822. Daripada
Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
Yang Bermaksud : "Janganlah seseorang di
antara engkau semua itu menyuruh berdiri pada seseorang dari tempat duduknya
kemudian ia sendiri duduk di situ, tetapi berikanlah keluasan tempat serta
kelapangan pada orang lain yang baru datang."
Ibnu Umar
itu apabila ada seorang yang berdiri dari tempat duduknya kerana menghormatnya,
ia tidak suka duduk di tempat orang tadi itu.
(Muttafaq
'alaih)
823. Daripada
Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
Yang Bermaksud : "Jikalau seseorang di
antara engkau semua itu berdiri dari tempat duduknya, kemudian ia kembali ke
situ, maka ia memang lebih berhak untuk menempati tempat duduknya tadi."
(Riwayat
Muslim)
824. Daripada
Jabir bin Samurah radhiallahu'anhuma, katanya:
Yang Bermaksud : "Kita semua itu apabila mendatangi
Nabi s.a.w., maka setiap seseorang dari kita itu duduk di tempat mana ia
berakhir maksudnya tidak sampai melangkahi bahu orang lain untuk menuju ke
tempat yang lebih muka."
Diriwayatkan
oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahwa ini adalah
Hadis hasan.
825. Daripada
Abu Abdillah iaitu Salman al-Farisi r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
Yang Bermaksud : "Tidaklah seseorang itu
mandi pada hari Jumaat dan ia bersuci sekuasa yang dapat ia lakukan, juga
berminyak dari minyaknya ataupun mengenakan sesuatu dari minyak harum yang ada
di rumahnya, kemudian ia keluar ke
masjid, lalu ia tidak memisah-misahkan antara dua orang yang sedang duduk,
selanjutnya ia bersolat apa yang ditentukan atasnya yakni solat sunnah tahiatul
masjid dan seterusnya ia mendengarkan jikalau imam berbicara atau berkhutbah,
melainkan orang yang melakukan semua itu tentu diampunkan untuknya antara hari
Jumaat yang dilakukan itu dengan hari Jumaat yang lainnya iaitu hari Jumaat
berikutnya."
826. Daripada
'Amr bin Syu'aib dari ayahnya dari nenek lelakinya r.a. bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda:
Yang Bermaksud : "Tidak halallah bagi
seseorang itu kalau memisahkan tempat duduk antara dua orang, melainkan dengan
izin kedua orang itu."
Diriwayatkan
oleh Imam-imam Abu Daud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah
Hadis hasan.
Dalam
riwayat Abu Daud disebutkan: Nabi s.a.w. bersabda:
Yang Bermaksud : "Janganlah seseorang itu
duduk antara dua orang yang sudah duduk lebih dulu, melainkan dengan izin
keduanya."
827. Daripada
Hudzaifah al-Yaman r.a. bahawasanya
Rasulullah melaknat kepada orang yang duduk di tengah lingkaran maksudnya
orang-orang banyak duduk di tepi melingkari sesuatu tempat lalu orang itu
datang belakangan terus melangkahi bahu mereka dan duduk di tengah-tengah orang
banyak.
(Riwayat
Abu Daud dengan isnad hasan)
Imam
Termidzi juga meriwayatkan dari Abu Mijlaz bahawasanya ada seorang lelaki duduk
di tengah lingkaran, lalu Hudzaifah berkata:
Yang Bermaksud : "Dilaknat atau lisannya
Muhammad s.a.w. atau Allah melaknat atas lisannya Muhammad s.a.w. pada orang
yang duduk di tengah-tengah lingkaran."
Imam
Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
828. Daripada
Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah bersabda:
Yang Bermaksud : "Sebaik-baik tempat duduk
yakni majlis ialah yang terlebar yakni terluas ruangannya."
Diriwayatkan
oleh Imam Abu Daud dengan isnad shahih menurut syarat Imam Bukhari.
829. Daripada
Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
Yang Bermaksud : "Barangsiapa yang duduk di
dalam suatu majlis, lalu banyak senda guraunya yang tidak bermanfaat dalam
majlis tadi, lalu ia mengucapkan sebelum berdiri meninggalkan majlis itu,
demikian yang ertinya: "Maha Suci Engkau, ya Allah dan saya mengucapkan
puji-pujian padaMu. Saya menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau,
saya mohon ampun serta bertaubat padaMu, melainkan orang tersebut pasti
diampunkan untuknya apa-apa yakni dosa yang diperolehnya dari majlis yang
sedemikian tadi."
Diriwayatkan
oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
830. Daripada
Abu Barzah r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda pada penghabisannya
jikalau beliau s.a.w. hendak berdiri dari majlis yang ertinya:
"Maha
Suci Engkau ya Allah dan saya mengucapkan pujian-pujian padaMu. Saya
menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau, saya mohon ampun serta
bertaubat padaMu."
Kemudian
ada seorang lelaki berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Tuan mengucapkan
sesuatu ucapan yang tidak pernah Tuan ucapkan sebelum ini?" Beliau s.a.w.
bersabda:
"Yang
sedemikian itu adalah sebagai penebus dari apa saja yakni kekurangan-kekurangan
atau kesalahan-kesalahan yang ada di
dalam majlis itu."
Diriwayatkan
oleh Imam Abu Daud, juga diriwayatkan oleh Imam Hakim iaitu Abu Abdillah dalam
kitab Al-Mustadrak dari riwayat Aisyah radhiallahu 'anha dan ia mengatakan bahawa
Hadis ini adalah shahih isnadnya.
831. Daripada
Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya:
Yang Bermaksud : "Jarang sekali Rasulullah s.a.w. itu berdiri meninggalkan
sesuatu majlis, sehingga lebih dulu beliau s.a.w. berdoa dengan doa-doa di
bawah ini yang ertinya:
"Ya
Allah, bagikanlah kepada kita dari takut kita padaMu sesuatu yang
menghalang-halangi antara kita dengan bermaksiat padaMu. Juga dari taat kita
padaMu sesuatu yang dapat menyampaikan kita kepada syurgaMu. Demikian pula dari
keyakinan yang dapat meringankan kita menghadapi bencana-bencana di dunia ini.
Ya Allah, berikanlah kenikmatan kepada kita dengan adanya pendengaran,
penglihatan dan kekuatan kita, selama Engkau masih menghidupkan kita dan
jadikanlah semua itu sebagai yang tertinggal dari kita yakni sampai di akhir
hayat hendaklah masih dapat digunakan sebaik-baiknya. Jadikanlah pembalasan
kita itu tertuju kepada orang yang menganiaya kepada kita. Berilah kita
pertolongan kepada orang yang memusuhi kita dan janganlah dijadikan bencana
kita ini menimpa agama kita. Jangan pula menjadikan dunia ini sebagai
sebesar-besar perhatian yang kita menuju padanya atau puncak dari ilmu
pengetahuan kita sehingga tidak memberikan kemanfaatan sama sekali untuk urusan
akhirat. Demikian pula janganlah memberikan kekuasaan untuk memerintah kita
kepada orang yang tidak belas kasihan kepada kita."
Diriwayatkan
oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
832 Daripada
Abu Hurairah r.a., Katanya: 'Rasulullah s.a.w. bersabda:
Yang Bermaksud : "Tiada sesuatu kaumpun
yang berdiri meninggalkan sesuatu majlis dan tidak sama berzikir kepada Allah
Taala dalam majlis itu, melainkan semua itu berdiri bagaikan bangkai keldai dan
mereka semuanya memperoleh penyesalan."
(Riwayat
Abu Daud dengan isnad shahih)
833. Daripada
Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w., sabdanya:
Yang Bermaksud : "Tiada sesuatu kaumpun
yang duduk di suatu majlis yang mereka itu tidak berzikir kepada Allah Taala
dalam majlis tadi, juga tidak mengucapkan bacaan selawat kepada Nabi mereka di
dalamnya, melainkan atas mereka itu ada kekurangannya. Jikalau Allah
berkehendak, maka Allah akan menyiksa kepada mereka dan jikalau Allah
berkehendak, maka Allah akan mengampunkan pada mereka."
Diriwayatkan
oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
834. Daripada
Abu Hurairah r.a. pula dari Rasulullah s.a.w., sabdanya:
Yang Bermaksud : “Barangsiapa yang duduk di
suatu tempat duduk dan ia tidak berzikir kepada Allah Taala dalam duduknya itu,
maka atasnya adalah kekurangan dari Allah dan barangsiapa yang berbaring di
suatu tempat pembaringan dan ia tidak berzikir kepada Allah Taala dalam
berbaringnya itu, maka atasnya adalah kekurangan dari Allah."
(Riwayat
Abu Daud)
Sudah
terdahulu uraian perihal erti Attirah baru-baru ini yakni dalam Hadis no. 813.