Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Jumaat, 28 Mei 2021

V 166 : ASMAUL HUSNA ( 73. AL AKHIR )

73. AL AKHIR  ( الأخر )

ALLAH Yaa Akhir Yang Maha Akhir, ketika semua makhluk musnah, DIA tetap ada kekal abadi dan tiada pengakhirannya. ALLAH mampu mengakhirkan atau melambatkan sesuatu mengikut kehendakNYA dan setiap ketentuan Yaa Akhir mengandungi kasih sayang dan pertolonganNYA yang tidak terhingga. ALLAH Yaa Akhir ingin membina kekuatan, keberanian dan ketekunan dalam jiwa seseorang.

Penghayatan sifat Al Akhir akan melahirkan insan berjiwa kental, tekun, berusaha bersungguh-sungguh dan di akhir perjuangan itu akan dikurniai ALLAH Yaa Akhir darjat yang mulia di sisiNYA.


BICARA HATI 

Allahumma Yaa Awwal Yaa Akhir, sesungguhnya Engkaulah yang Maha mempercepatkan sesuatu dan Maha Melambatkan sesuatu. Engkau mempercepatkan dalam mengabulkan permintaan hambaMu apabila ianya baik bagi dunia dan akhirat kami. Dan Engkau juga melambatkan permintaan hambaMu apabila permintaan itu tidak baik bagi kami pada ketika itu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui Yaa ‘Alim bila masa yang sesuai bagi kami untuk menerima kurniaanMu. Yaa Awwal, Engkau mempercepatkan jodoh kami apabila ia baik bagi kami dan kami sudah bersedia untuk menjadi suami/isteri yang baik, dan Engkau Yaa Akhir melambatkan jodoh kami kerana Engkau mengetahui kami masih belum mampu untuk menjadi suami/isteri yang baik.

Engkau Yaa Awwal mempercepatkan rezeki dunia bagi kami untuk kami berbuat kebaikan dan Engkau Yaa Akhir melambatkan rezeki dunia bagi kami ketika jiwa ini sangat lemah dalam menghadapi ujian kekayaan. Yaa Awwal, Engkau mempercepatkan perjalanan kami menuju kepadaMu dan kadang-kadang melambatkannya agar kami sentiasa merintih dan merayu kepadaMu sebagai seorang hamba yang dhaif lagi berharap.

Engkau Yaa Awwal mempercepatkan kematian dan Yaa Akhir melambatkan kematian kami mengikut kehendakMu. Yaa Awwal, percepatkan langkah kami menuju ke hadratMu agar kami dapat merasa dekat kepadaMu dan dengan itu dapatlah kami bergantung harap kepadaMu sentiasa Yaa Somad, mengadu kepadaMu Yaa Sami' dan berpaut kepadaMu setiap saat Yaa Qowiy, sentiasa dalam perlindunganMu Yaa Hafiz Yaa Muhaimin. Yaa Akhir, akhirkanlah penantian kami untuk mendapat cintaMu Yaa Wadud agar dengan cintaMu itu dapatlah kami merasa rindu kepadaMu dan bangkit setiap pagi sujud dan memujiMu.

V 165 : ASMAUL HUSNA ( 72. AL AWWAL )

72. AL AWWAL  ( الأول )

ALLAH Yaa Awwal Yang Maha Memulakan, memulakan setiap sesuatu dengan kekuasaanNYA dan tiada siapa yang mampu menghalangNYA. DIA yang paling awal, tiada lagi sesiapa sebelumNYA dan DIA menciptakan setiap sesuatu.

Menghayati sifat Al Awwal akan melahirkan insan peribadi yang suka memulakan dan mempelopori sesuatu. Kita harus mencari peluang baru bagi memberikan khidmat bakti dan membantu dunia. Kita harus memanfaatkan peluang yang datang bagi menjadikan seluruh kehidupan satu perjuangan yang menyeronokkan dengan pergantungan kepada Yaa Awwal yang akan menganugerahkan keberanian yang luar biasa dan akhirNYA mendatangkan hasil yang menakjubkan.