Zaman tidak lama sebelum kedatangan
Nabi Muhammad
saw, dikenali sebagai zaman jahiliah. Ini kerana ajaran para
nabi yang sebenar sudah jauh menyimpang dan terseleweng dari yang asal.
Dan malangnya, di zaman yang serba
canggih dan maju dengan alat telekomunikasi dan media massa inipun masih ramai
lagi orang Islam yang amat jahil dengan agama, walaupun sudah begitu banyak
tersebar buku-buku agama, ceramah-ceramah dan tulisan-tulisan melalui pelbagai
medium.
Daripada Anas ra berkata: Bersabda
Rasulullah saw:
“Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadah
yang jahil dan ulama yang fasik.”
(Hadis riwayat Ibnu Adi)
Saidina Umar r.apun pernah berbicara
tentang hal ini dan dia juga takut akan kemunculan ulama suu’ (ulama’ jahat /
ulama’ dunia) dan ahli ibadah yang jahil ini.
Amat banyak kesan buruk akibat menjadi
jahil agama, dan di sini saya hanya kemukakan 10 darinya sahaja untuk
difikir-fikir dan direnung-renungkan bersama.
1 –
Yang benar dikatakan salah, yang salah dikatakan benar.
Apabila sudah tidak diketahui mana
yang disuruh agama, mana yang dilarang agama, maka akan terjadilah satu keadaan
di mana yang salah dikatakan benar, dan yang benar dikatakan salah. Manusia
akan hanya mengikut logik akal sendiri untuk menentukan mana yang baik dan mana
yang buruk tanpa panduan dari wahyu ALLAH SUBHANAHU WA TAALA melalui Al Quran dan Al Hadith.
Mereka akan menjadi sesat dan akan
menyesatkan orang lain pula, terutamanya orang-orang yang jahil sepertinya
juga. Mereka tidak akan rasa bahawa mereka salah, dan mereka akan
mempertahankan pendapat mereka dengan sekeras-kerasnya kerana itulah yang
mereka rasa betul, walhal bercanggah dengan syarak.
Daripada Abdurrahman Al-Anshari ra bahawa
Rasulullah saw. bersabda:
“Sebahagian dari tanda-tanda dekatnya Hari
Kiamat adalah banyaknya bacaan (ramai yang pandai membaca) dan sedikit di
antara mereka yang mengerti agama, banyak umara’ (pemimpin) tetapi ketenteraman
berkurang.”
(Hadith Riwayat Thabrani).
2 –
Mudah mengutuk dan menghina ulama.
Akibat kejahilan, maka orang-orang
jahil akan dengan mudahnya mengutuk para ulama’ jika mereka mendengar suatu
ucapan ulama’ yang tidak memenuhi selera dan ideologi mereka. Walaupun ulama’
itu menyebutkan sesuatu yang berlandaskan kepada Al Quran dan Al Hadith, tetapi
kerana si jahil tidak ada ilmu sebenar tentang agama, maka dengan mudah saja
dia memandaikan dirinya sendiri dan menyanggah ulama’.
Kita bukan disuruh taksub kepada
seseorang ulama’, tetapi berpada-padalah dan jangan sampai menghina ulama’ yang
memperjuangkan Islam. Ulama-ulama yang ada sekarangpun bukannya nabi,
mereka bukan maksum (tidak ada dosa). Jangan kerana tersilap kata atau ucapan
sedikit kita terus menghukum dengan berat dan menghinanya.
Daripada Sahl bin Saad as-Saaidi ra.
berkata: Rasulullah saw bersabda;
“Ya ALLAH! Jangan kau temukan aku dan
mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama
sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi.
Hati mereka seperti hati orang Ajam ( pada fasiknya ), lidah mereka seperti lidah
orang Arab ( pada fasihnya).”
(Hadith Riwayat Ahmad).
3 –
Membela orang-orang yang jahil sepertinya juga.
Apabila mereka sudah tidak mengenali
mana yang benar dan mana yang batil, maka mereka akan menyokong dan
mempertahankan pendapat golongan yang mereka rasakan betul mengikut fikiran
mereka. Walaupun mereka sebenarnya telah mempertahankan kebatilan dan
kemungkaran.
Sebagai contohnya golongan gay yang
menyokong sesuatu yang dibuat oleh golongan gay lain. Mereka merasakan kononnya
kasih sayang itu tanpa batasan, dan manusia tidak patut disekat untuk berkasih
sayang walaupun sesama jantina. Itulah yang dirasakan terbaik oleh akal
pemikiran mereka, sedangkan ianya bercanggah dan menyeleweng dari apa yang
diperintah dan dilarang oleh Tuhan.
Memang nampak seperti bagus, kerana
mereka melaung-laungkan kasih sayang. Tetapi mereka tidak sedar akibat
melepaskan nafsu sesama jantina, kesannya amatlah buruk kepada diri manusia
sendiri dan generasi masa depan. Penyakit-penyakit yang merbahaya dan
berjangkitpun akan mudah dijangkiti sesama mereka, dan membawa masalah kepada
orang-orang lain pula nanti.
Dan bayangkan jika semua manusia
menjadi gay dan lesbian, siapa yang akan melahirkan anak nanti dan akan
meneruskan zuriat manusia? Tidakkah usaha untuk membela puak gay dan
lesbian ini adalah salah satu usaha untuk memupuskan manusia?
4 –
Mudah mempercayai tuduhan dan hasutan.
Apabila mereka sudah mempercayai
sesuatu pihak, maka dengan mudahlah mereka akan terpengaruh dan mempercayai apa
saja yang dibawa dan dikatakan oleh pihak itu. Tidak kira ianya ternyata salah
dan merupakan fitnah, tetap akan dipercaya kerana ketaksuban dan pihak itu
memenuhi selera mereka dan mungkin telah memberikan banyak nikmat kepada
mereka. Sehingga mereka lupa, bahawa nikmat adalah kurniaan ALLAH SUBHANAHU WA TAALA, bukannya
kurniaan manusia.
Ditambah lagi dengan antara taktik
Illuminati untuk membrainwash / mempengaruhi manusia ialah melalui media massa
seperti televisyen, radio, dan akhbar. Sehinggakan ramai yang merasakan
bahawa segala yang dilaporkan dalam televisyen dan radio itu adalah benar
belaka, langsung tidak ada salah. Adakah radio dan televisyen itu maksum?
Dan tidak ketinggalan, ada pihak yang
mengambil kesempatan untuk mengawal radio dan televisyen utama sebagai alat
untuk menjayakan misi politik mereka dan kekal berkuasa.
5 – Al Quran
hanya menjadi bahan bacaan semata.
Ramai yang membaca al Quran setiap
hari, siap dengan lagu-lagu dan suara yang merdu, tetapi berapa ramaikah yang
membaca sambil memikirkan dan menghayati isi kandungannya? Adakah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA menurunkan al Quran agar kita membaca dengan berlagu dan bertajwid semata-mata
tanpa menghiraukan apakah kandungan isinya dan apa yang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA nak beritahu pada
kita?
Adakah ALLAH SUBHANAHU WA TAALA sembang kosong dalam al Quran?
6 –
Hukum-hakam ALLAH akan direndahkan martabatnya dan dihina
Undang-undang daripada ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang termaktub
dalam al Quran dan al Hadith akan diperlekehkan dan direndahkan martabatnya.
Ini sudah berlaku dari zaman penjajah dulu lagi, kerana asalnya Undang-undang Islam sudah diamalkan
sebelum kedatangan penjajah, tetapi selepas kedatangan penjajah, Undang-undang Islam dibuang,
dan digantikan dengan Undang-undang British, yang sampai sekarang sebahagian
besarnya masih digunakan lagi. Undang-undang
Islam direndahkan kepada
masalah-masalah nikah kahwin dan seumpamanya sahaja. Kedudukan Mahkamah Syariah
yang menjalankan Undang-undang Islam terletak di bawah Mahkamah Majistret. Ini
bermakna Undang-undang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA diletakkan lebih rendah dari Undang-undang
British. Begitu sedih sekali.
Nabi Muhammad saw telah memberi
peringatan tentang akan tiba masa Hukum Islam dicabut, seperti dalam
hadis,
“Tali yang disimpul untuk mengikat ajaran
Islam dirungkai satu persatu. Maka setiap kali dirungkai, orang ramai
berpegang dengan simpulan yang masih ada. Yang pertama dirungkai
ialah Hukum-hakam, dan yang paling akhir ialah solat.”
(Hadith Riwayat Ahmad)
Hinggakan sekarang inipun ada orang
Islam yang mengatakan Hukum Hudud sudah tidak relevan lagi dipakai, tidak
sesuai dengan keadaan zaman moden ini. Sedangkan Hukum Hudud adalah Hukum yang
terkandung dalam Al Quranul Karim dan wajib dijalankan oleh pemerintah
hinggalah ke Hari Kiamat.
7 –
Amal ibadah tidak diterima oleh ALLAH SWT
Ini antara yang paling sedih didengar,
kerana jika suatu amal ibadah itu dilakukan tidak menepati apa yang disuruh
oleh Tuhan, maka amalan itu tidak akan diterima. Apa yang kita dapat hanyalah
penat dan lelah semata-mata dan ianya menjadi sia-sia. Inilah akibat jika tidak
ada ilmu tetapi berlagak pandai dan mengambil inisiatif sendiri tanpa panduan
dari sumber-sumber yang betul.
Firman ALLAH SUBHANAHU WA TAALA yang bermaksud ;
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu
tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran,
penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertanggungjawabnya.”
(Surat Al-Israa’ : Ayat 36)
Rasulullah saw bersabda yang
bermaksud,
“Sesiapa
yang melakukan sesuatu amalan yang tidak berasas kepada Sunnahku maka amalan
itu ditolak (tidak diterima oleh ALLAH Subhanahu wa Taala).”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Syaitan-syaitan juga akan sentiasa
menyuruh ahli ibadah yang jahil agar melakukan ibadah kerana mereka tahu
amal-amal itu akan menjadi sia-sia dan memenatkan ahli badah itu semata-mata.
Sebaliknya, kepada orang-orang alim, syaitan akan berusaha untuk membuat mereka
malas beramal pula.
8 –
Maksiat dan jenayah semakin berleluasa.
Apabila sudah jahil, yang mana satu
dosa dan yang mana satu pahalapun sudah tidak dikenali. Begitulah juga akibat
dari membiarkan pemerintah / pemimpin tidak melaksanakan Undang-undang Islam, maka jenayah dan
maksiat akan semakin berleluasa.
Jika anda mahu tahu, wanita-wanita
seksi yang bukan beragama Islampun merasakan keseksiannya itu adalah perkara
baik. Ada di antaranya yang merasakan dia telah memberi kepuasan kepada ramai
lelaki, dengan kata lain dia telah membuat baik kepada ramai orang.
Kejahatan baginya hanyalah jika dia
merompak, membunuh dan menyakiti orang lain. Sedangkan jika dia memakai pakaian
seksi, itu bukannya satu kejahatan dan dia tidak mengkhianati sesiapa. Inilah
akibatnya jika kita hanya mengikut kepala otak sendiri tanpa panduan dari
Tuhan. Sehinggakan kita lupa bahawa kesan dari seksi itu amat buruk bagi diri
seorang lelaki lain yang melihatnya.
Seseorang lelaki akan dirangsang nafsu
seksnya jika terdedah kepada aurat-aurat wanita terutamanya yang meliuk lintuk
dan seksi. Kesan yang lebih buruk akan berlaku pada lelaki yang belum
berumahtangga, akan merasa tertekan dan ingin melepaskan nafsu syahwatnya. Maka
jika seseorang itu lemah dan tidak ada iman, boleh mengundang kepada berlaku
gejala seks bebas, merogol, seks dengan haiwan dan sebagainya.
Nak tahu antara kesan-kesan buruknya
lagi? Boleh dibaca dalam tajuk-tajuk seperti;
9 –
Akan terjadi perpecahan dan peperangan sesama sendiri
Sudah tentulah kesan dari tidak
menjalankan Undang-undang Islam, akibat orang-orang Islam sendiri yang jahil
tentang hukum-hakam agama, akan menyebabkan terjadinya perpecahan dan
peperangan sesama sendiri.
“.……Dan
apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum ALLAH yang terkandung
dalam al Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini)
ALLAH akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri.”
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)
Ramai yang bersuara agar kita semua
bersatupadu, jangan berpecah-belah dan sebagainya, tetapi hanya sekadar
memberi nasihat mengikut teori sendiri, tetapi langsung tidak mahu menghayati
dan mengambil pelajaran dari maksud hadith di atas.
Bagaimana mahu bersatu padu dan tidak
berpecah belah jika pemimpin kita masih mengamalkan Undang-undang ciptaan
manusia dan bukan Undang-undang ALLAH SUBHANAHU WA TAALA? Adakah Nabi Muhammad sawpun
sembang kosong dalam hadith di atas?
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah
ALLAH dan taatilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu, kemudian
jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada
ALLAH (al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada
ALLAH dan hari kemudian, yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu)
dan lebih baik akibatnya.”
(Surah An-Nisaa’ : Ayat 59)
10 –
Generasi akan datang akan terdidik dalam keadaan jahil.
Kesan dari wujudnya orang-orang jahil,
dia mungkin akan mengajar anak-cucunya dengan kejahilan juga sedikit sebanyak.
Apa lagi jika dia tidak menghantar anak-anaknya untuk belajar agama dengan
secukupnya.
Jika sekadar mengharapkan
mata pelajaran Agama Islam yang dipelajari di sekolah rendah dan menengah, itu
sebenarnya sangat tidak mencukupi. Lagipun ianya telah banyak ditapis dan
asaspun belum cukup. Apa lagi anak-anakpun bukan semuanya belajar dan
menghayati betul-betul mata pelajaran Agama Islam di sekolah.
Kesimpulan
Maka ilmu agama wajib dipelajari
kerana ia termasuk dalam Fardhu Ain. Usahkan ilmu agama, ilmu tentang
mengetahui keadaan musuhpun digalakkan dipelajari dan dikaji kerana jika
keadaan musuh diketahui, maka kita boleh bersedia untuk menghadapinya dan tahu
bila musuh bertindak. Jika kita tidak tahu, maka akan senang-senang lah
kita akan ditipu dan diserang oleh musuh.
Menurut Al-Atsar (kata sahabat-sahabat
dan orang terkemuka), antara lainnya ialah Ali r.a berkata, “Barangsiapa
mengumpulkan padanya enam perkara, nescaya dia tidak meninggalkan dari mencari
syurga dan lari dari neraka, iaitu;
1 – Dia mengenal ALLAH, lalu mentaatinya.
2 – Dia mengenal syaitan, lalu mendurhakainya.
3 – Dia mengenal kebenaran, lalu mengikutinya.
4 – Dia mengenal kebatilan, lalu menjaga diri darinya.
5 – Dia mengenal dunia, lalu menolaknya.
6 – Dia mengenal akhirat, lalu mencarinya.
Abu Umamah Al-Bahili r.a berkata,
“Tatkala Muhammad saw diutuskan, lalu Iblis mendatangi tenteranya. Tentera
itu lalu berkata, “Sesungguhnya telah diutus seorang nabi dan telah muncul
suatu umat.” Iblis itu bertanya, “Adakah mereka itu mencintai dunia?”
Tentera itu menjawab, “Ya”.
Lalu Iblis menyambung, “Jikalau benar
mereka itu mencintai dunia, nescaya aku tidak hiraukan bahawa mereka tidak
menyembah berhala. Sesungguhnya aku akan datang pada mereka, pagi dan
petang, dengan 3 perkara;
1 – Mengambil harta dari bukan haknya.
2 – Belanjakan harta pada bukan haknya.
3 – Menahan harta dari haknya.
Dan kesemua kejahatan itu akan timbul
dari yang tiga ini. [Ihya Ulumuddin, Kitab tercelanya dunia]
Rujukan :
http://unikversiti.blogspot.com/