AL HAQ ( الحق )
ALLAH Yaa Haq Yang Maha Benar adalah
sumber kebenaran. KalimahNYA benar, janjiNYA benar, balasan dan azabNYA benar,
akhiratNYA benar, cinta dan kasih sayangNYA benar dan apa yang dibawa oleh Nabi
dan RasulNYA benar. Oleh itu hendaklah kita bersandarkan dan bersumberkan
daripada kebenaran ALLAH Yaa Haq dalam setiap kata-kata, perbuatan, ibadah,
hukuman dan seluruh tindakan kita di dunia ini.
Menghayati sifat Al Haq ialah dengan
menjadikan diri kita orang yang benar dalam segala tindakan, perkataan hatta
suara hati sekali pun. Serta sebagai seorang hamba juga kita harus
memperjuangkan amal makruf dan menghalang kemungkaran kerana itulah perjuangan
yang benar. Dan hendaklah kita sedar bahawa ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA sentiasa memerhati akan kebenaran
tindakan dan kata-kata kita di atas dunia ini.
BICARA HATI
Allahumma Yaa Haq, sesungguhnya Engkau
Maha Benar, segala kebenaran hanya Engkau yang boleh tunjukkan. Yaa Fattah Yaa
Haq, Engkau Maha Membuka jalan kebenaran kepada hambaMu yang tersasar. Yaa
Mu'id Yaa Haq, Engkau Maha Mengembalikan hambaMu ke jalan kebenaran setelah
kami tersasar. Yaa Baaqi’ Yaa Haq, Engkau Maha Mengekalkan jalan kebenaran bagi
hambaMu.
Allahumma Yaa Haq, sesungguhnya Al Quran
itu adalah benar, seluruh ayat-ayatnya adalah benar, ia menunjuk jalan kepada
kebenaran untuk diikuti dan menerangi jalan kebatilan agar dijauhi. Jalan hidup
yang benar itu ditunjukkan oleh RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM, utusanMu Yaa Haq, hidup yang
benar itu membela anak yatim, fakir miskin, orang tua, orang sakit, orang susah
dan hidup berdakwah.
Hidup mengejar dunia dan wang ringgit
serta mengabaikan suruhan ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA adalah tersasar dari kebenaran. Hidup berehat-rehat,
bersantai-santai dan bermalas-malasan adalah hidup yang batil. Allahumma Yaa
Nuur Yaa Haadi Yaa Haq, pancarkan cahaya kebenaran dalam jiwa kami agar jelas
dan terang jalan kebenaran dan kebatilan itu, agar kami dapat menyusuri jalan
kebenaran.
Yaa Baaqi Yaa Haq, kekalkan kami dalam jalan
kebenaran. Yaa Qowiy Yaa Haq, kurniakan kami kekuatan untuk menyusuri jalan
kebenaran kerana jalan ini penuh duri ranjau, kesempitan, kemiskinan,
kesibukan, pengorbanan dan cemuhan-cemuhan manusia.