Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Sabtu, 20 April 2013

Bab 94 Memuliakan Tetamu.







Allah Taala berfirman:

Yang bermaksud :  "Adakah sudah datang padamu cerita tamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk kepada Ibrahim dan mengucapkan: "Salam(selamat)." Ibrahim menjawab: "Salam," sedang dalam hatinya ia mengatakan: "Kaum atau orang-orang yang tidak dikenali." Kemudian ia dengan diam-diam pergi kepada keluarganya, lalu datang dengan membawa daging anak sapi yang gemuk. Selanjutnya makanan itu dihidangkan kepada mereka, ia berkata: "Mengapa tidak engkau semua makan?" 
(adz-Dzariyat: 24)

Allah Taala berfirman lagi:

Yang bermaksud :  "Dan kaumnya(Luth) datang kepadanya dengan tergesa-gesa, kerana sejak dulu mereka melakukan perbuatan yang buruk. Luth berkata: "Hai kaumku, ini adalah anak-anakku perempuan, mereka lebih suci untukmu semua, maka bertakwalah engkau semua kepada Allah dan janganlah engkau semua memberikan kehinaan padaku kerana tamuku ini. Tidak adakah di antara engkau semua itu seorang lelaki yang bersikap baik?" 
(Hud: 78)

704. Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: 

Yang bermaksud :  "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah memuliakan tamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah mempereratkan hubungan kekeluargaannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah mengucapkan yang baik ataupun berdiam diri saja kalau tidak dapat mengucapkan yang baik." 
(Muttafaq 'alaih)

705. Dari Abu Syuraih iaitu Khuwailid bin 'Amr al-Khuza'i r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 

Yang bermaksud :  "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah memuliakan tamunya, iaitu jaizahnya." Para sahabat bertanya: "Apakah jaizahnya tamu itu, ya Rasulullah?" Beliau s.a.w. bersabda: "Iaitu pada siang hari dan malamnya. Menjamu tamu yang disunnahkan secara muakkad atau sungguh-sungguh ialah selama tiga hari. Apabila lebih dari waktu sekian lamanya itu, maka hal itu adalah sebagai sedekah padanya." 
(Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat Muslim disebutkan: Nabi s.a.w. bersabda: 
Yang bermaksud :  "Tidak halal bagi seseorang Muslim jikalau bermukim di tempat saudaranya sesama Muslim, sehingga ia menyebabkan jatuhnya saudara tadi dalam dosa." Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimanakah tamu dapat menyebabkan dosanya tuan rumah." Beliau s.a.w. bersabda: "Kerana tamu itu berdiam di tempat saudaranya sedang tidak ada sesuatu yang dimiliki saudaranya tadi untuk jamuan tamunya itu," lalu tuan rumah mengumpat tamunya, melakukan dusta dan lain-lain.


Bab 93 Sunnahnya Mendatangi Solat, llmu Pengetahuan Dan Lain-lainnya Dari Berbagai Ibadat Dengan Sikap Pelahan-lahan Dan Tenang.


Allah Taala berfirman;

Yang bermaksud :  "Dan barangsiapa yang mengagungkan peraturan-peraturan suci dari Allah, maka itulah setengah dari ketakwaan hati." 
(al-Haj: 32)

702. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Apabila solat telah diiqamati yakni telah dibacakan iqamat, maka janganlah engkau semua mendatanginya sambil berlari-lari. Tetapi datangilah itu sambil berjalan dan  hendaklah engkau semua selalu bersikap pelahan-lahan tidak tergesa-gesa kerana takut ketinggalan. Maka dari itu mana saja rakaat yang engkau semua dapati, ikutlah bersolat berjemaah sedang yang terlambat, maka sempurnakanlah setelah imam memberi salam." 
(Muttafaq 'alaih)

Imam Muslim dalam suatu riwayatnya menambahkan: "Nabi s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Sesungguhnya seseorang dari engkau semua itu apabila bersengaja untuk melakukan solat, maka ia sudah dianggap dalam bersolat yakni sudah memperoleh pahala solat itu."

703. Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma bahawasanya ia bersama Nabi s.a.w. tiba  pada hari Arafah, lalu Nabi s.a.w. mendengar suara gertakan keras, pukulan serta suara unta, kemudian beliau s.a.w. memberikan isyarat kepada mereka itu dengan cemetinya dan bersabda:

Yang bermaksud :  "Hai sekalian manusia, hendaklah engkau semua itu tetap bersikap pelahan-lahan, kerana sesungguhnya kebajikan itu bukannya dengan tergesa-gesa."

(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan sebagainya).




Bab 92 Bersikap Tenang Dan Perlahan-Lahan.



Allah Taala berfirman:

Yang bermaksud :  "Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Pengasih ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sikap sopan dan apabila orang-orang bodoh mengucapkan kata-kata yang tidak baik, mereka menjawabnya dengan kata-kata "selamat(baik)." 
(al-Furqan: 63)

701. Daripada Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: 

Yang bermaksud :  "Saya sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. dalam ketawa itu bersangatan sehingga terlihat anak tekaknya, hanyasanya ketawa beliau s.a.w. itu adalah tersenyum.” 
(Muttafaq 'alaih)

Allahawat jamaknya lahat iaitu daging yang ada di sudut terakhir dari atap mulut.



Isnin, 15 April 2013

Bab 91 Menasihati Dan Berlaku Sedang Dalam Memberikan Nasihat.



Allah Taala berfirman:

Yang bermaksud :"Ajaklah kepada jalan Tuhanmu dengan menggunakan kebijaksanaan dan nasihat yang baik."
(an-Nahl: 125)

697. Dari Abu Wail iaitu Syaqiq bin Salamah, katanya: 

Yang bermaksud :  "Ibnu Mas'ud r.a. itu memberikan peringatan(nasihat yang berisikan keagamaan) kepada kita sekali setiap hari Khamis. Kemudian ada seorang yang berkata padanya: "Hai Abu Abdir Rahman, nescayalah saya akan lebih senang lagi, jikalau engkau memberikan peringatan kepada kita itu setiap hari." Ibnu Mas'ud menjawab: "Sebenarnya saja yang mencegah saya berbuat demikian itu yakni tidak memberikan peringatan setiap hari ialah kerana saya tidak senang kalau saya akan menyebabkan bosannya engkau semua. Sesungguhnya saya menjaga waktu yakni tidak setiap hari  memberikan nasihat kepadamu semua ini sebagaimana keadaannya Rasulullah s.a.w. yang juga menjaga waktu memberikan nasihat kepada kita dahulu, kerana takut timbulnya kebosanan pada kita." 
(Muttafaq 'alaih)

698. Dari Abulyaqdzhan iaitu Ammar bin Yasir radhiallahu 'anhuma, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Yang bermaksud :  "Sesungguhnya panjangnya seseorang dalam bersolat dan pendeknya dalam berkhutbah adalah suatu tanda kepandaian orang itu dalam urusan keagamaan. Oleh sebab itu, maka panjangkanlah solat dan pendekkanlah berkhutbah." 
(Riwayat Muslim)

699. Dari Mu'awiyah bin al-Hakam as-Sulami r.a., katanya: 

Yang bermaksud :  "Pada suatu ketika saya bersolat  bersama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba ada seorang dari kaum yang berjemaah itu bersin, lalu saya mengucapkan: "Yarhamukallah." Kaum(yakni orang-orang itu) sama melemparkan pandangan mereka padaku, lalu saya mengucapkan: "Aduh bencana ibuku, mengapa engkau semua melihat padaku?" Orang-orang itu selalu memukulkan tangan-tangan mereka pada paha-paha mereka. Setelah saya mengerti bahawa mereka itu menyuruh saya supaya berdiam lalu sayapun berdiamlah. Selanjutnya setelah Rasulullah s.a.w. selesai mengerjakan solat, maka aduhai ayah dan ibuku, belum pernah saya melihat seorang gurupun sebelum saat itu dan bahkan sesudah itu sekalipun yang lebih bagus cara mengajarnya daripada beliau s.a.w. tersebut. Demi Allah, beliau tidak membentak-bentak padaku, tidak pula memukulku dan tidak pula mencaci maki padaku. Beliau s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya solat ini tidak patut di waktu mengerjakannya itu mengucapkan sesuatu dari ucapan manusia. Hanyasanya solat itu adalah ucapan tasbih (Subhanallah), ucapan takbir (Allahu Akbar) serta bacaan al Quran" atau seperti itu apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Saya lalu berkata: "Ya Rasulullah, saya ini baru saja keluar dari masa jahiliyah, dan Allah sungguh-sungguh telah mendatangkan Agama Islam ini. Sesungguhnya di antara kita semua ini ada beberapa orang yang suka mendatangi ahli ramal(pedukunan)." Beliau s.a.w. bersabda: "Jangan engkau mendatangi mereka." Saya berkata lagi: "Di antara kita ada pula orang-orang yang merasa akan mendapat nasib buruk." Beliau s.a.w. bersabda:  "Hal itu adalah sesuatu yang mereka dapatkan dalam hati mereka sendiri, maka tentulah tidak dapat menghalang-halangi mereka," yakni hal itu tidak akan memberikan bekas apapun kepada mereka, baik kemanfaatan atau kemudaratan.” 
(Riwayat Muslim)

700. Dari al-'Irbadh bin Sariyah r.a., katanya: 


Yang bermaksud :  "Kita semua diberi nasihat oleh Rasulullah s.a.w. berupa suatu nasihat yang kerana mendengarnya itu semua hati menjadi takut dan semua mata dapat mengalirkan air mata." Lalu ia menyebutkan Hadis itu dan sudah lampau keterangan selengkapnya dalam bab "Perintah memelihara sunnah," dan sudah kami sebutkan pula bahawasanya Imam Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.


Bab 90 Mendengarkannya Seorang Kawan Kepada Pembicaraan Kawannya Yang Tidak Berupa Pembicaraan Yang Haram Dan Memintanya Orang Alim Serta juru Nasihat Kepada Orang-orang Yang Menghadiri Majlisnya Supaya Mereka Mendengarkan Baik-baik.



696. Daripada Jarir bin Abdullah ra, katanya: 

Yang bermaksud :  "Rasulullah s.a.w. bersabda dalam haji wada' yakni haji terakhirnya Nabi s.a.w. sebagai tanda meminta diri -: "Mintalah orang-orang itu supaya mendengarkan baik-baik." Kemudian beliau s.a.w. bersabda: "Janganlah engkau semua kembali menjadi orang-orang kafir sepeninggalku nanti, lagi pula janganlah yang sebahagian dari engkau semua itu memukul leher sebahagian lainnya," maksudnya janganlah melakukan sesuatu yang dapat menyebabkan terjadinya perceraian, permusuhan dan pertempuran antara sesama kaum Muslimin." 

(Muttafaq 'alaih)