Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 27 Jun 2014

R 81 : RAMADAN BULAN MENGUMPUL PAHALA DAN HINDARI DOSA

RAMADAN dan sinarnya kembali bertandang menemui sekalian hamba kalangan umat Islam. Bulan setiap hamba diundang menjadi tetamu ALLAH SWT dan dimuliakan olehNya. Pada bulan ini setiap hela nafas menjadi tasbih, tidur menjadi ibadah, amalan diterima dan doa-doa diperkenankan.

Tatkala mengingatkan imbauan silam saat junjungan besar RASULULLAH SAW dan para sahabat amat girang serta tidak sabar-sabar menanti ketibaannya pada setiap tahun, terdetik persoalan di manakah kita dalam meneladani dan menghayati RASULULLAH SAW di madrasah Ramadan yang penuh keberkatan ini?

Bulan dan detik-detik yang sarat dengan kebaikan, peluang sisa umur yang sangat indah sebelum terlena kerana adakah masa yang paling indah daripada Ramadan untuk melakukan munajat kepada ALLAH SWT dengan berdiri menghadap Rabb al-Izzati sambil mendengar alunan ayat-ayatNya yang menghiasi pendengaran, membersihkan hati dan menambahkan keimanan dalam diri?

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” 
(Surah 2,  AL BAQARAH : ayat 183)

Puasa ‘madrasah’ membentuk peribadi Muslim sejati

Matlamat puasa tidak lain adalah untuk merawat penyakit dan kecacatan yang menimpa diri seorang muslim. Puasa merupakan madrasah membentuk peribadi muslim yang bersifat ikhlas, sabar, melatih rohani dan jasmani.

Puasa mendidik dan membentuk muslim bersifat sabar dalam apa jua situasi dan keadaan. Sabar yang paling kuat adalah sabar dalam melawan kehendak nafsu ammarah dan sering mengajak tuannya ke lembah kejahatan dengan melakukan perkara-perkara haram dan menjauhkan dirinya daripada melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT.

Seseorang yang berpuasa yang meneladani dan memahami anjuran RASULULLAH SAW ketika mendengar kata-kata keji dan kurang enak dilemparkan ke atasnya akan segera berkata, “sesungguhnya aku berpuasa.”
Sifat sabar yang dimiliki oleh setiap muslim menjadikan amalannya di atas paksi ikhlas kerana ALLAH SWT. ALLAH SWT menjadikan setiap pahala amalan kepada hamba-hambanya melainkan puasa kerana puasa dinisbahkan kepadaNya dalam erti kata lain ALLAH SWT yang memberikan ganjaran pahalanya.

Puasa mengajar seorang muslim menjaga lidahnya dari berkata dusta, mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang kesat. BAGINDA SAW bersabda yang bermaksud,

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan ghibah maka tidak ada ertinya di sisi ALLAH baginya berpuasa dari makan dan minum.” 
 (riwayat al-Imam al-Bukhari)

Hadis ini adalah peringatan kepada setiap diri agar meninggalkan perkataan dusta dan ghibah. Sabda BAGINDA SAW tidak ada ertinya di sisi ALLAH SWT merupakan perumpamaan tertolaknya ibadah puasa yang bercampur dengan perkataan dusta.
Seorang muslim yang berpuasa sewajarnya membetulkan niat ikhlas kerana ALLAH SWT dalam menjalani ibadah puasa. Selain itu, menjaga diri daripada perkara-perkara yang menyebabkan berlakunya kecacatan terhadap puasa yang dilakukan dengan mengikut garis panduan yang diajar oleh BAGINDA SAW.

Memelihara ikhlas adalah dengan cara mengarahkan hati hanya kepada ALLAH SWT dan hanya mengharapkan pahala dan keredhaan daripadaNya. Manakala ittiba’ (pengajaran) dalam puasa pula adalah dengan mengetahui hukum-hukum puasa sehingga sah puasa yang dilakukan, mengecapi kenikmatan dan pahala, serta jauh dari dosa.
Bagaimana mungkin seorang muslim dapat merealisasikan ittiba’ iaitu meneladani RASULULLAH SAW dalam puasa, sementara dia jahil terhadap puasa-puasa yang wajib sehingga membatalkan puasanya.

Puasa bukan hanya semata-semata menahan diri dari makan dan minum. RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan palsu dan melakukannya, maka ALLAH SWT tidak mempedulikannya dalam meninggalkan makanan dan minumannya.” 
(riwayat al-Bukhari)

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa berpuasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum tetapi berpuasa adalah menjaga daripada berkata-berkata perkara yang sia-sia atau perkara keji.

Menyingkap Ramadan RASULULLAH SAW

Ramadan merupakan nikmat kesempatan sangat berharga yang tiada galang gantinya. Setiap malamnya ALLAH SWT membebaskan 100,000 ribu orang dari mereka yang sudah tercatat sebagai penghuni neraka.
Pada malam terakhirnya ALLAH SWT membebaskan mereka tanpa batas seperti malam-malam sebelumnya.
Dr. Aid al-Qarni dalam mengajak umat Islam meneladani peribadi RASULULLAH SAW dalam menyambut Ramadan berkata, 

“Renungilah bagaimana RASULULLAH SAW seorang Nabi yang maksum menjadi ukuran kebenaran menyambut tamu agung ini.”

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: 

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan ia banyak menyebut Allah.” 
(Surah 33,  AL AHZAB : ayat 21)

Alangkah beruntung siapa yang setia mengikuti petunjuk NABI MUHAMMAD SAW dan meneladani beliau dalam semua segi dari kehidupan ini. Dan alangkah besar kerugian orang yang selalu melafazkan sabdanya tetapi tidak mengikuti kandungan isinya.
Apabila RASULULLAH SAW melihat hilal (anak bulan) petanda bahawa Ramadan telah tiba, BAGINDA SAW berdoa kepada ALLAH SWT, 

“Ya ALLAH, jadikanlah bulan ini bulan keamanan dan keimanan, serta kedamaian dan keislaman bagi kami. kerana ia adalah bulan kebaikan dan kebenaran. Tuhanku dan Tuhannya adalah satu, iaitu Engkau, ya ALLAH.”

Tambahan, menurut Aid al-Qarni hadis di atas dapat difahami seolah-olah Nabi berkata kepada hilal, 

“Wahai hilal, engkau adalah makhluk seperti juga aku, Tuhanku dan Tuhanmu adalah ALLAH SWT. Engkau tidak dapat mendatangkan mudarat dan tidak juga manfaat, tidak dapat menghidupkan dan tidak pula mematikan, dan tidak dapat mendatangkan rezeki dan mengatur segala sesuatu. Sesungguhnya merupakan kesalahan yang amat besar sekiranya ada insan yang menyembahmu”.

RASULULLAH SAW tatkala menjelang bulan Ramadan lebih tekun melakukan amal kebaikan seperti memperbanyak tilawah al Quran, bersedekah, mengeratkan silaturrahim sesama muslim dan mempertingkatkan ibadah-ibadah sunat.
Justeru, perlu ditegaskan di sini, apa yang paling penting dan mustahak pada bulan Ramadan ialah kita mencontohi sikap BAGINDA SAW.

Memperbanyak Tilawah

Puasa dan al Quran mempunyai kaitan yang sangat dalam. RASULULLAH SAW memperbanyak membaca al Quran dalam Bulan Ramadan.
RASULULLAH SAW mempunyai sifat dermawan, dan sifat dermawan baginda terserlah pada bulan Ramadan ketika Jibril membacakan dan mendengarkan bacaan al Quran. RASULULLAH SAW lebih dermawan dan pemurah berbanding dengan angin yang ditiupkan.
BAGINDA SAW gemar mendengarkan al Quran dan sering matanya berlinang ketika mendengarkan bacaan bait-bait ayat al Quran.

Ibnu Mas’ud menceritakan bahawa, suatu hari RASULULLAH SAW memintaku membaca al Quran untuk baginda, “Ibnu Mas’ud bacalah sesuatu dari al Quran untukku,” lalu aku membaca surah al-Nisa’ hingga ayat 41, yang bermaksud, “Maka bagaimanakah apabila Kami datangkan seorang saksi dari tiap-tiap umat dan Kami datangkan kamu (MUHAMMAD) sebagai saksi atas mereka atas mereka itu sebagai umatmu.” Aku melihat kedua mata baginda basah menitiskan air mata. 
(riwayat al-Bukhari).

Abdullah bin Amr pernah bertanya kepada RASULULLAH SAW, “Berapa kali aku harus menghatamkan al Quran?” RASULULLAH menjawab, “khatamkanlah al Quran dalam satu bulan”. Abdullah bin Amr berkata, “aku mampu lebih cepat dari itu.” Jawab RASULULLAH, “jika begitu lakukanlah setiap 20 hari.” Tambah Abdullah bin Amr, “Aku masih mampu untuk lebih cepat dari itu.” “Kalau begitu dalam 15 hari” lalu “10 hari.” Abdullah bin Amr berkata, “aku masih lebih cepat dari itu.” RASULULLAH menjawab, “kalau begitu lima hari.” lalu RASULULLAH tidak melanjutkan lagi. 
(riwayat al-Tirmidzi).

Sebahagian ulama memahami tindakan RASULULLAH SAW ini, sehingga mereka meninggalkan segala urusan fatwa dan pengajian-pengajian di Bulan Ramadan. Juga menjauhkan diri daripada orang ramai agar dapat mengkhusyukkan diri dalam beribadat kepada ALLAH SWT dengan memanfaatkan bulan yang penuh berkah ini.
Mudarasah atau tadarus antara NABI MUHAMMAD SAW dan malaikat Jibril terjadi pada malam hari, kerana malam tidak terganggu oleh pekerjaan seharian.
Di malam hari, hati seseorang juga lebih tenang dan konsisten untuk melakukan ibadah-ibadah sunat.
Rujukan :
http://www.islamituindah.my/ramadhan-bulan-kumpul-pahala-hindari-dosa




R 80 : SEPULUH AMALAN LAILATUL QADAR

Di antara amalan yang wajar dilakukan pada malam Lailatul Qadar:

1- Bertaubat kepada ALLAH SWT.

2- Sentiasa berdoa.

3- Beristighfar kepada ALLAH SWT.

4- Solat berjamaah.

5- Berjaga malam atau Qiamul Lail.

6- Sentiasa mengingati atau bersedia menyambut kehadiran Malam Lailatul Qadar.

7- Menggandakan amalan kebajikan.

8- Beriktikaf di masjid sekadar yang mampu.

9- Bersedih dengan pemergian Malam Lailatul Qadar.

10- Berdoa agar sempat menemuinya pada tahun hadapan.





R 79 : AMALAN KESUKAAN NABI MUHAMMAD S.A.W DI BULAN RAMADAN

AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadan adalah dituntut.

Ibn Abbas melaporkan:“RASULULLAH adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al Quran.” 
(Hadis riwayat Bukhari)

Membaca al Quran

Disunatkan memperbanyakkan bacaan al Quran pada bulan Ramadan kerana ia bulan al Quran seperti firman ALLAH SWT yang bermaksud: 

“… bulan Ramadan yang padanya diturunkan al Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
(Surah 2, AL BAQARAH : ayat 185)

Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al Quran dengan NABI MUHAMMAD SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan al Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.

Saidina Uthman bin Affan khatam al Quran setiap hari pada Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadan, “Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.”

Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.”
(Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)

Qiamullail

Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadan.

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada ALLAH TAALA, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Solat tarawih

Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.

Mengerjakan umrah

Perkara disunatkan pada Ramadan adalah mengerjakan umrah berdasarkan sabda RASULULLAH SAW yang bermaksud: 

“Umrah pada Ramadan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku.” 
(Hadis riwayat Bukhari)

Zakat fitrah

Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai zakat fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Rujukan :
http://www.islamituindah.my/amalan-kesukaan-nabi-muhammad-s-a-w-di-bulan-ramadhan





R 78 : PENCINTA RASULULLAH SAW

LAPAN DIRHAM RASULULLAH S.A.W...

RASULULLAH SAW, seorang yang sangat bersederhana dan zuhud pada dunia. Sekalipun sebagai pemimpin tertinggi, RASULULLAH SAW tidak pernah sama sekali mengambil kesempatan untuk hidup mewah, apatah lagi bermegah-megah dengan kekayaan hasil umat Islam. Kehidupan sehariannya hanya cukup-cukup makan dan jika tiada apa-apa, baginda lebih suka berpuasa.

Suatu hari, rezeki RASULULLAH SAW mendapat sebanyak lapan dirham. Dengan bekalan itu, baginda berniat untuk membeli pakaian dan peralatan rumahtangga. Dalam perjalanan ke pasar, RASULULLAH SAW terserempak dengan seorang wanita yang kelihatan sugul dan sedang menangis.

“Apakah wanita ini sedang ditimpa musibah sehingga dia menangis di jalanan begini?” RASULULLAH SAW bertanya sendiri.

Lantas sebagai pemimpin yang prihatin, RASULULLAH SAW bertanya dan wanita itu menjawab dengan linangan air mata.

“Aku ini seorang hamba suruhan. Aku baru saja kehilangan wang dua dirham milik majikanku. Aku bimbang sekali kalau-kalau majikanku akan memukulku kelak kerana cuai. Bagaimana ya RASULULLAH?”

Tanpa berlengah lagi, RASULULLAH SAW terus mengeluarkan wang dua dirham dan memberikannya kepada wanita itu.

Dengan wang yang tinggal enam dirham, RASULULLAH SAW membeli sehelai gamis, pakaian kesukaannya. Baginda merasa gembira kerana setelah sekian lama, baru sekali ini baginda mendapat peluang menggantikan pakaiannya yang lama.

Baru beberapa langkah meninggalkan pasar, baginda terdengar pula teriakan seorang lelaki tua yang fakir.

“Wahai sekalian orang, sesiapa ikhlas memberiku sedekah pakaian, nescaya ALLAH akan mendandaninya kelak.”

RASULULLAH SAW berpatah balik. Benar, dilihatnya lelaki itu memakai pakaian yang nampak lusuh dan tidak berganti. Baginda merasa belas melihat lelaki itu dan melepaskan gamis baru yang dipakai. Dengan seikhlas hati, RASULULLAH SAW memberikan gamis barunya kepada peminta sedekah itu tanpa merasa rugi sedikitpun.

Begitulah RASULULLAH SAW, insan mulia yang tidak langsung memandang kesenangan dunia. Habislah wang lapan dirhamnya hanya dengan membantu orang lain dan mengorbankan keinginan diri sendiri.

Namun, perjalanan pulang RASULULLAH SAW membuatkan dia sekali lagi terserempak dengan wanita pertama yang dibantu tadi. Kali ini, wanita itu mengadu pula kerana takut majikan menghukumnya kerana pulang lewat.

Dengan senang hati, baginda menemankan hamba wanita itu pulang. Tiba di rumah yang dimaksudkan, RASULULLAH SAW memberikan salam.

Kedatangan RASULULLAH SAW disambut baik oleh majikan wanita itu walaupun dalam masa yang sama mereka merasa terkejut. Masakan RASULULLAH SAW sanggup menemankan pulang seorang hamba yang tidak setaraf dengan baginda?

Tetapi kemuliaan baginda sebagai pemimpin sangat jelas. Baginda bertanggungjawab terhadap kesusahan rakyatnya dan kerana itulah baginda bersabda,

“Jika wanita suruhan ini salah dan perlu dihukum, biarlah aku saja yang menerima hukuman.”

Mendengar kata-kata RASULULLAH SAW yang mulia itu, mereka terkesima dan merasa insaf. Dengan redha, mereka membalas,

“Wanita suruhan ini sudah merdeka kerana ALLAH.”

Berita itu disambut dengan penuh kesyukuran oleh RASULULLAH SAW dan juga wanita suruhan itu. Baginda bersabda,

“Tidaklah aku melihat lapan dirham yang begitu besar berkatnya, selain dari lapan dirham ini. Darinya ALLAH telah memberikan ketenteraman bagi orang yang sedang ketakutan, memberi pakaian orang yang memerlukan dan membebaskan seorang wanita suruhan.”


اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم






R 77 : LIMA NIKMAT KHUSUS UNTUK UMAT MUHAMMAD SAW DALAM BULAN RAMADAN

1- Pada malam pertama bulan Ramadan ALLAH SWT akan menilik setiap wajah insan-insan yang berpuasa.

2- Mulut umat NABI MUHAMMAD SAW yang berpuasa akan berbau lebih wangi daripada Kasturi pada hari Kiamat nanti.

3- Umat NABI MUHAMMAD SAW yang berpuasa akan mendapat Doa Keampunan daripada Para mailaikat siang dan malam.

4- ALLAH SWT akan mengarah kepada Syurga agar bersiap dan berhias  dengan penuh keindahan  agar sedia menerima kedatangan umat NABI MUHAMMAD SAW yang menunaikan puasa Ramadan.

5- Pada malam terakhir Ramadan ALLAH SWT bersedia mengampun segala dosa umat NABI MUHAMMAD SAW yang berpuasa kecuali dosa-dosa yang berkaitan dengan manusia.
Suntingan daripada hadis dalam ceramah agama.
Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. ( Solusi . m/s : 27 ).





R 76 : KEGEMBIRAAN RAMADAN MELINDUNGI DIRI DARIPADA NERAKA

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
(Surah 2, AL BAQARAH : ayat 183)

Tanpa terasa, waktu demi waktu berlalu dengan cepatnya, dan berapa hari lagi bulan suci Ramadan akan tiba kembali lagi. Kehadirannya memberi harapan dan semangat kepada setiap Muslim, kerana ia akan membawa kenikmatan jiwa dan rohani dalam kehidupan ini.
Dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan ini, orang-orang beriman menyambutnya dengan rasa gembira kerana kekasihnya Ramadhan akan datang, sehingga perintah shaum (puasa) yang diwajibkan ALLAH SWT pada bulan itu dapat dilakukannya dengan baik. NABI MUHAMMAD SAW bersabda; 

“Siapa yang bergembira menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Allah mengharamkan tubuhnya disentuh oleh api neraka.”
(Al-Hadis).

Tetapi ada juga orang yang menyambut bulan suci Ramadan dengan perasaan tidak senang, sebab kedatangannya dianggap akan merugikan dirinya. Juga mengekang kebiasaannya yang dilakukannya di luar bulan Ramadan, seperti makan dan minum di siang hari, merokok(haram), dan sebagainya.
Ramadan akan kembali menyapa kita, suatu bulan yang penuh dengan keberkatan. Kehadirannya membawa keberkatan yang melimpah ruah, kerana sebulan dalam bulan Ramadan itu dibuka lebar-lebarnya semua pintu syurga dan dikunci semua pintu neraka,

“Sesungguhnya telah datang bulan yang penuh keberkatan, di mana telah difardhukan atas kamu berpuasa. Dibukakan pada bulan itu semua pintu syurga dan dikuncikan padanya semua pintu neraka dan dibelenggu pada bulan itu segala syaitan. Dalam bulan itu, ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
(HR. Ahmad, Nasai dan Baihaqi dari Abu Hurairah).