Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 29 April 2021

V 164 : ASMAUL HUSNA ( 71. AL MUAKHIR )

 AL MUAKHIR  ( المؤخر )

 ALLAH Yaa Muakhir Yang Maha Mengakhirkan mampu mengakhirkan atau melambatkan sesuatu permintaan hambaNYA. Dialah yang memulakan penciptaan alam yang terdiri dari tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan bumi, dan Dialah juga yang akan menamatkannya dengan peristiwa kiamat. Dialah yang memulakan sesuatu peristiwa kesakitan dan kesempitan dengan mendatangkan asbab untuk kesempitan itu, dan Dialah juga yang akan menamatkan peristiwa itu dengan mendatangkan asbab untuk menamatkan. Dialah yang memulakan sebuah perkahwinan dan Dialah yang mengakhirkannya dengan asbab-asbab yang Dia Yaa Khaliq ciptakan. DIA memberi pada masa yang paling sesuai dan tepat untuk hambaNYA dan keputusanNYA penuh dengan kasih sayang dan kebijaksanaan.

 Menghayati sifat Al Muakhir akan melahirkan seorang yang berjalan mencari pengajaran dan pengalaman sebelum menuju ke destinasi kejayaan yang hakiki dan penuh kematangan. Sesungguhnya tiada satu kejayaan yang mudah tanpa kerja keras dan kejayaan itu datangnya di akhir perjuangan dan pengorbanan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muqaddim Yang Maha Memulakan, Yaa Muakhir Yang Maha Menamatkan. Engkaulah yang memulakan setiap sesuatu dan menamatkannya. Engkau Yaa Muqaddim memulakan penciptaan alam ini dan Engkau Yaa Muakhir yang akan menghancurkannya.

 Yaa Muqaddim Yaa Muhyi, Engkaulah yang memulakan kehidupan kami di dunia yang fana' ini dan Engkaulah Yaa Muakhir yang menamatkan kehidupan kami dengan kematian Yaa Mumit. Yaa Muqaddim Engkaulah yang memulakan peristiwa kesakitan sebagai penyucian dosa-dosa kami dan Engkaulah Yaa Muakhir yang mengakhiri kesakitan itu.

 Engkaulah jua Yaa Muqaddim yang memulakan perjalanan kami menuju kepadaMu, dan Engkaulah yang akan mengakhiri perjalanan ini ketika kami sampai ke hadratMu. Yaa Allah Yaa Muqaddim, pimpinlah kami dalam hidup yang Engkau mulakan ini sebelum Engkau Yaa Muakhir menamatkannya.

V 163 : ASMAUL HUSNA ( 70. AL MUQODDIM )

 AL MUQODDIM  ( المقدم )

 ALLAH Yaa Muqoddim Yang Maha Mendahulukan mempunyai kuasa mutlak mendahulukan sesuatu mengikut kehendakNYA. DIA mampu menyegerakan sesuatu perkara mengikut kehendakNYA semahuNYA. Seringkali ALLAH Yaa Muqoddim mendahulukan kegagalan dan kesulitan sebelum diberi kejayaan yang lebih besar. Ternyata kesulitan itu adalah kejayaan dan keuntungan yang tiada taranya. Dengan kesulitan, akal akan berfikir mencari jalan keluar. Sesungguhnya ukuran kemajuan yang sebenarnya adalah darjat kedekatan seseorang pada ALLAH.

 Menghayati sifat Al Muqoddim mampu melahirkan seseorang yang mendahulukan yang lebih utama iaitu ALLAH berbanding yang lain, dan mengutamakan akhirat berbanding dunia. Penghayatan ini juga mampu melahirkan kekuatan luar biasa sehingga mampu menjadikan seseorang itu pelopor atau peneraju dalam melakukan perubahan dalam kehidupan masyarakatnya.

V 162 : ASMAUL HUSNA ( 69. AL MUQTADIR )

 AL MUQTADIR ( المقتدر )

 ALLAH Yaa Muqtadir Yang Berkuasa dan Maha Menentukan yang mana di tanganNYA terletak segala ketentuan dan DIA Memegang kekuasaan mutlak. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang kehendak dan ketentuanNYA. Dengan kekuatan ALLAHlah berlaku sesuatu kehendakNYA melalui makhlukNYA. Tanpa kekuatanNYA, makhlukNYA tidak mampu melakukan apa-apa pun.

 Menghayati sifat ALLAH Al Muqtadir akan melahirkan manusia yang bergantung sepenuhnya dengan kekuasaan ALLAH, redha dengan setiap ketentuanNYA dan mampu melihat akan kasih-sayang dan kelembutanNYA dalam setiap kehendakNYA.

 BICARA HATI

 Allahumma Yaa Qodir Yaa Muqtadir, sesungguhnya Engkau Maha Berkehendak lagi Maha Menentukan takdir. Setiap yang berlaku atas kehendakMu semuanya Yaa Qodir. Apabila Engkau Yaa Qodir berkehendak sesuatu itu berlaku, Engkau Yaa Qodir akan memasukkan rasa kehendak dalam jiwa hamba-hambaMu, Engkau Yaa Ba'its membakar semangat hambaMu untuk melakukan kehendakMu. Tiada kehendak makhluk yang berlaku melainkan kehendakMu Yaa Qodir.

 Semua kehendakMu adalah kebaikan bagi kami Yaa Qodir, tiada satu pun yang buruk atau zalim. Kamilah yang tersilap faham kerana terhijab dengan AkhiratMu. Yaa Qodir Engkau berkehendak kami berjalan atas jalan Syurga, tetapi kami seringkali mengelengkan kepala dan memilih jalan Neraka kerana kegelapan hati kami.

 Oleh itu Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq, pancarkanlah cahaya kebenaranMu agar kami dapat melihat kebenaran kehendak dan takdirMu buat kami. Yaa Qodir Yaa Muqtadir, ketika kami leka dalam kelapangan, Engkau berkehendak kami ingat kepadaMu, maka dengan kasihsayangMu Yaa Rahman Yaa Rahim, Engkau memberi kami sedikit kesempitan agar kami ingat kepadaMu dan kembali beribadah kepadaMu. Setiap kehendak dan takdirMu bagi hamba beriman akan berakhir di SyurgaMu. Yaa Allah Yaa Qodir, jadikan hati ini hati yang akur dengan kehendakMu dan hati yang redha dengan takdirMu Yaa Muqtadir.

V 161 : ASMAUL HUSNA ( 68. AL QODIR )

 AL QODIR  ( القادر )

Al  Qodir Yang Maha Menentukan lagi Maha Berkuasa, DIA melakukan apa yang dikehendakiNYA apabila DIA menghendakiNYA. Kekuasaan ALLAH Yaa Qodir terpantul pada alam semesta.

Menghayati sifat Al Qodir akan melahirkan seorang hamba yang sentiasa ingin melakukan sesuatu yang bererti dalam hidupNYA kerana sedar semuanya berlaku dengan kuasa ALLAH dan DIA bergantung penuh dengan Yaa Qodir. Walaupun berlaku kegagalan atau kesempitan dalam melaksanakan sesuatu, disebaliknya terdapat keindahan kehendak ALLAH Yaa Qodir kerana melalui kegagalanlah ALLAH mengangkat darjat seseorang. Menghayati Sifat Al Qodir juga akan menjadikan jiwa tenang dan tenteram kerana mengenali kekuasaan ALLAH Yaa Qodir.