Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

V 167 : ASMAUL HUSNA ( 74. AL ZOHIR )

AL ZOHIR   ( الظاهر )   ALLAH Yaa Zohir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita DIA nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadira...

Khamis, 7 Januari 2021

V 96 : 99 ASMAUL HUSNA ( 3. AL MALIK )

 AL MALIK  ( الملك )

 Allah Yaa Malik Yang Maha Memiliki. Dia memiliki seluruh isi langit dan bumi secara mutlak. Dan Dia memiliki diri kita, tubuh badan kita, anak-anak kita, suami/isteri kita. Dia boleh memberi dan Dia boleh mengambil apa-apa sahaja daripada manusia pada bila-bila masa. Tiada siapa-siapa pun yang mampu menghalang sekiranya Allah Yaa Malik ingin memberi atau mengambil. Setiap pemberian ialah amanah dan pinjaman yang akan ditanyai semuanya di Akhirat kelak.

 Menghayati sifat Al Malik membuatkan seseorang sedar dirinya fakir, tidak memiliki suatu apa-apa pun. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan setiap amanah yang diberikan Allah Subhanahu Wata'ala dan menjaga semua anugerahNya yang dipinjamkan sebaik mungkin.

 Penghayatan kepada sifat Al Malik juga membolehkan manusia menggenggam dunia dan bertindak memastikan dunia tunduk kepada Al Malik. Dengan itu setiap kerjanya, tugasannya dan perlakuannya menjurus kepada menjadi alat Al Malik, mentadbir manusia ke jalan Allah Subhanahu Wata'ala.  Menghasilkan modul-modul, produk-produk, silibus-silibus, sekolah-sekolah, pusat-pusat latihan yang ditadbir oleh alat-alat Al Malik. Dunia akan menjadi aman apabila semuanya mampu tunduk kepada Al Malik.

 Tidak ada seorang pun yang dapat mendakwa diri sebagai penguasa tertinggi. Tugas pemerintah adalah untuk mewujudkan rasa aman, damai, sejahtera dan bahagia kepada saudara-saudaranya.

 

Bicara Hati

 Allahumma Yaa Malik, Yaa Malik, Yaa Malik, sesungguhnya Engkau Yang Maha Memiliki dan Berkuasa di atas segalanya. Kami ini milikMu Yaa Malik. Jantung kami milikMu, Engkaulah Yaa Muhyi yang mendegupkannya dan Engkau juga yang mampu menghentikannya Yaa Mumit. Otak kami dan ilmu dalam otak ini milikmu Yaa Malik Yaa Alim Yaa Hakim Yaa Rashid, Engkau yang memasukkannya dan Engkau juga mampu mengeluarkannya, wang ringgit yang ada pada kami milikMu, Engkau memberi dan Engkau mampu mengambilnya kembali, suami/isteri kami, anak-anak kami, ibu bapa kami, sahabat-sahabat kami milik-Mu, Engkau memberi pinjam dan Engkau mampu mengambil mereka, segalanya milikMu Yaa Malik. Matahari, bulan, bintang dan planet-planet di angkasa raya semuanya milikMu Yaa Malik, Engkau Yaa Baari' mengatur perjalanannya dan Engkau juga akan memberhentikan dan memusnahkannya nanti. Alam dan isinya ini seluruhnya milikMu, Engkaulah Yaa Malik, Yaa Waliy, Yaa Wakil, Yaa Baari', Yaa Hayyu, Yaa Qayyum, pemilik mutlak yang mengurus, mentadbir dan mengatur semuanya dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa.

 Kami hamba yang fakir tiada memiliki apa pun, semuanya meminjam daripadaMu dan pinjaman itu ialah amanahMu yang akan dipersoal setiap satunya nanti di hari perhitungan, hari hisab dan di MahkamahMu nanti, oleh itu Yaa Allah Yaa Nuur, Yaa Haadi, Yaa Haq, bimbinglah kami dengan cahaya petunjuk dan cahaya makrifatMu agar kami dapat menggunakan segala amanah dan pinjaman milikMu ini di atas jalan redaMu Yaa Rahman Yaa Rahim.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan