Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Sabtu, 21 Julai 2012

C 1 Marilah Bersyukur Di atas Nikmat Allah SWT

Bersyukur adalah antara sifat-sifat mahmudah yang wajib ada pada setiap muslim mukmin dan muttaqin. Kerana sifat syukur terangkum padanya erti pengakuan, pengiktirafan, tawadhuk dan merendah diri. Hanya orang yang memperakui pihak lain, tawadhuk dan merendah diri sahaja akan bersyukur dan berterima kasih.

Apa erti syukur? Syukur ialah berterima kasih, menghargai, mengakui sesuatu pemberian dan menggunakan pada perkara yang diredai oleh pemberi.
Kepada siapa seharusnya kita bersyukur dan berterima kasih? Pastinya yang paling utama dan paling wajib ialah kita bersyukur kepada Allah swt. Tuhan yang memberikan nikmat kepada kita tanpa terhitung banyaknya.

Firman Allah swt;
وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya; "Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menghitungnya jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(An Nahl :18).

Sekiranya kita bersyukur sudah pasti Allah akan menambahkan nikmat-Nya sebagaimana firman Allah swt;
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya; "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhan kamu memberitahu kepada kamu, sekiranya kita bersyukur Aku akan menambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu tetapi sekiranya kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sungguh pedih.”
(Ibrahim:7).

Bersyukur adalah sebagai tanda kita mengakui diri kita hamba Allah yang tunduk kepada kerajaan Allah swt yang maha kaya yang memiliki segala sesuatu. Jika sebaliknya maka kita adalah seorang hamba yang menderhakai Tuhannya yang telah mengurniakan kepadanya segala kesenangan dan kenikmatan.

Suatu ketika Rasulullah pernah ditegur oleh isterinya, Aisyah apabila melihat baginda berterusan bersolat sehingga menyebabkan kaki baginda bengkak. Aisyah berkata: “Bukankah Allah telah mengampunkan dosamu yang terdahulu dan yang akan datang? Baginda menjawab: “Salahkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?”

Rasulullah adalah contoh yang terbaik bagi kita. Baginda mengajar kita bagaimana cara untuk bersyukur kepada Allah swt. Iaitu segala nikmat yang telah kita terima mestilah dibalas dengan semakin mendekatkan diri kepada Allah swt. Ramai orang yang semakin jauh daripada Allah swt setelah menikmati kesenangan bahkan yang sangat menyedihkan ada di antara mereka yang menafikan sama sekali kenikmatan yang diterimanya adalah kurniaan daripada Allah swt.

Manusia yang lupa untuk bersyukur ini seharusnya mengingati bencana yang telah menimpa ke atas Qarun, seorang yang hidup pada zaman nabi Allah Musa iaitu orang yang terkaya di dunia tetapi tidak bersyukur kepada Allah swt. Maka kerana itu, Allah swt membinasakan beliau bersama-sama dengan segala harta kekayaannya supaya ianya menjadi peringatan kepada manusia yang akan datang.
Luqman al-Hakim mengajar anaknya agar sentiasa bersyukur kepada Allah swt.

Firman Allah swt;
وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

Maksudnya; "Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu).” Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."
Luqman:12.

Pengajaran kisah tiga orang dari kalangan Bani Israel.

Dari Abu Hurairah r.a.: Ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada tiga orang dari Bani Israil yang masing-masingnya berpenyakit kusta, botak dan buta. Tuhan hendak menguji, lalu mengutus malaikat menemui mereka. Malaikat itu datang lebih dahulu kepada yang berpenyakit kusta. Kata malaikat itu: “Apakah sesuatu yang paling engkau sukai?” Jawabnya: “Warna yang bagus dan kulit yang bagus! Orang banyak telah jijik melihat ku!” Malaikat itu mengusapnya. Lalu hilanglah penyakitnya. Kemudian diberi warna yang bagus dan kulit yang bagus. Kata malaikat: “Apakah harta yang paling engkau sukai? “Jawabnya: “Unta!” Lalu ia diberi unta yang bunting sepuluh bulan. Kata malaikat: ” Engkau akan diberi keberkatan”,

Kemudian malaikat itu datang kepada orang yang botak seraya berkata: “Apakah sesuatu yang paling engkau sukai?” Katanya: “Rambut yang bagus dan botak ini hilang dari aku kerana orang banyak telah jijik melihat ku”. Malaikat itu lalu mengusapnya maka hilanglah botaknya dan ia diberi rambut yang bagus. Kata malaikat: “Apakah harta yang paling engkau sukai’?” Katanya: “Lembu!” Malaikat itu lalu memberinya seekor lembu yang bunting, seraya berkata: ” Engkau akan diberi keberkatan”.
Kemudian malaikat itu datang pula kepada orang yang buta, seraya berkata: “Apakah sesuatu yang paling engkau sukai?” Jawabnya: “Mudah-mudahan Tuhan mengembalikan penglihatan ku supaya dapat melihat manusia”. Malaikat itu pun mengusapnya. Tuhan mengembalikan penglihatannya. Kata malaikat: “Apakah harta yang paling engkau sukai?” Jawabnya: “Kambing!” Malaikat itu lalu memberinya kambing yang bunting.

Sesudah itu beranaklah unta dan lembu, dan kambing beranak pula. Maka orang-orang itu mempunyai lembah yang dipenuhi unta, lembah yang dipenuhi lembu dan, lembah yang dipenuhi kambing. Kemudian datanglah malaikat yang dahulu kepada orang yang tadinya berpenyakit kusta dalam rupa dan keadaannya (yang menyedihkan), seraya katanya: “Saya ini seorang laki-laki miskin yang telah melintasi bukit dalam perjalanan. Maka pada hari ini tiadalah yang menyampaikan melainkan Tuhan. Kemudian saya datang kepada engkau untuk meminta dengan nama Tuhan yang telah memberi engkau dengan warna yang bagus dan harta berupa unta, agar engkau sudi mencukupkan belanja dalam perjalananku”.

Kata orang itu: “Kewajiban-kewajiban yang lain masih banyak!” Kata malaikat itu padanya: “Seakan-akan saya telah mengenal engkau. Bukankah engkau dahulunya berpenyakit kusta dan orang banyak jijik melihat engkau, lagi miskin, tetapi kemudian Tuhan memberi kebaikan dan kekayaan kepada engkau?” Kata orang itu: “Harta ini saya warisi dari bapa dan nenek saya”. Kata malaikat: “Kalau engkau dusta, Tuhan akan menjadikan engkau sebagaimana keadaan engkau dahulunya!”
Dan kemudian malaikat itu datang kepada orang yang dahulunya botak dengan rupa dan keadaan yang menyedihkan, lalu dikatakannya pula sebagai perkataan kepada orang tadi. Orang itu pun menjawab sebagai jawapan orang itu pula. Malaikat lalu berkata: “Kalau engkau dusta Tuhan akan menjadikan engkau sebagaimana keadaan engkau dahulunya”.

Dan kemudian ia datang kepada orang yang dahulunya buta dengan rupa yang menyedihkan, seraya berkata: “Saya ini seorang laki-laki miskin dan telah melintasi bukit dalam perjalanan ku. Maka had ini tiada yang akan menyampaikan melainkan Tuhan. Saya datang kepada engkau untuk meminta dengan nama Tuhan yang telah memberi penglihatan dan kambing kepada engkau untuk mencukupkan perbekalanku dalam perjalananku “.


Kata orang itu: “Saya dahulunya buta. Tuhan lalu mengembalikan penglihatan saya. Dahulunya saya miskin dan Tuhan telah mengayakan saya. Sebab itu ambillah sesukamu! Demi Allah! Hari ini saya tiada akan mencegah engkau mengambilnya kerana Allah, berapa saja.” Kata malaikat itu: “Peganglah harta engkau! Sesungguhnya kamu diuji. Tuhan telah rela (merasa senang) kepada engkau dan marah kepada dua orang kawan engkau.”





B 150 Cara Untuk Bersyukur

Berbagai cara boleh digunakan untuk menunjukan rasa syukur dan berterima kasih sama ada kepada Allah swt mahupun sesama manusia. Pada asasnya ada tiga cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan rasa syukur, dan gabungan ketiga-ketiga cara tadi adalah syukur yang paling sempurna.

Imam Ibnu Rajab berkata, “Syukur itu dengan hati, lisan dan anggota badan”.

1. Syukur dengan hati adalah mengakui nikmat tersebut dari Allah swt, berasal dari-Nya dan atas keutamaannya. Apabila hatinya bersyukur maka akan lahirkan bentuk syukur yang kedua dan yang ketiga iaitu syukur dengan lisan dan perbuatan.

2. Syukur dengan lisan iaitu selalu memuji Yang Memberi nikmat (Allah), menyebut nikmat itu, mengulang-ulangnya serta menampakkan nikmat tersebut;

Allah s.w.t. berfirman,

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya “dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutNya (dengan bersyukur)”.
(al-Dhuha:11)

3 Syukur dengan anggota badan iaitu tidak menggunakan nikmat tersebut, kecuali dalam rangka ketaatan kepada Allah s.w.t., berwaspada dari menggunakan nikmat untuk kemaksiatan kepada-Nya.

Ulamak dalam menghuraikan ayat;

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْراً وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِي الشَّكُورُ

Kami katakan, wahai keluarga Daud bersukurlah kepada Allah swt atas nikmat yang diberikan kepada kamu iaitu dengan mentaati dan melaksanakan segala perintah Allah swt dan meninggalkan segala larangannya, kerana sedikit dari kalangan hambanya yang banyak bersyukur kepada Allah swt dan Nabi Daud a.s dan keluarganya adalah tergolong dalam golongan yang sedikit itu.

Hakikat Syukur

Kesyukuran yang hakiki didirikan di atas lima asas utama. siapa mengamalkannya serta menghayatinya maka dia adalah seorang yang benar-benar bersyukur iaitu;
1. Merendahkan diri terhadap yang disyukuri iaitu Allah swt, kerana orang yang bersyukur tidak akan sombong, tidak akan takabbur sama ada kepada Allah swt atau sesama manusia.

2. Rasa cinta terhadap Pemberi Nikmat iaitu Allah swt, kerana rasa bersyukur itu tidak akan timbul pada diri seseorang yang tidak suka, benci terhadap orang lain, lebih-lebih lagi kepada Allah swt.

3. Mengakui seluruh nikmat yang Dia berikan. Tanpa pengiktirafan terhadap jasa, kebaikan nikmat yang diberikan bagaimana rasa syukur akan timbul dalam diri seseorang apabila merasakan apa yang dimilki adalah dari dirinya sendiri, tanpa bantuan orang lain.

4. Sentiasa memuji-Nya atas nikmat yang diberikan kerana gembiranya, penghargaannya, pengiktirafannya terhadap nikmat yang diberikan.


5. Tidak menggunakan nikmat untuk sesuatu yang dibenci oleh Allah swt kerana ia akan mengundang kemarahan, kebencian orang yang memberi nikmat, dan tindakan tersebut menunjukkan sikap biadap, tidak menghormati serta tidak mengenang jasa.




B 149 Nikmat Yang Mesti Disyukuri

Ketahuilah dan rasailah Nikmat Allah swt…yang ada pada kita..Sesungguhnya mengetahui dan mengenal nikmat, merupakan di antara rukun utama dalam bersyukur. Abu Darda’ mengatakan, “Barangsiapa yang tidak mengetahui nikmat Allah selain makanan dan minumnya, maka bererti ilmunya adalah sedikit dan azab telah menimpanya”.

Nikmat-Nikmat yang Utama

Nikmat Allah swt tidak terhingga banyaknya dan di antara yang utama yang perlu untuk kita sedari dan syukuri ialah:

(1) Nikmat Islam dan Iman

Demi Allah, inilah nikmat yang terbesar, di mana Allah swt menjadikan kita sebagai Muslim. Sufyan Ibnu Uyainah berkata, “Tidak ada satu nikmat pun dari Allah untuk hambaNya yang lebih utama, daripada diajarkannya kalimat tahid .”

(2) Penangguhan Azab (balasan) Ke atas Dosa Dan DiTutupnya Dosa Kita.

Ini juga merupakan nikmat yang sangat besar, kerana jika setiap kali kita melakukan dosa lalu Allah swt Terus membalasnya, maka tentu seluruh alam ini akan binasa. Akan tetapi Allah swt memberikan kesempatan kepada kita untuk bertaubat dan memperbaiki diri.

Firman Allah swt,

وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً

“Dan (Dia) menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin”
(Luqman: 20).

Berkata Muqatil, “Adapun (nikmat) yang lahir (nampak) adalah Islam, sedangkan yang batin adalah ditutupnya kemaksiatan yang dilakukan kalian.”

(3) Peringatan

Peringatan adalah termasuk nikmat yang besar dan ini merupakan salah satu ketelitian Allah swt agar hamba-Nya tidak terlena. Tanpa kita duga terkadang ada seseorang yang datang meminta makanan atau sesuatu kepada kita, hikmahnya dengan perantaraan orang yang sedang kesusahan tersebut akan membuat kita ingat terhadap nikmat yang diberikan Allah swt.

(4) Terbukanya Pintu Taubat
Adalah nikmat yang sangat besar dari Allah sekiranya terbukanya pintu taubat kepada kita, walau sebanyak manapun dosa dan kemaksiatan kita. Selagi nafas belum sampai di halkum dan selagi matahari belum terbit dari barat, maka pintu taubat sentiasa terbuka.

(5) Kesihatan, Kesejahteraan Dan Keselamatan Anggota Badan

Salman al-Farisi mencerikan tentang seorang yang diberi harta melimpah lalu kenikmatan tersebut dicabut, sehingga dia jatuh miskin namun orang tersebut masih memuji Allah. Maka ada seorang bertanya, “aku tidak tahu, atas alasan apa engkau masih memuji Allah? Dia menjawab, “Aku memujiNya atas sesuatu yang andainya aku diberi seluruh yang diberikan kepada manusia, maka aku tidak mahu menukarnya”. Orang itu bertanya, “Apakah benda itu?” Dia menjawab, “Apakah engkau tidak memperhatikan kesejahteraan penglihatanmu, lisanmu, kedua tangan dan kakimu?”

(6) Nikmat Harta (Makan Minum dan Pakaian)


Aisyah r.a. berkata, “Tidaklah seorang hamba yang meminum air sejuk, lalu masuk ke dalam perut dengan lancar tanpa ada gangguan dan keluarnya juga dengan lancar, kecuali wajib baginya bersyukur.”






B 148 Kesan Tidak Bersyukur

Bersyukur adalah satu kewajipan, ia bermaksud setiap hamba mestilah bersykur kepada Allah swt atas segala nikmat yang telah diberikan. Manusia juga mesti bersyukur dan berterima kasih sesama manusia atas kebaikan dan jasa yang telah diberikan kepada mereka.

Sabda Rasulullullah s.a.w;

من لم يشكر القليل لم يشكر الكثير ومن لم يشكر الناس لم يشكر الله التحدث بنعمة الله شكر وتركها كفر

Maksudnya; Sesiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, ia tidak akan bersyukur dengan yang banyak, sesiapa yang tidak bersyukur sesama manusia, ia tidak bersyukur dengan Allah swt, Menceritakan nikmat Allah adalah bersyukur dan meninggalkannya adalah kekufuran.

Akibat buruk kerana tidak bersyukur.

1. Mendapat kemurkaan Allah swt, dan di akhirat nanti Allah swt janjikan azab yang pedih dan menyakitkan. Mereka adalah orang-orang yang kufur, kafir nikmat Allah swt.

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya; Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu, sekiranya kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat ku, tetapi ingat sekiranya kamu kufur nikmat aku sesungguhnya azab aku sangat besar.

2. Orang yang tidak bersyukur akan menjadi orang yang sombong, takabbur dan sentiasa menzalimi orang lain. Akibatnya mereka dibenci Allah swt, jauh dari rahmat Allah swt dan tidak disukai oleh orang lain.

3. Orang yang tidak bersyukur akan menjadi orang yang tamak, dan orang yang tamak ini sememangnya orang yang dicela. Tidak pernah merasa cukup yang akhirnya sikap tamak tersebut menjerumuskan mereka ke dalam kancah maksiat dan kemurkaan Allah swt. Menzalimi dan menganiaya orang lain.

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَيْنِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى وَادِيًا ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

Maksudnya; Sekiranya manusia memiliki dua lembah harta nescaya mereka mencari lembah yang ketiga, dan tidak dipenuhi perut manusia melainkan tanah, dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.

4. Orang yang tidak bersyukur, akan sentiasa menyalahkan orang lain apabila ditimpa musibah atau kesusahan, jauh sekali untuk muhasabah kesilapan diri sendiri dan sering tidak redha dengan qadak dan qadar Allah swt, lebih malang apabila mereka menyalahkan Allah swt dan bersangka buruk terhadapnya.

5. Orang yang tidak tidak akan tenang, tidak akan bahagia, bah hidupnya sentiasa keluh kesah, tertekan dan tidak karuan disebabkan runtunan hawa nafsu yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia.

Kisah Pengajaran Orang Tidak Bersyukur dan Tamak

إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِنْ قَوْمِ مُوسَى فَبَغَى عَلَيْهِمْ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لا تَفْرَحْ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ

Maksudnya; “Sesungguhnya Karun adalah termasuk kaum Musa. Maka ia berlaku aniaya terhadap mereka dan kami Telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya Berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.
al-Qasas :76

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آَيَةٌ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ * فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُمْ بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِنْ سِدْرٍ قَلِيلٍ * ذَلِكَ جَزَيْنَاهُمْ بِمَا كَفَرُوا وَهَلْ نُجَازِي إِلَّا الْكَفُورَ

Maksudnya; Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (kepada mereka dikatakan): “Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun”. Tetapi mereka berpaling, Maka kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Sidr. Demikianlah kami memberi balasan kepada mereka Kerana kekafiran mereka. dan kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan Hanya kepada orang-orang yang sangat kafir.
Saba’ 15-17.

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ فَأَذَاقَهَا اللَّهُ لِبَاسَ الْجُوعِ وَالْخَوْفِ بِمَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

Maksudnya; Dan Allah Telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram,  rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; Kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.

Al-Nahl:112



B 147 Nikmat Adalah Ujian Daripada Allah SWT

Hakikat kehidupan ini adalah ujian dari Allah swt. Kesenangan dan kesusahan yang dialami oleh seseorang bukanlah pada hakikat yang sebenarnya.

Firman Allah swt;

الم * أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ * وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya; Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.
Al-Ankabut:1-3.

Nabi Sulaiman tatkala diberikan berbagai kelebihan, berkata;

قَالَ هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

Maksudnya; Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba Aku apakah Aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). dan barangsiapa yang bersyukur Maka Sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, Maka Sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.

Menjadi kewajipan kepada setiap manusia untuk bersyukur atas nikmat yang Allah swt berikan kepada kepada mereka. Manusia akan merasa gembira apabila menerima nikmat daripada Allah swt dan merasakan mereka disayangi dan dimuliakan oleh Allah swt.

Firman Allah swt;

فَأَمَّا الْإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ

Maksudnya; Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka dia akan berkata: “Tuhanku Telah memuliakanku”.
Al-Fajr:15

Namun umat Islam yang beriman harus berhati-hati dan waspada, perlu menyedari dan merasakan bahawa nikmat kesenangan di dunia ini bukan nikmat yang sebenarnya tetapi ia merupakan satu ujian dari berbagai ujian yang Allah swt berikan kepada manusia sama ada mereka ingat kepada Allah swt lalu bersyukur dengan nikmat tersebut dan Allah swt akan tambahkan lagi nikmatnya, atau sebaliknya mereka lupa lalu menjadi manusia yang sombong dan kufur kepada Allah swt dan mereka akan diberikan azab yang sangat berat.

Firman Allah swt;

فَإِذَا مَسَّ الْإِنسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِّنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya; Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru kami, Kemudian apabila kami berikan kepadanya nikmat dari kami ia berkata: “Sesungguhnya Aku diberi nikmat itu hanyalah Kerana kepintaranku”. Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakkan mereka itu tidak Mengetahui.
Al-Zumar:49.

Manusia biasanya apabila diuji dengan kepayahan dan kesusahan, mereka akan mudah ingat kepada Allah swt, lalu mereka bersabar, kembali kepadaNya dan meminta pertolongan kepadaNya. Sebaliknya apabila diuji dengan kesenangan dan kenikmatan, mereka mudah lupakan Allah swt.

Firman Allah swt;

وَلَئِنْ أَذَقْنَا الْأِنْسَانَ مِنَّا رَحْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ إِنَّهُ لَيَؤُوسٌ كَفُورٌوَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي إِنَّهُ لَفَرِحٌ فَخُورٌ

Maksudnya; Dan jika kami rasakan kepada manusia suatu rahmat (nikmat) dari kami, Kemudian rahmat itu kami cabut daripadanya, Pastilah dia menjadi putus asa lagi tidak berterima kasih. Dan jika kami rasakan kepadanya kebahagiaan sesudah bencana yang menimpanya, nescaya dia akan berkata: “Telah hilang bencana-bencana itu daripadaku”; Sesungguhnya dia sangat gembira lagi bangga,
Hud:9-11

Firman Allah swt;
وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الْأِنْسَانِ أَعْرَضَ وَنَأَى بِجَانِبِهِ وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ

Maksudnya; Dan apabila kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila ia ditimpa malapetaka, Maka ia banyak berdoa.
Fussilat:51.

Orang yang diuji dengan diberikan kenikmatan, sekiranya mereka bersyukur, mereka akan mendapat kedudukan yang tinggi disisi Allah swt. Tetapi sebaliknya sekiranya merek kufur terhadap nikmat Allah swt mereka akan disiksa oleh Allah swt dengan azab yang sangat berat. Oleh itu janganlah kita terlalu seronok atau terlalu gembira apabila dianugerahkan nikmat kerana sebenarnya ia merupakan ujian dari Allah swt, janganlah sombong, janganlah lupa diri, janganlah menjadi seperti kacang lupakan kulit, sebaliknya sentiasalah bermuhasabah dan ingatlah Alllah swt supaya kita berjaya dengan ujian nikmat yang diberikan dan menjadi hamba yang bersyukur.


Ibnu Qayyim al-Juzi berkata; sesiapa yang bersabar dalam keadaan senang dan mewah dari melakukan maksiat, sesungguhnya ia telah selamat dari fitnah harta, sedangkan ia boleh melakukan maksiat dengan kesenangan yang dimiliki, maka ia mendapat pahala yang besar atas kesabaran tersebut.


B 146 Bahaya sifat Tamak

Hakikat kehidupan ini adalah ujian, ujian yang menentukan nilai diri kita, kualiti diri kita, dan kesudahan hidup kita. Apabila kita diuji dengan kesusahan, kita menyedari ujian yang diberikan, sebaliknya apabila kita diberi kenikmatan, terkadang kita tidak menyedari ujian Allah swt disebaliknya.

Manusia yang tidak dapat menjaga dan mengawal hati mereka, nikmat yang Allah swt berikan kepada mereka menjadi ujian sama ada mereka bersifat dengan sifat-sifat berikut;

1.  Sifat Tamak dan bakhil.
2.  Sifat sombong dan membangga diri.
3.  Sifat Riak.
4.  Sifat Ujub.
5.  Sifat Cintakan dunia, kemegahan dan takutkan mati.
6.  Hasad dengki.

Sifat Tamak

Abu Al-Husain Al-Waraq Al-Saaburi r.a; Barangsiapa mengetahui akan dirinya kasih akan sesuatu daripada dunia, maka membunuh ia akan dia dengan pedang Tamak; dan barangsiapa Tamak dalam sesuatu, maka hinalah baginya; dan dengan hinanya itu [maka] binasa[lah] ia.

Perasaan tamak dan kedekut, bakhil merupakan sifat mazmumah, sifat yang tercela pada diri seseorang. Rasa tamak menjadikan seseorang tidak merasa cukup dan berusaha untuk mendapatkan yang lebih. Seseorang yang sudah merasa seronok dan senang dengan nikmat yang diberikan, tidak mahu nikmat tersebut hilang darinya bahkan rasa ingin lebih seronok dengan nikmat, maka timbul rasa tamak yang akhirnya mereka menjadi hamba kepada nikmat dan keseronokan.

Tamak diibaratkan sebagai benih yang menumbuhkan pokok kehinaan. Dahan-dahan kehinaan akan menjalar dan terhulur ke sana ke mari. Penyakit tamak akan mengikis perasaan malu dan menghapuskan maruah diri dan memakaikan pakaian kehinaan kepada orang yang berkenaan. Dia menjadi hina pada pandangan makhluk dan lebih buruk lagi kedudukannya di sisi Allah s.w.t.

Orang yang tamak umpama anjing yang lidahnya sentiasa terjulur melihat apa yang ada di dalam tangan orang lain. Si anjing tidak memperdulikan apakah dia dimaki, dihalau atau dipukul asalkan dia boleh dapat apa yang dia mahu. Si tamak melihat seolah-olah rezeki yang diperuntukkan kepadanya tidak ada sempadan, sementara rezeki yang diperuntukkan kepada orang lain masuk ke dalam sempadan rezekinya, sebab itu menjadi haknya untuk mengambil apa yang masuk ke dalam sempadannya.

Si tamak tidak memperdulikan bagaimana dia mendapatkan apa yang dia hajati, apakah dengan menadah tangan, memujuk rayu, menipu atau memaksa.

Tamak timbul dari buruk sangka atau ragu-ragu dengan rezeki yang dijamin oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t menjaminkan rezeki kepada sekalian makhluk-Nya dan sebagai timbal balasnya hamba pula diberi tanggungjawab.

Orang yang ragu-ragu terhadap jaminan Allah s.w.t mencuaikan kewajipan yang diamanahkan kepadanya dan rajin mencari apa yang dijamin untuknya sehingga menceroboh sempadan yang menjadi jaminan untuk orang lain. Inilah yang terjadi pada orang tamak.

Bagaimana boleh dia menghampiri Allah s.w.t jika amanah yang diserahkan kepadanya diabaikannya dan tanggungjawab yang dipikulkan kepadanya dicampakkannya. Dia berasa ragu-ragu untuk menggunakan masa bersama-sama Allah s.w.t, bimbang rezeki yang dijamin tidak akan sampai kepadanya. Lantaran itu dia meninggalkan peluang bersama-sama Allah s.w.t kerana mengejar apa yang dia tamakkan. Orang ini memilih harta Allah s.w.t daripada Allah s.w.t yang menguasai harta itu.

Firman Allah swt;
إِنَّ الإِنْسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ وَإِنَّهُ عَلَى ذَلِكَ لَشَهِيدٌ وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ

Maksudnya; Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya, Dan Sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya, Dan Sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta.

Firman Allah swt;
وَمَنْ يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَنْ نَفْسِهِ وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ


Maksudnya; Maka sesiapa yang bakhil, Sesungguhnya dia bakhil, terhadap dirinya sendiri. dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya).




B 145 Membentuk Kejayaan Dunia Dan Akhirat

Firman Allah swt;

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan
(QS. Al-Qashash: 77). 

ِAyat di atas menjelaskan kepada tiga perkara utama berkaitan kehidupan manusia. Kehidupan berkaitan dunia dan akhirat.

1. Kehidupan Akhirat Adalah Matlamat Utama

Allah SWT berfirman,

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) di negeri akhirat.

Di sini terlihat dengan jelas bahawa yang harus kita kejar adalah kebahagiaan hidup akhirat. Mengapa? Kerana di sanalah kehidupan abadi. Tidak ada mati lagi setelah itu.

Allah berfirman:
وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Dan sesungguhnya akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya sekiranya mereka mengetahuinya 
(QS. Al-Ankabut: 64).

Lalu, apa erti kita hidup di dunia?… Dunia tempat kita mempersiapkan diri untuk akhirat. Sebagai tempat persiapan, dunia pasti akan kita tinggalkan. Ibarat terminal, kita transit di dalamnya sejenak, sampai waktu yang ditentukan, setelah itu kita tinggalkan dan meneruskan perjalanan lagi. Bila demikian tabiat dunia, mengapa kita terlalu banyak menghabiskan hidup untuk keperluan dunia?

Orang-orang bijak mengatakan bahawa dunia ini hanyalah keperluan, ibarat tandas dan bilik mandi dalam sebuah rumah, ia dibina semata sebagai keperluan. Justeru penghuni rumah itu tidak akan mendatangi tandas atau bilik mandi kecuali jika perlu, setelah itu ditinggalkan. Maka sungguh sangat aneh bila ada seorang yang duduk di tandas sepanjang hari dan menjadikannya sebagai tujuan utama dari dibangunnya rumah itu.

Begitu juga sebenarnya sangat tidak wajar bila manusia sibuk mengurus dunia sepanjang hari dan menjadikannya sebagai tujuan hidup. Sementara akhirat dikesampingkan.

Perlu disedari segala urusan dunia dianggap sebagai urursan akhirat sekiranya dilakukan berasaskan kepada ajaran Islam dan mencari keredhaan Allah swt dan menepati prinsip dan dasar-dasar Islam. Sebaliknya segala urusan dunia dianggap semata-mata dunia sekiranya dilakukan sekadar memenuhi keperluan hidup manusia dan tuntutan nafsu semata-mata.

2. Berusaha Memperbaiki Kehidupan Dunia

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ

. Dan janganlah kamu melupakan kebahagiaanmu dari kenikmatan duniawi dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu

Ayat di atas menjelaskan bahawasanya Allah swt memerintahkan umat Islam selalu berusaha menggapai kebahagiaan akhirat, tetapi jangan melupakan kehidupan di dunia ini. Meskipun kebahagiaan dan kenikmatan dunia bersifat sementara tetapi tetaplah penting dan agar tidak dilupakan, sebab dunia adalah ladangnya akhirat.

Masa depan — termasuk kebahagiaan di akhirat — kita, sangat bergantung pada apa yang diusahakan sekarang di dunia ini. Allah swt telah menciptakan dunia dan seisinya adalah untuk manusia, sebagai bekalan menuju akhirat. Allah swt juga telah menjadikan dunia sebagai tempat ujian bagi manusia, untuk mengetahui siapa yang paling baik amalnya, siapa yang paling baik hati dan niatnya.

Allah swt mengingatkan perlunya manusia untuk mengurus dunia ini dengan sebaik-baiknya, untuk kepentingan kehidupan manusia dan keturunannya. Pada ketika yang sama Allah swt juga menegaskan perlunya selalu berbuat baik kepada orang lain dan tidak melakukan kerosakan di muka bumi.

Allah swt mengingatkan:
أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً

Tidakkah kalian perhatikan bahwa Allah telah menurunkan untuk kalian apa-apa yang ada di langit dan di bumi dan menyempurnakan untuk kalian nikmat-Nya lahir dan batin”
 (QS. Luqman: 20).

Allah SWT menegaskan:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah kedudukan suatu kaum, sehingga kaum itu mengubah kondisi, kedudukan yang ada pada diri mereka sendiri” 
(QS. Ar-Ro’d: 11).

3. Menjaga Batasan Allah swt

Allah swt melarang manusia membuat kerosakkan di muka bumi. Mereka boleh mengurus alam, tetapi untuk melestarikan dan bukan merosakkannya.

Firman Allah swt dari sambungan ayat di atas:

وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ


“Berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakkan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakkan.”





B 144 Hati Yang Mulia dan Sempurna










Hati yang merajai dan memimpin anggota manusia terbahagi kepada tiga jenis; Hati yang sejahtera ( qalbun salim ), Hati yang sakit ( qalbun saqim) dan hati yang mati ( qalbun mayyit )

Hati yang sejahtera ( qalbun salim )

Firman Allah swt;

(يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89) [الشعراء: 88، 89].


Maksudnya; Pada hari itu harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.

Hati yang baik di dalam ayat di atas bermaksud orang yang meninggal dunia dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah swt, akhir kehidupannya dapat mengucap kalimah syahadah, kehidupan mereka di akhirat nanti akan mendapat kebahagiaan dan keredhaan Allah swt.

Itulah kesudahan bagi mereka yang memiliki hati yang baik ( qalbun salim ). Ya Allah anugerahkanlah kami hati yang sejahtera, hati yang baik yang dapat memimpin kami ke jalan yang yang Engkau redhai.

Antara ciri-ciri hati yang sejahtera;

· Sentiasa mengingati Allah swt dalam apa jua keadaan, ketika berdiri, duduk mahupun ketika berbaring, lidahnya sentiasa basah mengingati Allah swt.
·  Sentiasa membaca al-Quran dan mentadabburkan makna-maknanya.
·  Sentiasa peka dengan kewajipan-kewajipan yang ditaklifkan serta menunaikannya dengan cara yang paling sempurna.
·  Sentiasa berhati-hati terhadap larangan-larangan agama dan menjauhkannya.
·  Sentiasa bermuhasabah diri dan segera bertaubat kepada Allah swt.
·  Berperibadi dengan akhlak yang mulia.
·  Sentiasa berbaik sangka dan menjauhkan dari berburuk sangka, hasad dengki dan semua sifat-sifat mazmumah dalam hati.

·  Sentiasa bersyukur kepada Allah swt dan redha dengan ketetapan ilahi.