Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 3 April 2013

Bab 60 Murah Hati Dan Dermawan Serta Membelanjakan Dalam Kebaikan Dengan Percaya Penuh Kepada Allah Taala.


Allah Taala berfirman:

Yang bermaksud :  "Dan apa saja yang engkau semua nafkahkan, maka Allah akan menggantinya." 
(Saba': 39)

Allah Taala juga berfirman:

Yang bermaksud :  "Dan barang-barang baik dari rezeki yang engkau semua nafkahkan itu adalah untuk dirimu sendiri dan engkau semua tidak menafkahkannya melainkan kerana mengharapkan keredhaan Allah, juga barang-barang baik yang engkau semua nafkahkan itu, nescaya akan dibayar kepadamu dan tidaklah engkau semua dianiaya."
(al-Baqarah: 272)

Allah Taala berfirman lagi:

Yang bermaksud :  "Dan barang-barang baik yang berupa apapun juga yang engkau semua nafkahkan, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui." 
(al-Baqarah: 273)

542. Dari Ibnu Mas'ud r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

Yang bermaksud :  "Tiada kehasudan yang dibolehkan melainkan dalam dua macam perkara, iaitu: seseorang yang dikurnia oleh Allah akan harta, kemudian ia mempergunakan guna menafkahkannya itu untuk apa-apa yang hak kebenaran dan seseorang yang dikurniai oleh Allah akan ilmu pengetahuan, kemudian ia memberikan keputusan dengan ilmunya itu antara dua orang atau dua golongan yang berselisih serta mengajarkannya pula."
(Muttafaq 'alaih)
Ertinya ialah bahawa seseorang itu tidak patut dihasudkan atau diri kecuali dalam salah satu kedua perkara di atas itu.

543. Dari Ibnu Mas'ud r.a. pula katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Siapakah di antara engkau semua yang harta orang yang mewarisinya itu dianggap lebih disukai daripada hartanya sendiri?" Para sahabat menjawab: "Ya Rasulullah, tiada seorangpun dari kita ini, melainkan hartanya adalah lebih dicintai olehnya." Kemudian beliau s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya hartanya sendiri ialah apa yang telah terdahulu digunakannya, sedang harta orang yang mewarisinya adalah apa-apa yang ditinggalkan olehnya setelah matinya." 
(Riwayat Bukhari)

Keterangan:

Maksudnya yang telah terdahulu digunakannya, misalnya yang dipakai untuk makan minumnya, pakaiannya, perumahannya atau yang diberikan untuk sedekah atau Iain-Iain yang berupa pertolongan kemasyarakatan. Selebihnya tentulah akan ditinggalkan, jika telah meninggal dunia. Oleh sebab itu Hadis di atas secara tidak langsung memberikan sindiran kepada kita kaum Muslimin agar gemar harta yang ada di tangan kita yang sebenarnya hanya titipan dari Allah Taala itu, supaya kita nafkahkan untuk jalan kebaikan, semasih kita hidup di dunia ini. Dengan demikian kemanfaatannya akan dapat kita rasakan setelah kita ada di akhirat nanti.

544. Dari 'Adi bin Hatim r.a. bahawasanya Rasuiullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Takutlah engkau semua dari siksa api neraka, sekalipun dengan menyedekahkan sepotong kurma." 
(Muttafaq 'alaih)

545. Dari Jabir r.a., katanya: 

Yang bermaksud :  "Tiada pernah sama sekali Rasulullah s.a.w. itu dimintai sesuatu, kemudian beliau berkata: "Jangan(tidak)."
(Muttafaq 'alaih)

546. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Tiada seharipun yang sekalian hamba berpagi-pagi pada hari itu, melainkan ada dua malaikat yang turun. Seorang di antara keduanya itu berkata: "Ya Allah, berikanlah kepada orang yang menafkahkan itu akan gantinya," sedang yang lainnya berkata: "Ya Allah, berikanlah kepada orang yang menahan tidak suka menafkahkan hartanya itu kerosakan yakni hartanya menjadi habis." 
(Muttafaq 'alaih)

547. Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Allah Taala berfirman dalam Hadis Qudsi: "Belanjakanlah hartamu, pasti engkau diberi nafkah(harta) oleh Tuhan." 
(Muttafaq 'alaih)

548. Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma bahawasanya ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Manakah di dalam Islam itu amalan yang terbaik?" Beliau s.a.w. bersabda: "Engkau memberikan makanan serta mengucapkan salam kepada orang yang engkau ketahui dan orang yang tidak engkau ketahui." 
(Muttafaq 'alaih)

549. Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Ada empat puluh macam amalan dan setinggi-tingginya adalah meminjamkan kambing untuk diambil susunya. Tiada seorang yang mengamalkan dengan satu perkara daripada empat puluh macam perkara itu, melainkan Allah Taala akan memasukkannya dalam syurga." 
(Riwayat Bukhari)
Keterangan Hadis ini sudah terdahulu dalam bab Banyaknya Jalan-jalan Kebaikan (lihat Hadis no. 138).

550. Dari Abu Umamah Shuday bin 'Ajlan r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Hai anak Adam, sesungguhnya jikalau engkau memberikan apa-apa yang kelebihan padamu, sebenarnya hal itu adalah lebih baik untukmu dan jikalau engkau tahan yakni tidak engkau berikan siapapun, maka hal itu adalah menjadikan keburukan untukmu. Engkau tidak akan tercela kerana adanya kecukupan maksudnya menurut syariat engkau tidak dianggap salah, jikalau kehidupanmu itu dalam keadaan yang cukup dan tidak berlebih-lebihan. Lagi pula mulailah dalam membelanjakan nafkah kepada orang yang wajib engkau nafkahi. Tangan yang bahagian atas adalah lebih baik daripada tangan yang bahagian bawah yakni yang memberi itu lebih baik daripada yang meminta." 
(Riwayat Muslim)

551. Dari Anas r.a., katanya: 

Yang bermaksud :  "Tiada pernah Rasulullah s.a.w. itu diminta untuk kepentingan Islam, melainkan tentu memberikan pada yang memintanya itu. Nescayalah pernah ada seseorang lelaki datang kepada beliau s.a.w., kemudian beliau memberinya sekelompok kambing yang ada di antara dua gunung yakni kerana banyaknya hingga seolah-olah memenuhi dataran yang ada di antara dua gunung. Orang itu lalu kembali kepada kaumnya kemudian berkata: "Hai kaumku, masuklah engkau semua dalam Agama Islam, sebab sesungguhnya Muhammad memberikan sesuatu pemberian sebagai seorang yang tidak takut akan kemiskinan." Sekalipun orang lelaki itu masuk Islam dan tiada yang dikehendaki olehnya melainkan harta dunia, tetapi tidak lama kemudian Agama Islam itu baginya adalah lebih ia cintai daripada dunia dan segala sesuatu yang ada di atasnya ini yakni Islamnya amat baik dan sebenar-benarnya." 
(Riwayat Muslim)

552. Dari Umar r.a., katanya: 

Yang bermaksud :  "Rasulullah s.a.w. membahagikan suatu pembahagian, lalu saya berkata: "Ya Rasulullah, sebenarnya selain yang Tuan beri itulah yang lebih berhak daripada mereka yang Tuan beri itu." Beliau lalu bersabda: "Sebenarnya mereka itu yakni yang diberi memberikan pilihan kepadaku, apakah mereka itu meminta padaku dengan jalan yang tidak baik  seolah memaksa-maksa, kemudian saya memberikan sesuatu pada mereka ataukah mereka menyuruh saya untuk berlaku kikir, sedangkan saya ini bukanlah seorang yang kikir." 
(Riwayat Muslim)

553. Dari Jubair bin Muth'im r.a. bahawasanya ia berkata, ia pada suatu ketika berjalan bersama Nabi s.a.w. ketika pulang dari peperangan Hunain, kemudian mulailah ada beberapa orang Arab(penduduk pedalaman) meminta-minta kepada beliau, sehingga beliau itu dipaksanya sampai ke sebuah pohon samurah, lalu pohon tersebut menyambar selendangnya yakni selendang beliau itu terikat oleh duri-durinya. Selanjutnya Nabi s.a.w. berdiri sambil memegang kendali untanya lalu bersabda: "Berikanlah padaku selendangku. Andai kata saya mempunyai ternak sebanyak hitungan duri-duri pohon ini, nescayalah semuanya itu akan saya berikan kepadamu, selanjutnya engkau semua tidak akan menganggap saya sebagai seorang kikir, pendusta atau pengecut."
(Riwayat Bukhari)

554. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Tidaklah sesuatu pemberian sedekah itu mengurangi banyaknya harta. Tidaklah Allah itu menambahkan seseorang akan sifat pengampunannya, melainkan ia akan bertambah pula kemuliaannya. Juga tidaklah seseorang itu merendahkan diri kerana mengharapkan keredhaan Allah, melainkan ia akan diangkat pula darjatnya oleh Allah 'Azzawajalla.” 
(Riwayat Muslim)

555. Dari Abu Kabsyah, iaitu Umar bin Sa'ad al-Anmari r.a. bahawasanya ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Ada tiga perkara yang saya bersumpah atasnya dan saya memberitahukan kepadamu semua akan suatu Hadis, maka peliharalah itu: Tidaklah harta seseorang itu akan menjadi berkurang sebab disedekahkan, tidaklah seseorang hamba dianiaya dengan suatu penganiayaan dan ia bersabar dalam menderitanya, melainkan Allah menambahkan kemuliaan padanya, juga tidaklah seseorang hamba itu membuka pintu permintaan, melainkan Allah membuka untuknya pintu kemiskinan", atau sabda beliau s.a.w. merupakan kalimat lain yang senada dengan uraian di atas.

"Saya akan memberitahukan lagi kepadamu semua suatu Hadis maka peliharalah itu: Hanyasanya dunia ini untuk empat macam golongan orang iaitu: Seorang hamba yang dikurnia rezeki oleh Allah berupa harta dan ilmu pengetahuan, kemudian ia bertakwa kepada Tuhannya dan mempererat hubungan kekeluargaan serta mengetahui pula haknya Allah dalam apa yang dimilikinya itu, maka ini adalah tingkat yang seutama-utamanya, juga seseorang hamba yang dikurniai ilmu pengetahuan tetapi tidak dikurniai harta, kemudian orang itu benar keniatannya, lalu ia berkata: "Andaikata saya mempunyai harta, nescaya saya akan melakukan sebagaimana yang dilakukan si Fulan itu dalam hal kebaikan, maka orang tadi kerana keniatannya tadi, pahalanya sama antara ia dengan orang yang akan dicontohnya. Ada pula seseorang hamba yang dikarunia harta tetapi tidak dikurnia ilmu pengetahuan, kemudian ia menubruk  mempergunakan hartanya dalam hal-hal yang tidak dimakluminya secara uwar-uwarkan  serta ia tidak pula bertakwa kepada Tuhannya dan tidak suka mempereratkan tali kekeluargaannya, bahkan tidak pula mengetahui hal-hal Allah dalam hartanya itu, maka orang semacam ini adalah dalam tingkat yang seburuk-buruknya, juga seseorang hamba yang tidak dikurnia harta dan tidak pula ilmu pengetahuan, lalu ia berkata: "Andaikata saya mempunyai harta nescayalah saya akan melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh si Fulan dalam hal keburukan, maka orang itu kerana keniatannya adalah sama dosanya antara ia sendiri dengan orang yang akan dicontohnya itu."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

556. Dari Aisyah radhiallahu 'anha bahawasanya para sahabat sama menyembelih kambing lalu mereka sedekahkan kecuali belikatnya, kemudian Nabi s.a.w. bertanya: "Bahagian apakah yang tertinggal dari kambing itu?" Aisyah menjawab: "Tidak ada yang tertinggal daripadanya, melainkan belikatnya." Beliau lalu bersabda: "Sesungguhnya semua anggotanya itu masih tertinggal, kecuali belikatnya yang tidak."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis shahih.
Maknanya ialah supaya disedekahkanlah semuanya kecuali belikatnya, maka sabda beliau s.a.w. itu jelasnya ialah bahawa di akhirat semua itu masih tetap ada pahalanya  sebab disedekahkan kecuali belikatnya yang tidak ada pahalanya kerana dimakan sendiri.

557. Dari Asma' binti Abu Bakar as-Shiddiq radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku: 

Yang bermaksud :  "Jangan engkau menyimpan apa-apa yang ada di tanganmu, sebab kalau demikian maka Allah akan menyimpan terhadap dirimu yakni engkau tidak diberi rezeki lagi."
Dalam riwayat lain disebutkan:
"Nafkahkanlah, atau berikanlah atau sebarkanlah dan jangan engkau menghitung-hitungnya, sebab kalau demikian maka Allah akan menghitung-hitungkan kurnia yang akan diberikan padamu. Jangan pula engkau mencegah yakni menahan untuk memberikan sesuatu, sebab kalau demikian maka Allah akan mencegah pemberianNya padamu."
(Muttafaq 'alaih)

558. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Perumpamaan orang kikir dan orang yang suka menafkahkan itu adalah seperti dua orang lelaki yang di tubuhnya ada dua buah baju kurung dari besi masing-masing sebuah, antara dua susunya dengan tulang lehernya. Adapun orang yang suka menafkahkan, maka tidaklah ia menafkahkan sesuatu, melainkan makin sempurnalah atau mencukupi seluruh kulitnya sampai-sampai menutupi tulang-tulang, jari-jarinya, bahkan menutupi pula bekas-bekasnya ketika berjalan. Adapun orang kikir maka tidaklah ia menginginkan hendak menafkahkan sesuatu, melainkan makin melekatlah setiap kolongan itu pada tempatnya. Ia hendak meluaskan kolongan tadi, tetapi tidak dapat melebar." 
(Muttafaq 'alaih)
Aljubbah atau Addir'u ertinya baju kurung.
Ertinya ialah bahawa seseorang yang suka membelanjakan itu setiap ia menafkahkan sesuatu, maka makin sempurna dan memanjanglah sehingga tertariklah pakaian yang dikenakannya itu sampai ke belakangnya, sehingga dapat menutupi kedua kaki serta bekas jalan dan langkah-langkahnya.

559. Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Barangsiapa bersedekah dengan sesuatu senilai sebiji buah kurma yang diperolehnya dari hasil kerja yang baik bukan haram dan memang Allah itu tidak akan menerima kecuali yang baik. Maka sesungguhnya Allah akan menerima sedekah orang itu dengan tangan kanannya sebagai kiasan kekuasaanNya, kemudian memperkembangkan pahala sedekah tersebut untuk orang yang melakukannya, sebagaimana seseorang dari engkau semua memperkembangkan anak kudanya sehingga menjadi seperti gunung yakni memenuhi lembah gunung kerana banyaknya." 
(Muttafaq 'alaih)
Alfaluwwu dengan fathahnya fa' dan dhammahnya lam serta syaddahnya wawu, ada juga yang mengucapkan dengan kasrahnya fa', sukunnya lam serta diringankannya wawu yakni wawunya tidak disyaddahkan dan berbunyi Alfilwu, ertinya anak kuda.

Keterangan:

Hadis di atas menurut uraian Imam al-Maziri diertikan sebagai perumpamaan yakni yang lazim berlaku di kalangan bangsa Arab. Misalnya dalam percakapan mereka sehari-hari untuk memudahkan pengertian. Jadi seperti sedekah yang benar-benar diterima oleh Allah, lalu dikatakan "diterima dengan tangan kanannya," juga seperti perlipat gandaan pahala, dikatakan dengan "perawatan atau pemeliharaan yang sebaik-baiknya".
Imam Termidzi berkata: "Para alim-ulama ahlus sunnah wal jama'ah berkata: "Kita semua mengimankan apapun yang terkandung dalam Hadis itu dan tidak perlu kita fahamkan sebagai perumpamaan, namun demikian kitapun tidak akan menanyakan dan tidak pula memperdalamkan: "Jadi bagaimana wujud sebenarnya?" Misalnya mengenai tangan kanan Tuhan, perawatan dan pemeliharaan yang dilakukan olehNya dan Iain-Iain sebagainya."

560. Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w., sabdanya: 

Yang bermaksud :  "Pada suatu ketika ada seorang lelaki berjalan di suatu tanah lapang yang tidak berair, lalu ia mendengar suatu suara dalam awan: "Siramlah kebun si Fulan itu!" Kemudian menyingkirlah awan itu menuju ke tempat yang ditunjukkan, lalu menghabiskan airnya di atas tanah lapang berbatu hitam itu. Tiba-tiba sesuatu aliran air dari sekian banyak aliran airnya itu mengambil air hujan itu seluruhnya, kemudian orang tadi mengikuti aliran air tersebut. Sekonyong-konyong nampaklah olehnya seorang lelaki yang berdiri di kebunnya mengalirkan air itu dengan alat keruknya. Orang itu bertanya kepada pemilik kebun: "Hai hamba Allah, siapakah nama anda?" Ia menjawab: "Namaku Fulan," dan nama ini sesuai dengan nama yang didengar olehnya di awan tadi. Pemilik kebun bertanya: "Mengapa anda tanya nama saya?" Orang itu menjawab: "Sesungguhnya saya tadi mendengar suatu suara di awan yang inilah air yang turun daripadanya. Suara itu berkata: "Siramlah kebun si Fulan itu! Nama itu sesuai benar dengan nama anda. Sebenarnya apakah yang anda lakukan?" Pemilik kebun menjawab: "Adapun anda menanyakan semacam ini, kerana sesungguhnya saya selalu melihat(memperhatikan benar-benar) jumlah hasil yang keluar dari kebun ini. Kemudian saya bersedekah dengan sepertiganya, saya makan bersama keluarga saya yang sepertiganya dan saya kembalikan pada kebun ini yang sepertiganya pula untuk bibit-bibitnya." 

(Riwayat Muslim)

Bab 59 Anjuran Untuk Makan Dari Hasil Usaha Sendiri Dan Menahan Diri Dari Meminta Serta Menuntut Agar Diberi.


Allah Taala berfirman:

Yang bermaksud :  "Jikalau solat telah diselesaikan, maka menyebarlah di bumi dan carilah rezeki dari keutamaan Allah," hingga habisnya ayat. 
(al-Jumu'ah: 10)

537. Dari Abu Abdillah iaitu az-Zubair bin al-Awwam r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Nescayalah jikalau seseorang dari engkau semua itu mengambil tali-talinya untuk mengikat lalu ia datang di gunung, kemudian ia datang kembali di negerinya dengan membawa sebongkokan kayu bakar di atas punggungnya, lalu menjualnya, kemudian dengan cara sedemikian itu Allah menahan wajahnya yakni dicukupi keperluannya, maka hal yang semacam itu adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta sesuatu pada orang lain, baik mereka itu suka memberinya atau menolaknya." 
(Riwayat Bukhari)
538. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Nescayalah jikalau seseorang dari engkau semua itu mencari sebongkokan kayu bakar dan diletakkan di atas punggungnya, itu adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada seseorang, kemudian orang yang dimintai itu memberinya atau menolak permintaannya."
(Muttafaq 'alaih)

539. Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w., sabdanya: 

Yang bermaksud :  "Adalah Nabi Daud 'alaihis-salam itu tidak suka makan sesuatu, kecuali dari hasil usaha tangannya sendiri yakni kerjanya." 
(Riwayat Bukhari)

540. Dari Abu Hurairah r.a. pula, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Nabi Zakaria 'alaihis-salam itu adalah seorang tukang kayu." 
(Riwayat Muslim)

541. Dari al-Miqdad bin Ma'dikariba r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

Yang bermaksud :  "Tidaklah seseorang itu makan sesuatu makanan, sekalipun sedikit, yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya dan sesungguhnya Nabiullah Daud 'alaihis-salam itu juga makan dari hasil usaha tangannya." 

(Riwayat Bukhari)

Bab 58 Boleh Mengambil Tanpa Meminta Atau Mengintai (Mengharap-harapkan).



536. Daripada Salim bin Abdullah bin Umar dari ayahnya, iaitu Abdullah bin Umar dari Umar radhiallahu 'anhum, katanya: 

Yang bermaksud :  "Rasulullah s.a.w. memberikan sesuatu pemberian kepada saya, lalu saya berkata: "Berikanlah itu kepada orang yang lebih memerlukan padanya daripada saya sendiri." Kemudian beliau s.a.w. bersabda: "Ambil sajalah pemberian ini, jikalau ada sesuatu yang datang dari harta ini, sedangkan engkau tidak mengharap-harapkan dan tidak pula memintanya padahal engkau diberi dengan keikhlasan hati, maka ambillah itu. Jadikanlah itu sebagai hartamu yang sah. Jikalau engkau suka, makanlah ia dan jikalau engkau suka maka bersedekahlah dengannya. Tetapi jikalau tidak demikian ertinya datangnya harta itu dengan sebab diharap-harapkan untuk diberi atau kerana diminta, maka janganlah engkau memperturutkan hawa nafsumu yakni melakukan itu dan kalau diberi jangan pula menerimanya." Salim berkata: "Maka Abdullah tidak pernah meminta sesuatu apapun dari orang lain dan tidak pernah pula menolak sesuatu pemberian, jikalau ia diberi.” 

(Muttafaq 'alaih)

Ahad, 31 Mac 2013

Bab 57 Qana'ah(Puas Dengan Apa Ada Dan Tetap Berusaha), 'Afaf(Enggan Meminta-minta), Berlaku Sederhana Dalam Kehidupan Dan Berbelanja Serta Mencela Meminta Tanpa Darurat.


Allah Taala berfirman:

Yang bermaksud : "Tiada sesuatupun binatang yang bergerak di bumi itu, kecuali atas tanggungan Allah jualah keadaan rezekinya."
(Hud: 6)

Allah Taala juga berfirman:

Yang bermaksud : "Berikanlah sedekah itu kepada kaum fakir yang terkepung dalam menjalankan jihad fisabilillah, mereka tidak dapat berjalan keliling negeri. Orang-orang yang tidak mengetahui akan mengira bahawa mereka itu adalah orang-orang yang kaya kerana bersikap ta'affuf enggan meminta-minta. Engkau dapat mengenal mereka itu dengan tanda-tandanya yakni bahawa mereka itu tidak mahu meminta kepada para manusia secara berulang kali yakni menyangat-nyangatkan permintaannya." 
(al-Baqarah: 273)
Juga Allah Taala berfirman:

Yang bermaksud : "Dan mereka hamba-hamba Allah yang berbakti itu apabila menafkahkan hartanya, maka mereka itu tidak melampaui batas terlalu boros dan tidak pula bersikap kikir, tetapi pertengahan antara keduanya itu."
(al-Furqan: 67)

Allah Taala berfirman pula:

Yang bermaksud : "Tidaklah Kami menciptakan jin dan manusia itu melainkan supaya menyembah padaKu. Aku tidak hendak meminta rezeki kepada mereka dan Aku tidak hendak meminta supaya mereka memberi makanan kepadaKu." 
(adz-Dzariyat: 56-57)
Adapun Hadis-hadisnya, maka sebahagian besar telah diuraikan dalam kedua bab yang ada di muka. Di antaranya yang belum terdapat di muka ialah: 520. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: 
Yang bermaksud : "Bukannya yang dinamakan kaya itu kerana banyaknya harta, tetapi yang dinamakan kaya yang sebenarnya ialah kayanya jiwa."
(Muttafaq 'alaih)

521. Dari Abdullah bin 'Amr radhiallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud : "Sungguh berbahagialah orang yang masuk Agama Islam dan diberi rezeki cukup serta dikurniai sifat qana'ah oleh Allah dengan apa-apa yang direzekikan kepadanya itu." 
(Riwayat Imam Muslim)

522. Dari Hakim bin Hizam r.a.,katanya yang bermaksud : 

"Saya meminta kepada Rasulullah s.a.w., lalu beliau memberikan sesuatu padaku, lalu saya meminta lagi pada beliau, kemudian beliaupun memberikan pula sesuatu padaku, selanjutnya beliau bersabda: "Hai Hakim, sesungguhnya harta ini adalah sebagai benda yang kehijau-hijauan yakni enak dirasakan dan nyaman dipandang juga manis. Maka barangsiapa yang mengambilnya itu dengan jiwa kedermawanan dari orang yang memberikannya serta memintanya itu dengan tidak memaksa, tentulah harta itu memperoleh berkah Tuhan, tetapi barangsiapa yang mengambilnya itu dengan jiwa kelobaan atau ketamakan, maka tidak memperoleh berkah Tuhan dalam harta tadi. Ia adalah sebagai seseorang yang makan, namun tidak kenyang-kenyang. Tangan yang bahagian atas yang memberi adalah lebih mulia daripada yang bahagian bawah yang menerima."

Hakim lalu berkata: "Ya Rasulullah, demi Zat yang mengutus Tuan dengan membawa kebenaran, saya tidak akan suka lagi menerima sesuatu dari seseorangpun sepeninggal Tuan nanti, sehingga saya akan berpisah dengan dunia yakni sampai mati." Abu Bakar r.a. pernah mengundang Hakim kerana hendak memberikan sesuatu padanya, tetapi Hakim menolak untuk menerima sesuatupun dari pemberian itu. Seterusnya Umar r.a. pernah pula memanggilnya untuk memberikan sesuatu pada Hakim itu, tetapi ia juga enggan menerima pemberian tadi. Abu Bakar dan Umar radhiallahu 'anhuma itu memanggil di kala keduanya menjabat sebagai khalifah secara bergantian. Umar lalu berkata: "Hai sekalian kaum Muslimin, saya mempersaksikan kepadamu semua atas diri Hakim ini, bahawasanya saya menawarkan padanya akan haknya yang saya wajib membahagikan untuknya dari harta rampasan, tetapi ia enggan mengambil haknya itu.” Hakim memang tidak pernah menerima sesuatu pemberian dari seseorangpun setelah wafatnya Nabi s.a.w., sehingga ia meninggal dunia.” 
(Muttafaq 'alaih)

523. Dari Abu Burdah dari Abu Musa al-Asy'ari r.a., katanya: 

Yang bermaksud : "Kita semua keluar bersama Rasulullah s.a.w. dalam melakukan sesuatu peperangan. Kita semua ada enam orang yakni yang menyertai Nabi s.a.w. itu, di antara kita ada seekor unta yang kita gunakan untuk ganti berganti menaikinya. Maka berlubang-lubanglah kaki-kaki kita, juga kakikupun berlubang-lubang pula dan jatuhlah kuku-kukuku. Oleh sebab itu kita lalu membalutkan beberapa helai kain pada kaki-kaki kita itu dan dengan demikian peperangan itu dinamakan perang Dzatu riqa' mempunyai beberapa balutan kain, kerana kita membalutkan beberapa helai kain pada kaki-kaki kita tadi." Abu Burdah berkata: "Abu Musa menceritakan Hadis ini, kemudian ia merasa tidak senang dalam menguraikannya itu dan ia mengatakan: "Apa yang dapat saya lakukan dengan menyebut-nyebutkannya itu?" Abu Burdah melanjutkan katanya: "Seolah-olah Abu Musa itu tidak senang kalau menyebutkan sesuatu amalannya, lalu disiar-siarkannya." 
(Muttafaq 'alaih)
Maksudnya: Oleh sebab adanya bala sampai kaki-kaki menjadi rosak dan kuku-kuku lepas itu adalah semata-mata urusan antara manusia dengan Tuhan, maka menurut anggapan Abu Musa r.a. tidak perlu diterang-terangkan, supaya tidak dianggap sebagai mempamerkan jasa atau amalan".

524. Dari 'Amr bin Taghlib dengan fathahnya ta' mutsannat di atas dan sukunnya ghain mu'jamah dan kasrahnya fam r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. didatangi (memperolehi) harta atau rampasan, lalu beliau s.a.w. membahagikan itu. Ada beberapa orang yang beliau beri dan ada pula beberapa orang yang beliau tinggalkan  yakni tidak diberi bahagian. Kemudian sampailah suatu berita kepada beliau bahawa orang-orang yang tidak diberi itu sama mencela cara beliau membahagikan tadi. Beliau s.a.w. lalu bertahmid kepada Allah lalu memujiNya, kemudian bersabda:

Yang bermaksud : "Amma ba'du. "Sesungguhnya saya nescayalah memberikan bahagian kepada golongan beberapa orang, kerana saya mengetahui keluh kesah dalam hati mereka itu serta sesambatan mereka yang amat sangat, sedang segolongan lain saya serahkan kepada Allah, kerana Allah telah memberikan kekayaan batin dan kebaikan dalam hati mereka ini, di antara mereka ini adalah 'Amr bin Taghlib." 'Amr bin Taghlib berkata: "Demi Allah, saya amat gembira mendengar pujian beliau s.a.w. itu pada saya, sehingga kerana gembiranya, maka saya tidak suka andaikata kalimat Rasulullah s.a.w. yang ditujukan kepada saya itu ditukar dengan ternak-ternak merah sebagai kiasan sebaik-baik harta bagi bangsa Arab."
(Riwayat Bukhari)

525. Dari Hakim bin Hizam r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud : "Tangan yang bahagian atas yang memberi adalah lebih mulia daripada tangan yang bahagian bawah yang menerima. Dan dahulukanlah dalam pemberian itu kepada orang-orang yang menjadi tanggunganmu yakni yang wajib dinafkahi. Sebaik-baik sedekah ialah yang diberikan di luar keperluan yakni keadaan diri sendiri dan keluarga sudah dicukupi. Barangsiapa yang enggan meminta, maka Allah akan memberikan kecukupan padanya dan barangsiapa tidak memerlukan pemberian manusia, maka Allah akan memberikan kekayaan padanya." 
(Muttafaq 'alaih)
Ini adalah lafaznya Imam Bukhari, sedang lafaznya Imam Muslim adalah lebih ringkas lagi.

526. Dari Abu Abdir Rahman, iaitu Mu'awiyah bin Abu Sufyan iaitu Shakhr bin Harb radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: 

Yang bermaksud : "Janganlah engkau semua mempersangatkan dalam meminta sesuatu sebab demi Allah, tidaklah seseorang dari engkau semua itu meminta sesuatu, kemudian kerana permintaannya itu lalu dapat mengeluarkan sesuatu pemberian daripadaku untuknya, sedangkan saya tidak senang dengan cara memintanya,selanjutnya lalu diberkahi untuk orang tadi dalam apa-apa yang saya berikan."
(Riwayat Muslim)
Maksudnya bahawa rezeki yang berasal dari meminta, apabila rezeki itu menjadi bertambah banyak dan kekal kerana dibuat berusaha umpamanya, maka yang diminta dengan baik yakni tidak seolah-olah memaksa adalah lebih baik dan lebih banyak berkahnya dari yang diminta dengan nada yang seolah-olah memaksa.

527. Dari Abu Abdir Rahman, iaitu 'Auf bin Malik al-Asyja'i r.a., katanya: 

Yang bermaksud : "Kita semua ada di sisi Rasulullah s.a.w. dan kita ada sembilan, lapan atau tujuh orang, kemudian beliau s.a.w. bersabda: "Tidakkah engkau semua berbai'at kepada Rasulullah?" Padahal kita semua baru beberapa hari saja melakukan pembai'atan pula pada beliau itu, oleh sebab itu kita berkata: "Kita semua telah membai'at Tuan, ya Rasulullah." Kemudian beliau s.a.w. bersabda lagi: "Tidakkah engkau semua berbai'at kepada Rasulullah?" Kita lalu membeberkan tangan-tangan kita dan kita berkata: "Kita semua dulu sudah berbai'at kepada Tuan, ya Rasulullah dan sekarang kita berbai'at lagi dalam hal apakah?" Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Hendaklah engkau semua menyembah kepada Allah yang Maha Esa dan jangan menyekutukan sesuatu denganNya, tetapi tetaplah mengerjakan solat lima waktu dan sampai engkau semua mendengarkan serta melakukan ketaatan," lalu beliau memperlahankan suaranya dan bersabda dengan berbisik: "Dan jangan meminta sesuatu apapun dari orang-orang." Maka sungguh saya pernah melihat ada orang yang termasuk golongan orang-orang di atas itu, ketika cemetinya jatuh, ia tidak meminta seseorang supaya diambilkan cemetinya tadi." 
(Riwayat Muslim)

528. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud : "Tidak henti-hentinya permintaan itu menghinggapi seseorang di antara engkau semua  yakni orang yang sentiasa mempunyai tabiat suka meminta-minta itu tidak akan berhenti, sehingga ia menemui Allah Taala iaitu pada hari kiamat nanti sedang di wajahnya itu tidak terdapat sepotong dagingpun jadi dalam keadaan sangat hina-dina."
(Muttafaq 'alaih)

529. Dari Ibnu Umar r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, sedang di kala itu beliau berada di atas mimbar dan menyebut-nyebutkan perihal sedekah dan menahan diri dari meminta:

Yang bermaksud : "Tangan yang bahagian atas adalah lebih baik daripada tangan yang bahagian bawah. Tangan yang bahagian atas itu adalah yang menafkahkan yakni yang memberikan sedekah, sedang tangan yang bagian bawah adalah yang meminta." 
(Muttafaq 'alaih)

530. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud : "Barangsiapa yang meminta-minta kepada orang-orang dengan maksud supaya menjadi banyak apa yang dimilikinya jadi sudah cukup tetapi terus saja meminta-minta, maka sebenarnyalah orang itu meminta bara api. Maka dari itu baiklah ia memilih hendak mempersedikitkan atau memperbanyakkan siksanya." 
(Riwayat Muslim)

Keterangan:
Hadis di atas dapat diertikan bahawa orang sebagaimana yang tersebut itu yakni yang meminta-minta lebih dari keperluannya atau untuk mencari yang sebanyak-banyaknya akan disiksa dalam neraka dan oleh Rasulullah s.a.w. dikiaskan sebagai orang-orang yang meminta bara api. Tetapi dapat pula diertikan dengan makna yang sebenarnya menurut lahiriah sabda beliau s.a.w., iaitu bahawa bara api akan dimasukkan dalam seterika dan kepada orang sebagaimana di atas itu akan diseterikakan pada punggung dan lambungnya, seperti juga keadaan orang yang sudah berkewajipan zakat, namun enggan mengeluarkan atau menunaikan kewajiban zakatnya. Demikianlah yang diuraikan oleh al-Qadhi'lyadh dalam menafsiri Hadis di atas.

531. Dari Samurah bin Jundub r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud : "Sesungguhnya permintaan adalah suatu cakaran yang seseorang itu mencakarkan sendiri ke arah mukanya, kecuali jikalau seseorang itu meminta kepada sultan  penguasa negara* atau ia meminta untuk sesuatu keperluan yang tidak boleh tidak ia harus melakukannya."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

532. Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: 

Yang bermaksud : "Barangsiapa yang dihinggapi oleh kemelaratan, lalu diturunkannya kepada manusia  yakni meminta tolong kepada sesama manusia agar dihilangkan kemelaratannya itu, maka tentu tidak akan tertutuplah kemelaratannya tadi. Tetapi barangsiapa menurunkannya kepada Allah yakni mohon kepadaNya agar dihilangkan kemelaratannya, maka bersegeralah Allah akan memberinya rezeki yang kontan cepat diberikannya atau rezeki yang dilambatkan memberikannya."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Daud serta Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
Meminta kepada Sultan itupun tidak boleh sembarang minta, tetapi yang ada sangkut pautnya dengan soal-soal keagamaan, misalnya meminta zakat yang diwajibkan oleh Allah kepadanya atau seperlima bahagian dari hasil rampasan peperangan atau memang kerana untuk kepentingan umat dan masyarakat.

533. Dari Tsauban r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud : "Siapakah yang memberikan jaminan kepada saya bahawa ia tidak akan meminta apapun dari para manusia dan saya memberikan jaminan padanya untuk memperoleh syurga?" Saya berkata: "Saya."
Maka Tsauban sejak saat itu tidak pernah meminta sesuatu apapun kepada siapa saja. Diriwayatkan oleh Imam Daud dengan isnad shahih.

534. Dari Abu Bisyr iaitu Qabishah bin al-Mukhariq r.a., katanya: 

Yang bermaksud : "Saya mempunyai beban sesuatu tanggungan harta hamalah, lalu saya datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk meminta sesuatu padanya guna melunasi tanggungan itu. Beliau s.a.w. bersabda: "Berdiamlah di sini dulu sampai ada harta sedekah(zakat) yang datang pada kita, maka dengan harta itu kita akan menyuruh guna diberikan padamu," selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: "Hai Qabishah, sesungguhnya permintaan itu tidak boleh dilakukan kecuali untuk salah satu dari tiga macam orang ini, iaitu: Seseorang yang mempunyai beban sesuatu tanggungan harta hamalah, maka bolehlah ia meminta sehingga memperoleh sejumlah harta yang diperlukan tadi, kemudian menahan diri jangan meminta-minta lagi. Juga seseorang yang mendapatkan sesuatu bencana, sehingga menyebabkan kemusnahan hartanya lalu menjadi miskin, maka bolehlah ia meminta, sehingga dapatlah ia memperoleh sesuatu untuk menutupi keperluan hidupnya," atau sabda beliau: "Sesuatu untuk mencukupi keperluan hidupnya. Demikian pula seseorang yang dihinggapi oleh kemelaratan, sehingga ada tiga orang dari golongan orang-orang yang berakal di kalangan kaumnya mengatakan: "Benar-benar si Fulan itu telah dihinggapi oleh kemelaratan," maka orang semacam itu bolehlah meminta sehingga dapatlah ia memperoleh sesuatu untuk menutupi keperluan hidupnya," atau sabda beliau: "Sesuatu untuk mencukupi keperluan hidupnya." Adapun selain tiga macam orang tersebut di atas, maka permintaannya itu, hai Qabishah adalah merupakan suatu perbuatan dosa yang dimakan oleh orang yang memintanya tadi dengan memperoleh dosa." 
(Riwayat Muslim)
Alhamalah dengan fathahnya ha' ialah apabila terjadi sesuatu pertempuran ataupun pertengkaran Iain-Iain antara dua golongan, kemudian ada orang yang bermaksud hendak mendamaikan antara mereka itu dengan cara memberikan harta yang menjadi tanggungannya dan mewajibkan pengeluarannya itu atas dirinya sendiri. Tanggungan harta semacam inilah yang dinamakan hamalah. Aljaihah ialah sesuatu bencana yang mengenai harta seseorang sehingga ia menjadi miskin. Alqiwam dengan kasrahnya qaf atau dengan fathahnya ialah sesuatu yang dengannya itulah urusan seseorang dapat berdiri dengan baik, ini adalah berupa harta ataupun lain-lainnya. Assidad dengan kasrahnya sin ialah sesuatu yang dapat menutupi keperluan orang yang mempunyai keperluan dan dapat pula mencukupinya. Alfaqah ialah kekafiran. Alhija ialah akal. 

535. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud : "Bukannya orang miskin itu orang yang berkeliling mendatangi orang banyak keluar masuk dari rumah ke rumah lalu ditolak ketika meminta sebiji atau dua biji kurma atau ketika meminta sesuap atau dua suap makanan, tetapi orang miskin yang sebenarnya ialah orang yang tidak mempunyai kekayaan untuk mencukupi keperluannya, tidak pula diketahui kemiskinannya, sebab andai kata diketahui tentu ia akan diberi sedekah bahkan tidak pula ia suka berdiri lalu meminta-minta sesuatu kepada orang-orang."

(Muttafaq 'alaih)