Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Sabtu, 17 September 2022

V 192: ASMAUL HUSNA ( 99. AS SOBUR)

 99. AS SOBUR ( الصبور )


ALLAH Yaa Sobur Maha Sabar dalam segala tindakanNYA. Yaa Sobur tidak tergesa-gesa dan tidak terburu-buru dalam mengambil apa jua tindakan terhadap makhlukNYA hatta manusia yang melakukan dosa juga diberi peluang oleh ALLAH untuk insaf dan bertaubat, tidak dihukum serta merta. Segala yang ALLAH Yaa Sobur lakukan tepat pada waktunya dengan cara yang sebaiknya dan sepatutnya.


Menghayati sifat Yaa Sobur akan melahirkan manusia yang sabar dalam mengharungi kehidupan, tidak tergesa-gesa dan cermat dalam mengambil apa jua tindakan. Orang yang bersifat dengan Al Sobur akan mampu mengawal hawa nafsu. Pahala yang besar dikurniakan kepada orang yang sabar menghadapi hawa nafsu dan ketika menghadapi musibah seperti kemiskinan, kemalangan dan penyakit. Kesabaran yang hakiki akan melahirkan rasa nikmat mengharungi kesusahan, penderitaan, musibah dan kesulitan kerana sedar ianya semua datang dari ALLAH sebagai ujian menguji kesabaran seseorang hambaNYA.

V 191: ASMAUL HUSNA ( 98. AL RASHID)

  AL RASHID ( الرشيد )

ALLAH Yaa Rashid Yang Maha Pintar dan Maha Cerdas, pandai dan cerdik dalam memberi petunjuk kepada hambaNYA searah kebaikan dan dengan kepintaranNYA Yaa Rashid menyelesaikan segala permasalahan makhlukNYA. Alam, makhluk, manusia dan peristiwa di dunia ini memperkenalkan kepintaran ALLAH dalam mengurus dan mentadbir. Yaa Rashid merupakan guru terhebat dan tertinggi yang mengajar kita menghadapi kehidupan ini mengikut kehendakNYA dan seterusNYA mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Menghayati sifat Yaa Rashid melahirkan manusia yang hatinya penuh tawakkal kepada ALLAH. Memulakan sesuatu pekerjaan dengan memohon perlindungan dari ALLAH, kemudian melakukannya dengan tekun. Hasil daripada kurniaan Yaa Rashid akan melahirkan hati yang cintakan keimanan dan ketaatan dan benci kepada kekafiran dan kederhakaan.

BICARA HATI 

Allahumma Yaa Rashid Yang Maha Pintar dan Cerdas,  setiap ciptaanMu dan peristiwa dalam hidup kami memaparkan kepintaran dan kecerdasanMu. KepintaranMu banyak yang terbalik dari apa yang kami, acap kali dengan akal kami yang cetek dan jahil ini kami tersilap faham dan tersilap tafsir akan peristiwa-peristiwa. Sungguh tanpa suluhan cahaya MakrifahMu Yaa Nuur sukar bagi kami memahami kepintaranMu yang penuh hikmah.

 Kehidupan dan kematian yang berlaku setiap hari, itulah caraMu Yaa Allah Yaa Rashid menyeimbang dunia ini. Seandainya kadar kelahiran terus berlaku dan kematian pula tidak wujud, akan penuhlah bumi ini dan tidaklah  dapat bumi ini menampung semua makhluk-makhluk. Ketika ada kawasan tanah terbiar, Engkau Yaa Rashid tumbuhkan pokok-pokok yang kami katakan semak, hakikatnya pokok-pokok itu amat diperlukan untuk menghasilkan oksigen kepada kehidupan. Keseimbangan alam ini dipelihara oleh Yaa Hafiz Yaa Muhaimin dengan kehijauan pokok-pokok.


Atas KepintaranMu Yaa Rashid orang-orang tua kembali menjadi seperti kanak-kanak, semua ini Engkau jadikan agar  anak-anak dapat berbakti, membelai dan membalas budi ibubapa mereka sepertimana ibubapa mereka membelai mereka semasa kecil. Dengan ini Engkau  Yaa Allah Yaa Rashid Yaa Fattah Yaa Razzaq bukakan pintu-pintu syurga buat ibubapa dan anak-anaknya.

Ketika mana manusia lalai dengan kerja dakwah, mengajak kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran, Engkau Yaa Rashid mencipta gejala sosial agar masyarakat bekerjasama membenterasnya, dengan itu dapatlah kami melakukan kerja-kerja dakwah, ini semua tanda kasihMu Yaa Allah Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Fattah Yaa Razzaq membuka pintu syurga buat kami.

Engkau Yaa Rashid menyeimbangkan kelapangan dan kesempitan dalam hidup manusia. Engkau Yaa Basith yang Maha Melapangkan, melapangkan rezeki wang ringgit supaya manusia boleh berbakti, dan ketika manusia leka dan lalai dengan wang ringgit itu, Engkau Yaa Qobidh hidangkan kesempitan agar manusia kembali insaf atas kelalaian itu dan redha atas teguranMu dan terus datang mendekatiMu memohon dan mengharap keampunanMu Yaa Ghaffar Yaa Ghaffur Yaa Tawwab dan setelah diampuni olehMu, dilimpah kelapangan lagi oleh Yaa Basith, dengan itu hati menjadi bersyukur. Itulah kepintaranMu Yaa Rashid dalam mendidik hambaMu dalam hidup agar sentiasa dalam redhaMu.

Apa yang kami sangkakan bala dan musibah itu sebenarnya kasih sayangMu Yaa Rahman Yaa Rahim kepada kami agar kami dapat berjalan atas jalan SyurgaMu dengan caraMu Yaa Rashid yang maha pintar dan cerdas. Yaa Allah Yaa Qohhar Yaa Rashid tundukkanku kepada kepintaranMu Yaa Rashid dan bimbingku Yaa Haadi agar dapat menyelesai masalah ummah hari dengan cahaya kepintaranMu Yaa Nuur Yaa Rashid dalam meniti jalan kehambaan dan kekhalifahan.

Ahad, 11 September 2022

V190 : ASMAUL HUSNA (97. SL WARITS)

 AL WARITS ( الوارث )

ALLAH Yaa Warits Yang Maha Mewarisi, mewarisi segala apa yang ada di alam semesta ini kerana DIAlah yang memiliki dan semuanya akan kembali kepadaNYA. DIA Yaa Warits berhak mewariskan apa sahaja kepada siapa sahaja. ALLAH Yaa Warits mewariskan syurga kepada hambaNYA yang bertakwa dan sebaliknya DIA mewariskan hukuman kepada hambaNYA yang melakukan kejahatan. Yaa Warits mewariskan dunia ini untuk hamba-hambaNya yang beriman yang diberi daya keimanan dan kejujuran YA MUKMIN untuk diurus dan ditadbir dengan daya Yaa Waali Yaa Wakil dengan penuh kebijaksanaan Yaa ‘Alim, Yaa Hakim, Yaa Rashid yang berasaskan Al Quran dan hadis, bersama kreativiti Yaa Khaliq, Yaa Baari', Yaa Musowwir.

Penghayatan kepada sifat Yaa Warits akan melahirkan manusia yang memikul agenda ALLAH Yaa Baari', memegang amanah warisan khazanah bumi dan langit, tiada sezarahpun agenda peribadi dan keinginan dunia singgah di hatinya, segalanya diletakkan digenggaman, digenggam kuat dengan kekuatan Yaa Aziz, Yaa Qowiy, Yaa Matin, amanah dalam melakukan kebaikan, memberi sedekah dan amal jariah lainnya.

BICARA HATI 

Allahumma Yaa Warits, Engkau Maha Mewarisi. Engkau mewarisi SyurgaMu kepada hamba-hambaMu yang beriman, Engkau mewarisi NerakaMu kepada hamba-hambaMu yang kufur.

Engkau Yaa Warits mewarisi KerajaanMu dan kekuasaanMu di dunia ini kepada hamba-hambaMu yang beriman dan bertakwa untuk diuruskan mengikut hukum hakamMu. Namun ketika hamba-hambaMu mencintai dunia dan tidak mencintaiMu, Engkau Yaa Warits mewarisi KerajaanMu kepada hamba-hambaMu yang kufur dan zalim sebagai hukuman kepada manusia yang tidak beriman kepadaMu.


Yaa Allah Yaa Warits Yaa Mukmin masukkanlah iman dalam jiwa kami agar kami dapat mengabdi diri kepadaMu untuk menerima warisanMU dalam mengurus alam ini.

V189 : ASMAUL HUSNA ( 96. AL BAAQI')

 AL BAAQI’ (الباقي )

ALLAH Yaa Baaqi’ Yang Maha Kekal akan tetap kekal, tidak akan hancur dan musnah. Sebaliknya makhluq ciptaanNYA akan pasti hancur dan musnah satu hari nanti dan bersifat fana’. DIA Yaa Akhir tidak ada pengakhiran.

Menghayati sifat Yaa Baaqi’ akan menjadikan seorang hamba itu insaf tentang kefana’an dan kehancuran diri dan dunia ini yang akan menjadikannya sentiasa ingat akan kematian dan pengakhiran yang akan dihadapinya dan hari-hari pertemuan dengan ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA dan dengan itu akan memberi semangat kepadanya untuk taat kepada perintah ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA dan menjauhi setiap laranganNYA. Menghayati sifat Al Baaqi’ juga akan melahirkan insan yang berusaha bersungguh-sungguh membuat kebaikan dan kebajikan akan dapat memberi manfaat yang berkekalan walaupun selepas kematiannya.

BICARA HATI 

Allahumma Yaa Baaqi’ yang Maha Kekal, hanya Engkau yang kekal, yang lain dariMu akan musnah, hilang dan fana'. Yaa Baaqi, kami semua akan musnah, mati dan meninggalkan segalanya walaupun suami/isteri dan anak-anak yang disayangi, kami akan pergi meninggalkan harta benda dan wang ringgit walau jutaan. Tiada sesuatu yang kekal di dunia ini melainkanMu Yaa Allah Yaa Baaqi’.


Yaa Allah Yaa Baaqi’, hanya cintaMu yang kekal, cinta manusia akan musnah dan hilang. Maka, oleh itu kami memilih untuk mencintaiMu Yaa Baaqi Yaa Wadud. Kami insaf, hati ini dicipta olehMu Yaa Khaliq hanya untuk satu cinta, oleh itu kami memilih cintaMu dan mengeluarkan cinta manusia ke genggaman kami. Cinta manusia tidak kekal, ia seumpama fatamorgana, pada hakikatnya tidak wujud sama sekali, hanya persangkaan dan tipudaya syaitan semata-mata.

Cinta sejati yang kekal abadi adalah cintaMu Yaa Wadud Yaa Baaqi’. Yaa Allah Yaa Baaqi’, hanya Engkau yang kekal, wang ringgit dan hartabenda yang ada pada kami akan musnah dan hilang, ia semua seperti fatamorgana yang tidak pernah wujud, makin dikejar makin hilang. Maka Yaa Allah Yaa Baaqi’ Yaa Wadud, kekalkan cintaMu di hati kami, kekalkan iman kepadaMu di hati kami Yaa Baaqi Yaa Mukmin. Kekalkan kami dalam kebenaranMu Yaa Baaqi’ Yaa Haq. Kekalkan kami dalam kebaikanMu Yaa Baaqi’ Yaa Barr, kekalkan kami dalam perlindunganMu Yaa Baaqi’ Yaa Hafiz Yaa Muhaimin.

Kekalkan kami dalam bimbinganMu, Yaa Baaq’i Yaa Haadi. Kekalkan roh kami dalam mandian cahaya makrifatMu agar setiap saat kami dapat merasai kehadiranMu dalam hidup kami, agar kami kekal dalam ingatan kepadaMu, sesungguhnya setiap kehendak itu adalah kehendakMu Yaa Qodir, setiap peristiwa itu ciptaanMu Yaa Khaliq, setiap yang berlaku itu agendaMu Yaa Baari', setiap sakit itu tanda cintaMu Yaa Wadud. Yaa Qobidh, setiap kesempitan dunia itu adalah untuk kelapangan akhirat kami Yaa Basith. Yaa Allah Yaa Baaqi Yaa Nuur kekalkan kami dalam cahaya MakrifahMu.