperolehi suasana tersebut, untuk membersihkan dan menyinarkan hati, perlulah kepada guru yang matang, yang di dalam keesaan dengan Allah swt, yang disanjung dan dimuliakan oleh semua, dahulu dan sekarang. Guru berkenaan mestilah telah sampai kepada makam kehampiran dengan Allah swt dan dihantar balik ke alam rendah oleh Allah swt untuk membimbing dan menyempurnakan mereka yang layak tetapi masih mempunyai kecacatan.

Di dalam penurunan mereka untuk melakukan tugas tersebut wali-wali Allah mestilah berjalan sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w dengan mengikuti teladan baginda s.a.w, tetapi tugas mereka berlainan dengan tugas rasul. Rasul diutuskan untuk menyelamatkan orang ramai dan juga orang-orang yang beriman. Guru-guru tadi pula tidak dihantar untuk mengajar semua orang tetapi hanyalah sebilangan yang dipilih sahaja. Rasul-rasul diberi kebebasan dalam menjalankan tugas mereka, sementara wali-wali yang mengambil tugas sebagai guru mesti mengikuti jalan rasul-rasul dan nabi-nabi.

Guru kerohanian yang mengaku diri mereka merdeka, menyamakan dirinya dengan nabi, jatuh kepada kesesatan dan kekufuran. Bila Nabi s.a.w mengatakan sahabat-sahabat baginda yang arif adalah umpama nabi-nabi Bani Israil, baginda memaksudkan lain daripada ini kerana nabi-nabi yang datang selepas Musa a.s semuanya mengikuti prinsip agama yang dibawa oleh Musa a.s. Mereka tidak membawa peraturan baharu. Mereka mengikuti undang-undang yang sama. Seperti mereka juga orang-orang arif dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w yang bertugas membimbing sebahagian daripada orang-orang suci yang dipilih, mengikuti kebijaksanaan Nabi s.a.w, tetapi menyampaikan perintah dan larangan dengan cara baharu yang berbeza, terbuka dan jelas, menunjukkan kepada murid-murid mereka dengan perbuatan yang mereka kerjakan pada masa dan keadaan yang berlainan. Mereka memberi dorongan kepada murid-murid mereka dengan menunjukkan kelebihan dan keindahan prinsip-prinsip agama. Tujuan mereka ialah membantu pengikut-pengikut mereka menyucikan hati yang menjadi tapak untuk membena tugu makrifat.

Dalam semua itu mereka mengikut teladan daripada pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w yang terkenal sebagai ‘golongan yang memakai baju bulu’  yang telah meninggalkan semua aktiviti keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah s.a.w dan berada hampir dengan baginda. Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah s.a.w. Dalam kehampiran mereka dengan Rasulullah s.a.w mereka telah sampai kepada peringkat di mana mereka boleh bercakap tentang rahsia israk dan mikraj Rasulullah s.a.w sebelum baginda membuka rahsia tersebut kepada sahabat-sahabat baginda.

Wali-wali yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi s.a.w dengan Tuhannya. Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian  daripada kenabian, dan diri batin mereka selamat di bawah penjagaan Rasulullah s.a.w.

Tidak semua orang yang memiliki ilmu berada di dalam keadaan tersebut. Mereka yang sampai ke situ adalah yang lebih hampir kepada Rasulullah s.a.w daripada anak-anak dan keluarga mereka sendiri dan mereka adalah umpama anak-anak kerohanian Rasulullah s.a.w yang hubungannya lebih erat daripada hubungan darah. Mereka adalah pewaris sebenar kepada Nabi s.a.w. Anak yang sejati memiliki zat dan rahsia bapanya pada rupa zahirnya dan juga pada batinnya. Nabi s.a.w menjelaskan rahsia ini,

“Ilmu khusus adalah umpama khazanah rahsia yang hanya mereka yang mengenali Zat Allah boleh mendapatkannya. Namun bila rahsia itu dibukakan orang yang mempunyai kesedaran dan ikhlas tidak menafikannya.”

Ilmu tersebut dimasukkan kepada Nabi s.a.w pada malam baginda s.a.w mikraj kepada Tuhannya. Rahsia itu tersembunyi di dalam diri baginda di sebalik tiga ribu tabir hijab. Baginda s.a.w tidak membuka rahsianya melainkan kepada sebahagian pengikut baginda yang sangat hampir dengan baginda. Melalui penyebaran dan keberkatan rahsia inilah Islam akan terus memerintah sehingga ke hari kiamat.

Pengetahuan batin tentang yang tersembunyi membawa seseorang kepada rahsia tersebut. Sains, kesenian dan kemahiran keduniaan adalah umpama kerangka kepada pengetahuan batin. Mereka yang memiliki pengetahuan kerangka itu bolehlah mengharapkan satu hari nanti mereka diberi kesempatan untuk memiliki apa yang di dalam kerangka. Sebahagian daripada mereka yang berilmu memiliki apa yang patut dimiliki oleh seorang manusia secara umumnya sementara sebahagian yang lain menjadi ahli dan memelihara ilmu tersebut daripada hilang. Ada golongan yang menyeru kepada Allah swt dengan nasihat yang baik. Sebahagian daripada mereka mengikuti sunnah Nabi s.a.w dan dipimpin oleh Saidina Ali r.a. yang menjadi pintu kepada gedung ilmu yang melaluinya masuklah mereka yang menerima undangan dari Allah swt. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”
(Surah Nahl, ayat 125).

Maksud dan perkataan mereka adalah sama. Perbezaan pada zahirnya hanyalah pada perkara-perkara terperinci dan cara pelaksanaannya.
Sebenarnya ada tiga makna yang kelihatan sebagai tiga jenis ilmu yang berbeza – dilakukan secara berbeza, tetapi menjurus kepada yang satu, sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Ilmu dibahagikan kepada tiga yang tidak ada seorang manusia boleh menanggung keseluruhan beban ilmu itu juga tidak berupaya mengamalkan dengan sekaliannya.

Bahagian pertama ayat di atas 

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana (hikmah).”

Sesuai dengan makrifat, zat dan permulaan kepada segala sesuatu, pemiliknya mestilah sebagaimana Nabi s.a.w beramal sesuai dengannya. Ia hanya dikurniakan kepada lelaki sejati yang berani, tentera kerohanian yang akan mempertahankan kedudukannya dan menyelamatkan ilmu tersebut. Nabi s.a.w bersabda, 

“Kekuatan semangat lelaki sejati mampu menggoncang gunung.”

Gunung di sini menunjukkan keberatan hati sesetengah manusia. Doa lelaki sejati yang menjadi tentera kerohanian dimakbulkan. Bila mereka menciptakan sesuatu ia berlaku, bila mereka mahukan sesuatu hilang maka iapun hilang. 

“Dia kurniakan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Barangsiapa dikurniakan hikmah maka sesungguhnya dia telah diberi kebajikan yang banyak.”
(Surah Baqarah, ayat 269).

Jenis kedua ialah ilmu zahir yang disebut Al Quran sebagai “seruan yang baik”. Ia menjadi kulit kepada hikmah kebijaksanaan rohani. Mereka yang memilikinya menyeru kepada kebaikan, mengajar manusia berbuat baik dan meninggalkan larangan-Nya. Nabi s.a.w memuji mereka. Orang yang berilmu menyeru dengan lemah lembut dan baik hati, sementara yang jahil menyeru dengan kasar dan kemarahan.

Jenis ketiga ialah ilmu yang menyentuh kehidupan manusia di dalam dunia. Ia disebut sebagai ilmu agama (syariat) yang menjadi sarang kepada hikmah kebijaksanaan (makrifat). Ia adalah ilmu yang diperuntukkan kepada mereka yang menjadi pemerintah manusia; menjalankan keadilan ke atas sesama manusia; pentadbiran manusia ke atas sesama manusia. Bahagian terakhir ayat Al Quran yang di atas tadi menceritakan tugas mereka “dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”. Mereka ini menjadi kenyataan kepada sifat Allah “al-Qahhar” Yang Maha Keras. Mereka berkewajipan menjaga peraturan di kalangan manusia selaras dengan hukum Tuhan, seumpama sabut melindungi tempurung dan tempurung melindungi isi.
Nabi s.a.w menasihatkan, 

“Biasakan dirimu berada di dalam majlis orang-orang arif, taatlah kepada pemimpin kamu yang adil. Allah Yang Maha Tinggi menghidupkan hati dengan hikmah seperti Dia jadikan bumi yang mati hidup dengan tumbuh-tumbuhan dengan menurunkan hujan.” 

Baginda s.a.w juga bersabda , 

“Hikmah adalah harta yang hilang bagi orang yang beriman, dikutipnya di mana sahaja ditemuinya.”

Malah perkataan yang diucapkan oleh manusia biasa datangnya daripada Loh Terpelihara menurut hukum Allah swt terhadap segala perkara daripada awal hingga akhir. Loh itu disimpan pada alam tinggi pada akal asbab tetapi perkataan diucapkan menurut makam seseorang. Perkataan mereka yang telah mencapai makam makrifat adalah secara langsung daripada alam tersebut, makam kehampiran dengan Allah swt. Di sana tidak ada perantaraan.

Ketahuilah bahawa semua akan kembali kepada asal mereka. Hati, zat, mesti dikejutkan; jadikan ianya hidup untuk mencari jalan kembali kepada asalnya yang suci murni. Ia mesti mendengar seruan. Seseorang mesti mencari orang yang orang yang daripadanya seruan itu muncul, melaluinya zahir seruan. Itulah guru yang sebenar. Ini merupakan kewajipan bagi kita. Nabi s.a.w bersabda, 

“Menuntut ilmu wajib bagi setiap orang Islam lelaki dan perempuan.”

Ilmu tersebut merupakan peringkat terakhir semua ilmu, itulah ilmu makrifat, ilmu yang akan membimbing seseorang kepada asalnya, yang sebenar (hakikat). Ilmu yang lain perlu menurut sekadar mana keperluannya.  Allah swt menyukai mereka yang meninggalkan cita-cita dan angan-angan kepada dunia, kemuliaan dan  kebesarannya, kerana kepentingan duniawi ini menghalang seseorang kepada Allah swt.

“Katakanlah: “Aku tidak meminta kepadamu upah atas (menyampaikan)nya, kecuali percintaan (kepadaku) lantaran kerabat.”
(Surah Syura, ayat 23).

Ditafsirkan maksud perkataan “apa yang hampir dengan kamu” ialah datang hampir dengan kebenaran.