Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 1 November 2013

M 23 : Pesanan Rasulullah Sebelum Tidur



Ketahuilah kalian siapa saja dari umat RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM yang berupaya untuk sentiasa mengikuti dan mentaati RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dengan ikhlas serta menjadikannya sebagai contoh dalam kehidupan sehari-hari, maka sungguh ia akan mendapatkan sekian banyak keutamaan yang dijanjikan oleh ALLAH SUBHANAHU WA TAALA dan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM.

Sebelum tidur, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM pernah berpesan kepada Saidatina Aisyah :
“Ya Aisyah, jangan engkau tidur, sebelum melakukan 4 perkara iaitu :

1. Membuatkan para nabi memberi syafaat kepadamu di hari akhirat
2. Membuatkan para muslim meredai kamu
3. Melaksanakan ibadat haji dan umrah.

Bertanya Aisyah :

“Yaa RASULULLAH, bagaimanakah aku dapat melaksanakan 4 perkara dalam satu masa?”
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM tersenyum sambil bersabda :
“Jika engkau tidur bacalah Surah Al-Ikhlas 3 kali, (maka ia seolah-olah kau mengkhatamkan al Quran). Dan Bacalah selawat untukKu dan para nabi sebelumku, (maka kami semua akan memberi syafaat kepadamu di hari kiamat). Dan Beristighfarlah untuk para muslimin (maka mereka semua akan meredai kamu). Dan perbanyakkanlah bertasbih, bertahmid, bertahlil, dan bertakbir (maka ia seolah-olah kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah).”


Rujukan : Harian Islam.com










M 22 : Apakah Yang Rasulullah S.A.W Lakukan Selepas Bangun Dari Tidur



Segala puji bagi ALLAH SUBHANAHU WA TAALA serta selawat dan salam ke atas baginda RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Di atas jasanya, kita mendapat nikmat Iman dan Islam pada hari ini. Salah satu bukti cinta kita terhadapnya ialah dengan mencontohi sunnahnya dalam kehidupan kita seharian.
Pada kali ini saya ingin menghuraikan sebuah tajuk yang agak penting bagi kita selaku mukmin yang cinta terhadap sunnah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Tajuknya ialah apakah yang RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM lakukan selepas bangun dari tidur, pada hemat saya, ia adalah tajuk yang mudah dan penting untuk kita amalkan bersama dengan izin ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.
Tidur merupakan fitrah manusia, jika manusia tidak tidur, sudah tentu manusia akan mati. Tidur juga adalah satu ibadah jika bersesuaian dengan caranya, maka ia akan mendapat ganjaran yang besar daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, hanya dengan tidur manusia mendapat ganjaran daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, maha suci bagi ALLAH, itulah maha penyayangnya ALLAH SUBHANAHU WA TAALA terhadap kita semua.
Jadi bagaimana RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bangun daripada tidur dan apa yang baginda lakukan, ini adalah huraian perbuatan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM ketika bangun dari tidur :

 

Apakah Yang RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM Lakukan Selepas Bangun Dari Tidur

 

Selepas sahaja bangun dari tidur, RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM akan menyapu mukanya dengan tangan.
Kemudian baginda akan membaca 10 ayat yang terakhir daripada surah Ali imran.
Seperti apa yang disebut di dalam hadis yang bermaksud : Setelah RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bangun dari tidur, maka baginda duduk dan menyapu wajahnya dengan tangan, kemudian baginda saw membaca 10 ayat yang terakhir daripada surah Ali Imran.
(Muttafaqun alaih)

RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM berdoa :

Yang bermaksud : “Segala puji bagi ALLAH menghidupkan setelah mematikan kami dan kepadanya akan dikembalikan.” 
(Muttafaqun Alaih)

Baginda saw terus bersiwak (Berus gigi) dengan sempurna.
Dalam hadis yang bermaksud : Apabila RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bangun dari tidur, baginda akan membersihkan mulutnya dengan siwak. 
(Muttafaqun Alaih)

RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM akan membasuh tangannya sebanyak 3 kali.
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM telah berkata : Apabila salah seorang daripada kamu bangun daripada tidur, maka basuhlah tangan kamu terlebih dahulu 3 kali sebelum memasukkan kedua-dua tangan di dalam bekas, kerana kamu tidak tahu di mana tangan kamu berada ketika sedang tidur. 
(Muttafaqun Alaih)

Kesimpulannya: 

Apabila RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bangun sahaja daripada tidur, maka baginda terus membaca ayat suci al Quran serta memuji kebesaran ALLAH SUBHANAHU WA TAALA. Ini adalah satu contoh ikutan terbaik untuk kita amalkan pada setiap pagi. Kehidupan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM telah membuktikan bahawa setiap amalan kita selama sehari semalam adalah ibadah, seperti firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud :

“Dan (Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaku.” 
Adz-Dzariat ayat 56.

Semoga kita beroleh kekuatan untuk mengamalkannya.

Nota : Dipetik daripada buku (1000 sunnah dan sunnah pada waktu siang dan malam) oleh Majdi Fathi Al-kahil terbitan maktabah As-shofa.








M 21 : CARA MANDI HADAS YANG SEMPURNA DAN MUDAH




CARA MANDI HADAS YANG SEMPURNA DAN MUDAH


Soalan; macam mana mandi hadas besar dengan betul, mudah dan mengikut sunnah nabi. Bolehkah kita menyentuh kemaluan ketika mandi atau itu boleh membatalkan mandi kita tadi? Saya was-was dalam hal ini.

Jawapan;

Kaifiyat mandi hadas yang sempurna dan mudah diamalkan ialah dengan mengikut cara mandi Nabi s.a.w., antaranya yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a sebagaimana berikut;
“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wuduk sebagaimana wuduk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya.”
(HR Imam Muslim).

Dari hadis di atas, dapat kita simpulkan cara mandi hadas seperti berikut;

1.        Setelah membaca Bismillah, mulakan dengan membasuh dua tangan. Di dalam hadis yang lain, ada dinyatakan baginda membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali.
2.    Kemudian basuh kemaluan dan najis di badan jika ada dengan menggunakan tangan kiri.
3.    Setelah itu ambil wuduk sebagaimana yang biasa dilakukan.
4.    Kemudian mulakan mandian dari bahagian kepala terlebih dahulu hingga rata air di seluruh kepala termasuk di celah-celah rambut.
5.    Selesai bahagian kepala, lakukan mandian di bahagian badan pula; dari leher ke bawah. Sunat menjirus bahagian kanan terlebih dahulu, kemudian baru diikuti sebelah kiri.
6.    Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.
7.    Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok di celah-celah jarinya.
8.    Ketika mandi itu, jangan lupa berniat di dalam hati melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari badan.

Menyentuh kemaluan tidaklah membatalkan mandi. Ia hanya akan membatalkan wuduk. Semasa mandi, jika menyentuh kemaluan itu dilakukan dengan niat/tujuan meratakan air ke bahagian kemaluan, tidaklah perlu mengulangi wuduk kembali selepas mandi kerana sentuhan itu terpaksa dilakukan untuk menyempurnakan mandi wajib. Namun jika sentuhan itu berlaku setelah bahagian kemaluan itu telah diratakan air (semasa mandi itu) atau setelah selesai mandi, maka ketika itu barulah wajib mengambil wuduk kembali selepas mandi. Adapun mandi, ia tidak terjejas semata-mata dengan menyentuh kemaluan.
Walahu a’lam.

Rujukan

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/230.







Khamis, 31 Oktober 2013

M 20 : Kebaikan Mandi Sebelum Subuh



Mandi awal pagi bukan sahaja membersihkan malah memberikan kesegaran dan manfaat untuk tubuh badan. Malah mandi awal pagi iaitu sebelum solat Subuh merupakan antara amalan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM. Antara manfaat mandi awal pagi ialah:

·         Melancarkan peredaran darah 

Jika peredaran darah lancar maka tubuh akan menjadi lebih sihat dan bertenaga.

·         Kulit lebih lembut dan halus 

Mandi menggunakan air sejuk dapat mengurangkan lingkaran gelap bawah mata. Kuku juga akan menjadi lebih sihat, kuat dan tidak mudah retak. Kulit pula menjadi lebih lembut dan halus.

·         Meningkatkan kesuburan

Tubuh badan manusia akan mendapat reaksi yang positif apabila mandi pada waktu pagi. Justeru, dapat meningkatkan hormon testosteron pada lelaki dan hormon estrogen untuk wanita.

·         Mengurangkan risiko darah tinggi

Insyaallah jika diamalkan selalu, risiko untuk mendapat penyakit ini akan berkurangan. Jangan lupa diiringi doa juga.

·         Mengurangkan tekanan serta tenang 

Air yang sejuk akan melancarkan kembali peredaran darah setelah lama berbaring. Buat yang mengalami depresi, inilah cara yang terbaik untuk menghilangkannya.

·         Meningkatkan sel darah putih 

Mandi dengan air sejuk akan meningkatkan sel darah putih. Apabila sel darah putih banyak maka daya tahan tubuh terhadap penyakitpun meningkat.

p/s: Jom ikut sunnah


Rujukan : Harian Islam.com




M 19 : Air Kosong Penawar Pelbagai Penyakit



Kajian para saintis mendapati amalan minum air sebaik bangun dari tidur setiap pagi mempunyai banyak manfaat.
Japanese Medical Society misalnya berjaya membuktikan dalam kes-kes tertentu, amalan ini mampu memulihkan penyakit termasuk yang serius.

Di Jepun hari ini sudah menjadi amalan untuk minum air dengan serta-merta selepas bangun dari tidur setiap pagi. Di samping itu, ujian saintifik telah membuktikan nilainya.
Bagi penyakit lama dan serius serta penyakit moden rawatan air telah didapati berjaya oleh masyarakat Jepun perubatan sebagai ubat 100% bagi penyakit-penyakit berikut:
Penyakit sakit kepala, sakit badan, sistem jantung, artritis, degupan jantung yang pantas, epilepsi, kegemukan berlebihan, asma bronkitis, TB, meningitis, buah pinggang dan air kencing, muntah-muntah, gastrik, cirit-birit, buasir, kencing manis, sembelit, semua penyakit mata, rahim, kanser dan gangguan haid, hidung telinga dan penyakit tekak.
Bagaimanapun amalan minum air kosong sebaik jaga dari tidur ini perlu mengikut beberapa peraturan untuk memastikan keberkesanannya.

  1.  Minum empat gelas air (160 ml) sebaik jaga dari tidur setiap pagi dan sebelum memberus gigi
2.    Berus gigi dan bersihkan mulut tetapi jangan makan atau minum apa-apa untuk 45 minit
3.    Selepas 45 minit anda boleh makan dan minum seperti biasa
4.   Selepas 15 minit mengambil sarapan, makan tengahari dan makan malam jangan makan atau minum untuk tempoh dua jam.
5.  Bagi pesakit yang lanjut usia dan tidak larat minum empat gelas air sekali gus diperingkat permulaan, mereka boleh memulakan kaedah rawatan ini dengan meminum air secara berperingkat sehingga mampu mencapai empat gelas sehari
Kaedah rawatan dipercayai mampu merawat pelbagai penyakit dalam tempoh tertentu:

1.    Tekanan darah tinggi – 30 hari
2.    Gastrik – 10 hari
3.    Diabetes – 30 hari
4.    Sembelit – 10 hari

Pesakit artritis hanya perlu mengikuti rawatan tersebut untuk tiga hari. Rawatan ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan kecuali diperingkat awal pesakit mungkin kerap buang air kecil.
Semuanya di atas izin ALLAH jangan sesekali putus harapan dan hilang semangat teruskan berdoa kepada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA.

Rujukan : Harian Islam.com




Rabu, 30 Oktober 2013

M 18 : Hukum Kencing Sambil Berdiri



Hari ni saya ingin mengetengahkan persoalan yang sering saya fikirkan dan mungkin juga sudah lama menjadi tanda tanya kepada pembaca yang lain. Beberapa artikel yang saya baca menunjukkan jawapan yang lebih kurang sama untuk persoalan di atas. Berikut adalah ulasan untuk menjawab kemusykilan di atas.

Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :

“Suatu ketika NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ’ALAIHI WASSALLAM singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Akupun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” 
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM kencing sambil berdiri. Kebiasaan RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM ialah kencing secara duduk.
Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM.
Ada sebahagian ulama mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ’ALAIHI WASSALLAM kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :
“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil daripada NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ’ALAIHI WASSALLAM.”


Sumber: ustaznoramin.com






M 17 : Jalan-Jalan Ke Syurga



Pada setiap pagi Jumaat, sebelum menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di sebuah kota dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu pagi Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun dengan lebatnya.
Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya sudah bersedia”

Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa wahai anakku?”
“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah ALLAH.
“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”
“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”
Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”
Dengan merintih anaknya merayu, “Benarkan saya pergi dulu wahai ayah?”
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya. “Pergilah nak dan berhati-hatilah. ALLAH bersama-sama kamu!”
“Terima kasih Ayah,”sambil memeluk dan mencium pipi ayahnya.
Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan waktu itu. Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya itu.
Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun dia gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah tersebut. Apabila sampai sahaja di rumah itu, lantas memberi salam dan ditekannya loceng rumah tersebut. Dia tunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.
Diketuk pula pintu lalu memberi salam, namun sekali lagi tiada jawapan. Bagai ada sesuatu yang memegang tubuhnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi.
Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang lelaki dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih.
“Nak, apa yang pakcik boleh bantu?”
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
“Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan pakcik adalah orang yang paling bertuah”.
Dia senyum dan tunduk wajahnya sebagai tanda hormat sebelum melangkah pergi.
“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu wahai anak” dalam nada yang lembut.
Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya “Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu.”
Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah lelaki separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ilmu ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan semua, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Isteri saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini.”
Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila sampai masa saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi terdengar panggilan salam yang amat merdu dari suara anak kecil. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi beserta dengan salam. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”.
“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada sesiapa pun yang menekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”
“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak kecil yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat.”
“Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik.” Itulah kata-kata yang paling indah yang pernah saya dengar.”
“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan yang amat lebat. Saya kemudian menutup pintu dan terus membaca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asalnya. Saya tak perlukan itu lagi”.
“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang muslim yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang taat pada yang satu DIA adalah ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan tersesat berada selama-lamanya di dalam neraka”
Tiada satu pun anak mata di masjid waktu itu dalam keadaan kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini adalah Jumaat yang paling indah dalam hidupnya.
Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang.


Rujukan : Harian Islam.com



M 16 : Imam Dan 20 Sen



Semoga kisah Iman Dan 20 sen ini akan dapat menjadikan panduan kepada diri kita, walaupun nilai cuma 20 sen tetapi jika bukan milik kita pulangkanlah semula..

Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.
Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.
Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.
“Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?” Imam tersebut bertanya kepada dirinya.
“Ah… syarikat bas ni dah kaya… setakat 20 sen ni.. nak beli toseipun tak cukup,” kata Imam tersebut.
Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebutpun berhenti.
Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.
“Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen,” kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.
“Owh… terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. Kan sedikit je nilainya,” pemandu bas tersebut berkata.
Imam tersebut menjawab, “Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur.”
Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, “Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam.”
Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, “Astaghfirullah!!! Ampunkan daku Yaa ALLAH… Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!”
Sahabat-sahabatku sekalian…
Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam.
Sesungguhnya pada diri RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM itu terdapat contoh teladan yang baik.


Sumber iluvislam





M 15 : Kisah Seorang Kanak-Kanak Lelaki Buta




Ada seorang budak lelaki yang buta duduk di tepi tangga sebuah bangunan, dan ada sebuah topi di kakinya. Beliau memegang sebuah tanda yang bertulis: “Saya buta, tolonglah.”
Terdapat hanya beberapa keping duit syiling dalam topi.
Tiba–tiba ada seorang lelaki sedang berjalan ke arah pengemis buta itu. Beliau mengambil beberapa keping duit syiling dari poketnya dan menjatuhkannya ke dalam topi itu. Beliau kemudian mengambil tanda tersebut, berpaling sekeliling, dan menulis beberapa perkataan. Dia meletakkan tanda itu kembali supaya setiap orang yang berjalan melalui tempat itu akan melihat kata-kata baru pada tanda tersebut.
Tidak lama kemudian, topi itu mula terisi. Banyak orang telah memberikan wang kepada budak lelaki buta itu. Petang itu, lelaki yang tadinya telah mengubah tanda tersebut datang untuk melihat perkembangan budak lelaki buta tersebut. Kanak-kanak buta tersebut yang mengecam bunyi jejak langkah lelaki itu bertanya, “Adakah anda yang mengubah tanda saya pagi ini? Apa yang anda tulis?”
Lelaki itu berkata, “Saya hanya menulis kebenaran. Saya berkata, apa yang kamu katakan tetapi dalam cara yang berbeza.”
Apa yang dia telah tulis: “Hari ini adalah hari yang indah dan saya tidak boleh melihat.”
Adakah anda berfikir tanda pertama dan tanda kedua berkata perkara yang sama?
Sudah tentu kedua-dua tanda tersebut memberitahu orang bahawa budak lelaki itu buta. Tetapi tanda pertama hanya berkata kanak-kanak itu buta. Tanda kedua memberitahu orang ramai mereka begitu bernasib baik bahawa mereka tidak buta.
Kenapa tanda kedua yang lebih berkesan?

“Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” 
(Surah 23  AL MUKMINUUN : 78)


Rujukan : Harian Islam.com



Isnin, 28 Oktober 2013

M 14 ; Empat soalan ditanya pada hari Kiamat



RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM dalam hadis itu mengingatkan umat Islam bahawa, di hadapan mahkamah pengadilan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, setiap daripada kita akan ditanya empat perkara, iaitu umur, ilmu, harta dan tubuh badannya. Dan kita tidak akan dapat berganjak, selagi tidak menjelaskan setiap persoalan itu.

Pertama, mengenai umur. Nikmat umur yang dikurniakan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA selama puluhan tahun, di manakah kita menghabiskannya? Katakan umur ketika hidup di dunia 70 tahun, berapa tahunkah yang diperuntukkan untuk melaksanakan amal soleh bagi mengaut ganjaran pahala? Bagaimanakah, nasib kita sekiranya umur itu lebih banyak dibazirkan untuk berbuat maksiat dan dosa, sedangkan umur yang digunakan untuk beramal ibadat hanya sekitar 10 tahun? Itupun selepas berada pada penghujung usia yang senja.
Ke manakah perginya baki 60 tahun umur kita itu? Adakah kita yakin akan dapat mengecapi nikmat syurga dengan nilai pahala selama 10 tahun, sedangkan longgokan dosa yang kita kumpul selama 60 tahun pula begitu tinggi?

Kedua, mengenai ilmu. Bagaimana jawapan kita jika ditanya mengenai ilmu? Apakah tanggungjawab terhadap ilmu yang kita miliki sudah kita tunaikan? Banyak ilmu yang kita tahu, tetapi adakah ia diamalkan?
Kita tahu membezakan perbuatan baik dan buruk, tetapi mengapa kita masih berminat dengan sifat mazmumah (keji)? Kita ada ilmu tetapi mengapa tidak mendidik, membimbing, menegur atau menasihati orang lain apabila melihat mereka berbuat kemungkaran? Mengapa kita tidak menyebarkan kepada orang lain sesuatu ilmu yang kita ketahui?

Ketiga, kita juga akan disoal mengenai harta benda yang kita miliki. Dari sumber manakah kita peroleh harta itu? Adakah daripada punca yang halal atau haram? Ke jalan manakah pula kita belanjakan harta itu? Ke jalan kebajikan atau kemungkaran?
RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM bersabda, maksudnya: 

“Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka yang lebih layak baginya.”

Akhirnya, kita akan ditanya mengenai jasad atau tubuh badan kita. Apakah yang kita lakukan dengan tubuh yang sihat dan kuat ini? Adakah kita mensyukuri mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan anggota badan yang lain dan menggunakannya ke jalan yang diredai ALLAH SUBHANAHU WA TAALA? Atau kita ingkar nikmat pancaindera itu dan reda dimurkaiNya?
Itulah empat soalan yang bakal dihadapkan kepada kita untuk dijawab, berdasarkan amalan kita. Semoga kita berjaya menjawabnya dengan bantuan amal soleh, keikhlasan ibadat, dan sedekah jariah di dunia.
Justeru, marilah kita lakukan muhasabah diri supaya kita tergolong ke dalam kumpulan yang berjaya melalui ujian itu.


(Sanad dan riwayat hadis…)