Fatwa Siri 21/2007-( Waswas Semasa Hendak Dan Dalam Sembahyang)
Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.
Fatwa Pilihan
WASWAS SEMASA HENDAK DAN DALAM SEMBAHYANG
Fatwa siri : 21/2007
Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.
Fatwa Pilihan
WASWAS SEMASA HENDAK DAN DALAM SEMBAHYANG
Fatwa siri : 21/2007
Soalan:
Saya ada mempunyai sifat was-was yang amat tinggi. Setiap kali saya hendak melakukan solat, hati saya susah nak memasang niat. Setiap kali saja saya hendak mengangkat takbir, hati saya ragu-ragu dan begitu juga ketika solat, ketika membaca ayat-ayat dalam solat terutama membaca 'Bismillah’, hati saya ragu-ragu sama ada bacaan saya itu betul atau tidak. Jadi bolehkah pihak Pehin Mufti dalam membantu untuk menghilangkan perasaan was-was ini dan apa yang perlu dibuat?
Jawapan:
Was-was menurut Kamus Dewan bererti perasaan sangsi, curiga dan khuatir. Dari istilah Bahasa Arab pula bererti sangkaan buruk yang merunsingkan hati atau fikiran dan godaan batin.
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullah, al-Waswasah (ﺍﻟﻮﺳﻮﺳﺔ) adalah suara yang tersembunyi atau bisikan hati (dalam diri). Manakala al-Was-wâs adalah nama syaitan seperti mana yang disebutkan dalam surah an-Nâs. (AlJâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 20/261)
Perasaan was-was berbeza dengan syak. Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, solat tidak batal jika was-was timbul kerana ia adalah fikiran yang datang tanpa pilihan (ia hanyalah mainan fikiran). (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/343) Manakala sekiranya syak timbul, maka hendaklah kita teruskan dengan apa yang kita yakini. Ini bersesuaian dengan salah satu Qâ‘idah Fiqhiyyah:
Ertinya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh syak.
Ini bermaksud bahawa keyakinan adalah satu perkara yang tetap, manakala syak adalah satu perasaan yang mendatang. Maka sesuatu perkara itu dihukumkan mengikut apa yang tetap (yang diyakini) dan bukan yang disyaki.
Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Sa‘îd alKhudriyyi Radhiallahu ‘anhu:
“Jika seseorang daripada kamu syak dalam solatnya, lalu dia tidak tahu berapa rakaat telah dilakukannya. Adakah tiga atau empat? Maka buanglah syak dan peganglah apa yang diyakini (buatlah jumlah rakaat yang diyakini). Kemudian sujudlah dua kali sujud sebelum memberi salam. Jika dia telah melakukan lima rakaat, maka ia (kedua sujud dan duduk antaranya) menggenapkan solatnya. Jika dia telah melakukan sempurna empat rakaat, kedua sujud itu sebagai satu tanda kehinaan bagi syaitan.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Mengatasi Was-was dengan Memperdalami Ilmu.
Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, was-was timbul kerana lemahnya akal pemikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/214)
Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Abbâs Radhiallahu ‘anhumâ:
“Seorang faqîh (ahli ilmu agama) lebih susah bagi syaitan (mendatangkan waswas) daripada seribu orang ahli ibadat (yang jahil).”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzî)
Hadis yang disebutkan di atas merupakan galakan untuk kita memperdalami ilmu; khususnya ilmu agama dalam masalah ibadat, agar kita yakin dalam segala amalan kita, dan tidak mudah tewas oleh bisikan dan godaan syaitan yang cuba menimbulkan keraguan dalam amalan kita.
Jadi bagi mengatasi masalah was-was ketika solat, hendaklah memperdalami ilmu mengenai solat; dari segi tatacara memasang niat, mengangkat takbîratul ihram, bacaan-bacaan yang betul dalam solat dan sebagainya.
Waswas pada Niat Solat dan Takbîratul Ihram
Niat dari segi bahasa bererti kehendak atau tujuan di hati. Dari segi syarak pula bererti kemahuan untuk melaksanakan sesuatu perkara sambil terus melakukan perkara tersebut. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/206)
Jika seseorang hendak melakukan solat fardhu, adalah wajib dia menghadirkan di dalam hatinya tiga syarat iaitu qashad (tujuan hendak solat), ta‘yîn (menentukan solat Zuhur dan sebagainya) danta‘arrudh (pernyataan fardhu). Maka jadilah niat solat fardhu Zuhur umpamanya, seperti: “Aku solat fardhu Zuhur” atau “Aku solat Zuhur fardhu”.
Demikian juga wajib menyatakan pernyataan qashar bagi hak musâfir, dan pernyataan ‘imam’ atau ‘makmum’ seandainya berjemaah. (Hâsyiah I‘ânah athThâlibîn: 1/212)
Menurut Syamsuddîn Muhammad bin Ahmad asy-Syarbînî al-Khathîb Rahimahullah, adalah sunat melafazkan niat sebelum mengangkat takbîratulihrâm agar lidah dan hati saling tolong-menolong pada menghadirkan niat, dan sekaligus mengelak waswas. (Al-Iqnâ’: 1/175)
Jadi seseorang yang hendak solat fardhu Zuhur, hendaklah menghadirkan dalam hatinya tujuan sedemikian, dan sunat menyebut lafaz niatnya dengan lidah, seperti: Ertinya: Aku solat fardhu Zuhur.
Lalu terus mengangkat takbîratul ihram dengan ucapan: الله أكبر
Sambil di hatinya masih menghadirkan atau masih tertanam niat untuk solat fardhu Zuhur sehingga selesai mengucap takbir itu. Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, cara sedemikian adalah cara hakiki menghadirkan niat yang beriringan dengan takbîratul ihram. Menurut al-‘Allâmah al-Bujairimi Rahimahullah, pendapat yang muktamad adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul ihram menurut ‘urf (kebiasaan); iaitu menghadirkan niat pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul ihram. Sebagai contoh, tujuan untuk solat fardhu Zuhur dihadirkan pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul ihram.
Menurut Imam al-Ghazâli Rahimahullah, adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul ihram mengikut ‘urf (kebiasaan) bagi orang awam. Ini adalah kerana perlakuan sedemikian sudah dianggap menghadirkan niat untuk solat. Berlainan bagi orang-orang tertentu (seperti sahabat-sahabat Nabi Radhiallahu ‘anhum), maka mereka mampu menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul ihram dengan cara yang hakiki; iaitu menghadirkan niat yang beriringan dengan keseluruhan ucapan takbîratul ihram.
Pendapat ini dibenarkan oleh Imam as-Subki Rahimahullah, dan menurutnya, barangsiapa yang tidak mengucapkan niat sedemikian, mengalami was-was yang tercela. Demikian pendapat-pendapat yang disebutkan dalam Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/212-214)
Menurut Syamsuddîn Muhammad bin Ahmad asy-Syarbînî al-Khathîb Rahimahullah, waswas yang datang ketika takbîratul ihram adalah permainan syaitan dan itu menunjukkan lemahnya akal pemikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama. (Al-Iqnâ’: 1/180)
Menurut sebahagian ulama, berhati-hatilah jika syaitan menyerang dengan keburukan was-was. Jika terjadi sedemikian dan di luar kemampuan, maka lakukanlah seperti apa yang telah disebutkan tadi oleh Imam al-Ghazâli Rahimahullah bagi tujuan memudahkan. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/213)
Sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Taâla dalam Surah al-Hajj, ayat 78:
Tafsirnya: “Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah-payah dalam perkara agama.”
Masalah Was-was pada Bacaan dalam Solat
Menurut Ibnu al-Jauzî Rahimahullah: Antara tipu daya Iblis terhadap orang yang solat ialah mendatangkan was-was pada makhraj huruf. Ada yang membaca ‘al-hamdu… al-hamdu…’ berulang kali sehingga menyebabkannya terkeluar dari adab solat. Adakalanya Iblis mendatangkan was-was ketika membunyikan tasydid (huruf bersabdu), dan adakalanya ketika membunyikan huruf dhâd pada kalimah al-maghdhûb dalam surah al-Fâtihah sehingga terkeluar air ludahnya kerana terlalu kuat tekanannya pada huruf itu. Ini merupakan was-was yang didatangkan oleh Iblis yang menyuruh mereka menyibukkan diri secara keterlaluan dan melampaui batas dalam pengucapan huruf sehingga perhatian untuk memahami bacaan berkurangan. Padahal yang dikehendaki hanyalah mengeluarkan atau menyebutkan bunyi huruf dengan betul. (Talbîs Iblîs: 183-184)
Menghadirkan Hati Bagi Menjauhi Was-was
Antara cara untuk mengatasi masalah was-was ketika solat juga ialah dengan menghadirkan hati. Menurut Imam al-Ghazâli Rahimahullah, antara cara menghadirkan hati ketika solat adalah dengan mengosongkan hati dari segala perkara yang mengganggu fikiran. Perkara-perkara yang mengganggu fikiran dapat dicegah dengan menolak penyebabnya. Oleh itu, selidikilah penyebab gangguan itu. Penyebab-penyebab itu sama ada berunsur persekitaran atau dalam diri sendiri.
Adapun penyebab persekitaran adalah apa-apa yang terdengar oleh telinga atau ternampak oleh mata. Maka, seorang yang kuat niat dan azamnya untuk solat tidak akan terganggu dengan apa yang didengar atau dilihatnya. Namun, orang yang lemah azamnya akan bercelaru pemikirannya, maka cara mengatasinya adalah dengan menundukkan pandangan ke tempat sujud, atau solat di tempat gelap, atau membuang benda yang boleh mengganggu fikiran, atau bersolat dekat dinding bagi membataskan pandangan dan mengelakkan dari bersolat di tempat laluan atau atas tikar yang
berukir.
Manakala cara mengatasi faktor dalam diri, adalah dengan berusaha mengosongkan fikiran dari hal-hal keduniaan dan menumpukan perhatian pada memahami apa yang dibacanya dalam solat.
Maka seseorang yang hendak solat, hendaklah mengingat akan dahsyatnya suasana akhirat ketika dia akan berdiri di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âla.
Jika fikiran masih bercelaru, maka hendaklah meninggalkan perkara-perkara dunia yang menjadi kesukaan hawa nafsunya yang merupakan perangkap syaitan. (Ihyâ’ ‘Ulûmiddin: 1/225-226)
Firman Allah Taâla dalam Surah Thaha, ayat 14:
“Dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu.”
Amalan Zikir bagi Orang yang Was-was
Allah Subhânahu wa Ta‘âla telah memerintahkan kita dalam Surah an-Nâs, untuk memohon perlindunganNya daripada kejahatan syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mendatangkan was-was (hasutan) kepada manusia:
Tafsirnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, Yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
Syaitan disifatkan dengan al-Khannâs kerana sifatnya yang selalu tersembunyi dan tidak kelihatan. Dikatakan juga, kerana syaitan berundur lari jika seseorang hamba itu ingat kepada Allah. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 20/262)
Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Anas bin Mâlik Radhiallahu ‘anhu:
“Barangsiapa yang membaca pada pagi hari: (ertinya: Aku berlindung kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam), maka dipelihara dia daripada syaitan sehingga petang.”
(Hadis dikeluarkan oleh Ibnu as-Sunnî)
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengajarkan kita cara menghindari was-was sebagaimana dalam hadis riwayat Muslim:
“Sesungguhnya ‘Utsmân bin Abu al-‘Âsh Radhiallahu ‘anhu menghadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan telah menghalangi solatku dengan bacaanku. Dia menimbulkan keraguan kepadaku. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Itulah syaitan yang dipanggil Khinzib. Jika engkau merasakannya, mohonlah perlindungan Allah daripadanya. Kemudian meludahlah ke sebelah kiri sebanyak tiga kali”. (‘Utsmân berkata:) Akupun melakukan seperti apa yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Allahpun melenyapkannya dariku.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Jarir bin ‘Ubaidah al-‘Adawî mengatakan yang ertinya: “Aku mengadu kepada al-‘Alâ’ bin Ziyâd: “Aku dapati was-was pada dadaku.” Diapun berkata: “Itu seperti rumah yang diawasi oleh pencuri, jika didapatinya ada sesuatu dalam rumah itu, maka dia bersegera kepadanya. Jika tidak, dia pergi meninggalkannya.” Maknanya, jika hati disibukkan dengan zikir (mengingati) Allah, tiada peluang bagi syaitan untuk mengganggu. Tetapi syaitan mengambil peluang untuk mendatangkan was-was apabila lalai dari zikir (mengingati) Allah.
Al-Ustâz Abu al-Hasan asy-Syâzalî Rahimahullah pernah mengajarkan sahabat-sahabatnya amalan yang boleh menghindarkan was-was dan lintasan-lintasan fikiran yang tidak baik. Beliau mengatakan kepada mereka: “Barangsiapa yang merasa sedemikian rupa, hendaklah dia meletakkan tangan kanannya di atas
dadanya, sambil membaca sebanyak tujuh kali sebelum mengangkat takbîratulihrâm:
Ertinya: Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa, yang Maha Suci (dari kekurangan), yang Maha menciptakan (sekalian makhluk) dan yang Maha Melakukan (apa yang dikehendakiNya). Kemudian membaca ayat 19-20, Surah Ibrahim:
“Jika Dia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu. Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.”
Sebahagian ulama juga mengatakan, digalakkan bagi orang yang terkena was-was ketika berwuduk, solat dan lain-lain untuk membaca: sebab syaitan berundur apabila mendengar kalimat zikir. Lebih-lebih lagi, kalimat لا إله إلا الله adalah induk segala zikir.
As-Sayyid al-Jalîl Ahmad bin Abi al-Hawârî berkata yang ertinya: “Aku mengadu kepada Abu Sulaimân ad-Dârânî Radhiallahu ‘anhu tentang was-was yang menimpaku. Beliau menjawab: “Jika engkau ingin menghilangkannya, maka apabila saja engkau merasainya, bergembiralah, kerana jika engkau bergembira, waswas itu akan terputus daripadamu. Tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh syaitan daripada kegembiraan orang yang beriman. Jika engkau bersedih hati tentulah waswas itu akan bertambah-tambah lagi menyerang dirimu. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/214-215)
Demikianlah di antara amalan yang boleh diamalkan ketika diserang perasaan was-was ataupun lintasan-lintasan pemikiran yang tidak baik. Semoga dengan memperdalami ilmu syariat Islam juga boleh membantu untuk menghilangkan perasaan was-was dalam menjalankan ibadat khususnya dan mengharungi kehidupan umumnya, di samping sentiasa berusaha untuk menghadirkan hati mengingat Allah ketika solat mahupun ketika tidak solat, dan memohon perlindunganNya daripada syaitan.
Apakah hukum berjabat tangan dengan seorang perempuan yang berpangkat dalam kerajaan dalam satu majlis makan malam dan dialah yang terlebih dahulu menghulurkan tangan.
[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA
USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.
Penjelasan sepenuhnya boleh dibaca di sini : http://www.mufti.gov.bn/fatwa/Fatwa%20pilihan/2012/Bil%2010-2012-Fatwa%2021%202007-%20Was-was%20semasa%20hendak%20dan%20dalam%20sembahyang%20.pdf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan