UMAT Islam kini berada pada penghujung
fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan
ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu
bulan. Malam al-Qadar dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan
bertakwa kepada ALLAH SWT.
RASULULLAH SAW bersabda yang
bermaksud:
“Sesungguhnya bulan ini (Ramadan)
telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang
dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan
selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia
telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara
itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk)
daripada ALLAH.”
(riwayat Ibnu Majah).
Dalam hadis lain, RASULULLAH SAW bersabda
maksudnya:
“Sesiapa yang beribadah pada malam
al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan ALLAH,
mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu.”
(riwayat Muslim).
Para ulama bersepakat bahawa malam
al-Qadar berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu
berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat
tentang malam yang ke berapa.
Pendapat yang masyhur menyatakan
bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan. RASULULLAH SAW
pernah bersabda maksudnya:
“Barangsiapa yang ingin mendapatkan
al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27.”
(riwayat Ahmad)
Ada juga riwayat lain yang mengatakan
malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apapun
harinya, yang penting pada malam itu, ALLAH SWT menurunkan rahmat,
limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hambaNya yang melaksanakan
ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan ALLAH SWT.
Kelebihan malam al-Qadar tidak akan
dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada
orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja.
Fadhilat malam itu akan menyinari
mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat.
Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan
penuh keimanannya.
Kata al-Imam al-Qurtubiy, RASULULLAH
SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa
bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai
amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih
panjang.
Purata usia umat Muhammad antara 60
hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis RASULULLAH SAW. Sebab itu ALLAH SWT
menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada RASULULLAH
SAW dan umatnya.
Justeru itu, malam al-Qadar
dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepada RASULULLAH SAW dan umatnya sebagai
tanda kasih sayang dan rahmatNya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang
hamba ALLAH pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan
selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.
Kerana keutamaan ini, RASULULLAH SAW menganjurkan
umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar. Dalam hal
ini, RASULULLAH SAW perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan
terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.
Ini dilakukan dengan melaksanakan
iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada
malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan
amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus
al-Quran, berzikir dan seumpamanya.
RASULULLAH SAW sentiasa memanjatkan
doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya:
“Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah
kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta
peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”
Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar
satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk
memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang
dijanjikan ALLAH SWT.
Ini kerana doa itu sendiri membawa
maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping
disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri
kepada ALLAH SWT.
Selain itu, setiap Muslim dianjurkan
bertaubat dan memohon ampun kepada ALLAH SWT daripada sebarang dosa yang
lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya
melakukan kesalahan yang dilarang ALLAH SWT.
Dalam hal ini, RASULULLAH SAW bersabda
maksudnya:
“Setiap anak Adam tidak akan terlepas
dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa
itu adalah yang bertaubat kepada ALLAH.”
(riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Justeru, wajar bagi setiap Muslim
bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada ALLAH SWT
biarpun sekecil mana kesalahan itu.
Perlu diinsafi bahawa taubat tidak
sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal
maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan
ALLAH SWT sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian
hari