Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Sabtu, 13 Februari 2021

V 157 : ASMAUL HUSNA ( 64. AL WAAJID )

AL WAAJID  ( الواجد )

 ALLAH Yaa Waajid Yang Maha Menemukan. DIA yang menemukan jalan keluar kepada hamba-hambaNYA yang dalam kesusahan. DIA juga menemukan jalan menuju kepadaNYA sehingga timbul rasa ghairah dan mabuk dengan cinta ALLAH. ALLAH Yaa Waajid telah memberikan sepenuh potensi kepada manusia untuk menjadi khalifah di bumi ini, tetapi seringkali potensi itu tertutup seperti awan menutup gunung yang indah. Tabir potensi diri itu mampu disingkap dengan membersihkan diri dari dosa-dosa dan mendekatkan diri kepada ALLAH Yaa Waajid.

 Penghayatan kepada ALLAH Al Waajid akan melahirkan para pendaki yang membaktikan seluruh umur mereka kepada pendakian. Tanpa menghirau latar belakang, keuntungan atau rugi, nasib buruk atau baik, terus mendaki kerana telah menemui potensi diri dan mengerti tugas yang diberikan oleh Yaa Waajid kepada mereka. Manusia yang menghayati sifat Al Waajid tidak akan ditemui dalam dirinya dalam kelemahan dan penyesalan ketika DIA disapa dengan penderitaan dan kepedihan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Waajid Yang Maha Menemukan, sesungguhnya Engkaulah yang menemukan setiap sesuatu yang hilang, terpisah dan terputus. Kecintaan kepadaMu Yaa Wadud, hanya Engkau Yaa Waajid yang mampu menemukan kembali cinta ini di dalam hati yang gersang ini.

 Ingatan dan perkenalan (makrifah) kepadaMu Yaa Allah, hanya Engkau Yaa Waajid yang mampu mempertemukan hambaMu dengan wujudMu melalui Nama dan sifat-sifatMu. Engkau juga Yaa Waajid yang mampu mempertemukan kami dengan diri kami yang sebenar. Setelah kami bertemu dengan diri kami yang sebenar, sedarlah kami yang kami hanyalah seorang abdi yang hina sehina tanah yang dipihak-pijak itu, dari tanah kami datang kepada tanah jua lah jasad ini akan kembali. Roh kami akan bertemu denganMu Yaa Waajid yang Maha menemukan. Walaupun ada yang tak mahu bertemu denganMu dek kerana menimbunnya dosa kepadaMu, namun pertemuan denganMu Yaa Waajid pasti akan berlaku, samada kami bersedia atau tidak.

 Allahumma Yaa Waajid, pertemukan kami denganMu nanti di hari perhitunganMu Yaa Muhsi dan hari hisabMu Yaa Hasib dalam keadaan roh kami dalam redhaMu, dalam kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim, dalam keampunanMu dan taubat kepadaMu Yaa Ghaffar Yaa Tawwab, dalam perlindunganMu Yaa Hafiz Yaa Muhaimin.

Jumaat, 12 Februari 2021

V 156 : ASMAUL HUSNA ( 63. AL QOYYUM )

 AL QOYYUM  ( القيوم )

 ALLAH Yaa Qoyyum Yang Maha Berdiri Sendiri lagi Maha Tegak. DIA Yaa Qoyyum mengatur segala sesuatu yang menjadi keperluan makhlukNYA secara sempurna, terus menerus tanpa bantuan sesiapa walaupun hambaNYA tidak berterima kasih kepadaNYA. DIA Yaa Qoyyum tidak memerlukan ketaatan hambaNYA mahupun tidak berkurang kekuasaan dan kemuliaanNYA sekiranya semua makhlukNYA menjauhkan diri dariNYA.

 Menghayati sifat Al Qoyyum mampu menjadi manusia tidak mudah menyerah kalah ketika berhadapan dengan pelbagai kesulitan. Bergantung dengan kekuatan Al Qoyyum menjadikan seseorang kuat dan sentiasa bersemangat dalam mengejar cita-cita kehidupan. Semua kesulitan adalah kesempatan untuk jiwa tumbuh dengan segar dengan kesegaran Al Qoyyum.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Hayyu Yaa Qoyyum, sesungguhnya Engkau Maha Hidup dan Maha Menguruskan alam ini dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa pun. Yaa Ahad, Engkau Maha Esa dalam penguasaanMu pada seluruh alam dan isinya. Yaa Wahid, Engkau Maha Tunggal, tiada berbilang-bilang, hanya Engkau satu-satunya berkuasa dalam pengurusan dan pentadbiran alam, makhluk, manusia dan peristiwa-peristiwa. Sesungguhnya Engkau Yaa Hayyu Yaa Qoyyum mengurus alam ini melalui makhlukMu. Alam dan manusia mendapat cahayaMu Yaa Nuur melalui matahari, namun matahari tiada sedikitpun berkuasa memberi cahaya, ia hanya alatMu semata-mata yang taat dan patuh kepada perintahMu. Begitu juga Engkau Yaa Hayyu Yaa Qoyyum mengurus hamba-hambaMu yang terlantar di hospital melalui para doktor dan jururawat. Sesungguhnya tiada daya doktor untuk menyembuhkan melainkan daya dan kekuasaanMu sahaja jua Yaa Salam, mereka semua hanya alatMu. Kekuasaan raja dan perdana menteri tidak wujud pada hakikatnya, semuanya adalah kekuasaanMu semata-mata Yaa Hayyu Yaa Qoyyum yang wujud, mereka dan kami semua adalah alatMu semata-mata.

 Seluruh angin, lautan, gunung-ganang, pasir dan segalanya di alam buana ini dalam kekuasaanMu secara mutlak Yaa Hayyu Yaa Qoyyum. Yaa Allah Yaa Nuur Yaa Haadi Yaa Haq pancarkan cahaya makrifahMu pada matahati kami agar kami sentiasa sedar dan nampak kekuasaanMu Yaa Hayyu Yaa Qoyyum, jadikan kami hamba yang haqqul yakin dan bergantung harap hanya kepadaMu, tiada lain dariMu Yaa Allah Yaa Ahad Yaa Wahid Yaa Somad. Sesungguhnya manusia tiada daya, untuk membuka kelopak mata dan mendegup jantung pun tiada daya, jauhi kami dari meletakkan harapan walau sebesar zarahpun kepada manusia melainkan mengharapkanMu saja Yaa Hayyu Yaa Qoyyum Yaa Somad.

V 155 : ASMAUL HUSNA ( 62. AL HAYY )

AL HAYY  ( الحي )

 ALLAH Yaa Hayy Yang Maha Hidup, hidupNYA kekal, tidak pernah musnah dan tidak terikat sebarang syarat dan keadaan. DIA berhak memberi atau mencabut kehidupan makhlukNYA. DIA terus hidup, tidak pernah tidur, tidak mengantuk atau letih.

 Menghayati sifat ALLAH Al Hayy menjadikan seseorang itu menghargai suka duka kehidupannya. Semangat Al Hayy akan memberikan kekuatan untuk mengatasi kesulitan hidup, penderitaan dan rasa sakit. Hidup mestilah melakukan sesuatu yang bermanfaat, mencipta sesuatu dan memberi sesuatu kepada orang lain. Untuk menjadikan hidup ini bermakna dan mampu keluar daripada segala kesulitan hidup hendaklah jiwa sentiasa ingat akan DIA Yaa Hayy, maka akan hiduplah jiwa kita. Menghayati sifat Al Hayy juga memberi kesedaran bahawa kehidupan manusia bukan untuk bersantai-santai dan mencari kesenangan dunia untuk kepentingan peribadi semata-mata. Hakikat kehidupan yang sebenar adalah bagi melakukan pelbagai pekerjaan penting demi umat manusia sejagat.

Rabu, 10 Februari 2021

V 154 : ASMAUL HUSNA ( 61. AL MUMIT )

 AL MUMIT ( المميت )

 ALLAH Yaa Mumit Yang Maha Mematikan, DIA memegang nyata makhluk-makhlukNYA dan mampu mematikan pada bila-bila masa, di mana jua tanpa ada yang mampu menahanNYA. Begitu juga sekiranya DIA Yaa Mumit ingin menahan kematian seseorang, maka tiada siapa yang mampu mematikanNYA. Orang yang dekat dengan ALLAH tidak takut mati kerana kematian merupakan jalan untuk berjumpa ALLAH Yaa Wadud yang dirindui.

 Menghayati ALLAH Al Mumit akan melahirkan manusia yang sentiasa melakukan kebaikan, tidak menyombong diri dan menggunakan apa sahaja anugerah yang diberikan ALLAH untuk jalan menolong orang lain dan perjuangan agama ALLAH. Mereka sentiasa ingat kematian akan datang pada bila-bila masa. Walaupun hebat mana seseorang itu, mulia atau kaya kedudukannya disisi makhlul, dia pasti tetap akan mati kerana kematian tidak mengenal itu semua, setiap yang hidup pasti akan mati, yang kekal hanyalah ALLAH Yaa Baqi Yang Maha Kekal lagi abadi.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muhyi Yaa Mumit, sesungguhnya Engkaulah yang menghidupkan setiap sesuatu dan Engkaulah yang mematikan setiap yang hidup. Yaa Muhyi menghidupkan manusia dengan mendegup jantungnya, memasukkan udara ke dalam paru-parunya, mengalirkan darah dalam saliran darahnya dan membuat semua organ-organ tubuh berfungsi. Engkau Yaa Mumit berkuasa mematikan sesiapa dengan menghentikan degupan jantung, dengan mencipta pelbagai masalah pada jantung Yaa Khaliq Yaa Baari' Yaa Musowwir Yaa Qobidh. Engkau Yaa Mumit juga boleh mematikan seseorang dengan menutup saluran pernafasan yang menghalang udara masuk ke dalam paru-parunya, atau mematikan seseorang dengan menghentikan pengaliran darah dalam saliran darahnya dan menghentikan fungsi saraf tubuhnya. Semuanya dilakukan oleh Allah Yaa Mumit semudah dan secepat Kun Fayakun.

 Sungguh bukanlah kerana hebatnya seseorang itu menjaga kesihatan dengan memakan pelbagai vitamin dan olahraga, untuk terus hidup dan tidak mati, tetapi dihidupkan olehMu Yaa Muhyi dan dimatikan oleh Yaa Mumit. Engkau Yaa Muhyi menghidupkan hati hamba-hambaMu untuk mengingat kami kepadaMu dan Engkau Yaa Mumit mematikan dan memeterai hati hambaMu yang sombong dengan menghantar syaitan menjadi pendampingnya.

V 153 : ASMAUL HUSNA ( 60. AL MUHYI )

AL MUHYI ( المحيى )

 ALLAH Yaa Muhyi Yang Maha Menghidupkan mampu menghidupkan sesuatu yang telah mati samada tanah yang mati, manusia, termasuk jiwa. Jiwa yang dihidupkan oleh ALLAH Yaa Muhyi akan subur dan mampu mengenal ALLAH sehingga mampu sentiasa melakukan ketaatan dan kebaikan.

 Menghayati sifat ALLAH Al Muhyi akan menjadikan jiwa sentiasa hidup dan kuat dan seterusnya mampu untuk bekerja, berusaha tanpa mudah putus asa dan sentiasa berfikiran positif. Kegagalan bukanlah penghujung kepada kehidupan, tetapi ianya adalah langkah-langkah untuk menghadapi kejayaan yang lebih besar.

Isnin, 8 Februari 2021

V 152 : ASMAUL HUSNA ( 59. AL MU'ID )

AL MU'ID ( المعيد )

 ALLAH Yaa Mu’id Yang Maha Mengembalikan, mengembalikan manusia kepadaNYA di hari akhirat untuk dihisab dan diadili akan setiap perbuatan manusia di atas dunia ini. DIA Yaa Mu’id juga mampu mengembalikan hamba-hamba pilihanNYA kepada fitrah yang asal sehingga hamba-hamba pilihanNYA ini mampu hidup sebagai hamba kepada ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA dan pengikut RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALLAM.

 Menghayati sifat ALLAH Al Mu’id akan menjadikan seseorang sentiasa berhati-hati dalam hidupnya dan sentiasa melakukan kebaikan dan kebajikan kerana menyedari bahawa kita semua akan kembali kepada Pencipta yang Maha Mengembalikan iaitu ALLAH Yaa Khaliq Yaa Mu’id. Mendekatkan diri kepada Yaa Mu’id akan melahirkan seorang hamba yang kembali kepada fitrah manusia yang dicipta oleh ALLAH SUBHANAHU WA TA‘ALA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Mubdi' Yang Maha Memulakan, sesungguhnya Engkaulah yang memulakan penciptaan setiap makhlukMu, tiada siapa yang mendahuluiMu, Engkau Yaa Mubdi' mencipta dengan sendiri tanpa bantuan sesiapapun. Yaa Mubdi' Yaa Mu'id, Engkau yang memulakan penciptaan dan Engkau  jugalah akan mengembalikan setiap ciptaanMu kepada asal.

 Manusia yang Engkau Yaa Mubdi' mencipta dari tanah akan Engkau Yaa Mu'id kembalikan kepada tanah semula, bersemadi bersama tanah, hilang dan hancur. Roh yang Engkau Yaa Mubdi' ciptakan dari rahsiaMu akan kembali mengadapMu Yaa Mu'id dan segala kekayaan, jawatan, hartabenda, suami, anak-anak dan segala yg dipinjamkan kepada manusia akan dikembalikan kepadaMu semula Yaa Mu'id dan ketika dikembalikan kepadaMu, semuanya akan dipersoalkan dan dituntut amanah yang telah Engkau amanahkan.

 Allahumma Yaa Mubdi' Yaa Mu'id, sedarkan hati kami sentiasa yang kami ini datang dariMu dan akan kembali kepadaMu dan Yaa Khobir Yaa Roqib, waspada dan awasi kami dari nafsu kami dan syaitan agar kami sentiasa dalam redhaMu Yaa Rahman Yaa Rahim.

V 151 : ASMAUL HUSNA ( 58. AL MUBDI' )

AL MUBDI’ ( المبدئ )

 ALLAH Yaa Mubdi’ Yang Maha Memulai, DIAlah yang memulai menciptakan makhlukNYA dan tidak ada yang mendahului ALLAH dalam penciptaanNYA tanpa bantuan atau contoh terlebih dahulu. KehebatanNYAlah dalam penciptaan alam ini yang membolehkan Yaa Mubdi’ mencipta dan menguruskan makhlukNYA tanpa bantuan dan DIA yang memulai setiap apa yang ada di dunia ini.

 Menghayati sifat ALLAH Al Mubdi’ akan menjadikan seseorang itu pembuka kebaikan yang memulai kebaikan dan penutup kejahatan. Kehidupan wakil ALLAH Al Mubdi’ memberi pembukaan jalan kepada perubahan hidup seseorang ke arah kebaikan. Menghayati sifat ALLAH Al Mubdi’ juga akan menjadikan seseorang berusaha tanpa henti untuk membuat penemuan-penemuan, rekaan-rekaan dan ciptaan-ciptaan baru bagi manfaat manusia sejagat dengan bantuan Al Mubdi’.

V 150 : ASMAUL HUSNA ( 57. AL MUHSI )

AL MUHSI  ( المحصى )

 ALLAH Yaa Muhsi Yang Maha Menghitung sentiasa menghitung amalan dan perbuatan hambaNYA walaupun mungkin hambaNYA lupa. Setiap perhitungan itu pasti akan dibalas di akhirat kelak kerana ALLAH itu hakim yang seadil-adilnya.

 Penghayatan kepada sifat ALLAH Al Muhsi akan melahirkan manusia yang melakukan kebaikan kerana inginkan catatan yang baik dariNYA dan menghindari kejahatan kerana takutkan catatan buruk. Menghayati sifat Al Muhsi juga akan menjadikan kita seorang yang sentiasa menghitung setiap pemberian dan nikmat ALLAH lantas mensyukuri nikmatNYA. Begitu juga sentiasa menghitung masa-masa yang diberikan ALLAH samada digunakan untuk jalan kebaikan atau kejahatan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Muhsi Yang Maha Menghitung, sesungguhnya Engkau menghitung setiap amalan manusia samada yang baik maupun yang buruk, dan Engkau Yaa Rozzaq akan membalas setiap zarah kebaikan berlipat kali ganda, dan setiap zarah kejahatan akan dihukum olehMu Yaa Hakam Yang Maha Menghukum dengan penuh keadilanMu Yaa ‘Adl.

 Yaa Allah Yaa Zohir, nampakkan sentiasa malaikat kanan dan kiriku yang sentiasa mencatat segala perbuatan kami dalam buku hitungan amal yang akan diserahkan kepada kami nanti di hati perhitunganMu Yaa Muhsi, agar kami sentiasa berhati-hati dari dosa dan kemaksiatan, dan banyak membuat amal soleh. Yaa Allah Yaa Muhsyi Yaa Haadi, bombing kami setiap saat agar menumpukan bersungguh-sungguh untuk persiapan pertemuan denganMu nanti di hari perhitungan dan Yaa Khabir Yaa Roqib, waspadakan dan awasiku agar jangan leka dengan dunia yang melekakan ini.

V 149 : ASMAUL HUSNA ( 56. AL HAMID )

AL HAMID ( الحميد )

 ALLAH Yaa Hamid Yang Maha Terpuji menciptakan sesuatu dengan baik dan ALLAH mempunyai sifat yang terpuji dan segala perbuatan terpuji itu adalah sifatNYA. DIA Yaa Hamid layak untuk menerima pujian kerana DIA yang mencipta dan menghidupkan, yang menganugerahkan keperluan hidup dan DIA yang memberi petunjuk sehingga manusia mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. ALLAH Yaa Hamid layak mendapat pujian bukan hanya ketika menerima kesenangan tetapi juga ketika menerima kesempitan dan bencana kerana ianya merupakan proses pendidikan ALLAH kepada hamba-hambaNYA. Seorang hamba hendaklah berbaik sangka dengan ALLAH walaupun apa pun yang dilakukan ALLAH kepadaNYA.

 Menghayati sifat Al Hamid menjadikan seseorang hamba itu sentiasa memuja dan memuji ALLAH serta beramal dengan sifat terpuji ALLAH. Akan dialirkan sifat-sifat itu oleh ALLAH Al Hamid sehingga mampu menaburkan kebaikan kepada sesama manusia.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Hamid Yang Maha Terpuji, segala puji dan puja hanya layak untukMu Yaa Allah. Engkau Yaa Hamid layak dipuji kerana seluruh alam buana ini adalah milikMu Yaa Malik Yaa Malikul Mulk. Engkau Yaa Hamid layak dipuji kerana seluruh isi langit dan bumi adalah ciptaanMu, Engkaulah Yaa Wali Yaa Wakil Yaa Baari’ yang mengurus, mentadbir dan mengatur semuanya.

 Pujian hanya layak untukMu Yaa Hamid, kerana tiada yang memberi kurniaan dan pertolongan kepada hamba-hambaMu melainkan Engkau Yaa Rahman Yaa Rahim Yaa Wahab Yaa Karim. Engkau Yaa Hamid dipuja dipuji kerana seluruh khazahah alam buana ini milikMu Yaa Ghoni Yaa Mughni.

 Allahumma Yaa Hamid, basahilah lidah kami ini untuk sentiasa memujiMu. Yaa Batin, hilangkan dalam hati, fikiran dan lidah ini daripada memuji makhluk yang lemah lagi dhaif, yang kelopak matanya pun memerlukan kekuatan AllahMu Yaa Aziz Yaa Qowiy Yaa Matin untuk membukanya. Allahumma Yaa Hamid, Pemilik sifat-sifat terpuji, hiasi hati dan akhlak kami, anak-anak kami, suami/isteri kami, masyarakat kami dan pemimpin-pemimpin kami dengan sifat-sifat terpuji dan Yaa Jami’  Yaa Ba’its  Yaa Hamid, bangkitkan dan kumpulkan kami nanti di akhirat dengan golongan yang terpuji di sisiMu iaitu para Rasul, para Nabi, Syuhada', Solihin, Siddiqin.

Ahad, 7 Februari 2021

V 148 : ASMAUL HUSNA ( 55. AL WALI )

AL WALI  ( الولى )

 ALLAH Yaa Wali Yang Maha Melindungi lagi Maha Mengurus. Yaa Wali juga sentiasa menolong dan membantu hamba-hambaNYA yang dalam kesusahan dan ketika hamba-hambaNYA dalam kesesatan, dibimbingNYA, diberi rasa tenteram dan diberi kejayaan dalam urusan hamba-hambaNYA di dunia dan akhirat. Bagi hamba yang menjadikan ALLAH sebagai waliNYA, ALLAH akan menjaga dan membantu orang itu daripada segala yang dihajatiNYA dan sentiasa berada dalam taufik dan hidayah ALLAH.

 Menghayati sifaf ALLAH Al Wali menjadikan kita manusia yang sering tolong menolong sesama kita, berkasih-sayang, lindung melindungi, Orang yang menjadi wali ALLAH tidak ada kekuatiran pada mereka, dan tidak pula merasa sedih. Menghayati ALLAH Al Wali menjadikan seseorang hanya menjadikan ALLAH pelindung, sandaran utama dan penolong.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Wali Yang Maha Melindungi, sesungguhnya sejak kami diciptakan olehMu Yaa Khaliq, Engkaulah pelindung kami dari segala bencana, kesusahan, kesempitan, dosa, kejahatan dan azab nerakaMu. Engkau Yaa Wali melindung kami melalui rasa kasih sayang ibu dan ayah sehingga dengan kekuatan kasihMu Yaa Rahman Yaa Rahim, kami sentiasa dilindungi dari segala bencana.

 Yaa Wali, Engkau terus melindungi kami melalui ilmu-ilmuMu Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid sejak kami kecil, kami diajar melindungi jasmani dari panas matahari dunia dengan pakaian, melindungi roh dari panas matahari Mahsyar dengan ibadah kepadaMu. Engkau Yaa Wali melindungi ibubapa yang tua dengan kewajipan anak-anak berbakti kepada orang tua.

 Engkau Yaa Wali melindungi manusia yang sakit dengan kewajipan ziarah menziarah antara manusia. Engkau Yaa Wali melindungi anggota tubuh kami dari bakaran neraka dengan penyucian dosa-dosa kami di dunia ini. Yaa Allah, kami menyerahkan segala urusan hidup kami, anggota tubuh kami dan segala apa yg ada pada kami kepadaMu untuk Engkau lindungi dari kemarahanMu, kemurkaanMu dan azabMu.

V 147 : ASMAUL HUSNA ( 54. AL MATIN )

AL MATIN   ( المتين )

 ALLAH Yaa Matin Yang Maha Teguh, seluruh keteguhan yang ada di dunia ini adalah keteguhan ALLAH. KeteguhanNYAlah yang menjadikan gunung-gunung teguh menjadi pasak bumi, kedudukan bulan, bintang dan matahari sangat teguh, tidak bergoyang sedikitpun dalam peredaranNYA. Keteguhan yang ada dalam setiap ciptaanNYA merupakan keteguhan Yaa Matin. Begitu juga manusia yang teguh jiwa dan iman merupakan anugerah ALLAH Yaa Matin yang menyebabkan manusia mampu menghadapi apa jua dugaan hidup dengan penuh keteguhan dan kesabaran.

 Menghayati ALLAH Al Matin menjadikan kita seorang hamba yang teguh pendirian demi menegakkan kebenaran. Keteguhan Al Matin yang mengalir dalam diri kita akan menjadikan kita seorang yang tabah dan mampu memberikan motivasi agar manusia lain juga merasa tabah dalam menghadapi ujianNYA serta tetap teguh dalam perjuanganNYA.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Matin Yang Maha Teguh. Sesungguhnya Engkaulah yang mencipta alam buana yang teguh ini. Planet-planet berputar di atas orbit dengan teguh, gunung-ganang diteguhkan olehMu Yaa Matin sebagai pasak bumi, bangunan-bangunan dibangunkan dengan teguh olehMu Yaa Matin. Sekiranya Engkau mengambil balik daya keteguhan ini, akan runtuh dan hancurlah segalanya.

 Yaa Matin, Engkaulah yang meneguhkan tubuh ini sehingga dapat berdiri teguh di atas bumiMu ini yang Engkau teguhkan. Sekiranya Engkau menarik balik daya keteguhanMu ini, akan lumpuh dan tersungkurlah kami. Sekiranya bumi ini Engkau tarik daya keteguhanMu, akan retaklah bumi ini dan runtuhlah dan tumbanglah segala bangunan dan kehidupan. Ketika Engkau menarik balik daya keteguhan pada langit, akan runtuhlah langit ini dan hancurlah bumi dan isinya.

 Allahumma Yaa Matin, teguhkanlah hati ini yang sering tidak yakin kepadaMu, teguhkanlah hati yang sentiasa ragu dengan kasihsayangMu, kebijaksanaanMu, kehebatanMu. Hati yang sering resah gelisah ini apabila menerima ujianMu, teguhkanlah ia Yaa Allah Yaa Matin. Yaa Matin, teguhkanlah perjalanan kami menuju kepadaMu dalam mencari redhaMu, teguhkanlah hati ini dalam memegang prinsip-prinsip yang telah Engkau gariskan dalam Al Quran dan Hadist. 

V 146 : ASMAUL HUSNA ( 53. AL QOWIY )

AL QOWIY  ( القوى )

 ALLAH Yaa Qowiy yang Maha Kuat adalah yang mempunyai kekuatan yang maha hebat yang tiada siapa mempunyai kekuatan sepertiNYA. DIA Yaa Qowiy mampu menggerakkan bulan, matahari, bumi dan bintang. KekuatanNYA mampu menenggalamkan bumi dan manusia. KekuatanNYA juga mampu mengalahkan seluruh musuh walaupun seluruh manusia dan jin berkumpul untuk mengalahkanNYA sudah pasti tidak akan mampu. Dengan kekuatanNYAlah sahaja yang mampu menembusi langit sepertimana ketika peristiwa Isra’ Mi’raj. Kekuatan yang ada pada manusia merupakan kekuatan ALLAH Yaa Qowiy dan bukanlah kekuatan manusia sesungguhnya.

Menghayati sifat Al Qowiy mampu menjadikan jiwa kuat dan kental serta tidak mudah putus asa, gigih dan berusaha bersungguh-sungguh dalam apa juga kebaikan yang dilakukan. Manusia yang dikurnaikan kekuatan ALLAH Yaa Qowiy juga mampu memberikan kekuatan kepada orang-orang lain yang sedang diuji oleh ALLAH dengan kesusahan dan kesempitan.

 

BICARA HATI

 Allahumma Yaa Qowiy, sesungguhnya Engkau Maha Kuat, seluruh daya kekuatan yang ada di alam buana ini adalah datang dariMu Yaa Qowiy. Daya kekuatan matahari, bintang-bintang, planet-planet itu diputarkan oleh kekuatan graviti milikMu. Daya kekuatan yang ada pada besi dan gunung ganang adalah kekuatanMu. Daya kekuatan yang ada pada manusia dan binatang serta pokok-pokok yang didiri tegak olehMu adalah kekuatan milikMu Yaa Qowiy. Sesungguhnya seluruh daya kekuatan yang ada pada alam, makhluk dan manusia adalah kekuatan milikMu Yaa Qowiy.

Seluruh anggota tubuh manusia digerakkan dengan kekuatanMu Yaa Qowiy, mata dikelip dengan daya kekuatanMu Yaa Qowiy, kami tidak mampu mengelipkan mata kami sendiri, kaki dan tangan diangkat dengan daya kekuatanMu Yaa Qowiy, sekiranya tiada daya ini, kakulah tubuh ini. Yaa Allah Yaa Qowiy pemilik mutlak kekuatan, kami hamba yang lemah lagi dhaif ini datang kepadaMu untuk memohon kekuatan dalam hati kami ini dariMu Yaa Qowiy agar dengan kekuatan ini dapatlah kami terus beriman dan beramal kepadaMu, dapatlah kami bangkit di pagi-pagi hari sujud dan memujiMu, dapatlah sentiasa berjuang menegakkan agamaMu.

 Tanpa kekuatan dariMu Yaa Qowiy, kami akan lemah dan kalah dengan hawa nafsu kami dan mudah ditipu oleh syaitan. Yaa Allah Yaa Baaqi Yaa Qowiy, kekalkan kami dalam kekuatan, kekuatan jiwa, emosi, pemikiran dan jasad untuk terus kami menjadi sebenar-benar abdiMu dan khadamMu. Yaa Allah Yaa Qowiy, Kurniakan kekuatan iman kepada diri ini, suami, anak-anak, ibubapa, adik beradik, masyarakat dan pemimpin-pemimpin kami agar dengan kekuatan iman ini kami semua selamat di dunia dan di akhirat.