AL MUGHNI ( المغنى )
ALLAH Yaa Mughni Yang Maha Pemberi
Kekayaan suka memberi kekayaan kepada hamba-hambaNYA, tetapi kekayaan ALLAH
bukan hanya dalam bentuk harta benda, tetapi juga DIA mampu memberi kekayaan
jiwa sehingga sesiapa yang dikurniakan kekayaan jiwa, mereka akan menjadi
seorang yang redha dan tenang dalam hidupNYA.
Menghayati sifat Yaa Mughni akan
melahirkan insan yang suka membahagikan kekayaan yang ALLAH Yaa Mughni berikan
kepadaNYA kepada orang lain yang memerlukan. Mereka sama sekali tidak merasakan
yang mereka ini kaya dan mempunyai sifat dermawan, kerana menyedari semua
datang daripada ALLAH SUBHANAHU
WA TA‘ALA.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Mughni, sesungguhnya Engkau
Maha Memberi Kekayaan, Engkau memberi kekayaan ilmu makrifah kepada sesiapa
yang Engkau dekatkan, Engkau Yaa Mughni memberi kekayaan Syurga Akhirat kepada
sesiapa yang Engkau sayangi, Engkau Yaa Mughni memberi kekayaan dunia yang hina
melimpah ruah kepada sesiapa yang Engkau hinakan.
Yaa Mughni, Engkau memberi rasa kaya
dalam jiwa hambaMu yang Engkau cintai sehingga hidupnya setiap saat memberi
kepada orang yang memerlukan, tiada disimpan, tiada dikumpul, kekayaanMu hanya
lalu seperti lalunya air sungai, memberi manfaat kepada manusia sekeliling.
Yaa Allah Yaa Mughni, kurniakan kami kekayaan makrifah
dan saat indah bertemu denganMu di Akhirat nanti, jauhkan kami dari kekayaan
dunia yang melalaikan yang hina dan rendah disisiMu, jadikan setiap sen duit
yang lalu melalui diri kami memberi manfaat kepada ummah.