Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 7 September 2012

H 105 TIGA Darjat Kebesaran Anugerah Allah SWT kepada mereka yang Qiamullail

1- Sesiapa berjaga malam dan membaca 10 ayat daripada Al-Quran dia terselamat daripada tergolong dalam golongan yang lalai.

2- Sesiapa berjaga malam dan membaca 100 ayat daripada Al-Quran akan mendapat gelaran القانتين  yang membawa makna Golongan yang sentiasa Taat kepada arahan Allah SWT.

3- Sesiapa berjaga malam dan membaca 1000 ayat daripada Al-Quran akan mendapat gelaran المقنطرين  yang membawa maksud Golongan yang memiliki jiwa yang bersih.

Hadis nabi Riwayat dan Sanadnya ???

Rujukan :

http://groups.yahoo.com/group/nbdelqloob/message/1361



H 104 LIMA Kalimah berharga daripada kitab Taurat

Hassan Al-Basri berkata, termaktub dalam kitab Taurat 5 Kalimah :

1- Kekayaan terbaik adalah bersama Qanaah (tidak tamak).

2- Selamat itu adalah melalui menyendiri (beribadat).

3- Kemerdekaan sebenar adalah mereka yang berjaya meninggalkan tuntutan syahwat.

4-  Cinta sebenar adalah apabila berjaya meninggalkan keinginan.

5- Kesabaran sesaat akan membawa kegembiraan selama-lamanya.


Tanbihul Ghafilin, Jilid 1&2. M/S : 300.



H 103 TIGA Tempat kedua ibubapa akan dilupai di Akhirat

1- Ketika amalan ditimbang.

 2- Ketika menerima  buku  catatan amal.

 3- Ketika menyeberangi Titian Sirat Mustaqim.


http://www.hanein.info/vb/showthread.php?t=253946


H 102 EMPAT Pendustaan yang sering kita lakukan

Hatim  Az-Zaid telah berkata :
Sesiapa mengakui empat perkara tanpa empat perkara, maka dia adalah dusta dalam pengakuannya:

1- Sesiapa mengaku Cinta kepada Allah SWT tanpa meninggalkan perkara haram, dia adalah pendusta.

2- Sesiapa mengaku Cinta kepada Syurga Allah SWT tanpa mengeluarkan harta untuk Taat kepada Allah SWT, dia adalah pendusta.

3- Sesiapa mengaku Cinta kepada Rasulullah SAW  tanpa mengikut Sunnah Rasulullah SAW, dia adalah pendusta.

4- Sesiapa  inginkan darjat yang tinggi tanpa bersahabat dengan orang-orang fakir dan miskin maka dia adalah pendusta.


Kitab Tanbihul Ghafilin, Jilid 1&2. M/S : 313.



H 101 TUJUH Cara membeli Syurga Allah SWT

Di antara cara membeli Syurga Allah SWT adalah dengan :

1- Dua rakaat yang khusyuk di akhir malam.

2-  Menyampaikan kalimah kebenaran.

3- Membetulkan atau menasihati mereka yang melakukan kezaliman.

4- Membantu mereka yang dizalimi.

5- Melakukan puasa sunat.

6- Mengukir senyuman manis yang menyenangkan saudara seagama.

7- Menyapu kepala anak yatim dengan penuh belaian kasih sayang.


http://www.hanein.info/vb/showthread.php?t=242617


H 100 Darjat dan pangkat bukan jaminan masuk Syurga

RASULULLAH SAW bersabda bahawa orang fakir masuk syurga lebih dulu selama beberapa waktu daripada orang kaya. Boleh jadi, hal ini tidak berlaku umum kerana sebahagian orang kaya ada yang termasuk orang sentiasa bersyukur, memuji, mengabdi dan membenarkan Allah SWT. Mereka memiliki keutamaan yang besar serta konsisten dalam ketaatan dan pengabdian.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Takutlah kepada Allah dalam hal orang fakir kerana pada hari kiamat, Allah SWT berfirman: Di mana makhluk pilihan-Ku? Malaikat menjawab: Wahai Tuhanku, siapakah mereka? Allah SWT berfirman: Orang fakir yang sabar dan rela terhadap takdir-Ku. Mereka akan Aku masukkan ke dalam syurga. Rasulullah SAW melanjutkan sabdanya: Kemudian orang fakir itu masuk syurga lalu makan dan minum, sementara orang kaya masih sibuk dalam penghitungan amal mereka.”

Imam Tirmizi meriwayatkan hadis dari Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Orang fakir yang berjuang di jalan Allah akan masuk syurga sebelum orang kaya, dengan jarak 500 tahun.” 
(Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Orang fakir akan masuk syurga terlebih dulu daripada orang kaya, selama setengah hari akhirat, iaitu 500 tahun dunia.” 
(Hadis riwayat Tirmizi)

Ia berkata hadis ini hasan sahih.

Hadis itu menunjukkan satu makna bahawa orang fakir akan masuk syurga lebih dulu. Dengan catatan mereka termasuk orang yang sabar, mengabdi kepada Allah swt, rela dan sabar terhadap kefakiran mereka selama hidup di dunia sehingga dari lisan mereka keluar kata-kata pujian kepada Allah swt bersyukur serta menghambakan diri kepada Allah swt.
Mereka inilah orang yang akan memperoleh kemuliaan pada hari kiamat, ketika mereka masuk syurga. Pada hari kiamat nanti Allah swt akan berfirman kepada orang yang sabar terhadap kefakirannya yang bermaksud: 

“Makan dan minumlah dengan nikmat kerana amal yang telah kamu kerjakan pada hari yang telah lalu.” 
(Surah Al-Haqqah, ayat 24)

Ertinya, kesusahan yang telah engkau peroleh di dunia kerana fakir, benar-benar terasa perih buat kamu. Hal itu bukan cita-cita dan keinginan kamu tetapi semata-mata kehendak Allah swt.

Berapa banyak ayat Allah swt yang mendorong orang mukmin rajin menabung dengan tabungan amal kebajikan. Allah swt akan melipatgandakan tabungan itu selama di dunia dan mereka dapat memetik hasilnya berupa pahala yang besar di akhirat nanti.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Sesiapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya kamu dikembalikan.” 
(Surah Al-Baqarah, ayat 245)

Banyak ayat al-Quran yang mengisyaratkan adanya kelebihan dan perbezaan darjat dalam segala sesuatu, bahkan antara para malaikat Al-Muqarrabun, Nabi dan Rasul. Demikian juga, antara manusia pada umumnya. Ini ketentuan Allah (sunnatullah) terhadap makhluk-Nya dan kesempurnaan hikmah dari Allah swt.

Hakikat kelebihan dan perbezaan darjat ini tidak terletak pada ketakutan seseorang kepada Allah swt. Hal ini terjadi semata-mata kerana ilmu dan keutamaan dari Allah swt. Sedangkan, kelebihan manusia adalah kerana amal, ilmu, ijtihad dan kesabarannya.

Antara nabi, ada yang dikenali sebutan Ulul Azmi, sedangkan sebahagian lain tidak memperoleh sebutan demikian. Sebahagian manusia ada yang menjadi pejuang (mujahid), mempunyai keutamaan tetapi sebahagian tidak memiliki semua itu.
Oleh itu, antara manusia ada memperoleh darjat dan kelebihan dari Allah swt yang berbeza dengan yang lainnya. Hal ini berdasarkan ketinggian darjat manusia dan amal perbuatannya selama di dunia.

Buku Bidadari, Syurga dan Penghuninya

http://www.islamituindah.my/darjat-pangkat-bukan-jaminan-masuk-syurga





Khamis, 6 September 2012

H 99 Kemiskinan dunia meningkat membuktikan sistem ekonomi amerika gagal

Angka kemiskinan di Amerika Syarikat meningkat pada kedudukan tertinggi sebanyak 46,2 juta orang.
Angka ini merupakan rekod tertinggi sejak Badan Statistik AS mula melakukan pendataan keluarga miskin pada tahun 1959.
Definisi kemiskinan di Amerika ditentukan dari pendapatan tahunan kurang daripada US $22.314 untuk satu keluarga yang terdiri daripada empat orang atau US $11.139 bagi satu orang-pendapatan kurang daripada US $ 30/hari.
Warga Amerika yang hidup di bawah garis kemiskinan ini meningkat dalam empat tahun berturut-turut.

Diambil dari BBC, dalam data yang dikeluarkan badan statistik disebutkan orang kulit hitam dan keturunan Hispanis menduduki urutan pertama daftar kemiskinan.
Badan statistik dalam laporannya mencatatkan 25,8% warga kulit hitam hidup dalam kemiskinan, sementara keturunan Hispanis mencapai 25,3%.
Laporan terbaru ini juga menunjukkan rata-rata pendapatan tahunan keluarga di AS menurun 2,3% pada tahun 2010 menjadi US $ 49.445 pertahun.
Sementara itu, warga Amerika yang tidak mempunyai insurans kesihatan tetap pada kedudukan kira-kira 50 juta orang. Demikian halnya dengan angka pengangguran yang tetap sama di atas 9%.

Untuk mengatasi angka kemiskinan ini, Presiden Barack Obama minggu lalu melancarkan sebuah rancangan pakej pembukaan pekerjaan baru bernilai US $ 450 bilion.
Dia menginginkan dana tersebut digunakan untuk projek pembinaan besar, sekolah dan perkhidmatan, sekaligus memotong cukai bagi para pekerja dan usaha kecil menengah untuk meningkatkan peluang pekerjaan.

Tetapi rencana ini perlu mendapatkan sokongan dari Kongres-yang dikuasai oleh Republikan-yang telah menyatakan menentang rancangan tersebut. [globalmuslim.web.id/arrayah.info]



H 98 Demokrasi boleh menjauhkan kita daripada Syariat Allah SWT

Banyak orang terpukau oleh demokrasi yang bersifat munafik. Kemampuan kritis dan akal sihatnya surut, kerana mengikut selera orang ramai.
Padahal jikalau kita mengikuti pandangan orang ramai, nescaya kita disesatkannya dari jalan Allah swt.
Mereka mengatakan demokrasi menggunakan kebebasan memilih. Padahal yang berlaku sebenarnya proses merebut kuasa. Jadi demokrasi sesungguhnya bukan memberi peluang untuk memilih, tapi peluang untuk merebut. Inilah cacat demokrasi yang fatal dari sudut budaya. Sedangkan cacatnya dari sudut pandang Islam, demokrasi boleh tergolong kepada sistem kufur.

Kalau demokrasi memang proses memilih, maka semua pihak yang dipilih semestinya mendapat gambaran yang objektif terhadap pihak pengundi. Jadi, harus ada data yang relatif lengkap tentang kebaikan dan kekurangan pihak yang dipilih, seperti calon legislatif mahupun pejabat.
Hanya dengan keadaan serupa itu dapat berlangsung proses pemilihan. Sebab dalam memilih sebenarnya orang menilai, mana yang baik dan mana yang buruk.
Pihak pengundi semestinya tidak dipengaruhi apalagi ditipu oleh pihak yang dipilih, agar terjadi suatu pemilihan yang wajar. Jadi dalam proses pemilihan, yang dipilih harus bersifat pasif, menyerah kepada pihak yang memilih.

Kerana itu hasil pemilihan akan mendapat sebutan yang terbaik, bukan yang menang.
Kenyataannya tidak demikian, malah pihak yang dipilih yang aktif mempengaruhi pihak pengundi. Semua calon yang katanya dipilih ternyata tidak ada data baik-buruknya yang boleh jadi dasar penilaian bagi pemilih.
Calon hanya digambarkan sisi baiknya. Itupun tidak pula dalam batas yang wajar, tapi berlebihan, bahkan dikarang. Pasukan sokongan seorang calon jika memang diperlukan semestinya memberikan gambaran yang benar tentang calon.
Tapi yang berlaku malah sebaliknya, sehingga pengundi sukar untuk menentukan pilihannya.

Ketiadaan gambaran yang benar tentang pihak yang dipilih telah menyebabkan pihak pengundi tidak lagi melakukan proses menilai, sebagaimana berlaku dalam memilih, tapi berubah pada sikap suka tidak suka.
Kerana itu dalam demokrasi, sesungguhnya orang tidak memilih (memakai saiz yang objektif) tapi hanya menentukan sikap, suka atau tidak terhadap calon yang sudah dipromosikan oleh parti berjaya.
Dengan demikian demokrasi sebenarnya tak memerlukan akal sihat, sebagaimana terpakai dalam proses memilih. Sikap pemilih dengan mudah dapat dipengaruhi, dipaksa, bahkan dibeli. Inilah yang jadi pangkal bala mengapa demokrasi selalu gagal memaparkan orang yang berkualiti.

Demokrasi sesungguhnya bukanlah memilih, tapi adalah merebut. Kekuasaan dalam demokrasi sebenarnya diperebutkan, bukan dipilih. Kalau memang dipilih, maka hasil pemilihan tentulah dikatakan yang terbaik.
Tapi hasil demokrasi memberi bukti bahawa yang terpilih dikatakan yang menang. Kalau disebut menang itu sebenarnya pertarungan, yakni pertarungan merebut kuasa antara sesama calon.

Tipuan demokrasi ini berlaku, kerana tindakan merampas kedudukan (kuasa) itu memperalatkan pihak pengundi. Jadi pemilih dijadikan topeng untuk merebut kuasa, sedangkan yang merebut kedudukan mendapat sokongan dari pemilik modal (kapitalis).
Sebab itu yang berjaya merebut kuasa, bukan merasa berhutang budi pada para pengundi (rakyat) tapi kepada pihak kapitalis yang telah membiayai pertarungannya.
Kerana watak demokrasi sesungguhnya proses merebut kuasa, maka mana mungkin berlaku tanpa ketegangan, kebohongan, paksaan dan tipu daya yang licik.

Para pemuja demokrasi memandang bahawa mereka telah berbuat sebaik-baiknya. Padahal sesungguhnya mereka yang paling rugi dengan perbuatannya yang sia-sia.
Itulah cacat demokrasi dari sudut budaya. Cacat demokrasi dari sudut agama jauh lebih parah.

Pertama, semboyan demokrasi “suara rakyat suara Tuhan” boleh membawa orang pada perbuatan syirik tanpa sedar. Bagaimana boleh disamakan suara rakyat (makhluk) dengan suara Tuhan, sebab rakyat adalah yang diciptakan sedangkan Tuhan adalah pencipta alam semesta.
Inilah yang memberi jalan kepada pihak perundangan menentukan undang-undang. Padahal hak menentukan undang-undang itu semata-mata hak Allah swt, bukan manusia. Melalui demokrasi manusia jadi angkuh, mencampakkan hukum Allah swt, lalu menggantikannya dengan undang-undang mengikut selera hawa nafsu.
Dengan undang-undang buatannya sendiri, manusia sudah terbukti semakin muflis dan sengsara. Padahal hukum Allah swt akan memberikan kesejahteraan, bukan hanya sebatas dunia, tapi malah sampai akhirat yang kekal.

Kedua, demokrasi yang memakai topeng suara rakyat, dengan sokongan wang dan tipu daya media, telah membuka jalan, yang menang bukanlah pihak yang benar (baik) tapi yang punya wang lagi cerdik.
Sistem ini juga membuka jalan pihak minoriti menindas majoriti. Juga sebaliknya majoriti menindas minoriti. Maka, mana mungkin sistem ini mampu menampilkan pemimpin yang amanah.
Demokrasi bukan berpihak kepada kebenaran tetapi kepada suara terbanyak. Sedangkan suara terbanyak nyatanya boleh dibeli. Sistem ini hanya memaparkan orang-orang yang serakah.

Ketiga, sistem demokrasi telah melahirkan parti-parti politik. Parti-parti itu ternyata bukan berlumba-lumba untuk berbuat kebajikan, seperti membasmi kemungkaran dan kemiskinan.
Parti ditubuhkan hanya untuk merebut kuasa. Sementara tujuan kuasa bukan pula untuk menegakkan yang hak (benar) serta membanteras yang batil, yang sejatinya amat diperlukan oleh rakyat.
Kekuasaan digunakan pertama-tama untuk mencari wang (kekayaan). Ini terjadi, kerana dalam arena merebut kuasa melalui demokrasi, masing-masing parti memerlukan dana yang besar agar partinya menang dalam pertarungan Pilihanraya.
Kerana itu parti melalui anggotanya yang berkuasa, juga tidak segan-segan melakukan kecurangan seperti menjual kekayaan alam melalui kontrak, membuat undang-undang menguntungkan pihak kapitalis, yang akibatnya rakyat tertindas. Inilah yang melahirkan politik busuk alias munafik.

Dengan demikian, dalam alam demokrasi sebenarnya tujuan seorang pegawai atau wakil rakyat meraih kedudukan, bukan pertama-tama untuk memperbaiki nasib rakyatnya sebagaimana pernah dijanjikannya dalam kempen.
Yang terfikir pertama-tama baginya ialah mendapatkan wang. Setelah itu dengan wang (kekayaan) itu dia harus segera menyusun siasat lagi, agar dapat menang dalam pertarungan seterusnya.
Dalam pertarungan seterusnya, jika dia dibatasi oleh undang-undang, maka peluangnya akan diberikan kepada pihak yang paling dekat kepadanya. Pokoknya kuasa tetap di tangannya.

Jadi, dengan demokrasi seperti itu hanya apa yang dapat dinanti oleh rakyat? Rakyat hanya sekadar mendapat janji-janji dari para pembicara. [riaupos.co.id/UU Hamidy,Budayawan/arrayah.info]

Sumber: www.riaupos.co.id (19 September 2011)



H 97 TIGA Keagongan mengadap Allah SWT

Allah SWT telah memberi wahyu kepada sebahagian daripada nabiNya seperti berikut :

1- Sesiapa mengadapKu dengan rasa rindu untuk bertemuKu, nescayaKu masukkan dia di dalam syurgaKu.

2- Sesiapa mengadapKu dengan rasa takut kepadaKu,  nescayaKu jauhkan dia dari nerakaKu.

3- Sesiapa mengadapKu dengan rasa malu, nescayaKu jadikan malaikat yang mencatat dosa lupa mencatat dosa-dosanya.


Mutiara Kebijaksanaan Dalam Islam. M/S : 58.



H 96 DUA Kesedihan di dunia dan Akhirat

Saidina Othman ra  telah berkata :

1- Kesedihan dalam urusan dunia dapat menggelapkan hati.


2- Kesedihan dalam urusan Akhirat dapat menerangkan hati.


Mutiara Kebijaksanaan Dalam Islam. M/S : 20.



H 95 DUA Pencarian yang wajib kita pilih

Saidina Ali ra telah berkata :

1-Sesiapa mencari Ilmu, bererti dia sedang mencari Syurga.

2- Sesiapa mencari kemaksiatan bererti dia sedang mencari neraka.

Mutiara Kebijaksanaan Dalam Islam. M/S : 21.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

 المصدر : http://100fm6.com/vb/showthread.php?t=151657 – 100fm6.com


H 94 TIGA Sifat hati yang paling keji

1- Panjang angan-angan.

2- Takutkan mati.

3- Cintakan dunia.


Kitab Rayuan dan Janji Iblis Laknatullah. M/S: 52.



H 93 TIGA Golongan yang menjerit-jerit di dalam neraka

1-  Lelaki yang membaca dan menghafaz al-Quran yang ingin dipuji-puji atau disebut-sebut serta mengharapkan habuan manusia.

2- Lelaki yang banyak harta yang tidak mengharapkan bantuan manusia, sentiasa bersedekah, sentiasa menghubungkan Silatul Rahim dengan mengharapkan pujian manusia.

3- Lelaki yang terkorban di dalam perang fi Sabilillah dengan mengharap pujian manusia.

3 Golongan di atas akan menjerit-jerit di dalam neraka apabila mereka dibakar dengan api neraka oleh para malaikat kerana sifat Ujub atau berbangga dengan amalan-amalan kebajikan yang telah mereka kerjakan di dunia.


Sila rujuk buku dibawah untuk lebih jelas.


H 92 ENAM Cara mengubati buruk sangka

Enam Panduan telah digariskan oleh Imam Al-Ghazali supaya kita tidak bersifat sombong, angkuh, takabbur dan buruk sangka:

1- Jika berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita. Kerana kanak-kanak belum banyak  melakukan dosa.

2- Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah  lama beribadat kepada Allah SWT berbanding dengan kita.

3- Jika bertemu dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia lebih banyak ilmu yang dipelajari dan lebih banyak mengetahui berbanding dengan kita.

4- Apabila bertemu dengan orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka melakukan dosa dalam kejahilan. Sedangkan kita melakukan dosa dalam keadaan mengetahui.

5- Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia daripada mereka kerana mungkin di suatu hari nanti mereka akan  insaf dan bertaubat atas kesalahan yang telah mereka lakukan.

6- Apabila bertemu dengan orang kafir, katakan di dalam hati bahawa mungkin suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah SWT dan akan memeluk Islam, maka segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah SWT.


Kitab Rayuan dan Janji Iblis Laknatullah. M/S : 127.



H 91 Falsafah Dua Kalimah Syahadah

Pintu masuk Islam adalah kalimah syahadah. Ini merupakan fakta yang diketahui umum. Apabila seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah, maka sucilah dia dari dosa-dosanya yang lepas, diharamkan dirinya untuk dibunuh oleh Muslim yang lain, wajib ke atasnya solat lima waktu, berpuasa, zakat dan haji. Wajib juga ke atasnya menurut segala yang diarahkan Allah swt, dan juga meninggalkan segala yang dilarang Allah swt.

Dua kalimah yang pendek dan ringkas ini, nyata-nyata mempunyai pengertian dan falsafah yang sangat mendalam, yang mana mampu menambahkan keimanan, keyakinan dan iktiqad seorang Muslim. Di dalam tulisan kali ini, penulis ingin mengajak kita bersama menghayati falsafah dan makna dua kalimah syahadah La Ilaha Illallah, Muhammadur Rasulullah.

Sebagaimana kaedah yang selalu penulis gunakan di tulisan-tulisan yang lepas, kali ini juga kita akan menggunakan kaedah yang sama, iaitu kita akan melihat satu per satu perkataan-perkataan di dalam dua kalimah syahadah serta hikmah dan pengajaran di sebaliknya, insyaAllah.

Kalimah syahadah La Ilaha Ilallah, terbahagi kepada dua bahagian:-

1) La ilaaha (An-Nafyu, iaitu penafian)

Selalu diertikan dengan ‘tiada Tuhan’. Namun pengertian ini tidak begitu tepat, kerana perkataan ‘Tuhan’ di dalam bahasa Arab ialah ‘Ar-Rob’, sebagaimana di dalam surah Al-Fatihah, “Alhamdulillahi rabbil ‘alamin”, ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam’. Adapun perkataan ‘ilah’, sebagaimana di dalam syahadah bermaksud ‘Tuhan yang selayaknya disembah’. Oleh itu, la ilaaha bermaksud ‘tiada Tuhan yang selayaknya disembah’.
Adapun bahagian pertama kita kenali sebagai An-Nafyu, iaitu penafian, kerana di dalamnya kita menafikan akan wujud sebarang Tuhan yang layak disembah, dan ditujukan segala amal ibadah.

2) Illa Allah (Al-Itsbaat, iaitu penetapan)

Diertikan dengan maksud ‘melainkan Allah’. Terdapat dua pandangan dari nama datangnya kalimah nama ‘Allah’ itu sendiri, iaitu:-

i) pendapat pertama, mengatakan bahawa perkataan Allah itu berasal dari perkataan ‘Ilah’ yang penulis tuliskan di atas. Dari kata akar ‘Ilah’, datang perkataan Allah. Pendapat ini bukan pendapat yang tepat.

ii) Pendapat kedua, mengatakan bahawa perkataan Allah itu singular, dan plural bagi perkataan Allah ialah ‘Ilah’. Ini juga merupakan pendapat yang kurang tepat.

iii) Adapun pandangan yang ketiga, merupakan pendapat Al-Imam Syafi’e rahimahullah, dan juga majority para ‘ulama, iaitu perkataan Allah itu tiada kata asalnya, dan tiada sebarang perkataan lain yang terbit dari perkataan Allah. Bahkan Allah itu merupakan namanya yang agung, sebagaimana Dia memperkenalkan diriNya kepada Adam, dan juga sebagaimana Dia menggelarkan diriNya di dalam kitab-kitab yang diturunkanNya. Ini merupakan pandangan yang paling tepat dan paling cantik, bersesuaian dengan Allah yang Maha Esa dan mutlak kuasaNya ke atas segala sesuatu, selayaknya dengan kemuliaanNya.

Rukun atau bahagian kedua ini, dipanggil ‘Al-Itsbaat’, iaitu penetapan, kerana di dalamnya kita menetapkan kepercayaan ‘selain Allah’. Bahagian kedua ini, datang secara bersusulan dengan bahagian yang pertama, ‘La Ilaaha’ tadi.
Mengapakah kalimah syahadah ini datang dengan dua bahagian, iaitu penafian, dan kemudian penetapan?
Ini adalah kerana pernyataan yang datang secara gandingan penafian dan penetapan, merupakan pernyataan yang paling kukuh dan tepat. Sebagai contoh, kita katakan,
‘Azri ada di dalam kelas’.
Pernyataan ini menyatakan bahawa Azri ada di dalam kelas, akan tetapi dalam masa yang sama ia tidak menafikan kehadiran orang lain, atau dengan kata lain, mungkin bersama-sama Azri itu, ada orang yang lain di dalam kelas tersebut. Begitu juga kita katakan,
‘Tiada sesiapapun di dalam kelas’.
Kenyataan ini menyatakan bahawa tiada sesiapapun di dalam kelas, iaitu menafikan secara 100% kehadiran seorang manusiapun di dalam kelas.
Sekarang, cuba kita gandingkan,

‘Tiada seorang manusiapun di dalam kelas tersebut, melainkan Azri’.
Secara tepat dan mutlak, kita fahami dari ayat ini bahawa Azri ada di dalam kelas, wujud, dan tiada seorangpun manusia yang lain selain dari Azri di dalam kelas. Struktur yang kukuh inilah yang digunakan Allah swt di dalam kalimah syahadah, iaitu,
‘Tiada Tuhan yang selayaknya ditujukan segala bentuk ibadah, melainkan Allah’.

Kerana itulah, kita katakan bahawa pernyataan ini adalah struktur yang paling kukuh di dalam menetapkan tiada Tuhan yang selayaknya disembah, melainkan Allah.
Penulis merasakan juga bahawa penting untuk kita ketahui tauhid apakah yang terkandung di dalam syahadah ini. Sebelum itu, secara ringkas akan penulis bawakan tiga pembahagian tauhid, iaitu:-

i) tauhid rububiyah, iaitu tauhid ketuhanan. Sebagaimana namanya, tauhid ini merupakan keimanan manusia bahawa Allah lah Tuhan yang menciptakan bumi dan langit serta segala apa yang ada di dalamnya, seluruh perkara ghaib, dan juga sekalian alam-alam yang kita ketahui dan tidak ketahui, seperti alam rahim, alam roh, alam akhirat, alam barzakh, alam manusia, alam jin dan lain-lain lagi. Tauhid ini merupakan tauhid yang am, kerana hatta orang-orang kafir juga terkandung di dalam hati mereka tauhid ini. Firman Allah swt,

“Dan jikalau engkau bertanya kepada mereka (hai Muhammad), ‘siapakah yang mencipta bumi dan langit?’ Secara pasti, mereka akan menjawab ‘Allah’”.

Begitu juga dengan hal Iblis, dia juga beriman dengan tauhid ini. Firman Allah swt tatkala Iblis enggan sujud kepada Adam as,

“Engkau (Ya Allah) MENCIPTAKAN DIA (ADAM) DARI TANAH, DAN KAU CIPTAKAN AKU DARI API”.

Perhatikan dengan teliti bahawa secara langsung Iblis mengiktiraf bahawa Allah swt lah yang telah menciptakan dirinya dan juga Adam as.
Oleh kerana itu, bukan tauhid ini yang kita katakan terkandung di dalam syahadah kita ‘La Ilaaha Illa Allah’.

ii) tauhid asma’ wa as-sifaat, iaitu tauhid nama-nama dan sifat-sifat Allah swt. Tauhid ini bermakna kita beriman dan mengakui bahawa Allah swt mempunyai sifat-sifat dan nama-nama yang baik, 99 yang kita ketahui, dan juga nama-nama dan sifat-sifat Allah swt yang ghaib dan tidak kita ketahui. Kita hanya mengetahui 99 daripadanya, kerana itu sahaja jumlah yang dibertahukan kepada kita oleh Allah swt di dalam Al-Quran, dan Rasulullah saw di dalam hadis baginda. Adapun yang selebihnya tidak kita ketahui.
Iblis juga beriman dengan tauhid ini. Firman Allah swt “Dia (Iblis) berkata:

Maka dengan KEKUATANMU, (aku bersumpah) akan aku sesatkan mereka (Adam as dan keturunannya) kesemuanya”.

Perhatikan bahawa Iblis bersumpah menggunakan nama dan sifat Allah, iaitu kekuatan (‘Izzah), dan ini merupakan sebahagian dari nama dan sifat Allah swt. Maka kerana itu, kita katakan bahawa bukan tauhid ini yang kita selitkan di dalam syahadah kita.

iii) tauhid uluhiyyah, iaitu tauhid yang bersifat ‘Ilah. Perhatikan di dalam perbincangan di atas, ‘Ilah itu bermaksud ‘tiada Tuhan yang selayaknya disembah’. Maka dengan itu, pengertian tauhid ini ialah tauhid mengesakan Allah swt, dengan mengakui dengan hati kita bahawa Dialah satu-satunya Tuhan yang selayaknya disembah, dan ditujukan segala bentuk amalan kita, sama ada keimanan kita denganNya, solat, puasa, haji dan zakat kita, kesemuanya adalah demi Allah swt, tiada selain dariNya.

Tauhid inilah yang membezakan kita dengan orang kafir, kerana hanya orang Islam yang mukmin sahaja yang menunjukan segala ibadah mereka hanya kepada Allah Yang Satu.

Maka dengan itu, tauhid jenis inilah, yang kita sertakan di dalam ucapan kita, “Tiada Tuhan yang selayaknya ditujukan segala ibadah kita, melainkan kepada Allah”.
Adapun syahadah kedua, ‘Muhammadur Rasulullah’, ia tidak mempunyai perbahasan yang kukuh dan mendalam seperti mana halnya syahadah pertama.
Ini adalah kerana Yang Esa itu hanyalah Allah swt, adapun para rasul datang dengan silih berganti. Ucapan Muhammad Rasulullah merupakan ucapan yang khas bagi kita umat Muhammad. Ini kerana ucapan beriman dengan rasul ini, silih berganti dengan nabi yang diutuskan kepada umat tersebut.
Sebagai contoh, umat nabi Nuh as akan mengucapkan ‘was asyhadu anna Nuh Rasulullah”, ‘dan aku bersaksi bahawa Nuh itu rasulullah’. Begitu juga dengan umat Musa as, ‘was asyhadu anna Musa Rasulullah’, umat nabi Isa as ‘was asyhadu anna Isa Rasulullah’, dan begitulah dengan kita, ‘was asyhadu anna Muhammada Rasulullah’.
Maka andaikata kita cuba menghuraikan dua kalimah syahadah secara terperinci, maka ianya adalah:

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang selayaknya aku tujukan segala bentuk amal ibadahku, dari hatiku, lidahku, amalanku, melainkan kepada Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah, yang telah Allah lantik untuk menyampaikan risalah dan syariatNya, dan dengan pengakuan ini aku cerminkan di dalam setiap tingkah laku seharianku sebagai orang yang berserah diri kepada Allah dan mengikuti ajaran Rasulullah saw”.

Persoalan terakhir, apakah kaitannya di antara dua kalimah syahadah dan amal ibadah kita?
Penulis teringat satu falsafah dan pandangan yang dikemukakan oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah. Beliau menyebut bahawa syarat diterima ibadah kita oleh Allah swt, mempunyai dua syarat yang boleh kita fahami dari dua kalimah syahadah yang mana kita berpegang dengannya, iaitu:-

i) dari syahadah pertama, la ilaaha illa Allah, terkandung di dalamnya ikhlas. Dan ikhlas yang dimaksudkan di dalam pengertian syariat ialah tauhid, bukan ‘membuat sesuatu tanpa mengharapkan balasan’. Itu cuma merupakan istilah awam yang kita guna pakai seharian.
Ertikata ikhlas yang sebenar, sebagaiman firman Allah swt,

“Dan tidaklah mereka (manusia) itu diarahkan (dengan sesuatu), melainkan agar mereka menyembah Allah dengan hati yang ikhlas kepadanya, agama yang murni”.

Al-Quran sendiri telah menafsirkan ertikata ikhlas ini, di dalam surah yang sangat masyhur, iaitu “Qul huwaallahu ahad, Allahus samad, Lam yalid walam yuulad, walam yakuullahu kufuan ahad”. ((Katakanlah (hai Muhammad) bahawa Allah itu Esa, Allah tempat meminta, Dia tidak melahirkan (anak) dan tidak pula Dia dilahirkan (oleh ibu atau bapa), dan tidak ada baginya saingan walau seorangpun)).
Perhatikan bahawa kandungan surah ini padat dengan ajaran tauhid, dan nama bagi surah ini ialah AL-IKHLAS. Maka jelas, bahawa erti al-ikhlas yang paling tepat ialah AT-TAUHID.
ii) syahadah yang kedua mengandungii maksud ‘ittiba’, iaitu mengikuti cara dan garis panduan yang telah digariskan oleh pesuruh Allah, Muhammad Rasulullah saw. Sesungguhnya Allah lah yang menurunkan kepada Rasulullah, apakah ibadah yang Dia mahukan dari hambaNya, bagaimanakah ibadah tersebut, dan bagaimanakah cara perlaksaan ibadah tersebut. Seterusnya Rasulullah saw menunjukkan kepada kita bagaimana cara perlaksanaannya, maka WAJIBLAH bagi kita mengikuti secara tepat cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Ini kerana andai kita cuba melakukan sesuatu selain dari yang diajarkan Rasulullah, bererti kita telah lari dari konteks yang Allah mahukan dari kita, atau dengan kata lain, ibadah kita tidak diterima.

Benarlah sabda Nabi saw di dalam menyokong hal ini, di dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari kami (iaitu bukan dari contoh yang ditunjukkan Nabi saw dan para sahabat) maka amalan itu tertolak (tidak diterima Allah)”. Juga sabda baginda saw “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam hal kami ini (iaitu Islam) maka ianya tertolak (tidak diterima Allah)”.
Kerana itu, Ibnu Qayyiim menyimpulkan bahawa dua syarat diterima ibadah ialah, 1)isi hati yang tauhid kepada Allah swt, dan 2) mengikut cara ibadah yang ditunjukkan Muhammad Rasulullah saw.
Sambung Imam Ibnu Qayyim juga, syirik itu adalah musuh ketat dan lawan kepada tauhid, oleh itu sesiapa yang berlaku syirik kepada Allah, bererti dia telah mengingkari pengakuaanya syahadahnya yang pertama. Kerana itu kita dapati bahawa amalan syirik merupakan amalan yang mengeluarkan seseorang itu dari Islam.
Begitulah juga, lawan dan musuh ketat bagi mengikuti cara Rasul saw, ialah bidaah (iaitu mengada-adakan bentuk ibadah yang baru, yang tidak pernah ditunjukkan rasul saw). Maka sebagaiman syirik adalah pembatal syahadah pertama, amalan bidaah merupakan pembatal syahadah kedua.
Kesimpulannya, syirik dan bidaah, merupakan musuh no 1 bagi setiap Muslim yang beriman dengan Allah, RasulNya dan Hari Pembalasan.
Demikianlah sahaja coretan penulis buat masa kini. Semoga dapat dimanfaatkan bersama.
Sesungguhnya di dalam diri penulis, amat-amat mengharapkan agar kita semua bersama-sama mencari semula sunnah baginda saw. Hanya melalui sunnah baginda saw, kita semua mampu beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat.
Yaa Allah…sesungguhnya setiap hati yang bernyawa di muka bumi ini, samada dari kalangan jin atau manusia, adalah milikMu sepenuhnya. Engkau berikan hidayah kepada sesiapa yang Kau mahu, dan Kau sesatkan sesiapa sahaja yang Kamu mahu. Maka hindarkanlah kami dari najis syirik dan bidaah, sesungguhnya kami berlindung denganMu darinya.
Yaa Allah…mencintai sunnah nabiMu Muhammad saw adalah sebahagian dari keimanan, bahkan itulah kunci bagi kami beroleh rahmat dan kasih sayangMu, di dunia dan di akhirat.
Yaa Allah…kecintaanku padaMu melampaui kecintaanku kepada segala sesuatu, dan sungguh cintaku kepada kekasihMu Muhammad saw melebihi kecintaanku kepada sesiapapun di dunia ini. Sungguh aku berharap agar dapat kupupuk diri ini mengikuti jejak langkahnya…Yaa Allah bantulah aku dalam merindui dan menyintai dirinya.
Yaa Allah…bantulah aku di dalam mengerjar cintaMu…Engkau berkata bahawa mereka yang banyak beramal dengan sunnah akan Engkau cintai…Yaa Allah di saat aku membandingkan amalanku dengan kemurnian para rasul dan sahabat-sahabat mereka, terasa diriku jauh dariMu…maafkanlah kesalahan dan kekuranganku, dan walau sejauh manapun diriku dariMu, Engkau tetap tempat aku bergantung harapan, tempat aku meminta, mengadu dan memohon belas simpati.
Yaa Allah…perkenankanlah doaku…andaikata Kau enggan mendengar permintaanku, maka kepada siapa lagi harus aku memohon…?
Allahumma Amin.
Yaa Allah…sudahkah aku sampaikan pesananMu…?
Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin merupakan salah seorang ahli pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Madrasah Al-Wahidah yang bertanggungjawab menggubal sukatan pelajaran bagi Program Pendidikan I-LIFT yang menawarkan pakej pendidikan berteraskan Islamisasi dan Integrasi Ilmu di peringkat taska, tadika & KAFA. Beliau juga merupakan fellow UniMAP, sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D Al-Quran & Sunnah (USIM). Penulis boleh dihubungi melalui www.al-wahidah.com & www.abu-intisaar.blogspot.com

By: Ustaz Mohd Azri Bin Mohd Nasaruddin