Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Rabu, 29 Disember 2021

V 180 : ASMAUL HUSNA ( 87. AL JAAMI')

 AL JAAMI’ ( الجامع )

 ALLAH Yaa Jaami’ Yang Maha Menghimpun akan menghimpunkan orang-orang yang telah mati dan dihidupkan kembali untuk dihitung oleh ALLAH Yaa Muhsi, dihisab oleh Yaa Hasib, dibalas oleh Yaa Muntaqim dan diadili oleh Yaa ‘Adl. Di hari penghimpunan, manusia akan sedar siapakah ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA sebenarnya yang mana di dunia ini mereka tidak takuti akan azabNYA, tidak bersyukur akan nikmatNYA. Di hari penghimpunan ini, manusia yang sentiasa ingat ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA akan mendapat perhatian istimewa dariNYA.

 Menghayati sifat ALLAH Yaa Jaami’ akan menjadikan seseorang berusaha untuk menyatukan orang-orang yang berpisah dan berkelahi. Bergantung dengan ALLAH ALLAH Yaa Jaami’ mampu mengumpulkan hati-hati yang terpisah.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Jaami', sesungguhnya Engkau Maha Menyatukan, Engkau menyatukan planet-planet di dalam galaksi masing-masing. Ya Jaami', Engkau menyatukan galian-galian dalam tanah, Engkau menyatukan pelbagai jenis binatang dan tumbuhan dalam satu hutan. Engkau menyatukan jutaan sel dalam satu tubuh manusia. Yaa Jaami', Engkau menyatukan hati-hati manusia untuk bersatuhati dalam satu jemaah, satu dasar perjuangan, satu fikrah dan satu kaedah. Engkau Yaa Jaami' menyatukan pekerja dalam satu organisasi, Engkau menyatukan ibu, ayah dan anak-anak dalam satu keluarga, Engkau menyatukan 2 hati dalam satu perkahwinan.

 Engkau Yaa Jaami' menyatukan beberapa perkataan dalam satu ayat, Engkau menyatukan kumpulan-kumpulan manusia dalam satu bahasa, satu bangsa dan satu budaya. Yaa Jaami' Engkau juga menyatukan hati-hati hamba yang mencintaiMu dalam satu ingatan dan rindu kepadaMu, di dunia hati yang diikat dalam ingatan berterusan tanpa sesaat pun lupa kepadaMu, di Akhirat akan bersatu dengan roh-roh kekasih Allah untuk bertemu dengan kekasih sejati Yaa Wadud. Yaa Allah Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Jaami', satukan hati-hati kami sekeluarga, dengan sanak saudara, masyarakat dan pemimpin kami dengan kasih sayangMu agar kami dapat pimpin memimpin di atas jalan taqwaMu Yaa Haq Yaa Barr.

V 179 : ASMAUL HUSNA ( 86. AL MUQSITH)

 AL MUQSITH ( المقسط )

 ALLAH Yaa Muqsith Yang Maha Menyeimbangkan, mencipta dengan penuh keseimbangan dan mengagumkan, harmoni dan seimbang penuh kesempurnaan. KeadilanNYA memberikan kekayaan kepada sebahagian manusia dan kemiskinan kepada sebahagian yang lain, begitu juga memberi kelemahan kepada sebahagian yang lain dan kekuatan kepada yang lain, DIA memberi anugerahNYA kepada setiap hambaNYA dengan tepat. ALLAH Yaa Muqsith juga membalas setiap amal kebaikan, budi pekerti yang mulia dengan ganjaran yang penuh adil dan setimpal.

 Menghayati sifat ALLAH Al Muqsith akan melahirkan insan yang sentiasa memperjuangkan keadilan, keharmonian dan kedamaian berteraskan kembali kepada ALLAH. Menghayati Al Muqsith juga akan menjadikan seorang mampu melihat keadilan ALLAH di sebalik setiap kejadian dan mampu menikmati setiap ujianNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muqsith, sesungguhnya Engkau Maha Saksama dan Maha menyeimbangkan serta Maha Mengharmonikan. Engkau Yaa Muqsith mengharmonikan perjalanan bulan, bintang dan matahari sehingga semuanya bergerak dengan gerakan yang harmoni dan seimbang, tidak tergelincir walau seinci pun planet-planet pada orbitnya, matahari tidak pernah mengatasi bulan, bulan tidak pernah mendahului matahari, semuanya bergerak penuh keseimbangan dan harmoni.

 Semua binatang ciptaanMu Yaa Khaliq Yaa Muqsith hidup dalam ekosistem yang seimbang, rusa yang dimakan harimau, katak yang dimakan oleh ular menjadikan binatang hidup dengan penuh sistem keseimbangan, sebahagiannya menjadi makanan sebahagian yang lain. Tumbuhan yang mati menjadi baja kepada tumbuhan yang hidup, ada yang menjadi akar, batang, ranting dan pucuk, semuanya memainkan peranan masing-masing menjadikan hidupan yang harmoni dan seimbang, itulah kehebatanMu Yaa Muqsith. Engkau juga menyeimbangkan kehidupan manusia dengan memberi peluang kepada keperluan dunia dan keperluan akhirat. Engkau Yaa Muqsith seimbangkan waktu bekerja dan waktu berehat. Keseimbangan kehidupan manusia menjadikan setiap hari ada manusia yang baru lahir dan ada yang mati.

 Yaa Muqsith, Engkau harmonikan kehidupan manusia dengan menjadikan sebahagiannya kaya dan sebagian miskin agar yang kaya boleh membantu yang miskin. Anak-anak yatim dijaga oleh ibu yang tiada anak, orang-orang tua dijaga oleh orang-orang yang muda, orang-orang sakit dirawat oleh orang-orang yang sihat, orang-orang yang dalam kesempitan dilapangkan oleh orang-orang yang berkelapangan, begitulah seimbang dan harmoninya kehidupan manusia ciptaanMu Yaa Muqsith.

 Yaa Allah Yaa Muqsith, jadikanlah setiap kehidupan dunia ini sebagai bekalan untuk Akhirat kami, setiap lafaz kami sebagai zikir kepadaMu, setiap gerak kaki kami sebagai ziarah demiMu, setiap saat mata kami memandang, tiada yang kami lihat melainkan keseimbangan dan keharmonian aturanMu Yaa Muqsith.

V 178 : ASMAUL HUSNA ( 85. DZAL JALAALI WAL IKRAM)

 DZAL JALAALI WAL IKRAM ( ذو الجلال و الإكرام )

 ALLAH Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram Yang Maha Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan, semua kesempurnaan, kemuliaan dan rahmat datang dariNYA. DIA mampu memberi dan mengambilnya kembali.

 Menghayati sifat ALLAH Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram akan melahirkan insan yang sentiasa memuji memuja ALLAH sebanyak-banyaknya dengan lidah dan hatinya dan sentiasa menyedari bahawa kemuliaan dan kebesaran yang dikurniakan itu hanya sementara dan akan diambil kembali olehNYA pada bila-bila masa.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram, sesungguhnya Engkau Pemilik seluruh kemuliaan, keagungan, kesempurnaan dan ketinggian. Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram, tiada sedikitpun kemuliaan dan keagungan kepada manusia, makhluk dan alam ini melainkan semuanya hanya ciptaan yang menerima daya-dayaMu semata-mata, ketika Engkau memberi daya, nampak seolah-olah mereka berdaya, ketika Engkau menghilangkan daya-dayaMu, jadilah makhluk itu fatamorgana, tiada wujud lagi.

 Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram, kemuliaan dan kesempurnaanMu terlihat jelas pada alam dan makhluk ciptaanMu di angkasaraya dan di bumi. Jelas kelihatan daya-daya kemuliaanMu dan kehebatanMu pada hati yang bercahaya dipancari cahaya makrifahMu, dapat dirasai oleh hati yang dibuka hijab olehMu Yaa Fattah. Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram, keagungan dan kemuliaanMu terdapat pada sekecil-lecil makhluk seperti kuman yang ketika Engkau memberi daya membunuh, kuman itu akan menjadi asbab mematikan manusia. KeagunganMu juga terdapat pada sebesar-besar ciptaanMu di alam yang nyata ini, galaksi yang terkandung berbilion bintang, blackhole yang dapat menelan planet-planet termasuk bumi ini.

 Dan sesungguhnya alam nyata ini jika dibandingkan dengan keagunganMu pada alam yang ghaib, seumpama setitis air pada lautan yang luas tidak bertepi. Sesungguhnya tiada lafaz dapat dilafazkan oleh lidah ini bagi menyatakan keagungan, kemuliaan, kesempurnaanMu Yaa Allah. Yaa Quddus Yaa Jalil, bersihkan dalam hati kami sekiranya terdapat walau sebesar zarah rasa keagungan dan kehebatan milik diri ini kerana tiada makhluk di dunia ini yang mempunyai apa-apa kemuliaan dan keagungan melainkanMu Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram.

V 177 : ASMAUL HUSNA ( 84. MAALIKUL MULK)

 MAALIKUL MULK ( مالك الملك )

 ALLAH Yaa Maalikul Mulk Yang Maha Memiliki Kerajaan memiliki kerajaan alam semesta di langit dan di bumi, di dunia dan di akhirat dan DIA tidak merasa berat menguruskan dan mentadbir kerajaanNya. DIA tidak memerlukan sebarang bantuan dalam semua urusan tadbir kerajaanNYA dan DIA Raja yang sebenarnya. DIA memerintah dengan penuh keadilan. Di dunia DIA Yaa Malikul Mulk memilih hamba-hambaNYA menjadi Raja bagi pihakNYA dan ALLAH mengambilnya kembali dengan menurunkan takhtanya bila tiba masanya. Di akhirat, ALLAH adalah Raja yang mutlak yang setiap makhlukNYA akan berlutut kepadaNYA.

 Menghayati sifat Yaa Maalikul Mulk akan menjadikan seseorang ketika diberi kekuasaan, menggunakan kekuasaan untuk kebaikan dan keadilan dan sentiasa menyedari kekuasaan itu hanya sementara dan akan diambil kembali oleh ALLAH dan sentiasa bertasbih kepada ALLAH.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Malikul Mulk, sesungguhnya Engkau Maha Memiliki Seluruh Kerajaan tujuh lapisan langit, tujuh lapisan bumi, alam nyata dan alam ghaib. Engkau Yaa Malikul Mulk adalah Raja yang memerintah setiap kerajaan di alam dunia ini, raja-raja dan pemerintah di kalangan makhluk hanya alatMu semata-mata.

 Engkau melantik alatMu mengikut kehendakMu. Sesungguhnya hambaMu yang berjiwa hamba lah yang paling layak menjadi alatMu dalam pentadbiran sesebuah kerajaan di alam dunia ini, namun ketika hambaMu umat Islam sudah mencintai dunia dan kepentingan diri, Engkau Yaa Hakam menghukum mereka dengan Engkau Yaa Rofi' menaikkan hambaMu yang kufur dan musuhMu sebagai raja dan mengizinkan kezaliman berleluasa, agar umat Islam kembali menjadi abdiMu dan meninggalkan pengabdian kepada hawa nafsu dan dunia.

 Yaa Malikul Mulk, Engkaulah hakikatnya perdana menteri setiap negara, menteri di setiap kementerian, ketua jabatan di setiap jabatan, CEO setiap syarikat, ketua keluarga bagi setiap keluarga, pengurus setiap bank. Engkaulah yang menguasai semua pemerintahan di langit dan di bumi, Engkau Yaa Malikul mulk, Raja bagi setiap planet, setiap galaksi, setiap matahari, bintang-bintang. Engkau Raja setiap hutan belantara, Raja bagi harimau, ular, semut, kuman. Yaa Malikul Mulk, Engkau Raja setiap pokok, tumbuhan, sungai, lautan, awan, angin. Yaa Malikul Mulk, Engkau Raja yang menguasai bagi setiap jin, syaitan, iblis, dan segala makhluk halus. Engkau Yaa Malikul Mulk adalah Raja, penguasa dan pemilik yang mutlak bagi setiap sesuatu yang mentadbir, mengurus dan mengatur dengan penuh kebijaksanaanMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid. Yaa Malikul Mulk, kami menyerah diri kepadaMu sebagai khadamMu dalam pentadbiranMu dan KerajaanMu.

V 176 : ASMAUL HUSNA ( 83. AL ROUF)

 AL ROUF ( الرؤوف )

 ALLAH Yaa Rouf Yang Maha Pelimpah Kasih mencipta alam ini dengan penuh limpahan kasih sayang. KasihNYA diberikan kepada seluruh makhluk walaupun makhluk itu tidak berterima kasih kepadaNYA, tetapi kasih sayangNYA seringkali dalam bentuk ujian dan penderitaan bagi membersihkan hamba-hambaNYA supaya mereka dapat menerima cahaya dan kasihNYA.

 Penghayatan kepada sifat Al Rouf akan melahirkan seorang yang pemurah dan prihatin, dan diberi jalan oleh ALLAH Yaa Rouf untuk menolong orang lain.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Rouf, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih, Engkau kasih kepada hamba-hambaMu dengan memberi pelbagai keperluan hidup termasuk cahaya matahari, siang dan malam, air minuman, tanah yang terhampar, awan yang melindungi, cuaca yang nyaman, makanan, buahan, lauk pauk dan sayuran yang berkhasiat. Engkau Yaa Rouf memberi kepada hambaMu kasihMu melalui ibubapa, suami/isteri, anak-anak, sahabat-sahabat yang menyayangi dan mengasihi. KasihMu Yaa Rouf dapat dirasai ketika kami sujud, berzikir dan membaca Al Quran, dengan kasihMu Yaa Rouf Yaa Haq, Engkau memimpin kami di jalan yang benar.

 Allahumma Yaa Rouf, curahkan kasihMu kepada kami sekeluarga, masyarakat kami dan pemimpin-pemimpin kami, tanpa kasihMu dalam hati kami, kami tidak dapat hidup di dunia ini, akan merasa keseorangan, kebosanan, kesedihan dan kemurungan. KasihMu memberi kekuatan dan semangat luar biasa kepada kami untuk meneruskan kehidupan ini sehingga pertemuan denganMu nanti di Akhirat untuk menikmati kemuncak kasihMu Yaa Rouf iaitu hadiah syurgaMu.

V 175 : ASMAUL HUSNA ( 82. AL AFFUW)

 AL ‘AFFUW ( العفو )

 ALLAH Yaa ‘Affuw Yang Maha Pemaaf melebur dosa dan menghapuskan sama sekali. ALLAH suka memaaf dan menghapuskan dosa. DIA tidak menghukum segera hamba-hambaNYA yang melakukan dosa agar mereka bertaubat dan memohon maaf kepada ALLAH. Walaupun Neraka itu wujud, tetapi jalan untuk menyelamatkan diri terlalu banyak.

 Menghayati sifat Al ‘Affuw akan melahirkan sifat pemaaf atas kesalahan orang terhadap kita. Ikutlah sifat pemaaf ALLAH, walau sebanyak mana dosa, akan dimaafkan ALLAH dengan sifat Al ‘Affuw ALLAH.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa ‘Affuw Yang Maha Pemaaf, sesungguhnya Engkau memaafkan kesalahan dan kesilapan hambaMu ketika kami datang menadah tangan dan menangis di hadapanMu. Engkau Yaa ‘Affuw mengetahui dan memahami bahawa kami bukanlah sengaja ingin membuat kesalahan kepadaMu, kesalahan-kesalahan itu kami lakukan ketika kami terleka dan hati terlalai kepadaMu Yaa Allah, ini semua tanda menunjukkan kami ini hanyalah seorang hamba yang tidak berdaya dan sangat dhaif.

 Yaa ‘Affuw, Engkau Maha Memaafkan, walau kesalahan kami sangat banyak, lebih banyak dari pasir di pantai, banyak dan luas lagi kemaafanMu Yaa Allah. Yaa ‘Affuw, jadikan juga kami hamba yang pemaaf agar kami dapat bermaaf-maafan antara kami. Sesungguhnya kami ini hamba yang lemah, sekiranya Engkau tidak memberi kekuatan kepada kami Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin, kami akan terus lemah dan ketika itu banyaklah kesilapan dan kesalahan yang kami lakukan kepadaMu Yaa Allah dan kepada sesama kami.

 Maka, maafkanlah kami Yaa ‘Affuw dan berikan kami energi untuk memaafkan sesama kami. Yaa ‘Affuw, seringkali kami tersalah kata, terlajak bicara terhadapMu Yaa Allah dan terhadap sesama manusia, maka maafkanlah kami. Kadang-kadang terguris hati sesama kami, terluka dan tercalar hati-hati ini kerana tikaman lidah yang tajam, pandangan mata yang tajam, perbuatan yang penuh dengan kemarahan dan kekecewaan, maka Yaa Allah Yaa ‘Affuw, hanya Engkau yang mampu menyapu luka-luka di hati-hati kami dengan penawar kemaafanMu Yaa ‘Affuw. Dengan kemaafanMu Yaa ‘Affuw, kami dapat terus hidup dengan penuh harapan untuk menempuh hari-hari yang mendatang memikul amanahMu menyebarkan kemuliaan dan ketinggian sifat pemaafMu Yaa ‘Affuw kepada jiwa-jiwa yang dalam kegelapan dan keputusasaan.

V 174 : ASMAUL HUSNA ( 81. AL AHAD)

AL AHAD

ALLAH Yaa Ahad Yang Maha Esa atau Tunggal, terbebas daripada segala sifat, nama, tanda dan hubungan tetapi semuanya tersembunyi di dalamnya. DIA esa, tidak berbilang, tiada sekutu dan semua makhluk memerlukan dan bergantung dengan keesaanNYA.

 Menghayati ALLAH Al Ahad akan menjadikan kita hamba sejati yang bergantung harap terus kepada keesaan ALLAH Yaa Ahad.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Ahad yang Maha Esa, sesungguhnya seluruh kekuasaan di alam buana ini datang dariMu, Engkau diEsakan kerana tiada sesuatu yang wujud melainkan diwujudkan olehMu Yaa Khaliq dan dihidupkan olehMu Yaa Muhyi. Engkau diEsakan kerana milikMu lah seluruh kerajaan langit dan bumi Yaa Malik Yaa Malikul Mulk, seluruh kebesaran semua milikMu Yaa Kabir Yaa Mutakabbir, seluruh kemuliaan milikMu Yaa Karim, Yaa Majid, Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram, seluruh ketinggian milikMu Ya ‘Aliy Ya Muta’ali, seluruh kesempurnaan milikMu Yaa Quddus Yaa Jalil, seluruh keagongan milikMu Yaa Adzim. Engkau Yaa Ahad satu-satunya pemberi kasih saying. Yaa Rahman Yaa Rahim, tiada manusia yang boleh memberi kasih sayang melainkanMu.

 

Yaa Ahad, Engkaulah satu-satunya sumber kebaikan Yaa Barr, tiada kebaikan melainkan kebaikanMu, manusia hanya alatMu Yaa Ahad Yaa Barr dalam menyebarkan kebaikanMu. Yaa Ahad, dengan keEsaanMu juga Engkau Yaa Hakam menghukum semua penzalim, orang yang kufur dan menentangMu. Tiada siapa dapat menghalang hukumanMu Yaa Ahad. Engkau memutuskan sendiri orang-orang yang berhak menerima azabMu Yaa Dharru Yaa Muntaqim.

 Engkaulah Yaa Ahad satu-satu Raja dan Penguasa Padang Mahsyar, hari perhitungan Yaa Muhsyi, hari hisab Yaa Hasib, hari keadilan Yaa Hakam Yaa ‘Adl. Keputusan ke Syurga atau ke Neraka diputuskan olehMu sendirian tanpa campurtangan sesiapa Yaa Ahad, pemilik, penetap dan pemutus segalanya. Yaa Ahad yang Maha Esa, kami datang di pagi ini mengesakanMu dan mengakui hanya Engkau Tuhan yang memiliki segala kekuasaan, kerajaan, keputusan, keampunan, kemaafan, kelembutan, hukuman, azab dan nikmat.

V 173 : ASMAUL HUSNA ( 80. AL MUNTAQIM )

 AL MUNTAQIM ( المنتقم )

 ALLAH Yaa Muntaqim Yang Maha Penyiksa hanya menyeksa hamba-hambaNYA yang sudah keterlaluan membuat kerosakan dan kezaliman di bumi ini serta menyekutukan ALLAH. Namun begitu, sebelum turun azab, ALLAH akan beri peringatan demi peringatan agar mereka bertaubat demi kasih sayang dan rahmatNYA, tetapi ketika mereka berterusan melakukan dosa dan tidak menghiraukan peringatan ALLAH dan merasa gembira dengan kejahatan itu, maka akan turunlah azab Yaa Muntaqim. Bagi sesiapa yang memohon ampun segera setelah menyedari kesilapanNYA, seringkali ALLAH mengampuniNYA tanpa menghukumNYA.

 Menghayati sifat Al Muntaqim akan menjadikan seorang itu pemaaf dan menyerahkan urusan pembalasan dan penganiayaan kepada Yaa Muntaqim. Balasan dan azabNYA terkandung kasih-sayang dan rahmatNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muntaqim yang maha azab siksaan kepada hamba-hambaMu yang engkar, kufur dan yang memusuhiMu. SiksaanMu teramat pedih di NerakaMu, seringan-ringan siksaan Neraka, apabila dipakai selipar Neraka, menggelegak otak manusia. Yaa Muntaqim, NerakaMu itu rumahnya penuh dengan ular, kala jengking berbisa, minumannya dari darah dan nanah ahli neraka yang ditadah.

 Yaa Allah Yaa Muntaqim, azabMu tidak mengenal raja, menteri, pegawai, tukang sapu atau penganggur, semuanya akan menerima balasan yang setimpal atas kejahatan dan kezaliman masing-masing. Yaa Muntaqim, Engkau pasti melindungi hamba-hambaMu yang sentiasa memohon keampunanMu dan hamba-hamba yang berkorban untuk perjuangan agamaMu dari azabMu Yaa Muntaqim. Yaa Allah Yaa Muntaqim, masukkan dalam hati kami rasa gerun dan gementar kepada NerakaMu agar kami berhati-hati dalam hidup ini.

 Yaa Muntaqim, di dunia ini Engkau sentiasa memberi peringatan kepada hamba-hambaMu tentang Neraka melalui kalamMu dalam Al Quran dan melalui alam. Yaa Allah Yaa Muntaqim Yaa Zohir, sentiasalah zahirkan keadaan NerakaMu pada pandangan matahati kami agar kami sentiasa merasa takut kepada azabMu dan patuh kepada arahanMu dan menjauhi laranganMu. Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wahab Yaa Karim, tolonglah kami untuk taat kepadaMu.

V 172 : ASMAUL HUSNA ( 79. AL TAWWAB )

 AL TAWWAB ( التواب )

 ALLAH Yaa Tawwab Yang Maha Penerima Taubat memberi dan menerima taubat hambaNYA tanda kehalusan dan kelembutanNYA kepada hamba-hambaNYA. ALLAH tidak melihat kepada kesalahan dan keburukan perbuatan hambaNYA, tetapi hamba itu perlu menyesali semua perkara buruk yang dilakukan dengan azam tidak mahu mengulangi dan takut dengan dosa tersebut. ALLAH bukan sahaja hanya menerima taubat, namun setelah hambaNYA disucikan dari dosa, dialirkan pula kasih sayangNYA dan cintaNYA Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wadud. ALLAH Yaa Tawwab seringkali memberi taubat dengan memberi anugerah musibah kepada hamba-hambaNYA yang lupa memohon taubat, tetapi hukuman itu cukup ringan berbanding dengan azab di akhirat kelak. Oleh itu hendaklah seseorang itu melahir rasa syukur ketika dalam musibah.

 Menghayati Al Tawwab akan menjadikan kita seorang yang pemaaf walau apa pun kesalahan orang terhadap kita. Sifat pemaaf menunjukkan kebersihan hati yang telah dibersihkan oleh ALLAH Yaa Tawwab.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Tawwab Yang Maha Menerima Taubat, sesungguhnya Engkau menerima taubat hambaMu walaupun pernah melakukan dosa setinggi gunung, sebanyak buih di lautan, sebanyak pasir di pantai. Dengan kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim, dengan kelembutanMu Yaa Latif Yaa Halim, Engkau menerima hambaMu yang ingin kembali ke jalan yang benar dengan penuh keterbukaan. Hatta hamba yang kafir juga Engkau terima taubat mereka walau setiap hari mereka menyembah patung, dan tuhan-tuhan yang lain.

 Begitulah hebatnya sifatMu Yaa Tawwab Yang Maha Menerima Taubat. Engkau Yaa Fattah Yaa Tawwab sentiasa membuka jalan taubat dan jalan kembali kepada hamba-hambaMu yang menginsaf diri dan berazam untuk mengubah diri dari pembuat dosa kepada pembuat amal soleh, dari hamba yang lupa kepada hari pertemuan denganMu Yaa Muhsi Yaa Hasib kepada hamba yangg sentiasa ingat kepada saat-saat cemas di Akhirat nanti.

 Yaa Allah Yaa Tawwab, kami datang kepadaMu di pagi ini merintih kepadaMu agar menerima taubat kami atas segala perbuatan dosa yang telah kami lakukan terhdapMu Yaa Allah kerana kejahilan dan kelalaian kami terhadp ayat-ayat al Quran dan Hadis NabiMu, kami lalai dalam berdoa kepadaMu dan lalai menyebut-nyebut NamaMu dan lalai dalam mengingati kebesaran dan keagonganMu Yaa Allah Yaa Kabir Yaa Mutakabbir Yaa Adzhim, maka hambaMu yang dhaif lagi hina ini datang menadah tangan, menangis menagih kepadaMu Yaa Tawwab agar kami termasuk dalam golongan yang diterima taubat. Yaa Nuur, Yaa Haadi Yaa Haq, pimpinlah kami dalam jalan kebenaranMu hingga akhir hayat kami.

V 171 : ASMAUL HUSNA ( 78. AL BARR )

 AL BARR ( البر )

 ALLAH Yaa Barr Yang Maha Baik dan Dermawan menganugerahkan pelbagai jenis kebaikan kepada makhlukNYA walaupun mereka derhaka dan tidak menyembahNYA. KebaikanNYA tergambar dalam sifat pemaafNYA kepada hamba-hambaNYA yang berdosa. DIA tidak terus menghukum, diberi peluang untuk bertaubat dan DIA ampunkan dosa-dosa itu.

 Menghayati sifat Al Barr akan menjadikan kita seorang yang sentiasa melakukan kebaikan kepada sesama manusia, tetapi hendaklah ingat kebaikan itu adalah kebaikan ALLAH Yaa Barr yang terpancar melalui makhlukNYA. Kebaikan yang dialirkan oleh Yaa Barr akan membuatkan seseorang itu merasa kaya tanpa harta, mulia tanpa nasab, tidak ada yang menandingiNYA, raja tanpa takhta yang tak memerlukan tentera. Mereka mendermakan sebahagian daripada harta yang disayanginya.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Barr, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Baik, seluruh kebaikan adalah milikMu, sifat kebaikan yang ada pada manusia itu kurniaanMu, tiada sebarang kebaikan melainkan kebaikanMu. Ketika orang-orang yang diberi kekayaan olehMu Yaa Ghoniy Yaa Mughniy untuk melakukan kebaikan kepada orang-orang yang ditakdirkan miskin oleh Yaa Qodir Yaa Muqtadir, itulah pada hakikatnya kebaikanMu Yaa Barr, bukan kebaikan dari manusia itu, manusia itu hanya alatMu Yaa Barr. Ketika seorang kaunselor membimbing orang yang bermasalah, pada hakikatnya Allah Yaa Barr Yaa Haadi yang memberi kebaikanNya dan bimbinganNya kepada orang bermasalah itu, kaunselor itu hanya alatMu semata-mata.

 Ketika seorang kesempitan datang merintih kepada Allah Yaa Basith untuk melapangkannya, Allah Yaa Barr Yaa Basith alirkan sifat kebaikan dan daya memberi kelapangan kepada hamba-hambaNya untuk menjadi alatNya menyalurkan kebaikanNya bagi melapangkan hamba-hambaNya yang meminta.

 Allahumma Yaa Barr, setiap saat kami ini menikmati kebaikanMu, Engkau Yaa Haadi Yaa Barr sentiasa memimpin kami di atas jalan kebaikan, Engkau datangkan kepada kami insan-insan yang bersifat baik untuk menjadi contoh tauladan bagi kami. Kami bersyukur Yaa Barr atas kebaikanMu kepada kami. Yaa Baaqi’ Yaa Barr, kekalkan kami dalam kebaikanMu di dunia, alam barzah dan alam akhirat.

V 170 : ASMAUL HUSNA ( 77. AL MUTA'AALI )

 AL MUTA’AALI) ( المتعالي )

 ALLAH Yaa Muta’aali Yang Maha Tinggi yang ketinggianNYA tidak terbatas dan akal manusia tidak dapat membayangkannya. DIA yang paling tinggi DzatNYA, martabatNYA, kedudukanNYA, kemuliaanNYA, kekayaanNYA, kasih sayangNYA dan lain-lain.

Menghayati sifat Al Muta’aali akan memberikan kita kekuatan dan semangat untuk mendaki gunung cita-cita, kebahagian dan kejayaan dengan kekuatan Yaa Muta’aali yang Maha Dahsyat yang dialirkan ke dalam jiwa pendaki dan DIA Yaa Muta’aali akan bersama kita sepanjang pendakian kerana pendakian itu panjang dan meletihkan dan sentiasa memerlukanNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muta'ali, sesungguhnya Engkau Maha Meninggikan. Engkau meninggikan tujuh lapisan langit yang penuh dengan tanda-tanda ketinggian darjatMu, ketinggian kebijaksanaanMu Yaa Muta'ali Yaa Hakim, ketinggian kemuliaanMu Yaa Muta'ali Yaa Karim.

 Engkau Yaa Muta'ali meninggikan darjat hamba-hambaMu di dunia dan akhirat di kalangan para Rasul dan Nabi yang menyebarkan kalimah tauhid, juga ketinggian darjat di sisiMu bagi pejuang-pejuang agamaMu yang melepaskan kesenangan dunia untuk mencari redhaMu dalam melaksanakan tugas sebagai abdi dan khalifahMu di dunia ini. Yaa Muta'ali, Engkau juga meninggikan kedudukan hamba-hambaMu di dunia ini dengan memberi kekuasaanMu dan KerajaanMu Yaa Malikul Mulk, Yaa Dzal Jalaali Wal Ikram sebahagiannya sebagai ketinggian yang hakiki dan sebahagian sebagai istidraj dan laknat.

 Ketinggian darjat di akhirat hanya diperuntukkan olehMu Yaa Muta'ali kepada orang-orang yang beriman yang sentiasa rohnya sujud taat kepada perintah dan agenda Yaa Baari' dan jasad yang tidak henti-henti mengorbankan diri untuk meninggikan nama-namaMu dan agamaMu Yaa Muta'ali.

 Yaa Muta'ali, jadikan hati kami ini hati yang sentiasa merendah diri dan meninggikanMu.

V 169 : ASMAUL HUSNA ( 76. AL WAALIY )

 AL WAALIY  ( الوالي )

 ALLAH Yaa Waaliy Yang Maha Memerintah dan Maha Memberi, DIA memerintah dan mengawal alam semesta mengikut kehendakNYA. Seluruh makhluk dikawal oleh ilmu dan kekuasaan ALLAH, dibawah kasih sayang, perlindungan dan belaianNYA. DIA Yaa Waaliy melindungi hamba-hambaNYA daripada setiap bencana.

 Penghayatan kepada sifat Al Waaliy akan menjadikan kita orang yang berpegang kepada ALLAH dengan pegangan dan pergantungan yang sangat kukuh walaupun dalam kesusahan ataupun kegagalan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Waaliy Yang Maha Menguruskan, sesungguhnya Engkau Maha Menguruskan alam angkasaraya, galaksi-galaksi, planet-planet, bintang-bintang, matahari, bulan dan segala ciptaanMu di angkasaraya sana Yaa Khaliq Yaa Baari’ Yaa Musowwir.

 Engkaulah Yaa Waaliy yang menguruskan perjalanan setiap makhlukMu di atas sana. Engkau juga Yaa WAaliy yang menguruskan setiap binatang dan tumbuhan di alam maya ini. Yaa Muhyi Engkau menghidupkan, mengurus cahaya matahari dan sumber kehidupan kepada setiap tumbuhan dan binatang dan Engkau Yaa Mumit mematikan semuanya dan Yaa Mu'id yang Maha Mengembalikan, semuanya daya-daya pada makhlukMu kembali kepadaMu.

 Yaa Waaliy, Engkaulah yang menguruskan setiap manusia di alam ini dengan sistem kehidupan yang Engkau Yaa Baari' aturkan untuk kebaikan manusia. Allahumma Yaa Waaliy, kami serah seluruh jiwa raga kami kepadaMu untuk Engkau uruskan mengikut kehendakMu, kami hanya abdi yang akur dan rela serta redha atas apa jua yang Engkau tentukan buat diri ini.

V 168 : ASMAUL HUSNA ( 75. AL BATHIN )

 AL BATHIN  ( الباطن )

 

ALLAH Yaa Bathin Yang Maha Ghaib sehingga kewujudanNYA tidak mampu dilihat oleh fikiran manusia yang menjadi silau dan tumpul. Kita harus merenung sifat-sifat ALLAH dalam makhluk sekeliling kita tapi dilarang membayangkan ZatNYA kerana ianya di luar kemampuan akal kita untuk memikirkan.

 Penghayatan kepada Sifat Al Bathin akan membimbing kita untuk lebih suka menilai diri sendiri demi menjaga diri di hadapan ALLAH. ALLAH Yaa Bathin juga mampu menghilangkan aib dan dosa kita pada pandangan umum, oleh itu bergantunglah sepenuhnya kepada ALLAH Yaa Bathin agar dipeliharaNYA kita pada pandangan orang lain dan kita mampu melakukan kebaikan dan kebajikan kepada manusia lain.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Zohir Yaa Bathin, sesungguhnya Engkaulah yang menampakkan dan menghilangkan. Engkau Yaa Zohir menampakkan pada pandangan matahati akan Nama dan Sifat-sifatMu di sebalik alam, makhluk, manusia dan peristiwa.

 Yaa Zohir, Engkau juga mengzohirkan alam ghaib melalui kalamMu dalam Al Quran, namun matahati yang bercahaya dipancar olehMu Yaa Nuur dan terbuka dibuka olehMu Yaa Fattah saja yang dapat melihatnya. Sesungguhnya Neraka itu setiap saat dizohirkan oleh ALLAH melalui alam ini. Matahari dunia mengingatkan matahari Mahsyar. Timbangan dunia mengingatkan hari timbangan amal. Mahkamah dunia mengingatkan Mahkamah Akhirat. Yaa Zohir menzohirkan kekuasaanNya dengan pelbagai peristiwa alam, 2 jenis lautan bertemu tetapi air tidak bercampur bagi menzahirkan sifatMu Yaa Jami' Maha Menyatukan dan Maha memisahkan. Gempa bumi menzahirkan sifatMu Matin Yang Maha Meneguhkan dan Maha menghancurkan.

 Yaa Allah Yaa Zohir Yang Maha menampakkan, nampakkan pada pandangan mata hati kami akan Nama-nama dan sifat-sifatMu di sebalik alam, peristiwa, makhluk dan manusia, Yaa bathin, hilangkan pada pandangan matahati kami bahawa alam ini berkuasa, peristiwa terjadi dengan sendirinya, makhluk dan manusia punya daya upaya kerana semua daya itu milikMu dan semua sifat itu datang dariMu.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR  ( الظاهر )

 

ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadiran DIA Yaa Zohir kelihatan jelas pada setiap sesuatu yang dilihat. Di sebalik keindahan dan keharmonian yang menakjubkan itu membuktikan adanya ALLAH Yang Maha Pencipta. DIA seperti cahaya yang membuat segalaNYA dapat dilihat, tetapi cahaya yang cukup hebat itu juga membuatNYA tidak terlihat, tetapi Yaa Zohir nyata dalam setiap sesuatu.

 

Penghayatan kepada Al Zohir akan melahirkan insan yang mampu menzahirkan sifat-sifat ALLAH yang terbenam dalam dirinya, dan akan menghasilkan keajaiban ALLAH dan dengan itu manusia lain akan mampu mengenali ALLAH melalui diri kita.