Ketika berada di ruang udara IKIM.fm
dalam slot Mukmin Profesional, seorang pemanggil bertanya saya akan ujian yang
menimpanya. Dirasakannya ujian yang dihadapinya terlalu banyak, bertubi-tubi
datang, lepas satu, satu. Suaranya membayangkan kesedihan. Saya turut
merasainya kerana itu juga menjadi suara hati sesiapa yang diuji. Hakikatnya,
saya yang ditanya tidaklah lebih baik daripadanya. Dia lebih baik… kerana sudi
dan berani berterus-terang. Kebanyakkan kita hanya memendamkan rasa hati…
Apabila diuji dengan kesakitan,
perpisahan, kegagalan, kemiskinan… terdetiklah rasa, “apakah Tuhan sayangkan
aku? Kenapa aku diuji sebegini berat sekali?” Subhanallah, saya terasa ingin
menjawab rasa hati ini dengan sebuah tulisan yang panjang. Terasa benar-benar
terpanggil. Tetapi kerana banyak cabaran dan hambatan, saya mulakan dengan
tulisan yang secebis ini… Saya punya rasa malu, bimbang, dan tidak puas jika
bersandar kepada akal dan susunan ayat untuk membujuk hati… namun, marilah
sandarkan segala harapan dan kekuatan kepada Allah. Yang secebis ini jika
diberkati lebih baik daripada selaut yang tidak diredhai. Terimalah tulisan ini
sekadarnya.
KENALI TUHAN YANG MENGUJIMU
Apabila ujian kesakitan, perpisahan,
kegagalan, kemiskinan datang bertimpa-timpa, terdetik juga kata di dalam
hati, “Apakah Tuhan masih sayangkan aku? Kenapa aku diuji seberat dan sekerap
begini?” Subhanallah, tanpa disedari seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa
Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya
akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.
Paling malang, manusia kerap terlupa
bahawa dirinya hamba. Terutamanya ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita
agar mengucapkan kalimah ‘istirja’ setiap kali diuji… Innalillah wa inna
ilahihi rajiun, yang ertinya, “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan
dikembalikan.” Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik
Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali
menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba…
Namun untuk meringankan kepedihan ujian
yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu. Kenallah sifat
ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang Maha hebat. Sebagai hamba ilmu
kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih
sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah
cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?
Orang yang mengenal kasih-sayang Allah
punya keyakinan bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang
terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu
yang buruk untuk hamba-Nya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka
terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah
sesuatu yang tidak baik.
Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah
itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap
kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum
mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, ya Allah mujur Kau
takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah), “sekiranya kita
merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila DIA menguji kita, itu petanda
tumpulnya akal, butanya mata hati.”
Di antara hikmah ujian, seseorang akan
dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana
selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab ujian bertentangan
dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar
untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lail-lain.
Lalu apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin
segera terlepas daripada ujian itu.
Jadi, apabila nafsu terdesak, hati akan
dan akal terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan
kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan.
Ujian itu sesugguhnya akan melemahkankan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta
batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa –
mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.
Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada
Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha
dan tawakal, kerana Qada dan QadarNya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat
dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun
sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal
lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian.
Justeru, Allah berfirman:
Ertinya : “…Dan boleh jadi kamu menyukai
sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan
kamu tidak tahu.”
(Surah Al Baqarah : 216).
Dengan ujian juga, Allah ‘membersihkan’
kotoran hati manusia. Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah
seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata,
“belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah
dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”
Bila kita benci dengan ujian, ertinya
belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah
mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang yang
benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia
merasa tidak berdosa? Sebaliknya, apabila kita gembira (menerima dengan
baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada
Allah. Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga
berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.
Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang dikehendaki
Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujianNya.” Jadi, bila diuji, terimalah dengan
baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak
ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan
mereka kepada Allah.Tapi bagi anti diuji, tidak akan dapat melihat hikmah
kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya
sahaja.
Ingatan para hamba kepada Allah akan
bertambah dengan ujianNya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila
diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah kepada Allah. (Oh… Allah ingat
lagi padaku). Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan lakukanlah tiga langkah
ini apabila kita diuji:
I) Kuatkan iman, pupuk kesabaran,
mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada
Allah. Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda akan terus bangun
mendirikan solat dua rakaat. Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi
cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha Besar. Masalah kita mungkin
besar tetapi Allah yang memberinya jauh lebih besar. Justeru, segeralah
‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa ujian.
II) Cuba serapkan rasa di dalam hati
Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh
keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita,
bukan apa yang berlaku di luar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan
ubat. Allah berikan yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk
mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat masam…
buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.
III) Berbaik sangka dengan Allah dengan
cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk
kita. Bila baik sangka kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepadaNya.
Apabila hampir kepadanya… In Sya Allah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah
DIA Tuhan yang Maha Baik?
Ya, Allah timpakan ujian yang besar,
untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering
berkata…Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya.
Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan
sediakan untuk ‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya.
Dan setiap kita adalah pemimpin…
sekurang-kurang pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru
apabila diuji jangan katakan, “apakah aku tersisih?” Sebaliknya, katakan, “aku
sudah terpilih!”
Rujukan : IKIM.fm dalam slot Mukmin Profesional,