Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 21 Februari 2014

P 27 : RIBA

Sebelum Islam

A.    Pengertian riba

Menurut bahasa atau makna asalnya ialah bertambah. Sebagai contoh terdekat, satu
ringgit menjadi dua ringgit. Terdapat dua jenis riba iaitu Riba Fadhal dan Riba Nasia’ah


B.    Riba dalam agama Yahudi:

Iman Al-Hafiz Ibnu Kathir r.a telah menafsirkan ayat berkata ‘Allah telah melarang mereka (orang-orang Yahudi) daripada mengambil atau memakan riba. Sekalipun dilarang, mereka mengambilnya dan memankannya. Mereka mencari pelbagai alasan dan helah untuk halalkan dan akhirnya mereka memakan harta orang lain secara batil.
Orang Yahudi telah memutar belitkan dalil-dalil dengan mengatakan bahawa riba yang dilarang itu hanyalah sesama Yahudi. Berurusniaga dengan bukan Yahudi melalui riba adalah tidak salah sama sekali bagi mereka orang Yahudi.
Dengan itu, jelaslah dari firman Allah SWT bahawa Allah sebenarnya sudah melarang kaum Yahudi daripada mengamalkan riba melalui kitab Taurat. Orang-orang Yahudi menyalahi perintah Allah, mereka menukar kalimat yang terdapat di dalam kitab Taurat itu.

C.    Riba zaman Jahiliah

Mereka anggap riba sebagai sesuatu yang menguntungkan bagi ahli perniagaan pada zaman berkenaan.
Bagi sesiapa yang tak mampu bayar hutang, jadi hutang itu akan bertambah dari masa ke semasa mengikut tempoh yang mereka tetapkan. Contoh: hutang RM100, maka hutang akan datang bertambah sehingga RM200 dan begitulah selanjutnya. Penambahan ini dalam erti kata lain disebut sebagai ‘bunga’.
Riba pada zaman berkenaan dianggap sebagai sesuatu perkara yang biasa dalam urusan seharian mereka. Sesungguhnya orang yang kaya atau mempunyai banyak harta sama sekali tidak peduli pada orang yang meminjam itu rugi, bertambah miskin atau sebagainya.

Riba Menurut Islam

A.    Ayat-ayat yang melarang riba

Menurut Firman Allah, sesiapa sahaja yang mengamalkan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya seseorang yang dirasuk disebabkan penyakit gila. Bagi mereka yang mengulangi perbuatan riba maka orang itu adalah penghuni api neraka dan mereka kekal buat selamanya.

B.    Hadis-hadis yang melarang riba

Rasulullah saw menjelaskan ini semua melalui beberapa hadis supaya umatNya berhati-hati serta berwaspada betapa hebatnya fitnah atau pengaruh harta dalam kehidupan seseorang.
Daripada Abu Juhaitah, Rasulullah saw melarang sekeras-kerasnya umatnya mengambil wang dari hasil penjualan darah, anjing dan pendapatan hamba sahaya.

C.    Riba Fadal

Tidak boleh memperjual-belikan keduanya (tukar-menukar) kecuali secara sama. Contoh berdasarkan hadis, pertukaran emas dengan emas semuanya mesti sama banyak dan sama-sama menyerahkan. Kalau berlainan jenis, berjual belilah sesuka hati, asalkan secara tunai dengan tunai.

Menurut ulama zahiriah, emas, perak, al-burr (sejenis gandum), al-sya’ir (gandum), tamar dan garam sahajalah yang dianggap sebagai barang ribawi. Barangan ribawi membawa maksud barang-barang yang dianggap sebagai riba.

D.    Hukum riba

Imam Nawawi r.a berkata: ‘Ijmak (sependapat) riba adalah haram. Tetapi terdapat perbezaan pendapat tentang takrif serta huraiannya.
Barang-barang yang dianggap ribawi atau sama illat dengan emas dan perak adalah setiap barang yang mahal harganya.
Ulama bukan zahiriah pula berpendapat barang ribawi termasuk barang lainnya yang sama illat. Namun para ulama juga berbeza pendapat mengenai illat.

E.    Hikmah diharamkan riba

Riba mengandungi unsur penindasan atau dalam erti kata lain adalah kezaliman, penipuan dan sama sekali bertentangan dengan cara Allah.

F.    Riba Nasi’ah

Zat atau modal sesebuah harta. Sebagai contoh pada zaman jahiliah, seseorang itu akan meminjamkan hartanya kepada orang lain dan bila dah tiba waktu yang ditetapkan, dia akan ambil keuntungan daripada si peminjam dalam kadar tertentu. Apabila tiba masanya, si pemilik akan menarik hartanya. Jadi si peminjam perlu mengembalikannya atau membayarnya. Jika tidak sanggup, ianya boleh ditangguh tetapi bunga akan bertambah mengikut jangka masa yang ditetapkan.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat di antara para ulama mengenai riba fadal. Memang tak syak lagi sesungguhnya riba nasi’ah memang haram di sisi Islam tetapi timbul kecelaruan pendapat mengenai riba fadal. Namun kesimpulannya riba nasi’ah dan riba fadal adalah haram.

G.    Jual beli secara Al-‘Inah

Jual sesuatu barang dengan cara berhutang, kemudia barang berkenaan diserahkan kepada pembeli. Seterusnya si penjual membeli barang berkenaan sekali lagi dengan harga yang lebih murah sebelum si pembeli melangsaikan hutang.
Hukumnya sudah semestinya haram. Imam Malik bin Anas,Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan segelintir pengikut Imam Syafie berpendapat jual beli secara Al-‘Inah adalah haram.
Sebagai contoh, si A menjual sebiji kereta bernilai RM15,000 kepada si B secara hutang selama setahun. Kemudian, si A membeli semula kereta berkenaan dari si B dengan harga yang lebih murah iaitu RM10000 secara tunai namun wang yang RM15000 itu tetap menjadi hutang si B.

Tukar Menukar Yang Dibolehkan

A.    Boleh berlebih dan Kurang

1.    Benda yang tidak sama Illat: Para ulama sependapat penjualan barang ribawi secara berlebih atau berkurang dibolehkan kalau tidak sama Illat. Contoh: antara emas dengan gandum. Contoh: boleh menukarkan dua gram emas dengan dua kilo gram gandung. Tetapi ia mestilah dilaksanakan secara tunai.

2.    Yang tidak disukat atau ditimbang: terdapat perbezaan pendapat mengenai boleh atau tidak menjual haiwan dengan haiwan melalui nasi’ah. Maksudnya, haiwan berkenaan ditukarkan dengan haiwan yang lain tetapi, kemudiannya haiwan yang lain itu seterusnya diberikan dan iaitu dalam bentuk yang besar atau lebih banyak daripada yang asal. Menurut kebanyakan ulama hukumnya boleh menukar akan haiwan dengan haiwan lain walaupun haiwan yang lain itu kemudiannya diberikan haiwan yang lebih besar atau lebih banyak.
Jika menjual seorang hamba dengan dua yang lain tetapi dengan melaui hutang timbul perbezaan pendapat di antara ulama. Tetapi itu hanya pendapat, riwayat para tabiin telah menunjukkan boleh dilaksanakan urusan sedemikian walaupun dengan cara berhutang.

B.    Tukar-menukar barang

•    Ini juga termasuk penukaran emas dengan emas, perak dengan perak atau sebagainya melalui timbangan. Menurut Imam Malik r.a, menjual emas dengan emas dan menjual mata wang dengan mata wang adalah tidak dilarang.
•    Sudah sedia maklum bahawa masyarakat sangat memerlukan penukaran mata wang. Oleh sebab itu, Islam membolehkan penukaran mata wang serta menggariskan peraturannya.

C.    Cara menghindari perkara syubahat


•    Orang muslim harus melakukan perkara yang diwajibkan dan meninggalkan segala yang makruh serta mengerjakan perkara sunat. Perkara syubahat adalah perkara yang tidak jelas halal mahupun haramnya Sesuatu perkara atau perbuatan itu.

Fatwa-fatwa Tentang Riba Zaman Moden

1.    Hukum wang kertas

Pertama: Asal mata wang adalah emas serta perak, begitu juga mengenai illat atau sebab berlakunya riba adalah kerana harganya mengikut pendapat yang lebih kuat. Ulama-ulama turut berpendapat bahawa yang dianggap barang berharga bukan sahaja emas mahupun perak tetapi termasuk juga benda berharga yang lain.

Pada masa kini wang kertas sudah menjadi barang yang berharga dan nilainya menepati emas dan perak dalam berurus niaga. Memandangkan sebab berlakunya riba pada emas dan perak adalah disebabkan harganya, sedangkan wang kertas kini amat berharga, maka disebabkan itu majlis fatwa telah menetapkan bahawa wang kertas ada nilainya yang tersendiri pada zat atau bendanya.
Hukumnya setaraf dengan emas serta perak. Hukum yang dimkasudkan termasuklah wajub mengeluarkan zakat bagi mereka yang menyimpan wang kertas.

Kedua: Wang kertas turut dianggap sebagai pelbagai jenis yang berlainan. Ianya berlainan kerana berlainan Negara yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, dollar Amerika manakala Malaysia menggunakan istilah Ringgit Malaysia yang mewakili nilai yang berbeza. Satu dollar Amerika tidak sama dengan satu Ringgit Malaysia. Sebagai kesimpulan mengenai wang kertas, para ulama telah menyimpulkan:

•    Wang kertas sesama wang kertas tidak boleh dijual beli. Contohnya, tidak boleh menjual riyal Saudi dengan dollar Amerika.

•    Tak boleh tukar wang yang sama (contohnya: dollar dengan dollar) secara berlebih kurang. Ianya mesti sama, contohnya sepuluh dollar mesti dibayar dengan sepuluh dollar. Perlu sama dan dilaksanakan dengan tunai.

•    Boleh juga dijual sebahagiannya dengan sebahagian lagi, yakni tidak sama jenis dengan nilainya asalkan ianya dilaksanakan dengan tunai. Boleh menjual ringgit Malaysia dengan riyal Saudi secara berlebih dan berkurang. Contohnya, boleh menjual satu dollar dengan tiga riyal Saudi asal dilakukan secara tunai. Selain itu, boleh juga menjual satu riyal Saudi (wang perak) dengan empat riyal Saudi (wang kertas) asalkan dijalankan secara tunai.

Ketiga: Zakat wajib dikeluarkan bagi pemilik wang kertas apabila niali atau harga wang berkenaan sudah menyamai atau melebihi nisab emas atau perak.

2.    Menukarkan wang

Haram hukumnya menukarkan duit berpisah dengan orang yang menjual wang berkenaan sebelum serah terima wang itu.

Rasulullah saw bersabda:

“Setiap syarat yang tidak disebutkan dalam kitab Allah adalah batil, walaupun ada seratus syarat. Ketentuan Allah lebih benar dan syarat yang ditetapkan Allah lebih tepat.”

3.    Bekerja di Bank

Tidak menyimpan wang di bank dengan tujuan mendapatkan faedah atau bunga, kerana wujudnya unsur riba. Bukan sahaja di bank, bahkan institusi lain pun tidak boleh menyimpan wang jika wujud unsur riba.

4.    Membeli saham bank

Tidak boleh sama sekali menjual atau membeli saham kerana ianya dianggap sebagai menjual wang dengan wang tanpa memenuhi syarat-syarat Islam. Ia juga dilarang adalah kerana dianggap menolong menguatkan institusi bank berkenaan.

5.    Keuntunggan yang diberikan bank

Keuntunggan berkenaan dianggap sebagai riba. Wang berkenaan tidak halal digunakan sama sekali walaupun digunakan istilah “keuntungan”.

6.    Meminjam wang dari bank

Hukumnya haram meminjam emas, perak mahupun wang dari orang lain dengan syarat pinjaman itu dipulangkan lebih daripada pinjaman asal. Tidak kira berurusan secara perseorangan atau dari bank. Bank yang menyediakan pinjaman berkenaan dikatakan bank ribawi.

7.    Mengambil manfaat dari wang yang dipinjamkan.

Haram hukumnya, jika ada orang yang member pinjaman dan meletakkan pelbagai syarat yang bermacam-macam ini sudah terkeluar dari tujuan asal pemberian pinjaman. Kerana sudah ditakrifkan pinjaman pada asalnya merupakan satu bentuk bantuan kepada sesorang yang memerlukan bantuan. Memberi pinjaman merupakan perbuatan terpuji di sisi Allah SWT.

Kesan Riba Dan Mudaratnya

1.    Sesungguhnya riba mengubah cara kita berfikir dan bakal merosakkan akhlak seseorang Muslim.

2.    Selain itu, riba dapat merosakkan masyarakat dan ekonomi masyarakat sekeliling. Ini dikatakan bahaya adalah kerana sistem riba melibatkan pinjam meminjam yang tidak betul. Terdapat beberapa jenis pinjaman: -

•     Peminjaman oleh individu yang sangat memerlukan untuk menutupi kesusahan hidup mereka. Golongan-golongan seperti ini, kalau sudah terperangkap dengan orang yang mengamalkan riba, sudah pasti tidak akan terlepas sepanjang hayat. Ini kerana, mereka mungkin tidak sanggup membayar hutang berkenaan kerana hutangnya akan terus bertambah.

•    Pinjaman oleh seseorang pemerintah dari Negara lain bagi pembangunan Negara. Kesusahan atau akibatnya bakal ditanggung masyarakat. Begitu jugalah pinjaman yang diterima Negara miskin dari Negara yang kaya, maka yang bakal menanggung akibatnya adalah rakyat sesebuah Negara itu sendiri.

•    Riba boleh menjadikan seseorang itu pemalas. Ini adalah kerana orang kaya dapat menyimpan wangnya di dalam bank dan dia boleh mengambil faedahnya, dengan itu dia tidak perlu bersusah payah mencari rezeki.

•    Riba juga boleh meningkatkan kadar pengganguran dalam kalangan masyarakat.

•    Harta kaum muslimin yang disimpan oleh musuh mereka. Ini adalah yang paling malang sekali dan membahayakan umat Islam. Wang yang kita simpan pada orang kafir sudah pasti mereka dapat memperkukuhkan ekonomi mereka.

•    Orang yang memakan atau memberi riba akan diperangi oleh Allah serta Rasul-Nya.

•    Mereka bakal dilaknat. Dalam hadis telah dinyatakan bahawa Nabi saw melaknat golongan yang memakan riba, penerima riba, orang yang menjadi juru tulis dan saksinya. Menurut hadis berkenaan, semua golongan yang dinyatakan adalah sama.

•    Golongan yang mengamalkan riba akan disiksa setelah mereka mati kelak, yakni mereka akan disuruh berenang di sungai darah yang merah. Mulut mereka bakal dilempar dengan batu. Ada hadis mengatakan bahawa Malaikat Jibril berkata: “Orang yang engkau lihat berenang di sungai darah itu wahai Muhammad adalah orang yang memakan riba.”

•    Perbuatan riba membawa kepada kebinasaan. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Jauhilah tujuh perkara yang menyebabkan kebinasaan.” Lalu Rasulullah menjelaskan “Menyekutukan Allah, mengamalkan sihir, menghilangkan nyawa orang lain yang diharamkan membunuhnya (kecuali yang boleh dibunuh), memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan dan menuduh wanita mukminah dan terpelihara mengerjakan zina.”

•    Orang yang memakan riba tidak akan diterima doanya sama sekali. Hatinya turut menjadi keras dan tertutup dari kebaikan.

•    Golongan yang memakan riba itu dianggap zalim, sesungguhnya kezaliman akan menimbulkan kegelapan ketika hari kiamat. Melalui firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 42 dan 43 yang bermaksud:

“Dan janganlah sekali-kali engkau (Muhammad) menyangka bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata mereka terbeliak. Mereka datang tergesa-gesa memenuhi panggilan dengan mengangkat kepala mereka, sedang mata mereka tidak berkedip dan hati mereka kosong.”

•    Selain itu, riba membunuh menghapuskan perasaan kasih sayang yang ada dalam diri seseorang.

•    Riba kadangkala menyebabkan permusuhan di antara satu sama lain dan juga saling bermusuhan dalam kalangan masyarakat sekeliling.

•    Bukan itu sahaja, riba juga mungkin menjerumuskan manusia ke arah kebinasaan dan kesusahan sehingga golongan seperti ini tidak dapat menanggungnya. Terlalu banyak mudarat atau kesan buruknya dan sukar untuk diterangkan satu per satu. 

Sesungguhnya kita hanya perlu yakini bahawa Allah tidak akan melarang sesuatu itu jika tiada mudaratnya terhadap kita hamba Allah.

•    Hati seseorang yang memakan riba akan terhalang daripada berbuat sesuatu kebajikan dan pupus sifat kemanusiaan dalam diri.

Penutup

Kesimpulannya buku ini terdapat:

1.    Disebutkan sikap atau penetapan orang-orang Yahudi mengenai riba. Sesungguhnya Allah mengharamkan riba kepada mereka golongan Yahudi, tetapi mereka tetap mencari helah untuk menghalalkannya.

2.    Terdapat banyak dalil-dalil yang melarang riba. Dalil-dalil ini memang tidak boleh tidak dipertikaikan kesahihannya.

3.    Islam melarang riba, namun sebagai pegantinya Allah menghalalkan jual beli dan perniagaan yang halal di sisi Islam.

4.    Ditunjukkan nas yang menyeru kita meninggalkan perkara-perkara syubahat. Manusia yang terlibat dengan perkara syubahat membawa mereka jatuh kepada perkara yang haram.

5.    Buku ini turut menerangkan kesan, mudarat serta bahayanya riba terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

6.    Selain itu, dinyatakan apa sebab riba itu diharamkan. Terdapat banyak hikmah dalam setiap perintah dan larangan Allah SWT. Tetapi tidak semestinya kita perlu tahu segala hikmah di sebalik sesuatu. Jika kita mengetahui sesuatu hikmah, bermaksud itu adalah ilmu tambahan buat kita manusia.

7.    Tidak boleh berurusan dengan bank yang mengamalkan riba mahupun bekerja di bank berkenaan.

8.    Dapat juga kita memperingatkan diri supaya tidak menyimpan wang di bank yang mengamalkan riba.



Ya Allah terlalu berat tanggungan dosa hambaMu ini. Ya Allah, aku mohon keampunan dan perlindunganMu dari segala-galanya.




P 26 : JANGAN TINGGALKAN SOLAT KERANA....

Jangan pernah tinggalkan solat KERANA Berjuta-juta manusia yang dah mati berharap dapat hidup semula seketika hanya untuk bersujud pada Allah. Jika seorang jenazah itu mampu bangun dan menceritakan pengalamannya di dalam kubur, pasti 24 jam kita hanya duduk di atas sejadah.
Allah ya rabbi.



P 25 : HAKIKAT JODOH

Apabila dua orang telah digariskan untuk dapat hidup bersama…
telah tertulis siapa yang menjadi Jodohnya dalam Kitab Lauhful Mahfudz maka…
sejauh apapun mereka…
sebanyak apapun rintangan yang menghalangi…
sebesar apapun beza di antara mereka…
sekuat apapun usaha dua orang tersebut untuk menghindarkannya…
meski mereka tidak pernah komunikasi sebelumnya…
meski mereka sama sekali tidak pernah membayangkan sebelumnya…
meski mereka tidak pernah saling bertegur sapa…
PASTI !!!!!!!!!
PASTI tetap saja mereka akan bersatu….
seakan ada magnet yang menarik mereka…
akan ada hal yang datang…
untuk menyatukan mereka berdua…
akan ada suatu kejadian…
yang membuat mereka saling mendekat…
dan akhirnya bersatu…
Aamiin ya Rabbal'alamin...





P 24 : KEKAYAAN

Kaya kereta besar, TENGGELAM.
Kaya rumah besar, MUSNAH.
Kaya duit bertimbun-timbun, HANYUT.
Kaya anak isteri, LEMAS.
Kaya ilmu,kaya iman, Insya Allah SELAMAT. Itulah ujian dan dugaan yang diturunkan Allah yang memusnahkan segala-galanya duniawi kita dengan sekelip mata.
TAPI! Jangan dilupakan, Allah mampu menyelamatkan Masjid yakni rumah Allah dari tenggelam, menjernihkan air dalam surau pada bila-bila masa tatkala tempat lain tenggelam.
Kalau kita tak ada masa untuk dikorbankan kepada jalan Allah walaupun sedetik, maka tunggulah musibah daripada Allah yang akan memusnahkan segala-galanya dalam sedetik sahaja.
Elakkanlah terlampau sayang akan hal-hal dunia kita sehingga terlupa yang kita adalah HAMBA Allah..




P 23 : SOLAT AKAN MANIS BILA

1-Kosongkan hati dari sesuatu hal keduniaan.
2-Memahami makna bacaan dalam solat.
3-Merasa kebesaran dan keagungan Allah 
4-Hadirkan perasaan takut dan takwa kepada Allah
5-Mengharapkan balasan Allah dan memohon dijauhkan daripada neraka.
6-Merasa malu apabila berhadapan dengan Allah.








P 22 : BELAJARLAH

~ Belajarlah BERSYUKUR walau KEKURANGAN
~ Belajarlah IKHLAS walau TAK RELA
~ Belajarlah TAAT walau BERAT
~ Belajarlah MEMAHAMI walau TAK SEHATI
~ Belajarlah SETIA walau BANYAK GODAAN
~ Belajarlah MEMBERI walau TAK SEBERAPA
~ Belajarlah MENGASIHI walau kau DISAKITI
~ Belajarlah TENANG walau kau sedang GELISAH
~ Belajarlah PERCAYA walaupun SUSAH
Percayalah bahawa ALLAH SWT selalu disamping kamu...





P 21 : TIADA KEADILAN MUTLAK DI DUNIA INI

“Jangan mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya. Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu serahkan kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu.

Jika ditakdirkan tidak kita temui sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada. Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamatkan ‘hati’ kita. Sekiranya kita berbuat baik kerana mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada manusia, tentu kita akan kecewa kerana umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih apalagi untuk membalas budi. Memang, buat baik dibalas baik, tetapi bukan semua kebaikan dibalas di sini (dunia), ada yang Allah simpan di sana (akhirat).”.
– petikan dari  Gentarasa 

Pahrol Mohamad Juoi    




Khamis, 20 Februari 2014

P 20 : SEORANG SUAMI BERNAMA MUHAMMAD S.A.W.

Jika ingin membina dunia yang lebih aman, kembalilah ke rumah masing-masing dan sayangi keluarga kita. In Sya Allah, apabila keluarga telah aman, masyarakat akan aman. Apabila masyarakat aman, negeri dan seterusnya negara akan aman. Dan apabila negara-negara telah aman, seluruh dunia akan aman. Oleh itu, apabila dunia semakin bergolak pada saat ini, percayalah itu semua berpunca daripada pergolakan rumahtangga. Ribut dalam cawan rumahtangga boleh mencetuskan badai di seantero dunia.

Perkara yang pertama dan utama dalam hidup seorang lelaki bernama suami adalah keluarga. Tidak ada gunanya dia berjaya di peringkat yang tinggi dan dalam bidang apa sahaja… sekiranya rumah tangganya sendiri berantakan. Justeru, Allah telah awal-awal lagi mengingatkan melalui firmanNya yang bermaksud, 

“selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada api neraka!”

Setiap lelaki pasti ditanya tentang kepimpinanya. Dan kepimpinan yang pertama akan dipersoalkan di Hari Akhirat nanti, bukan kepimpinan masyarakat, organisasi, jabatan,  kabinet atau negaranya… tetapi kepimpinan dalam keluarganya. Seorang wanita mudah masuk ke dalam syurga walaupun tanpa suami bersamanya, tetapi seorang lelaki sangat sukar masuk ke syurga tanpa isterinya. Seorang suami hanya layak ke syurga apabila semua yang berkaitan isteri dan anggota keluarganya sudah dipersoalkan.

Oleh kerana itu tertib dalam usaha membina kehidupan yang baik dimulakan dengan membaiki diri, kemudian membaiki rumahtangga dan seterusnya pancarkanlah sinar dalam rumahtangga itu ke tengah masyarakat. Bukankah sinar Islam itu pun bermula dari rumah Rasulullah saw? Nur wahyu dari gua Hira’ terpancar ke dalam diri Rasulullah, kemudian menyinari jiwa Khadijah dan kemudian dari situlah… bermulanya cahaya Islam ke dalam masyarakat Arab di Mekah, seterusnya merebak ke Madinah dan akhirnya tersebar ke seluruh semesta.

Justeru, sebelum kita mencari pengiktirafan sebagai pengurus, pengarah, CEO, menteri, perdana menteri, Presiden, raja dan sultan yang berjaya, carilah dahulu pengiktirafan dari dalam rumahtangga sendiri. Jadilah suami yang berjaya. Tegasnya, kita belum benar-benar diiktiraf sebagai seorang yang baik sekiranya belum menjadi suami yang baik. Sekiranya kita bertanya siapakah orang yang paling baik? Dengarlah jawapan dari Rasulullah saw ini:

“Orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik di antara kamu terhadap keluargaku.”

Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah rumahtangga Rasulullah. Kita saksikan bagaimana manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana sikap, cakap dan diam baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayat dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.

Adakalanya baginda pulang ke rumah lewat malam malah  menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpn masyarakat acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri. Sejarah menceritakan bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja kain ridaknya lalu dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu.

Apabila baginda bertanya kepada isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan apabila isterinya menjawab tidak ada… Baginda akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezeki untuk dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar.

Sejarah menceritakan juga bagaimana baginda sendiri menjahit bajunya yang koyak dan menampal kasutnya yang bocor. Walaupun dia insan yang paling agung dan mulia, tetapi sentiasa sedia turun ke bawah membuat kerja-kerja yang dianggap remeh dan kecil oleh lelaki-lelaki lain yang kononnya lebih hebat dan unggul. Mereka terlupa bahawa pemimpin yang hebat ialah mereka yang rela membuat kerja-kerja kecil tetapi dengan jiwa yang besar. Dan Rasulullah telah membuktikan hakikat itu!

Bayangkan baginda yang sering menangis, bimbang dan takut akan nasib umatnya di akhirat tetapi masih punya masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Bukan sekali baginda berlumba lari dengan isterinya hinggakan Aisyah berkata, “Adakalanya baginda menang, adakalanya aku menang.” Sikap baginda yang romantik itu merupakan sesuatu yang masih sangat baru di kalangan umat Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya wanita dianggap warga kelas dua sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam hidup-hidup.

Sikap ‘gentleman’ dan romantik baginda bukan sahaja pada Aisyah yang jelita tetapi juga pada Saudah, seorang janda yang telah dinikahi oleh baginda ketika telah berusia. Oleh kerana Saudah telah tua dan kurang berdaya  dan badannya yang besar, baginda sering melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta. Sebagai perbandingan,  ramai daripada para suami kini yang membuka pintu kereta untuk isterinya?

Sekiranya terbayang juga kebimbangan pada raut wajahnya ketika masuk ke rumah isterinya, baginda akan menjawab jika isterinya bertanya kenapa? Ketika peristiwa perjanjian Hudaibiyah dimetrai dan para sahabat begitu sedih sehinggakan tidak sedar akan perintah Rasulullah supaya bercukur dan menyembelih binatang, Ummu Salamah mendengar kebimbangan baginda itu lalu mencadangkan agar Rasulullah saw dahulu yang bercukur dan menyembelih korban…
Mata baginda bersinar atas cadangan dan pandangan isterinya lantas keluar semula lalu bercukur dan menyembelih kambing tanpa berkata sepatahpun kepada sahabat-sahabatnya. Baginda ‘bercakap’ dengan sikap seperti yang dicadangkan oleh Ummu Salamah. Dan melihat perbuatan baginda itu, para sahabat tersentak, tersedar lalu turut bercukur dan menyembelih binatang.

Bayangkan betapa besarnya jiwa baginda tetapi masih sudi mendengar cadangan daripada para isterinya. Jika benar dan betul, baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan ego. Tetapi jika batil dan salah, baginda tidak akan mengalah atau berundur walaupun selangkah.

Pernah baginda dihadiahkan seekor kambing untuk dimakan bersama keluarga. Baginda meminta Aisyah agar memberikan daging-daging kambing kepada orang yang lebih memerlukan. Aisyah dengan segera menunaikan perintah baginda… Cuma ditinggalkan sedikit yakni bahagian kaki untuk Rasulullah saw. Ya, Rasulullullah gemar memakan kambing terutama bahagian kakinya dan itulah yang dititip oleh Aisyah untuk suaminya tersayang.

Apabila tiba waktu makan, Rasulullah bertanya apakah daging-daging kambing itu telah diberikan kepada fakir miskin? Lantas Aisyah menjawab sudah kecuali bahagian kaki yang dimasak untuk baginda. Baginda tersenyum gembira, namun masih sempat mengingatkan isterinya dengan kenyataan  yang penuh tarbiah dan hikmah, bahawa semua bahagian kambing itu menjadi hak mereka di akhirat kecuali bahagian kaki itu!

Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang sama. Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya lahir dari hati.

Banyak kali baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan isteri. Baginda bersabda:

“Bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu.” 

Biasa baginda mencium isterinya, ketika hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang penuh kasih, kasihan dan sayang.

Baginda adalah suami yang ‘sporting’. Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah di mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu Bakar yang melihat keadaaan itu membentak kedua wanita tersebut, lalu Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata,

“Hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya.”

Baginda minum daripada gelas yang sama dengan isterinya. Bahkan baginda mencecahkan bibirnya pada tempat di mana betul-betul bibir isterinya minum. Bahkan pada saat-saat akhir pemergiannya pun baginda meminta Siti Aisyah melembutkan kayu sugi dengan menggigitnya dan kemudian baginda minta disugikan dengan kayu sugi tersebut. Hinggakan kerana itu Aisyah menyatakan air liurnya dan air liur baginda bertemu sehingga saat akhir menuju kewafatannya.

Apabila baginda berada di bulan Ramadan, sentiasa baginda akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi kasih sayang terhadap isteri, baginda akan mengejutkan mereka untuk sama-sama memburu kecintaan Allah. Tidak digerakkan isterinya  dengan gerakan yang kasar ataupun lengkingan suara yang tinggi, tetapi cuma disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan.

Jika kita ingin menjadi suami… Contohilah seorang suami yang bergelar Rasulullah – utusan Allah yang membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan itu bukan hanya soal hidup bersama  tetapi ‘cinta bersama’ buat selama-lamanya.



Masyhurlah kemudiannya kata-kata “marriage is loving-together, not just living together” namun Nabi Muhammadlah suami yang membuktikan hakikat itu dalam kehidupan berumahtangganya lebih 1400 tahun yang lalu.Teladanilah seorang suami bernama Muhammad s.a.w




P 19 : EMPAT TAHAP MENDIDIK ANAK IKUT SUNNAH RASULULLAH SAW

Empat tahap bagaimana mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. :

PERTAMA:

Umur 1-7 tahun. Pada masa ini, Rasulullah s.a.w menyuruh kita utk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak berbatas. Biarkan anak-anak bermandikan kasih sayang pada tahap ini.

KEDUA

Umur 7-14 tahun. Pada masa ini Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk mula menanamkan DISIPLIN kepada anak-anak dengan mengajar dan menyuruh mereka untuk mengerjakan solat. Bahkan apabila umurnya sudah sepuluh tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya jika enggan mengerjakan solat.
Berdasarkan pakar-pakar jiwa anak, sememangnya pada umur 7-14 tahun ini masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak. Pada fasa inilah seorang ayah akan menjadikan anak itu seorang muslim atau Yahudi, Nasrani dan Majusi seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan suci. Maka, ayah dan ibulah yang akan mencorakkannya.

KETIGA

Umur 14-21 tahun. Pada masa ini orang tua sudah MENUKAR penanaman disiplin dengan cara yang agak KERAS kepada yang RASIONAL. Orang tua sudah semestinya mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah. Hal ini penting agar anak berasa dirinya punyai tanggungjawab mengambil berat hal-hal dalam keluarga.

KEEMPAT

Umur lebih 21 tahun. Pada masa ini, orang tua sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau terlupa.
Dalam kehidupan kita sebagai muslim, kadang-kadang pendidikan yang diajar oleh Rasul itu tidak benar-benar diamalkan, bahkan ramai yang tidak mengamalkannya sama sekali.
Ada orang tua yang terlalu memanjakan anak sehingga umur 14 tahun dan baru mula mengajar dan menyuruhnya solat pada usia mereka 15 tahun sehingga mereka bukan sahaja enggan melakukannya malah marah kepada ibubapanya. Jika kewajipan yang tertinggi (iaitu solat) yang telah diperintahkan Yang Maha Agung diabaikan apatah lagi dengan perintah dan suruhan orang lain termasuk ibubapanya.

Kesimpulannya, masalah disiplin dan jenayah remaja dan pelajar muslim berkemungkinan terjadi kerana rapuhnya pendidikan iman dan cara didikan yang salah. Sebahagian ibu bapa menafikan hal ini kerana mereka tidak sedar kekerasan dan cara pendidikan yang mereka terapkan kepada anak-anak adalah secara membuta tuli tanpa melihat perkembangan umur anak-anak sehingga anak terasa dizalimi dan seterunya membesar dengan perasaan marah dan dendam kepada ibubapa.




P 18 : FIRAUN DAN KESOMBONGANNYA ADA DALAM SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA KITA

Allah Subhanahu wa Taala berfirman, (Seraya) berkata :

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الأعْلَى


Firman Allah swt yang bermaksud : 

”Akulah Tuhanmu yang paling tinggi.” (ucapan Firaun) 
[TQS. An-Naazi'aat (79): 24]

Ayat tersebut menegaskan serangkaian akumulasi (kejadian) perbuatan Firaun. Jadi bukan sekadar ucapan saja, tapi ada perbuatan-perbuatan sebelumnya yang mengiringi dan puncaknya adalah ketika ia mengucapkan kata seperti tersebut di atas.
Lantas apa sebenarnya perbuatan Firaun?

 Apakah firaun mengaku sebagai YANG MAHA KUASA? — Tidak!

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Firaun berkata kepada pembesar-pembesar yang berada sekelilingnya: Sesungguhnya Musa ini benar-benar seorang ahli sihir yang pandai,”
QS. Asy-Syu’aara:34 

Firaun perlu berunding ketika menemui kesulitan, ini membuktikan Firaun tidak mengaku sebagai YANG MAHA KUASA.

 Apakah Firaun tidak mengakui Tuhan dan Nabi Musa? — Tidak juga!

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Dan ketika mereka ditimpa azab (yang telah diterangkan itu) mereka pun berkata: “Hai Musa, mohonkanlah untuk kami kepada Tuhanmu dengan (perantaraan) kenabian yang diketahui Allah ada pada sisimu. Sesungguhnya jika kamu dapat menghilangkan azab itu dan pada kami, pasti kami akan beriman kepadamu dan akan kami biarkan Bani Israil pergi bersamamu.”
QS. Al-A’raaf: 134

Terbukti Firaun mengakui Kenabian Nabi musa dan Mengakui bahawa yang mampu menghalau segala macam bencana hanyalah ALLAH.
 Apakah Firaun mengaku berkuasa atas alam semesta ? — Tidak juga!

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Dan Firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: “Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat(nya)?”
QS. Az-Zukhruf: 51 | 

Dia hanya berkuasa di Negeri Mesir. Ia tahu dan menyedari hal tersebut.

 Apakah Firaun melarang Umat tauhid (waktu itu) melaksanakan solat? — Tidak Sama sekali!

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Maka tatkala ahli-ahli sihir itu datang, Musa berkata kepada mereka: “Lemparkanlah apa yang hendak kamu lemparkan.”
QS. Yunus: 80

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Maka setelah mereka lemparkan, Musa berkata: “Apa yang kamu lakukan itu, itulah sihir, sesungguhnya Allah akan menampakkan ketidakbenarannya” Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan terus berlangsungnya pekerjaan orang yang membuat kerosakan.”
QS. Yunus: 81

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Dan Allah akan mengukuhkan yang benar dengan ketetapanNya, walaupun orang-orang yang berbuat dosa tidak menyukai(nya).”
QS. Yunus: 82

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahawa Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. Sesungguhnya Firaun itu berbuat sewenang-wenang di muka bumi. Dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang melampaui batas.”
QS. Yunus: 83 

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Berkata Musa: “Hai kaumku, jika kamu beriman kepada Allah, maka bertawakkallah kepadaNya saja, jika kamu benar-benar orang yang berserah diri.”
QS. Yunus: 84 

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Lalu mereka berkata: “Kepada Allahlah kami bertawakkal! Ya Tuhan kami; janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum yang zalim,”
QS. Yunus: 85 

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Dan selamatkanlah kami dengan rahmat Engkau dari (tipu daya) orang-orang yang kafir.”
QS. Yunus: 86

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Dan Kami wahyukan kepada Musa dan saudaranya: “Ambillah olehmu berdua beberapa buah rumah di Mesir untuk tempat tinggal bagi kaummu dan jadikanlah olehmu rumah-rumahmu itu tempat solat dan dirikanlah olehmu sembahyang serta gembirakanlah orang-orang yang beriman.”
QS. Yunus: 87

 Jadi apa sebenarnya dosa yang paling besar dari Firaun?

Analisa berawal dari sini.


Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Firaun berkata: “Sungguh jika kamu menyembah Tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang DIPENJARAKAN.”
QS. Asy-Syu’aara: 29 

Kuncinya adalah pada kata “DIPENJARAKAN.” Penjara di dunia manapun hanya di peruntukkan bagi pelanggar “hukum/aturan.”
Penyembahan kepada Firaun itu bukan penyembahan seperti solat, sembahyang kepada Firaun, tapi ketaatan pada hukumnya Firaun itulah bentuk penyembahan yang dimaksudkan ayat tersebut.

Ayat di bawah ini akan memperjelas :

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Dan mereka berkata: “Apakah (patut) kita percaya kepada dua orang manusia seperti kita (juga), padahal kaum mereka (Bani Israil) adalah orang-orang yang beribadah kepada kita?”
QS. Al-Mu’minun: 47

Dari ayat di atas menunjukkan, dosa Firaun yang utama adalah menyuruh manusia “Taat “kepada Hukum-Hukumnya.

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Maka Firaun mempengaruhi kaumnya lalu mereka “taat” kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.”
QS. Az-Zukhruf 54 

Jadi ketaatan yang dimaksud Firaun adalah taat pada “HUKUM/ATURAN” yang ia buat.
Bagi Allah inilah pelanggaran berat mengingat ayat tersebut di bawah ini.



Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan yang sebenarnya dan Dia Pemberi keputusan yang paling baik.”
QS. Al An’aam 57 

INILAH PELANGGARAN BERAT YANG DILAKUKAN FIRAUN

Firaun tidak memaksa Bani israel Syirik dalam persujudan, kerana sekembalinya Musa dari pelarian, al Quran menyebutkan Musa diperbolehkan mengambil beberapa rumah di Mesir untuk beribadah ”sujud” kepada ALLAH. Bukan persujudan (solat) yang dihalangi oleh Firaun. Taat hukum selain hukumnya (Firaun), inilah yang dihalangi sekuat tenaganya.
Kondisi ini mirip sekali dengan keadaan kita umat muslim di Indonesia mahupun Malaysia saat ini. Tidak ada yang menghalangi kita solat. Hanya kita diwajibkan taat pada HUKUM-HUKUM selain HUKUM ALLAH dan Hukum Sekarang Identik dengan KEKUASAAN dan dipermainkan dengan seenaknya saja.
Ibarat Mata Pisau, Tajam di bawah Tumpul di atas. Barangsiapa tidak tunduk pada hukum yang telah kami tetapkan, maka kamu akan menjadi salah seorang yang dipenjarakan.
Yang menghairankan adalah ini sama PERSIS dengan ucapan Firaun sekian abad yang silam.

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ  

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” 
QS. al-Maaidah (5): 44

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ 

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” 
QS. al-Maaidah (5): 45

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ 
Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.” 
[QS. al-Maaidah (5): 47]

Firaun memaksa Bani Israel untuk syirik dalam Ibadah Rukuk iaitu ketaatan pada aturan-aturan yang dibuatnya.
Maka erti dari ucapan Firaun:” AKULAH TUHANMU YANG TERTINGGI” adalah HUKUMKU (Firaun) adalah HUKUM TERTINGGI DI NEGERI INI.

KESIMPULAN

Siapa saja yang membuat aturan Hidup untuk manusia tanpa didasari nilai-nilai kemanusiaan maka dia telah berlaku seperti Firaun. Tanpa Mereka sedari MPR/DPR berkata,” Tap MPR (HUKUM DPR/MPR) adalah hukum tertinggi, siapa yang melanggar maka akan menjadi salah seorang yang dipenjarakan! ini MIRIP SEPERTI ucapan Firaun. inilah salah satu cabang reinkarnasi Firaun versi modern. Padahal pada praktiknya Hukum Tertinggi saat ini adalah Kekuasaan, Money Politic dan lain-lainya. dan sudah ada faktanya bahawa kadang Hukum dipermainkan dengan seenaknya.

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ


Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” 
[TQS. al-Maaidah (5): 50]

Berhati-hatilah dengan Kesombonganmu kerana tanpa kita sedari dapat berhujung pada akar kemusyrikan. 

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Dan Dia tidak mengambil seorangpun menjadi sekutuNya dalam menetapkan hukum.” 
(QS. al-Kahfii: 26)

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ

Firman Allah swt yang bermaksud : 

“Maka pada hari ini Kami selamatkan engkau dengan badanmu (Fal yauma nunajjiika bi badanika), supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.”
[TQS. Yunus (10): 92]

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud (ra), bahawa Rasulullah (saw) bersabda: 

“Tidak akan masuk syurga seorang yang dalam hatinya terdapat sifat kesombongan, walaupun hanya seberat debu.”
Kemudian ada orang berkata: “Sesungguhnya seorang itu ada yang senang jikalau pakaiannya itu baik dan terompahnya (sendal-sepatunya) pun baik.”
Beliau (saw) lalu bersabda: “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. kesombongan itu ialah menolak kebenaran (Batharul-haqqi) dan menghinakan orang banyak (Ghamtunnaasi).” 
(HR Muslim)

Qarinah dari sikap sombongan itu memiliki dua konteks:

1. Bathaqul-haqqi ialah menolak kebenaran dan mengembalikannya kepada orang yang mengucapkannya itu — yakni memberikan bantahan pada kebenaran tadi.

2. Ghamtunnaasi ialah menghinakan sesama manusia — merendahkan manusia atas kekurangannya. Ibnu Abbas rahimahullah berkata, “Terlaknatlah orang menghormati orang lain kerana kekayaannya, dan menghina orang lain sebab kemiskinannya.”
“DEMOKRASI, MENCIPTAKAN MANUSIA-MANUSIA SOMBONG” — Pernahkah kita bertanya pada diri kita? Patutkah manusia yang diciptakan Allah (swt) kemudian menggelar sebuah majlis (PARLIMEN) yang di dalamnya diajukan proposal mengenai perlu-tidaknya Hukum Allah (Syariah al-Khilafah) diberlakukan? Perlukah dilakukan Voting?

Rasulullah (saw) bersabda, 

“Cukup berdosa orang yang jika diingatkan agar bertakwa kepada Allah, lalu dia marah.” 
(HR Ath-Thabrani)

Tidakkah terfikir, betapa sombong dan kurang ajarnya manusia-manusia yang hadir di dalam majlis tersebut sehingga berani mempertanyakan kepada forum apakah mereka setuju atau tidak setuju akan pemberlakuan Hukum Allah?


Waallahu a’lamu bi ash-shawab..