Amalan-amalan
ini menjadi sebab ALLAH
SWT limpahi hambaNya dengan
keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberianNya. Berdasarkan konsep rezeki
yang telah diperkatakan, ALLAH SWT memberi jalan buat setiap hambaNya untuk memperolehi rezeki dalam
pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di
antaranya:
1.
Menyempatkan diri beribadah
ALLAH SWT tidak sia-siakan pengabdian diri hambaNya, seperti firmanNya dalam hadis qudsi:
“Wahai
anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu maka Aku akan membuat hatimu kaya dan
menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu
dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”
(Riwayat
Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2.
Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan ALLAH SWT, yang menjadi sebab ALLAH SWT jatuh kasih dan kasihan pada hambaNya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda
NABI MUHAMMAD SAW :
“Barang
siapa memperbanyak istighfar maka ALLAH akan menghapuskan segala kedukaannya,
menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak
disangka.”
(Riwayat
Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas
r.a.)
3.Tinggalkan
perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi ALLAH SWT jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
Sabda
NABI MUHAMMAD SAW :
Ertinya : “… dan
seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”
(Riwayat
at-Tirmizi)
4.
Sentiasa ingat ALLAH
SWT
Banyak ingat ALLAH SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya ALLAH SWT beri kepada orang beriman.
FirmanNya:
Ertinya : “(iaitu)
orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH.
Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenteram.”
(Surah
13 AR RA'D : ayat 28)
5.
Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, RASULULLAH SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibubapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
BAGINDA
SAW juga bersabda:
Ertinya : “Siapa
berbakti kepada ibubapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan ALLAH akan
memanjangkan umurnya.”
(Riwayat
Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan
ibubapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda NABI MUHAMMAD SAW
:
“Apabila
hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah
rezeki (ALLAH) daripadanya.”
(Riwayat
al-Hakim dan ad-Dailami)
6.
Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
SABDA
NABI MUHAMMAD SAW :
Ertinya : “Tidaklah
kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di
kalangan kamu.”
(Riwayat
Bukhari)
7.
Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab ALLAH SWT lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda NABI MUHAMMAD SAW :
Ertinya : “Siapa
yang menunaikan hajat saudaranya maka ALLAH akan menunaikan hajatnya…”
(Riwayat
Muslim)
8.
Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9.
Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya
kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan
disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan
rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain
mengutuknya.”
10.
Berpagi-pagi
Menurut RASULULLAH SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11.
Menjalin silaturrahim
NABI MUHAMMAD
SAW bersabda:
Ertinya : “Barangsiapa
ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia
menghubungi sanak-saudaranya.”
(Riwayat
Bukhari)
12.
Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui RASULULLAH SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh ALLAH SWT.
BAGINDA
SAW bersabda:
Ertinya : “Sentiasalah
berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya ALLAH akan memurahkan rezeki.”
(Diriwayatkan
daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13.
Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat ALLAH SWT dan menjadi sebab ALLAH SWT buka pintu rezeki.
NABI MUHAMMAD
SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
Ertinya : “Hai
Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim
oleh ALLAH AZZA WAJALLA kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang
membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya ALLAH membanyakkan baginya.
Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya ALLAH menyedikitkan baginya.”
(Riwayat
ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14.
Melazimi solat malam (tahajud)
Ada
keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi
sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan ALLAH SWT.
15.
Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri.
Firman
ALLAH SWT dalam hadis qudsi:
“Wahai
anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu
permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada
petang harinya.”
(Riwayat
al-Hakim dan Thabrani)
16.
Bersyukur kepada ALLAH SWT
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari ALLAH SWT. Lawannya adalah kufur nikmat.
ALLAH SWT berfirman:
Ertinya : “Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmatKu kepadamu dan
demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu amat keras.”
(Surah
14 IBRAHIM : ayat 7)
FirmanNya
lagi:
Ertinya : “… dan
Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Surah
3 ALI
IMRAN : ayat 145)
17.
Mengamalkan zikir dan bacaan ayat al Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya,
dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten
tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab ALLAH SWT lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah
satu nama ALLAH SWT, al-Fattah (Maha Membukakan)
dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu;
misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah,
bukalah hati kami untuk mengenaliMu, bukalah pintu rahmat dan keampunanMu, ya
Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah
setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18.
Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan ALLAH SWT, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dariNya. Dalam al Quran, ALLAH SWT suruh kita meminta kepadaNya, nescaya Dia akan perkenankan.
19.
Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa ALLAH SWT berikan dunia kepada orang yang dicintaiNya dan yang tidak dicintaiNya, tapi agama hanya ALLAH SWT beri kepada orang yang dicintaiNya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi
orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada
murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya al Quran,
hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak
sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran
yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram,
dan sebagainya.
20.
Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan ALLAH SWT.
FirmanNya:
Ertinya : “Barangsiapa
bertawakal kepada ALLAH, nescaya ALLAH mencukupkan (keperluannya).”
(Surah
65 ATH THALAAQ : ayat 3)
NABI MUHAMMAD
SAW bersabda:
“Seandainya
kamu bertawakal kepada ALLAH dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi
rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah
kenyang.”
(Riwayat
Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab
r.a.)
Kesemua
yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan
takwa, ALLAH SWT akan beri “jalan keluar (dari segala
perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya.”
(Surah
65 ATH THALAAQ : 2-3)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan